Thursday, June 25, 2009

Papan putih interaktif - kita masih ketinggalan

Dalam sebuah bengkel seminar para menteri sempena The British Educational Technology Show (BETT 2007), apabila peserta-peserta dari pelbagai negara ditanya tentang apa yang mereka harapkan ada di sekolah mereka berdasarkan keutamaan, hampir 70 peratus menyatakan interactive whiteboard atau papan putih interaktif (IWB). Mereka diminta memilih antara akses jalur lebar, `connectivity’, komputer peribadi (desktop dan notebook) dan beberapa item pembelajaran berasaskan teknologi maklumat (IT). Respon ini menunjukkan bahawa peserta-peserta ini melihat kegunaan besar papan putih di dalam kelas di sekolah-sekolah negara mereka.

Direkodkan hampir 600,000 papan putih interaktif dijual di seluruh dunia menghasilkan jualan mencecah US $1 billion dalam tahun 2008. Dianggarkan setiap satu daripada enam kelas di dunia akan mempunyai papan putih interaktif menjelang 2012.

Dikatakan juga dalam tahun 2004, hanya 26 peratus sekolah rendah di British mempunyai papan putih interaktif. Namun dalam tempoh tiga tahun, menurut bancian British Educational Communications and Technology Agency (Becta) 2007, 98 peratus daripada sekolah rendah dan 100 peratus sekolah rendah British telah mempunyai papan putih interaktif.

Bagi golongan yang sinikal terhadap teknologi, papan putih interaktif hanyalah sekadar satu lagi perkakasan dalam pendidikan. Bagaimanapun bagi ramai pihak di seminar para menteri tersebut, ia bukan sekadar perkakasan IT, tetapi apabila digandingkan dengan perisian interaktif yang baik dan mesra pengguna, connectivity, akses jalur lebar yang berkesan serta latihan kepada guru, ia berupaya untuk mengubahkan pendekatan, mood dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam kelas.

Dengan perisian,`features’ dan aplikasi yang disertakan dengan papan putih interaktif ini, guru-guru boleh membangunkan bahan-bahan P&P dengan begitu mudah dan boleh menambah baikkannya dari semasa ke semasa. Dengan jumlah pengguna (user base) yang tinggi di seluruh dunia, mereka juga boleh berkongsi bahan P&P dan memuat turunkannya dari capaian web tertentu. Ini banyak menjimatkan masa mereka untuk menyediakan bahan P&P.

Pendekatan dengan murid di dalam kelas juga menjadi berbeza. Murid turut dilatih menggunakannya untuk belajar dan membentangkan tugasan. Semua ini akhirnya menjadikan persekitaran P&P dalam kelas amat interaktif dan tidak membosankan walaupun di sekolah tertentu di UK, waktu kelas boleh mencecah sehingga 160 minit!

Justeru tidak menghairankan jika ramai guru di United Kingdom (UK), Australia dan Canada dan begitu teruja menggunakannya di dalam kelas sehinggakan mereka tidak lagi boleh mengajar dengan baik tanpa papan putih interaktif. Lawatan saya ke beberapa buah sekolah di Australia dan UK menunjukkan guru bagi semua subjek amat bergantung pada `features’ yang ditawarkan oleh papan putih interaktif ini.

Di Malaysia, saya difahamkan papan putih interaktif telah diperkenalkan seawal tahun 2002 di Maktab Tentera Di Raja Malaysia (MTD). Mungkin hari ini, MTD adalah satu-satunya sekolah kerajaan di Malaysia yang mempunyai papan putih interaktif di dalam setiap kelas. Ini menjadikan pelaksanaannya efektif kerana guru dan pelajar tidak diberi sebarang pilihan, melainkan terpaksa membudayakan diri menggunakan papan putih interaktif dalam P&P.

Papan putih interaktif telah diperkenalkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada tahun 2004. Bagaimanapun strategi pelaksanaannya di Malaysia yang agak bercelaru menimbulkan banyak persoalan.

