Showing posts with label Akta Keharmonian Nasional. Show all posts
Showing posts with label Akta Keharmonian Nasional. Show all posts

Tuesday, July 15, 2014

8 sebab kenapa umat Melayu dan Islam WAJIB tolak deraf #AktaKeharmonian MKPN


Nota: Kenyataan Perdana Menteri melegakan ramai umat Islam. Begitupun selagi anggota MKPN masih terdiri dari komposisi yang sama, tiada jaminan bahawa percubaan untuk `menyuapkan' input yang bertentangan dengan semangat Perlembagaan, pegangan sebenar agama Islam sebagai `ad-diin' dan ideologi sosialisme-liberalisme-sekularisme dapat dihentikan.

Di bawah adalah pandangan peguam MuslimUPro tentang deraf Rang Undang-undang yang disediakan oleh Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) yang didakwa telah di`outsource'kan secara sepenuhnya kepada Majlis Peguam.



8 sebab mengapa RUU Harmoni harus diwaspadai kandungannya
9 Jun 2014
Azril Mohd Amin

Tiga deraf rang undang-undang yang akan menggantikan Akta Hasutan 1948,  iaitu Rang Undang-undang Harmoni Nasional (National Harmony Bill), Rang Undang-undang Perpaduan Nasional (National Unity Bill) dan Rang undang-undang Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional (National Unity and Integration Commission Bill) telah dikemukakan dan kini sedang dikaji Pejabat Peguam Negara. Selepas artikel ini ditulis, nama-nama RUU tersebut telah dipinda dan sekarang dikenali sebagai RUU Jenayah kebencian (Hate Crime) Kaum dan Agama, RUU Harmoni dan Rekonsiliasi dan RUU Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi.

8 sebab mengapa RUU Harmoni tersebut perlu diwaspadai:- 

1. Engagement & Konsultansi berpilih: Penggubalan RUU tidak dibincangkan dengan teliti dan dirujuk kepada pihak berkepentingan terlebih dahulu seperti Majlis Raja-raja, Majlis-majlis Agama Islam Negeri dan tidak dibincangkan bersama Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Di antara Penganut Agama (JMPKPA). Sebaliknya, badan-badan yang kurang kredibiliti seperti Proham dan Global Movement of Moderates dibiarkan memonopoli perbincangan. RUU disediakan oleh Majlis Peguam, sebagai sebuah badan sekular, yang mengenepikan khususnya institusi-institusi keagamaan yang bakal terjejas secara langsung oleh penguatkuasaannya kelak. 

2. Mengenepikan kedudukan Islam sebagai Agama Negara menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan Agama Negeri

3. Percubaan mengubah Perkara 153: RUU Perpaduan Nasional (“National Unity Bill”) dalam seksyen 7 melalui penggunaan istilah seperti ‘racial superiority”, “exclusivity based on religion, belief, race…” dan “…maintaining exclusive control by persons of a particular religion, belief, race…” pada hakikatnya merupakan kritikan dan percubaan merubah Perkara 153.  

4. Penggubal yang terlibat adalah Majlis Peguam, sebuah organisasi sekular: Hanya 3 orang pemain utama terlibat di dalam penggubalan deraf rang undang-undang tersebut dan kesemua ahli-ahli lain di dalam MPKN tidak dirujuk secara sepenuhnya. Majlis Peguam mempunyai kira-kira 12, 000 ahli dan tidak mewakili kelompok majoriti umat Islam Malaysia yang akan menerima kesan langsung dari peruntukan-peruntukan RUU tersebut. Majlis Peguam mengisytiharkan organisasinya sebagai badan sekular justeru tidak berkelayakan menyentuh isu-isu keagamaan. 

5. Niat RUU untuk menjulang hak kesamarataan: Tumpuan hanya kepada prinsip hak kesamarataan (‘equality’) yang bersifat mutlak dan mengenepikan prinsip “positive discrimination” yang merupakan kekecualian Perlembagaan Perlembagaan itu sendiri yang dimaktubkan pada Perkara 8(2) dan menjunjung secara melulu konvensyen-konvensyen hak asasi manusia berkerangka liberal-sekular. 

