Showing posts with label 1MDB. Show all posts
Showing posts with label 1MDB. Show all posts

Thursday, May 4, 2017

Rafizi celaru, gagal buktikan SRC kehilangan wang dan duit yang masuk akaun Najib datang dari SRC


1. Selepas mendengar kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, saya dapat menyimpulkan Rafizi amat celaru dan keliru serta terlalu banyak membuat andaian dan serkap jarang apabila membuat apa yang dia anggap sebagai 'pendedahan' kehilangan wang SRC.

2. Untuk rekod, Rafizi sudah 10 kali tertangkap berbohong. Ini tidak termasuk pembohongan-pembohongan lain seperti mengatakan cukai di Finland lebih rendah dari di Malaysia semasa perdebatannya dengan YB Khairy Jamaluddin di Karangkraf.

3. Untuk rekod juga, dalam kes NFC misalnya, Rafizi gagal membuktikan dakwaan-dakwaannya dan mahkamah memerintah agar Rafizi membayar RM150,000 kepada Pengerusi NFC, Datuk Seri Salleh Ismail dan RM50,000 kepada NFC, serta kos RM100,000.

4. Dalam apa yang didakwa sebagai 'pendedahan' terbarunya, PERTAMA, dapat diperhatikan Rafizi berulang kali hilang punca dan gagal menjelaskan secara meyakinkan apa yang didakwanya sebagai "money trail pemindahan wang yang berlapis-lapis" dan gagal menunjukkan di mana berlaku kesalahan dari segi undang-undang dalam pemindahan tersebut.

5. KEDUA, Rafizi juga banyak menggunakan perkataan 'andaian' kerana dia juga tidak pasti tentang banyak perkara. Antara andaian paling ketara tanpa sebarang bukti adalah cubaan Rafizi mengaitkan perbelanjaan Ihsan Perdana dan Datuk Seri Najib Razak dengan dana Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Tabung Haji.

6. KETIGA, Rafizi gagal membuktikan bahawa duit yang dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak datangnya dari SRC. Sebaliknya Rafizi hanya mampu menunjukkan kaitan SRC dengan syarikat Putra Perdana Construction (PPC) S/B dan Gandingan Mentari S/B. Pada waktu yang sama Rafizi gagal menjelaskan kenapa terdapat pembayaran yang dibuat oleh PPC sebanyak RM140 juta dan Permai Binaraya S/B sebanyak RM30 juta kepada SRC. Rafizi hanya mampu membuat andaian tanpa sebarang bukti bahawa duit tersebut datangnya dari Tabung Haji. Kecelaruan Rafizi jelas kerana sebelum ini dia mengandaikan RM43 juta ini datang dari KWAP, bukannya dari Tabung Haji.

7. KEEMPAT, Rafizi gagal membuktikan kaitan langsung antara SRC dengan syarikat Ihsan Perdana yang memang diketahui berperanan melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). Apa yang ada cuma ANDAIAN bahawa duit yang masuk ke dalam Ihsan Perdana melalui Gandingan Mentari berasal dari SRC.

8. KELIMA, Ihsan Perdana memang diketahui terlibat dalam melaksanakan program-program CSR. Sebagai syarikat yang mengendalikan CSR, ia boleh menerima sebarang sumbangan dari pelbagai sumber (korporat dan individu) untuk program CSR yang dikendalikannya.

9. KEENAM, paling penting dalam kenyataannya pada 4 Mei 2017, Rafizi mengesahkan RM43 juta wang SRC tidak masuk ke dalam ke dalam akaun Datuk Seri Najib, sebaliknya Rafizi menyebut bahawa RM40 juta dipindahkan kepada Gandingan Mentari, seterusnya dipindahkan kepada Ihsan Perdana, seterusnya sebanyak 7 keping cek dikeluarkan kepada Mail Global Resources, sebuah syarikat perniagaan kepunyaan Arifin Ismail Shahul Hamid.

10. KETUJUH, benarkah ada wang dari SRC yang hilang atau dicuri? Seperti dongeng "wang 1MDB masuk akaun Datuk Seri Najib", Rafizi boleh mendakwa apa sekalipun, tetapi hakikatnya benarkah duit 1MDB hilang? Sehingga hari ini, 1MDB telah membuktikan bahawa bukan duit 1MDB yang hilang. Tiada wang 1MDB yang hilang ke dalam akaun Jho Low sebaliknya PetroSaudi mengesahkan wang tersebut diterima oleh subsidiarinya. Tiada juga bukti wang 1MDB hilang di Singapura. Seperti yang diketahui ramai, walaupun ada sejumlah perbicaraan dilaksanakan di Singapura, sehingga hari ini, 1MDB tidak pernah dipanggil sebagai saksi pendakwa. Jika benar wang 1MDB hilang, sudah pasti setidak-tidaknya ia perlu dipanggil untuk mengesahkan bahawa memang benar duitnya yang hilang, dicuri atau sebagainya. Dalam penceritaan Rafizi, kononnya wang SRC yang dicuri ini datangnya dari KWAP, kemudiannya diubah kepada Tabung Haji, dan disebut juga Tabung Haji ini adalah 'penyumbang' kepada SRC, melalui syarikat PPC dan Permai Binaraya. Adakah Rafizi mahu mengatakan wang Tabung Haji pula yang hilang? Jelas Rafizi celaru dan keliru.

11. KELAPAN, diketahui ada sejumlah dana yang disumbangkan oleh penderma Arab Saudi ke dalam akaun Datuk Seri Najib. Ini disahkan oleh SPRM dalam kenyataannya pada 3 dan 5 Ogos 2015. http://www.sinarharian.com.my/mobile/semasa/penjelasan-sprm-mengenai-isu-dana-rm2-6-bilion-1.416595. Berdasarkan surat tersebut, memandangkan sumbangan yang diberikan merupakan sumbangan peribadi kepada Datuk Seri Najib, ia boleh digunakan untuk sebarang tujuan termasuk untuk melaksanakan CSR dan sebarang kegiatan politik. Jika Rafizi cuba mengaitkan Yayasan Abrar dengan wang dari akaun peribadi Perdana Menteri sekalipun, kaitan ini sekadar mengesahkan bahawa wang tersebut memang digunakan untuk program CSR.

Tuesday, October 25, 2016

Menjawab pertanyaan dan perilaku aneh Husni dan Ezam


Ramai yang tanya saya bagaimana nak menjawab soalan 'maut' Husni Hanadzlah dan kenyataan Ezam Mohd Noor. Jawapan saya:-

1. Husni bertanya semasa sesi pembentangan usul di Dewan Rakyat. Memandangkan soalan ini ditanya oleh Husni semasa sidang Dewan Rakyat, maka lebih molek dan sesuai jika ia juga dijawab oleh Menteri di Dewan Rakyat semasa penggulungan nanti. Tidak sesuai pula jika mendahului menteri.

2. Bagaimanapun, suka dinyatakan bahawa Husni sendiri pernah menjawab soalan mengenai penubuhan 1MDB. Dalam kenyataan pada 20 Februari 2015, Husni menyebut, "1MDB ditubuhkan dengan matlamat jelas iaitu melabur dan membangun projek dalam bentuk jangka panjang yang mempunyai kepentingan strategik kepada ekonomi, dengan sasaran menjana kewangan dan kejayaan pada masa depan. Selepas berjaya menggabungkan sektor tenaga dan menjadi pengeluar tenaga bebas kedua terbesar di Malaysia serta meletakkan asas untuk pembangunan Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia, dua projek  yang akan mengubah rakyat dan ekonomi negara, syarikat ini adalah seiring dengan objektifnya." (lihat paparan skrin)


3. Ezam pula pada pandangan saya hanya makhluk yang sedang cuba menangguk di air keruh. Ezam secara jelas menyatakan dia tidak mempunyai akses terhadap fail berkaitan. Jika begitu kesnya, anggap sajalah, Ezam ini tidak mempunyai maklumat mengenai soal ini.

4. Dakwaan Ezam ini sejak dulu lagi ada bermacam-macam, termasuk cerita 6 kotak berisi dokumen rahsia. Bagaimanapun sampai sekarang, tiada sebarang bukti dikeluarkan dan tiada sesiapa pula yang didakwa berkaitan kotak tersebut termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

5. Sebenarnya bukan semua orang boleh mendapat akses kepada fail-fail tertentu, lebih-lebih lagi Ezam yang mempunyai sejarah mengkhianati kerajaan dan pernah membuat ugutan untuk membocorkan rahsia kerajaan. Jika saya yang mengendalikan fail tersebut, saya sendiri tidak akan menyerahkannya kepada Ezam. Bukan fail 1MDB saja, malah fail-fail lain pun tidak mungkin saya serahkan kepada seseorang yang berisiko tinggi.