Di peringkat awal, pada tahun 2005, iaitu sebelum Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) diumumkan, sejumlah sekolah yang baik telah diberikan papan putih interaktif agar ia dapat digunakan secara rintis. Pada tahun 2006, lebih banyak lagi jenama dan perisian papan putih interaktif ini dirintis. Lebih banyak sekolah lagi dilibatkan.

Peliknya, sebelum program rintis ini sempurna, difahamkan KPM telah membeli sejumlah apparatus papan putih interaktif untuk sejumlah sekolah luar bandar. Ada yang beranggapan pembelian ini tidak dibuat atas penilaian yang strategik dan tanpa strategi yang betul, pembelian satu atau dua unit untuk sebuah sekolah tidak mungkin berupaya mengubah budaya serta pendekatan P&P guru di dalam sekolah tersebut.

Lebih menghairankan, pembelian papan putih interaktif untuk sekolah-sekolah ini dibuat pada ketika 88 buah Sekolah Bestari masih belum dilengkapkan dengan sebarang papan putih interaktif, melainkan kelas yang terlibat dengan projek rintis sahaja.

Apa pun, dari maklum balas yang diterima, ramai guru di sekolah yang terlibat dalam projek rintis, termasuk yang dipinjamkan papan putih interaktif semasa Persidangan Sekolah Bestari Antarabangsa 2007 berminat untuk menggunakannya secara berterusan kerana mereka telah melihat manfaatnya di dalam kelas.

Saya dimaklumkan sekolah-sekolah di UK telah diperkenalkan dengan papan putih ini seawal tahun 1996 lagi. Malangnya di negara kita, walaupun ada usaha untuk melengkapkan sejumlah sekolah yang bersedia dengan papan putih interaktif dan dikhabarkan terdapat RM 10 juta diperuntukkan dalam RMKe-9 untuk tujuan ini, namun selepas lima tahun ia diperkenalkan di Malaysia, pelaksanaannya di sekolah-sekolah yang telah bersedia dari segi IT, terutama sekolah-sekolah yang bertaraf bestari, masih tidak dapat direalisasikan.

Kelewatan penjawat awam dalam bahagian tertentu di KPM berresponsif dengan perubahan adalah punca Malaysia ketinggalan dalam usaha mentransformasi P&P di dalam kelas dan sistem pendidikan berbanding negara-negara lain di dunia.

versi yang disunting "Papan Putih Interaktif meransang transformasi P&P" disiarkan dalam
Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP), Utusan Malaysia
Rabu, 24 Jun 2009

Tuesday, June 23, 2009

Hakikatnya, ada peningkatan dalam PPSMI

Malaysian Insider reported - Teaching of maths and science in English a flop
KUALA LUMPUR, June 23 — The teaching of maths and science in English the last six years has not improved the performance of students in those subjects, the education minister admitted today. “There have been changes but the difference is nominal,” said Tan Sri Muhyiddin Yassin. He said there had only been a two to three per cent change since the policy was implemented in 2003. Muhyiddin's reply drew flak from opposition MPs, who accused the government of negligence for its refusal to shut the policy down despite admitting to having problems in implementing it. Shah Alam MP Khalid Samad from PAS said it was obvious in the minister's response that the government is not fully prepared for the implementation of the policy and students are being victimised as a result.

Walaupun Malaysian Insider lebih berminat mengambil slant yang negatif, saya suka menekankan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui ada peningkatan dua hingga tiga peratus. Kenyataan ini adalah konsisten dengan kenyataan saya sebelum ini bahawa "it might not be a rosy picture, but overall there are improvements here and there."

Saya percaya sejak awal lagi, tidak ada sesiapa pun kata tidak ada masalah pelaksanaan. Misalnya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pernah menyebut masalah PPSMI adalah masalah pelaksanaan seawal tahun 2004 lagi. Sebagai dasar yang baru berusia enam tahun (yang sentiasa diganggu secara konsisten oleh pelbagai pihak, tidak termasuk elemen`sabotaj' dalaman) adalah logik untuk mempunyai masalah di sana sini. Begitu juga Dasar Ekonomi Baru (DEB), biarpun selepas 20 tahun, kita tahu ada masalah di sana sini, tetapi adakah kita membatalkan DEB selepas 20 tahun. Tidak, semangatnya masih dibawa sehingga hari ini melalui Dasar Pembangunan Negara (DPN) yang masih dikritik pelaksanaannya sehingga terdapat ramai yang terus merindukan pelaksanaan semula DEB.

