Showing posts with label Blogger Tun M. Show all posts
Showing posts with label Blogger Tun M. Show all posts

Tuesday, June 30, 2015

#1MDB: Logik penangkapan Justo yang gagal difahami pro-Tun M


Kenyataan Zam menunjukkan pemikirannya celaru


1. Kenyataan Zainudin Maidin yang menyifatkan tangkapan bekas pengarah PetroSaudi International (PSI) Xavier Andre Justo "seolah-olah dirancang untuk membersihkan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak" jelas menunjukkan kecelaruan pemikirannya. Mungkin Zam memerlukan pendekatan tahap demi tahap bagi memudahkan dia memahami sebab Justo ditahan.

2. Kenapa Justo ditahan? Menurut laporan Bloomberg pada 25 Jun 2015, Timbalan Komander Bahagian Pembanterasan Jenayah Bangkok, Kornchai Klayklueng menyebut bahawa "Xavier Justo ditahan di Samui, sebuah pulau peranginan di Thailand kerana cuba mendapatkan 2.5 juta franc Switzerland ($2,700,000) daripada PetroSaudi sebagai pertukaran untuk tidak mendedahkan maklumat sulit."

3. Kenapa Justo ditahan? Ia berkaitan laporan polis yang dibuat oleh PetroSaudi berhubung dakwaan yang dibuat oleh sebuah laman web, iaitu Sarawak Report (SR) yang berpengkalan di London, mengenai hubungan firma tersebut dengan syarikat pembangunan strategik Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Petrosaudi telah membuat laporan tersebut kepada Unit Tindakan Penipuan, Polis London di Pusat Laporan Penipuan dan Jenayah Siber Nasional, United Kingdom (UK) pada 1 Mac 2015. 

4. Laporan polis yang difailkan adalah berkaitan satu siri artikel yang diterbitkan oleh laman web SR, termasuk satu yang bertajuk "Rompakan Abad Ini - Bagaimana Jho Low Digunakan PetroSaudi Sebagai 'pintu untuk penyelewengan berbilion daripada 1MDB!" SR mendakwa mempunyai akses ke atas dokumen dan e-mel yang berkaitan dengan transaksi oleh 1MDB, termasuk usaha sama awal dengan PetroSaudi sejak 2009.

5. Pada 1 Mac 2015, Petrosaudi ada membuat kenyataan menafikan laporan SR. Dalam kenyataan itu disebut, "sebarang cadangan mengenai salah laku di dalam dakwaan dalam talian mengenai perkongsian itu adalah palsu semata-mata. Semua modal yang dilaburkan oleh 1MDB telah dikembalikan - bersama keuntungan. Malah usaha sama yang berakhir pada tahun 2012 itu, adalah 'menang-menang' bagi Malaysia dan PetroSaudi." Petrosaudi dalam kenyataan yang sama turut mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang melaporkan berita palsu tersebut.

6. Kenapa Justo ditahan? Seperti yang dilaporkan media, pertama, kerana memeras ugut. Kedua, kerana laporan mengenai laporan palsu SR. Untuk mengesahkan samada SR berbohong atau tidak, tentulah sumber kepada laporan SR perlu dipastikan. SR pernah mendedahkan bahawa mereka mempunyai akses terhadap dokumen dan emel berkaitan transaksi 1MDB. Jadi setiap pihak yang mempunyai akses terhadap emel Petrosaudi perlu dikenal pasti dan setakat ini berdasarkan laporan, bukti-bukti terarah kepada Justo. 

7. Adakah dokumen dan emel dalam simpanan Justo asli dan benar? Jawapan: Mungkin ada yang asli dan benar, tetapi mungkin juga ada yang palsu atau yang diolah.

8. Adakah laporan SR berdasarkan emel palsu atau emel yang diolah? Mungkin ada yang benar dan mungkin juga ada yang palsu. Bagaimanapun keberanian Petrosaudi membuat laporan kepada Unit Penipuan dan Jenayah Siber Polis London menunjukkan kemungkinan besar artikel SR ditulis berdasarkan emel yang diolah. Jika tidak, tidak mungkin Petrosaudi berani membuat laporan polis tersebut dan ingin mengambil tindakan undang-undang ke atas SR.

9. Adakah tangkapan Justo dirancang? Ya, sudah tentu polis ada membuat rancangan untuk menangkap Justo selepas laporan polis dibuat berkaitan jenayah yang dilakukannya.

10. Adakah tangkapan Justo dirancang oleh Polis Thailand untuk membersihkan nama Perdana Menteri, Najib Razak? Kenapa perlu Polis Thailand berbuat demikian? Apa kaitannya? Sehingga kini tangkapan ini lebih berkaitan dengan laporan polis yang dibuat terhadap Justo dan Sarawak Report oleh Petrosaudi, bukan oleh Najib.

11. Adakah ia akan membersihkan nama Najib? Tangkapan ini adalah untuk membersihkan nama Petrosaudi yang difitnah Sarawak Report. Bagaimanapun, sekiranya terbukti Sarawak Report menipu, sudah tentu nama Najib juga akan turut bersih.

12. Nyatanya, kesimpulan "tangkapan Justo seolah-olah dirancang oleh Polis Thailand untuk membersihkan nama Perdana Menteri" adalah suatu kesimpulan dangkal seorang mantan menteri penerangan yang gagal semasa eranya.

13. Apa pula kata jurucakap Petrosaudi berkaitan tangkapan Justo ini? Kata jurucakapnya, "kami lega kerana Justo kini akan menghadapi keadilan melalui mahkamah. Kami telah menjadi mangsa suatu jenayah yang dikesali dan yang malangnya telah dipolitikkan di Malaysia. Kami gembira kerana akhirnya dapat membetulkan keadaan dan kami memohon maaf kepada rakyat Malaysia di atas kemudaratan yang telah telah dilakukan oleh bekas pekerja kami yang tidak bertanggung jawab ke atas mereka"

14. Adakah tangkapan Justo relevan? Ya, kerana ia akan merungkaikan banyak persoalan berkaitan usaha sama Petrosaudi dan 1MDB.



