Jawapan yang baik dan bernas dari Ahli Parlimen Muda. KSU, pegawai kementerian dan pegawai Menteri dan Timbalan Menteri kena ambil perhatian, barulah bahan-bahan yang nak disediakan untuk Menteri dan Timbalan Menteri jawab menjawab persoalan dan menggagalkan usaha pembangkang untuk menjadikannya sebagai satu isu. Apa cerita dan prestasi researcher BN di Parlimen yang ramai tu?
Showing posts with label JK Pilihan Khas Parlimen. Show all posts
Showing posts with label JK Pilihan Khas Parlimen. Show all posts
Monday, November 18, 2013
Wednesday, October 26, 2011
#Bersih, #Himpun, fitnah Mat Sabu, Warga Afrika antara butiran penting penggulungan Menteri Dalam Negeri @HishammuddinH2O
Antara butiran penting penggulungan Menteri Dalam Negeri
Langkah jimat cermat KDN
Sepanjang tempoh dua tahun ini, KDN telah melaksanakan pendekatan kreatif dan inovatif bagi membantu kerajaan mengurangkan perbelanjaan dan berjimat cermat. Kerjasama antara Jabatan Penjara Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti dalam Program Pemulihan Pemasyarakatan merupakan sebuah program pemulihan di luar tembok penjara.
Kerajaan telah menjimatkan sebanyak RM45.7 juta ringgit bagi setiap program kerjasama ini. Sehingga kini, Program Pemulihan Pemasyarakatan telah dilaksanakan di 5 kem ATM di seluruh negara yang melibat 1,106 orang yang banduan.
Selain Program Pemulihan Pemasyarakatan, pendekatan inovatif melalui kerjasama antara PDRM dan ATM juga digunakan bagi mengadakan program latihan asas kepolisan di kem-kem tentera. Melalui kerjasama ini, Kerajaan dapat mengatasi masalah kekurangan pusat latihan polis dan dapat menggandakan jumlah anggota polis dalam masa terdekat tanpa perlu membina pusat-pusat latihan polis yang baru. Langkah ini telah berjaya menjimatkan perbelanjaan kerajaan kerana, pembinaan sebuah pusat latihan polis yang baru memerlukan peruntukan berjumlah RM250 juta.
Pencapaian NKRA hasil usaha terancang, bukan ad-hoc atau kebetulan
Sukacita, saya menyatakan bahawa Kerajaan serius untuk melaksanakan NKRA. Kejayaan menurunkan indeks jenayah adalah satu usaha terancang dan bukan dilaksanakan secara ad-hoc atau berlaku secara kebetulan.
KDN telah menubuhkan makmal NKRA Mengurangkan Jenayah pada penghujung 2009 melibatkan pelbagai pihak dengan pelbagai kepakaran. Sebanyak 55 inisiatif telah dikenalpasti untuk dilaksanakan oleh pelbagai pihak yang turut merentasi Kementerian dan Agensi.
KDN telah mengenalpasti 4 negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang yang mempunyai kejadian jenayah paling tinggi dan menyumbang kepada 72% kejadian jenayah pada tahun 2008. Seterusnya 50 kawasan di negeri-negeri tersebut telah dikategorikan sebagai kawasan hotspot dijadikan sebagai tumpuan untuk melaksanakan inisiatif mengurangkan jenayah oleh PDRM.
Melalui inisiatif NKRA, Kerajaan telah melaksanakan program omnipresence di kawasan hot spot empat negeri tersebut. Seramai 3,781 orang anggota RELA terlibat dan dilantik sebagai sukarelawan polis. Program omnipresence telah dikembangkan ke Sabah dan Sarawak mulai awal bulan ini di mana 184 anggota RELA telah bertugas di lima balai polis di Sabah dan 636 anggota RELA lagi bertugas di enam balai polis di Sarawak. Jumlah keseluruhan anggota RELA tersebut dalam program ini adalah seramai 4,601 orang.
Bagi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) seramai 1,540 anggota terlibat di 4 buah negeri tersebut dan seramai 144 orang lagi terlibat di Sabah manakala di Sarawak seramai 103 orang anggota terlibat di bawah program ini.
