Showing posts with label Pemilihan UMNO. Show all posts
Showing posts with label Pemilihan UMNO. Show all posts

Tuesday, October 22, 2013

#PemilihanUMNO - Barisan Transformasi @NajibRazak atau barisan cai ?


Terima kasih kepada 19,963 perwakilan yang mengundi saya daripada 19 bahagian.


1. Ada wartawan menelefon saya kerana merasakan barisan Majlis Tertinggi yang ada tidak ada wow faktor dan tidak mencerminkan perubahan di dalam UMNO.

2. Saya nyatakan dia merasakan begitu kerana persepsi. Persepsi itu tidak begitu tepat

3. Justifikasi saya, pertama, dalam MT sebenarnya ada golongan muda dan muka baru. 3 daripada 4 wakil Pergerakan Pemuda dipilih oleh perwakilan, iaitu Datuk Razali Ibrahim, Datuk Seri Reezal Merican dan Datuk Sohaimi Shahadan. Salah seorang lagi muka baru yang diminati rakyat adalah Datuk Rahman Dahlan. Maksudnya perwakilan tidak menolak orang muda muka baru di dalam Majlis Tertinggi. Cuma mungkin jumlahnya tidak ramai maka persepsi orang menyatakan UMNO menolak orang muda dan muka baru. Tapi itu hanya persepsi.

4. Dalam kes Naib Presiden, tidak wajar mendakwa UMNO tidak berubah hanya kerana lebih banyak bahagian di seluruh negara yang masih mahu mengekalkan 3 Naib Presiden yang telah teruji. Umum wajar mengakui hakikat bahawa demokrasi begitu diraikan di dalam UMNO apabila pemimpin muka baru, Datuk Mukhriz Mahathir mendapat sambutan yang luar biasa. Bezanya cuma lebih banyak bahagian yang mahukan tiga penyandang kekal sebagai Naib Presiden.

5. Kedua, persepsi itu terbina sebab mungkin kerana dia melihat balik-balik muka menteri itu dan ini serta timbalan menteri yang sama tersenarai. Dia mungkin sudah terlalu biasa dengan muka Menteri dan Timbalan Menteri ini sehingga merasakan balik-balik muka yang sama tersenarai.

6. Dan, ketiga, saya katakan kepada wartawan itu, saya yakin dia berpandangan bahawa MT itu masih muka yang sama dan tidak berubah kerana masih ada beberapa personaliti yang tidak diminatinya tetap terpilih di dalam MT. Sebab itu dia rasa begitu. Apa yang saya katakan itu, diakuinya. Sekali lagi ini hanya persepsi.

7. Cuma dalam pemilihan kali ini, ramai yang mengakui akan kepentingan cai dalam menentukan pemilihan MT dan Exco Sayap. Oleh kerana ramai yang terlalu sibuk dengan pemilihan bahagian dan memberi tumpuan kepada pemilihan bahagian, apabila tiba waktu untuk memilih anggota MT, ramai perwakilan yang hanya akan memilih berdasarkan cai yang diberi lebih-lebih lagi kerana terlalu ramai yang bertanding di peringkat MT yang masih belum mereka kenali. Paling tidak pun mereka akan menukar beberapa nama di dalam cai untuk memasukkan pemimpin yang mereka minati dan selebihnya mereka akan mengikuti cai.

8. Saya sendiri akui, melainkan di Putrajaya, di mana majoriti perwakilan mengenali saya, di 18 bahagian lain, saya juga menerima undi kerana nama saya tersenarai di dalam cai. Saya tidak menerima undi juga kerana cai. Dalam banayak bahagian, termasuk di Putrajaya, jika nama tidak tersenarai di dalam cai bahagian, nama besar dan Timbalan Menteri pun akan tertinggal dari dipilih oleh perwakilan. 

9. Ini pemilihan pertama dengan jumlah perwakilan seramai 146,000 orang. Ini juga pertama kali, UMNO menggunakan sistem terbuka, tanpa pencalonan, yang membolehkan begitu ramai pemimpin menawarkan diri. Ini juga kali pertama, ramai perwakilan di peringkat cawangan merasa `kuasa' untuk memilih. Jangan harapkan semuanya akan begitu lancar dan sempurna. Perubahan dan transformasi sedang mengambil tempat di dalam UMNO. Cuma jangan mengharapkan perubahan total kerana perubahan tidak berlaku dalam sekelip mata. "Rome was not built in one day" dan Al-Quran juga menyebut bahawa alam ini diciptakan dalam masa 6 hari atas hikmah yang tersendiri. 

10. Cai ataupun bukan cai, apapun 146,000 perwakilan dari 191 bahagian, termasuk di peringkat cawangan telah membuat pilihan. Maka 25 orang ahli Majlis Tertinggi dan 3 Naib Presiden memikul amanah 146,000 perwakilan yang mewakili hasrat 3 juta ahli UMNO, termasuklah di peringkat cawangan. Mereka bukan lagi sekadar mendapat mandat 2,800 orang perwakilan di PWTC yang keputusan mereka boleh membelakangi akar umbi jika terlalu kuat faktor tolak dan tarik di saat akhir pemilihan di PWTC.

11. Pada waktu yang sama, 146,000 perwakilan ini, termasuk saya juga perlu bertanggung jawab kerana ini pilihan kita semua. Tidak boleh lagi mengatakan ini pilihan 2,800 perwakilan yang ada kalanya mengkhianati kehendak akar umbi akibat gelap mata dan hilang ingatan semasa di PWTC. Kalau betul pilihan mereka ini, maka mereka harus bersyukur kerana telah menunaikan amanah memilih pemimpin yang baik untuk mengukuhkan parti. Jika pemimpin parti ini lemah, malas dan tidak berfungsi, maka 146,000 ini juga mesti memikul tanggung jawab kerana tersalah memilih pemimpin mereka di peringkat pusat.

12. Begitu juga lah keadaannya di bahagian-bahagian dan negeri-negeri. Orang dari bahagian lain tidak mampu mengubah keputusan perwakilan di bahagian. Jika bahagian anda gagal berhadapan dengan rakyat dan pembangkang dalam PRU14, bukan salah orang lain, tetapi salah perwakilan bahagian tersebut, kerana terus menerus memilih mereka yang gagal

13. Pemilihan sudah selesai, masa untuk buat kerja. Mereka yang menang kena segera buat kerja dan yang kalah kena turut serta. Ujian pertama di Sg Limau. Anggota MT, Anggota Jawatankuasa Sayap Pusat, Ahli Jawatankuasa Bahagian, Ketua Cawangan, Ketua Sayap Bahagian dan ketua sayap cawangan, jangan terus khayal dengan keseronokan memenangi jawatan. Ini masa untuk membuktikan kita ini berbaloi dipilih oleh perwakilan. Bagi yang terpilih tetapi tidak pernah ada pengalaman turun bekerja dalam Pilihan Raya Kecil, inilah masa untuk anda belajar dan mengumpul pengalaman sebelum PRU14.

