Showing posts with label Islam. Show all posts
Showing posts with label Islam. Show all posts

Saturday, June 21, 2014

NGO Islam makin resah dengan Peguam Negara.. @NajibRazak @DSJamilKhir @NancyShukri



Semakin banyak NGO Islam dan semakin ramai umat Islam Malaysia yang kini mempertikaikan Peguam Negara. Institusi Peguam Negara sekarang dilihat sebagai ancaman terhadap kedudukan istimewa agama Islam dan telah hilang integriti untuk bersikap adil dalam hal ehwal berkaitan orang Melayu, umat Islam Malaysia dan agama Islam di dalam negara ini. 


Satu laman facebook telah dibuka oleh umat Islam dan NGO-NGO Islam yang prihatin dan resah dengan perkembangan semasa ini -  https://www.facebook.com/pecatdansiasatAG

Ini merupakan salah satu artikel yang dikeluarkan oleh salah seorang aktivis Islam negara, A Karim Omar di dalam blognya. Ini merupakan salah satu artikel yang terbaru dari siri artikel yang mempertikaikan Peguam Negara.

Dua Kes Mahkamah Hari Ini Mengesahkan Sikap Gani Patail?

Walaupun ramai orang bercakap tetapi sukar untuk dibuktikan. Kes Gani Patail tidak mahu mendakwa Bible Society Malaysia atas kesalahan Enakmen Pengawalan Ugama Bukan Islam (KawalanPerkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 Seksyen 9 membuka mata kehairanan dan seolah-olah mengesahkan dakwaan bahawa Peguam Negara ini ada pilih-pilih kes untuk didakwa dan yang mana untuk beliau tidak teruskan.

Namun, apa yang berlaku pada hari ini mungkin mencatatkan sejarahnya seolah-olah membuktikan kebenaran sangkaan orang ramai selama ini terhadap Gani Patail.

Kes 1: Mendakwa Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman atas tuduhan menghasut. Didakwa di mahkamah sesyen di Kajang pagi tadi.

Kes 2: Mendakwa ADUN Seri Delima RSN Rayer di mahkamah sesyen Pulau Pinang. Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Razali Che Ani mohon kes ditangguh dan peguam Rayer akan mohon Peguam Negara untuk gugurkan pendakwaan (laporan Utusan Online).

kes-UZAR-Rayer-berbeza

Apakah ini menjadi satu lagi sebab untuk orang ramai mengesahkan spekulasi yang kuat berlegar?

FB-Yuseri-GaniAGHingga seorang FBer berani membabitkan ‘Gani dengan ‘underworld’” di status FBnya pagi ini:

Isu MAIS : Keputusan ‘buang kes’ oleh Peguam Negara (AG) disebabkan Ghani Patail gagal berfikir & mempertimbangkan keputusan berlandaskan kepentingan agama, bangsa & negara – AG khuatir implikasi keputusan yang dibuat menyebabkan ugutan terhadapnya dilaksanakan oleh pihak tertentu – Inilah padah bila AG dikatakan mempunyai skandal & terlibat dengan ‘underworld’ di mana ia membuka ruang kepada pihak tertentu menjadikan penglibatan AG sebagai alat dalam mempengaruhi setiap keputusan yang dibuat oleh Pejabat Peguam Negara – Justeru adalah wajar Suruhanjaya di Raja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan orang ramai melibatkan Ghani Patail (AG)!

Bagi saya, saya tetap menyokong PEMBELA dan NGO-NGO Islam seluruh Negara yang sedang melancarkan kempen supaya Gani Patail letak jawatan atau digugurkan dari jawatan Peguam Negara dengan kadar yang segera.

Kiriman saya yang berkaitan sebelum ini:





Desakan agar diadakan jawatan Peguam Negara Syariah adalah reaksi kepada kehilangan keyakinan terhadap Institusi Peguam Negara. Antara artikel awal yang menyarankan ini adalah yang ditulis oleh Datuk Zulkifli Noordin di bawah :-


PEGUAM NEGARA SYARIAH

Mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadap pihak gereja yang membenarkan mana-mana orang Islam melakukan kesalahan jenayah Islam dengan menyokong kristian menyalahguna kalimah Allah yang bercanggah dengan Enakmen Anti-Dakyah? Sudah tiba masanya kita mengujudkan jawatan 'Peguam Negara Syariah / Pendakwaraya Syariah' dan 'Jabatan Peguam Negara Syariah / Pendakwaraya Syariah' setaraf Peguam Negara sivil!.

Salam 2 all.

Saya merujuk kepada kemelut penahanan 300 bibel versi bahasa Melayu oleh MAIS dan pendirian Peguam Negara tidak mahu mengenakan sebarang pertuduhan terhadap Persatuan Bible Malaysia.

Apa yang jelas, bibel tersebut mengandungi perkataan dan kalimah yang tanpa sebarang keraguan melanggar peruntukkan Seksyen 9 Enakmen Pengawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Selangor.

Persoalannya sekarang, dengan keengganan AG/ Peguam Negara untuk membawa sebarang pertuduhan, apakah status kes tersebut. Satu kesalahan jenayah terang-terang telah dilakukan, tetapi tindakan pertuduhan jenayah tidak boleh diambil kerana AG enggan bertindak atas alasan-alasan dan sebab-sebab yang telah beliau kemukakan!

Ini adalah kerana kuasa pendakwaan jenayah di Mahkamah sibil terletak secara mutlak dibawah bidangkuasa AG/ Peguam Negara menurut Artikel 145 (3) Perlembagaan.

Menurut Artikel 145 (3), AG/ Peguam Negara tiada kuasa menentukan pendakwaan di Mahkamah Syariah, kerana itu bidangkuasa Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.

Masalahnya ialah Mahkamah Syariah tiada bidangkuasa untuk membicara dan menghukum non-Muslim berdasarkan Artikel 74 dan Jadual 9 Senarai II Perlembagaan.

Jadi timbul konflik perundangan dimana seseorang yang jelas melakukan kesalahan membabitkan Islam tetapi tidak boleh dikenakan tindakan.