6. Oleh kerana Ezam tidak mempunyai sebarang akses kepada fail berkaitan, maka tidak perlulah Ezam membuat sebarang dakwaan berdasarkan andaiannya semata-mata. Dalam soal SRC, SPRM telah membuat siasatan dan berhubung dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International dan berdasarkan laporan media, Peguam Negara pada 26 Januari 2016 menjelaskan bahawa tiada terzahir apa-apa kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan. Tiada sebarang keterangan yang menunjukkan Perdana Menteri menyalah gunakan kedudukannya. Manakala proses kelulusan pinjaman Lembaga KWAP dan proses kelulusan jaminan pinjaman oleh mesyuarat Jemaah Menteri pula dibuat secara teratur. Tiada sebarang keterangan yang menunjukkan Perdana Menteri meminta atau dijanjikan sebarang suapan daripada sebarang pihak sebelum, semasa, atau selepas keputusan Jemaah Menteri dibuat. Pihak SPRM sendiri mengakui bahawa berdasarkan hasil siasatan mereka, tiada keterangan daripada saksi-saksi yang boleh menunjukkan bahawa perdana menteri melakukan sebarang perbuatan rasuah. Panel Penilaian Operasi SPRM juga pada 26 Februari 2016 telah meminta SPRM melengkapkan siasatan mereka.

7. Berkenaan Laporan Audit Negara berkaitan 1MDB yang diklasifikasikan sebagai Rahsia Rasmi, Ketua Audit Negara telah menjelaskan bahawa beliau sendiri yang mengklasifikasikannya sebagai Rahsia selepas berlaku kebocoran laporan interimnya. Laporan Audit ini telah diteliti oleh PAC yang terdiri daripada Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang. Dapatan daripada Laporan Audit JAN ini juga ada disebut dan dimasukkan di dalam Laporan PAC setebal 106 muka surat.

8. Husni sepatutnya lebih beretika dan berintegriti dalam hal ini. Membuat pertanyaan berkaitan Kerajaan yang pernah dianggotainya dalam penggal ini, lebih-lebih lagi yang berkaitan portfolionya sendiri sebenarnya agak janggal, tidak beretika dan berintegriti. Lebih-lebih lagi jika ada di antara pertanyaan tersebut pernah dijawab oleh Husni sendiri sebelum ini. Sebagai mantan Menteri Kewangan II dan bekas jurucakap kerajaan dalam hal 1MDB, sepatutnya dia sudah tahu serba serbi berkenaan 1MDB, lebih-lebih lagi pertanyaan yang pernah dijawabnya sebelum ini.

9. Ezam pula bagaimana? Abaikan sahaja makhluk yang sudah tiada kredibiliti kerana fantasi 6 kotak dokumen rahsia yang dijajanya selama ini...

Saturday, October 8, 2016

Kadir bukan pertahan Desa Water Park atau Cina Dap, tapi hanya penjuangkan hasrat Tun M

1. Pelik apabila A Kadir Jasin menulis tentang "Mana Lebih Bahaya, Cina DAP atau Cina Jho Low?" kerana dia sendiri menyedari dan banyak menulis mengenai bahaya Cina Dap dari segi ideologi mereka yang memperjuangkan sosialisme, sekularisme dan liberalisme serta menyifatkan parti itu pada Mei 2012 sebagai "sebuah parti yang cenderung kepada pencetusan gelora". Sudah tentu Kadir sedar membandingkan Cina Dap dengan orang Cina lain bukan suatu perbandingan yang bijak dan tepat.

2. Pelik juga kerana di sebalik dakwaan Kadir bahawa dia membaca berita akhbar The Star bertarikh 30 September 2016 mengenai penutupan Desa Water Park, dia gagal menyedari bahawa dalam artikel yang sama jelas disebut kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abd Aziz bahawa "DBKL telah menjual tanah ini kepada pembida paling tinggi" dan ia dijual di atas syarat pemaju bersetuju membangunkan rumah mampu milik, iaitu Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP).

3. Jika Kadir membaca berita tersebut secara teliti dan memahami keseluruhan kandungannya, sudah pasti dia memahami bahawa penjualan tanah ini dibuat secara bidaan terbuka dan tidak perlu lagi mempersoalkan kenapa ia tidak diberi kepada GLC, GILC atau GOC. Tidak timbul juga persoalan kenapa Perdana Menteri perlu mengarahkan Khazanah, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) atau Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP) untuk membeli dan memajukan tapak tersebut. Jika mereka berminat, buatlah cadangan dan bidaan yang lebih baik. Apapun, pastinya, penjualan tanah ini jauh lebih baik dari membiarkan ia dipajak secara berterusan oleh syarikat Berjaya yang dimiliki sahabat baik Tun Dr Mahathir, Tan Sri Vincent Tan.

4. Artikel Kadir mencerminkan kecelaruan pemikirannya yang mencampur adukkan soal Desa Water Park, Taman Tugu Negara dan Bandar Malaysia, 1MDB, orang Cina bukan kroni dan orang Cina kroni serta orang Cina Malaysia, orang Cina Dap dan rakyat negara China.

5. Kadir cuba berbohong apabila menyebut "60% saham projek Bandar Malaysia dah dibagi kepada konsortium Cina Malaysia dan Cina negeri China." Fakta sebenar adalah ekuiti Bandar Malaysia masih dimiliki oleh 76% rakyat Malaysia, iaitu 40% oleh kerajaan pusat, 14% oleh kerajaan negeri Johor melalui syarikat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan 22% oleh rakyat Cina Malaysia melalui syarikat Credence Resources. Manakala rakyat China, melalui syarikat CRC memiliki 24% ekuiti. Jelas  Kadir tidak merujuk fakta apabila menulis dan cuba mengelirukan pembaca yang tidak teliti.

6. Kadir cuba memutar belit konteks pembangunan Bandar Malaysia apabila mempersoalkan "bukankah lebih baik serahkan pembangunan Bandar Malaysia milik
1MDB kepada syarikat-syarikat GLC dan GLIC daripada bagi kepada gabungan syarikat tempat dan syarikat milik kerajaan China?". Konteks sebenar adalah, pertama, tidak perlu kerajaan menyerahkan pembangunan Bandar Malaysia kepada GLC dan GLIC kerana sumber dananya masih dana berkaitan kerajaan. Bukankah lebih mudah dan menjimatkan sekiranya kerajaan menyuntik dana dari KWSP, KWAP dan LTAT ke dalam 1MDB bagi membangunkan Bandar Malaysia? Tetapi, siapakah yang menyerang 1MDB sebegitu rupa dan menghalang kerajaan dari membantu 1MDB?

7. Kedua, Kadir cuba menggambarkan bahawa Bandar Malaysia 'diserahkan' kepada syarikat orang Cina dan China, sedangkan fakta sebenar adalah, proses penjualan ekuiti ini dilakukan melalui bidaan terbuka. Menurut CH Williams Talhar and Wong (WTW), penasihat urus niaga bagi tender untuk Kebenaran Merancang (RFP) Bandar Malaysia, pada peringkat Pernyataan Minat sebanyak 40 syarikat tempatan dan antarabangsa termasuk dari Singapura, China, Jepun, Korea dan Australia menghantar cadangan dan 12 syarikat menghantar cadangan pembidaan pada 28 Ogos 2015. 4 syarikat akhirnya disenarai pendek yang terdiri daripada sebuah syarikat pemaju swasta tempatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat asing yang menghantar cadangan secara persendirian dan sebagai konsortium. Ia bukan soal "syarikat negeri China dapat banyak projek raksasa di Malaysia", seperti yang didakwa Kadir, tetapi soal siapa boleh memberikan tawaran terbaik.

8. Sekali lagi Kadir cuba memutar belitkan fakta apabila mempersoalkan "siapakah yang beli penjaja elektrik bebas (IPP) hujung usia daripada tauke Cina, Melayu dan India tempatan dengan harga RM12 bilion dan jual kepada syarikat milik kerajaan China dengan
harga RM9 bilion".

9. Pertama, jelas Kadir tidak memahami perbezaan di antara syarikat IPP dengan stesen janakuasa apabila menyebut "IPP hujung usia". Tiada IPP hujung usia, kerana IPP adalah syarikat pembekal tenaga. Kedua, tiada stesen janakuasa 'hujung usia'. Usia stesen janakuasa 1MDB ketika pembelian semuanya, adalah di bawah 20 tahun. 11 daripada 13 stesen ini berusia di bawah 16 tahun. Sedangkan tempoh hayat purata stesen janakuasa di seluruh dunia adalah 30 tahun dan boleh dilanjutkan lebih lama lagi jika diselenggara dengan baik. Ketiga, jika menurut Kadir bahawa IPP ini adalah  'IPP hujung usia', maka dia tidak wajar mempersoalkan penjualan IPP ini pada harga RM9 bilion. Bukankah harga ini amat tinggi untuk 'IPP hujung usia'? Fakta yang cuba disembunyikan oleh Kadir adalah, 1MDB mendapat harga yang baik melaui penjualan 'IPP hujung usia' ini. 3 IPP ini dibeli pada harga RM18 bilion, iaitu RM12 bilion dan RM6 bilion hutang yang diwarisi IPP tersebut, dan IPP ini dijual pada nilai RM17.26 bilion, iaitu RM9.83 bilion dan pengambil alihan hutang sebanyak RM7.43 bilion. Penjualan ini juga dilakukan secara bidaan terbuka dengan 11 syarikat membuat tawaran pembelian. Tidakkah nilai RM17.26 bilion ini terlalu bagus untuk 'IPP hujung usia'?

