Showing posts with label Switch Off. Show all posts
Showing posts with label Switch Off. Show all posts

Friday, October 24, 2014

MDeC, Content Malaysia untuk bantu industri dan agih peruntukan Dana Kreatif?



Dua Pusat Sehenti Bakal Ditubuh Majukan Industri Digital Kreatif - Ahmad Shabery

Datuk Seri Ahmad Shabery CheekKUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan menubuhkan dua pusat sehenti bertujuan memajukan industri kandungan digital kreatif di negara ini dalam masa terdekat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata dalam masa tiga bulan akan datang, pusat sehenti itu yang dikenali sebagai 'Pitching Centre' akan ditubuhkan bertujuan mendengar idea-idea serta membimbing penggiat industri itu.

"Kita akan selaraskan pusat sehenti ini dalam masa tiga bulan bagi mendengar idea golongan ini. Maka mereka tidak perlu lagi menunggu untuk bertemu menteri sekiranya mempunyai idea," katanya selepas Majlis Taklimat Pasca Bajet 2015 kepada Industri Kandungan Digital Kreatif di Wisma Radio, Angkasapuri di sini, pada Jumaat.

Tambahnya, pusat sehenti itu akan diketuai Multimedia Development Corp (MDeC) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Menerusi pusat sehenti ini juga, kita akan bantu penggiat industri untuk mendapatkan tajaan dari pihak swasta seperti Celcom, Telekom Malaysia dan Petronas. Malah saya harap ianya menjadi jambatan kepada apa sahaja sumber yang ada," katanya.

Ahmad Shabery berkata, kerajaan juga akan menubuhkan sebuah lagi pusat sehenti dikenali sebagai 'Content Malaysia' yang mempunyai peranan lebih meluas daripada Finas.

Katanya, pusat itu bukan hanya tertumpu kepada industri filem sahaja malah meliputi semua kandungan termasuk panggung wayang, televisyen, You Tube dan permainan video.

"Skop pusat sehenti ini meliputi subjek yang meluas kerana kita mahu menyatukan pelbagai sumber dana sedia ada," katanya.

Majlis taklimat yang berlangsung hampir tiga jam itu dihadiri kira-kira 300 penggiat industri bertujuan membincangkan tentang peruntukan RM100 juta untuk pembangunan industri berkenaan yang diumum dalam Bajet 2015 baru-baru ini.

Ketika membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sejumlah RM100 juta akan disalur melalui Dana Industri Kandungan Digital bagi menggalakkan perkembangan industri kreatif negara.

-- BERNAMA

#SwitchOff14 Kempen atau Tunjuk Perasaan?




Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tidak tahu mengenai penganjuran kempen "SwitchOff 14" oleh gabungan persatuan penggiat televisyen, industri filem dan pengiklanan, sebaliknya berkata mereka yang memilih jalan penyelesaian selain dialog akan “dihukum oleh industri".

Shabery yang ditemui selepas Taklimat Pasca Bajet 2015 kepada Industri Kandungan Digital Kreatif di Angkasapuri, Kuala Lumpur malam tadi berkata, terdapat pelbagai saluran untuk mana-mana pertubuhan industri kreatif melahirkan pandangan mereka kepada kerajaan. 

"Kita ada forum industri kreatif, mungkin mereka ada pandangan yang kita boleh bangunkan. 

"Kalau ada orang memilih jalan lain daripada dialog dan berbincang, mereka akan dihukum industri itu sendiri bukan kami," kata Shabery kepada pemberita.

Switch Off 14 adalah kempen yang digerakkan presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) Jurey Latiff Rosli bagi membela nasib pekerja industri kreatif tanah air untuk masa depan yang lebih baik. 

"Switch off ke switch on dan sebagainya, saya tidak tahu matlamat sebenarnya," kata Shabery. 

Switch Off 14 dilancarkan secara rasmi di Kelab Sultan Sulaiman, baru-baru ini bakal mengadakan himpunan pada 11 November depan bagi menyuarakan tidak puas hati mereka terhadap layanan stesen televisyen tempatan terhadap penggiat seni.

Gabungan berkenaan terdiri daripada 10 persatuan penggiat seni tempatan termasuk pelakon, kumpulan krew penerbitan dan pengiklanan.

Berdasarkan rancangan Switch Off 14, mereka juga akan menyerahkan memorandum kepada Putrajaya pada tarikh berkenaan yang mengandungi 11 tuntutan.

Jurey yang ditemui malam tadi berkata, Switch Off 14 dijangka menganjurkan perhimpunan mereka di perkarangan ibu pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada 11 November. 

"Kita memikirkan beberapa tempat, tetapi mungkin kita akan buat di dalam Finas. Kita akan hantar surat minta kebenaran. 

"Kita harap menteri akan hadir bersama orang  industri," kata Jurey kepada pemberita. 

Beliau juga optimis perhimpunan yang akan diisi dengan aktiviti kesenian seperti tarian, nyanyian, deklamasi sajak dan puisi itu akan menerima sambutan daripada penggiat seni kreatif tempatan. 

"Dalam masa terdekat kita berbincang mungkin adakan pertemuan dari hati ke hati (dengan menteri)," kata Jurey. 

Selain kempen di laman media sosial, Switch Off 14 menyeru pengguna televisyen menjimatkan penggunaan elektrik mereka pada 11 November itu dengan tidak menonton televisyen bermula jam 8 malam hingga 11 malam.