Antara contoh-contoh yang jelas percanggahan ini adalah seperti berikut:

1. Pusat perjudian yang membenarkan atau membiarkan mana-mana orang Islam bermain judi ditempatnya tidak boleh dikenakan tindakan jika ianya dipunyai atau diuruskan oleh non-Muslim walaupun jelas ianya satu kesalahan membabitkan Islam;

2. Mana-mana kedai atau pusat arak dan minuman keras milik non-Muslim yang menyediakan atau membenarkan mana-mana orang Islam meminum arak tidak boleh dikenakan tindakan walaupun ianya jelas satu kesalahan membabitkan Islam;

3. Mana-mana pusat pelacuran non-Muslim yang menyediakan atau membenarkan mana-mana orang Islam melacur atau melanggani pelacur juga tidak boleh dikenakan tindakan;

4. Mana-mana lelaki atau wanita non-Muslim yang melakukan zina atau seks luar nikah dengan pasangan beragama Islam juga tidak boleh dikenakan tindakan, sedangkan pasangan Muslim mereka boleh dikenakan pendakwaan. Ini mengujudkan satu ketidak-adilan kepada orang Islam dan satu diskriminasi perundangan;

5. Mana-mana pihak non-Muslim yang menghina atau memperlekeh institusi Mahkamah Syariah seperti menghina sebarang keputusan Mahkamah Syariah tidak boleh dikenakan tindakan  penghinaan terhadap Mahkamah Syariah (contempt of syariah cour)';

Ini hanyalah contoh-contoh dimana pendakwaan atau pertuduhan jenayah tidak boleh dikenakan terhadap non-Muslim yang jelas melanggar atau melakukan kesalahan yang sepatutnya boleh dikenakan tindakan di Mahkamah Syariah.

Oleh itu, saya mencadangkan supaya pindaan dibuat kepada Perlembagaan dan/ atau undang-undang berkaitan supaya memberi bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah dan Pendakwa Syarie untuk membawa pertuduhan jenayah atau sebarang prosiding terhadap non-Muslim dalam kes-kes yang melibatkan kesalahan jenayah seperti dalam kes-kes diatas tanpa perlu mendapat persetujuan atau keizinan Peguam Negara atau Pendawaraya terlebih dahulu.

Ini akan memastikan non-Muslim menghormati perundangan melibatkan Islam dan tidak sewenang-wenangnya melakukan apa-apa kesalahan yang mereka tahu adalah kesalahan melibatkan Islam.

Tidak timbul soal kita meletakkan non-Muslim tertakluk kepada undang-undang syariah kerana ianya hanya melibatkan mereka yang secara sengaja melakukan kesalahan yang membabitkan orang Islam yang mereka ketahui adalah satu kesalahan jenayah syariah.

Contohnya pusat-pusat perjudian yang secara jelas tahu judi itu satu kesalahan jenayah Islam tetapi masih membenarkan atau menggalakkan atau menyediakan tempat dan ruang untuk orang Islam melakukan kesalahan itu.

Sama juga dengan mana-mana non-Muslim yang tahu seks luar nikah dan zina adalah satu kesalahan jenayah Islam yang serius tetapi masih melakukannya bersama pasangan Islam hendaklah dikenakan tindakan.

Jika tidak, mereka boleh dilihat seperti mempermainkan undang-undang Islam. Malahan akan terjadi penganiayaan kepada pasangan Islam yang boleh dikenakan tindakan pertuduhan jenayah dan dihukum tetapi pasangan non-Muslimnya bebas!

Inilah yang terjadi dalam kes penahanan bibel versi bahasa Melayu oleh MAIS. Walaupun jelas mereka pendakyah kristian non-Muslim ini melakukan kesalahan jenayah menurut Enakmen Anti-Dakyah, namun tindakan tidak boleh diambil oleh pihak berkuasa Islam apabila Peguam Negara memilih untuk tidak mengambil tindakan.

Sehubungan dengan itu, saya juga mencadangkan supaya diujudkan satu jawatan dinamakan 'Peguam Negara Syariah / Pendakwaraya Syariah (Syariah Attorney General/ Syariah Public Prosecutor) ' dan satu agensi dinamakan 'Jabatan Peguam Negara Syariah / Pendakwaraya Syariah' peringkat Persekutuan yang samataraf dan samafungsi seperti Attorney General / Peguam Negara yang bertindak sebagai Pendakwaraya.

Ini akan memastikan supaya sistem pengadilan jenayah Islam lebih teratur, tersusun dan profesional dan tidak timbul lagi persoalan dan konflik seperti yang berlaku sekarang bilamana Peguam Negara sivil enggan mengambil tindakan terhadap suatu kesalahan jenayah membabitkan Islam dan instiitusi Islam.

Wallahua'lam dan Wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Rabu
20 Sya'ban 1435
18 Jun 2014


Monday, December 26, 2011

Rosakkah aqidah bila memberi ucap selamat perayaan agama selain Islam?

Ucapan "Merry Christmas" - Wajarkah Dalam Islam? Baca Penerangan Dr MAZA

dipetik dari blog Cucu Tok Selampit

Sempena Hari Natal yang disambut hari ini, CTS mengemukan persoalan umum dari saudara kita untuk pengetahuan bersama. CTS merasakan jawapan Dr MAZA amat adil dalam konsep masyarakat majmuk di Malaysia. Wallahualam.

Soalan: Dr MAZA, kita negara yang berbilang agama. Ramai yang mempunyai kawan pejabat, jiran dan lain-lain yang bukan muslim. Apabila tiba hari raya kita mereka mengucapkan selamat hariraya. Masalahnya, apabila tiba giliran hari raya agama mereka pulak, kita rasa macam serba salah. Bolehkah seorang muslim berikan ucapan selamat hari raya agama lain. Saya takut rosak akidah, tapi ramai pemimpin dan kawan-kawan muslim yang lain ucapkan. Saya pun risau juga kawan-kawan bukan muslim kecil hati, tapi saya pun nak jaga akidah saya. Bolehkah Dr Asri berikan pandangan?

Munif, Putrajaya.

Jawapan Dr MAZA: Saudara Munif, Alhamdulillah saudara prihatin dengan keadaan akidah saudara di kala ramai yang tidak mempedulikan lagi kebersihan akidah mereka. Akidah adalah pembeza utama antara seorang mukmin dan bukan mukmin. Seseorang bagaimana banyak amalannya pun, tetapi jika akidahnya rosak, maka amalannya ditolak. Maka penting untuk kita mempertahankan akidah dan kesuciannya. Mengenai soalan saudara, ada beberapa perkara yang wajar difahami:

1. Islam mengharamkan seseorang muslim membuat apa-apa perbuatan atau ucapan yang mengiktiraf kekufuran atau kesesatan. Termasuk dalam hal ini membesarkan agama lain dengan mengucapkan ucapan yang mengagungkan atau mengiktiraf kekufuran, atau melakukan amalan ibadah yang mempunyai makna menyembah atau menyeru tuhan selain Allah. Maka, apa sahaja tindakan yang membawa kepada maksud yang disebutkan tadi adalah haram jika dilakukan dengan perbuatan atau ucapan. Jika disertai iktikad bahawa apa yang dilakukan itu benar atau betul, maka dia menjadi kafir. 
Firman Allah: (maksudnya)

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.