10. Penipuan Kadir bersambung apabila menyebut, "apakah Cina DAP yang pengaruhi Mohd Najib supaya tubuh 1MDB sehingga menyebabkan kita semua tanggung malu di merata dunia dan beban hutang RM50 bilion?". Pertamanya, tiada bukti bahawa Perdana Menteri ditipu untuk menubuhkan 1MDB. Malah model perniagaan 1MDB bertujuan mengurangkan pergantungan kepada dana kerajaan dan bidang perniagaan yang diceburinya berpotensi. Walaupun hanya menerima dana sebanyak RM1 juta dari kerajaan sebagai modal permulaan (berbanding Proton yang menerima RM160 juta), potensi 1MDB jelas apabila menjana keuntungan sebanyak RM424 juta pada tahun 2010, RM544 juta (2011), RM44 juta (2012) dan RM 778 juta (2013). Hanya selepas itu 1MDB mengalami kerugian kerana perlu mula membayar hutang dan faedah. Kedua, Kadir amat ketinggalan kerana tidak sedar bahawa selepas Pelan Rasionalisasi 1MDB dilaksanakan, semua hutang jangka pendek dan sebahagian hutang jangka panjang 1MDB telah diselesaikan sepenuhnya lebih awal dari tarikh akhir pembayaran. Sehingga September 2016, hanya tinggal 4 bon dan sukuk yang akan matang pada tahun 2022, 2023 dan 2039, dan pembayaran bon dan sukuk ini telah dipadankan dengan hasil penjualan dan pembangunan aset-aset 1MDB serta pertukaran aset - liabiliti dengan IPIC. Ketiga, tiada bukti kukuh bahawa terdapat duit 1MDB diselewengkan dan ini telah dibuktikan melalui dapatan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

11. Siapa lebih bahaya? Sudah tentu Cina Dap yang memperjuangkan ideologi sosialisme, liberalisme dan sekularisme. Ideologi Dap ini amat bertentangan dengan agama Islam dan beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Bukankah Kadir sendiri pernah menulis mengenai bahaya ideologi Cina Dap ini? Siapa lebih bahaya? Sudah tentu Cina Dap yang bersikap cauvinistik dan yang disifatkan oleh Kadir sendiri sebagai 'parti pencetus gelora'. Siapa lebih bahaya? Sudah tentu pemfitnah dan pembohong seperti Kadir, yang bercakap tanpa fakta dan menuduh tanpa bukti dan saksi.

12. Sebenarnya bukan soal tanah milik kerajaan seperti Desa Water Park yang diperjuangkan oleh Kadir. Malah Kadir bukan mempertahankan Cina Dap. Sebaliknya Kadir hanya berminat memutar belitkan cerita 1MDB untuk memburuk-burukkan Datuk Seri Najib Tun Razak, lebih-lebih lagi apabila yang terlibat dalam soal Desa Water Park ini adalah Vincent Tan, orang Cina yang dikatakan kroni kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Friday, July 22, 2016

Kes Saman Sivil Jabatan Kehakiman AS: Rupanya Ramai Pemimpin Pembangkang Tak Faham

Amat menyedihkan apabila membaca kenyataan pemimpin pembangkang mengenai kes saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS). Rupanya pengetahuan mereka mengenai kes ini amat cetek. Tidak hairanlah kenapa kenyataan mereka begitu dangkal dan mengarut. Tak tahu, rasa nak menangis atau ketawa sebenarnya. Penyokong pembangkang patut berasa malu kerana tahap pengetahuan pemimpin mereka, termasuk yang bergelar Ahli Parlimen begitu menyedihkan.

Analisis Kisah Saman Sivil Jabatan Kehakiman AS ke atas 1MDB ini mungkin boleh membantu meningkatkan tahap pengetahuan ahli parlimen dan pemimpin pembangkang. Ia juga boleh menjawab soalan, BENARKAH WANG 1MDB TELAH DICURI DAN PENCURINYA ADALAH NAJIB?

1. Pertama, ia bukan saman sivil atau pendakwaan terhadap 1MDB atau Perdana Menteri Najib Razak. Ia adalah saman sivil untuk merampas, mengambil alih dan membekukan aset yang dikatakan dibeli menggunakan dana yang 'dicuri' dari 1MDB. Jika kerajaan AS yakin bahawa aset-aset tersebut adalah hasil "money laundering" atau kegiatan haram yang lain, sudah tentu kerajaan AS akan terus merampas aset dan mendakwa setiap individu yang dinamakan melalui PROSIDING JENAYAH dan bukan melalui PROSIDING SIVIL. Persoalannya, kenapa AS tidak merampas aset-aset tersebut dan mendakwa terus semua individu yang dinamakan di dalam saman ini? Malah didapati Jabatan Kehakiman AS juga tidak berani menamakan pihak tertentu di dalam saman tersebut. JAWAPANNYA: kerana Jabatan Kehakiman AS TIDAK MEMPUNYAI BUKTI atau TIDAK MEMPUNYAI  BUKTI YANG MENCUKUPI untuk mendakwa bahawa semua aset yang tersenarai di dalam saman ini adalah dari hasil "money laundering" atau kegiatan haram. 

2. Kedua, kenapa saman sivil ini dibuat? Ia adalah berdasarkan aduan yang dibuat kepada Inisiatif Penemuan Semula Aset Kleptocracy, Jabatan Kehakiman AS. Ia bukan pendakwaan atau prosiding jenayah sebaliknya hanya inisiatif untuk memperoleh semula aset yang dikatakan sebagai hasil dari kegiatan haram dan korupsi.

3. Ketiga, siapakah yang didakwa? Tiada seorang pun dari dalam senarai nama di dalam aduan tersebut yang didakwa atas sebarang kesalahan jenayah. Sebaliknya ini adalah inisiatif kerajaan AS untuk membekukan aset-aset yang terbabit. New York Times melaporkan "The people named in the complaint have not been charged with crimes. The defendants in an asset forfeiture case are the properties that the government wants to seize. But an asset complaint does not preclude criminal charges."

4. Keempat, aset apakah yang hendak dibekukan? Antaranya adalah hartanah mewah di New York dan California, lukisan Monet dan Van Gogh, serta sebuah jet Bombardier. Semua senarai aset ini adalah berdasarkan aduan yang dibuat kepada Jabatan Kehakiman AS.

5. Kelima, siapakah pemilik aset-aset ini? Sehingga kini tidak disebut siapa pemilik aset-aset ini. Saman ini cuma menamakan Riza Aziz, Jho Low, Mohamed Badawy al-Husseiny, Khadem al-Qubaisi dan beberapa pihak lagi, termasuk yang dinamakan hanya sebagai Malaysian Official 1 sebagai pihak yang terlibat. Nama-nama ini adalah berdasarkan laporan yang dibuat kepada Jabatan Kehakiman AS.

6. Keenam, apakah prosedur untuk rampasan aset ini? Kerajaan AS tidak boleh merampas aset ini sewenang-wenangnya. Untuk merampas aset ada TIGA langkah yang perlu dibuat terlebih dahulu. Pertama, memastikan siapa pemilik sebenar aset-aset ini. Kedua, memastikan tiada pihak lain yang menuntut aset tersebut. Ketiga, menyiasat dan memastikan adakah aset itu hasil daripada kegiatan haram atau kegiatan perniagaan yang sah. Selepas TIGA langkah ini dilaksanakan baharulah kerajaan AS boleh merampas aset-aset ini. 

7. Ketujuh, apakah yang akan dilakukan terhadap aset-aset ini? Jabatan Kehakiman AS akan menjual aset-aset ini dan memulangkan kembali wang yang yang diperolehi dari penjualan aset ini kepada Malaysia atau negara asal dana tersebut.

8. Kelapan, adakah 1MDB terlibat? 1MDB telah membuat kenyataan rasmi bahawa ia bukan pihak yang terlibat dan tidak mempunyai sebarang aset di AS.


9. Dalam tindakan saman sivil ini, Jabatan Kehakiman AS tidak ada atau tidak mempunyai cukup bukti untuk mensabitkan setiap individu terbabit dengan kesalahan jenayah. Dengan menggunakan saman sivil ini mereka mahu pihak yang kena tuduh mengesahkan bahawa aset mereka bukan dari sumber haram. Jika pihak yang dituduh memperolehi aset dari sumber haram yang lain selain dari 1MDB dan tidak mahu mengesahkan sumber wang dalam pembelian aset ini pun, kerajaan AS tetap akan merampas aset mereka. Tidak semestinya ia dikaitkan dengan 1MDB. Jika pemilik aset boleh mengesahkan bahawa ia adalah dari sumber pelaburan yang sah dan bukan dari kegiatan haram, maka aset-aset ini tidak boleh dirampas.