Hakikatnya, pencapaian kita adalah jauh lebih baik dari apa yang disasarkan. Misalnya bagi Jenayah Indeks, walaupun sasaran yang ditetapkan adalah penurunan sebanyak 5% jenayah indeks berbanding tahun 2009, tetapi statistik menunjukkan, sehingga Oktober tahun ini, kadar jenayah telah berjaya dikurangkan sebanyak 24.2% iaitu melebihi 19.2% daripada sasaran asal yang ditetapkan.
Bagi kes Jenayah Jalanan, Kerajaan telah menetapkan sasaran sebanyak 15% penurunan, tetapi sehingga bulan Julai tahun ini, Jenayah Jalanan telah berjaya dikurangkan sebanyak 40.7%, iaitu lebihan penurunan sebanyak 25.7% dari sasaran asal.
Polis berhak marah dan pertahan diri bila maruah dicemar, itu bukan berpolitik
Y.B. Parit Buntar mendakwa pihak polis terlibat di dalam politik ekoran terdapatnya satu surat arahan pentadbiran. Saya ingin menyampaikan pendirian PDRM yang menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan Y.B. Parit Buntar berkenaan dakwaan Polis telah dipolitikkan dalam isu kes Mohamad Sabu. Surat arahan pentadbiran tersebut dikeluarkan sebagai tanda bantahan terhadap fitnah yang dibuat oleh Mohamad Sabu. Seluruh warga PDRM berhak merasa marah sekiranya ada pihak mempertikai dan memperlekeh sumbangan mereka. Dalam kes Mat Sabu ini, ia lebih berat kerana dia melabelkan anggota polis yang terkorban dalam pertempuran dengan komunis sebagai pegawai penjajah dan menafikan peranan mereka dalam kemerdekaan negara.
Dalam negara yang mengamalkan demokrasi adalah menjadi hak PDRM dan mana-mana organisasi yang lain mempertahankan maruah dan martabat sesuatu organisasi apabila dicemar dengan kenyataan yang tidak benar, lebih-lebih lagi apabila dakwaan Mohamad Sabu ini dilihat sebagai menjatuhkan maruah dan imej anggota polis dan pasukan PDRM.
Warga Afrika dipantau, ditangkap jika menyalahi Akta Imigresen
Sehubungan perkara yang dibawa oleh Y.B. Hulu Terengganu dan Y.B. Sri Gading berkenaan kemasukan warganegara dari negara-negara Afrika, mereka ini dikawal melalui kawalan/tapisan oleh Kerajaan Malaysia dan Jabatan Imigresen dengan mewajibkan memiliki VISA yang dikeluarkan oleh Pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara tersebut.
Tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen bersama agensi kerajaan yang lain terhadap warganegara ini dijalankan secara berkala. Sejumlah 1,960 orang dari berbagai warganegara telah ditangkap oleh Jabatan Imigresen dari Januari – September 2011 kerana kesalahan dibawah Akta Imigresen.
Tapisan khusus bagi warga Afrika dibuat oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang mana pelajar-pelajar Afrika diwajibkan mengemukakan dokumen “ No Objection Certificate” (NOC) yang dikeluarkan oleh negara-negara berkenaan, bertujuan untuk memastikan hanya pelajar yang benar-benar layak sahaja belajar di luar negeri. KPT dan KPM telah membuat pemeriksaan secara berkala di IPTA,IPTS bagi memantau aktiviti pelajar-pelajar Negara Afrika yang berjumlah 19,000 orang bagi tempoh Januari-September 2011. KDN dan KPT serta Kementerian lain yang berkaitan sedang meneliti semula pengeluaran Pas Pelajar. Keputusan penelitian ini akan dimaklumkan kemudian.
Tuduhan (rasis) Ipoh Barat dan Seremban tidak berasas
Y.B Ipoh Barat dan Y.B Seremban menyatakan 40% penghuni penjara adalah terdiri daripada masyarakat India. Kenyataan tersebut adalah tidak tepat sama sekali kerana berasaskan statistik Jabatan Penjara Malaysia pada 17 Oktober 2011 tiada satupun institusi penjara dari sejumlah 40 buah yang mempunyai jumlah penghuni kaum India pada kadar 40% atau lebih berbanding dengan penghuni kaum lain.