14. Terima kasih kepada 19,963 perwakilan yang mengundi saya dari 19 bahagian. Seperti yang saya ikrarkan, menang atau kalah, perjuangan tetap diteruskan.

Saturday, October 19, 2013

#PemilihanUMNO : @tunfaisal - Majlis Tertinggi bukan platform Kerajaan, tapi platform parti..



Bezakan kerja parti dengan kerja kerajaan..

Jemaah Menteri adalah pelaksana kepada dasar dan gerak kerja kerajaan. Pendekatan, bahasa dan nadanya adalah pendekatan, bahasa dan nada kerajaan. Majlis Tertinggi adalah platform parti, pendekatan, bahasa dan nadanya adalah pendekatan, bahasa dan nada parti. Majlis Tertinggi tidak seharusnya menjadi duplikasi atau `mirror image' kepada Jemaah Kabinet. Jika itu berlaku, maka tiada input baru. Kerajaan perlu melaksanakan dasar yang telah ditetapkan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Majlis Tertinggi perlu menjadi watchdog bagi memastikan Jemaah Menteri melaksanakan dasar seperti mana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan dan dasar-dasar parti.

Majlis Tertinggi tidak boleh dibarisi oleh hanya Jemaah Menteri yang sibuk dengan tugas pentadbiran dan Ahli-ahli Parlimen yang akan terikat dengan sidang Parlimen ketika ia bersidang. Perlu ada pemimpin yang dapat mengisi vakum yang ditinggalkan oleh anggota pentadbiran dan ahli Parlimen semasa mereka sibuk menguruskan tugas-tugas pentadbiran dan sidang Parlimen.

Kerja kita banyak. Golongan sasar yang perlu didampingi ramai. Tetapi platform kita terhad. Ia akan menjadi lebih terhad apabila platform kerajaan dan parti dibarisi oleh pemimpin yang sama.

Majlis Tertinggi memerlukan pemimpin yang boleh bekerja untuk parti, memberi nilai tambah kepada parti dan melaksanakan kerja parti. Majlis Tertinggi memerlukan pemimpin yang boleh bersuara menggunakan bahasa dan nada parti.

Adakah barisan kepimpinan Majlis Tertinggi boleh menyakinkan ahli UMNO dan rakyat? Adakah barisan kepimpinan Majlis Tertinggi yang baru ini akan mempunyai WOW factor atau membawa harapan dan tarikan baru kepada ahli parti dan rakyat Malaysia? Atau adakah kita akan terus disajikan dengan barisan lama? 

Hari ini para perwakilan UMNO akan memilih.

Mereka yang akan menentukan sama ada Majlis Tertinggi akan mempunyai imej baru dan daya tarikan baru atau ia Majlis Tertinggi yang biasa-biasa saja. 

Semoga para perwakilan UMNO memilih barisan yang dapat memperkukuhkan parti dan menyakinkan bagi berhadapan dengan pembangkang dan rakyat dalam PRU ke-14.


Friday, October 18, 2013

#PemilihanUMNO : Cai beri petunjuk saya masih underdog.....



Terima kasih kerana menyenaraikan saya dalam CAI ini.

Ramai yang telah membuat cai masing-masing. Ada di antara CAI ini telah disebarkan melalui pelbagai medium. Terima kasih kepada semua yang menyenaraikan nama saya. Bagi yang tidak menyenaraikan nama saya, saya amat berharap agar para perwakilan dapat membantu saya dengan TETAP mengundi CALON MT NO 60 pada hari esok.

Berdasarkan trend CAI amat penting ada pemilihan kali ini disebabkan pemilihan di peringkat bahagian juga berlaku secara serentak. Dalam pemilihan sayap yang lepas, ramai yang lebih memberi tumpuan kepada pertandingan di bahagian dan apabila ketika mereka ingin mengundi untuk pemimpin pusat, minda mereka terlalu penat untuk memikirkan siapa yang patut dipilih, lebih-lebih lagi apabila ramai perwakilan di peringkat cawangan yang tidak benar-benar mengenali calon pusat.

Mereka mungkin tidak melihat pun buku senarai calon-calon yang diberi, sebaliknya memilih berdasarkan CAI yang diterima.



Cai perwakilan di zon selatan ini tidak menyenaraikan saya.



Cai perwakilan di zon tengah ini juga tidak menyenaraikan saya.



Terima kasih kepada perwakilan negeri di zon utara ini yang menyenaraikan saya walaupun di tempat terakhir. Janji dalam senarai... 






Terima kasih kepada perwakilan yang menyenaraikan saya, pemimpin-pemimpin wakil Pemuda UMNO , Datuk Razali Ibrahim, Datuk Seri Reezal Merican, Datuk Sohaimi Shahadan dan juga calon Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Tidak perlu berkecil hati dengan cai-cai yang dikeluarkan ini. Perwakilan boleh menggunakannya sebagai panduan. Akhirnya, ia adalah pilihan perwakilan sendiri. 

Pindaan Perlembagaan UMNO Tahun 2009 telah memberikan kuasa memilih kepada semua perwakilan. 

Pada pandangan saya, Majlis Tertinggi UMNO perlu berupaya membawa ASPIRASI PARTI dan tidak terlalu terikat dengan aspirasi kerajaan. Selain anggota pentadbiran, Majlis Tertinggi UMNO perlu juga dibarisi oleh pemimpin yang boleh membawa aspirasi parti dan akar umbi di dalam UMNO.

Pilihlah calon yang anda rasa boleh membantu memperkukuhkan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya ke-14, yang boleh buat kerja untuk parti, yang ada masa untuk membuat kerja atas platform parti, yang boleh bersuara dalam nada parti, bukan semata-mata memilih mereka kerana kepentingan diri, bahagian dan kelompok kita.

Selamat memilih, mudah-mudahan pilihan kita semua dapat mengukuhkan parti bagi menghadapi PRU ke-14. Semoga pilihan kita diberkati dan mampu meningkatkan keyakinan dan menarik minat rakyat untuk terus memilih UMNO dan BN bagi mentadbir negara ini.


Thursday, October 10, 2013

#PemilihanUMNO : Tak faham semangat dan tujuan sebenar pindaan Perlembagaan UMNO 2009?