10. Memandangkan Jabatan Kehakiman AS tidak mempunyai bukti yang mencukupi dan jika betul pembelian semua aset ini menggunakan wang yang dicuri dari 1MDB, maka ia bukan kesalahan jenayah yang dilakukan oleh 1MDB. Sebaliknya dalam kes ini, 1MDB adalah mangsa kepada perbuatan jenayah. Berdasarkan fakta kes, sehingga kini pertikaian hanya timbul dalam transaksi yang melibatkan IPIC dan Aabar. Jika itu kesnya, maka baguslah jika wang dari hasil penjualan aset dan produksi filem blockbuster ini dikembalikan kepada Malaysia atau 1MDB yang menjadi mangsa 'kecurian' ini.

Jadi apa isunya?


Wednesday, July 13, 2016

Puad Zarkashi - Tidak faham Laporan PAC, punca Muhyiddin dan Ezam desak tukar status Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB


1. Terdapat kemungkinan Muhyiddin Yassin dan Ezam Mohd Noor tidak membaca secara teliti Laporan Jawatan Kuasa Kira Wang Negara (PAC) bertajuk Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1Malaysia Development Berhad (1MDB) setebal 106 mukasurat. Jika mereka membacanya sekalipun, mungkin mereka tidak memahami kandungannya. Sekiranya Muhyiddin dan Ezam benar-benar membacanya, pasti kedua-duanya tahu bahawa di dalam Laporan PAC tersebut sudah terkandung kesimpulan hasil siasatan Jabatan Audit Negara (JAN), selain dapatan dan kesimpulan dari PAC sendiri.

2. Muhyiddin secara berterusan menyalahkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam soal klasifikasi laporan audit ini. Muhyiddin gagal memahami bahawa ia merupakan permintaan Ketua Audit Negara sendiri. Perkara ini pernah dinyatakan oleh Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin pada 4 Mac 2016, yang memaklumkan keperluan dan tindakan yang diambil oleh JAN untuk mengklasifikasikan Laporan Akhir Ketua Audit Negara Terhadap Pengauditan 1MDB sebagai dokumen rahsia rasmi. Dalam kenyataan itu disebut bahawa keputusan Jabatan Audit Negara ini dilakukan berikutan ada maklumat dalam Laporan Interim Terhadap Pengauditan 1MDB yang dibocorkan SECARA BERPILIH oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bagi mencetuskan laporan negatif sehingga menjejaskan kredibiliti Jabatan Audit Negara dan PAC.

3. Muhyiddin juga secara sengaja berbohong dan memutar belit kenyataan berhubung arahan kepada Ketua Audit Negara. Dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada 4 Mac 2015, jelas disebut bahawa "Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengarahkan Ketua Audit Negara melakukan pengesahan bebas (perkataan yang digunakan "verify") akaun syarikat pembangunan strategik, 1Malaysia Development Berhad, (1MDB). Laporan Ketua Audit Negara itu kemudiannya akan diserahkan (perkataan yang digunakan "will be passed") kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) parlimen untuk semakan (perkataan yang digunakan "inspection")." Turut disebut bahawa kenyataan media itu dibuat selepas wakil 1MDB dan wakil pengaudit syarikat itu, Deloitte dipanggil memberi penerangan kepada jemaah kabinet pada hari yang sama. Dinyatakan bahawa wakil 1MDB memberi penerangan berhubung situasi terkini syarikat dan turut memberikan jawapan terhadap pelbagai soalan yang dikemukakan anggota kabinet termasuk oleh Perdana Menteri dan timbalannya, manakala Deloitte pula memberikan gambaran menyeluruh hubungan dengan 1MDB dan mengesahkan audit akaun syarikat.

4. Telah dinyatakan dengan jelas dalam kenyataan Pejabat Perdana Menteri sejak hari pertama pengumuman mengenai arahan kepada Ketua Audit Negara dibuat bahawa "laporan Ketua Audit Negara akan diserahkan kepada PAC yang dianggotai oleh ahli parlimen kerajaan dan pembangkang untuk disemak secara telus". Adakah Muhyiddin gagal memahami bahasa mudah yang digunakan dalam kenyataan tersebut? Di manakah yang disebut bahawa Laporan Ketua Audit Negara akan didedahkan kepada umum? Muhyiddin memetik tulisan dalam blog Najib yang menyebut mengenai "fakta-fakta dari laporan Ketua Audit Negara dan PAC" untuk menuduh PM tidak menepati janii. Untuk pengetahuan Muhyiddin dan Ezam, fakta-fakta inilah yang digunakan dan dimasukkan di dalam laporan PAC. Silalah baca semula laporan PAC tersebut.

5. Dari segi proses dan prosedur, Laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB adalah untuk dibentangkan kepada PAC agar laporan tersebut boleh diteliti dan semakan susulan boleh dibuat. Kenapa PAC dilibatkan? Penglibatan PAC penting kerana ia diberikan autoriti untuk memanggil pihak yang terlibat dalam isu 1MDB ini dan penjelasan konteks sesuatu peristiwa boleh ditanya. PAC juga penting kerana ia boleh memberikan pandangan yang objektif atas sifat dwi-partisannya yang diwakili oleh wakil rakyat kerajaan dan pembangkang. Selepas PAC membuat semakan, mereka juga diberi autoriti untuk mencadangkan tindakan-tindakan susulan yang perlu diambil oleh kerajaan dalam isu 1MDB ini.

6. Kenapa butiran laporan Ketua Audit Negara tidak wajar didedahkan kepada umum? Seperti yang disebut tadi, permintaan dan tindakan JAN untuk mengklasifikasikan laporan ini sebagai rahsia rasmi adalah kerana terdapat kecenderungan untuk menggunakan dapatan audit ini SECARA BERPILIH dan tidak bertanggung jawab. Cebisan-cebisan daripada laporan Ketua Audit Negara ini boleh diambil SECARA BERPILIH tanpa pengetahuan mengenai konteks sebenar cebisan maklumat tadi. Ia boleh membuka ruang kepada pelbagai spekulasi sedangkan jelas sekali pihak yang membuat spekulasi ini tidak mempunyai autoriti untuk memanggil semua pihak yang terlibat bagi mendapatkan penjelasan sebenar. Akhirnya isu ini akan dibicarakan tanpa kesudahan dalam mahkamah pendapat umum dan dibicarakan melalui media, sedangkan pihak yang berautoriti dan diwakili oleh wakil rakyat BN dan pembangkang telah membuat semakan dan memberikan pelbagai cadangan kepada kerajaan mengenai tindakan yang perlu diambil bagi menyelesaikan isu yang dihadapi oleh 1MDB.

9. Rumusan PAC ini boleh di baca di mukasurat 103 hingga 106 laporan tersebut. Antara lain menyebut mengenai kelemahan tadbir urus, kekangan 1MDB dalam melaksanakan peranannya, cadangan-cadangan untuk memperbaiki tadbir urus syarikat dan siasatan susulan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB. Apakah tanggung jawab kerajaan selepas PAC mengemukakan laporan dan cadangan? Tanggung jawab kerajaan adalah untuk melaksanakan cadangan-cadangan PAC seperti yang sedang dilaksanakan sekarang, termasuk melakukan siasatan ke atas bekas CEO 1MDB. Siasatan ini sedang dilakukan oleh pihak PDRM dan tindakan akan diambil jika terdapat pelanggaran undang-undang atau perilaku jenayah.

10. Kenapa Muhyiddin dan pembangkang mahu dokumen ini dideklasifikasikan? Mereka sekadar mahu menangguk di air keruh dan ingin polemik 1MDB berterusan serta dibicarakan melalui media, bukan kerana mereka mahu isu 1MDB diselesaikan. Mereka adalah pihak yang paling rugi jika isu 1MDB dapat diselesaikan.

Mohd Puad Zarkashi
Ahli Majlis Tertinggi UMNO

Thursday, May 5, 2016

Mukhriz atau buku 1MDB yang menipu?


Buku atau Mukhriz yang tidak bijak?

1. Siapa sebenarnya yang menipu? Buku penjelasan isu 1MDB atau Mukhriz Mahathir? Semasa berucap dalam Majlis Bicara Selamatkan Malaysia di Johor Baharu pada 29 April 2016, Mukhriz ada mempertikaikan jawapan yang diberikan dalam buku “1MDB: Siapa Kata Tidak Dijawab” terbitan JASA.

2. Antara yang dipetik oleh Mukhriz adalah soalan 11 yang berbunyi, “Benarkah AS$700 juta daripada pelaburan dalam PetroSaudi lesap dan dimasukkan ke dalam akaun Good Star milik Jho Low?” Jawapan yang diberikan di dalam buku tersebut adalah, “TIDAK BENAR. Pelaburan AS$1.83 bilion 1MDB dalam syarikat usaha sama dan syarikat milik PetroSaudi dipulangkan kembali sebanyak AS$2.318 bilion, iaitu dengan keuntungan sebanyak AS$488 juta. Fakta ini boleh dibuktikan melalui semakan ke atas penyata kewangan diaudit 1MDB. Tiada sebarang kehilangan dana kepada Jho Low ataupun mana-mana pihak ketiga yang lain. PetroSaudi dalam kenyataan media bertarikh 1 Mac 2015 menyebut semua dana 1MDB yang dilaburkan telah disalurkan ke dalam syarikat subsidiari miliknya. Sebaik 1MDB keluar daripada usaha sama itu, PetroSaudi telah membayar dana pelaburan 1MDB sepenuhnya bersama keuntungan.” 