Pemansuhan ISA dan undang-undang darurat diperjelaskan
Bagi persoalan ISA sebagaimana yang dibangkitkan oleh Y.B. Permatang Pauh, Y.B Klang dan Y.B. Batu Gajah. Draf rang undang-undang bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 yang bakal dimansuhkan sedang di gubal oleh Jabatan Peguam Negara. Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara sebagai peneraju bersama-sama KDN sedang membuat penelitian terhadap penggubalan dua (2) rang undang-undang baru iaitu undang-undang mengenai keganasan dan undang-undang mengenai keselamatan dan ketenteraman awam seperti yang telah diamanatkan oleh YAB Perdana Menteri melalui ucapannya pada 15 September lalu.
Berkenaan dengan Akta Kediaman Terhad sebagaimana yang dibangkitkan oleh Y.B. Pokok Sena. Keputusan Kerajaan dalam memansuhkan Akta Kediaman Terhad 1933 serta melaksanakan Perintah Pembatalan Sekatan terhadap 125 orang individu dan menarik balik 200 waran tangkap adalah merupakan permulaan kepada Program Tranformasi Politik Negara.
Bagi Akta Akta Buang Negeri 1959 sebagaimana yang dibangkitkan oleh Y.B. Limbang. Pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933 hanya memberi kesan kepada mereka yang telah dikenakan tindakan di bawah Akta-akta tersebut sahaja. Selain itu, terdapat juga mereka yang sedang menjalani Perintah Sekatan atau dibuang daerah di bawah undang-undang pencegahan yang lain.
6P dan 5P di Sabah
Program 6P merupakan salah satu inisiatif Kerajaan bagi memastikan pengurusan warga asing dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, merangkumi enam proses berkaitan PATI iaitu Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran.
Atas permintaan Kerajaan Negeri Sabah hanya akan melaksanakan 5P iaitu tanpa Proses Pemutihan kerana proses pemutihan/regularisasi telah dilaksanakan beberapa kali di negeri berkenaan dengan kali terakhir pada tahun 2009.
Sehingga tarikh tamat Proses Pendaftaran Program 6P iaitu pada 31 Ogos 2011 seramai 2,320,034 orang PATI dan pekerja asing sah telah berdaftar melalui sistem biometrik. Daripada jumlah tersebut, seramai 1,303,126 (56%) adalah PATI dan seramai 1,016,908 orang (44%) pula adalah pekerja asing yang sah. Bagi Pekerja Asing Sah, angka tersebut tidak termasuk Pembantu Rumah Asing, Pegawai Dagang, Peserta MM2H, Pelajar Asing dan Pemegang Kad UNHCR.
Pembersihan data pengundi dan dakwaan pemberian kad pengenalan kepada warga asing
Berkenaan dengan kerjasama di antara JPN dan SPR dalam usaha membersihkan data pemilih yang dibangkitkan, JPN sentiasa bekerjasama dengan semua agensi kerajaan mengikut keperluan agensi tersebut seperti SPR kerana JPN merupakan agensi yang bertanggungjawab menyimpan dan menyenggara semua maklumat dan data kependudukan negara. KDN komited dan sentiasa bekerjasama dengan SPR dalam usaha mengemaskini senarai nama daftar pemilih tersebut.
Merujuk kepada kerjasama tersebut ianya telahpun wujud sejak sekian lama melalui perkongsian maklumat dan pengesahan data yang berkait dengan data pemilih. Selain daripada itu juga, perbincangan, mesyuarat dan dialog turut diadakan dari semasa ke semasa menurut keperluan.
KDN dalam hal ini akan memberi kerjasama kepada Jawatankuasa Pilihan Khas yang dijadual bermesyuarat pada 2 November ini. Isu-isu yang berkaitan akan dijelaskan secara terperinci dalam mesyuarat tersebut. Segala isu-isu berkenaan pemberiaan kewarganegaraan akan kita perjelaskan di dalam JPK tersebut nanti.
