Showing posts with label Parlimen. Show all posts
Showing posts with label Parlimen. Show all posts

Wednesday, March 18, 2015

Pelik bila Ku Li tak faham GST dan Laporan Ekonomi



Agak pelik apabila seorang `backbencher' tidak faham dasar kerajaan dan laporan ekonomi. Ada dua kemungkinan, pertama sama ada dia tidak pergi atau malas mendengar taklimat atau dia tidak memahami langsung kandungan taklimat.

Mustahil seorang Ahli Parlimen BN, tidak memahami kebaikan GST terhadap rakyat dan ekonomi negara. Saya yakin semua Ahli Parlimen BN telah memahaminya kerana mereka bertanggung jawab untuk menjelaskan kepada rakyat yang memilih mereka di kawasan Parlimen masing-masing. Tidak pelik jika rakyat Gua Musang tidak memahami GST, kedudukan ekonomi negara dan pelbagai dasar lain serta bantuan-bantuan kerajaan di dalam Bajet 2015, jika ahli Parlimen mereka sendiri, Tengku Razaleigh Hamzah tidak memahaminya.

Dalam satu pertemuan dengan Ahli Parlimen Kota Tinggi, YB Datuk Noorehsanuddin Mohd Harun Narrashid, saya dapat melihat bahawa bukan sahaja mempunyai kefahaman yang begitu jelas mengenai GST, malah dapat menjelaskan GST dalam bahas yang mudah difahami oleh rakyat kebanyakan. Sudah tentu dasar-dasar kerajaan dan pelbagai isu semasa dapat dijelaskan dengan lebih baik jika BN mempunyai lebih ramai wakil rakyat seperti ini.

Sebagai `backbencher', Ku Li sewajarlahnya memahami tujuan utama pelaksanaan GST adalah untuk menambah baik sistem percukaian negara dengan menggantikan SST yang terlalu banyak kelemahan dan tidak dapat dipertahankan lagi. 

Salah satu ciri utama GST adalah elemen cukai tidak lagi menjadi sebahagian daripada kos sesuatu barangan dan perkhidmatan. Dengan itu, kos barangan dan perkhidmatan akan menjadi lebih murah dan rakyat tidak lagi dibebani dengan harga yang lebih tinggi akibat cukai berganda dan bertindih. 

Ciri GST yang telus pula membolehkan kerajaan mengenal pasti kegiatan mengambil untung yang berlebihan oleh peniaga dan boleh melindungi rakyat dengan lebih mudah melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan.  

GST juga lebih adil kepada peniaga yang jujur kerana, tanpa elemen cukai dalam kos, kos pengeluaran peniaga lebih rendah dan ini membolehkan harga barangan dan perkhidmatan mereka menjadi lebih kompetitif.

GST cuma `zalim' kepada peniaga yang tamak, tidak jujur, menipu dan terlibat dalam perniagaan yang tidak berdaftar, haram dan meragukan. GST mengakibatkan peniaga dalam kategori ini tidak lagi boleh menipu rakyat dengan mengambil keuntungan melampau. GST juga mengakibatkan mereka tidak lagi boleh menipu kerajaan dengan mengelak cukai, menipu pengisytiharan harga barangan yang diimport dan dihasilkan, mengutip cukai tetapi tidak menyerahkan kepada kerajaan dan menjalankan perniagaan-perniagaan haram dan meragukan.



Adakah ia lebih baik kepada ekonomi negara? Ya, kerana apabila peniaga yang tamak, tidak jujur, menipu dan terlibat dalam perniagaan yang tidak berdaftar, haram dan meragukan tidak lagi dapat mengelakkan cukai, sudah tentu hasil yang dikutip lebih baik berbanding di bawah SST ketika ini. 

Siapakah yang hendak dilindungi oleh Ku Li? Rakyat atau peniaga yang tamak dan menipu ini?

Ku Li juga bercakap seolah-olah ekonomi negara sedang mengalami krisis yang maha hebat. Sekali lagi, amat menghairankan apabila Ahli Parlimen BN sendiri seolah-olah tidak menyedari kewujudan dan tidak membaca laporan ekonomi yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia dan penilaian oleh IMF baru-baru ini. 

Mungkin Ku Li tidak sedar laporan BNM menyebut:-

1. Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan yang lebih kukuh sebanyak 6.0% pada tahun 2014 (2013: 4.7%), didorong oleh kekuatan yang berterusan dalam permintaan domestik swasta dan disokong oleh peningkatan dalam prestasi perdagangan luar.

