Showing posts with label Model Ekonomi Baru. Show all posts
Showing posts with label Model Ekonomi Baru. Show all posts

Monday, September 5, 2011

Zul Nordin: Buku 13 Mei Kua Kia Soong tidak laporkan fakta


PERBAHASAN BAJET 2011 PERINGKAT DASAR DI DEWAN RAKYAT OLEH Y.B. KULIM BANDAR BAHARU
Petikan Hansard Dewan Rakyat

28 Oktober 2010, 3.53 ptg.

Tuan Zulkifli bin Nordin [Kulim Bandar Baharu]: Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, sudah banyak hari tunggu. Bismillaahir Rahmaanir Rahiim, Alhamdulillah...

[Membaca sepotong doa]

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas peluang untuk turut sama dalam perbahasan Belanjawan atau Bajet Negara 2011 ini yang telah diberi dengan pelbagai label oleh beberapa orang yang sudah berucap. Ada yang memanggilnya ‘bajet seluar dalam’, ada yang panggil ‘bajet kelambu’. Jadi saya berharap, kegiatan, perbuatan suka melabel dengan menghina ini dapat dihentikan. Kerana tidak membawa manfaat kepada sesiapa pun. Saya teringat beberapa tahun dahulu mereka ini suka melabel orang. Saya pernah ingat seorang pemimpin UMNO dilabel dengan gelaran ‘al–Juburi’. Hari ini sudah jadi kawan. Jadi kita perlu ingat hendak mengkritik jangan terlampau melampau, berpada-pada. Hendak memuji pun jangan melampau-lampau biar berpadapada. Itu yang Islam ajar kita. Senang sangat hendak melabel orang dengan pelbagai label yang menghina. Kita harap perkara ini dapat dihentikan untuk kebaikan Negara dan umat sendiri insya-Allah.

Dalam bajet kali ini Tuan Yang di-Pertua, Gagasan 1Malaysia disebut beberapa kali. Saya khuatir Tuan Yang di-Pertua gagasan ini telah disalah tafsir apabila melihat iklan sinar lebaran Aidilfitri lepas terbitan TV3 dengan lebai pak santa bawa basikal macam Santa Claus menyalakan pelita di atas bunga lotus. Ini memberi gambaran bahawaGagasan 1Malaysia ini memang disalahtafsirkan dan salah mengertikan. Ada cubaan untuk membawa konsep 1Malaysia ini ke satu konsep Malaysian Malaysia. Semua orang sama, semua agama sama macam iklan TV3. Sampai dia cacamerba habis semua agama. Hak sama, kedudukan sama.

Saya ingin menegaskan soal persamaan tidak timbul kerana tunggak negara iaitu Perlembagaan Malaysia sendiri yang menjadi undang-undang utama negara, Perlembagaan itu sendiri discriminatory. Ianya sendiri discriminatory tetapi discriminatory positive. Di mana Perlembagaan sendiri discriminate antara rakyat iaitu agama Islam dan bangsa Melayu dilebihkan, itu kedudukan dalam Perlembagaan. Itu kita tidak boleh nafikan. Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan, Artikel 11(4) Artikel 12(4) Artikel 76, Jadual Kesembilan, Senarai 2, Artikel 211A, Artikel 150, Artikel 160. Ini peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang jelas meletakkan yang discriminate agama dan kaum lain dengan agama Islam dan bangsa Melayu. Ini hakikat dalam negara ini.

Contohnya bahasa Melayu, bahasa Melayu bahasa kebangsaan, dia discriminate dari bahasa lain. Kita tidak boleh kata sama. Tidak boleh samakan bahasa Melayu dengan bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Inggeris sebab bahasa Melayu bahasa Perlembagaan yang didaulatkan oleh Perlembagaan.

Akan tetapi malang setelah 50 tahun lebih, ada yang tidak faham lagi bahasa Melayu. Tengok Yang Berhormat Ipoh Timur tadi. Merujuk kepada kata-kata Perdana Menteri dia putarkannya ayat itu, tengok ini bahasa racist, bahasa yang hendak bawa kepada peperangan. Ini jenis yang tidak faham bahasa Melayu. Duduk Malaysia lama, peribahasa pun tidak faham. Ia hanya gambaran bahawa orang Melayu atau sesiapa yang sebut akan mempertahankan ke titisan darah terakhir, akan pertahankan sehingga bercerai badan, tangan dan kaki. Ini peribahasa, menunjukkan kita akan berjuang habis-habisan.

Saya hendak ingatkan Yang Berhormat Ipoh Timur, apa parti dia sebut pada tahun 1969. Peristiwa berdarah 1969. Ini parti dia sebut sendiri dalam rekod negara.“Hold high the Red Flag of Martyrs and carry out revolution to the end, to die for the people is as heavy as the mountain of Tai”. Ini kenyataan yang dibuat.Ini kenyataan yang dibuat oleh parti Yang Berhormat Ipoh Timur tahun 1969, rekod dalam Arkib Negara, pergi baca. Mana lebih bahaya ayat seperti itu dengan peribahasa yang digunakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri?

Tuan Yang di-Pertua, saya bersetuju dengan kenyataan bahawa Perlembagaan telah jelas memahat hak dan kedudukan istimewa agama Islam dan bangsa Melayu. Sudah jelas sudah. Tidak boleh dipersoalkan malahan benar tidak boleh dipinda pun kecuali dengan persetujuan kesembilan Raja-raja Melayu tapi yang penting

Tuan Yang di-Pertua, bukan soal pemahatan hak dan kedudukan istimewa itu tetapi adalah soal penterjemahan dan pelaksanaan hak dan kedudukan istimewa itu. Hari ini kita tengok bagaimana serangan dibuat terhadap institusi Raja-raja Melayu secara terbuka. Institusi Mahkamah Syariah, institusi berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia, SPRM, kehakiman diserang.