6. Menjunjung kesamarataan kepercayaan, termsuk kepercayaan tidak bertuhan: Tafsiran ‘belief’ dan “religion” atau kepercayaan dan agama pada seksyen 4 (1) RUU Perpaduan Nasional dinyatakan sebagai “any religious or philosophical belief and a reference to belief includes a reference to a lack of belief” dan “any religion and includes any belief or lack of a religious belief“. Tafsiran ini membuka ruang yang boleh termasuk di dalam tafsirannya golongan yang tidak percaya Tuhan (atheist) dan kebebasan meninggalkan agama. 

7. Pengambil alihan peranan Institusi Kehakiman, Pihak Berkuasa dan Raja-raja Melayu: Isu-isu di sekitar keharmonian antara agama dan kaum adalah terlalu penting untuk diserahkan hanya kepada sebuah tribunal yang dicadangkan di dalam deraf rang undang-undang Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional. Kuasa dan fungsi tribunal mirip cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (Interfaith Comission atau IFC) yang telah ditolak sekeras-kerasnya cadangannya oleh pelbagai pihak khususnya NGO Melayu Islam dan kerajaan Pusat. Bahagian 4 RUU mengenepikan peranan pihak berkuasa sedia ada oleh kerana seksyen 15 (3) membolehkan Suruhanjaya tersebut melakukan penyiasatan sendiri apa-apa keadaan yang difikirkan sebagai diskriminasi tidak adil. 

8. Bidang kuasa Tribunal yang terlalu luas: Seksyen 23 di dalam RUU Suruhanjaya Perpaduan dan integrasi Nasional tersebut memperuntukkan kuasa tribunal yang sangat luas tersebut termasuklah untuk memanggil mana-mana individu untuk memberikan keterangan apabila sesuatu perbicaraan sedang dijalankan oleh tribunal. 

AZRIL MOHD AMIN ialah seorang peguam dan mengetuai MuslimUPRo, iaitu delegasi pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan di dalam Semakan Berkala Sejagat di Geneva, Switzerland.

Monday, July 14, 2014

#AktaKeharmonian: BANGKIT dedah MKPN `outsource' tugas kepada Majlis Peguam, kelirukan @NancyShukri?


BANGKIT merupakan kumpulan aktivis serta penulis Islam Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Melalui portal mereka, mereka membuat satu pembongkaran yang penting, iaitu MKPN tidak melaksanakan tugas engagement seperti yang diamanahkan oleh Kerajaan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) untuk merangka deraf Akta Keharmonian Nasional. Jika dakwaan dan pembongkaran ini BENAR, maka eloklah anggota MKPN meletak jawatan atau digantikan dengan anggota yang lebih beramanah dan mencerminkan pecahan sebenar suara rakyat Malaysia, terutama Muslim sebenar Malaysia.

BONGKAR!!! RUU Harmoni Memang Di Deraf Oleh MAJLIS PEGUAM

Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN/NUCC), sebuah Majlis redundant bersifat tiada beban batu digalas kerajaan telah berkali-kali menafikan peranan dan penglibatan Majlis Peguam di dalam merangka deraf Rang Undang-Undang Harmoni(RUU Harmoni) yang disiapkan mereka. Dalam pelbagai kenyataan media yang dikeluarkan ahli-ahli NUCC sebelum ini, mereka sedaya upaya cuba memesongkan fakta seolah-olah deraf RUU Harmoni tersebut dibuat melalui konsultasi dengan pihak awam.

Menggunakan Modus Operandi yang sama dengan Malaysian Insider, pihak Bangkit.info telah mendapat kerjasama daripada beberapa pakar perundangan, pakar perlembagaan dan pakar teknologi maklumat yang tidak dinamakan untuk menyiasat semua deraf RUU Harmoni tersebut sehingga ke lubang cacing.

