Wednesday, October 20, 2010

UMNO konsisten dan tidak pernah meninggalkan perjuangan agama, bangsa dan negara

Perhimpunan Agung UMNO 2010 secara rasminya bermula pada hari Selasa 19 Oktober dan disempurnakan oleh Timbalan Presiden UMNO, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ucapan perasmian Timbalan Presiden ini boleh dibahagikan kepada lima komponen utama:

Pertama; Tan Sri Muhyiddin telah memulakan ucapan dengan memperingatkan perwakilan tentang tujuan ASAL kewujudan UMNO yang terkandung di dalam Perkara 3 Perlembagaannya, iaitu;

(i) mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara;

(ii) mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-Negeri dan Raja Berperlembagaan;

(iii) menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan beragama;

(iv) mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial demi mengamalkan sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya;

(v) menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu; dan

(vi) mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak asasi manusia dan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera

Kedua, Tan Sri Muhyiddin menegaskan bahawa UMNO bukan parti yang rasis, iaitu yang menutamakan kepentingan kaum sendiri sehingga menindas kaum lain. Sebaliknya UMNO mengamalkan politik perkongsian yang dibuktikan sejak sebelum kemerdekaan negara lagi. Track record UMNO dalam negara ini membuktikan bahawa ia mempunyai dasar pembangunan dan ekonomi yang inklusif dan memakmurkan rakyat pelbagai kaum dan agama.

Ketiga, Timbalan Presiden UMNO itu menyatakan sokongan padu terhadap Gagasan 1Malaysia Perdana Menteri yang disifatkan beliau sebagai satu gagasan perpaduan yang memberi jaminan hak kepada semua wargenagara berlandaskan prinsip-prinsip Perlembagaan dan Rukunegara. Beliau juga menjelaskan bahawa Gagasan 1Malaysia tidak menolak fitrah kepelbagaian identiti dan budaya kaum yang ada di negara kita, sebaliknya menegaskan kepentingan untuk menerima kepelbagaian sebagai sumber kekuatan. Gagasan yang berlandaskan Perlembagaan ini tidak membawa maksud penghakisan identiti atau hak mana-mana kaum, tetapi merupakan satu penegasan terhadap pengukuhan rasa kebersamaan dalam kalangan masyarakat majmuk dengan menerima kepelbagaian sebagai satu fitrah yang murni.

Keempat, beliau juga menyatakan dengan nada tegas bahawa UMNO tidak akan ragu dan apologetik untuk memperjuangkan pengagihan ekonomi yang adil untuk orang Melayu dan Bumiputera. Namun beliau tegaskan bahawa dimensi baru dasar tindakan afirmatif yang dilaksanakan adalah berteraskan kepada keperluan dan kelayakan. Hanya mereka yang benar-benar layak dan memerlukan sahaja akan dibantu.

Kelima, persiapan pilihan raya dengan pengenalan score card untuk sayap-sayap.

Berdasarkan pemerhatian, boleh dikatakan ucapan Tan Sri Muhyiddin ini melega ramai pihak, terutama ahli UMNO dan masyarakat Melayu di peringkat akar umbi. Dalam ucapan beliau, beliau telah menegaskan bahawa UMNO tidak pernah meninggalkan perjuangan Agama, Bangsa dan Negara.

Sebaliknya, UMNO telah bersikap konsisten selama ini dan tidak akan meninggalkan perjuangan murni ini semata-mata kerana tamakkan kuasa. Ini amat berbeza dengan pendirian parti pembangkang tertentu yang boleh bertukar warna dan rupa serta menukar pendirian dari suatu ekstrem ke suatu ekstrem yang lain akibat menjadi hamba kuasa. Berbeza daripada pembangkang yang melihat kuasa sebagai matlamat politik, UMNO melihat politik hanya sebagai suatu yang alat yang boleh digunakan untuk mencapai matlamat politik yang murni.

Rata-rata ucapan ini adalah suatu ucapan yang diterima baik, termasuk cadangan untuk memperkenalkan score card untuk pergerakan sayap-sayap.

Saya menyambut baik cadangan mengadakan score card ini apa lagi jika ia boleh membantu kita menilai prestasi selama dua tahun ini dan menjelaskan kepada kita di mana kekurangan yang perlu dibaiki. Namun, bagi saya, jangan terhadkan cadangan ini hanya kepada pergerakan sayap, sebaliknya cadangan yang baik seperti ini perlu diperluaskan untuk UMNO Bahagian, Negeri, Ahli Majlis Tertinggi, Pengerusi-pengerusi Biro dan menteri-menteri UMNO.

Kedua, dalam Pelan Transformasi Kerajaan dan Pelan Transformasi Ekonomi, NKRA, NKEA dan KPI yang ditetapkan disandarkan dengan perancangan strategik yang jelas dan disokong dengan peruntukan yang mencukupi. Bagi penjawat awam, sebaik sahaja mereka keluar rumah, claim, mileage, pengangkutan, tiket penerbangan, penginapan dan makanan dibayar. Bagi pegawai kanan kerjaan bil telefon, elaun rumah dan kereta kementerian/jabatan beserta pemandu, semuanya disediakan oleh kerajaan. Malah untuk melaksanakan sesuatu projek, bajetnya pun sudah disediakan. Apa yang hebatnya jika semuanya telah dibayar dan diperuntukkan?

Sedangkan, KPI ahli politik tidak bersandarkan peruntukan. Ahli politik perlu mencari sendiri dana dan pada waktu yang sama perlu melaksanakan pelbagai program dan mendampingi rakyat akar umbi. Masih tidak mengapa jika peruntukan ini tidak diberi, tetapi amat menyakitkan hati jika peruntukan diberi kepada pihak yang salah, tidak berkebolehan dan yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti. Tindakan ini seolah-olah menunjukkan sikap pemimpin lama yang kurang percaya dan menafikan kebolehan pemimpin dalam parti. Jika ini caranya, mungkin di masa depan, kita tidak perlu melatih jentera parti dan memberi pendedahan kepada mereka kerana akhirnya kita masih boleh `outsource' segalanya kepada pihak lain. Mungkin lebih cantik jika model politik baru yang bersifat inklusif dan meraikan penyertaan, perlu dimulakan di dalam UMNO terlebih dahulu.

No comments:

Popular Posts