Saya adalah di antara saksi hidup yang pernah terlibat dalam membantu Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan dan berada di dalam dewan semasa usul meminda Perlembagaan UMNO dibentangkan. Sedikit sebanyak saya mempunyai memori dan memahami tentang hasrat dan semangat sebenar pindaan perlembagaan ini. Ucapan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pernah saya siarkan pada 16 Oktober 2009 dan saya paparkan.

Menghayati semangat Pindaan Perlembagaan UMNO, teks penuh ucapan Datuk Seri Hishammuddin

dimuat naik pada tarikh 16 Oktober 2009

Alhamdulillah, langkah pertama transformasi UMNO telah dimulakan apabila Usul Pindaan Perlembagaan diluluskan semalam. Saya suka hendak menulis panjang mengenainya tetapi mungkin elok untuk saya biarkan pembaca membaca ucapan pembentang usul tersebut bagi pihak Majlis Tertinggi UMNO, iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya rakan-rakan semua dapat menghayati semangat dan roh di sebalik pindaan ini. Apa yang penting, UMNO telah memulakan langkah yang amat penting ini dan berresponsif dengan kehendak akar umbi dan rakyat. Bagi saya, ianya satu detik yang bersejarah dalam UMNO; saya merasa amat terharu dan bangga kerana menjadi salah seorang daripada lebih 2000 orang perwakilan yang terlibat meluluskan pindaan tadi demi survival UMNO, bagi menjadikannya terus relevan dan demi masa depannya yang lebih cemerlang.

MENJANA TRANSFORMASI

YBhg Datuk Pengerusi Tetap

1. Sebentar tadi kita telah mendengar dan menghayati dengan penuh tekun akan harapan, hasrat dan cita-cita besar Presiden kita, YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak untuk melakukan transformasi demi memastikan kelangsungan dan survival parti yang kita semua sayangi ini. Kita perlu segera berubah. Semua tahu bahawa kita tiada pilihan. Berubah atau rebah. Tranformasi yang dimaksudkan menuntut perubahan dari segi sikap kita sebagai ahli dan perubahan dari segi struktur organisasi. Ianya perlu bersifat drastik, berani dan menunjukkan bahawa UMNO benar-benar serius untuk melakukan perubahan. Yang akan menilai kesungguhan untuk melaksanakan perubahan ini bukan semata-mata kita dalam umno sahaja tetapi rakyat di luar sana. Seperti yang sering diingatkan oleh YAB Presiden, “tidak guna kita pegang jawatan dalam parti jika kita tidak ada kuasa”.

2. Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Parti yang diamanahkan oleh Majlis Tertinggi UMNO, berdirinya saya di sini adalah untuk menyempurnakan tanggungjawab bagi memenuhi tuntutan kepada transformasi besar ini. Ianya merupakan amanah yang begitu berat kerana pindaan-pindaan yang dikemukakan ini adalah semata-mata bertujuan untuk memperkukuh parti, memperteguh lunas-lunas demokrasi serta menghak-upayakan ahli-ahli parti agar UMNO menjadi lebih terbuka, lebih inklusif dan lebih demokratik.

3. Insya-Allah apabila diluluskan nanti, pindaan kepada perlembagaan UMNO ini bakal mencatat sejarah paling bermakna, paling drastik dan paling berani pernah dilakukan sepanjang tempoh 62 tahun kewujudan parti keramat UMNO kita ini.

Datuk Pengerusi Tetap,

4. Izinkan saya memberikan sedikit latar belakang kepada usaha penyediaan usul pindaan perlembagaan UMNO yang akan kita bahaskan hari ini. Untuk makluman sidang perwakilan, saya dan seluruh Ahli Jawatankuasa telah memulakan gerakerja seawal 30hb Mei 2009 dengan meminta maklum balas sewaktu Persidangan Cawangan berlangsung dan disusuli pula dengan maklum balas ketika bahagian-bahagian bermesyuarat.

5. Jawatankuasa kemudiannya telah bermesyuarat beberapa kali untuk menyediakan draf awal cadangan pindaan perlembagaan ini, sebelum draf ini diangkat untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Parti, yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Presiden, sebanyak tiga (3) kali.

6. Draf ini kemudiannya dibentangkan kepada Majlis Tertinggi pada 11hb September dan secara prinsipnya telah dipersetujui dan telah diputuskan untuk ianya diperhalusi lagi oleh mesyuarat Biro Politik, yang dipengerusikan oleh YAB Presiden sendiri, dan turut dianggotai oleh semua Pengerusi Badan Perhubungan Negeri-Negeri.

7. Langkah penyediaan tidak terhenti di sini dan bagi memastikan semua Ketua Bahagian mendapat maklumat mutakhir tentang draf ini, saya telah diminta untuk memberi taklimat kepada mereka di Kursus Orientasi Perdana di Janda Baik, di mana dalam taklimat tersebut ia turut dihadiri oleh pimpinan tertinggi sayap-sayap parti.

8. Malah sebelum dibentangkan di dalam Perhimpunan Agung Khas ini pun, draf tersebut telah dibawa ke mesyuarat khas yang dihadiri oleh wakil-wakil Negeri pada pagi semalam. Akhirnya cadangan pindaan perlembagaan yang saya bentangkan ini telah mendapat persetujuan Majlis Tertinggi yang bermesyuarat malam semalam. Keseluruhan proses ini dilakukan agar cadangan pindaan ini dapat disediakan dengan sebaik mampu. Untuk makluman, sebanyak 36 Fasal dan sub-Fasal terlibat dalam cadangan ini yang boleh saya rumuskan kepada 7 perkara.

i. Perluasan jumlah perwakilan

ii. Penghapusan kuota

iii. Penambahan bilangan Ahli Jawatankuasa Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan lantikan;

iv. Penubuhan Jawatankuasa Pemilihan UMNO;

v. Penghapusan Yuran Tahunan;

vi. Pendaftaran Keahlian;

vii. Pengiktirafan kepada Setiausaha Bahagian;

9. Bagi memudahkan Sidang Perwakilan menyemak fasal-fasal berkaitan dengan setiap perkara yang akan disentuh sebentar lagi, pihak ibu pejabat ada membekalkan Buku Usul Pindaan Perlembagaan UMNO (berwarna merah) beserta addendumnya dan Ringkasan Usul Pindaan sebagai rujukan kepada semua perwakilan.

Datuk Pengerusi Tetap,

10. Di sini izinkan saya mengupas dan mengulas fasal-fasal pindaan yang telah saya bentangkan sebentar tadi yang merupakan fasal-fasal yang dipinda, fasal-fasal yang perlu dimansukh dan fasal-fasal baru merealisasikan 7 perkara yg saya sebutkan tadi.

