Showing posts with label Pusat Tindakan Media Pemuda UMNO. Show all posts
Showing posts with label Pusat Tindakan Media Pemuda UMNO. Show all posts

Friday, December 6, 2013

[Video] Siapa @DrNovandri yang saya kenal sejak 1989 #PAU2013



Dr Novandri Hassan Basri adalah senior saya di USM. Saya pertama kali mengenali beliau sewaktu menjadi fasilitator kepada saya dan rakan-rakan pelajar Matrikulasi 1989. Seorang penulis yang aktif dan sama-sama rajin menghantar pandangan ke ruangan forum dan pendapat di akhbar Utusan Malaysia sebelum era kewujudan blog. Saya bertemu kembali beliau sewaktu beliau mula memperkenalkan Klinik Bergerak Pemuda UMNO ketika saya baru menyertai pasukan penyelidik Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pemuda UMNO ketika itu. Semasa saya membantu mengendalikan Laman Web Pemuda UMNO, Dr Novandri turut menjadi penulis jemputan bagi laman web ini pada tahun 2002-2004. Beliau merupakan salah seorang penulis CyberTrooper Pemuda UMNO/BN yang diberi tanggung jawab oleh kepimpinan BN untuk mengulas Manifesto BN semasa Pilihan Raya 2004 bersama-sama saya dan sdr Ab. Jaleel Backer. Sama-sama bertanding untuk jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO pada tahun 2008. Selepas pemilihan, walaupun tewas, beliau adalah orang yang paling layak untuk dilantik menjadi Ketua Penerangan Unit Media Baru (UMB) Pergerakan Pemuda UMNO. Beliau seorang penulis blog ranking Top-5 yang dihormati kawan dan lawan. Atas merit tersebut, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Sekretariat Maya UMNO dan Barisan Nasional Pulau Pinang, pada waktu yang sama merupakan Pengerusi UMB Pulau Pinang. Seorang individu hebat. Istiqamah dan kental semangat perjuangan. Jika orang lain mungkin sudah berhenti menyumbang kepada UMNO selepas kehilangan dua jari semasa kemalangan, lebih-lebih lagi apabila tidak ramai pemimpin UMNO menghulurkan bantuan kepada beliau. Memang layak mendapat pengiktirafan. Pilihan yang tepat dan betul Pemuda UMNO!

Saturday, December 17, 2011

[Kisah dulu-dulu] Sejarah penubuhan Cybertroopers Pergerakan Pemuda UMNO





Antara petugas yang di Pusat Tindakan Media ketika itu. 
Anda mungkin kenal sebahagian daripada mereka :)




Pada tahun 2009, disebabkan marah kepada seorang blogger dan akibat salah faham terhadap tujuan saya, terdapat beberapa blog yang menyerang saya dan Unit Media Baru (UMB). Dalam serangan itu, blog-blog ini menceritakan tentang Cybertroopers Pemuda UMNO yang mereka sendiri tidak tahu sejarah dan asal usulnya. Mungkin masa tu, mereka ni pun masih belajar di IPT lagi, tetapi bila berblog, seolah-olah mereka yang lebih faham berbanding pihak yang benar-benar terlibat menubuhkan pasukan ini.

Disebabkan tidak menyelidik, mereka juga tidak boleh membezakan di antara Cybertroopers Pergerakan Pemuda UMNO yang ditubuhkan pada tahun 2004 di bawah kepimpinan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ketika itu, Datuk Hishammuddin Tun Hussein bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Tahun 2004 dan Cybertroopers UMNO yang ditubuhkan selepas PRU 2004.


Saya tidak mahu menjawab ketika itu untuk melihat sejauh mana pengetahuan mereka tentang unit ini. Lagi pun masanya belum sesuai. Hari ini biarlah diceritakan sedikit sejarah mengenai penubuhannya supaya sebarang fitnah, kesilapan dan manipulasi fakta dapat dibetulkan.

Suka dinyatakan baahwa cadangan untuk menubuhkan sebuah unit perang siber di bawah pengawasan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah disampaikan kepada YBhg Datuk Akbarkhan Abdul Rahman yang merupakan Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Hishammuddin pada bulan Januari 2004.

Selepas perbincangan lanjut, YBhg Datuk Akbarkhan telah bersetuju untuk meletakkan unit ini di bawah seliaan Pengerusi Unit Media Pilihan Raya Pemuda UMNO, YBhg Datuk Mohamad Norza Zakaria dan dibantu oleh Tun Faisal Ismail Aziz (memetik ayat di dalam kertas cadangan tersebut). Setiausaha Politik Menteri Pertahanan, Datuk Shahrul Zaman Datuk Yahya merupakan Setiausaha kepada Datuk Norza dan merupakan individu yang begitu hebat mengkoordinasikan Unit Media Pilihan Raya Pemuda UMNO ketika itu.
Bagi membawa imaginasi pembaca ke zaman itu, saya suka untuk berkongsi artikel di bawah yang menggambarkan tentang keadaan jentera perang siber UMNO pada waktu itu;



Pilihan Raya: Di mana Gerakan Siber Kita?
Posted on Tuesday, November 11 @ 11:08:59 MYT by kuntakinte

Oleh: Kunta Kinte Malaysia

Kita ada krisis. Ini kena diakui oleh sesiapa sahaja yang melihat pilihan raya Malaysia dalam masa akan datang akan dicorakkan oleh wacana intelektual, gosip dan perdebatan siber yang bermula dalam Pilihan raya 1999.