(Surah al-Nahl, ayat 106).

2. Dalam masa yang sama, Islam tidak membenarkan kita menzalimi bukan muslim dan Islam menyuruh kita melakukan kebaikan kepada bukan muslim yang tidak memusuhi kita kerana agama kita. 

Firman Allah (maksudnya):

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

(Surah al-Mumtahah, 8-9)

3. Juga, Islam menyuruh kita mengucapkan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita. 

Firman Allah: (maksudnya):

“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.

(Surah al-Nisa, 86).

Inilah adab Islami yang tinggi. Ia merangkumi sesama muslim atau kepada bukan muslim. Sehingga Ibn ‘Abbas r.a menyebut, “Jika Firaun berkata kepadaku ‘semoga Allah memberkatimu, nescaya aku menjawab ‘untuk engkau juga’” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).

Maka sudah pasti mereka yang tidak sejahat Firaun dan tidak memusuhi Islam lebih layak untuk menerima ucapan balas.

4. Oleh kerana dalam masalah mengucapkan tahniah ataupun “congratulating” sempena perayaan agama lain mempunyai unsur seakan mengakui agama lain secara langsung atau tidak langsung, dan dalam masa yang sama ada juga nilai berbuat baik kepada bukan muslim yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama berkhilaf pendapat tentang hal ini. Bagi mereka yang melihat unsur mengiktiraf kekufuran, mereka mengharamkan ucapan sempena perayaan agama lain. Sementara bagi mereka yang melihat ia bukan berunsur mengiktiraf kekufuran agama lain, sebaliknya sekadar melakukan barr ataupun kebaikan kepada penganut agama lain yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama yang berpendapat sebegini mengharuskan ucapan tersebut dengan syarat-syarat tertentu.

5. Tidak boleh dinafikan bahawa selain nas-nas al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas, faktor keadaan, zaman dan persekitaran mempengaruhi para sarjana Islam dalam melihat kepada isu ini. Kitab-kitab yang ditulis pada persekitaran muslim begitu dominan dan tiada keperluan untuk melakukan ucapan tersebut kelihatan keras dan mengharamkan ucapan sempena perayaan agama lain. Sementara, ramai juga sarjana terutama di zaman kini yang mempunyai persekitaran yang baru dan keperluan untuk memperlihatkan keharmonian Islam kepada bukan Islam, fatwa-fatwa mereka ini lebih lunak dan mengizinkannya dengan syarat-syarat tertentu.

6. Syeikh Islam Ibn Taimiyyah r.h. (meninggal 728H) dalam karyanya Iqtida al-Sirat al-Mustaqim dan muridnya al-Hafizd Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h (meninggal 751H) dalam karyanya Ahkam Ahl al-Zimmah dengan tegas mengharamkan hal ini. Mereka telah mengemukakan hujah dan alasan mereka dalam mengharamkannya. Teras kepada perbincangan mereka ialah perbuatan tersebut membawa erti menyerupai orang kafir dan meredhai agama mereka. Fokus mereka adalah penyertaan seorang muslim kepada upacara perayaan bukan muslim. Banyak pendapat-pendapat ulama silam yang mereka petik. Pandangan kedua imam agung itu diikuti oleh sesetengah para ulama terutama dari negara yang dominan penduduk muslim seperti Arab Saudi. Maka Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi mengharamkan ucapan selamat sempena perayaan agama lain.

7. Sementara Majlis Fatwa Eropah (The European Council For Fatwa and Research) yang dianggotai oleh ramai sarjana muslim membolehkan muslim memberikan ucapan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka (Congratulating Non-Muslims on Their Festive Occasions). Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa perayaan Islam. Ini berteras ayat dalam Surah al-Nisa, ayat 86 yang kita sebutkan tadi. Pun begitu, mereka tetap mengharamkan muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan.

8. Fatwa yang sama yang mengharuskan ucapan sempena perayaan agama lain dikeluarkan oleh beberapa ulama lain seperti Dr Yusuf al-Qaradawi dan al-Mustafa al-Zarqa. Antara hujah yang digunakan oleh al-Syeikh Mustafa al-Zarqa adalah hadis Nabi S.A.W.:

“Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi s.a.w satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang yahudi”. Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Kata al-Zarqa: “Bangun tersebut sebagai menggambarkan penghormatan dan kemuliaan, tiada kaitan dengan akidah jenazah tersebut” (Fatawa Mustafa al-Zarqa, m.s 356. Damsyik: Dar al-Qalam). Ertinya, beliau membandingkan mengucapkan selamat sempena hariraya agama lain kepada penganutnya, bukan bererti mengiktiraf akidah mereka.

9. Dengan ini saya berpendapat, boleh mengucapkan selamat hariraya kepada penganut agama lain sempena perayaan mereka dengan syarat ucapan tersebut tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah. Maka, memadai sekadar ‘selamat hariraya’ atau ‘selamat bergembira’ atau seumpamanya. Hal ini lebih dituntut jika semasa hariraya Islam mereka mengucapkannya.

10. Namun, seorang muslim tidak boleh turut merayakan hariraya agama lain. sebabnya, perayaan agama merupakan upacara agama. Bukan muslim pun tidak patut disuruh merayakan hariraya kita. Perpaduan antara kita sesama rakyat muslim dan bukan muslim bukan dengan berkongsi hariraya, tetapi dengan keadilan, berbuat baik dan tidak menzalimi antara satu sama lain.

11. Apa yang penting, dalam dunia semasa yang Islam dituduh dengan pelbagai tuduhan liar, kita patut menonjolkan imej Islam yang harmoni dan baik. Dalam masa yang sama kita mesti menjaga benteng akidah kita.

Saturday, September 17, 2011

Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram - Syariat Islam berkembang baik di Malaysia #BNbagus

Tentang golongan tolak perpaduan
Oleh SAIFULIZAM MOHAMADpengarang@utusan.com.my



Sulaiman Saloomi


KUALA LUMPUR 14 Sept. - Golongan yang menolak perpaduan termasuk mereka yang mengaku alim perlu ditentang kerana tindakan tersebut amat jelas berlawanan dengan al-Quran dan hadis yang menyuruh umat Islam bersatu-padu.

Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi berkata, bagi mereka yang arif dalam agama tetapi menolak perpaduan, pendirian tersebut jelas bukan disandarkan kepada ajaran Islam sebenar, sebaliknya hanya sekadar pendapat peribadi.

Ini kerana, menurutnya, Islam tidak pernah menyuruh umatnya berpecah-belah, sebaliknya umatnya diperintahkan supaya bersatu-padu seperti yang dinyatakan menerusi al-Quran dan hadis.

Beliau berkata, umat Islam harus sedar tanpa perpaduan ia akan memudahkan tugas musuh-musuh Islam yang selama ini sentiasa berusaha memecah-belahkan lagi masyarakat supaya negara akhirnya menjadi porak-peranda.

"Ingat, di luar sana terdapat musuh-musuh Islam yang terdiri daripada golongan kafir musyrik serta fahaman tertentu seperti Syiah yang sentiasa menunggu peluang untuk memecah-belahkan perpaduan umat Islam.

"Oleh itu, saya amat mengharapkan umat Islam di Malaysia mengekalkan perpaduan tanpa mengira mazhab mahu pun pendirian politik agar negara ini terselamat daripada sebarang bencana serta mala petaka akibat perpecahan," katanya kepada Utusan Malaysia di Bangi, hari ini.

Sheikh Sulaiman juga adalah pensyarah di Universiti Ummul Qura, Mekah selain memegang jawatan sebagai Ketua Majlis Pentadbiran Pejabat Dakwah dan Kesedaran Islam di Mekah.

Beliau merupakan pakar dalam fahaman Syiah dan bidang kajiannya ketika mengambil sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) juga berkaitan dengan fahaman itu.

Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram itu berada di negara ini sejak Jumaat lalu sempena lawatan peribadi beliau selama lapan hari.

Menurut Sheikh Sulaiman, golongan menolak perpaduan akan menerima hukuman berat yang bukan sahaja ditanggung oleh mereka, malah pengikut sehingga hari kiamat kerana menentang arahan Allah.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, setiap umat Islam di Malaysia secara umumnya wajib mempertahankan negara ini daripada sebarang anasir yang cuba merosakkan keamanan dan keharmoniannya.

Katanya, bagi golongan seperti pemimpin politik, ulama, media, golongan profesional serta mana-mana pihak berpengaruh dalam masyarakat pula, hukumnya adalah fardu ain.

"Secara peribadi, saya gembira melihat suasana Islam di Malaysia. Di negara ini terdapat organisasi berteraskan Islam seperti Lembaga Tabung Haji dan begitu juga dengan pelaksanaan sistem kewangan Islam.

"Syariat Islam juga berkembang dengan baik. Universiti-universiti berteraskan Islam juga wujud di negara ini. Selain itu, sistem pembelajaran Islam di Malaysia juga boleh dianggap maju ke hadapan. Di sini juga tidak kurang banyaknya buku-buku yang membicarakan tentang Islam," katanya.

Beliau berkata, perkembangan Islam tidak akan berlaku jika suasana di Malaysia tidak berada dalam keadaan baik serta stabil.

"Nasihat saya pelihara negara ini baik-baik, ia satu amanah yang wajib dilaksanakan. Kekalkan perpaduan dan elakkan perpecahan.

"Musuh-musuh Islam sentiasa mencari peluang untuk memporak-perandakan umat dan perkara ini perlu diawasi bagi memastikan Islam di Malaysia sentiasa terpelihara," katanya.

Sunday, January 3, 2010

ALLAH itu ESA - hari ketiga yang memberansangkan!!!


Alhamdulillah, nampaknya semangat jihad umat Islam masih lagi kuat. Kefahaman tentang fiqh keutamaan juga masih kukuh, justeru perbezaan fahaman politik, keturunan dan latar belakang diketepikan. Hari ini semakin ramai yang bertindak melakukan sesuatu; baik menulis di dalam blog, berceramah, membuat laporan polis, menghantar memorandum dan berkumpul menunjukkan bantahan, hatta yang paling mudah, iaitu memberi komen menyokong jihad ini di Facebook. Masing-masing mempunyai peranan; apa yang penting adalah kesungguhan untuk menyumbang sesuatu dalam jihad ini dan semangat untuk menunjukkan solidariti ummah!!!


Hari ini saja terdapat sejumlah bantahan berlaku di beberapa tempat dalam negara. Seperti yang dilaporkan oleh TV3, Pemuda UMNO Pulau Pinang dan sejumlah NGO telah menyerahkan memorandum kepada Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang pagi tadi. Di Pekan, sejumlah NGO yang diketuai oleh ABIM telah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Di Melaka pula, Pemuda UMNO Negeri Melaka juga telah menggerakkan suara bantahan.

Petang tadi pula, sekitar pukul 3.00 di balai polis Sentul, sejumlah NGO dan peyokong parti-parti politik UMNO, PKR dan Pas yang datang atas inisiatif individu telah membuat laporan polis berkenaan perkara ini.

8 Januari 2010, selain perhimpunan yang akan dianjurkan oleh PERKASA di Kg Baru, pada pukul 3.00 petang GERAKAN KEBANGKITAN RAKYAT (GERTAK) iaitu gabungan 20 NGO Terengganu juga akan mengadakan RAPAT UMUM FISABILILLAH di Pantai Batu Buruk selepas solat Jumaat di Masjid Ladang. Sama-samalah kita tunjukkan solidariti ummah nanti.


Bantahan di Pulau Pinang



Bantahan di Melaka

Kumpulan Facebook `Menentang Penggunaan nama Allah oleh Bukan Islam' yang baru dibuka tidak sampai tiga hari telah mengumpulkan sejumlah 19,000 orang pengikut sehingga jam 700 malam tadi.

Atas rasa tanggung jawab untuk mempertahankan aqidah Muslim juga, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah mengadakan borang petisyen dalam talian untuk bantahan ini.

Bagi umat Islam, marilah kita menunjukkan solidariti untuk sama-sama menyokong petisyen dan kumpulan Facebook di atas. Tunjukkanlah, biarpun kita tidak dapat bersama rakan-rakan menunjukkan bantahan, kita tetap bersama mereka di dalam minda, hati dan perjuangan.

Difahamkan di pelbagai peringkat dan di masjid-masjid, semakin ramai orang Islam yang berbincang tentang apa yang hendak dilakukan agar generasi masa hadapan tidak dikelirukan dan dapat dipertahankan.

