Showing posts with label Kerajaan / Government. Show all posts
Showing posts with label Kerajaan / Government. Show all posts

Friday, December 18, 2009

NKRA - maklum balas saya....

Petang semalam saya meluangkan masa menghadiri Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid. Terdapat enam (6) Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan lebih 7,000 aktiviti dengan lebih 2,000 program serta 100 projek dipamerkan ke pengetahuan umum agar rakyat mendapat pendedahan mengenainya dan dilibatkan bagi menjayakannya.

Daripada respon pengunjung dan peserta yang aktif semasa sesi pembentangan makmal, saya berani mentafsirkan bahawa rakyat memang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang NKRA, mahu merungkaikan kesangsian dan persepsi mereka terhadap bidang dan agensi terbabit serta ingin dilibatkan bagi memantau dan menjayakan NKRA ini. Ia adalah satu petunjuk bagus kerana rakyat mengambil inisiatif untuk menjawab perasaan ingin tahu ini melalui penglibatan mereka dan ini boleh menyelamatkan mereka dari dibohongi oleh portal atau blog tertentu.

Jika tidak, mungkin mereka menganggap kenyataan Lim Kit Siang tentang NKRA sebagai betul. Entah macam mana Kit Siang boleh mengatakan ada tujuh (7) NKRA, termasuk 1Malaysia - mungkin kerana dia tidak berapa faham, malas membaca, sengaja tidak mahu faham atau memang hendak menyebarkan pembohongan - sedangkan sejak 27 Julai 2009 Perdana Menteri hanya mengumumkan enam (6) NKRA, iaitu;

1. meluaskan akses terhadap pendidikan boleh mampu dan bekualiti

2. mengurangkan kadar jenayah

3. memerangi rasuah

4. meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah

5. memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman

6. menambah baik pengangkutan awam

Dua matlamat GTP adalah, pertama untuk menjadikan kerajaan sebuah entiti yang lebih efektif dan bertanggungjawab. Kedua, untuk melonjakkan kesemua masyarakat Malaysia ke tahap yang lebih maju, bersatu padu, selamat dan adil dengan kualiti kehidupan tinggi untuk semua sesuai dengan wawasan negara untuk menjadi sebuah negara yang serba serbi maju menjelang tahun 2020.

Saya berkesempatan mengikuti pembentangan di dua makmal Makmal pertama adalah Makmal Jenayah dengan NKRA untuk "Mengurangkan jenayah untuk Malaysia yang lebih selamat" dan kedua, Makmal Pendidikan dengan NKRA untuk menyediakan "Pendidikan Berkemampuan (affordable - mungkin lebih jelas dan tepat diterjemah sebagai boleh mampu atau yang termampu) dan Berkualiti Untuk Semua Rakyat".

Syabas saya ucapkan kepada pembentang yang membentangkannya kepada peserta makmal. Saya kira mereka berjaya untuk membentangkannya dengan baik. Dalam Makmal Jenayah misalnya, terdapat lima bidang utama dengan sejumlah strategi. Dalam Makmal Pendidikan, usaha tertumpu kepada empat bidang utama.

Berdasarkan pemerhatian saya, walaupun pembentang dapat membentangkan pelan dan strategi NKRA tersebut dengan baik, namun kelemahan paling utama pembentang dalam makmal Jenayah yang saya hadiri petang semalam adalah dari segi keupayaan mereka menjawab soalan dengan tepat dan meyakinkan.

Dalam Makmal Jenayah misalnya, ada beberapa soalan yang saya anggap tidak berjaya dijawab dengan baik dan memuaskan hati penyoal. Contohnya, soalan tentang aspek pendidikan dan pencegahan sebelum seseorang terjebak menjadi penjenayah; persepsi negatif yang menghantui diri seorang peserta tentang pasukan polis termasuk tata cara mereka mengadakan sekatan jalan yang tidak seragam; soalan yang melibatkan jenayah yang dilakukan oleh warga asing yang sukar dikesan akibat kaedah pengenalan (pasport, cap ibu jari dan biometrik) mereka yang longgar dan soalan saya sendiri tentang bagaimana mereka hendak melaksanakan apa yang dirancang dalam kejiranan yang mempunyai polisi untuk membina rumah tidak berpagar di Putrajaya yang ibarat mengundang jenayah masuk ke halaman dan rumah.

