Showing posts with label SRC. Show all posts
Showing posts with label SRC. Show all posts

Thursday, May 4, 2017

Rafizi celaru, gagal buktikan SRC kehilangan wang dan duit yang masuk akaun Najib datang dari SRC


1. Selepas mendengar kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, saya dapat menyimpulkan Rafizi amat celaru dan keliru serta terlalu banyak membuat andaian dan serkap jarang apabila membuat apa yang dia anggap sebagai 'pendedahan' kehilangan wang SRC.

2. Untuk rekod, Rafizi sudah 10 kali tertangkap berbohong. Ini tidak termasuk pembohongan-pembohongan lain seperti mengatakan cukai di Finland lebih rendah dari di Malaysia semasa perdebatannya dengan YB Khairy Jamaluddin di Karangkraf.

3. Untuk rekod juga, dalam kes NFC misalnya, Rafizi gagal membuktikan dakwaan-dakwaannya dan mahkamah memerintah agar Rafizi membayar RM150,000 kepada Pengerusi NFC, Datuk Seri Salleh Ismail dan RM50,000 kepada NFC, serta kos RM100,000.

4. Dalam apa yang didakwa sebagai 'pendedahan' terbarunya, PERTAMA, dapat diperhatikan Rafizi berulang kali hilang punca dan gagal menjelaskan secara meyakinkan apa yang didakwanya sebagai "money trail pemindahan wang yang berlapis-lapis" dan gagal menunjukkan di mana berlaku kesalahan dari segi undang-undang dalam pemindahan tersebut.

5. KEDUA, Rafizi juga banyak menggunakan perkataan 'andaian' kerana dia juga tidak pasti tentang banyak perkara. Antara andaian paling ketara tanpa sebarang bukti adalah cubaan Rafizi mengaitkan perbelanjaan Ihsan Perdana dan Datuk Seri Najib Razak dengan dana Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Tabung Haji.

6. KETIGA, Rafizi gagal membuktikan bahawa duit yang dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak datangnya dari SRC. Sebaliknya Rafizi hanya mampu menunjukkan kaitan SRC dengan syarikat Putra Perdana Construction (PPC) S/B dan Gandingan Mentari S/B. Pada waktu yang sama Rafizi gagal menjelaskan kenapa terdapat pembayaran yang dibuat oleh PPC sebanyak RM140 juta dan Permai Binaraya S/B sebanyak RM30 juta kepada SRC. Rafizi hanya mampu membuat andaian tanpa sebarang bukti bahawa duit tersebut datangnya dari Tabung Haji. Kecelaruan Rafizi jelas kerana sebelum ini dia mengandaikan RM43 juta ini datang dari KWAP, bukannya dari Tabung Haji.

7. KEEMPAT, Rafizi gagal membuktikan kaitan langsung antara SRC dengan syarikat Ihsan Perdana yang memang diketahui berperanan melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Apa yang ada cuma ANDAIAN bahawa duit yang masuk ke dalam Ihsan Perdana melalui Gandingan Mentari berasal dari SRC.

8. KELIMA, Ihsan Perdana memang diketahui terlibat dalam melaksanakan program-program CSR. Sebagai syarikat yang mengendalikan CSR, ia boleh menerima sebarang sumbangan dari pelbagai sumber (korporat dan individu) untuk program CSR yang dikendalikannya.

9. KEENAM, paling penting dalam kenyataannya pada 4 Mei 2017, Rafizi mengesahkan RM43 juta wang SRC tidak masuk ke dalam ke dalam akaun Datuk Seri Najib, sebaliknya Rafizi menyebut bahawa RM40 juta dipindahkan kepada Gandingan Mentari, seterusnya dipindahkan kepada Ihsan Perdana, seterusnya sebanyak 7 keping cek dikeluarkan kepada Mail Global Resources, sebuah syarikat perniagaan kepunyaan Arifin Ismail Shahul Hamid.