3. Mukhriz tidak berani membacakan keseluruhan jawapan yang diberikan di dalam buku 1MDB tersebut. Sebaliknya dia hanya berani membacakan laporan PAC pada mukasurat 25, itupun TIDAK secara penuh. Dia hanya berani membaca sebahagian daripada laporan tersebut yang berbunyi, “Pada 30 September 2009, Bank Negara Malaysia (BNM) memberi kelulusan pindahan dana ke dalam akaun usaha sama di J.P. Morgan SA dan RBS Coutts Bank Ltd. (Geneva). Seterusnya pada 30 September 2009 juga, sejumlah USD300 juta telah dipindahkan ke akaun 7619400 di J.P. Morgan (Suisse) SA, iaitu bank 1MDB PetroSaudi Ltd. Bagaimanapun, baki USD700 juta telah dipindahkan ke akaun 11116073 di RBS Coutts Bank Ltd., milik sebuah syarikat lain yang tidak terlibat dengan projek usaha sama ini.”

4. Mukriz mungkin tidak pernah membaca laporan PAC setebal 106 mukasurat ini dan hanya bergantung kepada nota yang disediakan oleh pembantunya atau secara sengaja meninggalkan bahagian seterusnya dalam laporan PAC pada mukasurat yang sama yang menyebut, ”Berdasarkan dokumen yang dikemukakan oleh Datuk Shahrol Azral pada 5 Jun 2015 dan kenyataan beliau semasa mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 25 November 2015, akaun tersebut adalah milik Good Star Limited yang merupakan subsidiari Kumpulan PetroSaudi sejak 1 September 2009.”

5. Adakah laporan PAC menyebut Good Star adalah syarikat milik Jho Low dan AS$700 juta lesap? Tiada sebarang kenyataan dalam laporan PAC yang menyebut bahawa Good Star adalah syarikat milik Jho Low dan menyebut duit AS$700 juta ini lesap. Oleh itu bukan buku 1MDB tersebut yang menipu, sebaliknya Mukhriz yang cuba untuk menipu.

6. Selepas itu Mukhriz memetik soalan nombor 6 dari buku 1MDB tersebut yang berbunyi, “Benarkah dakwaaan Tun M bahawa RM27 bilion lesap?” Sekali lagi Mukhriz tidak berani membacakan jawapan yang diberikan, iaitu, “TIDAK. Selepas dibuktikan RM42 bilion tidak lesap seperti didakwa, Tun Dr. Mahathir telah mengubah kenyataannya dan mendakwa hanya RM14.1 bilion daripada RM42 bilion digunakan dan sebanyak RM27 bilion lagi lesap. Di dalam tulisan blog bertajuk, “1MDB”, 23 April 2015, selepas membuat pengiraan, Tun Dr. Mahathir berhujah, “kesemua ini adalah pembelian yang diketahui. Jumlah semuanya menambah sehingga RM14.7 bilion. Jadi terdapat sekitar 27 bilion Ringgit yang berbaki. Lebih daripada 1 bilion Dolar AS dikatakan dibayar kepada PetroSaudi tanpa sebarang pengesahan mengenai nilai syarikat tersebut atau aset-asetnya. Di manakah wang yang selebihnya?” Tuduhan Tun Dr. Mahathir ini dibuat berdasarkan andaian semata-mata tanpa merujuk kepada dokumen dan penyata kewangan diaudit sebenar. 1MDB telah mengeluarkan infografik ringkasan berdasarkan fakta di dalam penyata kewangan yang diaudit untuk membuktikan bahawa tiada dana 1MDB yang lesap.”

7. Mukhriz hanya berani memetik nilai sebanyak RM4.2 bilion yang dinyatakan sebagai Aabar Investment Deposit di dalam Penyata Kewangan Diaudit Mac 2010 – Mac 2014 dan menyebut “baru dua, tiga minggu lalu (iaitu dalam pertengahan bulan April 2016) IPIC dan Aabar telah mengeluarkan kenyataan dia tidak terima duit ini, entah ke mana pergi, lesap.”

8. Sekali lagi Mukhriz cuba menipu kerana laporan PAC tidak pernah menyebut duit yang dimasukkan ke dalam akaun Aabar BVI ini lesap. Memang benar IPIC dan Aabar PJS ada membuat kenyataan menafikan perkaitan dengan Aabar BVI dan mereka tidak menerima wang yang dimasukkan ke dalam akaun Aabar BVI. Bagaimanapun segala dokumen berkaitan, termasuk perjanjian dengan IPIC dan Aabar PJS dibuat oleh 1MDB dengan Pengerusi Aabar PJS dan Pengarah Urusan IPIC. Atas sebab itu, IPIC telah mengekalkan jaminan ke atas bon 1MDB sehingga tahun 2016. Baru-baru ini, pada 29 April 2016, IPIC akhirnya telah membuat keputusan untuk membayar faedah bernilai AS$50.3 juta ke atas bon 1MDB Energy (Langat) bagi memenuhi tanggung jawab mereka sebagai penjamin bon tersebut. Jika duit tersebut tidak diterima, mengapa IPIC sanggup menjamin bon tersebut sehingga tahun 2016? Soal pertikaian korporat antara IPIC dan 1MDB adalah suatu perkara baru yang belum timbul semasa buku 1MDB ini dicetak. Bagaimanapun jawapan yang diberikan oleh buku ini konsisten dengan Penyata Kewangan Diaudit 1MDB Mac 2010 – Mac 2014 dan laporan PAC yang tidak menyebut bahawa wang ini lesap. 

9. Mukhriz sekali lagi cuba berbohong apabila mempertikaikan jawapan kepada soalan 16, iaitu, “Benarkah 1MDB cuba merampas wang Terengganu Investment Authority (TIA) dan mencagar telaga minyak Terengganu?” Mukhriz tidak berani membacakan dengan panjang lebar jawapan yang diberikan, iaitu “TIDAK BENAR SAMA SEKALI. Pada 2009, perbincangan telah diadakan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Terengganu mengenai sumbangan setiap pihak ke dalam TIA, yang pada asalnya, dijangka mempunyai modal berbayar sebanyak RM11 bilion (RM6 bilion sumbangan kerajaan negeri, RM5 bilion sumbangan Kerajaan Persekutuan melalui jaminan pinjaman). Beberapa cadangan telah dibincangkan untuk membolehkan Kerajaan Negeri Terengganu menjana modal sumbangannya. Kerajaan Persekutuan bersetuju memberi jaminan untuk terbitan sukuk bernilai RM5 bilion oleh TIA. Bagaimanapun Kerajaan Negeri Terengganu mengambil keputusan untuk menarik diri daripada TIA. Pada 31 Julai 2009, Kerajaan Persekutuan mengambil alih TIA dan entiti tersebut ditukar nama kepada 1MDB pada September 2009. Oleh itu, tiada isu 1MDB cuba untuk merampas wang TIA dan mencagar telaga minyak Terengganu.”

10. Mukhriz berbohong kerana hanya membaca sebahagian daripada laporan PAC di mukasurat 5 yang berbunyi, “Tujuan asal penubuhan TIA adalah untuk mewujudkan dana kekayaan negara (Sovereign Wealth Fund) dengan dana permulaan berjumlah RM11 bilion. Dana berkenaan akan diperoleh daripada pendapatan royalti minyak tertunggak sejumlah RM6 bilion dan dana daripada terbitan bon di pasaran kewangan tempatan serta luar negara dengan cadangan Kerajaan Persekutuan menyediakan sejumlah RM5 bilion bersandarkan pendapatan minyak masa depan Terengganu.“

11. Sekali lagi, sama ada Mukhriz tidak pernah membaca laporan PAC dan hanya bergantung kepada nota yang disediakan oleh pembantunya atau sengaja menyembunyikan sebahagian lagi pernyataan dalam laporan PAC yang berbunyi, 

“4.3. Pada 1 April 2009, Mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan permohonan TIA supaya Kerajaan Persekutuan memberi jaminan kepada TIA untuk meminjam sehingga RM5 bilion daripada pasaran kewangan tempatan dan luar negara melalui Islamic Medium Term Notes (IMTN) untuk pelaburan. Jaminan yang dikeluarkan adalah selaras dengan Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965 yang meliputi bayaran balik prinsipal dan faedah untuk tempoh 30 tahun. 

4.4 Berikutan itu pada 15 Mei 2009, satu perjanjian program ditandatangani antara TIA dan AmInvestment Bank Berhad untuk urusan terbitan IMTN berjumlah RM5 bilion. Walau bagaimanapun, perjanjian ini mendapat bantahan daripada MBI Terengganu. 