Selain itu saya melihat ada beberapa isu yang memerlukan perhatian, pertama, walaupun program dirancang dalam Makmal Jenayah nampaknya amat menarik, namun adakah peruntukan untuk melaksanakan semua program ini telah dimasukkan dalam Bajet 2010? Adalah sukar untuk melaksanakan setiap program ini, lebih-lebih lagi dalam keadaan di mana peruntukan setiap kementerian telah dikurangkan. Bukan sahaja sejumlah `hardware' diperlukan, malah keperluan guna tenaga yang mencukupi termasuk penglibatan sukarelawan masih memerlukan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam setiap NKRA dapat dicapai.

Kedua, walaupun sasaran jangka pendek, iaitu menjelang 2010 nampak seperti rendah dan mudah dicapai, namun ia merupakan tugas yang agak sukar. Misalnya, sasaran untuk menurunkan kadar jenayah sebanyak 5% menjelang hujung tahun 2010 mungkin dianggap sebagai mampu dicapai, namun ia bukan suatu tugas yang mudah, lebih-lebih lagi mengambil kira trend menaik (uptrend) kadar jenayah.

Dalam makmal pendidikan pula, saya mempunyai sejumlah isu. Pertamanya, dari segi definisi pendidikan boleh mampu (affordable) dan berkualiti. Bagi saya pendidikan di sekolah-sekolah di Malaysia adalah affordable secara amnya selepas pemansuhan yuran sekolah dan yuran peperiksaan serta dengan segala bantuan pendidikan yang diberikan. Namun bagi mendapatkan pendidikan berkualiti, ia bergantung kepada bagaimana kita mentafsir maksud kualiti. Adakah kualiti ini berkait dengan infrastruktur, pencapaian pelajar atau pencapaian guru? Sama ada pencapaian pelajar itu hanya berkaitan dengan jumlah A yang diperolehi dalam bidang akademik atau pembangunan sahsiah yang lebih menyeluruh?

Ini penting kerana definisi kualiti ini berkait dengan soalan kedua, iaitu sejauh mana peruntukan yang diperuntukkan berpadanan dan mencukupi bagi menjadikan pendidikan dalam sesebuah institusi menepati maksud berkualiti. Misalnya, jika pendidikan berkualiti di tafsirkan sebagai mempunyai saiz kelas sebesar 25 orang murid di dalam kelas, maka peruntukan yang mencukupi diperlukan untuk membina lebih bilik darjah untuk sekolah-sekolah yang mempunyai saiz kelas seramai 50 orang. Di akhir slaid, dimaklumkan bahawa pengukuran ini dinilai berdasarkan 70% markah pencapaian dalam bidang akademik dan 30% berdasarkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM). Persoalannya, sama ada ini tepat sebagai pengukur kualiti seperti yang diinginkan oleh pengguna, iaitu murid dan ibu bapa mereka?

Kedua, persoalan yang sama dengan yang dilontarkan tentang NKRA mengurangkan jenayah, iaitu sama ada peruntukan yang mencukupi diperuntukkan bagi melaksanakan semua program yang disenaraikan? Misalnya, bagi meningkatkan jumlah guru pemulihan di sekolah, iaitu dari seorang setiap sekolah kepada 15 orang setiap sekolah tentunya memerlukan sejumlah peruntukan yang tinggi. Begitu pun penambahan ini tidak bermakna jika sekolah tidak mempunyai ruang fizikal bagi kelas pemulihan dan keutamaan terhadap aspek pemulihan tidak diberikan oleh pihak sekolah, ia masih tidak memadai.

Ketiga, sama ada semua sumber yang ada disalurkan untuk jabatan yang betul. Jika pendidikan berkualiti ingin dicapai, adakah kita meletakkan peruntukan yang mencukupi dan berpadanan untuk memperkukuh jabatan profesional di kementerian, jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan sekolah-sekolah? Dan, adakah pendekatan yang betul digunakan, iaitu sama ada kementerian akan lebih menekankan aspek proses berbanding aspek penyelesaikan masalah pendidikan.