Hasil dari penambah baikan setiap tahun sejak tahun 2003, maka terdapat sejumlah peningkatan dari segi tahap kesediaan guru dan murid. Segala peningkatan ataupun penurunan ini dicatat dengan jelas melalui sejumlah kajian yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malasyia (KPM) sejak tahun 2005 lagi. Seperti yang diakui oleh Muhyiddin ada peningkatan dalam dua sehingga tiga peratus. (Nota: saya kurang bersetuju bila KPM menggunakan kajian PEMBINA sebagai kajian yang dianggap `bebas' dalam Parlimen. Baca hujah saya kenapa - disini)

Kenyataan ini juga konsisten dengan hujah-hujah saya sebelum ini. Misalnya, dari catatan saya, saya dapati dapatan Ujian Penilaian Tahap Profesiensi (PTP) ke atas guru Bahasa Inggeris (salah satu daripada 16 kajian yang dibentangkan dalam Persidangan Meja Bulat PPSMI Pertama) yang dibentangkan menunjukkan bahawa peratus guru yang berada di tahap profisien pada tahun 2007 adalah sebanyak 32 peratus manakala yang berada di bawah tahap profisien adalah sebanyak 68 peratus, tetapi pada tahun 2008 peratus yang berada di tahap profisien ini sudah meningkat ke tahap 64 peratus dan yang berada di bawah tahap profisien pula menurun kepada 36 peratus; bermaksud ada peningkatan yang signifikan sebanyak 32 peratus.

Manakala catatan saya mengenai keputusan Ujian Diagnostik pada tahun 2006 dan 2007 misalnya, menunjukkan peratus pelajar yang memerlukan pemulihan dalam pelbagai konstruk telah menurun. Sebagai contoh, bagi konstruk Memahami Soalan dalam Bahasa Ingeris bagi subjek sains, peratus pelajar yang menghadapi masalah menurun sebanyak 13.2 peratus. Manakala bagi konstruk Menguasai Konstruk Pengetahuan bagi subjek matematik, peratus pelajar yang menghadapi masalah juga telah menurun sebanyak 20.2 peratus. (Nota: jika dibaca sebagai peningkatan pencapaian, adalah peningkatan pencapaian sebanyak 13.2 peratus dan 20.2 peratus).

Nota saya juga menunjukkan bahawa dalam kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM), Datuk Alimuddin Mohd Dom mengenai analisis UPSR, menunjukkan keyakinan pelajar untuk menjawab dalam BI bagi kedua-dua mata pelajaran telah meningkat: misalnya; bagi subjek Matematik 54.3 peratus menjawab dalam BI, termasuk 7.7 peratus menjawab dalam BI dan BM; subjek Sains, 52.6 peratus atau 268,076 pelajar menjawab dalam BI, termasuk 21.3 peratus menjawab dalam BI dan BM. (berbanding tahun 2007, kurang daripada 10 peratus)

Jumlah pelajar yang menjawab dalam BI sepenuhnya dalam peperiksaan UPSR 2008; bagi subjek Matematik - 46.6 % / 238,153 calon dan Sains - 31.1 % / 159,234 calon. Di peringkat PMR 2008 pula; bagi subjek Matematik - 26.9 % 124,209 calon dan subjek Sains - 51.2 % / 235,510 calon.

Pencapaian Murid Bandar dan Luar Bandar yang menjawab Matematik dan Sains Dalam BI berdasarkan sampel sebanyak 74% daripada pelajar yang mengambil UPSR 2008 bagi subjek Matematik – daripada 378,416 calon, jumlah yang menjawab sepenuhnya dalam BI di bandar 90,962 / 24% dan di luar bandar 125,883 / 33%. Daripada jumlah ini 29% mendapat A dan 88% mendapat ABC. Jumlah yang menjawab dalam BI dan BM /BC/BT di bandar 10,687 / 3%, di luar bandar 26,729 / 7%. Daripada jumlah ini, 16% mendapat A dan 79% mendapat ABC.