4.5 Kerajaan Persekutuan kemudian memutuskan untuk mengambil alih TIA dan proses pengambilalihan berkenaan berjaya disempurnakan pada 31 Julai 2009 dan nama TIA ditukar kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 25 September 2009.” 

12. Jika laporan PAC ini dibaca secara penuh, jelas kelihatan bahawa Mukhriz tidak berkeupayaan membezakan antara TIA dan 1MDB. Benar, TIA yang akan menggunakan sumber petroleum negeri Terengganu, bukan 1MDB. 1MDB hanya wujud selepas TIA diambil alih. Kerajaan Pusat telah mengambil alih TIA dan membayar kembali modal berbayar RM1 juta kepada kerajaan negeri Terengganu. 1MDB bermula dengan modal berbayar sebanyak RM1 juta dan jaminan kerajaan untuk terbitan sukuk bernilai RM5 bilion tanpa perlu menggunakan sumber petroleum negeri Terengganu, apalagi merampas telaga minyak negeri Terengganu.

13. Seperti Muhyiddin Yassin, Mukhriz juga nampaknya tidak membaca laporan PAC dengan teliti dan hanya berbohong dalam usaha menegakkan benang yang basah. Mereka tidak menguasai isu 1MDB ini dan sekadar membuat andaian demi andaian tanpa bukti yang kukuh dalam tuduhan mereka.

Tuesday, June 30, 2015

#1MDB: Logik penangkapan Justo yang gagal difahami pro-Tun M


Kenyataan Zam menunjukkan pemikirannya celaru


1. Kenyataan Zainudin Maidin yang menyifatkan tangkapan bekas pengarah PetroSaudi International (PSI) Xavier Andre Justo "seolah-olah dirancang untuk membersihkan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak" jelas menunjukkan kecelaruan pemikirannya. Mungkin Zam memerlukan pendekatan tahap demi tahap bagi memudahkan dia memahami sebab Justo ditahan.

2. Kenapa Justo ditahan? Menurut laporan Bloomberg pada 25 Jun 2015, Timbalan Komander Bahagian Pembanterasan Jenayah Bangkok, Kornchai Klayklueng menyebut bahawa "Xavier Justo ditahan di Samui, sebuah pulau peranginan di Thailand kerana cuba mendapatkan 2.5 juta franc Switzerland ($2,700,000) daripada PetroSaudi sebagai pertukaran untuk tidak mendedahkan maklumat sulit."

3. Kenapa Justo ditahan? Ia berkaitan laporan polis yang dibuat oleh PetroSaudi berhubung dakwaan yang dibuat oleh sebuah laman web, iaitu Sarawak Report (SR) yang berpengkalan di London, mengenai hubungan firma tersebut dengan syarikat pembangunan strategik Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Petrosaudi telah membuat laporan tersebut kepada Unit Tindakan Penipuan, Polis London di Pusat Laporan Penipuan dan Jenayah Siber Nasional, United Kingdom (UK) pada 1 Mac 2015. 

4. Laporan polis yang difailkan adalah berkaitan satu siri artikel yang diterbitkan oleh laman web SR, termasuk satu yang bertajuk "Rompakan Abad Ini - Bagaimana Jho Low Digunakan PetroSaudi Sebagai 'pintu untuk penyelewengan berbilion daripada 1MDB!" SR mendakwa mempunyai akses ke atas dokumen dan e-mel yang berkaitan dengan transaksi oleh 1MDB, termasuk usaha sama awal dengan PetroSaudi sejak 2009.

5. Pada 1 Mac 2015, Petrosaudi ada membuat kenyataan menafikan laporan SR. Dalam kenyataan itu disebut, "sebarang cadangan mengenai salah laku di dalam dakwaan dalam talian mengenai perkongsian itu adalah palsu semata-mata. Semua modal yang dilaburkan oleh 1MDB telah dikembalikan - bersama keuntungan. Malah usaha sama yang berakhir pada tahun 2012 itu, adalah 'menang-menang' bagi Malaysia dan PetroSaudi." Petrosaudi dalam kenyataan yang sama turut mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang melaporkan berita palsu tersebut.

6. Kenapa Justo ditahan? Seperti yang dilaporkan media, pertama, kerana memeras ugut. Kedua, kerana laporan mengenai laporan palsu SR. Untuk mengesahkan samada SR berbohong atau tidak, tentulah sumber kepada laporan SR perlu dipastikan. SR pernah mendedahkan bahawa mereka mempunyai akses terhadap dokumen dan emel berkaitan transaksi 1MDB. Jadi setiap pihak yang mempunyai akses terhadap emel Petrosaudi perlu dikenal pasti dan setakat ini berdasarkan laporan, bukti-bukti terarah kepada Justo. 

7. Adakah dokumen dan emel dalam simpanan Justo asli dan benar? Jawapan: Mungkin ada yang asli dan benar, tetapi mungkin juga ada yang palsu atau yang diolah.

8. Adakah laporan SR berdasarkan emel palsu atau emel yang diolah? Mungkin ada yang benar dan mungkin juga ada yang palsu. Bagaimanapun keberanian Petrosaudi membuat laporan kepada Unit Penipuan dan Jenayah Siber Polis London menunjukkan kemungkinan besar artikel SR ditulis berdasarkan emel yang diolah. Jika tidak, tidak mungkin Petrosaudi berani membuat laporan polis tersebut dan ingin mengambil tindakan undang-undang ke atas SR.

9. Adakah tangkapan Justo dirancang? Ya, sudah tentu polis ada membuat rancangan untuk menangkap Justo selepas laporan polis dibuat berkaitan jenayah yang dilakukannya.

10. Adakah tangkapan Justo dirancang oleh Polis Thailand untuk membersihkan nama Perdana Menteri, Najib Razak? Kenapa perlu Polis Thailand berbuat demikian? Apa kaitannya? Sehingga kini tangkapan ini lebih berkaitan dengan laporan polis yang dibuat terhadap Justo dan Sarawak Report oleh Petrosaudi, bukan oleh Najib.

11. Adakah ia akan membersihkan nama Najib? Tangkapan ini adalah untuk membersihkan nama Petrosaudi yang difitnah Sarawak Report. Bagaimanapun, sekiranya terbukti Sarawak Report menipu, sudah tentu nama Najib juga akan turut bersih.

12. Nyatanya, kesimpulan "tangkapan Justo seolah-olah dirancang oleh Polis Thailand untuk membersihkan nama Perdana Menteri" adalah suatu kesimpulan dangkal seorang mantan menteri penerangan yang gagal semasa eranya.

13. Apa pula kata jurucakap Petrosaudi berkaitan tangkapan Justo ini? Kata jurucakapnya, "kami lega kerana Justo kini akan menghadapi keadilan melalui mahkamah. Kami telah menjadi mangsa suatu jenayah yang dikesali dan yang malangnya telah dipolitikkan di Malaysia. Kami gembira kerana akhirnya dapat membetulkan keadaan dan kami memohon maaf kepada rakyat Malaysia di atas kemudaratan yang telah telah dilakukan oleh bekas pekerja kami yang tidak bertanggung jawab ke atas mereka"

14. Adakah tangkapan Justo relevan? Ya, kerana ia akan merungkaikan banyak persoalan berkaitan usaha sama Petrosaudi dan 1MDB.



15. Adakah tangkapan Justo akan mengembalikan wang yang lesap? TIDAK. Sebab dalam usahasama 1MDB - Petrosaudi, TIADA WANG YANG LESAP. Jika sebanyak USD1.83 bilion dilaburkan dan sebanyak USD 2.318 bilion dikembalikan, ia bukan dipanggil LESAP, tetapi bertambah. "LESAP" ini hanya khayalan dan ilusi Tun Dr Mahathir, pemimpin-pemimpin pembangkang dan juak-juak mereka.