Adalah amat menarik untuk melihat peringkat kedua GTP ini, iaitu peringkat Pembangunan disempurnakan. Lebih menarik adalah untuk melihat peringkat ketiga, iaitu Pemantauan Prestasi dilaksanakan.

Tahniah kepada Perdana Menteri yang bertindak berani untuk memperkenalkan NKRA dan KPI serta bersikap telus (transparent) untuk membentangkannya kepada tatapan umum. Seperti yang saya pernah sebutkan dalam tulisan saya mengenai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebelum ini, salah satu faktor utama yang dilihat sebagai kegagalan kerajaan sebelum ini adalah akibat kegagalan melaksanakan program dan projek tepat pada waktunya dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) sehingga menyebabkan rakyat tidak dapat merasakan manfaat dari dasar-dasar kerajaan dan secara tidak langsung menyebabkan ekonomi domestik tidak berkembang dan rakyat merasai kesannya.

dalam tulisan sama, saya turut mempersoalkan tentang keberkesanan pelaksanaan kaedah dan program pengukuran prestasi penjawat awam seperti Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), anugerah prestasi cemerlang, Sasaran Kerja Tahunan (SKT), penilaian prestasi tahunan, penarafan bintang (Star Rating) yang diperkenalkan oleh MAMPU, Program Berimpak Tinggi (HIPs) dan pelbagai langkah untuk menjadikan penjawat awam lebih cekap dan efektif sepanjang tempoh 2004 sehingga 2008 kerana saya tidak nampak bagaimana ia menyumbang dari aspek pelaksanaan yang berkesan dalam RMKe-9. Saya berharap NKRA dan KPI tidak mengalami nasib yang sama. Ia hanya pandangan saya yang tidak seberapa (2 cents worth - bernilai 2 sen).

Apa pun, pameran dan makmal-makmal ini amat menarik untuk dihadiri. Semoga sesi petang esok akan menarik kunjungan dan penglibatan lebih ramai rakyat dan pihak berkepentingan. (stake holders - diterjemahkan sebagai pemegang saham dalam buku kecil Program Transformasi Kerajaan).

Sunday, November 29, 2009

BTN mengajar saya menjadi rasis?

Latihan kendalian Biro Tatanegara (BTN) yang pertama saya ikuti adalah pada tahun 1991, iaitu sewaktu menuntut dalam Tahun Satu di Universiti Sains Malaysia (USM). Kali kedua adalah pada tahun 1993 dan yang ketiga adalah dalam tahun 1995.

Saya suka menceritakan sedikit pengalaman yang ditempuhi semasa mengikuti kursus BTN ini. Bersama 109 orang pelajar USM yang lain, saya sampai di Kem Wira Waja Janda baik (sekarang Institut Latihan UMNO (ILMU) ). Sesi pertama dimulakan dengan taklimat tentang disiplin yang perlu dipatuhi di kem. terutama dari segi kepatuhan terhadap ketepatan masa dan mengikut arahan. Sepanjang tempoh kursus, kemi dikehendaki membasuh tray makanan dan gelas sendiri serta ditunjukkan kawasan bebas merokok yang digelar Sudut Maut. Kami dimaklumkan tentang jadual yang ketat, program ceramah, sukan, latihan dalam kumpulan dan program kembara. Bagi yang beragama Islam, kami dikehendaki bersembahyang jemaah setiap waktu dan ikut serta mendengar kuliah subuh serta melakukan solat hajat dan qiyamul-lail.

Sesi kedua adalah pembahagian kepada kumpulan-kumpulan dan `ice-breaking' bagi membolehkan kami mengenali ahli-ahli kumpulan yang terdiri dari pelajar berlainan Sekolah Pengajian (Schools). Kami diminta melantik ketua kumpulan, menamakan kumpulan dan mencipta slogan. Setiap kumpulan diberikan bendera Malaysia dan diajar tata cara membawa dan menyimpannya. Kami dikehendaki berada dalam kumpulan dan membawa bendera Malaysia pada setiap masa. Sekiranya ada seorang ahli tercicir sekalipun atau lewat mengikuti program, kesemua anggota kumpulan akan didenda.