Dalam subjek Sains pula - daripada 379,018 calon, jumlah yang menjawab sepenuhnya dalam BI di bandar adalah sebanyak 70,475 / 19%, di luar bandar 71,000 / 19%. Daripada jumlah ini 26% mendapat A dan 90% mendapat ABC. Jumlah yang menjawab dalam BI dan BM /BC/BT di bandar 33,433 / 9% dan di luar Bandar 68,532 / 18%. Daripada jumlah ini, 12% mendapat A dan 84% mendapat ABC.

Kerana Islam atau kerana kuasa...?

Dari Malaysian Insider,
Pakatan says no to unity government, aims to win federal power

KUALA LUMPUR, June 22 — Pakatan Rakyat (PR) leaders today rejected Umno's unity government proposal, and proclaimed all issues surrounding the fiasco which brought the fledgling opposition coalition on the brink of collapse resolved. Following a meeting held in Parliament today, PR leaders in a joint statement reiterated their loyalty pledge to strengthen the alliance, wanting to focus instead on their preparation for the next general election and a potential takeover of the federal government. Hadi was the first to make such drastic turnabout, saying the unity government idea was ill-conceived – even by Umno themselves – and that PAS was only willing to “engage” Umno/BN on specific issues and not on Malay and Islamic unity as reported in the past.

_______________________________________________________

Sebenarnya tidak sukar untuk mengenal pasti NIAT PAS apabila membuat kenyataan bersama dengan DAP dan PKR selepas membaca berita di atas. Jelas, matlamatnya hanya satu - KUASA. Malangnya, ia bukan atas tujuan untuk menegakkan syiar Islam dan mengangkat kedudukan kaum Bumiputera, khususnya orang Melayu, hanya demi mendapatkan KUASA.

Mungkinkah PAS begitu percaya bahawa adalah lebih mudah untuk membentuk negara Islam dan menegakkan syiar Islam bersama dengan DAP dan PKR? Adakah PAS sangat yakin bahawa mereka akan mempunyai kerusi yang cukup untuk menjadi parti dominan di dalam kerajaan baru (seperti UMNO dalam BN).

Saya fikir Hadi dan Nik Aziz mungkin lupa akan sejarah empayar Islam Othmaniah yang dipecah belahkan kerana pemimpin atau ketua negaranya digula-gulakan dengan kuasa untuk memerintah negara sendiri oleh kuasa kolonialisme. Akhirnya, kerajaan Othmaniah tumbang dan empayar Islam runtuh bersama pemisahan sempadan-sempadan kuasa pemimpin Islam yang di`broker'kan oleh kuasa-kuasa kolonial.

Hari ini sahaja begitu ramai penyokong Pas yang bingung memikirkan nasib perjuangan yang selama ini mereka laungkan, iaitu untuk menegakkan negara Islam, undang-undang Islam dan syiar Islam. Seperti saya, saya yakin mereka juga gelisah untuk melihat rupa bentuk Negara Islam atau Negara Sekular di bawah kerajaan baru DAP, PKR dan PAS.

Mungkin Hadi dan Nik Aziz `buta hati dan akal fikiran' akibat kuasa dan janji-janji Anwar dan DAP. Namun saya percaya ahli-ahli dan penyokong Pas tidak buta sejarah dan sebodoh yang mereka sangka. Mereka juga tidak akan taat membuta tuli.

Mereka membaca sejarah keruntuhan kerajaan Islam sebelum ini dan mereka faham akan nasib umat dan agama Islam apabila para pemimpin tersilap congak akan jumlah kerusi kuasa. Mungkin juga Nik Aziz lupa kata-kata DAP tentang hasrat PAS sebelum ini dan segala yang pernah dikatakan oleh Karpal, Theresa Kok dan Kit Siang, tetapi saya percaya penyokong dan symphatisers PAS tidak begitu mudah melupakan segala kata-kata dan perbuatan mereka.