Monday, June 22, 2015

"RM42 bilion lesap adalah putar belit Tun M", Jawapan Najib Razak (FAQ 3 - Bahasa Melayu)



Ini merupakan sambungan kepada jawapan yang pertama (FAQ1) dan jawapan yang kedua (FAQ2) mengenai pelbagai isu semasa termasuk yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

16. Jet rasmi - Dakwaan: "Negara ini telah diserang berulang kali oleh pengganas yang membunuh polis dan tentera kita. Adakah ini perkara biasa atau adakah ini masalah keselamatan? Jika kita mengambil berat tentang keselamatan kita adakah kita akan membeli jet peribadi mewah."

a. Keselamatan Sabah tiada kaitan dengan pembelian sebuah jet rasmi. Mengatakan tiada dana diperuntukkan untuk keselamatan Sabah kerana telah dialihkan atau dikatakan untuk membeli jet kerajaan adalah satu logik yang cukup membingungkan.

b. Keselamatan negara ini adalah amat penting kepada saya. Disebabkan "kita amat mengambil berat tentang soal keselamatan," kerajaan telah menubuhkan ESSCOM bagi menjaga keselamatan sempadan Sabah. Kita telah menghantar sebanyak lima batalion yang terdiri daripada pasukan polis dan tentera untuk menjaga keselamatan kawasan timur Sabah. ESSCOM terdiri daripada dua komponen. Komponen pertama mengendalikan pengurusan kawalan keselamatan dan pertahanan manakala komponen kedua mengendalikan penguatkuasaan dan tindakan awam. Komponen pengurusan kawalan keselamatan dan pertahanan mengumpulkan sumber dari pelbagai agensi keselamatan bagi meningkatkan keberkesanan operasi manakala komponen penguatkuasaan dan tindakan awam memastikan pematuhan kepada peraturan-peraturan imigresen, pemantauan barangan kawalan dan isu-isu yang memberi kesan kepada kehidupan harian penduduk di kawasan itu .

c. ESSCOM memastikan kawalan keselamatan untuk ESSZone yang terdiri daripada 10 daerah di bahagian timur Sabah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

d. Walaupun ESSCOM dapat menghalang pencerobohan-pencerobohan baru, penculikan masih kekal sebagai ancaman keselamatan yang berterusan. Keadaan ini kekal kompleks disebabkan keadaan pemberontakan di Filipina Selatan dan sempadan maritim kita yang begitu luas. Kerajaan telah meningkatkan rondaan dan operasi di seluruh rantau ini dan kita akan terus berbuat demikian. Penculikan-penculikan ini telah berlaku selama beberapa dekad tetapi sebelum ini, tidak banyak yang telah dilakukan. Ini adalah situasi kawalan keselamatan yang saya warisi dan yang pengganas pilih untuk dieksploitasi. Serangan ke atas Lahad Datu menunjukkan betapa rapuh kawalan keselamatan kita dan kerajaan ini komited untuk menghalang perkara ini dari berlaku lagi. Kita amat terhutang budi selama-lamanya kepada setiap yang telah mengorbankan nyawa mereka untuk mempertahankan dan melindungi kedaulatan negara.


17. Dakwaan: 1MDB, dengan pengetahuan penasihat mereka, terlibat dengan pengubahan wang haram.

a. Segala tuduhan daripada pihak-pihak tertentu mengenai salah laku yang telah berlaku telah diserahkan kepada Ketua Audit Negara dan PAC untuk mereka tangani di dalam laporan mereka yang menyeluruh.

b. Pada waktu yang sama, saya ingin menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang didapati bersalah atas sebarang salah laku, mereka akan dibawa ke muka pengadilan dan undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian.


18. Dakwaan: “Meminta orang supaya tidak bertanya sebarang soalan sehingga Ketua Audit Negara memberikan laporan adalah bodoh”

a. Memandangkan isu 1MDB telah disensasikan dan dipolitikkan sebegitu rupa berikutan pelbagai 'pendedahan' dan 'pengakuan' di laman web suspek tertentu dan portal berita pihak ketiga termasuk juga serangan dari ahli politik veteran, adalah hampir mustahil bagi pengurusan 1MDB atau sesiapa sahaja untuk menerangkan pelbagai bahagian mengenai isu ini tanpa melihat kenyataan mereka yang diputar belitkan, dipesongkan dan diperbesar-besarkan oleh pihak yang mempunyai motif tersembunyi. Disebabkan inilah penelitian terperinci mengenai fakta-fakta oleh pihak berkuasa yang sah diperlukan supaya tidak ada sebarang salah tafsir atau `spin’.

b. Membenarkan PAC dan Ketua Audit Negara membentangkan fakta penuh akan meletakkan kita dalam kedudukan yang lebih baik untuk menentukan apa yang berlaku. Ketua Audit Negara mempunyai reputasi sebagai seorang yang tidak berkompromi apabila melaporkan tentang kelemahan dalam kewangan awam. PAC pula terdiri daripada ahli-ahli parlimen dari kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang.

c. Justeru, adalah ironis bila terdapat dakwaan bahawa Ketua Audit Negara tidak akan mendedahkan apa-apa sedangkan diketahui umum bahawa tugasnya adalah untuk mendedahkan gambaran sebenar dan saksama mengenai kedudukan kewangan sebuah kementerian atau syarikat. Dalam banyak keadaan, PAC mempunyai skop yang lebih luas dan mereka telah pun memulakan siasatan mereka.

d. Terdapat sesetengah individu yang tidak berpuas hati kerana siasatan ini mengambil sedikit masa. Jika objektif sebenar siasatan ini adalah untuk mencari kebenaran mengenai 1MDB dan bukan cubaan untuk menggulingkan kepimpinan sedia ada, bukankah wajar juruaudit ini diberi masa yang mencukupi bagi mendapatkan keputusan.

e. Tidak ada bukti ada pihak yang telah 'dirompak', cuma dakwaan sahaja. Adakah ini bermaksud kita harus menyebarkan khabar angin dan spekulasi serta membuat gerakan untuk menggulingkan pemimpin negara sekiranya jawapan tidak diberikan dengan segera, dan bukannya berusaha mendapatkan kisah sebenar tentang apa yang berlaku?

f. Saya juga mahukan jawapan diberikan dengan cepat tetapi jika kita tidak membenarkan pihak berkuasa menyediakan maklumat secara betul dan mengikut undang-undang, bagaimanakah kerajaan boleh mengambil tindakan terhadap sebarang pihak yang didapati bersalah? Adakah kerajaan wajar mengambil tindakan dan pendakwaan berasaskan tuduhan liar dan pendedahan tabloid? Jika itu berlaku, barulah ia dikatakan bodoh.


19. Dakwaan: "Dengan pengurusan kewangan yang lebih baik GST tidak perlu dikenakan ke atas rakyat. Dengan memperkenalkan GST, Kerajaan sebenarnya meminta orang ramai, termasuk orang yang tidak layak dikenakan cukai pendapatan, turut terlibat menyelamatkan usaha-usaha Kerajaan yang gagal."

a. Kerajaan berusaha memperbaiki pengurusan kewangan secara berterusan:- 

1. Meningkatkan kecekapan GLC dan memaksimumkan pulangan. GLC telah memberikan lebih banyak pulangan dan berkembang lebih banyak dari segi nilai berbanding sebelum ini, dengan peningkatan dalam aspek ketelusan, akauntabiliti dan daya saing di bawah Program Transformasi GLC

2. Pentadbiran ini telah meningkatkan kepentingan dan kebebasan yang diberikan kepada Ketua Audit Negara untuk mengaudit Kewangan Negara dan melaporkan semua ketirisan. Seperti yang disebut dalam 2(h), bilangan isu yang diketengahkan oleh Ketua Audit Negara telah berkurangan dengan meyakinkan sejak beberapa tahun dan saya berhasrat untuk terus memperbaikinya lagi

3. Malaysia kekal sebagai salah satu daripada negara-negara paling berdaya saing di dunia, berdasarkan indeks daya saing WEF

4. Kita juga telah memperkenalkan 11 langkah-langkah pemotongan kos dalam sektor awam pada awal tahun lepas.

b. Hujah Tun bahawa GST digunakan untuk menyelamatkan usaha-usaha kerajaan yang gagal memang kedengaran mudah. Tetapi Tun sengaja menafikan hakikat bahawa terdapat banyak juga usaha-usaha GLC yang berjaya. Sebagai contoh, GLC G20 kita mempunyai jumlah pulangan pemegang saham sebanyak 12.6% setahun sepanjang tempoh 2004-2015, mengalahkan pulangan KLCI, iaitu 12.2% setahun. Permodalan pasaran juga meningkat 3.2 kali (RM133.8 bilion pada tahun 2004 kepada RM431.1 bilion pada tahun 2015.) Jumlah keuntungan bersih meningkat daripada RM9.9 bilion kepada RM26.2 bilion sepanjang tempoh 2004-2015.

c. Walaupun kita mencuba yang terbaik untuk memaksimumkan potensi semua usaha di negara ini (yang berkaitan kerajaan dan swasta,) amat mustahil untuk semuanya berjaya sepanjang masa. Apa pun, majoriti daripada usaha ini berjaya dan dapat mengimbangi yang kurang berjaya. Oleh itu, isu menggunakan hasil GST untuk menyelamatkan usaha yang gagal tidak timbul.

d. Untuk mengatakan bahawa orang-orang yang tidak berada dalam braket cukai pendapatan digunakan untuk menyelamatkan kerajaan tidak lebih dari pemesongan fakta. Ini kerana sebahagian besar bantuan kerajaan pergi ke kumpulan ini. Malahan mereka juga diberi pampasan dalam bentuk BR1M. Dalam Rancangan Malaysia ke-11, kita memperuntukkan sebanyak RM5,000-10,000 kepada setiap rumah di kawasan luar bandar untuk dibaiki. Dalam rancangan tersebut, kita juga memberikan lebih banyak tumpuan kepada golongan 40% terbawah dengan langkah-langkah untuk meningkatkan pendapatan isi rumah mereka kepada RM5,000 pada tahun 2020. Kita juga telah melaksanakan program pembasmian kemiskinan 1Azam. Pelajar juga akan terus menerima baucer buku dan subsidi pendidikan. Terdapat begitu banyak lagi skim dan inisiatif kerajaan yang diperuntukkan untuk golongan yang bukan pembayar cukai pendapatan.