Kami diberi tanda nama yang besar dan sebiji telur ayam mentah yang kami tidak tahu apa tujuannya. Pada sesi pertama sahaja, hampir 30 orang peserta yang terpecahkan telur secara tidak sengaja; sama ada jatuh dari saku kemeja sewaktu tunduk; terpijak; pecah dalam saku seluar kerana terjatuh atau terlanggar meja. Bagi setiap yang terpecahkan telur, akan di'hadiah'kan dengan bata merah atau putih untuk dibawa ke mana sahaja. Sesiapa yang terlupa membawa telur atau batu ini, mereka juga akan didenda.

Dalam banyak program, ceramah dan kuliah subuh paling membosankan. Paling menarik adalah program kembara, permainan dalam kumpulan dan sukan. Semasa kembara malam, kami dikejutkan seawal jam satu pagi dan diminta beratur mendaki bukit yang curam. Malangnya malam itu hujan lebat dan lereng begitu licin. Pergerakan menaiki bukit amat sukar dan kami perlu saling sokong menyokong dan tarik menarik bagi membolehkan setiap peserta mendaki bersama-sama. Lebih sukar lagi, pada malam itu ada dua orang pelajar wanita yang kekejangan kaki dan terpaksa diusung sepanjang perjalanan. saya sendiri disengat tebuan, menyebabkan jari saya bengkak dan saya juga luka-luka akibat tergelicir semasa mendaki malam itu.

Apa yang saya belajar? Pengalaman penting bagi seorang anak muda yang masih tercari-cari erti kehidupan bernegara.

Dalam sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK) barulah saya fahami maksud sebenar modul yang dilalui. Telur yang diberi kepada saya pecah dan saya diberikan bata putih yang berat sebagai ganti. Ia mungkin lebih berat, tapi tidak fragile. Kata fasilitator yang membimbing LDK, "itu gambaran bahawa dalam usaha membina sebuah negara, yang susah bukan untuk menjaga pembangunan tetapi untuk menjaga pertamanya; zuriat dan kedua, modal insan (dianalogikan dengan telur ayam mentah). Sebaliknya batu yang melambangkan pembangunan, lebih mudah dijaga. Jadi sekiranya seseorang itu tidak dapat diharap untuk menjaga keturunan dan sumber manusia, maka jagalah pembangunan sebaik-baiknya."

Perjalanan mendaki bukit amat sukar. Lebih-lebih lagi pada waktu malam dan hujan lebat. Apa lagi dengan jari yang membengkak dan terpaksa mengusung peserta yang sakit. Kalau tidak saling bahu-membahu dan tarik-menarik ke atas, maka ada yang akan tercicir dan lebih buruk lagi dengan senang semua akan tergelincir. Maksudnya, proses pembinaan sebuah negara amat sukar dan tidak boleh dilakukan secara sendirian. Untuk membawa setiap orang dalam arus perdana pembangunan, termasuk yang lemah, kurang upaya dan tercedera lebih sukar lagi. Jangan pula berperangai seperti ketam batu di dalam raga yang saling tarik menarik ke bawah sehingga tiada yang berjaya keluar dari raga.

Dalam sesi kuliah subuh, kami diajar tentang prinsip-prinsip penting aspek kenegaraan dalam Islam dan bagaimana untuk membentuk pandangan dunia (world view) seperti yang dianjurkan oleh Islam. Dijelaskan juga akan pengertian Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam yang ketika itu sedang diamalkan oleh kerajaan.

Dalam sesi ceramah, diterangkan tentang Perlembagaan dan prinsip-prinsip Rukunegara, termasuk tentang keharmonian kaum yang perlu dipertahankan. Turut diterangkan adalah dasar-dasar kerajaan ketika itu seperti Dasar pandang ke Timur, Dasar Penswastaan dan Dasar Pengkorporatan, termasuk pelaksanaan projek-projek kerajaan seperti projek kereta nasional, pembinaan Lebuh Raya Utara-Selatan dan Jambatan Pulau Pinang. Seluas-luas ruang diberikan kepada kami semua untuk bertanyakan soalan dan memberi pandangan dan sebagai golongan muda yang kritikal, kami memang mengambil sepenuhnya ruang tersebut (melainkan sewaktu kuliah subuh.. biasanya akibat mengantuk) untuk bertanyakan pelbagai soalan dan ada juga yang mengkritik kerajaan.