11. Perkara pertama adalah berkaitan dengan perluasan jumlah perwakilan. Tujuan pindaan ini adalah bagi menjadikan UMNO lebih inklusif dengan menghakupayakan ahli-ahli di peringkat akar umbi, sekaligus akan menjadikan UMNO lebih demokratik dalam soal pemilihan. Ia juga berdasarkan kepada maklum balas yang diterima, rata-rata berpandangan bahawa UMNO perlu melebarkan jumlah perwakilan dalam proses pemilihan pemimpin tertinggi dengan mengembalikan hak memilih kepada lebih ramai ahli selaras dengan semangat dan roh parti UMNO itu sendiri.

12. Mengambil Majlis Tertinggi sebagai contoh, jika sebelum ini, pemilihan ahli Majlis Tertinggi hanya dibuat oleh 2,510 orang perwakilan, maka adalah dicadangkan agar seramai 146,500 orang perwakilan akan terlibat dalam proses membuat pemilihan ini pada masa akan datang.

13. Jumlah 146,500 ini adalah berdasarkan kepada anggaran jumlah perwakilan mengikuti formula berikut:

i. secara purata diandaikan terdapat seramai 500 orang perwakilan di dalam satu Bahagian yang ada pada hari ini. Maka, 500 orang x 191 bahagian bersamaan 95,500 orang.

ii. cadangan untuk memberi taraf perwakilan secara automatik kepada ketua sayap-sayap cawangan dengan mengambil kira secara purata terdapat 17,000 cawangan yang ada hari ini, maka, 3 orang ketua sayap-sayap x 17,000 cawangan bersamaan 51,000 orang. Justeru, 95,500 campur 51,000 menjadikan jumlah keseluruhan seramai 146,500 orang pemilih.

14. Langkah ini akan memberi pengiktirafan kepada suara dan peranan ketua pergerakan sayap-sayap cawangan dan perwakilan di peringkat bahagian untuk terlibat sama dalam pemilihan pemimpin di peringkat tertinggi parti semasa mesyuarat bahagian.

15. Majlis Tertinggi sedia maklum bahawa perubahan cadangan ini telah menarik minat ahli tentang urusan logistik dan kos pelaksanaannya yang akan melibatkan jumlah yang lebih besar. Sukacita, saya memaklumkan bahawa sebuah Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan bagi menangani perkara ini yang akan saya perjelaskan sebentar nanti. Inilah di antara perkara yang amat ditunggu-tunggu oleh ahli akar umbi dan rakyat. Apabila diluluskan nanti, pindaan ini bakal mencatatkan sejarah kerana tiada mana-mana pemimpin, khususnya yang berkuasa mentadbir negara sanggup mengubah sistem yang meletakkan mereka di persada kuasa. Jelas ini adalah manifestasi sikap keterbukaan dan demokratik pemimpin UMNO terhadap citarasa serta harapan ahli parti dan rakyat, dan apabila dipersetujui, saya percaya ianya tidak akan mengecewakan kerana ianya merupakan penambahan 5,800 peratus (5,800%) dari jumlah perwakilan yang sedia ada.

Datuk Pengerusi Tetap,

16. Perkara kedua, adalah perkara yang berhubung kait dengan penghapusan sistem kuota. Tujuan pindaan ini adalah untuk menjadikan UMNO lebih demokratik dan membuka ruang seluas-luasnya kepada ahli parti untuk bertanding, manakala sekatan-sekatan dalam melayakkan seseorang ahli menawarkan diri untuk bertanding akan dihapuskan.

17. Walaupun Majlis Tertinggi bersetuju secara prinsipnya dengan cadangan Jawatankuasa termasuk berkaitan kriteria kelayakan calon-calon, namun ia mencadangkan agar hanya kriteria kelayakan minimum sahaja dikenakan untuk melayakkan seseorang menawarkan diri bertanding bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden. Rasional Majlis Tertinggi ini adalah untuk melindungi institusi Presiden dan Timbalan Presiden kerana secara adatnya, mereka berdua merupakan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri negara.

18. Tetapi apabila cadangan ini dibawa kepada Biro Politik, kedua-dua penjawat sekarang, YAB Dato’ Seri Mohd Najib dan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan ini dan berpendirian bahawa mereka berdua tidak memerlukan apa-apa perlindungan dan tidak akan berselindung di sebalik syarat yang dicadangkan itu.

19. Walaupun demikian, bagi memastikan agar calon-calon dapat melalui proses kepimpinan parti di samping membolehkan mereka menghayati persekitaran politik akar umbi serta menjiwai semangat perjuangan parti yang sebenar sebelum menawarkan diri, maka satu kelayakan minimum dicadangkan untuk diwujudkan, di mana;

i. bagi mana-mana ahli yang ingin bertanding untuk mana-mana jawatan Ahli Majlis Tertinggi, mereka hendaklah mendaftarkan diri dan pernah memegang mana-mana jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Jawatankuasa Bahagian selama satu penggal.

ii. Manakala bagi ahli-ahli yang ingin bertanding untuk jawatan Ahli Jawatankuasa Bahagian, mereka hanya perlu menjadi ahli parti selama tiga tahun.

Datuk Pengerusi Tetap,

20. Perkara ketiga adalah untuk membolehkan pelantikan tambahan seorang lagi Wakil Wanita dalam Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan.

21. Kita amat mengiktiraf peranan yang telah dimainkan oleh seluruh warga Pergerakan Wanita terhadap UMNO. Sanjungan serta penghormatan sangat wajar diberikan kepada mereka di atas pengorbanan dan khidmat bakti yang telah diberikan kepada parti. Sumbangan Wanita memang cukup besar dan tidak kita nafikan. Justeru di atas prinsip inklusif dan untuk mengiktiraf sumbangan dan peranan Wanita selama ini, maka dicadangkan bahawa tambahan seorang lagi wakil Wanita untuk jawatan Ahli Jawatankuasa lantikan di peringkat Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan.

22. Namun begitu, bagi tidak menjejaskan kuasa lantikan Presiden, Ketua Bahagian atau Ketua Cawangan, maka dicadangkan supaya jumlah keseluruhan bilangan Ahli Jawatankuasa lantikan di peringkat Majlis Tertinggi ditambah daripada 12 kepada 13 orang, di peringkat bahagian daripada 7 kepada 8 orang dan di peringkat cawangan daripada 5 kepada 6 orang. Pindaan ini akan menambah suara Wanita di peringkat cawangan sehinggalah ke peringkat tertinggi parti.