2. Kadar pengangguran menurun kepada 2.9%. 

3. Lebihan akaun semasa melebar berbanding tahun sebelumnya manakala tahap rizab antarabangsa kekal tinggi dan lebih daripada mencukupi untuk memenuhi kewajipan jangka pendek dan menyediakan penampan yang mencukupi terhadap kejutan luaran.

4. Jumlah aset BNM berjumlah RM427.6 bilion dengan keuntungan bersih sebanyak RM6.4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2014. BNM mengisytiharkan dividen sebanyak RM3.0 bilion kepada Kerajaan bagi tahun 2014

Ku Li juga mungkin tidak membaca laporan Lembaga Eksekutif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 13 Februari, 2015, yang menyimpulkan Perkara IV Rundingan 1 dengan Malaysia antaranya seperti berikut:-

1. Ekonomi yang pelbagai di Malaysia terus menunjukkan prestasi yang baik pada tahun 2014. Pertumbuhan pesat kepada 5.9 peratus, disokong oleh permintaan domestik swasta yang kukuh dan pemulihan dalam eksport. Kos elektrik yang rendah membantu membendung inflasi kepada 3.1 peratus walaupun selepas penghapusan subsidi bahan api dan kenaikan tarif elektrik. Trend pelaburan kekal meningkat, mencapai 26.8 peratus daripada KDNK pada tahun 2014, didorong oleh keadaan kewangan yang akomodatif dan perbelanjaan awam yang berterusan ke atas infrastruktur. 

2. Penyatuan fiskal adalah tepat pada masanya, dengan kadar yang sesuai, dan kekal di landasan yang betul. Kerajaan baru-baru ini menyemak semula bajet persekutuan yang menyebabkan sedikit perubahan pada siling defisit bajet, kepada 3.2 peratus daripada 3.0 peratus KDNK, dalam tindak balas yang tepat dan pragmatik kepada penurunan harga minyak mentah antarabangsa yang mendadak baru-baru ini. Mereka mengambil tindakan fiskal yang berani pada tahun 2014, meneruskan gerakan beberapa tahun lagi bagi mengurangkan subsidi yang tinggi dan tidak tersasar.

Mengenai soal hutang negara pula, seperti yang telah berulang kali diulas bahawa hutang negara masih berada di dalam keadaan terkawal, iaitu di bawah paras 55% KDNK. Jumlah bayaran khidmat hutang dalam Bajet 2015 kekal stabil pada kadar 9 - 10.3% daripada jumlah hasil pendapatan negara.




Manakala mengenai soal Hutang Domestik, statistik BNM pada tahun 2013 menunjukkan bahawa ia meningkat akibat krisis kewangan global. Sebahagian besar Hutang Domestik ini disumbangkan oleh rakyat Malaysia, terutamanya disebabkan oleh pembelian hartanah (52%), baik untuk kediaman (44%) dan bukan kediaman (8%), pembelian kenderaan (18%), hutang peribadi (17%), pembelian saham (6%), kad kredit (4%) dan lain-lain hutang (3%).



Dalam hal ini bukannya BNM langsung tidak mengambil sebarang langkah untuk mengawalnya. Antara langkah yang diambil oleh BNM adalah dengan mengeluarkan Garis Panduan Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab yang menetapkan kelayakan permohonan pinjaman bank perlu berdasarkan pendapatan bersih dan bukan lagi pendapatan kasar pemohon. BNM juga mengehadkan tempoh pembiayaan pinjaman kenderaan dan pembelian rumah.

Di bawah garis panduan tanggungjawab pembiayaan ini, permohonan pemohon juga dinilai berdasarkan potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan cukai serta mengambil kira semua tanggungan hutang semasa melibatkan segmen runcit seperti pembiayaan kediaman, kenderaan, kad kredit dan kad caj, pinjaman peribadi termasuk kemudahan overdraf dan pembiayaan bagi pembelian sekuriti kecuali pembiayaan margin saham.

Nampaknya banyak perkara yang tidak diketahui oleh Ku Li dan menjelaskan kenapa Ku Li sudah tidak lagi relevan.

Bagi penulis sendiri, Ku Li bukanlah politikus yang penulis hormati kerana beberapa sebab, antaranya, pertama penulis tidak nampak pencapaiannya yang hebat sebagai Menteri Kewangan suatu ketika dulu, kedua, Skandal BMF berlaku pada zaman Ku Li menjadi Menteri Kewangan, ketiga, dalam melaksanakan agenda Bumiputera, Ku Li tidak setanding Tun Daim Zainuddin yang lebih menonjol dalam melahirkan ramai jutawawan Bumiputera dan mempertingkatkan agenda Bumiputera, keempat, sikap tidak dapat menerima kekalahan (sore loser) dalam pemilihan parti dan perbuatan khianat penyokongnya telah mengakibatkan pendaftaran UMNO dibatalkan, kelima, tindak tanduk dan disiplinnya sebagai wakil rakyat BN dalam isu Wang Minyak Kelantan, penglibatannya dalam video klip `Undilah' dan perbualan twitternya dengan Lim Kit Siang sebelum PRU-13.

