Saya merasa meluat apabila ada rakyat Malaysia yang tidak yakin dengan kemampuan anak bangsanya sendiri. Lebih-lebih lagi apabila menerajui salah sebuah dari syarikat yang terbesar di dalam negara yang diketahui telah beroperasi lebih 30 tahun yang dulu dan telah menghantar sejumlah anak bangsanya mendalami pengalaman di peringkat antarabangsa.
Bagaimana pun inilah kenyataan yang boleh disimpulkan mengenai Dato’ Shamsul Azhar Abbas yang mengambil alih pentadbiran Petronas daripada Tan Sri Hassan Merican pada bulan Februari 2010 kerana PM Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak enggan menyambung kontrak perkhidmatan Presiden dan CEO Petronas berdasarkan tulisan blogger Big Dog, dalam artikelnya - MODEL BARU PETRONAS - http://bigdogdotcom.wordpress.com/2010/05/13/model-baru-petronas/
Dalam artikel itu disebut:
"Beliau yang dikatakan telah berbincang dengan PM Dato’ Seri Najib, mengariskan beberapa pendekatan baru bagaimana Petronas akan beroperasi, walaupun sebenarnya merupakan sebuah GLC milik penuh negara. Perubahan yang paling ketara yang sudah pun terlaksana pada hari ini ialah komposisi ahli Lembaga Pengarah (Board of Directors - BOD). Hanya 2 wakil Kerajaan akan berada dalam BOD disamping kesemua Naib Presiden Eksekutif. Shamsul juga dikatakan menyebut bahawa PM Dato’ Seri Najib merestui BOD terdiri dari warga asing."
"Satu perkara yang menarik ialah Shamsul juga dikatakan menegaskan bahawa PM Dato’ Seri Najib juga bersetuju sekiranya jawatan Presiden dan CEO Petronas itu dijawat oleh professional dari luar negara, sebagai contoh mereka dari Exxon atau Shell."
Kesimpulan saya mudah, sama ada Perdana Menteri yang mempunyai minda terjajah dan tidak yakin dengan kemampuan dan pengalaman anak bangsanya, atau ini satu lagi kes manusia yang tidak bertanggung jawab menggunakan sewenang-wenangnya nama Perdana Menteri bagi memberi justifikasi terhadap dasar, tindakan yang sikapnya yang tidak meyakini kemampuan anak bangsa Malaysia sendiri.
Jarang sekali kita lihat perkara ini berlaku dalam syarikat-syarikat di luar negara, termasuk dari Korea Selatan. Seboleh-bolehnya, walau tidak mampu berbahasa Inggeris, mereka akan berusaha meletakkan anak bangsa Korea juga untuk menerajui jawatan-jawatan penting dan mendedahkan mereka dengan pengalaman di peringkat antarabangsa.
Jika benar ini cerminan dari sikap dan jati diri Perdana Menteri, maka terus terang, saya terpaksa menyatakan yang saya kurang yakin dengan Model Ekonomi Baru (MEB) kerana ada GLC yang telah mengkompromikan kepentingan anak bangsa Malaysia dalam satu bidang yang selama ini menjadi kekuatan kepada kita. Saya tidak nampak bagaimana sikap begini akan menguntungkan anak bangsa Malaysia dalam bidang-bidang baru yang akan diterokai ataupun dalam bidang-bidang utama dalam NKEA dalam Model Ekonomi Baru.
Mungkin Perdana Menteri boleh memikirkan untuk menggantikan Shamsul Azhar dengan profesional luar dari Shell atau Exxon, kerana bagi saya dia tidak layak duduk di sana pun sebagai mewakili rakyat Malaysia dan dia tidak layak juga sebagai mewakili warga kerja yang telah lama berada dalam Petronas dengan pemikiran sebegitu rupa!
Agaknya berapa ramai lagi mereka yang menjawat jawatan tinggi dalam GLC yang tidak mempunyai jati diri dan agenda bangsa serta semangat patriotik seperti Shamsul Azhar ini? Eloklah digantikan mereka ini kerana mereka akan gagal menyempurnakan peranan dan tanggungjawab mereka dari segi dasar yang diperjuangkan oleh kepimpinan negara selama ini!