15. Adakah tangkapan Justo akan mengembalikan wang yang lesap? TIDAK. Sebab dalam usahasama 1MDB - Petrosaudi, TIADA WANG YANG LESAP. Jika sebanyak USD1.83 bilion dilaburkan dan sebanyak USD 2.318 bilion dikembalikan, ia bukan dipanggil LESAP, tetapi bertambah. "LESAP" ini hanya khayalan dan ilusi Tun Dr Mahathir, pemimpin-pemimpin pembangkang dan juak-juak mereka.

Friday, June 12, 2015

#Nothing2Hide: Program lancar jika tidak diganggu tamu tak diundang


Kronologi Program Dialog Bersama PM "Nothing To Hide" 
seperti yang dikeluarkan oleh laman facebook Dialog PM bersama NGO


1. Ulasan mengenai program Dialog PM bersama NGO Nothing to Hide tanpa fakta sebenar mengakibatkan ramai tersasar jauh dari kebenaran dan akhirnya meletakkan kesalahan ke atas tempat yang salah. 

2. Saya telah mengambil sedikit masa untuk meneliti bahan-bahan yang disebarkan berkaitan program Dialog PM bersama NGO dan bertanya beberapa orang urusetia program bagi memahami kronologi peristiwa yang berlaku.

3. Program Dialog PM bersama NGO adalah suatu program yang sangat baik. Ia adalah platform masyarakat sivil yang membolehkan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) berdialog dan berinteraksi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Sesuai dengan temanya Nothing To Hide, pemimpin dan ahli NGO boleh bertanyakan apa sahaja kepada Perdana Menteri. 

4. Perdana Menteri juga telah BERSETUJU untuk hadir dan bersetuju dengan tema program, iaitu Nothing To Hide kerana tidak ada apa yang ingin beliau sembunyikan. Beliau sendiri memberikan tarikh 5 Jun, iaitu sebelum beliau berangkat menunaikan umrah dan PWTC dicadangkan sebagai lokasi program bagi memudahkan peserta menunaikan solat Jumaat.

5. Persetujuan PM diperolehi pada tarikh 19 Mei. Bermaksud urusetia mempunyai kurang daripada tiga minggu (17 hari) untuk membuat persiapan. Mesyuarat pertama mengenainya dibuat pada 21 Mei. Pengumuman pertama dibuat pada hari Ahad, 31 Mei dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia dan sidang media pertama dibuat pada 2 Jun.

6. Jemputan dibuat melalui dua cara, pertama secara langsung kepada sejumlah NGO. Kedua, secara terbuka melalui hebahan media. Hanya 1,200 tempat disediakan di dalam dewan. NGO yang berminat perlu mendaftarkan diri dan kad jemputan akan diberikan berdasarkan siapa yang terlebih dahulu membuat permohonan (first come first serve).

7. Semua urusan berjalan lancar tanpa banyak masalah sehingga ada kenyataan media sosial daripada seorang pemberita pada 3 Jun bahawa pegawai Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kedatangan beliau ke majlis ini. Selepas itu, urusetia menerima banyak panggilan bagi mengesahkan kehadiran Tun M. 


Tweet pertama yang mengundang masalah

8. Jawapan yang diberikan urusetia adalah `tidak pasti’ kerana tidak ada jemputan rasmi dibuat kepada Tun M. Urusetia tidak menjangkakan Tun M akan datang memandangkan program ini tidak kena dengan taraf beliau. Lagipun program ini lebih khusus untuk PM dan kehadiran Tun M amat tidak sesuai disebabkan serangan beliau terhadap PM kebelakangan ini.

9. Pada malam yang sama, ada mesej disebarkan menjemput seramai mungkin ahli Perkasa Selangor ke PWTC. Dalam mesej tersebut dinyatakan program ini adalah `program terbuka’ (sedangkan program ini hanya untuk jemputan) dan kehadiran ahli Perkasa ini adalah untuk menjaga keselamatan Tun M. 


Paparan skrin mesej jemputan daripada Perkasa yang disebarkan melalui media sosial di panjangkan oleh Pak Darus Saat dalam Kumpulan Whatsapp (1) Melayu Berani Bersatu. Dato Hamidah Osman adalah antara ahli dalam kumpulan ini.


10. Kehadiran Tun M dan mesej jemputan kepada ahli Perkasa ini mengundang masalah baru kerana dilihat oleh pihak berkuasa sebagai provokasi dan tanda permulaan kekecohan.

11. Pada malam Khamis, 4 Jun, urusetia telah memanggil satu mesyuarat khas bagi membincangkan tentang kehadiran Tun M dan ahli Perkasa. Pihak polis dan Pihak Keselamatan PWTC turut dijemput bagi mendapatkan pandangan. 

12. Dalam mesyuarat khas ini, urusetia telah ditanya sama ada terdapat di kalangan mereka yang membuat jemputan rasmi kepada Tun M. Semua anggota, termasuk Datuk Khairul Anuar Rahmat, Pengerusi Suka Guam menafikan ada menjemput Tun M. 

13. Memandangkan Tun M tetap ingin hadir walaupun tidak dijemput, maka pihak urusetia, pihak polis dan keselamatan PWTC telah berbincang sama ada mahu membenarkan Tun M masuk atau tidak. Terdapat DUA pandangan. Pertama, untuk tidak membenarkan Tun M masuk kerana sebarang pertikaman lidah antara Tun M dan PM akan merosakkan imej kedua-dua pemimpin, UMNO dan negara. Lebih buruk lagi jika pertikaman lidah ini disahut penyokong masing-masing sehingga mengundang kejadian yang tidak diingini. Pandangan kedua, adalah untuk membenarkan beliau masuk.