Friday, March 28, 2014

#Parlimen : @RazaliIbrahim - Kesimpulan PR mengenai perbelanjaan SPRM tidak bertanggung jawab!


"Jika negara ini bebas dari rasuah sekalipun, kerajaan masih akan memperuntukkan dana untuk SPRM" - Razali Ibrahim

Nota : Masalah pemimpin pembangkang adalah cara mereka untuk menipu rakyat. Mereka akan lakukan apa sahaja termasuk memanipulasikan data dan membuat unjuran yang salah. Ini adalah satu contoh bagaimana, pembangkang cuba memanipulasikan data untuk menyalahkan kerajaan. Kaedah pengiraan yang tidak betul dan andaian tanpa mengambil kira faktor-faktor penting sebelum membuat andaian menyebabkan kesimpulan dan cadangan mereka merapu dan tersasar jauh dari kebenaran. Selain ini, satu lagi contoh yang paling nyata adalah penipuan Rafizi Ramli tentang CUKAI YANG DIKENAKAN DI FINLAND dan UNJURAN PENDIDIKAN PERCUMA yang tidak bersandarkan data yang betul dan andaian tanpa mengambil kira faktor-faktor penting yang menyumbang kepada pembangunan pendidikan. Baca sini - #PTPTN - Unjuran Rafizi Salah!


Sama la macam kesimpulan yang tidak bertanggung jawab dari Azhar Idrus ni...


Minister rebuts ‘unjustified’ MACC funds allegation
March 27, 2014


Razali Ibrahim says even if the country is free from corruption, the government will still allocate funds to MACC.

KUALA LUMPUR: Deputy Minister in the Prime Minister’s Department Razali Ibrahim today called Kampar MP Ko Chung Sen (DAP) “irresponsible” saying that the government spends an average RM707,744 for each corruption conviction case.

“Kampar needs to be aware that even if one day the country is free from corruption, we still have to allocate funds to MACC, does it mean it would be a waste to do so then?

“It is very irresponsible for him to come out with such a statement,” he told the Dewan Rakyat today.

Earlier this week Ko told Parliament that MACC’s huge and annually increased allocations were not justified given its low conviction rate.

He said in the last five years, MACC only convicted 1,395 individuals and collected RM48 million in fines despite receiving a RM983 million government allocation.

“This means for every case convicted, the government spent an average of RM704,744,” he had said.

Ko also said MACC’s budget had increased by 24.4% in 2013 compared with 2011 but the number of cases convicted had dropped by 31.7%
In reply, Razali said not all of the MACC budget goes to its investigation department.

“Some 35% of it was spent on utilities bills, and another portion of it was spent on building maintenance,” he said.

He said the MACC cannot seek to maintain its conviction rate at certain level every year because some investigations take years to complete.

“It is not like today we investigate, tomorrow we can submit.

“Submission date varies from case to case, some take up to 10 years to complete,” he said.


Monday, November 18, 2013

[Video] Parlimen : @RazaliIbrahim kantoikan penipuan @AzminAli tentang pelaburan dan usul potong gaji


Jawapan yang baik dan bernas dari Ahli Parlimen Muda. KSU, pegawai kementerian dan pegawai Menteri dan Timbalan Menteri kena ambil perhatian, barulah bahan-bahan yang nak disediakan untuk Menteri dan Timbalan Menteri jawab menjawab persoalan dan menggagalkan usaha pembangkang untuk menjadikannya sebagai satu isu. Apa cerita dan prestasi researcher BN di Parlimen yang ramai tu? 

Thursday, June 27, 2013

Dakwat kekal - Kenapa penyelidikan dan pengesahan penting bagi jawapan pertanyaan Parlimen


Jangan sekadar menyediakan jawapan kepada pertanyaan Parlimen, tetapi semaklah berulang kali untuk memastikan faktanya tepat, konsisten dan politically correct.

Lazimnya jawapan bagi pertanyaan Parlimen disediakan oleh pegawai kementerian atau agensi berkaitan. Selalunya perhatian yang tinggi diberikan oleh pegawai kementerian, Pegawai Tugas-tugas Khas (PTTK) dan Menteri berkaitan, jika pertanyaan tersebut akan dijawab secara lisan. Disebabkan itu, bukan sesuatu yang menghairankan jika ada kalanya pegawai kementerian, agensi dan pegawai Menteri terlepas pandang terhadap jawapan-jawapan bertulis yang disediakan bagi menjawab pertanyaan-pertanyaan Ahli Parlimen.