Kita lihat bagaimana kelihatan sekarang ini seperti satu amalan double standard apabila seorang belia Cina - Namewee, Wee Meng Chee, buat blog yang saya telah dedahkan dalam soalan tambahan saya baru-baru ini. Satu penghinaan kepada Islam, kepada bangsa Melayu, kepada pihak berkuasa tetapi Peguam Negara membuat keputusan, mengikut dalam jawapan Parlimen, tidak akan mengambil tindakan pendakwaan. Tak akan dakwa langsung, dilepaskan begitu sahaja tetapi seorang blogger Melayu - Irwan Abdul Rahman, baru sindir TNB, kena caj di mahkamah.

Apabila wartawan majalah - Al-Islam menyamar pergi ke sebuah gereja hendak tengok kegiatan murtad di kalangan orang Melayu, mereka dimaki hamun, dihina. Tindakan keras dituntut diambil terhadap mereka tetapi bila wartawan wanita Cina - Malaysian Insider menyamar masuk menyusup ke perhimpunan agung orang Melayu pakai tudung macam perempuan Islam, dia katakan itu cara yang beretika kewartawanan.

Apabila kes anak Melayu bakar gereja penjara bertahun. Anak Cina baling surau dengan arak, cat dengan warna merah, denda. Pegawai BTN bercakap tentang hak Melayu, kedudukan Islam dalam perhimpunan tertutup orang Melayu Islam dimaki hamun, disuruh ambil tindakan tegas tapi bila Presiden MCA mempertikaikan kedudukan orang Melayu, tidak ada apa tindakan.

Jadi bagaimana kita hendak menyatakan bahawa hak dan kedudukan istimewa orang Melayu, betul terpahat di dalam Perlembagaan tetapi bagaimana dengan pelaksanaan? Bagaimana dengan penterjemahannya dalam dasar dan perancangan negara?

Hari ini, dalam negara ini seolah-olah umat Islam bangsa Melayu seperti warga kelas kedua, diketepikan. Hari ini, seolah-olah menjadi satu dosa besar kalau kita bercakap tentang isu orang Melayu, isu agama Islam, jadi dosa besar dalam negara ini. Sampai orang kata Pak Janggut pun ketar telur hendak bercakap pasal Islam. Takut.

Sebab itu Tuan Yang di-Pertua, saya berpendapat bahawa cadangan Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri untuk mewajibkan mata pelajaran Sejarah penting supaya rakyat diperingatkan semula apa yang berlaku pada sejarah yang lampau supaya menjadi sempadan kepada kita, menjadi pengajaran, iktibar dan saya cadangkan antara sejarah penting negara yang perlu didedahkan ialah Peristiwa 13 Mei. Bila cakap tentang 13 Mei mereka akan mengamuk. “Sudah jadi historical, tak boleh, mana boleh cakap ini cerita, sudah lama”. Pasal apa yang mereka takut sangat? Pasal apa?

Tuan Yang di-Pertua, saya cuba hendak buat research tentang peristiwa 13 Mei. Saya terkejut ada tiga buku sahaja. Pasal 13 Mei ada tiga buku sahaja. Laporan MAGERAN - Laporan Rasmi, buku tulisan Almarhum Tunku Abdul Rahman - Before and After May 13 dan terbaru tulisan Kua Kia Soong - 13 May. Ini tiga sahaja peristiwa besar macam itu.

Saya baca tentang 13 Mei yang ditulis oleh Kua Kia Soong. Saya tidak berapa setuju dengan tulisan beliau kerana tulisan beliau adalah analisa bukan melaporkan fakta. Dia analisa berdasarkan kepada analisa wartawan barat masa itu. Memanglah, macam sekarang. Dia analisa yang dibuat oleh reporter barat pada peristiwa itu dahulu. Memanglah akan prejudis tapi Laporan MAGERAN oleh pemerintah, bertarikh Oktober 1969, buku Almarhum Tunku Abdul Rahman - 13 May Before and After, buku ini fakta, siap dengan gambar. Kenapa ada golongan tertentu dalam negara ini takut peristiwa 13 Mei diajar sebagai mata pelajaran Sejarah?

Sebab itu Tuan Yang di-Pertua, saya hendak ambil peluang pada hari ini untuk menceritakan tentang peristiwa 13 Mei ini daripada laporan fakta yang ada supaya rakyat tahu kenapa peristiwa itu berlaku. Ia bukan satu peristiwa spontan yang berlaku pada 13 Mei. Hari itu sahaja, orang Melayu berkumpul dekat Kampung Baru, parang bakar – ada dengar cerita parang terbang dan tahu-tahu beberapa orang Cina mati tergolek. Bukan itu, peristiwa ini bermula jauh pada tahun 1957.

Ia bermula pada tahun 1957 lagi. Pada 2 Januari 1957 di Pulau Pinang, apabila perarakan mengisytiharkan Pulau Pinang sebagai bandar raya yang tidak disertai orang Melayu yang membantah, orang Melayu dikepung dan cuba dikapak oleh sekumpulan Cina. Seorang pegawai polis Cina mempertahankan Melayu yang dikepung itu dan menembak perusuh Cina, maka tension sudah start. Itu tahun 1957.