14. Urusetia akhirnya bersetuju membenarkan Tun M masuk dengan syarat, hanya dua kerusi disediakan di bawah pentas bersama tetamu kehormat yang lain, iaitu untuk Tun M dan Tun Dr Siti Hasmah. Tiada pengiring dan penyokong Tun M dibenarkan masuk. Sebuah bilik menunggu juga disediakan supaya Tun M dan tetamu kenamaan lain dapat menunggu dengan selesa.


Kerusi yang disediakan oleh urusetia untuk Tun M atas dasar menghormati beliau, 
jika beliau benar-benar hadir, bukan bermaksud beliau diundang


15. Perlu ditegaskan bahawa kerusi ini disediakan atas dasar rasa hormat dan bukan bermakna Tun M mendapat undangan. Pada waktu yang sama, seperti audien yang lain, Tun M masih perlu menghormati majlis, tertakluk kepada peraturan majlis dan tidak wajar berbuat sesuka hati di dalam program ini. 

16. SEJAK MALAM KHAMIS lagi, pihak polis telah menyatakan kebimbangan tentang tahap kawalan dan keselamatan majlis. Pihak polis telah mencadangkan agar program ini ditangguhkan, tetapi disebabkan ramai yang telah bekerja keras selama hamper tiga minggu untuk menjayakan program ini, urusetia cuba meyakinkan pihak polis bahawa keselamatan adalah dalam kawalan kerana hanya 1,200 orang jemputan sahaja yang akan berada di dalam dewan. Pihak lain yang tidak menerima jemputan tidak dibenarkan masuk ke dewan. Jumlah anggota Rela dan pegawai keselamatan PWTC telah ditambah untuk mengawal keadaan. Urusetia juga meminta pihak polis memberi masa sehingga keesokan pagi sebelum keputusan penangguhan majlis ini dibuat. 

17. Pihak polis bersetuju untuk memberi sedikit masa kepada penganjur dan turut menempatkan sejumlah anggota berpakaian preman bagi mengawasi keadaan.

18. Pada hari Jumaat, 5 Jun, sekitar jam 845 pagi, urusetia dimaklumkan bahawa dewan telah penuh sesak. Lebih 1,500 orang sudah berada di dalam dewan dan masih ramai jemputan yang tidak dapat masuk. Urusetia juga telah dihubungi oleh pihak polis yang menasihatkan agar program dibatalkan kerana jumlah audien di dalam dewan sudah melebihi jumlah yang dijanjikan penganjur. 


Jumlah hadirin di dalam dewan telah melebih 1,200, iaitu jumlah peserta jemputan

19. Sekitar jam 855 pagi, urusetia dimaklumkan bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar telah mengeluarkan tweet agar program ini dibatalkan. Atas arahan ini, pihak polis telah meminta penganjur segera membuat pengumuman pembatalan program.


Tweet Ketua Polis Negara mengarahkan program dibatalkan


20. Ketika ini Tun M berada di bilik menunggu. Urusetia dimaklumkan bahawa Tun M telah beberapa kali meminta diberikan peluang berucap selama sejam. Bagaimanapun anggota urusetia terbabit memaklumkan bahawa dia tidak dapat membantu Tun M dalam hal itu kerana seperti NGO lain, Tun M hanya dibenarkan bertanya soalan, bukan memberi ucapan.

21. Pada waktu ini, saya sudah berada di dalam dewan, di ruang hadapan pintu depan dewan berhampiran dengan rostrum. Pengacara wanita dari sebuah stesen TV membuat pengumuman bahawa pihak polis telah mengarahkan agar program dibatalkan, tetapi menyebut pihak penganjur `masih berunding’ walaupun hakikatnya telah ada arahan daripada pihak polis untuk membatalkan program.

22. Tidak berapa lama selepas itu, Datuk Khairul mengambil tempat di rostrum. Baru sahaja beliau ingin mengucapkan sesuatu, rombongan Tun M telah merempuh pintu hadapan dan meluru masuk ke atas pentas. Lokman Noor Adam yang berada di hadapan pintu, saya berhampiran pentas, Datuk Khairul yang berada di rostrum dan ramai lagi telah dirempuh secara kasar oleh rombongan Tun M.



23. Di atas pentas, seorang urusetia telah memaklumkan Tun M bahawa kerusi yang disediakan untuk Tun M berada di bawah pentas. Namun Tun M tidak berganjak dan penyokong-penyokong beliau mendesak agar beliau diberikan peluang berucap. Selepas seketika Tun M berucap, seorang anggota polis dengan sopan meminta Tun M berhenti berucap. Tun M akhirnya akur, bagaimanapun meneruskan dengan mengadakan sidang akhbar di atas pentas yang sama.



24. Siapa salah? Di mana silapnya?

25. Adakah program ini salah atau bodoh (a stupid program)? Tidak mungkin sebuah program yang membenarkan PM berinteraksi dengan 1,200 orang ahli dari 313 NGO seluruh negara, membolehkan mereka bertanya apa saja soalan dan menggambarkan kredibiliti dan ketelusan PM boleh dianggap sebagai program yang tidak baik dan bodoh. 

26. Adakah ini salah penganjur? Ya dan tidak. Ya mungkin kerana kelemahan dalam aspek kawalan keselamatan dan pendaftaran sehingga lebih 1,500 orang berada di dalam dewan. Ya, kerana mereka lambat membatalkan program seperti yang dinasihatkan oleh polis dan terlalu memberi muka kepada Tun M. Tidak, kerana dalam tempoh kurang daripada 3 minggu mereka berjaya menyusun program ini dengan baik dan mendapat penyertaan 1,200 orang peserta dari 313 NGO. Mereka juga telah mendapatkan nasihat polis dan pegawai keselamatan PWTC bagi mengendalikan hal kawalan keselamatan.