Hasilnya - selepas kursus, saya berpandangan bahawa saya mempunyai sikap cintakan negara yang lebih tinggi daripada sebelumnya. Saya menginsafi bahawa amat sukar untuk membina sebuah negara dan ia mengambil masa berpuluh-puluh tahun sedangkan mengkritik itu cukup mudah. Menghancurkan negara jauh lebih mudah dan mungkin boleh berlaku dalam sekelip mata sahaja.

Saya juga belajar bahawa setiap daripada kita mempunyai peranan masing-masing dalam pembinaan negara. Besar atau kecil bukan persolannya; setiap satunya penting dan kita wajar belajar menghargai setiapnya. Saya juga belajar bahawa kita semua mempunyai tanggungjawab peribadi (personal responsibilities) masing-masing dan kita perlu mengambil tanggungjawab peribadi dalam membangunkan negara, biarpun tanpa ada arahan dan sebarang ganjaran. Bukankah semua ini nilai-nilai murni dan universal dalam pembinaan sahsiah dan sebuah negara?

Adakah kita diajar bersifat perkauman? Seingat saya tidak pernah sekali pun kami diajar untuk membenci kaum-kaum lain. Sebaliknya kami diajar untuk menjaga keharmonian negara dan mempertahankannya sebaik mungkin. Dalam kursus yang pertama, kedua dan ketiga, modulnya hampir sama cuma dalam ceramah, topiknya sedikit berbeza kerana seperti yang disebutkan ramai, peranan BTN adalah untuk menerangkan dasar-dasar semasa amalan kerajaan ketika itu.

Adakah ia berguna untuk pelajar? Ya, sebab ini merupakan salah satu platform untuk membentuk semangat cintakan negara dan memupuk kefahaman tentang dasar-dasar kerajaan.

Adakah ia berguna untuk penjawat awam? Sepatutnya ia dijadikan kemestian. Saya tidak nampak bagaimana seorang penjawat awam boleh melaksankan tugas mereka, iaitu melaksanakan dasar-dasar kerajaan dengan baik tanpa mereka memahami dengan jelas dasar-dasar tersebut.
Jika mereka tidak bersetuju dengan dasar? Mungkin mereka wajar membezakan peranan mereka sebagai seorang pelaksana dasar dan bukan pembuat dasar. Jika mereka tidak mahu menghadirinya? Mungkin lebih elok mereka memilih profesion lain kerana ia akan menyukarkan mereka dan meletakkan mereka di dalam konflik. Mungkin ini yang berlaku hari ini dalam kerajaan dan perlu diperbaiki oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua-ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Professional.

Jadi kenapakah kerajaan Pakatan Pembangkang takutkan BTN? Mudah - kerana walaupun kononnya mereka ini memperjuangkan kebebasan bersuara dan memperoleh maklumat, namun secara realiti dan praktisnya, mereka hanya pakatan AUTOKRATIK yang sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menyekat kebebasan rakyat membuat pilihan; mendapat maklumat dan berdikusi secara intelektual semata-mata untuk mengekalkan kuasa mereka.
Disebabkan apa? Mungkin kerana mereka tahu bahawa mereka tidak akan dapat mempertahankan fitnah dan pembohongan mereka sekiranya minda rakyat dibuka dan didedahkan dengan sebanyak mungkin maklumat dan ilmu pengetahuan.