Dalam penyediaan jawapan ini elemen penyelidikan dan flavour politik penting. Jika pegawai meja (desk officer) melakukannya secara sambil lewa, pengesahan jawapan oleh pegawai atasannya juga sambi lewa dan pegawai Menteri pula kurang memberi perhatian terhadap apa yang disediakan - selalunya jawapan ini akan menjadi bahan polemik yang menyusahkan Barisan Nasional (BN).

Berdasarkan pengalaman peribadi sewaktu mula bertugas di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dahulu, saya ada menerima jawapan yang disediakan oleh pegawai Bahagian Sumber Manusia bagi menjawab secara lisan tentang sebab kenapa golongan guru ramai yang gagal ujian Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). Jawapan yang disediakan adalah "ramai guru gagal ujian PTK kerana kebanyakan guru tidak membuat persediaan dan mengambilnya secara suka-suka."

Dari segi fakta, jawapan yang disediakan ini salah kerana tidak ada sebarang kajian atau tinjauan yang dibuat pada waktu itu tentang punca kegagalan guru dalam ujian PTK sehingga  membenarkan pegawai bertanggung jawab menyimpulkan dapatan seperti di atas. Dari segi rasa politik pula, jawapan ini politically incorrect kerana ia mencemarkan maruah guru yang sering menasihatkan murid untuk bersedia dan bersungguh-sungguh sewaktu menghadapi peperiksaan. Saya mengandaikan jawapan yang disediakan oleh pegawai BSM ini hanya disahkan oleh Setiausaha Bahagian dan tidak mendapat input dari profesional pendidikan dalam KPM.

Dalam isu jawapan bertulis mengenai dakwat kekal, saya mengandaikan jawapan untuk pertanyaan oleh Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng (Segambut) disediakan oleh pegawai dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Di bawah adalah jawapan yang disediakan :-


NONE


Dalam satu pertanyaan berasingan oleh Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke, laporan portal media pro-pembangkang menyebut bahawa jawapan yang disediakan adalah seperti berikut, 

"kos penggunaan dakwat kekal itu adalah sebanyak RM6.9 juta. Kos itu meliputi kerja-kerja mereka bentuk botol dakwat khas, berus, kotak botol dan membuat bancuhan khas dakwat memandangkan ia tiada di pasaran. Kos tambahan lain meliputi kos pengangkutan, pembungkusan serta penyimpanan dakwat kekal adalah sebanyak RM200,000 menjadikan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM7,100,000. Pada masa ini SPR tidak bercadang memaklumkan maklumat pembekal dakwat kekal kepada umum atas sebab keselamatan," 


Saya tidak tahu apa jawapan sebenar, tetapi dari pengamatan saya, pegawai yang menyediakan jawapan ini tidak membuat penyelidikan yang baik dan tidak mengolah jawapan tersebut agar menjadi politically correct





Saya ingin merujuk salah satu kenyataan yang dibuat mengenai dakwat kekal ini, iaitu;

Antara perkara yang menjadi serangan utama pembangkang adalah penggunaan dakwat kekal yang pernah menjadi desakan mereka dahulu terhadap SPR. BN ingin menegaskan sokongan penuh kepada nasihat profesional pakar-pakar di Kementerian Kesihatan dan keputusan SPR untuk mengutamakan dan melindungi pengundi daripada bahaya kanser dan penyakit buah pinggang akibat kandungan bahan silver nitrat yang tinggi.

Dakwat kekal yang digunakan oleh SPR mengandungi 1% silver nitrat setelah menerima pakai nasihat pakar-pakar dari Kementerian Kesihatan. Kadar itu memadai untuk membolehkan dakwat itu kekal 30-70% di jari pengundi selama 10 jam. Untuk kekal lebih lama, kadar sodium nitrat perlu ditambah, tetapi risiko pengundi mendapat kanser akan lebih tinggi.


Saya mengandaikan kenyataan ini juga dibuat berdasarkan input SPR dan `sodium nitrat' dalam kenyataan di atas sebenarnya adalah silver nitrat.

Kenyataan SPR mengenai "Status Halal Jejaskan Ketahanan Dakwat Kekal" boleh dibaca di sini untuk membolehkan kesimpulan dibuat bahawa kenyataan di atas adalah hasil input SPR walaupun nampaknya SPR keliru antara istilah status `halal' dan status `suci' sesuatu produk.

