Showing posts with label Dr Asri Zainal Abidin. Show all posts
Showing posts with label Dr Asri Zainal Abidin. Show all posts

Monday, January 6, 2014

#Bughah - Pandangan Harussani lebih tepat bersandarkan hadis dan konteks berbanding MAZA



Arfajah Ibnu Syuraih Ra berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa datang kepadamu ketika keadaanmu bersatu, sedang ia ingin memecah belah persatuanmu, maka bunuhlah ia.” Riwayat Muslim.

Satu lagi hadis adalah daripada `Awf bin Malik al-Asja`i, beliau berkata yang bermaksud: Aku dengar Rasuullah s.a.w bersabda Sebaik-baik pemimpin adalah yang kamu cintai dan mereka mencintaimu. Kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakanmu. Sejahat-jahat pemimpin adalah yang kamu benci dan mereka membencimu. Kamu kutuk mereka dan mereka mengutukmu. Para sahabat bertanya, “Tidakkah kami mengangkat senjata terhadap mereka?” Nabi Saw menjawab, “Jangan, selama mereka mendirikan shalat. Jika kamu lihat perkara-perkara yang tidak kamu senangi maka bencimu terhadap amal perbuatannya dan jangan membatalkan ketaatanmu kepada mereka.” (HR. Muslim)

NOTA : Pandangan yang mengatakan bughah perlu BERSENJATA dan DEMONSTRASI BUKAN BUGHAH adalah TIDAK TEPAT lebih-lebih lagi dalam konteks semasa. 

Perhatikan hadis yang pertama, tidak disebutkan tentang senjata. Jika ada pun Nabi s.a.w menyebut mengenai senjata seperti di dalam hadis kedua, ia adalah 'jangan angkat senjata terhadap pemimpin yang masih mendirikan solat' .

Dalam konteks hari ni para doktor falsafah agama dan ustaz-ustaz perlu membuka fikiran lebih luas untuk melihat bahawa 'SENJATA' bukan semestinya senjata pedang dan panah atau raifel dan bom - tetapi ideologi, teknologi internet, media sosial, demonstrasi jalanan dan sebagainya. Jangan lupa fitnah di Timur Tengah yang mengorbankan banyak nyawa dan meruntuhkan kerajaan bukan terjadi menggunakan senjata konvensional tetapi `senjata demonstrasi berdasarkan 198 kaedah revolusi tanpa kekerasan (kononnya) cetusan Gene Sharp'.

Sebab itu saya tidak sekali-kali bersetuju apabila ada golongan agama yang berfatwa kononnya dalam suasana hari ni tidak wujud lagi kafir harbi. `Harbi' dalam konteks hari ini bukan lagi peperangan bersenjata konvensional atau moden, tetapi kerana golongan ini memerangi dan menyerang dengan ideologi dan kaedah-kaedah lain.

Saya fikir agamawan yang gagal melihat tentang senjata baru ini gagal untuk melihat konteks masa kini vs konteks zaman Rasulullah saw atau mungkin kerana mereka ditaja oleh musuh umat Islam.

Baca
Mufti Perak Pertahan Kenyataan BUGHAH & HALAL Darah peserta Perhimpunan

http://paritbuntarrebels.blogspot.com/2014/01/mufti-perak-pertahan-kenyataan-bughah.html

Di bawah adalah penerangan mengenai bughah oleh JAKIM



KONSEP BUGHAH DALAM ISLAM

Pengertian bughahBughah mengikut istilah syara` adalah “ segolongan umat Islam yang melawan dan menderhaka terhadap Ulil Amri (imam) iaitu pemerintah atau kerajaan yang adil yang menjalankan hukum-hukum syariat Islam.’ (Kifayah al-Akhyar, jild 2 hal 122)

Bughah mengikut istilah ilmu tata negara adalah “perbuatan sekumpulan dan segolongan umat Islam yang memberontak untuk menentang dan menderhaka kepada ulil amri yang dinamakan jarimah siyasah( iaitu suatu kesalahan dalam politik)”.( Qanun Jinayah Syariyyah, hal 129)
Bughah Menurut al-Quran dan Sunnah