Hari ini, jumlah blog yang menyatakan bantahan sudah melebihi ratusan dan tidak sempat untuk dipantau lagi. Rata-rata menyatakan kemarahan, tidak puas hati dan kerisauan mereka tentang masa depan umat Islam.

Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin juga menulis pendek dalam kenyataan pertama beliau mengenai isu ini mungkin kerana merasakan bahawa kenyataan beliau sebelum ini bermasalah dan telah mendatangkan masalah.

Blogger serius yang lain turut mengemukakan pandangan masing-masing mengenai isu ini, misalnya A Kadir Jasin, Nobisha dan Voice.

Antara blog yang memaparkan artikel yang baik hari ini adalah Tahu, Faham dan Amal, AhmadJailani dan Naim.

Walaupun Timbalan Presiden Pas, Ustaz Nasharuddin Mat Isa (dilaporkan oleh TV3) dan Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Ahmad (dilaporkan di sini) dan telah membuat kenyataan masing-masing, namun Harakahdaily masih mengurangkan spin mengenainya. Hanya dimaklumkan bahawa Pas akan mengadakan mesyuarat khas malam esok untuk membincangkan isu Allah ini. Pada waktu yang sama masih banyak penulis dan blogger Pas yang hilang arah, tidak sehaluan dengan Timbalan Presiden dan Ketua Penerangan Pas Pusat serta masih bersikap negatif dan sinikal untuk berjuang bersama-sama umat Islam yang lain.

Apa pun hari ketiga ini menampakkan kesan yang jauh lebih memberangsangkan dalam jihad ini. Mudah-mudahan esok akan menjadi lebih baik dan kita dapat berjuang memastikan aqidah muslim terpelihara. ALLAH itu ESA!!! Bukan tiga dan bukan berbilang!!! Pelihara Aqidah Muslim.

Saturday, January 2, 2010

Kalimah Allah - Tun M dan Ustaz Nasharuddin nyatakan kebimbangan


Suara yang menentang penggunaan kalimah Allah oleh Gereja Katolik sebagai terjemahan kepada perkataan `God' dalam Bible semakin meningkat.

Seperti yang dilaporkan oleh TV3 jam 8.00 malam tadi, turut mengemukakan perasaan tidak senang ini adalah negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden Pas, Ustaz Nasharuddin Mat Isa. Semakin banyak NGO Islam bersuara, termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang pula antara yang pertama di kalangan sayap parti UMNO yang menyuarakan bantahan.

Kepimpinan Pas yang menentang puak `Erdogan' dalam Pas juga sudah bersuara. Walaupun sebelum ini pemimpin agung Pas Nik Aziz Nik Mat dilihat bersependapat dengan pandangan Anwar Ibrahim bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut agama lain untuk memenggil tuhan mereka, namun hari ini Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Hj Ahmad telah mengeluarkan kenyataan yang saya baca sebagai kenyataan rasmi Pas yang kecewa dengan keputusan tersebut (klik di sini).

Jumlah tulisan di dalam blog juga semakin bertambah. Antaranya tulisan menarik YB Zulkifli Noordin, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru bertajuk "Menyanggah Khalid Samad" dan Dr Novandri, "Perkataan Allah - Gereja perlu prihatin". Zulkifli memberikan hujah-hujah kenapa Khalid Samad salah dan berkongsi tafsiran sejumlah ensaiklopedia ternama mengenai perkataan 'God'.

Jika semalam pemerhatian saya mencatatkan sejumlah 34 orang blogger menulis mengenai perkara ini, hari ini ada beberapa orang lagi yang menulis mengenainya, iaitu Papa Gomo, Mesin Taip Buruk dan Gunung Mat Cincang. Terima kasih juga kepada Panglima Perang Cyber yang telah berkongsi video debat YB Taib Azimuddin yang mempertahankan penggunaan kalimah Allah hanya untuk Islam (klik sini).

Lebih menarik dalam masa tak sampai 3 hari kumpulan Facebook yang menentang penggunaan nama Allah oleh bukan Islam telah mengumpul lebih daripada 5,800 orang pengikut..!!!

Ada sejumlah rakan-rakan yang turut berkongsi artikel yang dirasakan penting untuk menguatkan justifikasi bahawa penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan kepada God adalah menyeleweng termasuk pandangan pemimpin agama Kristian sendiri, Dr R Albert Mohler Jr, President The Southern Baptist Seminary dalam The Christian Post. Katanya adalah tidak kena bagi orang Kristian untuk memanggil Tuhan sebagai Allah disebabkan perbezaan teologi antara Kristian dan Islam yang tidak dapat diselaraskan.

Kamus Oxford Fajar menterjemahkan 'God' sebagai makhluk atau kuasa halus yang dipercayai mempunyai kuasa ke atas semua alam tabi'i dan hal ehwal manusia; dewa; supreme being, creator and ruler of universe; Tuhan. Cambridge Advance Learner's Dictionary mendefinisikan `God' sebagai "(in especially Christian, Jewish and Muslim belief) - the being which made the universe, the Earth and its peopleand is believe to have an effect on all things". Merriam-Webster Online dictionary pula mendefinisikan `God' mengikut `Christian Science' sebagai "incorporeal divine Principle ruling over all as eternal Spirit: eternal: infinite mind". Kamus Oxford Advanced juga tidak pernah menterjemahkan God sebagai Allah.

Begitulah jugalah yang dipetik oleh Zulkifli tentang tafsiran Hutchinson Encyclopedia (halaman 27) tentang kalimah Allah iaitu "Allah - Islamic name for God".

Mungkinkah Vatican wajar mengkaji dan menyiasat sama ada Gereja Katholik di Malaysia telah melakukan penyelewengan agama Kristian dengan mengubah apa yang dimaksudkan secara asal oleh Bible tentang kalimah `God' kerana seperti disebutkan oleh Dr Mohler, kerangka teologinya tidak sama?

Atas sebab apakah, Gereja hendak menamakan Tuhan mereka sebagai Allah dalam Bahasa Melayu, sedangkan di dalam versi bahasa Inggeris, dalam mana-mana ensaiklopedia dan kamus dan dalam mana-mana versi asal Bible tidak pernah ditulis perkataan Tuhan bagi orang Kristian adalah Allah?

Bantahan penggunaan nama Allah oleh gereja Katolik - failkan rayuan SEGERA!!!


Syabas kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang telah memulakan inisiatif untuk umat Islam Malaysia membuat pendirian dan menunjukkan perasaan tidak senang terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan nama Allah oleh majalah mingguan gereja Katolik, Herald.