27. Adakah ini salah PM? Tidak, PM telah BERSETUJU untuk hadir. PM juga telah BERSETUJU dengan tema Nothing To Hide dan menjawab segala persoalan dengan telus. Program telah dibatalkan atas arahan Ketua Polis Negara dan polis telah menasihat PM agar tidak hadir.

28. Adakah salah Tun M dan penyokongnya? Tun M dan sebahagian besar pengikutnya adalah tetamu yang tidak diundang. Kehadiran Tun M menyebabkan penganjur menjadi serba salah. Tun M mendesak untuk berucap selama sejam sejak di bilik menunggu lagi. Tun M juga tidak berganjak dari atas pentas ke tempat duduk yang disediakan di bawah pentas. Penyokong Tun M sengaja mensabotaj majlis apabila menghantar mesej mengajak ahli Perkasa Selangor hadir beramai-ramai dan berbohong bahawa program ini adalah `program terbuka untuk sesiapa sahaja’. Ada di antara mereka juga telah menyelinap memasuki dewan lebih awal dan ada yang merempuh pintu semasa mengiringi Tun M masuk. 

29. Dalam penganjuran program ini, rukun yang penting adalah penganjur, pengisian, peserta dan PM. Dengan empat rukun ini, program boleh berjalan lancar tanpa sebarang masalah sama seperti program-program PM yang lain.

30. Kenapa timbul masalah? Kerana ada satu faktor yang tidak diperlukan dan tidak menyumbang kepada pelaksanaan program, iaitu pengganggu. Penganjur, pengisian, peserta dan PM apabila ditambah penganggu (Tun M dan pengikutnya) mengakibatkan program bermasalah. 

31. Kerja 3 minggu dibazirkan kerana ada penganggu. Bayangkan jumlah masa, tenaga, perbelanjaan dan usaha yang telah dibuat bagi melaksanakan program ini. Bayangkan berapa banyak persoalan mengenai isu semasa yang boleh dijawab oleh PM dalam masa 2 jam. Bayangkan kesannya jika jawapan ini sampai kepada rakyat melalui 1,200 pemimpin dari 313 buah NGO sekiranya program ini dapat dijayakan tempoh hari. 

32. Tidakkah ia akan membantu kerajaan BN? Kenapa PM diganggu dari memberi JAWAPAN?

33. Suatu masa dulu, semasa Tun menjadi PM, saya pernah mendengar Tun M menyelar tetamu yang tidak diundang di bumi Palestin, yang mengambil sedikit demi sedikit tanah rakyat Palestin sehingga akhirnya mengambil alih bumi Palestin dan mengusir rakyat Palestin. Tun M mungkin sudah lupa mengenainya, tetapi saya masih ingat ucapan Tun M itu. Bukankah ini yang berlaku dalam program Dialog PM bersama NGO?

34. Datuk Khairul Anuar dan urusetia terlalu baik dan sopan terhadap Tun M. Kesilapan mereka hanyalah kerana menyediakan dua buah kerusi yang akhirnya mengakibatkan bukan sahaja pentas dikuasai Tun M, malah seluruh program diambil alih.

Tuesday, April 7, 2015

TRANSKRIP PENUH KENYATAAN SHAHRIR SAMAD - TUN M DAH TERLALU PERSONAL, BUKAN CARANYA

Image result for BNBBC SOKONG NAJIB


Pertamanya kami ingin menyatakan perasaan sedih kami di atas tragedi helikopter petang Sabtu lalu yang melibatkan seorang rakan kita, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan juga seorang pegawai di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Azlin. Jadi kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu. Kami mendoakan bagi yang beragama Islam semoga roh mereka dicucuri rahmat dan diletakkan di dalam golongan yang soleh.

Saya yakin sumbangan dan jasa yang telah dilakukan oleh Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis akan memberangsangkan kami dalam menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen sebab Allahyaraham rapat juga dengan BNBBC dan juga dengan parlimen selain memegang jawatan sebagai Menteri ataupun sebagai Duta yang ada hubungkaitnya dengan kedudukan negara dengan dunia luar.

Yang keduanya, saya ingin menyatakan bahawa sebagai BNBBC, kami, hari ini kalau nak dibandingkan dengan keadaan sebelumnya, kita sendiri melihat bagaimana parlimen sedang menjadi bertambah mantap peranannya sebagai institusi parlimen dalam sistem politik negara.

Kami sebagai Ahli Parlimen biasa yang menjadi Back Benchers (BNBBC), menyokong kerajaan, melihat bahawa kedudukan parlimen semenjak kepimpinan Tun Abdullah Badawi dan diteruskan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, bukan macam dahulu di mana kita lihat bahawa eksekutif tidaklah begitu dominan kalau dibandingkan dengan masa-masa yang lampau.

Sebab itu kami sebagai Ahli Parlimen biasa memang merasa lebih perkasa dalam memainkan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen biasa. Itu saya rasakan merupakan satu-satunya yang tiada siapa boleh menafikan dan kami sedia menunjukkan contoh-contoh di mana kami bukannya Ahli Parlimen yang dikatakan buta tuli sahaja apa sahaja eksekutif arah kami ikut, sebaliknya apa yang rakan-rakan saya saksikan ialah beberapa kali pandangan kami sebagai Ahli Parlimen biasa diambilkira oleh eksekutif. Sehingga ada Rang Undang-Undang (RUU) atau Pindaan kepada RUU yang nak dibentangkan ditarik balik selepas teguran dan pandangan kami.