Datuk Pengerusi Tetap,

23. Perkara keempat adalah mengenai penubuhan Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU).

24. Sama ada disukai atau tidak, hari ini, UMNO sedang dibelenggu oleh persepsi yang negatif sewaktu kita menjalani pemilihan parti. Di peringkat parti, pelbagai usaha telah dijalankan bagi memerangi persepsi negatif ini. Salah satu cadangannya adalah dengan melaksanakan mesyuarat perwakilan bahagian-bahagian seluruh negara pada tahun pemilihan secara serentak. Dengan kaedah ini, ia akan mengatasi persepsi negatif tadi agar kita boleh memberi tumpuan kepada tugas-tugas parti berbanding kempen yang berpanjangan.

25. Kita memahami dan menyedari bahawa mungkin timbul perkara-perkara yang berhubung kait dengan masalah kos pelaksanaan, pentadbiran, penyelarasan, perjalanan dan pengawal seliaan sewaktu pemilihan. Di atas kesedaran itu satu jawatankuasa khas yang akan diinstitusikan di peringkat UMNO pusat yang dikenali sebagai Jawatankuasa Pemilihan UMNO akan ditubuhkan untuk menyelaras perkara-perkara yang menjadi kerisauan ahli-ahli. Malah di dalam taklimat Presiden, Presiden telah menyatakan bahawa perkara ini akan ditangani dengan sebaik-baiknya.

Datuk Pengerusi Tetap,

26. Perkara kelima bertujuan untuk menghapuskan yuran tahunan dan menggantikannya dengan yuran seumur hidup.

27. Berdasarkan statistik ibu pejabat terdapat 27,000 kes diterima dan di antara aduan yang paling kerap timbul adalah berkaitan dengan pembayaran yuran tahunan, khususnya semasa tahun pemilihan. Hal ini tidak sepatutnya berlaku. Justeru dicadangkan agar yuran tahunan dihapuskan dan digantikan dengan yuran seumur hidup sebanyak RM2 kepada ahli baru. Ini dapat mengurangkan pelbagai aduan berkaitan soal yuran dan mengelakkan permasalahan atau pertikaian tentang keahlian daripada berlaku.

28. Berikutan pindaan ini, sekiranya diterima, tuan-tuan dan puan-puan sidang perwakilan semua, secara automatik telah menjadi ahli seumur hidup.

Datuk Pengerusi Tetap,

29. Perkara keenam adalah membenarkan ketua-ketua sayap untuk menerima keahlian.

30. Walaupun pelbagai pindaan telah dibuat sebelum ini terhadap pendaftaran keahlian, masih kedengaran ramai yang menimbulkan soal kesukaran utk menadi ahli UMNO. Benar atau tidak, ianya menjadi bahan perbualan dan malangnya ia menjadi senjata untuk menyerang kita. Justeru kita mencadangkan proses penerimaan keahlian diperluaskan kepada semua ketua sayap-sayap.

Dengan menghakupayakan ketua sayap-sayap, diharapkan agar kelulusan permohonan ahli dapat dibuat dengan lebih cepat dan seterusnya mengupayakan Ketua sayap-sayap bagi sama-sama memikul tanggung jawab menarik keanggotaan lebih ramai ahli di kalangan golongan sasar tersebut, khususnya golongan muda dengan harapan mereka akan merasa terpanggil untuk menyertai dan berkhidmat untuk parti.

Datuk Pengerusi Tetap,

31. Perkara ketujuh dan terakhir adalah untuk memberikan taraf perwakilan secara automatik kepada Setiausaha Bahagian bagi menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan. Ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada Setiausaha Bahagian-bahagian yang menjadi tonggak pentadbiran parti. Dengan lulusnya cadangan pindaan ini, jumlah perwakilan UMNO akan bertambah seramai 191 orang lagi.

Datuk Pengerusi Tetap,

32. Kesemua cadangan-cadangan di atas terkandung dalam tujuh (7) perkara teras pindaan yang saya kemukakan sebentar tadi. Ia bertujuan untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah kita bagi melaksanakan transformasi dalam parti. YAB Timbalan Presiden menyatakan di dalam ucapan perasmian sayap-sayap Pemuda, Wanita dan Puteri bahawa tanda aras kepada perubahan ini bukan hanya ditentukan oleh kita, ahli-ahli parti sahaja, tetapi ia hanya diterima sebagai berjaya dan terlaksana, hanya jika rakyat dapat merasakan bahawa UMNO benar-benar berubah menjadi lebih inklusif, terbuka dan demokratik.
33. Bagi pihak Majlis Tertinggi, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas sokongan padu yang diberikan oleh pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO kepada cadangan Pindaan Perlembagaan ini semasa persidangan masing-masing semalam.

Datuk Pengerusi Tetap,

34. Suka tidak suka, rakyat mengikuti rapat perkembangan yang berlaku di dalam UMNO, terutama tatkala pemilihan parti dijalankan. Saya yakin rakyat terutamanya orang-orang Melayu masih sayangkan UMNO, apatah lagi UMNO telah banyak berjasa kepada Agama, Bangsa dan Negara. Tambahan pula Presiden UMNO juga merupakan Perdana Menteri kepada seluruh rakyat. Sudah tentulah harapan mereka untuk kita melaksanakan tugas dan amanah ini perlu segera kita penuhi. Kesemua cadangan ini perlu kita jayakan secara kesatuan niat dan tekad. Saya yakin apa yang kita lakukan hari ini, nescaya, akan dikenang sebagai pengorbanan dan sumbangan yang paling besar kepada Agama, Bangsa. Tanah Air, ahli-ahli UMNO dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Ya Allah – penuhilah cita-cita dan harapan kami ini. Amin ya Rabbal Alamin.

Ybhg Datuk Pengerusi Tetap, saya mohon mencadangkan.


Tuesday, October 8, 2013

#PemilihanUMNO Awani : @tunfaisal - Perlu ada pemimpin yang boleh mengisi vakum gerak kerja parti




UMNO perlukan pemimpin di peringkat tertinggi yang tidak terikat dengan tugas-tugas pentadbiran dan boleh membawa nada parti serta melaksanakan gerak kerja parti secara konsisten dan berkesan.

Ahli MT bukan menteri dapat bantu gerak kerja parti - Tun Faisal


KUALA LUMPUR: Calon ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Tun Faisal Ismail Aziz berpendapat bahawa kehadiran anggota MT yang tidak terikat dengan pentadbiran kerajaan ataupun Parlimen adalah penting kerana ia memastikan gerak kerja parti dapat dilaksanakan secara berterusan dan berkesan.


Jelas beliau yang juga Pengerusi Unit Media Baru (UMB) Pemuda UMNO Malaysia, ahli yang tidak terlibat dalam urusan pentadbiran kerajaan mahupun Parlimen boleh membantu mengisi kekosongan vakum yang tidak dapat diisi oleh pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO sebelum ini.