Perhimpunan secara aman di luar Masjid Wilayah, Jalan Duta selepas solat Jumaat adalah inisiatif pertama PERKASA dan dimaklumkan bahawa pada hari Jumaat hadapan, 8 Januari 2009, satu lagi perhimpunan aman akan diadakan di Masjid Kg Baru.

Kenyataan YDP PERKASA Negeri Perlis, Amier Hassan boleh dilihat di dalam klip Bulletin TV3 dan juga di sini. Mengulas isu yang sama, Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali memohon agar Majlis Raja-Raja membincangkan isu ini.

Bulletin TV3 turut menyiarkan pandangan peguam mengenai kedudukan istimewa Islam berbanding agama lain dan menyentuh sama ada keputusan penghakiman telah mengambil kira undang-undang dan enakmen lain seperti Perkara 11(4) yang menyebut bahawa undang-undang boleh dibuat bagi menghalang penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam.

Selain itu, Bulletin TV3 juga menyiarkan pandangan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr Abu Syukur Husin, kalimah Allah adalah ekslusif bagi umat Islam dan mempunyai maksud dan pengertiannya sendiri.

Pandangan dan komen daripada umat Islam yang lain di Masjid Wilayah boleh diikuti menerusi video klip di sini.

Sehingga lewat pagi ini, sebanyak 32 blogger turut menyuarakan rasa tidak gembira, kesal, ketidak puasan hati dan marah mereka di dalam blog masing-masing. Di kalangan pemimpin UMNO, Datuk Seri Mohd Khir Toyo merupakan di antara yang paling awal menulis mengenai isu ini. Selain beliau, kenyataan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat disiarkan di Bulletin TV3 malam semalam. Sila klik di atas nama blogger tersebut untuk memahami kegusaran mereka.

Syabas kepada Pertubuhan Kebangsaan Islam Pelajar Malaysia (PKPIM) yang berani tampil untuk menyatakan pendirian membantah penggunaan nama Allah oleh Gereja Katolik ini. Malangnya semasa saya melayari laman-laman blog pembangkang, mereka masih `tertidur' dan menganggap isu ini sebagai satu isu enteng dan hanya sekerat dua yang memainkan isu ini, itu pun bukan untuk menyatakan kegusaran dan bantahan, sebaliknya hanya sekadar memperkecil-kecilkan usaha umat Islam yang lebih sensitif terhadap isu ini berbanding mereka (klik di sini dan di sini). Kononnya berpendidikan agama?!!!

Biarkanlah mereka hanyut dengan tahaluf siyasi yang terpesong dan politik lita'arafu yang penuh tipu daya.

Ingatlah amaran Allah SWT dalam surah al-Baqarah, "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang terhadap kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah. "sesungguhnya Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti KEMAHUAN MEREKA setelah datang pengetahuan terhadap kamu, maka Allah tidak akan menjadi pelindung dan penolong bagimu."

Bagi kementerian dan agensi berkaitan - sila SEGERAKAN rayuan. Lihatlah kes ini sebagai satu kes yang berprofil tinggi dan lakukan persedian yang secukupnya. Jemputlah tokoh-tokoh agama yang tinggi ilmunya dan peguam-peguam yang licik serta berkepakaran dari firma guaman swasta untuk membantu agar kita boleh meyakinkan mahkamah bila tiba waktunya.

Bagi mereka yang tidak dapat hadir pada perhimpunan semalam, marilah kita bersama-sama hadir pada Jumaat depan di Masjid Kg Baru. Marilah kita bersama-sama tunjukkan solidariti ummah dan keprihatinan yang tinggi terhadap isu ini!!!

Wednesday, November 25, 2009

Hanya Pas, bukan UMNO perjuangkan Islam?

Kata orang Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat sebenarnya tidak tahu apa definisi sosialisme, komunisme, nasionalisme dan sekularisme. Disebabkan bila dia memberi pandangan, fikirannya tidak boleh membezakan antara komunisme dengan nasionalisme dan mengatakan ianya lebih kurang serupa. Dia juga tidak faham apa maksud nasionalisme dan menyamakan perjuangan UMNO adalah nasionalisme yang disifatkannya sama dengan komunisme dan assobiyah.

Menurut orang lagi, dia pun sudah keliru tentang yang mana satu sosialisme, yang mana satu sekularisme dan yang mana satu Islam dan difikirkannya semua itu serupa dalam Pakatan Pembangkang. Mungkin juga betul kata mereka ini, kerana jika dinilai dari perkataan Nik Aziz, dia mungkin tidak benar-benar faham akan maksud perkara yang diperkatakan. Malah ada kemungkinan Nik Aziz sengaja menyembunyikan kebenaran tentang beberapa perkara termasuk tentang maksud sebenar assobiyah, ayat al-quran dan hadis yang menyeru kepada ketaatan terhadap pemerintah dan perjuangan Islam UMNO.

Secara mudahnya, perjuangan UMNO disimpulkan sebagai perjuangan memartabat agama, bangsa dan negara. Dalam perjuangan UMNO, Islam tidak pernah sekali-kali dipinggirkan malah diletakkan sebagai perkara pertama. Cuma berbeza dengan tafsiran dan pendekatan ektremis, UMNO tidak obses untuk melaksanakan hudud dan mengkafirkan pemerintah yang tidak melaksanakannya, sebaliknya UMNO mengambil pendekatan yang lebih praktikal, sederhana dan pertengahan, iaitu dengan memberi keutamaan ke atas perkara-perkara yang lebih utama. Disebabkan itu, dalam perjuangan memerdekakan negara, UMNO telah memastikan agar kedudukan dan keistimewaan Islam ditentukan dengan jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini kemudiannya telah diperincikan lagi dalam bentuk dasar-dasar dan dilaksanakan dalam pelbagai bidang sesuai dengan pengertian Islam sebagai ad-din, iaitu suatu cara hidup yang lengkap.

Dari segi sejarah, UMNO mempunyai track record yang jauh lebih baik daripada PAS yang di dalam menegakkan hukum-hukum Islam dalam pelbagai aspek. Ini sesuai dengan tuntutan tanggung jawab kekhalifahan yang diletakkan di atas bahu setiap umat Islam, iaitu untuk memakmurkan dunia dan memlihara agama. Hukum-hukum Allah swt ini telah ditegakkan dengan sebaik mungkin di dalam lima bidang utama, iaitu dlm bidang aqidah, ibadah, munakahat, muamalat dan jenayah.