Thursday, November 19, 2009

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tidak gambarkan komitmen perangi rasuah

Laporan terbaru Transparency International mengenai Indeks Persepsi Rasuah atau Corruption Perception Index (CPI) menempatkan Malaysia di tangga 56 daripada 180 buah negara; kedudukan terburuk dalam tempoh 15 tahun setakat ini. Kedudukan Malaysia ini jatuh 9 anak tangga berbanding tahun 2008, iaitu pada kedudukan ke 47. Skor CPI Malaysia juga menurun berbanding tahun-tahun sebelum ini, iaitu 4.5 (daripada skor penuh 10). Sebelum ini pada tahun 2000, skor Malaysia adalah 4.8 dan pada tahun 2002, adalah 4.9. Pada tahun 2002, Malaysia berada pada kedudukan ke 33 dan semakin menurun pada tahun 2003, iaitu ke tangga 37, 2005 - ke-39, 2007 - ke-43, 2008 - ke-48.

Tentulah orang pertama yang akan menghukum kerajaan Barisan Nasional dan Perdana Menteri apabila indeks-indeks seperti ini dikeluarkan adalah pemimpin parti pembangkang, terutamanya pemimpin autokratik DAP seperti Lim Kit Siang. Lim dalam respon dan blognya menyalahkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Persuruhjaya Suruhajaya Pencegahan Rasuah atas kejatuhan ini.

Kata Lim "Perlu ada penyingkiran bermula dengan perletakan jawatan Ketua Persuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Hamdan." Kata Lim juga, "Ini adalah perkara yang memalukan negara, kesangsian terhadap SPRM dan pukulan yang amat berat terhadap Perdana Menteri baru YB Ahli Parlimen Pekan yang mengumumkan perang terhadap rasuah sebagai salah satu daripada enam KPI utama pentadbirannya."

Pada waktu yang sama, Lim juga telah cuba mensensasikan kematian pembantu politik DAP Teoh Beng Hock pada 16 July, kegagalan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam skandal PKFZ dan pita video Lingam sebagai faktor walaupun dua daripadanya mungkin tiada kaitan langsung dengan amalan rasuah.

Lim juga telah membuat kesimpulan secara berlebih-lebihan bahawa "ini dibuktikan dengan kenyataan TI yang disertakan bersama laporan CPI 2009 tentang persepsi bahawa `hanya sedikit perkembangan dalam usaha menentang korupsi dan kurangnya kesungguhan politik untuk melaksanakan langkah-langkah anti korupsi yang berkesan, begitu juga tumpuan SPRM terhadap `ikan kecil' dan ahli politik pembangkang".

Saya percaya korupsi sememangnya berleluasa dalam negara kita. Pengalaman saya menunjukkan rasuah sememangnya berlaku dan diamalkan oleh penjawat awam terutamanya yang mengurus dan memutuskan tender pembangunan dan perolehan tanpa rasa takut dan berdosa; dan yang peliknya mereka boleh terlepas (dan ada yang terlepas kerana pernah berjiran dengan orang yang pernah berada di kedudukan yang agak kanan dalam Badan Pencegah Rasuah (BPR)). Namun begitu saya tidak nafikan masih ada sejumlah kecil penjawat awam yang sangat amanah dan merasakan bahawa kedudukan mereka di situ adalah untuk membantu dan memudah cara secara ikhlas.

Ruang dan peluang untuk mengamalkan rasuah ini sebenarnya menjadi semakin besar kepada penjawat awam dengan pelaksanaan tender terbuka. Malangnya biarpun ruang ini semakin luas untuk penjawat awam menjana pendapatan (halal?) untuk diri dan keluarga, namun ia masih gagal untuk memotivasikan mereka bagi melaksanakan program dan projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMke-9) dengan cekap dan berkesan.

Pemerhatian rakan-rakan pula menunjukkan bahawa ada kemungkinan amalan korupsi lebih buruk lagi di dalam badan-badan korporat dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Kurangnya perhatian diberikan dalam sektor ini menyebabkan ramai golongan korporat yang memperolehi `pendapatan atas pendapatan dan atas pendapatan' melalui pelbagai kaedah dan akaun perniagaan. Golongan ini dikatakan menjana pendapatan dalam diam melalui pelbagai ruang dan peluang yang terbuka atas kuasa dan jawatan mereka. Mungkin yang berada di sektor ini boleh mengesahkan kebenarannya.