Antara mereka yang kelihatan ketika pelancaran Switch Off 14 ialah pelakon terkenal tanah air seperti Fauziah Nawi, Harun Salim Bachik, Imuda, Zed Zaidi dan Norish Karman.

Kumpulan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Finas sebelum ini membantah Switch Off 14 kerana beranggapan demonstrasi bukan tindakan terbaik untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

"Kita nyatakan masalah dan juga berikan jalan penyelesaiannya. 

"Kami tidak menuduh sesiapa yang bersalah, tapi mahu melihat masa depan yang lebih baik untuk industri," kata Jurey. 

Antara 11 gesaan Switch Off 14 adalah mewujudkan akta industri kandungan kreatif; menekankan hak harta intelek yang adil dan munasabah; menaikkan kadar harga dengan menyelaraskan harga slot kandungan di stesyen TV; pengagihan slot TV yang lebih adil dengan menekankan 70% kandungan tempatan; dan penguatkuasaan polisi buatan Malaysia dan paducitra.

Selain itu, mereka menggesa kerajaan menubuhkan satu badan atau pusat sehenti yang mengawal selia televisyen secara langsung; melantik wakil industri yang dipersetujui pemain industri dalam peranan membuat dasar industri; menyediakan slot TV khusus berbentuk patriotik; skim pengecualian cukai syarikat korporat yang menaja penerbitan program TV tempatan bagi pembelian peralatan teknikal; skim insurans khusus; dan dana dan geran khusus untuk memajukan industri TV tempatan.

Memorandum berkenaan dijangkal diserahkan kepada Shabery ketika perhimpunan mereka nanti. – 24 Oktober, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/penganjur-switchoff-14-dihukum-industri-kata-shabery#sthash.pImknZhV.dpuf




Tuduhan Kempen 'Switch Off'14' Bangkang Kerajaan Tidak Benar
Diterbitkan: Selasa, 21 Oktober 2014 4:46 PM

niezam@thestar.com.my

Presiden Seniman, Zed Zaidi (kanan) dan Presiden Gafim, Jurey Latiff Rosli (dua dari kiri) bersama beberapa karyawan seni pada kempen Switch Off'14, di Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru Kuala Lumpur, pada Selasa.

KUALA LUMPUR: Kempen Switch Off’14 yang dianjurkan pada Selasa berjaya menghimpunkan lebih 500 karyawan seni daripada  pelbagai latar belakang yang sama-sekali tidak berhasrat membangkang kerajaan.

Pengerusinya Jurey Latiff Rosli berkata, kempen berkenaan turut berjaya menepis tuduhan dan juga pelbagai tohmahan  kononnya aktiviti itu diadakan untuk kepentingan periuk nasi pihak-pihak tertentu.

"Mereka kata kita nak bangkang kerajaan. Adakah kita bangkang kerajaan pada hari ini? 

"Ada pihak telah salah anggap apa yang kita nak buat sebaliknya kita sekadar hendak menyuarakan masalah dalam industri,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kempen Switch Off’14 di Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini.

Hadir menyertai kempen berkenaan ialah ahli-ahli daripada persatuan di bawah Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) antaranya Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Pesatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Pemuzik dan Penyanyi Tanah Air (Papita), Persatuan Kebajikan Artis-Artis Pelapis (Perkap) dan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM).

Dua persatuan seni lain iaitu Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) tidak menyokong usaha berkenaan.

Kempen Switch Off’14 berlangsung sehingga 11 November depan.

Dalam pada itu Jurey berkata, kempen berkenaan terpaksa dilakukan kerana kebanyakan pekerja seni termasuklah para atis tidak mendapat pembelaan sepenuhnya dan usaha yang dilakukan untuk mengangkat martabat golongan berkenaan sering kali gagal.


Antara karyawan seni yang hadir pada Kempen Switch Off'14.

Katanya, dengan adanya usaha itu, ia akan dapat memberi peluang kepada pihaknya menyuarakan rasa tidak puas hati kepada pihak kerajaan dengan cara yang betul.

Malah katanya, 11 permintaan yang terkandung dalam resolusi kempen berkenaan akan dibawa kepada pihak kementerian berkaitan untuk dipetimbangkan terutamanya mengenai bayaran yang tidak setimpal daripada stesen-stesen televisyen terhadap drama-drama yang dibeli mereka.

“Kita mengharapkan dengan adanya kempen Switch Off’ 14 ini, akan berlaku satu perubahan positif yang pantas dan berkesan demi memperbaiki ekosistem bagi industri hiburan negara,” katanya.

Tambah Jurey, kemuncak kepada kempen itu pada 11 November depan, pihaknya akan berusaha untuk mengadakan satu majlis bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bagi membincangkan 11 usul yang terkandung dalam resolusi yang sudah dipersetujui.

Sementara itu pengarah kempen tersebut iaitu Gibran Agi berkata, semua karyawan seni diminta untuk menyokong Switch Off’14 dengan menukar gambar profil di laman media sosial masing-masing kepada logo kempen tersebut sehingga 11 November 2014.

Semua karyawan terlibat juga diminta untuk ‘menjimatkan’ bekalan elektrik dengan tidak menonton televisyen bermula pukul 8 malam sehingga pukul 11 malam pada tarikh itu.

“Pada tempoh itu, kita semua boleh memberi ruang untuk bersama-sama keluarga dengan menjimatkan tenaga elektrik apabila tidak menonton rancangan televisyen,” katanya menggambarkan tanda protes terhadap sikap pihak stesen televisyen di neagra ini.

Popular Posts