Bughah dalam pandangan Islam ada disentuh pada ayat 9 surah al-Hujurat yang bermaksud;
“Dan sekiranya dua kumpulan orang beriman saling berperang maka damaikanlah antara kedua-duanya, jika salah satu kumpulan telah menceroboh ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang menceroboh itu sehingga ia kembali kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan menceroboh). yes'> Jika ia telah kembali, maka damaikanlah kedua-duanya dengan adil dan berlaku saksamalah, sesungguhnya Allah suka orang yang melakukan kesaksamaan”

Sementara al-Sunnah terdapat beberapa penjelasan terhadap perbuatan Bughah. Antaranya adalah seperti berikut;

1. Daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud; Sesiapa yang telah menghulurkan tangan dan hatinya (memberi bai`ah atau kesetiaan) kepada seseorang pemimpin, maka hendaklah dia mentaatinya selagi termampu. Sekiranya datang seorang lain yang cuba menentangnya (memerangi pemimpin yang dibai`ah itu) maka pancunglah kepala penentangnya itu”. Riwayat Muslim

2. Daripada Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya; Sesiapa yang melihat sesuatu perkara yang ia tidak sukai daripada ketuanya maka hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang berpisah daripada jamaah walaupun sejengkal lalu dia mati maka matinya adalah mati jahiliah”. yes'> Riwayat al-Bukhari dan Muslim

3. Daripada `Awf bin Malik al-Asja`i, beliau berkata yang bermaksud: “Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda; Sebaik-baik pemimpin kamu ialah yang kamu kasihi mereka dan mereka kasihi kamu, kamu memdoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Seburuk-buruk pemimpin ialah pemimpin yang kamu benci dan mereka bencikan kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu. Kami berkata; Wahai Rasulullah s.a.w., bolehkah kami memerangi mereka? Baginda menjawab; Jangan selagi mereka bersembahyang bersama kamu kecuali orang yang diperintah oleh seorang pemimpin yang melakukan maksiat maka hendaklah dia membenci maksiat yang dilakukannya itu dan janganlah sekali-kali kamu mencabut ketaatan”. (Riwayat Muslim dan Ahmad)

4. Daripada Huzayfah bin al-Yaman r.a. berkata yang bermaksud bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda; Akan ada selepasku para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak melakukan sunnahku. Akan ada di kalangan kamu pemimpin yang hatinya seperti hati syaitan dalam jasad manusia. Aku (Huzaifah) bertanya; Bagaimana harus aku lakukan jika aku sempat hidup dalam suasana itu ya Rasulullah. Jawab baginda; Kamu dengar dan taat walaupun dia menyebat kamu dan mengambil harta kamu, hendaklah kamu dengar dan taat. (Riwayat Muslim, al-Baihaqi dan lain-lain)

5. Daripada Ubadah bin al-Somit beliau berkata yang bermaksud; Kami telah membaiah Rasulullah s.a.w. untuk dengar dan taat dalam keadaan kami suka atau benci, kami senang atau susah, mengutamakan pemimpin daripada diri kami dan untuk tidak menentang pemimpin melainkan terdapat kekufuran yang jelas hukumnya dalam agama Allah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

6. Daripada Abu Zar bahawa Rasulullah s.a.w. berkata yang bermaksud; Wahai Abu Zar, bagaimanakah kamu sekiranya nanti kamu berada di bawah pemimpin yang tamak dan tidak membahagikan harta harta al-fai` ini?. Jawab Abu Zar; Demi Allah yang mengutuskan tuan dengan kebenaran, aku akan pikulkan pedang atas bahuku dan memeranginya sehingga aku bertemu tuan. Baginda pun bersabda; Mahukah jika aku tunjukkan kepadamu yang lebih baik daripada itu? Iaitu engkau bersabar sehingga engkau menemuiku. (Riwayat Imam Ahmad, dalam sanadnya terdapat perawi bernama Khalid bin Wahaban , Ibnu Hibban menthiqahkannya manakala Abu Hatim pula mengatakannya majhul)