Suka saya menyatakan bahawa KDN turut ingin melihat daftar pemilih yang bersih.
Bagi menjawab soalan tambahan mengenai isu rakyat Bangladesh dan Indonesia yang didakwa dibawa ke Putrajaya untuk diberikan kewarganegaraan dan didaftar sebagai pemilih baru-baru ini, ingin saya tegaskan bahawa isu sebegini bukan pertama kali dibangkitkan oleh pihak pembangkang.
Sebelum ini, isu pemberian kerakyatan kepada warga Bangladesh untuk tujuan dijadikan pengundi pernah dibangkitkan. Penjelasan telah diberikan berserta fakta dan data bagi menjawab dakwaan tersebut. Berdasarkan fakta berkenaan, hanya 37 rakyat Bangladesh yang telah diberikan sijil kerakyatan negara ini sejak 1998 sehingga Ogos 2011 di mana daripada jumlah tersebut hanya 14 orang didapati layak mengundi dan seterusnya hanya 7 orang sahaja yang telah mendaftar sebagai pengundi. Tetapi pihak pembangkang kemudiannya mengalih atau mengubah tiang gol mereka kepada isu-isu lain pula selepas KDN memperjelaskan perkara tersebut.
Sekarang ini satu lagi isu pula telah ditimbulkan. Seperti yang telah saya sebutkan tadi, segala isu-isu berhubungkait dengan pemberiaan kerakyatan negara ini kepada warga asing akan kita perjelaskan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) itu nanti. KDN akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada JPK dengan memberikan penjelasan secara terperinci dalam mesyuarat tersebut. Pihak KDN tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan.
Bersih adalah perhimpunan haram oleh pertubuhan haram, HIMPUN perhimpunan yang tidak ganggu orang ramai dan tidak gugat ketenteraman awam
Berkenaan dengan isu perhimpunan haram BERSIH pada 9 Julai lalu, yang utamanya, BERSIH telah diwartakan sebagai pertubuhan haram oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966.
Kos operasi keseluruhan yang dibelanjakan oleh PDRM bagi menangani Perhimpunan BERSIH pada 9 Julai lalu adalah sebanyak RM 2,018,850.06. Perbelanjaan ini adalah meliputi perbelanjaan bagi perolehan kelengkapan tambahan, makan minum, penginapan dan keperluan logistik yang lain.
Kerajaan amat prihatin terhadap suara rakyat yang inginkan kebebasan untuk berhimpun dan bersuara. Walau bagaimanapun, kebebasan ini perlu diseimbangkan dengan kewajipan Kerajaan untuk memelihara keselamatan dan ketenteraman awam.
Penyalahgunaan kebebasan bersuara dan berhimpun seperti mengadakan demontrasi jalanan sehingga menimbulkan kegelisahan dan ketegangan dalam masyarakat dan boleh menggugat keselamatan negara seharusnya dielakkan. Dalam masa yang sama, kerajaan mengambil inisiatif untuk meneliti beberapa perundangan negara-negara lain yang berkaitan dengan sebarang bentuk perhimpunan di kawasan yang melibatkan keselamatan awam.
Langkah ini adalah sebahagian daripada proses-proses transformasi dan keterbukaan yang sedang dan akan terus dilaksanakan oleh Kerajaan sebagaimana yang telah diumumkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri termasuk pindaan kepada Seksyen 27 bagi mengadakan perhimpunan awam di sesebuah kawasan tertutup seperti stadium.
Sebagai contoh Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) yang diadakan di Stadium Shah Alam baru-baru ini adalah lebih terkawal dan tidak menimbulkan sebarang gangguan atau kekecohan sehingga boleh menggugat ketenteraman awam berbanding demonstrasi jalanan yang dianjurkan oleh pihak Bersih di Kuala Lumpur sebelum ini.
Berkenaan tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap mereka yang terlibat yang dibangkitkan, PDRM telah menjalankan siasatan ke atas mereka dan sebanyak 61 kertas siasatan telahpun dibuka dan telah dikemukakan ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang negara sedia ada.