Saya melihat walaupun perkembangan ini adalah positif untuk UMNO, namun ianya tidak begitu menggembirakan untuk umat dan agama Islam. Apa yang berlaku di Perak di bawah Nizar adalah contoh yang paling hampir dan mudah.

Monday, June 22, 2009

KPI dalam beberapa bulan? Terlalu lambat..

Dari Malaysian Insider, "Government KPI guidelines to be announced ‘in a few months’ "
By Shannon Teoh

KUALA LUMPUR, June 22 — Minister in the Prime Minister's Department Tan Sri Dr Koh Tsu Koon said today that although all ministers have submitted their proposed KPIs within a month of being appointed by the prime minister, "they need to be fine tuned as many ministries are interdependent." Najib had said in April an evaluation will occur within six months and sources have told The Malaysian Insider that ministers and ranking officers could face the sack if they did not meet set targets. But Koh, the minister in charge of KPIs and national unity, told reporters that the government would only be announcing the KPI guidelines in "the next few months" and that there is no plan for now to punish under-performing ministers.

Pada pandangan saya, excersise untuk menentukan KPI ini terlalu memakan masa. Sepatutnya ia boleh dilaksanakan dengan lebih cepat, terutama bagi kementerian-kementerian yang lebih kecil atau kementerian yang telah menggariskan KPI mereka lebih awal.
Hujah saya - Pertama, KPI setiap kementerian perlu bersandarkan kepada tugas-tugas terasnya. Saya yakin kebanyakan tugas teras telah ditentukan oleh setiap kementerian dengan begitu jelas. Contoh - jumlah program yang hendak dilaksanakan dalam tahun 2009, jumlah kes tertunggak yang mesti diselesaikan menjelang Disember 2009 ataupun pengurangan jumlah aduan menjelang Disember 2009.

Kedua, peruntukan untuk setiap KPI telah ditentukan berdasarkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) dan pakej rangsangan yang telah diumumkan. Maksudnya, KPInya walaupun tidak tertulis di mana-mana, sudah ada. Cuma perlu dizahirkan dalam bentuk bertulis agar pegawai-pegawai kanan, Timbalan Menteri dan Menteri tahu, sedar dan insaf akan sasaran dan yang perlu dicapai dalam tempoh waktu yang ditetapkan. Jika, ia mengambil masa sehingga dua atau tiga bulan lagi, maka ianya sudah bersifat akademik semata-mata.

Ketiga, yang perlu di`fine tune' adalah sasaran baru, jika ada dan jika tidak melibatkan bajet tambahan. Bagaimanapun jika ia melibatkan sasaran lama, contoh - jumlah sekolah baru yang perlu dibangunkan di kawasan Dengkil, KPInya tidak sepatutnya berubah, iaitu ia perlu disiapkan dalam tempoh seperti yang ditetapkan dalam RMKe-9.

Jika KPI para menteri dan timbalan menteri masih belum dapat ditentukan disebabkan mereka masih baru di kementerian tertentu, sekurang-kurangnya kita berharap agar KPI pegawai-pegawai kanan dapat dizahirkan terlebih dahulu oleh Tan Sri Koh Tsu Koon kerana awam masih merasakan banyak program dan projek yang tidak dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan. Masih ramai yang merasakan pelaksanaan pelbagai program di peringkat akar umbi memakan masa, termasuk pengagihan bantuan, peruntukan dan pinjaman. Ada juga yang merasakan bahawa terdapat program yang dilaksanakan tanpa matlamat yang teliti, misalnya, sekadar untuk menghabiskan peruntukan pakej rangsangan. Masih ramai juga yang merasakan tempoh waktu sesuatu projek dilaksanakan, bermula dari tarikh tender di buat, dikeluarkan dan diputuskan memakan masa begitu lama; dan ada yang masih tidak diputuskan sehingga hari ini. Semua ini memberi kesan yang besar terhadap ekonomi negara.
Dari sudut saya melihat sekarang ini, bagi saya, orang yang perlu memenuhi KPInya sesegera mungkin, bukan orang lain, tetapi adalah Tsu Koon sendiri.

PPSMI - Perlembagaan dilanggar?