Bughah Menurut Pandangan Ulamak

1. Imam Ghazali r.h. dalam kitabnya al-Iqtisad fi al-I`tiqad mengatakan”….persoalan-persoalan ini membangkitkan pertentangan dan sesiapa yang dapat menghindarkan diri daripadanya lebih selamat daripada orang yang mencampuri atau terlibat dalamnya, meskipun pendirian yang diambilnya benar, apatah lagi jika memilih jalan yang salah…”

2. Ibn Abi al-`Iz pula berkata,…”adapun wali al-Amri berkemungkinan ia menyuruh supaya tidak taat kepada Allah S.W.T., ia tidak boleh ditaati melainkan dalam lingkungan taat kepada Allah S.W.T. dan rasul-Nya. Adapun kemestian taat kepada mereka (dalam perkara yang bukan maksiat kepada Allah S.W.T.) walaupun mereka zalim ialah kerana tidak mentaati mereka akan mengakibatkan kerosakan yang berganda-ganda melebihi yang dihasilkan daripada kezaliman mereka. Bahkan sabar terhadap kezaliman mereka mengkifaratkan dosa-dosa, menambahkan pahala. Allah S.W.T tidak menurunkan orang zalim ke atas kita melainkan kerana kerosakan perbuatan kita. Balasan adalah sesuai dengan amalan. Maka kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh beristighfar, bertaubat dan memperbaiki amalan. 

Firman Allah S.W.T. 
“Atau setiap kali musibah menimpa kamu, sesungguhnya Ia telah menimpa kamu musibah yang seumpamanya. Kamu bertanya, dari manakah musibah ini. Katakanlah wahai Muhammad ia datang daripada diri kamu sendiri”.

Ali Imran ayat 165
Dan Allah S.W.T. berfirman yes'> yang bermaksud;
“Dan demikianlah Kami menempatkan orang zalim sebagai wali kepada orang zalim sepertinya, sebagai hasil kerja-kerja yang mereka lakukan”.

Al-An`am ayat 129
Apabila rakyat mahu membebaskan diri daripada kezaliman pemerintah mereka maka mereka hendaklah meninggalkan kezaliman yang sedang mereka lakukan”.(Syarh al-`Aqidati al-Tohawiyah, juz 2, hal. 542,)

3. Syeikh Muhammad bin Abdullah bin Sabil berkata, “…kesabaran ke atas kezaliman imam (pemerintah) selain daripada yang wajib dari segi syarak adalah lebih ringan mudharatnya daripada bangun menentangnya dan menggugurkan ketaatan daripada mereka. Ini kerana natijah terhadap penentangan terhadap mereka membawa kerosakan yang sangat besar. Kemungkinan bangun menentang mereka akan membawa fitnah yang berpanjangan dan merebak kemudharatannya yang membawa pertumpahan darah, mencabuli kehormatan, merampas harta benda dan lain-lain lagi kemudaratan yang banyak dan musibah yang besar ke atas negara dan rakyat”.( al-Adillatu al-Syar`iyyah fi Bayani Haqqi al-Raa`iyyah. Riyadh)

4. Budaya `isyan bukanlah budaya Islam, menurut ahli sunnah wal jamaah kerana ia adalah daripada sifat-sifat iblis. Jika berlaku kezaliman daripada pemerintah, apa yang mesti dilakukan ialah menjalankan gerakan mengislah rakyat supaya memperbaiki kerosakan yang mereka lakukan kerana kezaliman pemerintah itu adalah diutus oleh Allah S.W.T. sebagai balasan atas kerja-kerja jahat yang mereka lakukan. Apabila rakyat berjalan di atas landasan yang benar dan berada dalam keadaan yang diredhai oleh Allah S.W.T. maka Allah S.W.T. akan menarik balasannya dengan memilih dan melantik orang yang adil menjadi pemerintah mereka.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;
“Sesungguhnya akan berlaku selepas zaman kamu kekecohan dan perkara-perkara yang tidak menyenangkan kamu. Sahabat-sahabat bertanya, apakah yang patut kami lakukan? Baginda bersabda, “kamu hendaklah menunaikan hak-hak yang wajib ke atas kamu melaksanakannya dan memohon kepada Allah hak-hak yang diperuntukkan kepada kamu.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim


Al-Nawawi berkata, “hadith ini menggesa supaya mendengar dan taat walaupun orang yang memerintah itu zalim. Maka berilah hak ketaatan kepadanya dan jangan menentangnya dan jangan melucutkan jawatannya, bahkan hendaklah berdoa kepada Allah S.W.T. supaya menarik balik siksaan-Nya, berusaha menolak kejahatan dan menjalankan usaha islah”. (Syarh al-Nawawi li Sahih al-Muslim, juz 12, hlm. 232)

5. Sahl bin Abdullah al-Tastari berkata, “ … manusia sentiasa berada dalam kebaikan selama mana mereka membesarkan pemerintah dan ulama`. Jika mereka membesarkan kedua-dua institusi ini, Allah akan memperbaiki dunia dan akhirat mereka dan jika mereka merendahkan kedua-dua institusi ini, binasalah dunia dan akhirat mereka”. (al-Jami` li Ahkam al-Quran, juz 5 hal. 260)

Kesimpulan

Pemberontakan atau bughah merupakan suatu perbuatan yang sangat bercanggah dengan ajaran yang disarankan oleh Islam. Berdasarkan hadis serta pandangan para ulama, umat Islam digesa supaya mengelakkan diri daripada perbuatan bughah sebaliknya berusaha mewujud dan melindungi maslahat umum daripada perbuatan yang merosakan keharmonian hidup mereka. Perbuatan bughah dari sudut Islam adalah sama nilainya dengan kesalahan jenayah lain malah ia lebih merbahaya kerana ia akan mengheret masyarakat kepada kerosakan hidup secara lebih menyeluruh yang melibatkan orang lain yang tidak bersalah.

Disediakan oleh

BAHAGIAN PENYELIDIKAN
JAKIM



AL-IMAM TAQIYUDDIN ABI BAKAR BIN MUHAMMAD AL-HUSAINI, KIFAYAH AL-AKHYAR FI HILLI GHAYAH AL-IKHTISAR, DAR AL-KUTUB AL-ILMIYAH, BEIRUT, JLD 2

QANUN JINAYAH SYAR`IYYAH, HAJI SAID HAJI IBRAHIM, CETAKAN PERTAMA 1996, DARUL MA`RIFAH, KUALA LUMPUR

AHKAM AL-SULTANIAH WA AL-WILAYATI AL-DINIYYAH, ABI HASAN ALI BIN MUHAMMAD BIN HABIB AL-BAGHDADI AL-MAWARDI, DAR AL-KUTUB AL-ILMIAH, BEIRUT

SYARH AL-`AQIDATI AL-TOHAWIYYAH, JUZ 2, CETAKAN KE-13 TAHUN 2000, MUASSASAH AL-RISALAH

AL-ADILLATU AL-SYAR`IYYAH FI BAYANI HAQQI AL-RA`IYYAH, SYEIKH MUHAMMAD BIN ABDULLAH BIN SABIL, DAR AL-SALAF, RIYADH

SYARH AL-NAWAWI LI SAHIH MUSLIM, JUZ 12, CETAKAN KE-7 TAHUN 2000, DAR MA`RIFAH, BEIRUT

OLEH : BAHAGIAN PENYELIDIKAN
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA



Monday, December 26, 2011

Rosakkah aqidah bila memberi ucap selamat perayaan agama selain Islam?