Monday, August 22, 2011
#Bersih Hishammuddin - JK Pilihan Khas Parlimen Pilihan Raya boleh atasi dakwaan palsu tentang daftar pemilih

Hishammuddin - "Kes-kes yang kononnya didakwa mempunyai pertalian dengan kepentingan pihak Kerajaan sebelum ini ternyata meleset apabila nama-nama individu yang kononnya mendapat status “kerakyatan segera” telah tampil dan menceritakan kisah sebenar yang mereka lalui dengan disokong dengan bukti-bukti dan rekod sahih."

Kenyataan Akhbar
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Keputusan Kabinet untuk menerima cadangan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah langkah terbaik untuk menjawab dan menangani segala bentuk persoalan dan tuduhan yang selama ini dilemparkan oleh Pembangkang. Pendekatan yang diambil oleh pihak Kerajaan bagi mewujudkan sebuah jawatankuasa yang bersifat terbuka dan telus dengan dianggotai oleh wakil-wakil Kerajaan, Pembangkang dan Bebas adalah perkembangan positif ke arah pengukuhan pembentukan negara ini serta rakyatnya sebagai masyarakat yang lebih matang dan progresif.
Pembentukan Jawatankuasa ini bagaimanapun bukan bermakna terdapat masalah dalam proses pilihan raya yang kita lalui selama ini. Malah proses pilihan raya di negara ini telah dilaksanakan dengan adil, penuh demokratik dan bersih. Namun pembentukan sebuah Jawatankuasa seperti ini adalah platform terbaik untuk membuktikan kepada rakyat bahawa pihak Kerajaan tidak mempunyai apa-apa perkara yang perlu diselindungi. Kita senantiasa menyerahkan kuasa kepada rakyat untuk menentukan sama ada kita masih diperlukan atau tidak. Di atas asas dan keyakinan itulah Kerajaan merasakan rakyat perlu mendapat gambaran yang tepat serta tidak mudah terpedaya dengan dakwaan-dakwaan tak berasas.
Kes-kes yang kononnya didakwa mempunyai pertalian dengan kepentingan pihak Kerajaan sebelum ini ternyata meleset apabila nama-nama individu yang kononnya mendapat status “kerakyatan segera” telah tampil dan menceritakan kisah sebenar yang mereka lalui dengan disokong dengan bukti-bukti dan rekod sahih.
Dengan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ini kelak, setiap pihak sama ada pihak wakil Kerajaan, Pembangkang dan juga Bebas mempunyai peluang untuk menyatakan pandangan masing-masing dan semua pihak berpeluang untuk menilainya.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil tindakan awal minggu lalu untuk mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai usaha untuk mengemaskini rekod-rekod warganegara Malaysia yang sah dan berdaftar sebagai pengundi. Langkah ini adalah selaras dengan cadangan Kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa ini.
Apa yang dihasratkan melalui pembentukan sebuah Jawatankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil Kerajaan, Pembangkang dan Bebas di peringkat Parlimen adalah agar sebarang perkara berkaitan usaha memperkukuh undang-undang dan peraturan berkenaan pilihan raya di negara ini dapat dilaksanakan secara telus dan dapat dilihat secara dekat oleh rakyat. Langkah ini adalah satu keputusan yang mendokong serta menyokong pemerintahan demokrasi berparlimen yang selama ini telah kita pertahankan demi kepentingan rakyat serta masa depan negara.
KDN telah melaksanakan penambahbaikan dalam memproses permohonan kewarganegaraan, permit masuk dan daftar lewat kelahiran sejak lebih dua tahun lalu. Dalam tempoh berkenaan kita telah menetapkan matlamat untuk menyelesaikan proses permohonan dan mereka yang berhasrat menjadi warganegara Malaysia akhirnya dapat mengetahui dan mendapat makluman tentang keputusan permohonan mereka. Penambahbaikan itu bagaimanapun tidak melibatkan perubahan dasar dan syarat-syarat seperti yang terkandung di bawah undang-undang serta peraturan sedia ada.