Usaha memastikan hukum aqidah terlaksana, iaitu agar umat Islam di Malaysia mempunyai aqidah yang jelas dimulakan melalui pendidikan. Bezakan orang Melayu dahulu dgn orang Melayu sekarang. Sewaktu zaman P. Ramlee membuat filem, digambarkan terdapat orang Melayu yang memuja mambang untuk menuntut ilmu persilatan. Hari ini bab pendidikan Islam dimasukkan dalam pendidikan formal dan tidak formal, bermula di peringkat tadika, prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah - sekolah menengah biasa, Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Negeri, Sekolah Agama Rakyat, di kolej-kolej, Intitusi Pengajian Tinggi (IPT) sehingga ke peringkat sarjana dan kedoktoran. Tidak cukup menghantar anak-anak Melayu di IPT dalam negara, mereka juga diajar untuk mendalami pelbagai aspek ilmu agama di luar negara.

Dengan kedudukan dan keistimewaan Islam yang ditentukan dengan jelas dalam perlembagaan, pemimpin UMNO yg terdahulu telah mengembangkannya dalam bidang-bidang hukum yang lain, misalnya ibadah. Melalui pendidikan kita belajar setiap syarat dan rukun agar ibadah kita dilakukan secara betul. Selain diajar untuk beribadah secara betul, kita juga diberikan infrastruktur dan keyakinan untuk beribadah dengan selesa melalui pembinaan begitu banyak masjid dan surau. Masjid ini dibantu pula dari aspek penyelenggaraan, utiliti dan elaun imam dan pentadbiran. Di kawasan tertentu disyaratkan pula pembinaan surau dan masjid taman dan blok perumahan. Manakala majikan juga dikehendaki memberi ruang kepada umat islam untuk menunaikan solat Jumaat.

Selain dari aspek peraturan dan pentadbiran, begitu banyak aktiviti dan program juga dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan syiar Islam ditingkatkan dari semasa ke semasa.Dalam bidang hukum munakahat pula, kita mempunyai Enakmen Keluarga Islam dan Institusi Mahkamah Syariah yang diiktiraf sebagai di antara yang terbaik di dunia. Biarpun ada kelemahan di sana sini termasuk dari aspek perbezaan pelaksanaan di negeri-negeri, namun ia adalah sangat tersusun dan jauh lebih sistematik berbanding negara-negara lain.

Dalam bidang hukum muamalat; melalui pendidikan, begitu ramai bijak pandai dalam pendidikan Islam dan pelbagai bidang ilmu lain yang telah kita lahirkan. Dalam kalangan mereka ini, bukan sahaja pakar ilmu Bahasa Arab, al-Quran dan Hadis, Feqah dan Usuluddin sahaja, tetapi juga mereka yg mampu menjadi pakar-pakar yg boleh menterjemahkan dasar hukum Islam ke dalam instrumen kewangan (bermula dgn perbankan, takaful, unit amanah, pajak gadai, sukuk dan sebagainya), yang telah dimulakan di zaman mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad dan sekarang sudah menguasai nilai pasaran yang besar dalam negara dan di peringkat antarabangsa.
Dalam bidang hukum jenayah pula yang terbahagi kpd tiga kategori, iaitu pertama, takzir, kedua - qisas dan ketiga hudud. Setidak-tidaknya kita telah melaksanakan dalam bentuk undang-undang takzir, yang dari secara asasnya melindungi hak-hak individu dan pada waktu yang sama turut memberi keutamaan kepada hak masyarakat terbanyak dan berusaha memelihara masalahat ummah dalam banyak keadaan.

Semuanya bermula dengan kedudukan Islam itu diperuntukkan dengan jelas di dalam perlembagaan; yang secara jelasnya menolak kesimpulan negara ini adalah sebuah negara sekular dan yang selebihnya berkembang dari situ berdasarkan kesungguhan dan kebijaksanaan politik semasa bagi memastikan keharmonian masyarakat berbilang agama dan bangsa tidak terjejas dan negara terjerumus ke dalam fitnah yang berterusan.

Sesungguhnya berdasarkan track record yang ada, UMNO adalah jauh lebih berjasa di dalam memenuhi tuntutan kekhalifahan, iaitu memakmurkan dunia dan memelihara agama, berbanding parti yang berjenama Islam; yang terlalu obses untuk melaksanakan hudud (yang menurut mereka sendiri hanya merupakan 0.0001 peratus sahaja daripada keluasan hukum Allah swt) tetapi gagal melaksanakan banyak perkara termasuklah membina sebuah masjid.

Istilah Hadhari - keliru istilah, form atau substance?

Ada di kalangan rakan Facebook yang mempersoalkan tentang "kenapa UMNO mewujudkan Islam Hadhari sedangkan 1500 tahun dahulu sewaktu Perang Badar, Rasullulah saw telah memenangi perang itu tanpa kewujudan Islam Hadhari?". Saya tanyakan, adakah dia pernah membuat penyelidikan dengan maksud Islam Hadhari yang dimaksudkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi? Seperti biasa, anak muda yang mengamalkan sifat kritikal berpilih (selectively critical) ini tidak pernah ambil peduli mengenainya.

Menurut Mohamed Sherif Bashir dalam tulisannya Islam Hadhari: Concent and Prospect, menyebut bahawa Tun Abdullah menjelaskan bahawa Islam Hadhari lebih merupakan "satu pendekatan untuk membangunkan tamadun Islam berasaskan kepada nilai-nilai terpuji dan ajaran Islam. Ia mengutamakan pengisian berbanding bentuk. Ia adalah suatu pendekatan yang praktikal dan pragmatik. Ia menekankan pembangunan yang konsisten dengan ajaran Islam dan memfokuskan hasrat untuk meningkatkan kualiti hidup setiap warganegara, tanpa mengira pegangan agama mereka. Pendekatan ini juga dinspirasikan oleh kepercayaan golongan Muslim Malaysia bahawa gelombang radikalisme dan ekstremisme boleh diimbangkan dan diterbalikkan melalui tadbir urus yang baik, proses demokratik yang sihat, melalui pendidikan, dan juga perkongsian yang saksama manfaat dari ekonomi pembangunan".