Pada 1 Mei 1959 di Sungai Pinang, berlaku pergaduhan antara orang Melayu dengan orang Cina. Ia kemudian merebak dan samseng Cina mula merusuh. Imam masjid Sungai Pinang panggil mesyuarat orang kampung untuk membuat kawalan. Kumpulan Cina bersenjata kepung masjid dan berlaku pergaduhan rumah dan kedai terbakar, pembunuhan berlaku di kedua belah pihak iaitu sepuluh tahun sebelum peristiwa itu.

Pada 11 Julai 1964 di pasar Bukit Mertajam, seorang pekerja Melayu diketuk dengan cangkul oleh seorang anak tauke Cina sayur berumur 15 tahun. Dia buat report, polis lambat ambil tindakan. Dia tidak puas hati, dia pergi lapor kepada Majlis Daerah, maka beberapa tindakan diambil. Berlaku pergaduhan dan seorang Melayu dibunuh. Gambar dia ada lagi dalam ini – gambar dia dibunuh. Encik Kasim bin Omar terlentang atas lantai pasar dibunuh oleh sekumpulan Cina – berlaku tension pada masa itu.

Kemudian, saya ingat lagi pada masa itu sudah mula perasaan tidak puas hati ini timbul. Baru-baru ini saya ada ceramah di kawasan Kampung Baru. Orang-orang tua di situ cerita bagaimana terhinanya orang Melayu pada masa itu pergi ke Chow Kit hendak beli barang daripada Cina. Minta cili, minta bawang, dia tunjuk dengan kaki sahaja – lu angkat ini. Ini perasaan orang Melayu pada masa itu.

Maka episod ketidakpercayaan sudah mula wujud, tension ketegangan sudah mula wujud sejak itu lagi.

Pada tahun 1969, pilihan raya berlaku. DAP dan GERAKAN main isu perkauman. Saya hendak sebut pada Tuan Yang di-Pertua, isu yang dimainkan itu supaya kita tengok balik. Dalam laporan yang dibuat, apa dia kempen atau isu perkauman yang dimainkan pada masa itu? Di muka surat 21 sehingga 24 Laporan MAGERAN – sebab saya hendak baca ini Tuan Yang di-Pertua, kerana patennya sama sahaja dengan hari ini, sebiji sama.

Apa yang berlaku pada tahun 1969? Laporan itu menyebut DAP dan GERAKAN mempertikai Artikel 153 (Hak dan kedudukan istimewa orang Melayu), mempertikai status bangsa Melayu sebagai peribumi. Saya tidak lupa kenyataan Ketua Wanita Parti GERAKAN yang menyatakan orang Melayu pun pendatang, tohmahan orang Melayu mendapat keistimewaan dan Cina diketepikan terutama di sektor awam. Padahal, itu tidak betul. Kalau kita baca dalam Laporan MAGERAN, ia menyebut bagaimana sebenarnya fakta itu tidak betul.

Saya hendak baca fakta yang dikemukakan secara ringkas Tuan Yang di-Pertua, yang hendak menyatakan bahawa orang Melayu dapat kedudukan istimewa dalam perkhidmatan awam. Dalam laporan ini di muka surat 22 dan 23 disebut, “Figures relating to division one government officers by racial group as of 1st November 1968:


Maknanya, pada masa itu fakta yang kata orang yang bukan Melayu diketepikan dan Melayu dapat keistimewaan tidak betul pada masa itu. Kalau Tuan Yang di-Pertua tengok sekarang isu yang dikatakan Cina tidak dapat itu, tidak dapat ini, saya hendak baca kenyataan dalam Malaysian Business isu bulan September 2010. Kenyataan oleh seorang tokoh korporat Cina sendiri, Tan Sri Liew Kee Sin daripada syarikat SP Setia Berhad menyatakan bahawa sebenarnya masyarakat Cina di Malaysia mendapat kedudukan yang baik di bawah polisi pro bumiputera.

Dia beri contoh dalam majalah Forbes disebutkan bahawa di bawah dasar pro bumiputera ini, syarikat yang dikuasai oleh kaum Cina account for 37% of market capitalization among the top 300 listed companies compared to bumiputera equity of 7% dengan izin. “Chinese individuals also control 73% of the wealth owned by the top 40 richest Malaysians and make up eight of the top ten richest Malaysian” dengan izin. “He pointed out that Chinese small-to-medium enterprises (SMEs) had done very well too, and that their owners could even afford to buy the multi-million ringgit bungalows built by his company. “One Chinaman want to build a bungalow of RM40 million!” he said.”

Kenyataan Tan Sri Liew Kee Sin dari SP Setia.

Jadi di mana yang kata tidak dapat keistimewaan dan diketepikan?

Kemudian kalau Tuan Yang di-Pertua tengok kenyataan sekarang, ia sama. Pertikai Artikel 153, tohmah kata orang Melayu dapat keistimewaan lebih, selepas itu kata dia diketepikan. Sama, same patent by the same people. Oleh orang yang sama yang masih ada lagi di sini. Malahan Tuan Yang di-Pertua, pada 15 April 1969, Yang Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman yang mereka dewa-dewakan sekarang – dia kata apa? Dia bagi amaran dah masa itu. Tunku memberi amaran – ini dalam Laporan MAGERAN Oktober 1969. Tunku sebut apa? Tunku memberi amaran kepada DAP supaya tidak mempersoalkan Artikel 153 jika DAP – di Kuala Pilah Tunku membuat kenyataan ini.

Dalam muka surat 24 Laporan MAGERAN, Tunku kata jika DAP berterusan mempertikai Artikel 153, kekacauan akan berlaku dan keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi akan hancur.

Exactly, sebiji apa yang berlaku sekarang – sama paten.

Tuan Yang di-Pertua...