Berdasarkan carian tersebut, saya berpandangan, pertama, mungkin terdapat kebenaran bahawa SPR mendapat input daripada pakar-pakar dari Kementerian Kesihatan mengenai kesan sampingan dan toksik silver nitrat kerana SPR tidak ada kepakaran dalam bidang toksikologi. Perkara yang sama dibuat oleh SPR dalam aspek hukum agama Islam, apabila mereka merujuk Majlis Fatwa Kebangsaan bagi mendapatkan input para ulama.

Bagaimanapun, dari segi fakta, input ini wajar disandarkan kepada rujukan tertentu bukan kenyataan kosong semata-mata. Beberapa carian saya gagal membuktikan fakta ini disokong oleh jurnal dan autoriti dalam bidang ini.

Tulisan Dr Zabidi Hj Ahmad mengenai isu kesihatan dalam penggunaan dakwat kekal menunjukkan kesan toksik yang minimum jika silver nitrat disapu pada kulit dan kuku. (baca di sini). Begitu juga dapatan saya dalam National Library of Medicine HSDB database mengenai toksisiti silver nitrat. 

Malah kelemahan koordinasi komunikasi dan pengesahan jawapan teserlah apabila Menteri Kesihatan yang baru, Datuk Seri S Subramaniam menafikan pula bahawa SPR ada merujuk KKM mengenai dakwat kekal di sini.

Kedua, jawapan ini tidak konsisten dari segi fakta, bila disebut tiada bahan-bahan kimia digunakan dalam dakwat tersebut sedangkan terdapat kenyataan daripada SPR sebelum ini bahan dakwat kekal dari jenis silver nitrat akan digunakan dalam PRU13. 





Baca di sini kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 12 Januari 2012 -
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DakwatkekaluntukPRU-13bukannajis/Article/

Baca di sini juga kenyataan yang dibuat oleh SPR pada 30 April 2013, selepas pengundian awal anggota polis dan tentera http://dialograkyat.blogspot.com/2013/04/dakwat-kekal-tidak-boleh-ditanggal-kata.html






Baca juga kenyataan SPR pada 2 Mei 2013 mengenai keputusan untuk terus menggunakan dakwat kekal pada hari pengundian
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SPRbolehkesancubaanundisemula/Article

Ada lagi kelemahan jawapan yang disediakan. Tak nak elaborate lebih-lebih....

Bukan kecil gaji dan gred Pegawai Tugas-Tugas Khas (PTTK). Pegawai-pegawai kementerian dan agensi pula janganlah bersikap sambil lewa dalam menyediakan jawapan bagi setiap pertanyaan. Pegawai atasan pula, tolonglah semak betul-betul sebelum mengesahkan jawapan yang disediakan oleh subordinat anda.

Janganlah malas membuat rujukan agar jawapan anda konsisten, betul dari segi fakta dan tidak silap dari aspek politik. Semaklah setiap jawapan kepada setiap pertanyaan, lisan mahupun bertulis.

Takkan itu pun nak diberitahu....

Wednesday, October 26, 2011

#Bersih, #Himpun, fitnah Mat Sabu, Warga Afrika antara butiran penting penggulungan Menteri Dalam Negeri @HishammuddinH2O


Antara butiran penting penggulungan Menteri Dalam Negeri


Langkah jimat cermat KDN

Sepanjang tempoh dua tahun ini, KDN telah melaksanakan pendekatan kreatif dan inovatif bagi membantu kerajaan mengurangkan perbelanjaan dan berjimat cermat. Kerjasama antara Jabatan Penjara Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti dalam Program Pemulihan Pemasyarakatan merupakan sebuah program pemulihan di luar tembok penjara.

Kerajaan telah menjimatkan sebanyak RM45.7 juta ringgit bagi setiap program kerjasama ini. Sehingga kini, Program Pemulihan Pemasyarakatan telah dilaksanakan di 5 kem ATM di seluruh negara yang melibat 1,106 orang yang banduan.

Selain Program Pemulihan Pemasyarakatan, pendekatan inovatif melalui kerjasama antara PDRM dan ATM juga digunakan bagi mengadakan program latihan asas kepolisan di kem-kem tentera. Melalui kerjasama ini, Kerajaan dapat mengatasi masalah kekurangan pusat latihan polis dan dapat menggandakan jumlah anggota polis dalam masa terdekat tanpa perlu membina pusat-pusat latihan polis yang baru. Langkah ini telah berjaya menjimatkan perbelanjaan kerajaan kerana, pembinaan sebuah pusat latihan polis yang baru memerlukan peruntukan berjumlah RM250 juta.


Pencapaian NKRA hasil usaha terancang, bukan ad-hoc atau kebetulan

Sukacita, saya menyatakan bahawa Kerajaan serius untuk melaksanakan NKRA. Kejayaan menurunkan indeks jenayah adalah satu usaha terancang dan bukan dilaksanakan secara ad-hoc atau berlaku secara kebetulan.