Apa pun, pertamanya, masalah dengan CPI ini adalah ia merupakan indeks yang hanya mengukur persepsi. Saya tidak tahu sama ada terdapat sesiapa yang pernah melihat dan mengkaji instrumen tinjauan CPI ini dan sampelnya. Saya tidak pernah mengkajinya dan saya harap ada pihak tertentu dalam kerajaan yang menelitinya kerana instrumen dan sampel tinjauan ini boleh menghasilkan keputusan yang kurang tepat.

Kedua, dengan memahami intrumen tinjuan CPI ini, kita mungkin boleh mengetahu sektor mana sebenarnya yang benar-benar bermasalah, sama ada politik, badan korporat atau penjawat awam. Melaluinya barulah kita boleh mencari jalan penyelesaian yang terbaik kerana `ubat' bagi setiap sektor tidak sama. SPRM juga boleh memformulasikan `modul pendidikan dan kesedaran' yang bersesuian - tidak cukup dengan membuat kenyataan standard bahawa SPRM akan meningkatkan lagi kesedaran mengenai rasuah dan integriti setiap kali mereka ditanya mengenai CPI ini.

Ketiga, dengan memahami sampel dan saiz sampel kita mungkin boleh memahami kenapa mereka mempunyai persepsi begitu. Golongan kolar biru, peniaga dan pelajar universiti mempunyai tanggapan yang berbeza tentang rasuah bergantung kepada jumlah pendedahan dan maklumat yang mereka terima. Persepsi yang terlalu umum tidak mungkin boleh membantu usaha SPRM memberi kesedaran mengenai rasuah dan integriti.

Keempat, CPI tidak menggambarkan kesungguhan kerajaan untuk memerangi rasuah. Apabila CPI tidak dapat memberi nilai yang tepat mengenai kesungguhan kerajaan dalam memerangi rasuah, ia amat terbuka untuk dipolitikkan. Kenyataan Lim misalnya, bertentangan dengan kenyataan Transparency International Malaysia (TI-M) yang mengambil maklum tentang usaha-usaha Malaysia untuk mengatasi amalan korupsi. Presiden TI-M, Paul Low menyatakan bahawa tindakan kerajaan untuk melaksanakan reformasi institusi tertentu, terutamanya institusi Kehakiman dan penubuhan SPRM adalah langkah kehadapan untuk negara ini.

Tidak adil untuk Lim menyalahkan Datuk Seri Najib yang baru sahaja mengambil alih kepemimpinan negara pada 3 April yang lalu dan SPRM yang masih cuba menyesuaikan diri dengan `kuasa yang terlalu besar' yang dianugerahkan kepada mereka.

Pada waktu yang sama kenyataan Lim menunjukkan beliau mencampur adukkan pelbagai perkara dan cuba memanipulasikan CPI untuk menghukum kerajaan dan SPRM. Kematian Teoh Beng Hock tidak ada kaitan dengan CPI sebaliknya lebih kepada suatu insiden yang menjejaskan siasatan yang mungkin boleh mengaitkan pihak tertentu dengan rasuah.

Sama ada 'ikan kecil' atau `ikan besar', itu bukan persoalannya kerana jika ada laporan dan sabit kesalahan, penerima rasuah adalah penerima rasuah; pemberi rasuah adalah pemberi rasuah. Dari sudut yang lain pula, berbanding ahli politik dan golongan korporat, penjawat awam mungkin kelihatan seperti `ikan kecil' di mata masyarakat, tetapi dalam proses tender terbuka dan dari aspek saiz, nilai dan jumlah projek di dalam kementerian tertentu, mereka mungkin merupakan jerung yang jauh lebih besar daripada ahli politik dan golongan korporat.

Mungkin sudah tiba masanya pihak tertentu mengkaji instrumen yang digunakan oleh TI untuk CPI. Apakah sudah tiba masanya juga digubal undang-undang untuk membolehkan merampas aset dan tunai penjawat awam dan golongan korporat yang didapati melebihi jumlah pendapatan dan ganjaran yang dinyata dan diperakukan oleh mereka sepanjang perkhidmatan mereka?

Popular Posts