Thursday, October 21, 2010

Pelan Transformasi UMNO - berdaptasi dengan Politik Baru



Dalam sidang akhbar selepas Majlis Taklimat Presiden, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak menyebut bahawa beliau mahu tranformasi ahli-ahli UMNO digerakkan sehingga ke peringkat akar umbi bagi membolehkan mereka menterjemahkan model Politik Baru yang bersifat inklusif, terbuka dan demokratik. Beliau menyebut bahawa transformasi ini tidak boleh terhenti begitu sahaja tetapi mesti disusuli dengan budaya, pemikiran, tindakan dan pertuturan agar perubahan ini menular ke peringkat bahagian.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membaca kenyataan Datuk Seri Najib ini sebagai Pelan Transformasi Politik yang ingin digerakkan selepas Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).

Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memulakan nada perbincangan melalui ucapan perasmian beliau dengan penegasan bahawa perjuangan memartabat agama dan bangsa tidak pernah lekang dan ditinggalkan oleh UMNO. Ia merupakan tujuan penubuhan UMNO dan perjuangan ini akan diteruskan dulu, kini dan selamanya. Perjuangan ini adalah konsisten sejak penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 selepas Kongres Melayu Kedua dan termaktub jelas dalam Perlembagaannya. Jika ada yang meninggalkan perjuangan ini, mereka bukan orang Melayu dan Islam di dalam UMNO, sebaliknya petualang yang sanggup menjual maruah, prinsip dan agama akibat menjadi hamba kuasa.

Perjuangan ini perlu diteruskan bagaimanapun memerlukan sedikit perubahan dan pengubah suaian dari segi pendekatan agar sesuai dengan realiti politik, ekonomi dan persekitaran semasa.

Politik Baru adalah politik yang menitik beratkan penyertaan rakyat akar umbi dalam proses politik, berbanding kesetiaan terhadap parti. Dalam model politik baru, inklusiviti, penyertaan, permuafakatan, perbandingan pendapat dan politik budiman adalah antara ciri-cirinya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dalam ucapan beliau telah menyahut dan menyokong pendirian Tan Sri Muhyiddin dengan menyatakan bahawa dalam politik baru, maqasid perjuangan tidak pernah berubah, sebaliknya yang mungkin berubah adalah manhajnya. Dalam ucapan beliau menyebut tentang naratif baru dan kuasa baru yang tidak bergantung kepada penguat kuasaan undang-undang semata-mata, sebaliknya kepada battle of ideas.

Perhimpunan Agung UMNO kali ini amat penting bagi saya kerana saya melihat bahawa orang Melayu dan umat Islam Malaysia berada di persimpangan. Persimpangan di antara kegemilangan politik tradisi dan realiti politik baru; pendekatan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan kesinambungan semangat DEB dalam Model Baru Ekonomi (MBE); dan politik Islam bersifat wasatiyah dan politik pseudo-Islamik yang liberal, berubah-ubah dan mempunyai pelbagai wajah.

Perhimpunan ini penting kerana ia akan memberi hala tuju ke arah mana UMNO ingin membawa orang Melayu, Bumiputera dan umat Islam dan menempatkan mereka dalam bidang politik dan ekonomi. Ia juga penting bagi menentukan masa depan umat Islam Malaysia dan kedudukan istimewa agama Islam bukan sahaja di dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi di dalam dasar dalam negara dan kedudukannya dalam hubungan sejagat dengan umat Islam di seluruh dunia.

Ujian mengenainya telah dimulakan semalam dan nampaknya bukan mudah untuk politik baru ini difahami oleh jurucakap pergerakan sayap-sayap UMNO. Berbanding transformasi yang bersifat struktural dan undang-undang, seperti pindaan Perlembagaan UMNO, dapat diperhatikan bahawa politik baru ini lebih sukar difahami dan diadaptasi oleh jurucakap pergerakan sayap-sayap.

Namanya pun `transformasi', hasilnya tidak mungkin boleh dilihat segera. Kita perlu bermula di suatu titik dan kita tidak boleh jemu berusaha menjelaskan dan membudayakannya. Pastinya, amanat Presiden UMNO esok amat menarik dan saya menantikan olahan mesej yang ingin disampaikan. Lebih menarik lagi adalah untuk melihat bagaimana pemimpin kanan UMNO dan jurucakap berresponsif terhadap amanat beliau.

Apa pun bagi saya, politik baru perlu ditakrifkan mengikut kesesuaian, suasana dan kepercayaan kita. Benar, ia mengkehendaki kita mengambil kira penyertaan rakyat dalam proses politik dan itu perlu diraikan. Cuma jangan sampai politik baru ini mengorbankan matlamat yang baik. Lebih-lebih lagi apabila dalam politik Islam, ia bukan mengenai hak rakyat semata-mata, tetapi juga mengenai hak golongan ulil amri atau pemerintah yang diberi amanah untuk menegakkan pemerintahan yang adil dan negara yang makmur.

Selamat berbahas mengenainya!

3 comments:

PAPA GOMO said...

steady Tun....ini yang kita inginkan...
EXCO buat kerja....

alehkayong™ said...

Salam kunjungan dan salam perjuangan ,

Saya blogger baru dari Sarawak ingin mengucapkan SYABAS kepada Tuanpunya blog ini yang berjaya menghasilkan sebuah blog yang begitu mantap dengan artikel2 yang bernas.

Di harap dapat memberi tunjuk ajar mengenai cara penghasilan artikel yang mantap.

Blog alehkayong telah linkkan blog Tuan di dalam blog pilihan di blog saya..

Di harap pihak Tuanpunya blog ini dapat membantu alehkayong untuk mempromosi blog saya..

SEKIAN, SALAM KASIH IKHLAS DARI,

alehkayong

Penyokong said...

Mohon promosi blog kami. Terima kasih.

- Galas untuk BN -

Popular Posts