Ucapan "Merry Christmas" - Wajarkah Dalam Islam? Baca Penerangan Dr MAZA

dipetik dari blog Cucu Tok Selampit

Sempena Hari Natal yang disambut hari ini, CTS mengemukan persoalan umum dari saudara kita untuk pengetahuan bersama. CTS merasakan jawapan Dr MAZA amat adil dalam konsep masyarakat majmuk di Malaysia. Wallahualam.

Soalan: Dr MAZA, kita negara yang berbilang agama. Ramai yang mempunyai kawan pejabat, jiran dan lain-lain yang bukan muslim. Apabila tiba hari raya kita mereka mengucapkan selamat hariraya. Masalahnya, apabila tiba giliran hari raya agama mereka pulak, kita rasa macam serba salah. Bolehkah seorang muslim berikan ucapan selamat hari raya agama lain. Saya takut rosak akidah, tapi ramai pemimpin dan kawan-kawan muslim yang lain ucapkan. Saya pun risau juga kawan-kawan bukan muslim kecil hati, tapi saya pun nak jaga akidah saya. Bolehkah Dr Asri berikan pandangan?

Munif, Putrajaya.

Jawapan Dr MAZA: Saudara Munif, Alhamdulillah saudara prihatin dengan keadaan akidah saudara di kala ramai yang tidak mempedulikan lagi kebersihan akidah mereka. Akidah adalah pembeza utama antara seorang mukmin dan bukan mukmin. Seseorang bagaimana banyak amalannya pun, tetapi jika akidahnya rosak, maka amalannya ditolak. Maka penting untuk kita mempertahankan akidah dan kesuciannya. Mengenai soalan saudara, ada beberapa perkara yang wajar difahami:

1. Islam mengharamkan seseorang muslim membuat apa-apa perbuatan atau ucapan yang mengiktiraf kekufuran atau kesesatan. Termasuk dalam hal ini membesarkan agama lain dengan mengucapkan ucapan yang mengagungkan atau mengiktiraf kekufuran, atau melakukan amalan ibadah yang mempunyai makna menyembah atau menyeru tuhan selain Allah. Maka, apa sahaja tindakan yang membawa kepada maksud yang disebutkan tadi adalah haram jika dilakukan dengan perbuatan atau ucapan. Jika disertai iktikad bahawa apa yang dilakukan itu benar atau betul, maka dia menjadi kafir. 
Firman Allah: (maksudnya)

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.

(Surah al-Nahl, ayat 106).

2. Dalam masa yang sama, Islam tidak membenarkan kita menzalimi bukan muslim dan Islam menyuruh kita melakukan kebaikan kepada bukan muslim yang tidak memusuhi kita kerana agama kita. 

Firman Allah (maksudnya):

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

(Surah al-Mumtahah, 8-9)

3. Juga, Islam menyuruh kita mengucapkan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita. 

Firman Allah: (maksudnya):

“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.

(Surah al-Nisa, 86).

Inilah adab Islami yang tinggi. Ia merangkumi sesama muslim atau kepada bukan muslim. Sehingga Ibn ‘Abbas r.a menyebut, “Jika Firaun berkata kepadaku ‘semoga Allah memberkatimu, nescaya aku menjawab ‘untuk engkau juga’” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).

Maka sudah pasti mereka yang tidak sejahat Firaun dan tidak memusuhi Islam lebih layak untuk menerima ucapan balas.

4. Oleh kerana dalam masalah mengucapkan tahniah ataupun “congratulating” sempena perayaan agama lain mempunyai unsur seakan mengakui agama lain secara langsung atau tidak langsung, dan dalam masa yang sama ada juga nilai berbuat baik kepada bukan muslim yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama berkhilaf pendapat tentang hal ini. Bagi mereka yang melihat unsur mengiktiraf kekufuran, mereka mengharamkan ucapan sempena perayaan agama lain. Sementara bagi mereka yang melihat ia bukan berunsur mengiktiraf kekufuran agama lain, sebaliknya sekadar melakukan barr ataupun kebaikan kepada penganut agama lain yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama yang berpendapat sebegini mengharuskan ucapan tersebut dengan syarat-syarat tertentu.