Jelas Islam Hadhari adalah suatu pendekatan. Ia merupakan pendekatan memperbaharui aspek pengurusan agama dan ummah. Ia bukan agama yang baru seperti yang cuba dikelirukan oleh pihak tertentu. Sheikh Ramadhan al-Bouti menyebut bahawa "pembaharuan pengurusan agama bukanlah pembaharuan agama". Pendekatan ini merupakan satu pendekatan yang berteraskan kepada pembinaan tamadun bagi umat Islam, yang menepati kehendak syarak, bertujuan untuk menambahbaikkan pendekatan sedia ada tanpa merubah prinsip asas dan nilai teras dalam Islam. Pendekatan ini bertujuan untuk mengeluarkan umat Islam dari belenggu kejumudan pemikiran dan kemiskinan.

Boleh dikatakan ia merupakan pendekatan kerajaan terdahulu, jika diaplikasikan dapat menjelaskan bahawa Islam itu sama sekali tidak bertentangan dgn kemodenan sebaliknya jika diamalkan secara betul akan memandu manusia membentuk tamadun yang maju dan tinggi nilai kemanusiaannya. Ia juga bertujuan untuk mencari kaedah penyelesaian koflik antara golongan liberalis dan konservatif.

Dr Rahimin Affandi Abdul Rahim, dalam tulisannya Kenapa kita wajib mendukung konsep Islam Hadhari tajaan kerajaan, selain menghuraikan Islam Hadhari sebagai satu pendekatan, perancangan, pelaksanaan dan pemantauan program pembangunan yang holistik, komprehensif dan mapan serta sistematik bagi kemajuan pembangunan dan kehidupan umat Islam ke arah tamadun dan budaya yang berpaksikan al-Quran dan Sunnah, turut menyebut bahawa "konsep Islam Hadhari telah dirangka berasaskan pendekatan wasatiyyah (pertengahan) Islam. Wasatiyyah adalah sifat adil (meletakkan sesuatu yang betul pada tempat dan hirakinya), seimbang dan pertengahan di antara dua ekstrem yang berbeza, iaitu trend liberalis dan konservatif-fundamentalis yang melampau."

Golongan liberalis di Malaysia ini digambarkan beliau sebagai "orang perseorangan yang kononnya dikatakan bertaraf sarjana dan pelbagai NGO yang menggunakan topeng Islam, yang berpegang kepada idealism dan semangat fahaman liberalisme sekularisme Barat, iaitu mempunyai sikap anti kepada amalan tradisi Islam silam, yang dianggap sebagai penyebab kemunduran pemikiran umat Islam; yang akibat penolakan elemen tradisi ini, menyebabkan mereka bergantung sepenuhnya kepada penggunaan akal yang agak bebas, seperti mana diamalkan oleh sarjana Barat; dan pihak yang menggunakan dana yang disumbangkan oleh pemberi dana daripada barat, kononnya untuk tujuan mempromosikan konsep Hak Asasi Manusia dan pemodenan yang lebih jitu kepada masyarakat dunia."

Konservatisme melampau pula disifatkan beliau sebagai "mereka yang menggunakan pendekatan yang bertentangan dengan prinsip kesederhanaan dan wasatiyyah dalam beberapa bentuk seperti fanatik melulu terhadap semua amalan tradisi sehingga melupakan usaha untuk menyiasat samada amalan tradisi itu bertepatan dengan world-view Islam sejati ataupun tidak; mengambil sikap yang memboikot semua amalan kehidupan moden dan menumpukan perhatian kepada aktiviti keakhiratan sehingga melupakan tugasan melaksanakan konsep Amar Makruf Nahi Mungkar secara seimbang; mengambil sikap yang terlalu ekstrim dalam menanggani isu pemodenan, sama ada perlu menjauhinya ataupun perlu memeranginya secara ekstrem dengan menggunakan pelbagai kaedah kekerasan. Apa yang malangnya, tindakan kekerasan ini sering dikaitkan dengan pemahaman konsep jihad yang sempit, penyakit self truth claim dan tindakan yang mengkafirkan sesama Islam. Implikasi tindakan kekerasan ini yang sering menganggap darah musuh mereka sebagai halal dan ianya dianggap sebagai tugas suci yang boleh dibanggakan. Sedangkan, kerap kali setiap aktiviti kekerasan ini akan turut terkena kepada orang awam yang tidak berdosa; dan keengganan untuk menerima pendapat orang lain yang berbeza pendapat dengan mereka, kerana bagi mereka, hanya pandangan dan paradigma pemahaman mereka sahaja yang paling betul dan menafikan hal ini kepada orang lain. Secara terang-terangan mereka telah dijangkiti dengan penyakit bebalism, sifat rohani yang lemah dan degil, yang tidak mahu berubah walaupun diberikan maklumat yang betul."

Jelasnya gagasan pemikiran Islam Hadhari merupakan satu gagasan yang besar; malangnya terlalu besar sehingga ianya gagal difahami dengan baik dan jelas oleh majoriti rakyat, termasuk majoriti golongan yang berpendidikan agama, penjawat awam dan ahli politik sehingga ia gagal disambut dan diamalkan dengan baik dalam setiap aspek tindakan dan tugasan harian.

Pada waktu yang sama pihak kepemimpinan tertinggi juga gagal memberi teladan dan contoh yang sesuai sehingga ia memberi isyarat yang bertentangan kepada rakyat. Kesempatan ini kemudiannya diambil oleh pembangkang untuk dimanipulasi sehingga berjaya mewujudkan kekeliruan demi kekeliruan yang semakin menebal sehingga menimbulkan soalan "kenapa UMNO mewujudkan Islam Hadhari sedangkan 1500 tahun dahulu sewaktu Perang Badar, Rasullulah saw telah memenangi perang itu tanpa kewujudan Islam Hadhari?".

Jawapan yang paling ringkas dan mudah kepada yang bertanya adalah Islam Hadhari hanya satu istilah yg menerangkan pendekatan pembaharuan urusan agama dan urusan ummah yang sesuai dengan kemodenan dan cabaran masa kini agar umat Islam dapat bangkit semula dan membentuk tamadun yang baru. Apakah sistem perbankan Islam itu suatu yang bersalahan dengan hukum Islam? 1,500 tahun dahulu adakah istilah Perbankan Islam? Ia hanya satu istilah - seperti Parti Islam (yang malangnya dijenamakan seolah-seolah sperti 'hanya satu-satunya yang Islam). 1,500 tahun dahulu sewaktu Perang Badar, bukankah Rasullulah saw telah memenangi perang itu tanpa kewujudan parti Islam? Kenapa harus keliru antara istilah, form dan substance.

* artikel ini buat disiarkan buat pertama kalinya di klik4Malaysia.com

Popular Posts