Ini bukan satu keadaan yang biasa pada masa dahulu. Jadi sebab itu kita lihat bahawa, umpamanya baru-baru ini walaupun satu RUU pindaannya baru dibahaskan di dalam Dewan Rakyat tetapi di atas teguran dan pandangan daripada Ahli Parlimen biasa, maka Kerajaan telah menarik balik pindaan itu. Kerana kami rasa kepentingan dan keadaan pindaan itu tidak menguntungkan pada rakyat.

Selain daripada itu kita lihat bahawa dalam perkembangan dalam peranan Ahli Parlimen, kita sendiri boleh memberikan pandangan secara ikhlas kepada pucuk pimpinan dan tentang perkara-perkara yang nak dibahaskan. Dan kedudukan institusi parlimen itu sendiri sudah lebih diperkasakan dan ini ialah hasil secara terus daripada fahaman dan falsafah kepimpinanan dan falsafah politik Datuk Seri Mohd Najib sendiri sebagai Perdana Menteri di mana Parlimen sebagai institusi politik negara dimartabatkan, diperkasakan.

Saya bagi contoh, dalam soal1MDB umpamanya di mana cadangan dari saya sendiri disampaikan kepada Perdana Menteri suopaya diberikan kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk menyiasat supaya bila Ketua Audit menyiasatnya, dia akan bawa hasil penyiasatan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Yang penting, Datuk Seri Mohd Najib bersetuju di atas cadangan yang telah saya kemukakan dan saya pun pernah menjadi Pengerusi PAC di mana soal PKFZ telah dibicarakan dan disiasat oleh PAC sehinggakan kita lihat bagaimana PKFZ itu telah di bawakan ke mahkamah sampai ada bekas menteri yang terlibat dengan tuduhan di mahkamah dan hari ini masih ada kes-kes dibawa ke mahkamah hasil daripada PKFZ di mana parlimen sendiri melalui PAC telah terlibat dalam penyiasatan perkara ini.

Oleh itu bila Datuk Seri Najib dan kabinet bersetuju untuk parlimen memainkan peranan akhirnya bila hasil siasatan dan laporan Ketua Audit Negara dibawa kepada PAC, bermakna institusi parlimen itu akan lebih diperkasakan dan dalam soal ini lebih melibatkan wakil rakyat bukan sahaja dari Barisan Nasional (BN) tetapi juga dari pelbagai parti. Itu satu contoh menunjukkan di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib, peranan parlimen itu diutamakan.

Keduanya, ialah apabila soal TPPA pertama kalinya dibahaskan oleh parlimen sebelum ditandatangan atau dipersetujui oleh kerajaan. Biasanya ikut sistem pentadbiran sistem politik, soal treaty antara Malaysia dengan negara-negara lain tidak dibawa ke parlimen, ianya hanya berada di peringkat eksekutif untuk memutuskan. Tetapi kali ini TPPA sebagai salah satu perkara yang sungguh besar, melibatkan masa depan ekonomi negara, Datuk Seri Mohd Najib bersetuju untuk dibahaskan dahulu di peringkat parlimen memutuskan samada Kerajaan boleh memberi persetujuan atau tidak untuk memulakan TPPA.

Ini adalah antara contoh-contoh yang membuat kami sebagai Ahli Parlimen BN merasakan bahawa dari segi kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri dan kabinet yang sedia ada bahawa ianya membawa kepada satu keadaan di mana parlimen dan kami sebagai Ahli Parlimen biasa yang kadang-kadang dituduh sebagai menyokong membuta-tuli tanpa berfikir apa-apa, tak ada pertimbangan yang lain, hanya ikut arahan atas, sebenarnya tak benar, malahan kami dihormati dan diberikan peluang untuk menyatakan pandangan dan apatah lagi ia menunjukkan eksekutif negara ini, iaitu Perdana Menteri tidak dominan dalam keadaan hari ini.

Ini berterusan. Soalnya strategi ini berkesan dan saya lihat apabila diadakan perbahasan tentang soal hudud umpamanya, pindaan kepada akta jenayah syariah, akta 355 sejak mula saya mengutarakan supaya ia akan menjadi undi suara hati – sebenarnya kami BN yang pertama yang menyatakan undi ini harus dibuat mengikut suara hati. Kita belum dengar umpamanya dari PKR atau DAP mahupun PAS sendiri menyatakan ini bukan soal Whip. Saya tak nampak pihak eksekutif menentang atau kepimpinan UMNO mengatakan ini kena ikut Whip.

Ini saya lihat satu perkembangan yang memang harus dihormati di atas peranan kita walaupun sebagai Ahli Parlimen Biasa.

Soal BNBBC hanya wujud pada akhir-akhir bukan sesuatu yang baharu. Ianya lebih mantap semasa pada akhir pentadbiran dan kepimpinan Tun Dr Mahathir tetapi kemudian itu apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambilalih, saya dilantik sebagai pengerusi BNBBC dan keadaan ini berterusan sampai sekarang.

Tetapi kita berada dalam keadaan yang agak bebeza. Kalau dulu boleh dikatakan BN selesa dengan dua pertiga. Biasanya begitulah, kalau terlalu selesa dengan kedudukan yang selesa, mungkin eksekutif merasakan semuanya boleh dibuat tanpa runding betul-betul dengan Ahli Parlimen biasa. Jadi suasana politik hari ini saya rasakan lebih perlukan kepada muafakat dan kekuatan, persefahaman di antara eksekutif dan parlimen termasuklah terutamanya di kalangan Ahli Parlimen biasa BNBBC.

Soalan: So gone are the days of rubber-stamp and blind support?

We are not a rubber-stamp. Why we are saying this? Because we are standing behind the leadership of the Prime Minister. He is able to adjust and lead us during a time which is different from the previous time. So, at a time when BN is dominant, therefore maybe the executive can be dominant. Therefore there could be more rubber-stamping. But even so in those days I remember during my time. But definitely the leadership of Datuk Seri Najib is able to adjust to the new political reality.