"Untuk bertemu dengan rakyat... untuk berhadapan dengan pembangkang dan juga untuk melaksanakan program di peringkat gerak kerja parti secara berterusan dan berkesan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.




Ditanya sama ada ahli MT yang terlalu ramai dalam pentadbiran kerajaan dan juga Parlimen merupakan satu kelemahan kepada parti, beliau berkata perlu ada keseimbangan di antara kedua-duanya.

"Dia perlu ada keseimbangan di sini. Kita perlukan juga anggota pentadbiran dalam MT, kita perlu juga ada ahli Parlimen dalam MT... kita juga perlukan orang-orang yang tidak terikat dengan tugas-tugas pentadbiran dan Parlimen, kerana waktu Parlimen bersidang ataupun waktu banyak tugas-tugas pentadbiran perlu dilakukan dalam kerajaan, gerak kerja parti akan terabai.

"Jadi kita perlukan orang-orang yang boleh buat gerak kerja parti secara berterusan," katanya.

Selain itu, jelas Tun Faisal mereka yang tidak terikat dengan tugas-tugas pentadbiran juga boleh bercakap dengan nada parti dan bukan dalam nada kerajaan.

Sementara itu, beliau berpandangan bahawa pertemuan secara dialog adalah lebih baik berbanding dengan perdebatan di antara calon-calon naib presiden dalam pemilihan UMNO nanti.

Katanya, perbincangan dalam bentuk dialog dapat menggalakkan suasana kekeluargaan dan saling hormat menghormati.





Bagaimanapun beliau tidak menentang sekiranya perdebatan secara sihat diadakan, menyifatkannya ia bagus jika dilaksanakan.


"Kalau boleh diadakan ia bagus tetapi dalam bentuk dialog berbanding perdebatan kerana ini menggalakkan suasana kekeluargaan dan saling hormat menghormati," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Namun katanya ia juga tidak menjadi masalah sekiranya tidak dilaksanakan kerana ada yang berpandangan bahawa cara tradisi iaitu dengan turun berjumpa perwakilan lebih mempunyai sentuhan peribadi.

"Bagi saya kita patut raikan kalau sempat alhamdulillah kita buat, kalau ada yang lebih yakin dengan cara tradisi kita serahkan kepada kebijaksanaan calon yang mengendalikan gerak kerja kempen masing-masing," tambahnya.

Baru-baru ini,  ahli Veteran Umno, Tun Musa Hitam mencadangkan agar keenam-enam calon naib presiden dalam Pemilihan Umno 2013 ditemukan dalam satu perdebatan melalui televisyen.

Kata beliau, perdebatan itu sesuai dengan transformasi Umno dalam sistem pemilihan barunya sempena proses yang bakal berlangsung pada 19 Oktober ini.


Berita mula diterbitkan pada: Oktober 08, 2013 07:00 (MYT)

Tag: tun faisal, umno, pemilihan, majlis tertinggi, mt, umb


#PemilihanUMNO Alhamdulillah, saya dapat bertanding. Terima kasih @KhairyKJ @TengkuAdnanREAL


Syukur alhamdulillah dan terima kasih Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia YB Razali Ibrahim, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, YB Datuk Rosnah Shirlin Rashid, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Tan Sri Haji Mohammad Tajol Rosli bin Tan Sri Mohamed Ghazali, Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Khas Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, rakan-rakan di dalam kepimpinan Pemuda, Puteri, Wanita dan UMNO, rakan-rakan dalam Unit Media Baru (UMB), rakan-rakan mahasiswa, rakan-rakan blogger dan cybertroopers, rakan-rakan dalam kepimpinan UMNO Putrajaya dan rakan-rakan media arus perdana serta portal online di atas sokongan, bantuan dan doa. Semoga Allah swt memberi rahmat dan ganjaran yang setimpal dengan budi baik semua yang disebutkan dan yang tidak disebutkan di atas.

Keputusan ini membuktikan bahawa Jawatankuasa Pemilihan mengambil kira merit cadangan daripada Pergerakan Pemuda UMNO sekaligus menunjukkan bahawa institusi Pemuda UMNO dihormati dan pandangan Pemuda, khususnya Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia YB Khairy Jamaluddin diambil kira dan diberi pertimbangan yang tinggi.
Keputusan ini juga secara tidak langsung menerima bahawa seorang Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mempunyai merit untuk bertanding di peringkat Majlis Tertinggi berdasarkan sumbangan, pengalaman dan kedudukan jawatan tersebut di dalam heiraki parti.

Kejayaan rayuan ini bukan kejayaan untuk saya bertanding semata-mata, tetapi kemenangan Pergerakan Pemuda UMNO, semangat pindaan perlembagaan dan masa depan bakal Exco Pemuda Malaysia yang mungkin akan bergadapan dengan masalah yang sama di masa hadapan. 

Apapun perjalanan baru saja bermula semula, mudah-mudahan saya dapat mengejar waktu dan berjaya meyakinkan para perwakilan untuk memilih saya pada 19 Oktober ini.



Selautan Rahmat Dari Secangkir Kesulitan... #TF4MT @NajibRazak @KhairyKj @TunFaisal


syukur ya ALLAH atas peluang & kesempatan kepada yang haq. 
biarkan saja keratan2 berita di bawah mencernakan maknanya...































Dugaan demi dugaan, rintangan demi rintangan - semuanya akan dapat ditempuhi dengan izin dan kehendak Allah swt, insya-Allah....

Sunday, October 6, 2013

#PemilihanUMNO : Menanti hari esok.. @NajibRazak @KhairyKJ


Esok 7 Oktober 2013 adalah tarikh keputusan sama ada seseorang calon boleh bertanding atau tidak. Keputusan ini akan diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Tan Sri Tajol Rosli Tan Sri Muhammad Ghazali. Pengumuman esok akan menentukan sama seseorang calon itu dapat bertanding berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Perlembagaan UMNO dan Peraturan-peraturan Pemilihan UMNO.

Ada kemungkinan ramai yang tercicir kerana tidak cukup syarat, kes-kes jenayah atau mahkamah, kes-kes disiplin termasuk kes mensabotaj parti semasa PRU13, kebangkarapan dan mungkin juga faktor tidak cukup 3 tahun menjadi ahli UMNO.

Biarpun tarikh 7 Oktober belum tiba, tetapi terdapat beberapa peristiwa yang didapati kurang menyebelahi calon-calon, termasuk diri saya.