Saya hendak sebut sahaja apa yang berlaku pada 13 Mei itu untuk menutup. Tuan Yang di-Pertua, cuba Tuan Yang di-Pertua bayang ini kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka pada masa itu.

Pada 4 Mei 1969 di Kepong, sekumpulan pemuda Cina menconteng grafiti anti pilihan raya. Polis suruh berhenti dan diserang dengan besi dan lastik besi. Polis pertahan diri dan tembak mati seorang. Mayat di preserved untuk perarakan pada hari undi 10 Mei.


Pada 9 Mei 1969 di Kuala Lumpur, perarakan membawa mayat melalui Kuala Lumpur dan menyebabkan jam, melaungkan slogan ‘Malai Si’ (Melayu Mati) dan slogan ‘Mao Zedong’ termasuk hutang darah dibayar darah.


Pada 10 Mei 1969, Pulau Pinang tumbang, nyaris kalah di Selangor dan Perak. Beberapa kerusi Parlimen tumbang kepada DAP dan GERAKAN.


Perarakan kemenangan dibuat pada 11 Mei 1969 di jalan BrickfieldS pada pukul lima petang. Dia kata apa? “Apa polis boleh buat? Kita Raja,buang semua polis Melayu”.


Pada 11 Mei 1969 pukul 8.30 malam di Jalan Bukit Bintang, perarakan DAP – “Mati Melayu, sakai pergi masuk hutan”.


Pada 11 Mei 1969 pukul 10.00 malam di Jalan Changkat Dollah – “KL sekarang Cina punya”.


Pada 12 Mei 1969, satu perarakan di Jalan Ipoh, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Parlimen, Jalan Raja Laut, Jalan Hill masuk ke Kampung Baru dengan 500 skuter. Apa mereka kata? “Melayu balik kampung, Melayu sudah tiada kuasa. Sekarang kita Cina control.” Bila lalu depan Kampung Baru mereka kata “Melayu keluar! Apa lagi duduk sini, kita hentam sama lu, sekarang kita ada kuasa”.


Pada 12 Mei 1969 pukul 7.30 petang di pondok polis Jalan Pudu – “Maki polis! Semua Melayu kasi habis, kasi halau semua polis.”


Pada 12 Mei 1969 pukul 8.30 malam di Jalan Bukit Bintang – “Apa ini Melayu, kita sudah perintah dia negeri, ini negeri bukan Melayu punya, mata-mata lancau.”


Pada 12 Mei 1969 pukul 7.00 petang di Jalan Canvel – “Butoh Melayu, Malai si, pergi mati Melayu.”


Pada malam 12 Mei 1969 di Jalan Bukit Bintang – “Ini negeri bukan Melayu punya, kita mahu kasi halau semua Melayu.”



Pada awal tengah malam 13 Mei 1969 di Kampung Baru – “Maki orang Melayu, Melayu balik hutan.”


Pada 12 Mei 1999, 9.30 malam, PJ. – “Sekarang kita perintah apa boleh buat? Melayu balik kampung. Melayu sudah jatuh, MARA boleh keluar. Melayu balik kampung, MARA hendak beri habis.” Tuan Yang di-Pertua, ini yang berlaku pada masa itu.

Cadangan saya supaya diperbanyakkan bahan terbitan dan bacaan tentang peristiwa13 Mei ini. Kemudian selalu ulangkan di televisyen. Ketiga, kempen kesedaran di sekolah-sekolah berkenaan sejarah khususnya peristiwa 13 Mei ini. Adakan video klip, gambar-gambar yang disimpan di dalam Arkib Negara semua itu bawa keluar bagi orang tengok.

Kemudian saya cadangkan supaya ditubuhkan satu suruhanjaya siasat dalang-dalang 13 Mei ini. Buat satu kertas putih siasat kepimpinan DAP pada masa itu yang masih ada lagi pada hari ini. Ini kerana mereka ini orang kata parti chauvinist infested party. Dia tidak boleh sudah, orang lain semua berubah, dia sahaja tidak berubah.

Saya paling takut Tuan Yang di-Pertua yang saya hendak dedahkan pada hari ini sebenarnya Tuan Yang di-Pertua kalau Tuan Yang di-Pertua tengok rapatnya kepimpinan DAP dengan kepimpinan PKR ini...sebenarnya yang buat mereka rapat saya rasa kawan-kawan saya di PAS pun tidak tahu ada perjanjian sulit di antara mereka sekiranya Pakatan Rakyat menang Kerajaan Persekutuan kuasa autonomi akan diberi kepada Pulau Pinang. Calon-calon Melayu akan diletakkan di Perak dan di Negeri Sembilan, kalau mereka menang Menteri Besarnya daripada DAP.
kredit-Celahgelegar


Read more: http://www.pisau.net/2011/09/melayu-rasis-17-yang-buta-sejarah.html#ixzz1X111dIkq

Saturday, August 20, 2011

Jihad Ekonomi Melayu: Pegawai Kerajaan dan GLC - Fasilitator atau Terminator?

NAJIB Tun Razak diiringi Abdul Rahim Tamby Chik bersalaman dengan para peserta selepas merasmikan Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera di UiTM Shah Alam, semalam. – BERNAMA


Nota: Dasar telah diperjuangkan oleh pemimpin UMNO dulu dan hari ini. bagaimanapun agenda untuk melahirkan masyarakat Bumiputera tidak akan berjaya tanpa pelaksanaan yang betul, cekap, penuh berintegriti dan amanah oleh pelaksana dasar, iaitu pegawai kerajaan, terutama golongan PTD dan kapten GLC. Persolannya sekarang adakah KSN, KSU, SUB, TSUB fasilitator atau terminator? Adakah Lembaga Pengarah, CEO, COO, Pengarah Perolehan dan Pengarah Kewangan fasilitator atau terminator? Bagaimana pula Idris jala dan Amirsham? Fasilitator atau terminator?