5. Tidak boleh dinafikan bahawa selain nas-nas al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas, faktor keadaan, zaman dan persekitaran mempengaruhi para sarjana Islam dalam melihat kepada isu ini. Kitab-kitab yang ditulis pada persekitaran muslim begitu dominan dan tiada keperluan untuk melakukan ucapan tersebut kelihatan keras dan mengharamkan ucapan sempena perayaan agama lain. Sementara, ramai juga sarjana terutama di zaman kini yang mempunyai persekitaran yang baru dan keperluan untuk memperlihatkan keharmonian Islam kepada bukan Islam, fatwa-fatwa mereka ini lebih lunak dan mengizinkannya dengan syarat-syarat tertentu.

6. Syeikh Islam Ibn Taimiyyah r.h. (meninggal 728H) dalam karyanya Iqtida al-Sirat al-Mustaqim dan muridnya al-Hafizd Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h (meninggal 751H) dalam karyanya Ahkam Ahl al-Zimmah dengan tegas mengharamkan hal ini. Mereka telah mengemukakan hujah dan alasan mereka dalam mengharamkannya. Teras kepada perbincangan mereka ialah perbuatan tersebut membawa erti menyerupai orang kafir dan meredhai agama mereka. Fokus mereka adalah penyertaan seorang muslim kepada upacara perayaan bukan muslim. Banyak pendapat-pendapat ulama silam yang mereka petik. Pandangan kedua imam agung itu diikuti oleh sesetengah para ulama terutama dari negara yang dominan penduduk muslim seperti Arab Saudi. Maka Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi mengharamkan ucapan selamat sempena perayaan agama lain.

7. Sementara Majlis Fatwa Eropah (The European Council For Fatwa and Research) yang dianggotai oleh ramai sarjana muslim membolehkan muslim memberikan ucapan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka (Congratulating Non-Muslims on Their Festive Occasions). Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa perayaan Islam. Ini berteras ayat dalam Surah al-Nisa, ayat 86 yang kita sebutkan tadi. Pun begitu, mereka tetap mengharamkan muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan.

8. Fatwa yang sama yang mengharuskan ucapan sempena perayaan agama lain dikeluarkan oleh beberapa ulama lain seperti Dr Yusuf al-Qaradawi dan al-Mustafa al-Zarqa. Antara hujah yang digunakan oleh al-Syeikh Mustafa al-Zarqa adalah hadis Nabi S.A.W.:

“Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi s.a.w satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang yahudi”. Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Kata al-Zarqa: “Bangun tersebut sebagai menggambarkan penghormatan dan kemuliaan, tiada kaitan dengan akidah jenazah tersebut” (Fatawa Mustafa al-Zarqa, m.s 356. Damsyik: Dar al-Qalam). Ertinya, beliau membandingkan mengucapkan selamat sempena hariraya agama lain kepada penganutnya, bukan bererti mengiktiraf akidah mereka.

9. Dengan ini saya berpendapat, boleh mengucapkan selamat hariraya kepada penganut agama lain sempena perayaan mereka dengan syarat ucapan tersebut tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah. Maka, memadai sekadar ‘selamat hariraya’ atau ‘selamat bergembira’ atau seumpamanya. Hal ini lebih dituntut jika semasa hariraya Islam mereka mengucapkannya.

10. Namun, seorang muslim tidak boleh turut merayakan hariraya agama lain. sebabnya, perayaan agama merupakan upacara agama. Bukan muslim pun tidak patut disuruh merayakan hariraya kita. Perpaduan antara kita sesama rakyat muslim dan bukan muslim bukan dengan berkongsi hariraya, tetapi dengan keadilan, berbuat baik dan tidak menzalimi antara satu sama lain.

11. Apa yang penting, dalam dunia semasa yang Islam dituduh dengan pelbagai tuduhan liar, kita patut menonjolkan imej Islam yang harmoni dan baik. Dalam masa yang sama kita mesti menjaga benteng akidah kita.

Popular Posts