Terdapat pengumuman yang mendahului keputusan Jawatankuasa Pemilihan UMNO. Ada juga tindakan yang mendahului keputusan Jawatankuasa Pemilihan UMNO, misalnya tindakan menggugurkan nama calon Majlis Tertinggi di dalam UMNO online dan tindakan tidak memperkenalkan calon-calon yang masih menunggu kes rayuan semasa Majlis Pengenalan Calon yang dianjurkan oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Saya tidak menyalahkan Badan Perhubungan UMNO Negeri kerana mereka hanya membaca senarai yang diberikan. Cuma saya agak terkilan kerana selepas memandu selama barjam-jam untuk hadir ke Majlis Pengenalan Calon, saya tidak diperkenalkan oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri walaupun sebagai calon di bawah kes rayuan yang mana keputusannya HANYA akan diketahui pada 7hb Oktober.

Apapun saya amat berterima kasih kepada Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan yang mengumumkan senarai penuh calon termasuk calon nombor 11 dan 60 yang masih menunggu keputusan rayuan. Saya yakin tindakan mereka betul kerana keputusan muktamad sama ada seseorang calon itu boleh atau tidak boleh bertanding HANYA akan diputuskan pada 7hb Oktober.

Justeru pada pandangan saya, bukanlah sesuatu yang menyalahi sebarang peraturan malah UMNO dilihat lebih adil apabila membacakan senarai tersebut secara penuh tanpa menggugurkan nama mana-mana calon sebelum pengumuman muktamad dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO esok.

Jika esok keputusan rayuan memihak kepada saya, maka ia akan disambut dengan penuh rasa kesyukuran kerana ia merupakan precedent yang baik untuk masa hadapan calon-calon Pergerakan Pemuda UMNO ke Majlis Tertinggi.

Saya telah menyatakan dengan jelas sebelum ini bahawa rayuan ini bukan tentang saya semata-mata, tetapi tentang Pergerakan Pemuda UMNO, masa depan calon-calon Pemuda dan semangat pindaan perlembagaan yang sebenar -

Ia bukan hanya kemenangan saya, tetapi adalah kemenangan banyak pihak dan banyak perkara.

Jika keputusan rayuan tidak memihak kepada saya, ia akan saya terima dengan baik dan akan dihormati sebagai keputusan Jawatankuasa Pemilihan UMNO.

Saya tetap Orang UMNO dan akan tetap istiqamah dalam perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air.

Tidak timbul soal membawa keputusan ini ke mahkamah, tidak timbul soal untuk membuat bantahan, membuat petisyen ataupun berdemonstrasi untuk menunjukkan rasa tidak puas hati, apa lagi untuk keluar daripada parti dan menentang parti kerana soal jawatan.

Selama ini pun tanpa sebarang jawatan di bahagian, saya tetap bekerja untuk memastikan program dan gerak kerja untuk memenangkan parti dalam PRU dilaksanakan di dalam bahagian.

Walaupun tanpa jawatan AJK Bahagian dan tidak disenaraikan dalam jentera PRU13 di bahagian, saya tidak pernah meninggalkan bahagian selepas parlimen dibubarkan dan terus menyumbang tenaga mengendalikan gerak kerja siber di bahagian di sepanjang 14 hari tempoh berkempen.


Prinsip saya mudah - jangan khianati parti dan perjuangan. Perjuangan demi Agama, Bangsa dan Tanah Air tetap akan diteruskan selagi hayat dikandung badan!

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.














Saturday, October 5, 2013

Fitnah Pengamal Media Sosial terhadap UMB menjelang #PemilihanUMNO


Promosikan merit, kekuatan dan sumbangan calon yang anda bawa, jangan serang dan burukkan calon-calon lain.


Menjelang Pemilihan UMNO terdapat sejumlah fitnah dan perbuatan tidak beretika memburukkan calon disebarkan. Prinsip saya mudah - bawa calon yang anda suka secara beretika, highlightkan merit dan sumbangan mereka, dan jangan balun dan perburukkan calon lain. Malangnya ada sesetengah pengamal media sosial pro-BN/UMNO yang begitu sukar untuk berpegang kepada etika ini. Sama ada mereka dibayar dan diarah oleh calon salah seorang calon terbabit atau dibayar dan diarah oleh calon ketiga untuk merosakkan hubungan di antara dua orang calon itu perlu dipastikan terlebih dulu. 



Kes 1 - suka saya nyatakan Facebooker IPS tidak diarah dan dibayar oleh saya, UMB atau Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk berkempen bagi pihak diri saya dan Datuk Seri Hishammuddin untuk berkempen bagi pihak kami apa lagi untuk memburuk-burukkan calon lain. Rakan-rakan di whatsapp group Rakan Media Johor telah menjadi saksi kenyataan pengamal media sosial IPS tentang pendiriannya menyerang calon lain walaupun telah dinasihatkan oleh saya. Print screen perbualan di dalam group tersebut telah saya tunjukkan kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan pegawai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai bukti bahawa saya tidak terlibat.





Kes 2 - pengamal media sosial ini telah menuduh bahawa saya pernah keluar masuk AMK dan PKR kemudian masuk balik UMNO, bagaimanapun selepas diajak bersemuka di Masjid Negara pada jam 1 petang, pengamal media sosial ini tidak muncul-muncul walaupun berikrar akan datang seawal pukul 12 tengah hari. Sehingga jam 3 petang, dia tidak muncul sedangkan beberapa orang pengamal media sosial yang menuduh saya dengan pelbagai tuduhan berani muncul untuk mencari kebenaran.



Kes 3 - Jalil Backer adalah kenalan sejak tahun 2003. Di depan saya, Jalil nampaknya baik saja. Tidak ada sebarang masalah. Namun dalam kes ini, tuduhan beliau agak berat walaupun sebenarnya beliau boleh sahaja menelefon saya untuk bertanyakan kedudukan sebenar. Untuk makluman, saya tidak perlu menghasut sesiapa termasuk penyokong saya, apabila nama saya digugurkan dari senarai calon Majlis Tertinggi. Luahan rakan-rakan pengamal media sosial adalah reaksi spontan kerana berasa marah dengan apa yang berlaku. Saya tidak tahu apa yang membuatkan mereka merasakan bahawa saya disabotaj oleh Datuk Ab Raof Setiausaha Kerja UMNO atau Datuk Seri Tengku Adnan, Setiausaha Agung UMNO. Malah wartawan-wartawan media perdana juga turut mengandaikan ada sabotaj berlaku. Dalam kes ini tidak keterlaluan untuk saya menyatakan bahawa saya yang telah memainkan peranan menenangkan keadaan dan membetulkan keadaan dengan menerangkan kepada mereka semua bahawa pengguguran nama saya adalah disebabkan tafsiran terhadap Perlembagaan UMNO oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO, tiada kait mengait dengan Dato Raof, Datuk Seri Tengku Adnan dan saya tidak disabotaj oleh sesiapa. Boleh rujuk laporan-laporan akhbar berkaitan hal ini. 