So if we are feeling happy in our role as members of parliament, therefore we want to stand behind his leadership.

Soalan: Dalam keadaan Perdana Menteri sekarang ini diasak oleh Tun Dr Mahathir, apa nasihat BNBBC?

Kami ada berbincang dengan Perdana Menteri. Kami rasakan bahawa di mana yang boleh kami jawab, terutamanya dari segi soal pembelian jet, 1MDB, GST, BR1M – ini semua kita boleh jawab. Tetapi kami juga nasihat dan beri pandangan kepada Datuk Seri Najib bahawa tentunya mesti sampai masanya untuk dia juga memberi jawapan dia. Kerana inipun saya ingat tak menjadi masalah untuk Datuk Seri Mohd Najib memberi jawapan kerana isu ini kadang-kadang kita tak bolehlah kata kita hanya buat tak tahu. Saya percaya Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan memberi jawapan kepada tuduhan-tuduhan ini. Tetapi perkara yang BR1M, GST, jet dan sebagainya bukanlah perkara yang besar sangat. Ia boleh diatasi. Boleh dijawab. Senang.

Macam kes Altantuya, bagi kamilah kes ini berlaku lapan tahun dulu sebelum Datuk Seri Mohd Najib menjadi Perdana Menteri pun dan ia melalui proses perundangan. Sudahpun sampai ke peringkat yang paling tinggilah. Saya rasa pelik apabila orang itu sudah didapati bersalah, macam lebih bernilai pula kenyataannya. Patutnya masa kes dikendalikan di mahkamahlah kenyataan-kenyataan dibuat. Kami tak ada keraguan dari soal kedudukan Datuk Seri Mohd Najib dalam kes ini kerana sebagai seorang Muslim kami menyaksikan bagaimana dia melaksanakan sumpah laknat secara ikhlas. Kita ini bukan manusia yang ikut undang-undang sahaja. Soal agama, akidah juga menjadi sebahagian daripada kami.

Soalan: BNBBC tak mahu desak AG untuk ke depan bagi menjawab tuduhan Tun M berhubung Altantuya?

Ag nak tuduh siapa pula? Kes sudah ditutup. Proses mahkamah dah habis. Pesalah sudah dihukum.

Soalan: Kritikan Tun M itu semakin berterusan, macam tak boleh stop?

Tun Dr Mahathir ini lebih tua sedikit daripada saya dan lebih berpengalaman. Pada saya, saya rasa kalau dikatakan Tun Mahathir lakukan ini kerana sayang dan menghargai parti, sayang dan cinta kepada parti, kami juga mempunyai perasaan yang sama. Sebagai Ahli Parlimen BN tanggungjawab kami ialah mempertahankan kerusi yang telah kami menang. Kami rasa yakin dengan usaha yang kami lakukan ini bahawa setiap kerusi yang kami telah menang akan dipertahankan dan ianya akan dilakukan bersama-sama dengan kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri. Pada kami ialah soal memenangkan BN dalam Pilihanraya yang akan datang.

Dengan apa yang kami lakukan, lawatan yang dibuat, kerja yang buat, kami rasa tanggungjawab kami untuk mempertahankan kerusi yang BN menang pada pilihanraya ke-13 akan kita pertahankan dalam PRU ke-14.

Soalan: Sekiranyalah Tun M masih terus menerus attack PM adakah Tan Sri bagi pihak BNBBC bercadang face to face dengan Tun M?

Face to face, one-on-one telah dilakukan oleh rakan-rakan saya termasuk Perdana Menteri. Saya bagi contoh, masa Tun Dr Mahathir menyerang Tun Abdullah Ahmad Badawi, saya berdiam kerana kami pun dah tahu sebenarnya Tun Abdullah Ahmad Badawi akan meletakkan jawatan setelah pilihanraya ke-12. Kami memang dah tahu. Sebab itu serangan itu kita tak jawab secara terang dan kita tidak mahu ada ketegangan.

Tetapi kali ini ianya sudah masuk peringkat secara terbuka. Kalau dikaitkan Tun Dr Mahathir sayangkan parti, kami pun sayangkan parti. Kami rasa kalau sayangkan parti ini bukan caranya. Tetapi kalau kita diam saja, ia tak kan bawa kepada kesudahannya. Sebab itu pada hari ini tujuannya ialah untuk menyatakan sebagai Ahli Parlimen biasa, pertamanya kita bukan golongan rubber-stamp, buta-buta menyokong. Kami berdiri bersama dengan Perdana Menteri kerana kami sudah lihat bagaimana perubahan dan keadaan yang sebenarnya kami rasa begitu puas hati dan seronok dengan peranan kami sebagai Ahli Parlimen BN.

Saya rasa Tun Dr Mahathir tidak akan tahu apa yang kami lakukan di peringkat akar umbi, di peringkat kawasan parlimen. Ini orang atas-atas. Kami orang yang jaga bawah. Jadi kami lagi dekat dengan rakyat dan pengundi. Saya pelik tengok, kadang-kadang apa yang orang atas-atas ini bercakap tak ambil kira sebenarnya keadaan dan kenyataan di bawah. Jadi sebab itu kami biasa diam ajalah. Tetapi kali ini kenalah kita nyatakan, sebagai Ahli Parlimen yang duduk mewakili akar umbi dan rakyat biasa, kami berpuashati dengan kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Soalan: Perhaps Tun M was wrongly advised?

Apapun advise yang kami terima kita juga yang akhirnya yang bertanggungjawab.

Soalan: At the end of the day, PM will still have to answer all this?

It’s not about having to answer. He will. I am confient he will answer.

Soalan: Tapi kali ini nampak Tun M macam personal sangat?

