Thursday, January 7, 2010

Suara ulama sebenar dinantikan....


Jumaat ini, Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) bersama sejumlah NGO lain akan menganjurkan perhimpunan aman di hadapan Masjid Negara untuk membantah perkataan `God' diterjemahkan kepada `Allah'. Diberitakan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pula akan menganjurkannya di Masjid Kampung Baru (lebih elok jika dapat disatukan agar solidariti ummah dapat ditunjukkan). Di Shah Alam, sekumpulan blogger sedang berusaha untuk menganjurkan bantahan yang sama di Masjid Shah Alam. Diberitakan di Melaka, Terengganu dan negeri-negeri lain, pelbagai NGO berasaskan Islam akan mengadakan bantahan ini secara aman.

Sebagai individu Muslim, saya akan hadir untuk menyatakan sokongan di Masjid Negara; walaupun ikutkan hati, saya mahu mengadakan protes di kawasan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang menjadi antara individu yang menyokong perkataan God ini diterjemah kepada Allah.

Saya akan hadir, walaupun hanya selama lima minit selepas solat Jumaat sebagai individu Muslim yang sedar bahawa saya mempunyai tanggung jawab untuk mempertahankan aqidah generasi Muslim masa hadapan, menghalang kekeliruan di kalangan umat islam dan bukan islam yang berminat untuk menganuti agama Islam; dan bersungguh-sungguh menjaga kesucian kalimah Allah daripada disamakan dengan mana-mana bentuk Tuhan yang lain.

Isunya mudah saja - jangan diterjemahkan `God' itu kepada `Allah' kerana terjemahan paling tepat dalam bahasa Melayu adalah `Tuhan'. Tuhan boleh mengambil apa saja nama seperti Tuhan Bapa, Jesus, Roh Kudus, Zeus, Aprodite, Kuan Yin, Vishnu, Dewa Monyet dan mengambil apa-apa bentuk seperti batu, berhala, kayu, matahari, bulan dan bintang. Namun `Allah' tidak mungkin sama dengan Tuhan Bapa atau Jesus atau Roh Kudus, salah satu daripada mereka atau ketiga-tiganya.

Walaupun ada hujah yang mengatakan terjemahan Arab kepada God dalam Bible adalah Allah, penjelasan mengenainya dan perkataan Tuhan, iaitu `al-Ilah dan rabb telah diterangkan dalam artikel "Soalan untuk umat Kristian..." .

Saya telah menghuraikan hujah-hujah saya dan memberi pautan terhadap pandangan berkaitan
isu ini dalam tulisan saya "Bangkit dan tentang keputusan terjemah `God' sebagai `Allah'", "Bantahan penggunaan nama Allah oleh Gereja - failkan rayuan segera" , "Kalimah Allah - Tun M dan Ustaz Nasharuddin nyatakan kebimbangan" , "Allah itu ESA - hari ketiga yang memberansangkan" dan "Soalan untuk umat Kristian.."

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Harun Din, sesiapa yang menyokong terjemahan ini boleh jatuh kufur. Malangnya Pas masih memilih untuk berpolitik dengan tiga versi kenyataan akhbarnya. Lebih malang lagi apabila Pas tidak memilih untuk bergabung tenaga menolak terjemahan God sebagai Allah, sebaliknya telah menuduh bahawa ia adalah permainan politik UMNO yang telah saya sangkal dalam artikel "Mahfuz ini bukan soal politik".

Amat malang kerana Pas tidak boleh diharapkan untuk memelihara kesucian nama Allah dan aqidah Muslim. Tidak mungkin umat Islam Malaysia boleh mengharapkan PKR dan DAP yang dipenuhi penganut `agama' sosialisme!!!

Mujurlah ada PERKASA, ABIM, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan NGO-NGO lain yang benar-benar mahu berjuang. Jika Pas mahu bermain politik kerana Pilihan Raya Negeri Sarawak, suka saya ingatkan di sini, jika pun ada sebarang perubahan, yang mendapat keuntungan besar, bukan Pas tetapi DAP dan PKR. Malanglah jika kesucian Allah dan agama Islam diperjudikan semata-mata atas kepentingan poltitik. Sukar sangatkah Pas mengeluarkan kenyataan tegas bahawa mereka tidak bersetuju `God' dalam Bible diterjemahkan sebagai Allah? Seorang Kristian bernama Michael Sibinil nampaknya lebih boleh diharapkan berbanding golongan berpendidikan agama dalam Pas.

Tahniah saya ucapkan kepada enam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Selangor, Kedah, Terengganu, Melaka dan Johor serta Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) yang turut hadir untuk berjuang dan berhujah di kamar Hakim. Inilah semangat yang ingin kita lihat.