TERIMA kasih kepada Gabem kerana menjemput saya merasmikan Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi yang bertemakan Satu Jihad Ekonomi Bumiputera.

Kita dalam satu suasana yang menampakkan bahawa rata-rata masyarakat bumiputera khususnya orang Melayu ingin kepada suatu pembentukan masyarakat yang adil dan saksama dalam erti kata bahawa kalau sebut tentang pengagihan kekayaan negara, biarlah pengagihan itu dapat menepati prinsip keadilan, dapat melambangkan bahawa jika orang Melayu dan bumiputera merupakan majoriti dalam negara kita, maka tidak adil kalau kekayaan negara kita tidak mencerminkan kedudukan kaum bumiputera yang majoriti dalam negara.

Itulah merupakan pemikiran dan intipati, bukan baru ini tetapi 40 tahun dahulu. Waktu kita melahirkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tindakan afirmatif yang pertama dalam sejarah negara bermula pada awal tahun 70-an, kerana apa? Kerana orang Melayu tidak sanggup menjadi bangsa yang terpinggir di bumi negara mereka sendiri.

Kini 40 tahun lebih sudah berlalu, dalam kita berkonvensyen seperti ini, elok kita lakukan proses retrospektif melihat di mana kita berada sekarang, untuk kita bertanya pada diri, apa kejayaan kita dan apa kelemahan dan kekurangan serta penambahbaikan yang perlu kita lakukan.

Sebagai sebuah kerajaan, saya telah menyatakan lebih awal lagi bahawa era kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir, yang penting adalah untuk kita mendengar isi hati rakyat, mendengar bisikan naluri rakyat.

Apa sebenar rakyat hendak, sebab itu saya beri jaminan bahawa Majlis Tindakan Agenda Bumiputera akan memberi pertimbangan yang serius kepada resolusi konvensyen yang kita adakan pada hari ini.

Sebab kita hendak lakukan yang lebih baik. Kita ada idea, perancangan, agenda dan fokus yang lebih tetapi penambahbaikan idea-idea dalam konvensyen seperti ini perlu dijadikan input untuk pertimbangan kerajaan.

Tuan dan puan-puan sekelian, percayalah, kerajaan amat komited kepada dua perkara, pertama, kita komited bahawa kita tidak hendak mereka memperlekehkan negara kita kerana negara ini dalam apa juga keadaan dipimpin orang Melayu sebagai teras pemerintahan negara dan UMNO adalah merupakan tunjang kerajaan yang ada hari ini.

Itu merupakan hakikat dan di bawah kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN), kita komited untuk mentransformasi negara ini sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Kerana kalau negara maju, kemakmuran itu boleh kita agihkan, kalau negara kita tidak ada pertumbuhan ekonomi, tidak berkembang lima (hingga) enam peratus setahun, bagaimana hendak agih kepada semua, kepada negeri-negeri, hendak beri peruntukan kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Semuanya datang daripada punca kekayaan hasil negara. Kalau negara kaya, Insya-Allah, tunggak kedua, untuk mempastikan kekayaan diagihkan secara adil dan saksama.

Ada orang kata sudah sampai masanya, tidak perlu lagi tindakan afirmatif, ada kata tidak perlu lagi kuota, sudah sampai masa kita mengamalkan masyarakat meritokrasi sepenuhnya. Ada yang kata begitu dalam kalangan orang Melayu yang dipanggil liberal.

Saya kata bahawa bukan Melayu kaya, dia kerja kuat, ya memang betul tetapi mereka kaya kerana negara kita stabil, ditadbir urus dengan baik.

Sejak dulu lagi, siapa beri lesen beras, lesen bank, lesen gula, sebab itu mereka berjaya, kerana kepimpinan UMNO, orang Melayu adil tetapi jangan mereka tidak bertimbang rasa kepada orang Melayu.

Mereka juga kena berlaku adil kerana orang Melayu sudah berada dalam keadaan disadvantage, sebahagian besar kita berada di luar bandar, pinggir bandar yang masih memerlukan pertolongan daripada kerajaan melalui dasar-dasar yang menguntungkan semua pihak. Sebab kalau kita hendak laksanakan meritokrasi sepenuhnya, tak adil.

Ada sebuah kampung di Hulu Tembeling, Pahang namanya Kampung Bantal dan sebuah lagi Kampung Pagi, kalaulah anak Kampung Bantal dan Pagi hendak berjaya berbanding anak yang membesar di Lembah Klang, kalau kita tidak beri pertimbangan tertentu, anak Kampung Bantal dan Pagi tidak mungkin dapat merasai tempat yang lebih baik dalam negara kita.

Sebab itu kita mesti adunkan antara meritokrasi dan keadilan sosial. Kalau tak ada meritokrasi, langsung tak ada meritokrasi, apa akan jadi kepada negara kita? Kita akan menjadi sebuah negara mediokcrity, maknanya kita tidak mengejar kecemerlangan.

Anak di luar bandar tidak boleh kita pinggirkan, perlu diberi peluang, sebab itu hala tuju dalam pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kita adunkan meritokrasi dan keadilan sosial.

Kita perlu mencari hala tuju yang boleh diterima oleh majoriti rakyat. Sebab itu agenda untuk kita memperjuangkan kedudukan Melayu bumiputera dalam bidang ekonomi, merupakan agenda yang kita amat komited untuk menjayakannya.