KDN telah menubuhkan makmal NKRA Mengurangkan Jenayah pada penghujung 2009 melibatkan pelbagai pihak dengan pelbagai kepakaran. Sebanyak 55 inisiatif telah dikenalpasti untuk dilaksanakan oleh pelbagai pihak yang turut merentasi Kementerian dan Agensi.

KDN telah mengenalpasti 4 negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang yang mempunyai kejadian jenayah paling tinggi dan menyumbang kepada 72% kejadian jenayah pada tahun 2008. Seterusnya 50 kawasan di negeri-negeri tersebut telah dikategorikan sebagai kawasan hotspot dijadikan sebagai tumpuan untuk melaksanakan inisiatif mengurangkan jenayah oleh PDRM.

Melalui inisiatif NKRA, Kerajaan telah melaksanakan program omnipresence di kawasan hot spot empat negeri tersebut. Seramai 3,781 orang anggota RELA terlibat dan dilantik sebagai sukarelawan polis. Program omnipresence telah dikembangkan ke Sabah dan Sarawak mulai awal bulan ini di mana 184 anggota RELA telah bertugas di lima balai polis di Sabah dan 636 anggota RELA lagi bertugas di enam balai polis di Sarawak. Jumlah keseluruhan anggota RELA tersebut dalam program ini adalah seramai 4,601 orang.

Bagi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) seramai 1,540 anggota terlibat di 4 buah negeri tersebut dan seramai 144 orang lagi terlibat di Sabah manakala di Sarawak seramai 103 orang anggota terlibat di bawah program ini.

Hakikatnya, pencapaian kita adalah jauh lebih baik dari apa yang disasarkan. Misalnya bagi Jenayah Indeks, walaupun sasaran yang ditetapkan adalah penurunan sebanyak 5% jenayah indeks berbanding tahun 2009, tetapi statistik menunjukkan, sehingga Oktober tahun ini, kadar jenayah telah berjaya dikurangkan sebanyak 24.2% iaitu melebihi 19.2% daripada sasaran asal yang ditetapkan.

Bagi kes Jenayah Jalanan, Kerajaan telah menetapkan sasaran sebanyak 15% penurunan, tetapi sehingga bulan Julai tahun ini, Jenayah Jalanan telah berjaya dikurangkan sebanyak 40.7%, iaitu lebihan penurunan sebanyak 25.7% dari sasaran asal.


Polis berhak marah dan pertahan diri bila maruah dicemar, itu bukan berpolitik

Y.B. Parit Buntar mendakwa pihak polis terlibat di dalam politik ekoran terdapatnya satu surat arahan pentadbiran. Saya ingin menyampaikan pendirian PDRM yang menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan Y.B. Parit Buntar berkenaan dakwaan Polis telah dipolitikkan dalam isu kes Mohamad Sabu. Surat arahan pentadbiran tersebut dikeluarkan sebagai tanda bantahan terhadap fitnah yang dibuat oleh Mohamad Sabu. Seluruh warga PDRM berhak merasa marah sekiranya ada pihak mempertikai dan memperlekeh sumbangan mereka. Dalam kes Mat Sabu ini, ia lebih berat kerana dia melabelkan anggota polis yang terkorban dalam pertempuran dengan komunis sebagai pegawai penjajah dan menafikan peranan mereka dalam kemerdekaan negara.

Dalam negara yang mengamalkan demokrasi adalah menjadi hak PDRM dan mana-mana organisasi yang lain mempertahankan maruah dan martabat sesuatu organisasi apabila dicemar dengan kenyataan yang tidak benar, lebih-lebih lagi apabila dakwaan Mohamad Sabu ini dilihat sebagai menjatuhkan maruah dan imej anggota polis dan pasukan PDRM.


Warga Afrika dipantau, ditangkap jika menyalahi Akta Imigresen

Sehubungan perkara yang dibawa oleh Y.B. Hulu Terengganu dan Y.B. Sri Gading berkenaan kemasukan warganegara dari negara-negara Afrika, mereka ini dikawal melalui kawalan/tapisan oleh Kerajaan Malaysia dan Jabatan Imigresen dengan mewajibkan memiliki VISA yang dikeluarkan oleh Pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara tersebut.

Tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen bersama agensi kerajaan yang lain terhadap warganegara ini dijalankan secara berkala. Sejumlah 1,960 orang dari berbagai warganegara telah ditangkap oleh Jabatan Imigresen dari Januari – September 2011 kerana kesalahan dibawah Akta Imigresen.