Cuma apa yang saya kesalkan ialah saya masih menanti satu kumpulan atau gabungan ulama Islam yang bebas yang benar-benar mewakili suara Islam sebenar, bukan suara politik, yang BERSATU dan TEGAS dalam isu ini. Adakah golongan ulama kita juga membawa haluan sendiri dan sukar untuk bersatu? Bukan atas perkara yang sukar pun, hanya untuk menyatakan bahawa perkataan terbaik untuk menterjemahkan `God' dalam Bible ke dalam bahasa Melayu adalah `Tuhan'. Berdebatlah seperti Ahmad Deedat berdebat dengan paderi Kristian dan nyatakan pendirian tuan-tuan semua sebagai Hujjatul Islam!!!

Jika tuan-tuan gagal untuk menunjukkan contoh yang baik kepada umat Islam, adakah tuan-tuan fikir mereka boleh menjadi umat islam yang bersatu? Benarlah kata Rasulullah saw bahawa setelah kewafatan baginda, umat Islam akan lemah; "walaupun mereka lebih ramai, tetapi tidak berguna, tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di lautan".

Jumaat ini, marilah kita bersama-sama meramaikan solat Jumaat dan menyuarakan bantahan secara aman di Masjid Negara. Rakan-rakan di negeri lain, sertailah perhimpunan di masjid-masjid di tempat saudara. Lakukanlah dengan niat bahawa kesucian Allah dan agamanya wajib dipertahankan.

Bezakan perhimpunan aman kita dengan yang dianjurkan oleh parti pembangkang. Pertama, kita tidak mempertikai integriti mahkamah dan hakim, sebaliknya kita merasakan hakim terkhilaf dalam mentafsirkan beberapa perkara fakta kes. Kedua, jangan berarak ke jalanan, merusuh dan menyusahkan orang ramai. Ketiga, mengikut peraturan yang ditetapkan, dan bersurai apabila diminta oleh pihak berkuasa. Keempat, tidak mengeluarkan perkataan yang menyinggung perasaan penganut agama Kristian dan agama lain. Berikan contoh yang baik kepada kebebasan bersuara dan jangan jadi seperti mereka.

Innallaha ma'ana - sesungguhnya Allah bersama kita...

3 comments:

Shah said...

sy setuju.. kalau nak berkumpul sebaiknya jangan ganggu kawasan awam, terutamanya jalan raya.. cukup di sekitar masjid sahaja.. asalkan mesej kita sampai.. dalam menyatakan rasa tak puas hati, kena jaga akhlak juga..

Abu Faiq said...
This comment has been removed by the author.
Abu Faiq said...

Assalamu 'alaikum sdra TFI & semua yang melayari blog ini,

Sementara menanti suara daripada para ulama', boleh juga kita berdailog bil khasanah dengan kaum ini tentang akidah mereka. Antaranya, tanyakan

1 apakah sah pembaptisan, dan paderi-paderi para pembaptis masih dikira menanamkan keimanan yang sebenar [the truth] tentang ajaran Jesus Christ di kalangan penganut [baru] Kristianiti jika di dalam upacara pembaptisan mereka tidak lagi dilafazkan 'in the name of God the Father [tuhan Bapa], the Son [tuhan Anak], and of the Holy Spirit [& Rohul Kudus], sebaliknya
dengan lafaz 'dengan nama Allah'? Walhal, jika rukun yang menjadi tiang agama itu mahu ditaati secara serius sebagai salah satu tonggak akidah di dlm Kristianiti, mereka tidak boleh sama sekali secara sewenang-wenang merubah dan menukar ajaran Jesus yang di dalam Bible memrintahkan agar [maksudnya], "Baptislah atas nama God the Father, the Son and of the Holy Spirit'.

2 Apakah tidak menjadi satu kekeliruan besar terhadap cara berakidah di kalangan penganut Kristianiti jika di dalam upacara pembaptisan dilafazkan ' in the name of God the Father, the Son, and of the Holy Spirit' sementara di dalam Mass dan sermon digunakan Allah pula? Mana satu - secara authentiknya - autoriti yang 'the highest'?

3 Jika kekeliruan-kekeliruan di dalam cara berakidah ini - yang secara jelas dan secara langsung - sangat menghuru-harakan pemikiran beragama, & sangat fatal terhadap kepercayaan kepada konsep
'spiritual gift of the Holy
Spirit', maka 'speaking of the tongue' pun masih berlaku melalui
pembaptisan yang menggunakan kalimah Allah?

4 Apakah dengan segala kekeliruan ini bererti tidak ada konsep murtad [blasphemy] di dalam Kristianiti?

Popular Posts