Kita sentiasa memikirkan idea-idea baru, dua tahun lalu kita lahirkan Skim Jejak Jaya Bumiputera di mana kita kenal pasti syarikat-syarikat yang boleh disenaraikan di bursa saham tetapi memerlukan sedikit pertolongan daripada kerajaan.

Kalau dia dapat sedikit pertolongan kerajaan, dia boleh memenuhi kriteria Suruhanjaya Sekuriti dan disenaraikan. Setakat ini, nilai saham yang telah kita disenaraikan menghampiri RM 1 bilion yang tidak mungkin dapat disenaraikan.

Dalam masa terdekat ini, kita akan bentangkan syarikat ini yang sudah disenaraikan dan akan disenaraikan. Ini satu cara baik kerana cara dulu, ia tidak dapat bertahan, tidak mapan.

Saya hendak beritahu, jangan terkejut RM60 bilion saham yang diagihkan kepada bumiputera pada masa dahulu, hari ini tinggal dua bilion saja pegangan.

Kenapa? Sebab tidak ada kemampuan hendak pegang saham, tidak sustainable, jadi kalau beri saham , kalau kita tanya mengapa jual saham. Dia kata mengapa tidak boleh jual, harga saham naik, saya jual. Betul juga. Tetapi bila dia jual saham apa dia guna kekayaan dia? Tambah beli rumah ke, tambah kereta atau tambah hak lain?

Maknanya tidak sustainable. Jadi di bawah hala tuju baru kita hendak gunakan prinsip meritokrasi tetapi di kalangan orang Melayu dan bumiputera.

Kalau kita hendak tolong syarikat-syarikat disenaraikan, mesti terbukti kewibawaannya sebagai pengusaha yang komited dan tulen.

Saya kata kepada mereka, bukan siapa yang anda kenal tetapi anda tahu bagaimana.

Syarikat-syarikat yang disenaraikan itu bukan orang yang saya kenal atau siapa yang kenal mereka, tetapi kita ambil mereka kerana sudah ada track record.

Kalau kita hendak tolong mesti tolong orang yang benar-benar akan menjadi pengusaha yang berjaya kerana dia mempunyai sistem nilai yang positif dan komited. Kerana apa, mereka berjihad untuk berjaya dalam bidang itu.

Lanjutan daripada itu, di bawah program Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) kita sedang dalam proses menyenaraikan 1,100 syarikat bumiputera yang ada kemampuan untuk berjaya dan kita akan membantu syarikat tersebut menjadi sebagai syarikat yang berpotensi menjadi lebih besar.

Kalau pulangannya RM100,000 tahun ini, kita mahu ia naik kepada RM1 juta, sehingga RM100 juta dan peringkat domestik kepada pemain antarabangsa.

Kita akan bentangkan program ini untuk kenal pasti dan bantu jadi lebih berjaya lagi. Ini akan kita umumkan dalam masa dua tiga bulan akan datang.

Kita sedang membuat pangkalan data insya-Allah program ini satu pendekatan baru berdasarkan kepada prinsip meritokrasi, tiada lagi soal kroni atau siapa yang kamu kenal. Bukan rakan atau kawan kita tetapi benar-benar boleh berjaya orang itulah kita bantu.

Pernah dulu ramai datang, datuk boleh tandatangan tak surat. Saya kasihan, bukan tidak mahu tolong tetapi kadang-kadang apabila saya tandatangan dan bila diperiksa belakangnya bukan bumiputera.

Kebanyakannya makan atas angin. Sewaktu menjadi Menteri Besar Pahang dahulu, bila keluar daripada pejabat saya, di tempat letak kereta kita tengok dia sudah berurusan dengan orang lain.

Dia tidak perasan, saya perhatikan dia. Muka orang Melayu dan syarikat nama Melayu tetapi dapat tender balak jual kepada orang lain. Ada istilah lego (let go) tapi maknanya kalau ada amalan seperti ini maka berlaku ketirisan, sampai kucing bertanduk pun kita tidak akan maju.

Kalau tidak ubah sikap, nilai kita, sampai bila pun kita akan bergelut dengan isu yang sama, apa yang kita hendak ialah orang yang komited dan sanggup berjihad. Maknanya, bukan kerajaan saja bantu, kita perlu bantu diri sendiri untuk maju dalam ekonomi.

Kita galakkan program pembangunan vendor. Saya tengok syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas, Tenaga Nasional Bhd, dan Telekom Malaysia tetapi ada yang sudah berasa selesa menjadi vendor dan tidak mahu berhijrah keluar dan menjadi syarikat yang berdikari

Macam kelas F, syok jadi kelas F, tidak mahu menjadi kelas lebih tinggi. Saya hendak tekankan perkara ini supaya kita faham bahawa dalam bidang ekonomi, kalau hendak berjaya, kena kedua-dua sekali, macam kita tepuk tangan.

Bukan sahaja kerajaan, masyarakat bumiputera pun mereka juga perlu memperlihatkan kesungguhan untuk berjaya. Ada juga syarikat bumiputera yang berjaya. Baru-baru ini sebuah syarikat membeli sebuah syarikat di Australia dalam bidang minyak dan gas.

Apa yang saya harap bumiputera yang sudah berjaya menjadi syarikat besar ini perlu mempunyai program pembangunan vendor bagi membantu syarikat lain. Bukan setakat memberi sumbangan kebajikan saja, tetapi membantu melahirkan lebih banyak usahawan bumiputera yang boleh dibantu oleh syarikat yang berjaya.