10. KETUJUH, benarkah ada wang dari SRC yang hilang atau dicuri? Seperti dongeng "wang 1MDB masuk akaun Datuk Seri Najib", Rafizi boleh mendakwa apa sekalipun, tetapi hakikatnya benarkah duit 1MDB hilang? Sehingga hari ini, 1MDB telah membuktikan bahawa bukan duit 1MDB yang hilang. Tiada wang 1MDB yang hilang ke dalam akaun Jho Low sebaliknya PetroSaudi mengesahkan wang tersebut diterima oleh subsidiarinya. Tiada juga bukti wang 1MDB hilang di Singapura. Seperti yang diketahui ramai, walaupun ada sejumlah perbicaraan dilaksanakan di Singapura, sehingga hari ini, 1MDB tidak pernah dipanggil sebagai saksi pendakwa. Jika benar wang 1MDB hilang, sudah pasti setidak-tidaknya ia perlu dipanggil untuk mengesahkan bahawa memang benar duitnya yang hilang, dicuri atau sebagainya. Dalam penceritaan Rafizi, kononnya wang SRC yang dicuri ini datangnya dari KWAP, kemudiannya diubah kepada Tabung Haji, dan disebut juga Tabung Haji ini adalah 'penyumbang' kepada SRC, melalui syarikat PPC dan Permai Binaraya. Adakah Rafizi mahu mengatakan wang Tabung Haji pula yang hilang? Jelas Rafizi celaru dan keliru.

11. KELAPAN, diketahui ada sejumlah dana yang disumbangkan oleh penderma Arab Saudi ke dalam akaun Datuk Seri Najib. Ini disahkan oleh SPRM dalam kenyataannya pada 3 dan 5 Ogos 2015. http://www.sinarharian.com.my/mobile/semasa/penjelasan-sprm-mengenai-isu-dana-rm2-6-bilion-1.416595. Berdasarkan surat tersebut, memandangkan sumbangan yang diberikan merupakan sumbangan peribadi kepada Datuk Seri Najib, ia boleh digunakan untuk sebarang tujuan termasuk untuk melaksanakan CSR dan sebarang kegiatan politik. Jika Rafizi cuba mengaitkan Yayasan Abrar dengan wang dari akaun peribadi Perdana Menteri sekalipun, kaitan ini sekadar mengesahkan bahawa wang tersebut memang digunakan untuk program CSR.

Tuesday, October 25, 2016

Menjawab pertanyaan dan perilaku aneh Husni dan Ezam


Ramai yang tanya saya bagaimana nak menjawab soalan 'maut' Husni Hanadzlah dan kenyataan Ezam Mohd Noor. Jawapan saya:-

1. Husni bertanya semasa sesi pembentangan usul di Dewan Rakyat. Memandangkan soalan ini ditanya oleh Husni semasa sidang Dewan Rakyat, maka lebih molek dan sesuai jika ia juga dijawab oleh Menteri di Dewan Rakyat semasa penggulungan nanti. Tidak sesuai pula jika mendahului menteri.

2. Bagaimanapun, suka dinyatakan bahawa Husni sendiri pernah menjawab soalan mengenai penubuhan 1MDB. Dalam kenyataan pada 20 Februari 2015, Husni menyebut, "1MDB ditubuhkan dengan matlamat jelas iaitu melabur dan membangun projek dalam bentuk jangka panjang yang mempunyai kepentingan strategik kepada ekonomi, dengan sasaran menjana kewangan dan kejayaan pada masa depan. Selepas berjaya menggabungkan sektor tenaga dan menjadi pengeluar tenaga bebas kedua terbesar di Malaysia serta meletakkan asas untuk pembangunan Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia, dua projek  yang akan mengubah rakyat dan ekonomi negara, syarikat ini adalah seiring dengan objektifnya." (lihat paparan skrin)


3. Ezam pula pada pandangan saya hanya makhluk yang sedang cuba menangguk di air keruh. Ezam secara jelas menyatakan dia tidak mempunyai akses terhadap fail berkaitan. Jika begitu kesnya, anggap sajalah, Ezam ini tidak mempunyai maklumat mengenai soal ini.