Very personal. Dah terlalu direct. Personal. Itu yang kita berdiri menjawab ini. Kalau tidak kalau cakAp-cakap biasa sahaja kita diam. Yang peliknya, rakan-rakan saya ada pergi jumpa Tun M, cakap dengan dia. Datuk Seri Najib pun sendiri pernah berjumpa. Saya pun tanya Datuk Seri Najib, apa halnya Tun M dengan you ini? Jawab dia – hot and cold. Ada masa panas, lepas tu sejuk. Dia pun confuse. Bukan pasal kami tak mengambil berat tetapi dalam keadaan itu memanglah kita serahkan kepada kedua-dua tokoh untuk berbicara. Tetapi kalau dah peringkat tokoh berbicara tak dapat dilaksanakan, jadi sebagai wakil kepada parti dan kawasan, sebagai Ahli Parlimen biasa, kami perlu menyatakan pendirian kami.

Soalan : Rakan-rakan dan Tan Sri sendiri pernah jumpa Tun M tapi makin keras pula serangannya?

Dia tak ada linkage ya. Kadang-kadang nakal sikit dia punya soalan. Bukan kerana kita dah jumpa Tun effect dia jadi begini. Jadi baik-baik sikit. Tanya betul-betul ya (dalam nada seloroh).

Soalan: Minta komen pasal Akta dadah berbahaya (Ketum).

Bila kita minta ditarik balik undang-undang itu, ia tak berlaku dalam dewan. Ada juga RUU nak dibawa ke parlimen. Kami masa berbincang dengan menteri berkenaan, kami kata No, minta maaf, bukan masanya. Harus diperhalusi lagi. Pun ada berlaku juga tetapi kita tak isytihar.

Hari ini kalau kita berjumpa ada orang tanya apa pasal kita sokong Datuk Seri Najib? Kita kata kita happy with him and his leadership.

Wednesday, December 3, 2014

Blogger #Bangang - Apa kisah sebenarnya? @NajibRazak



“Saya setuju kata Datuk Zahid yang kata bloggers kita ni kadang-kadang tembak kita. Dalam istilah perang, friendly fire. Friendly fire is not friendly" 


“Bloggers kita ni cari makan dengan siapa? Pergilah tembak pembangkang. Itu cara kita nak menang dalam peperangan. Jangan perang sesama sendiri. Tak masuk akal. Bangang,”


Inilah kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah menimbulkan begitu banyak perdebatan di dalam blogsfera UMNO dan pembangkang. Ada yang mengikut nasihat, namun tidak kurang yang terus `membangangkan' diri.


Malaysian Insider berjaya memanipulasikan pemikiran ramai, termasuk blogger UMNO, apabila menambah perkataan `UMNO' di dalam tajuk dan laporannya. 


Blogger dan penggiat maya UMNO yang hanya merujuk sumber pro-pembangkang terperangkap dengan menipulasi ini dan akhirnya berbalah sesama sendiri.

Dengar daripada minit ke-39 hingga minit ke-41, Datuk Seri Najib kata "Kalau parti nak kuat, jagalah pemimpin-pemimpin kita. Kalau dia bersalah pun tegurlah dengan baik, supaya parti kita kuat", merujuk kepada sikap penyokong pembangkang yang mempertahankan pemimpin mereka walaupun bersalah dan ada isu moral.

Pada minit ke-44, Datuk Seri Najib menyebut bahawa pemimpin pembangkang lebih teruk daripada pemimpin UMNO. "Jangan serang kita, serang pembangkang." Kemudian barulah beliau menyebut tentang tindakan blogger menyerang pemimpin (UMNO/Kerajaan)

Ada dua perkara yang perlu dijelaskan:-

Pertama, Datuk Seri Najib tidak menggunakan perkataan `Blogger UMNO' sebaliknya blogger kita, yang memberi maksud blogger pro-BN, tidak semestinya mereka blogger UMNO. Dalam sfera siber, blogger pro-BN terdiri daripada banyak kumpulan, termasuk jentera parti dan blogger bebas.

Sebagai mantan pengerusi jentera siber UMNO, Unit Media Baru (UMB), saya suka menyatakan bahawa memang menjadi salah satu daripada syarat dan garis paduan untuk bersama dengan UMB adalah tidak boleh menyerang parti dan pemimpin parti. Tidak mengapa jika mahu mengkritik, tetapi mesti membina dan seboleh-bolehnya berusaha menggunakan saluran yang ada terlebih dulu. Memang ada kes blogger dan facebooker yang menarik diri kerana tidak sanggup mengikut peraturan ini. 

Peraturan ini penting kerana UMB adalah jentera parti. Adalah menjadi kesalahan untuk menyerang pemimpin UMNO secara terbuka seperti yang termaktub dalam peraturan parti dan mereka boleh dihadapkan ke hadapan Lembaga Disiplin UMNO.

Bagaimanapun terdapat blogger pro-UMNO dan pro-kerajaan yang bukan jentera parti yang tidak terikat kepada peraturan ini. 

Kemungkinan besar blogger bebas inilah yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Najib yang mempersoalkan mereka ni "cari makan dengan siapa?" 

Konteksnya, siapa `towkey' atau `paymaster' mereka sehingga mereka ini tidak memfokuskan serangan kepada pemimpin pembangkang, sebaliknya menyerang pemimpin parti dan kerajaan?

Kedua, yang ingin ditekankan oleh Datuk Seri Najib bukan pelaku atau medium yang digunakan, tetapi PERBUATAN. Perbuatan menyerang pemimpin dan sesama sendiri ini yang ditekankan sebagai perbuatan yang melemahkan parti dan disifatkan sebagai BANGANG. 

Memang susah nak mengatakan tindakan menyerang pemimpin dan parti sendiri sebagai tindakan yang cerdik. Walaupun penyokong pembangkang tidak mengikut ajaran Islam, tetapi dalam hal SOLIDARITI dan KETAATAN kepada pemimpin, mereka mengikut jaran Islam, sehingga mereka dapat mempertahankan pemimpin dan `jemaah' mereka.