Tun Faisal kemuka rayuan, nafi disabotaj tanding MT

Boleh rujuk juga rayuan saya dalam kes calon MT ini. Saya berhujah berasaskan fakta dan saya tidak pernah mengaitkan hujah-hujah saya dengan mana-mana calon yang yang bertanding.
Inilah rayuan saya...

Saya tidak membayar dan mengarahkan mana-mana rakan media sosial, terutama rakan-rakan UMB untuk berkempen bagi pihak saya di alam siber. Mereka melakukannya atas inisiatif sendiri kerana mereka percaya kepada saya dan mereka menghargai persahabatan yang telah terbina selama ini. Atas inisiatif mereka saya ucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih.

Saya sedia maklum ada di kalangan mereka yang terlibat membantu calon-calon tertentu, satu fenomena yang membanggakan saya kerana ini membuktikan produk UMB mempunyai kebolehan yang diiktiraf oleh ramai calon yang bertanding, baik di peringkat MT, Pemuda, Wanita ataupun Puteri. Memang ada di peringkat awal pihak yang memburuk-burukkan calon lain, tetapi dalam kebanyakan keadaan saya ada membuat teguran kepada mereka agar suasana pemilihan UMNO tidak diburukkan oleh perbuatan mereka.

Akhir sekali saya berharap jangan ada yang mengaitkan saya atau UMB dengan perbuatan individu-individu tertentu. Bagi saya, perjanjian saya dengan mereka telah tamat sebaik saja berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-13. Ini telah saya nyatakan di dalam artikel di bawah :-

UMB pasca #PRU13 - anda blogger dan cybertrooper bebas! @NajibRazak @KhairyKJ

http://tunfaisal.blogspot.com/2013/06/umb-pasca-pru14-anda-blogger-dan.html

Ini adalah artikel pertama dari beberapa siri artikel untuk memberi penjelasan mengenai Unit Media Baru (UMB) Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) bagi mengelakkan kekeliruan dan salah tanggap masyarakat. 

Biarpun diiktiraf sebagai lawan yang ketat oleh pembangkang, terdapat sejumlah serangan yang sengaja dibuat oleh pihak tertentu dari dalam UMNO sendiri kerana salah tanggap atau kerana tidak senang dengan kejayaan UMB serta pengiktirafan yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


Memandangkan UMB bukan satu-satunya kumpulan yang membantu operasi Barisan Nasional (BN) dalam PRU13 maka adalah adalah adil jika sebarang kejayaan dan kelemahan operasi sepanjang tempoh PRU13 ditanggung bersama oleh semua kumpulan yang terlibat termasuk ketua yang mengendalikan keseluruhan operasi. 


Saya dan UMB tidak mempunyai sebarang masalah untuk memikul tanggung jawab sepenuhnya di atas kejayaan dan kelemahan operasi PRU13 hanya jika saya dan UMB sahaja yang mengetuai atau mengendalikan sepenuhnya operasi siber BN semasa PRU13. 


Memandangkan ia bukan tanggung jawab UMB secara tunggal, sebaliknya merupakan gerak kerja bersama pelbagai pihak, maka segala tanggung jawab ini perlu dipikul secara bersama oleh kumpulan-kumpulan lain juga.


Misalnya di Selangor, saya ingin menegaskan bahawa UMB bukan jentera yang diberi mandat dan sokongan oleh pihak UMNO negeri dan agensi untuk mengendalikan gerak kerja siber. Gerak kerja di Selangor dilaksanakan oleh Team Media Selangor (TMS) UMB Selangor dengan penuh kesukaran dan hampir keseluruhan operasinya dibiayai oleh UMB. 


Bagaimanapun artikel hari ini bukan berkenaan siapa dan kumpulan mana yang terlibat tetapi lebih untuk menjelaskan kedudukan UMB selepas PRU13, iaitu :-


1. UMB adalah jentera parti di peringkat Pergerakan Pemuda UMNO. Ia bukan berada pada satu tahap yang sama dengan sebarang Biro Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Jentera Penerangan Pusat, tetapi merupakan hanya sebahagian kecil daripada Jentera Penerangan Pusat. Atas kapasiti Pergerakan Pemuda UMNO, ada had dan batasan dari segi operasi dan peruntukan. UMB bukan pasukan blogger bebas yang boleh bertemu dengan mana-mana Pengerusi Badan Perhubungan Negeri melainkan selepas melalui heirarki parti. Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), kelulusan beroperasi di dalam PRK diluluskan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan UMB perlu bergerak melalui Ketua Penerangan UMNO selepas mendapat izin dan laluan daripada Ketua Pemuda UMNO Negeri dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri. Ini merupakan format yang dilalui oleh UMB sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Manek Urai sehinggalah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.


2. Berdasarkan keputusan yang dibuat di dalam Mesyuarat Jawatan Kuasa Pemuda UMNO Malaysia baru-baru ini, jawatan Exco Pemuda UMNO Malaysia dan Pengerusi biro, sekretariat dan unit dalam PPUM masih kekal dan berkuat kuasa sehingga pemilihan parti.


3. Berdasarkan perjanjian yang dibuat dengan para blogger dan cybertroopers sebelum mereka menyertai UMB, selepas operasi terakhir, iaitu PRU-13, semua blogger dan cybertroopers UMB TIDAK LAGI terikat dengan sebarang peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh UMB. Mereka bebas memilih untuk terus bersama UMB atau untuk menjadi blogger dan cybertroopers bebas seperti status mereka sebelum menyertai UMB. 


5. Sebagai blogger dan cybertroopers bebas, adalah tidak adil untuk saya dan UMB  menyekat mereka daripada menyuarakan pandangan mereka. Atas status BEBAS mereka ini, maka UMB dan saya tidak akan bertanggung jawab sama sekali dengan sebarang tulisan, kenyataan dan pendekatan mereka.


6. Namun begitu, sekiranya terdapat operasi khas, misalnya himpunan Black-Out dan PRK yang memerlukan bantuan mereka, mereka akan dipanggil semula untuk membantu UMB dan BN. UMB akan mengambil mode ad-hocracy mulai hari ini.


Saya dan UMB, dan bagi pihak PPUM amat berterima kasih kepada semua bloggers, cybertroopers dan sukarelawan siber yang terlibat, termasuk menerusi BNYCT kerana tanpa bantuan anda semua, tugas yang diberikan kepada UMB oleh Pusat Operasi tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan cemerlang.



Seperti yang saya nyatakan tadi, ini bukan pembubaran. Kita dalam UMB masih merupakan satu keluarga dan insya-Allah akan terus berjuang bersungguh-sungguh demi parti, agama, bangsa dan negara

Popular Posts