Ada beberapa pihak telah menulis tentang sejauh mana program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Hujah mereka; Pertama; Perkara 152(1)(a), Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen dengan syarat bahawa; (a) tiada seorangpun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajar atau belajar, apa-apa bahasa lain; Kedua, perkara 152(6) menyatakan Dalam perkara ini, “maksud rasmi” ertinya apa-apa jua maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam. Ini mungkin sebagai satu tindakan susulan kepada tindakan saman terhadap kerajaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2006.

Saya sebenarnya berharap agar saman ini dibicarakan dengan segera agar keputusan dasar mengenai PPSMI boleh dilakukan dengan segera dan mudah. Bagaimanapun entah apa muslihatnya, kes ini begitu lambat dibicarakan.

Pada pandangan saya, sebenarnya Perkara 152(1)(a) dan (6) tidak sepatutnya dibaca berasingan, sebaliknya perlu dibaca bersama Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996 yang menyatakan bahawa Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini.

Premis paling penting dalam seksyen 17(1) ialah perkataan “bahasa pengantar utama”, “institusi pendidikan” dan “sistem pendidikan.” Marilah kita membuat sedikit pengiraan bagi menentukan sejauh mana pelanggaran terhadap Perlembagaan telah berlaku.

Bagi institusi pendidikan di peringkat rendah atau sekolah rendah, berdasarkan kiraan secara kasar, di Sekolah Kebangsaan jumlah peruntukan masa keseluruhan bagi bagi subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik adalah sekitar 40 peratus. (Nota: Di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), jumlahnya hanya sekitar 30 peratus dan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) adalah sekitar 18 peratus.). Ini tidak termasuk masa Bahasa Melayu digunakan di dalam acara dan program rasmi seperti perhimpunan, aktiviti kokurikulum dan sukan.

Di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR), secara purata, peruntukan masa bagi subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik adalah sekitar 34 peratus. Jika sekolah tersebut mempunyai kedua-dua aliran, Sastera dan Sains di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kita perlu menjumlahkan pula masa di peringkat PMR dan SPM aliran sains dan aliran sastera.

Dalam aliran sains di peringkat SPM, jumlah mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi dan English for Science and Technology (EST) adalah sekitar 66 peratus daripada keseluruhan waktu P&P. (Nota: jika EST tidak ditawarkan, jumlahnya akan berkurangan lagi).

Begitupun jumlah ini diimbangkan semula dalam aliran sastera, di mana jumlah masa yang diperuntukkan untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains hanyalah di sekitar 34 peratus daripada keseluruhan waktu P&P. Maksudnya, dalam satu-satu institusi pendidikan yang menawarkan subjek-subjek untuk PMR dan aliran Sains serta Sastera bagi peringkat SPM, jumlah P&P dalam Bahasa Melayu, lebih tinggi peratusnya daripada jumlah P&P dalam bahasa Inggeris, menjadikannya masih bahasa pengantar utama. Sekali lagi ini tidak termasuk waktu yang diperuntukkan untuk perhimpunan, kokurikulum dan sukan.

Bagaimanapun, sekiranya sesebuah sekolah hanya menawarkan aliran teknikal di peringkat SPM, mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Teknologi Kejuruteraan, Lukisan Kejuruteraan dan Information and Communication Technology, jumlah P&P dalam bahasa Inggeris yang diperuntukan adalah sekitar 71 peratus daripada keseluruhan waktu P&P.

Begitu jugalah di peringkat Matrikulasi, peruntukan masa bagi P&P dalam Bahasa Inggeris adalah sekitar 80 peratus, tertakluk kepada bilangan sebenar bilangan mata pelajaran berasaskan sains yang diambil. Bagaimanapun saya berpandangan, pelaksanaan PPSMI di Kolej Matrikulasi masih tidak menyalahi maksud peruntukan subsekyen 17(1) yang menyebut “mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini” seperti yang diamalkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM).