Tapisan khusus bagi warga Afrika dibuat oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang mana pelajar-pelajar Afrika diwajibkan mengemukakan dokumen “ No Objection Certificate” (NOC) yang dikeluarkan oleh negara-negara berkenaan, bertujuan untuk memastikan hanya pelajar yang benar-benar layak sahaja belajar di luar negeri. KPT dan KPM telah membuat pemeriksaan secara berkala di IPTA,IPTS bagi memantau aktiviti pelajar-pelajar Negara Afrika yang berjumlah 19,000 orang bagi tempoh Januari-September 2011. KDN dan KPT serta Kementerian lain yang berkaitan sedang meneliti semula pengeluaran Pas Pelajar. Keputusan penelitian ini akan dimaklumkan kemudian.


Tuduhan (rasis) Ipoh Barat dan Seremban tidak berasas

Y.B Ipoh Barat dan Y.B Seremban menyatakan 40% penghuni penjara adalah terdiri daripada masyarakat India. Kenyataan tersebut adalah tidak tepat sama sekali kerana berasaskan statistik Jabatan Penjara Malaysia pada 17 Oktober 2011 tiada satupun institusi penjara dari sejumlah 40 buah yang mempunyai jumlah penghuni kaum India pada kadar 40% atau lebih berbanding dengan penghuni kaum lain.


Pemansuhan ISA dan undang-undang darurat diperjelaskan

Bagi persoalan ISA sebagaimana yang dibangkitkan oleh Y.B. Permatang Pauh, Y.B Klang dan Y.B. Batu Gajah. Draf rang undang-undang bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 yang bakal dimansuhkan sedang di gubal oleh Jabatan Peguam Negara. Dalam hal ini, Jabatan Peguam Negara sebagai peneraju bersama-sama KDN sedang membuat penelitian terhadap penggubalan dua (2) rang undang-undang baru iaitu undang-undang mengenai keganasan dan undang-undang mengenai keselamatan dan ketenteraman awam seperti yang telah diamanatkan oleh YAB Perdana Menteri melalui ucapannya pada 15 September lalu.

Berkenaan dengan Akta Kediaman Terhad sebagaimana yang dibangkitkan oleh Y.B. Pokok Sena. Keputusan Kerajaan dalam memansuhkan Akta Kediaman Terhad 1933 serta melaksanakan Perintah Pembatalan Sekatan terhadap 125 orang individu dan menarik balik 200 waran tangkap adalah merupakan permulaan kepada Program Tranformasi Politik Negara.

Bagi Akta Akta Buang Negeri 1959 sebagaimana yang dibangkitkan oleh Y.B. Limbang. Pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933 hanya memberi kesan kepada mereka yang telah dikenakan tindakan di bawah Akta-akta tersebut sahaja. Selain itu, terdapat juga mereka yang sedang menjalani Perintah Sekatan atau dibuang daerah di bawah undang-undang pencegahan yang lain.


6P dan 5P di Sabah

Program 6P merupakan salah satu inisiatif Kerajaan bagi memastikan pengurusan warga asing dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, merangkumi enam proses berkaitan PATI iaitu Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran.

Atas permintaan Kerajaan Negeri Sabah hanya akan melaksanakan 5P iaitu tanpa Proses Pemutihan kerana proses pemutihan/regularisasi telah dilaksanakan beberapa kali di negeri berkenaan dengan kali terakhir pada tahun 2009.

Sehingga tarikh tamat Proses Pendaftaran Program 6P iaitu pada 31 Ogos 2011 seramai 2,320,034 orang PATI dan pekerja asing sah telah berdaftar melalui sistem biometrik. Daripada jumlah tersebut, seramai 1,303,126 (56%) adalah PATI dan seramai 1,016,908 orang (44%) pula adalah pekerja asing yang sah. Bagi Pekerja Asing Sah, angka tersebut tidak termasuk Pembantu Rumah Asing, Pegawai Dagang, Peserta MM2H, Pelajar Asing dan Pemegang Kad UNHCR.


Pembersihan data pengundi dan dakwaan pemberian kad pengenalan kepada warga asing

Berkenaan dengan kerjasama di antara JPN dan SPR dalam usaha membersihkan data pemilih yang dibangkitkan, JPN sentiasa bekerjasama dengan semua agensi kerajaan mengikut keperluan agensi tersebut seperti SPR kerana JPN merupakan agensi yang bertanggungjawab menyimpan dan menyenggara semua maklumat dan data kependudukan negara. KDN komited dan sentiasa bekerjasama dengan SPR dalam usaha mengemaskini senarai nama daftar pemilih tersebut.

Merujuk kepada kerjasama tersebut ianya telahpun wujud sejak sekian lama melalui perkongsian maklumat dan pengesahan data yang berkait dengan data pemilih. Selain daripada itu juga, perbincangan, mesyuarat dan dialog turut diadakan dari semasa ke semasa menurut keperluan.