e. Dan ke sinilah sebahagian besar daripada dana GST akan pergi. Ia tidak akan digunakan untuk menyelamatkan kerajaan. Adalah malang bahawa Tun telah memilih untuk mengabaikan bentuk-bentuk bantuan yang sangat signifikan ini, menyedari bahawa dengan mengenepikan semua bantuan ini, rakyat akan dibawa untuk berfikir bahawa dana GST adalah untuk menyelamatkan kerajaan. Saya telah berjanji untuk mendedahkan bagaimana hasil GST ini akan dibelanjakan dalam bajet yang akan datang.

f. GST bukan untuk menyelamatkan kerajaan. Ia adalah satu sistem cukai diguna pakai di seluruh dunia, yang lebih telus dan sistematik berbanding SST, seperti yang dinyatakan dalam 14. Perubahan dari SST kepada sistem GST tidak dapat dielakkan dan ia telah tertangguh sejak era Tun. Jika ia tidak dilaksanakan hari ini, suatu masa nanti, ia masih akan perlu dilaksanakan juga.

g. Cukai penggantian berperanan untuk meperluaskan aliran pendapatan kita bagi mengelakkan kebergantungan yang sangat tinggi kepada hasil minyak. Kalau GST tidak dikenakan, kejatuhan harga minyak baru-baru ini mungkin telah mengakibatkan kita mengalami krisis ekonomi. Tetapi oleh kerana Malaysia kini sudah mempunyai aliran pendapatan yang lebih pelbagai dan asas ekonomi yang kukuh, komuniti perniagaan dan pelabur asing boleh terus kekal optimistik.


20. Dakwaan: Memberi wang kepada semua dan untuk apa saja boleh mungkin popular ... Adalah lebih baik untuk mendidik dan melatih orang untuk kerja-kerja berpendapatan tinggi kerana pendapatan akan meningkat dengan ketara sebagai balasan bagi kerja yang dilakukan.

a. Pendidikan memang meningkatkan produktiviti tetapi BR1M juga diperlukan sebagai mana yang telah saya terangkan dalam 3 (e).

b. Semua langkah-langkah ekonomi kita pada masa lalu, masa kini dan masa akan datang termasuk Rancangan Malaysia ke-11 adalah mengenai peningkatan produktiviti melalui peningkatan dalam pendidikan. Di bawah program kita, kita akan melatih lebih ramai pekerja yang mahir, meningkatkan nisbah pekerja yang berpendidikan tinggi dalam keseluruhan jumlah tenaga buruh kita.

c. Saya berharap Tun berhenti membayangkan seolah-olah kita tidak menaja latihan kepada rakyat supaya mereka boleh mendapatkan pekerjaan berpendapatan tinggi. Kita membelanjakan sejumlah besar wang untuk latihan dan pendidikan seperti itu.

d. Walaupun pendidikan merupakan kunci kepada produktiviti, saya percaya kita juga perlu menyediakan jaringan keselamatan sosial. BR1M adalah satu bentuk subsidi bersasar dan satu langkah ekonomi. Langkah ekonomi ini akan berterusan sehingga kita dapat membangunkan satu bentuk pemberian subsidi bersasar yang lebih baik.


21. Dakwaan: "Jadi apakah salah meminta PM meletak jawatan. Amat jelas bahawa beliau telah menyebabkan keadaan di dalam negara lebih kucar kacir berbanding PM sebelumnya."

a. Ini adalah pendapat peribadi Tun. Amat malang apabila Tun memilih untuk mengabaikan semua pencapaian kerajaan di bawah pelbagai program transformasi dan trajektori pertumbuhan ekonomi yang Insya-Allah, akan membantu kita menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

b. Keadaan 'kucar-kacir' yang disebut oleh Tun, sebahagian besarnya adalah akibat serangan beliau sendiri dan kerana beliau mengulangi segala pembohongan dan fitnah pembangkang. Segala tuduhan ini telah dipertingkatkan lagi melalui internet. Ini adalah sesuatu yang Tun tidak perlu hadapi semasa beliau menjadi PM. Sebarang kontroversi yang timbul atas tindakan beliau sendiri atau kerajaan beliau, akan mengambil beberapa hari jika tidak berminggu-minggu untuk berkembang. Tun tidak perlu berhadapan dengan tuduhan yang tidak berkesudahan yang dikitar semula berulang-ulang kali dan dikongsikan pada dengan secepat kilat. Perkataan "viral" hampir tidak wujud semasa pentadbiran beliau.

c. Tun jelasnya telah dipengaruhi oleh pendemokrasian maklumat di media sosial, di mana semua maklumat walaupun tidak benar sekali pun dianggap sebagai kebenaran. Hari ini, media dalam talian dengan agenda tersembunyi, memutar belit tajuk-tajuk berita dan memuat naik pembohongan yang begitu nyata yang dikongsi serta disebarkan setiap minit, dan membentuk persepsi bahawa segalanya ini pasti benar. Hanya kerana sesatu pembohongan disebarkan beribu kali, tidak akan menjadikan ia benar. Dengan serangan sebegitu di dalam, tidak menghairankan bahawa Tun merasakan keadaan 'kucar-kacir' ini lebih besar hari ini.

d. Memang benar bahawa pentadbiran ini, sama seperti pentadbiran yang lain, tidak sepi dari cabaran. Tetapi rekod kerajaan sepanjang tempoh enam tahun lepas menunjukkan bahawa kita membuat perkara-perkara yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia dan kita akan terus mengotakan segala janji untuk mengubah ekonomi, kerajaan dan negara menjelang saat kita mencapai Wawasan 2020. Kita perlu terus berasa yakin serta berusaha ke arah ini dan bukannya bergaduh sesama sendiri. Marilah kita bersama-sama bekerja untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terbaik, secemerlang yang mungkin!


22. Dakwaan: "Seorang pemimpin yang dipilih tidak kebal terhadap penyingkiran sebelum tempohnya berakhir. PM sebelumnya juga telah dipilih, malah dengan majoriti yang lebih besar. Tetapi beliau telah dipujuk untuk meletak jawatan oleh PM sekarang."

a. Walaupun saya berundur, Tun akan terus campur tangan dalam pentadbiran negara. Dia boleh mengatakan dia hanya menjalankan hak demokrasi sebagai warganegara, tetapi ini adalah Tun Mahathir. Orang cenderung untuk mempercayai apa yang dikatakannya, walaupun ia tidak sepenuhnya tepat. Ia mempunyai kesan yang besar ke atas persepsi orang ramai, kerana dia bukan sekadar seorang warganegara biasa.

b. Terdapat sebab-sebab mengapa kebanyakan bekas ketua negara di seluruh dunia tidak campur tangan dalam kerja-kerja pentadbiran semasa, kerana apa sahaja yang mereka katakan boleh menjejaskan sistem. Tun melakukan banyak perkara yang mulia dan hebat sebagai PM tetapi beliau tidak lagi menjalankan pentadbiran.

c. Tun adalah seorang ahli politik veteran dan sarjana persepsi awam. Beliau memahami bahawa kenyataan politik tidak sepenuhnya mengenai kebenaran tetapi mengenai apa yang dipercayai rakyat dalam mahkamah pendapat umum. Inilah sebabnya mengapa beliau terus membuat sindiran, bercakap separuh benar, membuat jenaka yang mengelirukan dan memutar belit kenyataan bagi membuat pandangannya menarik dan sedap didengar.

d. Beliau menyatakan dalam artikelnya bahawa 1MDB mempunyai hutang sebanyak RM42 bilion. Kemudian tiba-tiba beliau mendakwa bahawa RM42 bilion telah hilang, dalam artikelnya "Menyokong Najib", di mana beliau menyatakan: "Saya ingin minta penyokong sama ada sokongan mereka bermakna kehilangan 42 bilion ringgit adalah okay ..." jelas menuduh bahawa wang tersebut telah hilang. Jika Tun membuat dakwaan sebeginipun, orang akan percaya. Jadi, ramai di media sosial mula bertanya "ke mana RM42 bilion lesap?" Adakah hutang sebanyak RM42 bilion? Ya. Adakah wang tersebut telah lesap? Tidak. Tetapi `spin' telah bermula!

e. Saya menyeru semua ahli UMNO dan BN juga semua rakyat Malaysia agar jangan mudah percaya setiap kali Tun membuat serangan. Ambil satu langkah ke belakang dan buatlah analisis fakta-fakta. Kita telah melakukan begitu banyak perkara dalam tempoh enam tahun yang lalu (lihat 10 (c) dan (d)) tetapi Tun mengenepikan semua ini dan hanya membangkitkan dakwaan dan masalah kerana dia tahu itu adalah cara untuk mempengaruhi fikiran rakyat terhadap kerajaan sekarang dan diri saya.


Sumber

Popular Posts