4. Dakwaan Ezam ini sejak dulu lagi ada bermacam-macam, termasuk cerita 6 kotak berisi dokumen rahsia. Bagaimanapun sampai sekarang, tiada sebarang bukti dikeluarkan dan tiada sesiapa pula yang didakwa berkaitan kotak tersebut termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

5. Sebenarnya bukan semua orang boleh mendapat akses kepada fail-fail tertentu, lebih-lebih lagi Ezam yang mempunyai sejarah mengkhianati kerajaan dan pernah membuat ugutan untuk membocorkan rahsia kerajaan. Jika saya yang mengendalikan fail tersebut, saya sendiri tidak akan menyerahkannya kepada Ezam. Bukan fail 1MDB saja, malah fail-fail lain pun tidak mungkin saya serahkan kepada seseorang yang berisiko tinggi.

6. Oleh kerana Ezam tidak mempunyai sebarang akses kepada fail berkaitan, maka tidak perlulah Ezam membuat sebarang dakwaan berdasarkan andaiannya semata-mata. Dalam soal SRC, SPRM telah membuat siasatan dan berhubung dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International dan berdasarkan laporan media, Peguam Negara pada 26 Januari 2016 menjelaskan bahawa tiada terzahir apa-apa kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan. Tiada sebarang keterangan yang menunjukkan Perdana Menteri menyalah gunakan kedudukannya. Manakala proses kelulusan pinjaman Lembaga KWAP dan proses kelulusan jaminan pinjaman oleh mesyuarat Jemaah Menteri pula dibuat secara teratur. Tiada sebarang keterangan yang menunjukkan Perdana Menteri meminta atau dijanjikan sebarang suapan daripada sebarang pihak sebelum, semasa, atau selepas keputusan Jemaah Menteri dibuat. Pihak SPRM sendiri mengakui bahawa berdasarkan hasil siasatan mereka, tiada keterangan daripada saksi-saksi yang boleh menunjukkan bahawa perdana menteri melakukan sebarang perbuatan rasuah. Panel Penilaian Operasi SPRM juga pada 26 Februari 2016 telah meminta SPRM melengkapkan siasatan mereka.

7. Berkenaan Laporan Audit Negara berkaitan 1MDB yang diklasifikasikan sebagai Rahsia Rasmi, Ketua Audit Negara telah menjelaskan bahawa beliau sendiri yang mengklasifikasikannya sebagai Rahsia selepas berlaku kebocoran laporan interimnya. Laporan Audit ini telah diteliti oleh PAC yang terdiri daripada Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang. Dapatan daripada Laporan Audit JAN ini juga ada disebut dan dimasukkan di dalam Laporan PAC setebal 106 muka surat.

8. Husni sepatutnya lebih beretika dan berintegriti dalam hal ini. Membuat pertanyaan berkaitan Kerajaan yang pernah dianggotainya dalam penggal ini, lebih-lebih lagi yang berkaitan portfolionya sendiri sebenarnya agak janggal, tidak beretika dan berintegriti. Lebih-lebih lagi jika ada di antara pertanyaan tersebut pernah dijawab oleh Husni sendiri sebelum ini. Sebagai mantan Menteri Kewangan II dan bekas jurucakap kerajaan dalam hal 1MDB, sepatutnya dia sudah tahu serba serbi berkenaan 1MDB, lebih-lebih lagi pertanyaan yang pernah dijawabnya sebelum ini.

9. Ezam pula bagaimana? Abaikan sahaja makhluk yang sudah tiada kredibiliti kerana fantasi 6 kotak dokumen rahsia yang dijajanya selama ini...

Popular Posts