KDN dalam hal ini akan memberi kerjasama kepada Jawatankuasa Pilihan Khas yang dijadual bermesyuarat pada 2 November ini. Isu-isu yang berkaitan akan dijelaskan secara terperinci dalam mesyuarat tersebut. Segala isu-isu berkenaan pemberiaan kewarganegaraan akan kita perjelaskan di dalam JPK tersebut nanti.

Suka saya menyatakan bahawa KDN turut ingin melihat daftar pemilih yang bersih.

Bagi menjawab soalan tambahan mengenai isu rakyat Bangladesh dan Indonesia yang didakwa dibawa ke Putrajaya untuk diberikan kewarganegaraan dan didaftar sebagai pemilih baru-baru ini, ingin saya tegaskan bahawa isu sebegini bukan pertama kali dibangkitkan oleh pihak pembangkang.

Sebelum ini, isu pemberian kerakyatan kepada warga Bangladesh untuk tujuan dijadikan pengundi pernah dibangkitkan. Penjelasan telah diberikan berserta fakta dan data bagi menjawab dakwaan tersebut. Berdasarkan fakta berkenaan, hanya 37 rakyat Bangladesh yang telah diberikan sijil kerakyatan negara ini sejak 1998 sehingga Ogos 2011 di mana daripada jumlah tersebut hanya 14 orang didapati layak mengundi dan seterusnya hanya 7 orang sahaja yang telah mendaftar sebagai pengundi. Tetapi pihak pembangkang kemudiannya mengalih atau mengubah tiang gol mereka kepada isu-isu lain pula selepas KDN memperjelaskan perkara tersebut.

Sekarang ini satu lagi isu pula telah ditimbulkan. Seperti yang telah saya sebutkan tadi, segala isu-isu berhubungkait dengan pemberiaan kerakyatan negara ini kepada warga asing akan kita perjelaskan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) itu nanti. KDN akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada JPK dengan memberikan penjelasan secara terperinci dalam mesyuarat tersebut. Pihak KDN tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan.


Bersih adalah perhimpunan haram oleh pertubuhan haram, HIMPUN perhimpunan yang tidak ganggu orang ramai dan tidak gugat ketenteraman awam

Berkenaan dengan isu perhimpunan haram BERSIH pada 9 Julai lalu, yang utamanya, BERSIH telah diwartakan sebagai pertubuhan haram oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5, Akta Pertubuhan 1966.

Kos operasi keseluruhan yang dibelanjakan oleh PDRM bagi menangani Perhimpunan BERSIH pada 9 Julai lalu adalah sebanyak RM 2,018,850.06. Perbelanjaan ini adalah meliputi perbelanjaan bagi perolehan kelengkapan tambahan, makan minum, penginapan dan keperluan logistik yang lain.

Kerajaan amat prihatin terhadap suara rakyat yang inginkan kebebasan untuk berhimpun dan bersuara. Walau bagaimanapun, kebebasan ini perlu diseimbangkan dengan kewajipan Kerajaan untuk memelihara keselamatan dan ketenteraman awam.

Penyalahgunaan kebebasan bersuara dan berhimpun seperti mengadakan demontrasi jalanan sehingga menimbulkan kegelisahan dan ketegangan dalam masyarakat dan boleh menggugat keselamatan negara seharusnya dielakkan. Dalam masa yang sama, kerajaan mengambil inisiatif untuk meneliti beberapa perundangan negara-negara lain yang berkaitan dengan sebarang bentuk perhimpunan di kawasan yang melibatkan keselamatan awam.

Langkah ini adalah sebahagian daripada proses-proses transformasi dan keterbukaan yang sedang dan akan terus dilaksanakan oleh Kerajaan sebagaimana yang telah diumumkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri termasuk pindaan kepada Seksyen 27 bagi mengadakan perhimpunan awam di sesebuah kawasan tertutup seperti stadium.

Sebagai contoh Perhimpunan Sejuta Umat (Himpun) yang diadakan di Stadium Shah Alam baru-baru ini adalah lebih terkawal dan tidak menimbulkan sebarang gangguan atau kekecohan sehingga boleh menggugat ketenteraman awam berbanding demonstrasi jalanan yang dianjurkan oleh pihak Bersih di Kuala Lumpur sebelum ini.

Berkenaan tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap mereka yang terlibat yang dibangkitkan, PDRM telah menjalankan siasatan ke atas mereka dan sebanyak 61 kertas siasatan telahpun dibuka dan telah dikemukakan ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang negara sedia ada.

Popular Posts