Krisis apa? Kita ada krisis tenaga, pemikiran dan strategi di Siber. Bacalah kita di sini sebagai gerakan siber UMNO. Bacalah Kita di sini sebagai gerakan siber Barisan Nasional dan baca juga Kita di sini sebagai gerakan siber mereka yang menyokong perjuangan kerajaan yang ada hari ini. Hari ini satu demi satu laman UMNO semakin tidak bermaya termasuk laman ini.

Lihat sahajalah laman rasmi UMNO (www.umno-online.com). Sebagai sebuah laman yang dibiayai oleh UMNO sepenuhnya, laman tersebut bukan sahaja gagal untuk menyaingi lidah rasmi Pas - Harakahdaily - malah untuk menjadi pemimpin kepada laman-laman pro UMNO yang berteraburan ini pun ia tidak ada kredebiliti.

Hampir 80% beritanya setiap hari dipetik dari akhbar tempatan. (Sikit sebanyak yang mengecewakan laman ini juga mula cenderung dengan sindrom ini). Lama ke lamaan saya percaya laman tersebut akan menjadi seperti akhbar Wawasan Merdeka yang kalau tidak berkubur pun akan menjadi tempelan semata.

Yang nampak sedikit karisma hanyalah laman Pemuda UMNO (www.pemudaumno.org.my). Sungguhpun ia merupakan cerminan kegiatan Pemuda dan bukannya wahana "peperangan siber" seperti Harakahdaily atau kmu.net.my, namun ia merupakan satu gerakan yang akan terus membesar dengan sokongan kewangan dan tenaga kerja yang baik.

Laman ini pula akan menghadapi masa depan yang tidak menentu. Latar belakang pendidikan, pemikiran dan taraf sosio-ekonomi penggeraknya yang pelbagai menjadikan keaktifan, hentakan perjuangan, percambahan idea hanya bergantung kepada keghairahan.

Penulis-penulis di sini menulis bila ada keghairahan, keterujaan dan desakan dalaman diri terhadap sesuatu perkara. Penulis-penulis jenis ini (termasuk saya) tidak ada disiplin untuk memastikan laman ini sentiasa segar dan bertenaga. Apatah lagi bila melihat UMNO sendiri sudah hilang kepedulian dan keprihatinan terhadap gerakan siber, maka semacam ada pemahaman di kalangan para penulis di sini bahawa tiada apa lagi yang perlu disumbangkan.

Maka jika esok ada pilihan raya, UMNO sudah boleh dianggap kalah di siber sungguhpun hampir pasti BN akan terus menguasai majoriti 2/3 dalam dunia realiti. UMNO suka memilih membiarkan masalah menjadi besar sebelum mula melawan kembali.

Jika siber ini menjadi masalah kemudian hari kepada UMNO seperti 1999, jangan kata tiada usaha menguasainya dari awal. Jangan dikatakan tiada inisiatif menguasai atau mengaktifkannya. Yang tiada hanya kesungguhan dari UMNO sendiri. Bagi UMNO dunia siber bukan alat kempen dan propaganda. Bagi UMNO, dunia siber hanya alat budak-budak muda yang mentah berpolitik dan menghabiskan masa seolah-olah mahuguru politik.

Kalau pun ini bukan pemikiran UMNO tapi sekurang-kurangnya inilah pemikiran jentera kempen dan propaganda UMNO Pusat sekarang ini. Mereka mengharapkan anak muda, belia dan remaja menghadiri ceramah atau membeli buku penulis-penulis politik mereka. Sayonara



Unit ini akhirnya ditubuhkan secara rasmi pada 24 Februari 2004.


Ketika itu saya bersama Alkamarulzaman Abdul Latif, Ketua Editor Laman Web Pergerakan Pemuda UMNO dan sejumlah rakan-rakan membantu Pusat Tindakan Media Pemuda UMNO (menggantikan nama  Unit Media Pilihan Raya Pemuda UMNO) di bawah Dato Norza Zakaria. Dalam Pusat Tindakan Media ini, saya merupakan Ketua Unit Produksi, satu unit kecil di bawah Pusat Tindakan Media Pergerakan Pemuda UMNO. Turut membantu ketika itu adalah rakan-rakan dalam MYKMU dan mereka yang terlibat dengan Idealis Mahasiswa. 

Pusat Tindakan Media itu kemudiannya dikenali sebagai Pusat Tindakan Media Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO selepas penglibatan Pergerakan Puteri UMNO di bawah pengawasan sdri Nolee Asyilin Radzi. Selain membantu koordinasi berita-berita mengenai calon-calon Pemuda ketika itu, di bawah Pusat Media ini juga beroperasinya Laman Web Pergerakan Pemuda UMNO, Gerbang Tempur Puteri dan Cybertroopers Pemuda UMNO.

Sunday, November 27, 2011

Nostalgia PRU2004 : Kartun PRU11, teringat kisah-kisah lama




Kartun ini antara sumbangan kartunis-kartunis Aza dan Aswad semasa PRU11 tahun 2004. Ketika itu saya bersama Alkamarulzaman Abdul Latif dan sejumlah rakan-rakan membantu Pusat Tindakan Media Pemuda UMNO di bawah Exco Pergerakan Pemuda UMNO waktu itu Dato Norza Zakaria. Saya merupakan Ketua Unit Produksi, satu unit kecil di bawah Pusat Tindakan Media Pergerakan Pemuda UMNO.

Pusat Tindakan Media itu kemudiannya dikenali sebagai Pusat Tindakan Media Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO selepas penglibatan Pergerakan Puteri UMNO di bawah pengawasan sdri Nolee Asyilin Radzi. Selain membantu koordinasi berita-berita mengenai calon-calon Pemuda ketika itu, di bawah Pusat Media ini juga beroperasinya Laman Web Pergerakan Pemuda UMNO, Gerbang Tempur Puteri dan Cybertroopers Pemuda UMNO.

Popular Posts