Itulah yang saya dapat gambarkan bahawa komitmen kita untuk melahirkan masyarakat yang adil dan saksama, merupakan komitmen kerajaan.

Kita jangan takut kepada perubahan, sebab kalau kita hendak mempertahankan keadaan sedia ada tetapi keadaan sudah berubah, kita mesti menangani perubahan dan sanggup melakukan adaptasi supaya kita berjaya dalam iklim yang kompetitif.

Keadaan ekonomi dunia berubah, kuasa-kuasa baru muncul seperti China dan India. Era liberalisasi menjadi satu yang tidak dapat kita hendak cuba lawan perubahan. Kita akan berdepan dengan satu tekanan yang tidak mungkin dapat kita hadapi.

Apa yang perlu dilakukan oleh golongan bumiputera adalah melakukan penyesuaian dalam struktur baru iklim ekonomi ini supaya kita lebih berjaya.

Saya berharap kita dapat mengambil sikap positif dalam hal ini walaupun kita ada kelemahan dan kekurangan ini dan ini termasuk di pihak kerajaan.

Tetapi kalau kita ada constructive engagement dengan masyarakat Melayu bumiputera, saya percaya kita akan lebih berjaya pada masa akan datang.

Saya inginkan apabila fajar menyingsing pada 1 Januari 2020, bila Malaysia diisytiharkan sebagai negara maju saya ingin melihat Melayu juga diiktiraf sebagai satu bangsa yang berjaya dan maju.

Ini adalah komitmen kerajaan, mesti realisasi komitmen ini, kerjasama dengan NGO-NGO seperti Gabem amat penting dengan Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera.

Lebih banyak NGO tidak mengapa asalkan bersama-sama dalam satu kapal untuk memperjuangkan untung nasib Melayu bumiputera. Kita mempunyai hala tuju yang jelas tidak ada kapal lain memperjuangkan agenda Melayu bumiputera.

Saya ucapkan tahniah kepada Gabem kerana menganjurkan majlis dalam Ramadan penuh dengan berkat. Seramai 5,000 peserta yang hadir. Kita mesti jadi fasilitator dan jadi jangan terminator.

Kita mesti menjadi rakan kongsi kerajaan untuk memperjuangkan agenda ekonomi orang Melayu bumiputera dan bahawa di bawah kepimpinan UMNO dan BN, komitmen yang lahir daripada konvensyen ini, tindakan yang akan dilakukan, kita akan perkasakan agenda Melayu bumiputera supaya lebih berjaya.

Tuesday, June 1, 2010

Model Baru Ekonomi - Maaf PM, saya tidak percaya Amirsham!


Saya telah menulis tentang Model Baru Ekonomi (MBE) dan menyatakan pendapat saya dalam dua forum sebelum ini. Pandangan saya dalam forum pertama, tidak banyak beza dengan tulisan saya dalam blog ini (klik).

Dalam forum kedua, selepas mendengar pembentangan anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) Dr Norma Mansor dan Amirsham Abdul Aziz, saya telah menyifatkan MBE sebagai satu pelan yang menakutkan, mempunyai pertentangan dari segi matlamat dan pelaksanaannya serta kurang jelas dari segi integrasinya dan keserasiannya dengan Bidang Keberhasilan Ekonomi Nasional (NKEA) yang dirangka oleh Pemandu, di bawah Menteri KPI, Idris Jala dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMke-10) oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

Menakutkan kerana - ia adalah satu perubahan drastik dan bersifat memaksa, tanpa aspek penghayatan terhadap kisah kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Negara (DPN) dan Dasar Wawasan Negara (DWN), mengambil pengajaran dari kelemahannya dan membuat pengubah suaian berdasarkan trend masa kini dan indikator pencapaian setiap kaum hari ini.

Pertentangan kerana NEAC menyedari bahawa terdapat 40% golongan yang berpendapatan rendah dan 80% mempunyai pendidikan pada tahap SPM, tetapi masih ingin menghapuskan subsidi. NEAC juga sedar bahawa dari segi sikap dan tabiat rakyat Malaysia yang tidak sanggup membayar untuk perkhidmatan (termasuk tol), tetapi masih fikir gaji dapat ditingkatkan. Walaupun ada 80% rakyat yang mempunyai pendidikan pada tahap SPM, tetapi masih yakin gaji mereka dapat ditingkatkan - atas dasar apa?! Mungkinkah expatriate atau pekerja mahir dari luar yang akan diutamakan untuk gaji yang lebih tinggi ini?

Menakutkan - bila Amirsham menjelaskan, dia berjaya meningkatkan gaji pekerja di bank di bawah jagaannya dengan meningkatkan nilai tugasan pekerja, mengautomasikan perkhidmatan tertentu dan menjadikan mereka lebih bersifat `multitasking'. Mungkin fikiran singkat Amirsham menyebabkan dia lupa bahawa pekerja bank adalah yang paling ramai diberhentikan secara paksa-rela dan gaji tersebut telah di`transfer'kan untuk membayar gaji dan membeli mesin automasi. Blogger Another Brick in The Wall telah menulis mengenai Amirsham di sini - (klik). Mungkin kita perlu sedarkan Amirsham, dalam banyak keadaan, multitasking bukan tidak dibayar dengan setimpal di Malaysia, tetapi TIDAK dibayar sama sekali di Malaysia!