Tidak kisah, jika mereka BLOGGER, FACEBOOKER, TWITTERER atau PEMIMPIN UMNO sendiri, jika mereka menyerang pemimpin dan parti secara terbuka, tindakan ini bukan sahaja tidak bijak malah boleh melemahkan parti.

Jangan jadi mangsa manipulasi medium pro-pembangkang dan bergaduh sesama sendiri akibat tidak mahu merujuk sumber asal sesuatu berita. 


Rujuk video penuh ucapan penggulungan Datuk Seri Najib Tun Razak:-

Saturday, February 15, 2014

Analisis #PRKKajang vs #Kajang, masih ramai pemimpin BN yang #SyokSendiri? @NajibRazak #KajangMove




Pemimpin BN syok sendiri sebab Barisan Nasional kalah perang siber - Khairy


Masih ingat artikel ini? 

Analisis #PRKKajang vs #Kajang - Bukti Pemimpin BN #SyokSendiri ... @NajibRazak

Artikel ini telah mengesah dan memperkukuhkan kenyataan YB Khairy Jamaluddin bahawa pemimpin BN syok sendiri dan itu mengakibatkan BN kalah dalam perang siber.

Dalam artikel ini saya telah menyimpulkan bahawa - 

".. pemimpin UMNO dan BN sebenarnya TIDAK KELIHATAN, TIADA KEHADIRAN DAN DISENGAGED dari kedua-dua hashtag tersebut. Sedangkan Pemimpin PR, ada presence, visible, memberi kesan/input dan ENGAGE dalam perbualan menggunakan kedua-dua hashtag tersebut."

Fenomena ini berlaku mungkin kerana pemimpin UMNO/BN :-

1. tidak berminat

2. pandang remeh

3. terlalu sibuk dengan perkara lain

4. pegawai media sosial malas dan tidak beri nasihat, atau

5. SYOK SENDIRI

dan saya nak tambah satu lagi - 6. JAHIL TENTANG SOSIAL MEDIA, menyebabkan mereka tidak tahu bagaimana untuk terlibat dan mengukur penglibatan mereka serta prestasi penasihat-penasihat dan pengendali-pengendali media sosial mereka.

Hari ini selepas hampir seminggu, nampaknya terdapat sedikit perubahan di kalangan pemimpin BN. Jika sebelum ini kehadiran mereka mungkin tidak kelihatan, namun pada 14 Februari 2014, kehadiran sejumlah kecil daripada mereka sudah mula kelihatan. Mari kita lihat prestasi mereka untuk #PRKKajang dan #Kajang.

1 - Analisis #PRKKajang



Analisis Rankings Penyumbang 


Analisis REACH - Lebih ramai pemimpin UMNO/BN sekarang - Didahului oleh @AnwarIbrahim, @NajibRazak, @TunFaisal, @KhairyKJ, @TengkuAdnanREAL, @RafiziRamli dan @Khalid_Ibrahim


Analisis IMPACTS - Didahului oleh @TunFaisal, @NajibRazak, @KhairyKJ, @TengkuAdnanREAL, @AnwarIbrahim, @RafiziRamli dan @Khalid_Ibrahim


2 - Analisis #Kajang



Analisis Rankings Penyumbang - seperti di atas, paling ramai adalah 
di kalangan bekas penggiat UMB atau UMB-X 


Analisis REACH juga menunjukkan SEMAKIN ramai pemimpin UMNO/BN sekarang - Didahului oleh @AnwarIbrahim, @Tun_Faisal, @KhairyKJ, @NajibRazak, @TunFaisal, @TanKengLiang, @TengkuAdnanREAL, @AhmadMaslan, @ShaberyC, @AzwanBro, @DrNovandri dan @AzminAli



Analisis IMPACTS menunjukkan trend didahului oleh @KhairyKJ, @TunFaisal, @NajibRazak, @AnwarIbrahim, @TengkuAdnanREAL, @AhmadMaslan, @ShaberyC, @TanKengLiang, @AzwanBro, @DrNovandri dan @AzminAli.


Alhamdulillah, nampaknya ada sejumlah pemimpin UMNO/BN dan penasihat-penasihat media sosial mereka yang peka tentang apa yang perlu dibuat supaya tidak kelihatan SYOK SENDIRI seperti mana yang disimpulkan oleh YB Khairy dalam wawancaranya bersama Berita Harian.

Begitupun, masih ramai pemimpin UMNO/BN dan penasihat-penasihat beserta punasihat-punasihat media sosial mereka yang masih tidak peka dengan perubahan lanskap politik dan komunikasi hari ini. Atas sebab itu, mereka tidak kelihatan dalam perbualan #PRKKajang dan #Kajang.

Nasihat yang sama ingin saya berikan :-

Tidak guna mempunyai jumlah follower yang ramai atau klout score yang tinggi jika anda tidak memanfaatkannya. Pegawai Media Sosial anda seharusnya menasihati anda mengenai perkara ini?

Mereka dibayar oleh Kerajaan Malaysia untuk menasihati anda di pejabat menteri dan kementerian masing-masing! Walaupun mungkin tidak sebanyak yang dibayar oleh di Perbadanan Kemajuan Negeri tertentu sehingga ada yang dipecat baru-baru ini, tetapi mereka masih dibayar. Jadi manfaatkanlah sepenuhnya nasihat mereka dan UKURLAH PRESTASI mereka...


* Nota - Gembira dan tumpang bangga melihat prestasi rakan-rakan seperjuangan yang pernah bersama di dalam UMB dulu.. gerak kerja mereka masih tersusun dan terukur seperti sebelum ini.

Popular Posts