Deraf Awal RUU Harmoni
Pihak kami mengesan deraf RUU Harmoni pada awalnya di deraf oleh seorang peguam  yang menggunakan kemudahan pejabat Firma Guaman Skrine & Co.

Sentuhan Akhir RUU Harmoni
Sentuhan akhir kepada RUU Harmoni pula telah dibuat oleh Syahredzan Johan.

Siapa Pula Syahredzan Johan?
Beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Peguam Muda Kebangsaan (National Young Lawyers Committee)  dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perundangan Perlembagaan (Constitutional Law Committee) di MAJLIS PEGUAM.



Beliau juga terlibat secara aktif dengan Projek Dialog. Sebuah gerakan yang sentiasa menimbulkan kontroversi dan membuat provokasi ke atas umat Islam melalui penerbitan-penerbitan mereka.

Buktinya?
Pihak kami telah berjaya mendapatkan salinan elektronik deraf asal RUU Harmoni tersebut. Melalui beberapa maklumat asas yang diperolehi daripada dokumen elektronik yang sama, ia membuktikan bahawa deraf RUU Harmoni itu memang turut melibatkan penglibatan Majlis Peguam.


Penafian NUCC berkenaan penglibatan Majlis Peguam dengan RUU Harmoni sebelum ini jelas merupakan satu bentuk penafian dengan kepentingan-kepentingan tertentu.


Apa Masalahnya Dengan Penglibatan Majlis Peguam?

Sepertimana kata Tun Abd Hamid sebelum ini, semua bentuk hasrat murni untuk menjadikan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara sebagai satu bentuk harapan baru mengeratkan perpaduan kaum di dalam negara telah dirampas dengan kemasukan agenda-agenda yang dimahukan oleh pihak Majlis Peguam dan Pembangkang yang menguasai mereka.

Semua dialog dan maklumbalas berkenaan perpaduan akan diletakkan ketepi dan semua bentuk hasrat-hasrat yang dimahukan Majlis Peguam dan pihak pembangkang yang disokong mereka, akan mencorak RUU Harmoni menjadi sebuah alat untuk pihak mereka mencapai agenda jangka panjang mereka.

Apa Masalah Dengan RUU Harmoni Yang Dicadangkan?

Ketiga-tiga RUU yang disediakan Majlis Peguam mengandungi lapan unsur yang boleh mengganggu-gugat keharmonian negara dan bukan memperkukuhkannya. Sila baca pembentangan 8 unsur masalah RUU Harmoni yang sebelum ini dibentangkan Saudara Azril Mohd Amin.

Antara lain RUU Harmoni mengenepikan kedudukan Islam sebagai Agama Negara, membuka ruang kepada pengiktirafan hak kewujudan LGBT di dalam negara, menghakis kedaulatan Islam, menghakis hak-hak orang Melayu, bersifat anti rukunegara, meletakkan agama Islam dan pihak berkuasa agama Islam di bawah skrutini sebuah tribunal yang diberikan kuasa terlalu luas. Malah, RUU Harmoni juga memberi ruang kepada wujudnya golongan ateis yang tidak bertuhan di dalam negara.

Sila baca pembentangan 8 unsur tersebut pada pautan ini. (Pautan)

Roadmap Menuju Malaysia Sebagai Sebuah Republik?

Melihat usaha penghapusan satu persatu hak keistimewaan orang-orang Melayu dan Islam di dalamnya, malah kewujudan satu Tribunal yang diberikan kuasa luas untuk memanggil sesiapa sahaja untuk disoal siasat,  dapat dilihat di sini, ia seperti satu bentuk cadangan untuk menghapuskan tiang-tiang yang selama ini menyokong kewujudan sistem Raja Beperlembagaan Di Malaysia.

Jika disusun langkah demi langkah yang diatur oleh mereka yang terlibat di dalam deraf RUU Harmoni ini, tidak dapat tidak, gambaran masa depan Malaysia berubah kepada sebagai sebuah negara Republik tidak dapat dinafikan daripada akan berlaku.


Popular Posts