Menakutkan juga kerana saya tidak nampak di mana pelan ini akan berintegrasi kerana saya sangat faham tentang cara RMke-10 di rangka. Saya percaya RMke-10 yang dirangka tanpa mengambil kira MBE dan NKEA kerana kedua-duanya masih belum dimuktamadkan lagi. Nasib yang sama seperti yang menimpa Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang hanya dimuktamadkan selepas pembentangan Bajet 2010 yang sudah tentunya tidak mengambil kira NKPI dan inisiatif-inisiatif yang dirangka di dalam pelbagai makmal NKRA.

Menakutkan - kerana saya tidak mendapat jawapan yang meyakinkan daripada Amirsham, tentang bagaimanakah mereka mahu bermula. Menghapuskan subsidi terlebih dahulu atau mewujudkan bidang ekonomi baru atau meningkatkan gaji pekerja atau meningkatkan peranan swasta atau terus saja membuka ekonomi dan pasaran negara?

Menakutkan - kerana saya tidak nampak di mana agenda keadilan dan kesaksamaan sosial sebenarnya, terutama dalam bidang ekonomi dan perniagaan - lebih-lebih lagi selepas saya membaca, meneliti dan menghayati setiap helaian kertas pembentangan mantan Ketua Pengarah EPU, Dato Halipah Esa; dan saya dapat mengerti betapa dalam kesedihan beliau setiap kali beliau menitiskan air mata semasa membentangkan kertas ini (klik)!

Sunday, May 16, 2010

Model Baru Petronas - masih ada yang tidak yakin dengan kemampuan anak bangsa sendiri?

Persara MISC Bhd Dato' Shamsul Azhar Abbas kini diangkat sebagai CEO Petronas

Saya merasa meluat apabila ada rakyat Malaysia yang tidak yakin dengan kemampuan anak bangsanya sendiri. Lebih-lebih lagi apabila menerajui salah sebuah dari syarikat yang terbesar di dalam negara yang diketahui telah beroperasi lebih 30 tahun yang dulu dan telah menghantar sejumlah anak bangsanya mendalami pengalaman di peringkat antarabangsa.

Bagaimana pun inilah kenyataan yang boleh disimpulkan mengenai Dato’ Shamsul Azhar Abbas yang mengambil alih pentadbiran Petronas daripada Tan Sri Hassan Merican pada bulan Februari 2010 kerana PM Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak enggan menyambung kontrak perkhidmatan Presiden dan CEO Petronas berdasarkan tulisan blogger Big Dog, dalam artikelnya - MODEL BARU PETRONAS - http://bigdogdotcom.wordpress.com/2010/05/13/model-baru-petronas/

Dalam artikel itu disebut:
"Beliau yang dikatakan telah berbincang dengan PM Dato’ Seri Najib, mengariskan beberapa pendekatan baru bagaimana Petronas akan beroperasi, walaupun sebenarnya merupakan sebuah GLC milik penuh negara. Perubahan yang paling ketara yang sudah pun terlaksana pada hari ini ialah komposisi ahli Lembaga Pengarah (Board of Directors - BOD). Hanya 2 wakil Kerajaan akan berada dalam BOD disamping kesemua Naib Presiden Eksekutif. Shamsul juga dikatakan menyebut bahawa PM Dato’ Seri Najib merestui BOD terdiri dari warga asing."

"Satu perkara yang menarik ialah Shamsul juga dikatakan menegaskan bahawa PM Dato’ Seri Najib juga bersetuju sekiranya jawatan Presiden dan CEO Petronas itu dijawat oleh professional dari luar negara, sebagai contoh mereka dari Exxon atau Shell."

Kesimpulan saya mudah, sama ada Perdana Menteri yang mempunyai minda terjajah dan tidak yakin dengan kemampuan dan pengalaman anak bangsanya, atau ini satu lagi kes manusia yang tidak bertanggung jawab menggunakan sewenang-wenangnya nama Perdana Menteri bagi memberi justifikasi terhadap dasar, tindakan yang sikapnya yang tidak meyakini kemampuan anak bangsa Malaysia sendiri.

Jarang sekali kita lihat perkara ini berlaku dalam syarikat-syarikat di luar negara, termasuk dari Korea Selatan. Seboleh-bolehnya, walau tidak mampu berbahasa Inggeris, mereka akan berusaha meletakkan anak bangsa Korea juga untuk menerajui jawatan-jawatan penting dan mendedahkan mereka dengan pengalaman di peringkat antarabangsa.

Jika benar ini cerminan dari sikap dan jati diri Perdana Menteri, maka terus terang, saya terpaksa menyatakan yang saya kurang yakin dengan Model Ekonomi Baru (MEB) kerana ada GLC yang telah mengkompromikan kepentingan anak bangsa Malaysia dalam satu bidang yang selama ini menjadi kekuatan kepada kita. Saya tidak nampak bagaimana sikap begini akan menguntungkan anak bangsa Malaysia dalam bidang-bidang baru yang akan diterokai ataupun dalam bidang-bidang utama dalam NKEA dalam Model Ekonomi Baru.

Mungkin Perdana Menteri boleh memikirkan untuk menggantikan Shamsul Azhar dengan profesional luar dari Shell atau Exxon, kerana bagi saya dia tidak layak duduk di sana pun sebagai mewakili rakyat Malaysia dan dia tidak layak juga sebagai mewakili warga kerja yang telah lama berada dalam Petronas dengan pemikiran sebegitu rupa!

Agaknya berapa ramai lagi mereka yang menjawat jawatan tinggi dalam GLC yang tidak mempunyai jati diri dan agenda bangsa serta semangat patriotik seperti Shamsul Azhar ini? Eloklah digantikan mereka ini kerana mereka akan gagal menyempurnakan peranan dan tanggungjawab mereka dari segi dasar yang diperjuangkan oleh kepimpinan negara selama ini!

Popular Posts