Langkah mengemaskini rekod di bawah KDN yang mana dikendalikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah untuk memastikan rekod kedua-dua pihak antara JPN dan SPR dapat diselaraskan dan pada masa yang sama dapat dikemaskini dalam kadar segera; dari semasa ke semasa bagi mengelakkan sebarang salah tafsir atau salah faham oleh mana-mana pihak.
Kerajaan mempunyai pendirian yang jelas dan tegas dalam soal kelayakan untuk berdaftar sebagai pemilih dalam pilihan raya. Sehubungan itu KDN serta JPN akan memastikan segala keperluan dan persoalan yang timbul dalam perkara itu dapat ditangani. Ini adalah satu tanggungjawab penting yang perlu dipikul oleh KDN dan JPN. Langkah ini juga akan memerlukan KDN dan JPN untuk melipatgandakan usaha dan memastikan wujudnya sistem yang telus dan memuaskan semua pihak. Saya mahu agar pangkalan data yang menyimpan permohonan kewarganegaraan, permit masuk dan daftar lewat kelahiran dapat dikemaskini dan menunjukkan status semasa dengan tepat.
Pembentukan Jawatankuasa ini juga adalah peluang terbaik untuk menonjolkan peranan ahli-ahli Parlimen muda di negara ini untuk mengemukakan pandangan serta buah fikiran mereka khususnya mengenai penambahbaikan proses pilihan raya. Mereka tentunya mempunyai pandangan yang mampu mewakili fikiran bentuk baru memandangkan mereka adalah suara yang akan mewakili generasi masa depan.
Perubahan yang akan diputuskan kelak akan memberi kesan langsung terhadap proses dan kaedah kerja yang diamalkan selama ini termasuk oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Apa yang boleh dan tidak boleh dibuat sepanjang tempoh kempen pilihan raya juga perlu diputuskan berdasarkan keputusan yang akan dibuat kelak. Setelah kesemua cadangan berkenaan diluluskan, adalah penting agar semua jabatan dan agensi terlibat membentuk kerjasama rapat antara satu sama lain bagi memastikan segala keputusan yang dicapai dapat dilaksanakan dengan baik.
Subscribe to:
Posts (Atom)
Popular Posts
-
1. Keputusan DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong memperkenankan perlantikan Tommy Thomas amat membimbangkan orang Melayu dan umat Islam neg...
-
KENYATAAN MEDIA PERSATUAN KETURUNAN MEGAT TERAWIS MALAYSIA Dan PERSATUAN KELUARGA JAMALULLAIL PERAK Mewakili Waris dan Kerabat D...
-
Polis Bukit Kepong wira sebenar Oleh Shamsul Kamal Amarudin http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PolisBukitKepongwirasebenar/Article 2...
-
posting dari bugati veyron HUIIYOOOOO..TGK..!!! ANAK SAPA NI??... NI LA AKAUN ANAK NUAR LAKI JIJAH MADUNYA AZMIN NIH..!!!.. KAYA..!!! JUTA,...
-
Dipetik dari Malaysian Insider Armed for cyberwar, Umno Youth wants ammo from Putrajaya The Malaysian Insider  By Shannon Teoh KUALA LUMPUR...
-
Ada beberapa blogger yang saya kenali sebagai penipu. Salah seorang daripadanya adalah Papagomo. Cuma sebelum ini saya fikir penipuannya ber...
-
Saya dok perhati saja video wawancara Dr Muhammed Abdul Khalid ni. Pada saya dia ni terlalu obsessed dengan data, sampai cara dia mentaf...
-
Dahulu saya sebenarnya selalu tertanya-tanya sampai ke tahap mana sifat fanatik pejuang bahasa Melayu dan sejauh mana mereka sanggup lakukan...
-
1. Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Jeff Sessions sekadar mengulangi kenyataan Peguam Negara AS sebelumnya tanpa menyeda...
-
Duit minyak: yang penting rakyat dapat. yang tak dapat dan kecoh ni mungkin orang yang nak menyamun? Ini Jawapan Isu Royalti ...