(Nota: Jika ada sesuatu yang mereka inginkan didapati melanggar Perlembagaan, mereka akan mendesak agar ia dipinda, sebaliknya jika ia menguntungkan mereka, mereka akan menggunakan Perlembagaan untuk mempertahankannya)

Thursday, June 18, 2009

Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus

Sekali lagi Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menjadi tumpuan apabila subjek bahasa Inggeris ingin dijadikan subjek yang wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ini ada di antara pengumuman KPM yang meresahkan dan reaksi terhadapnya sudah boleh dijangka.

Andaian yang dibuat nampak mudah; dengan menjadikan bahasa Inggeris subjek wajib lulus, maka pelajar akan berusaha bersungguh-sungguh bersungguh untuk meningkatkan penguasaan mereka di dalam bahasa Inggeris. Andaian ini hampir sama dengan andaian yang dibuat semasa kerajaan ingin melaksanakan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), iaitu dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran kedua-dua subjek tersebut, maka `akibat terpaksa’, pelajar akan berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kebolehan mereka menguasai kedua-dua subjek tersebut dalam bahasa Inggeris.

Andaian ini masuk akal, jika mengambil kira faktor kesungguhan untuk menguasai bahasa Inggeris. Hakikatnya, ia adalah satu proses dan tidak berlaku dalam keadaan vakum. Ia memerlukan masa dedahan yang tinggi dan memerlukan banyak latihan.

Saya sendiri misalnya, sewaktu belajar dalam bidang Sains Farmasi di Universiti Sains Malaysia (USM), tidak pernah dipaksa untuk mengikuti kuliah, menulis tugasan, menyediakan laporan dan melakukan pembentangan dalam bahasa Inggeris. Membuat rujukan tambahan dalam bahasa Inggeris adalah pembaziran masa yang amat nyata kerana nota kuliah memang sudah sedia diterjemahkan dan semasa peperiksaan, semuanya perlu dijawab dalam bahasa Melayu.

Akibatnya, kemahiran berucap, menulis dan mendengar tidak dilatih dan ditajamkan. Hasilnya sudah boleh diagak – seorang graduan yang tidak boleh bercakap, menulis, mendengar dan berhujah dalam bahasa Inggeris dengan baik, lebih-lebih lagi dalam bahasa Inggeris saintifik dan teknikal. Bagaimanakah pasaran boleh mengharapkan saya mampu menguasainya dalam bahasa Inggeris sedangkan bertahun-tahun saya dilatih dalam bahasa Melayu?

Berbanding dengan pelajar yang mengikuti kursus yang sama di luar negara, seperti United Kingdom dan Australia, mereka tidak mempunyai pilihan. Persekitarannya dipenuhi dengan penutur bahasa tersebut, malah tidak ada bantuan sari kata di television. Mahu tak mahu, pelajar perlu meningkatkan kemahiran mendengar, menulis dan bercakap. Malangnya di Malaysia, ia tidak dibenarkan berlaku begitu. Sayangkan anak, tangan-tangankan, sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain, alah bisa tegal biasa dan bagaimana hendak mendapat sagu jika tidak dipecahkan ruyungnya hanya peribahasa lapuk yang tidak relevan. Itu yang berlaku dengan PPSMI.

Menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus SPM mengambil acuan ('template’) yang hampir sama dengan PPSMI, melainkan ketiadaan sentimen penentangan bahasa Melayu dan bahasa ibunda serta pendokong sekolah-sekolah vernakular. Kerisauan masyarakat dan ahli akademik masih berkisar pada bidang yang sama – kesediaan pelajar luar bandar, kesediaan dan keupayaan guru, jumlah guru terlatih dan mahir, kekurangan guru, infrastruktur sekolah-sekolah di luar bandar dan bahan-bahan P&P.

Ketika ini hampir 130,000 (30 peratus) gagal setiap tahun. Saya percaya melatih guru akan mengambil masa jika mengambil kira kapasiti Institut Pendidikan Guru dan Institut Pengajian Tinggi setiap tahun. Mengambil guru dan penutur jati dari luar negara mempunyai isunya yang tersendiri seperti kos emolumen yang tinggi, kualiti guru dan pengaliran wang tunai yang banyak ke luar negara. Malah pengambilan guru bersara secara kontrak juga memakan masa yang begitu lama akibat kerenah birokrasi yang merimaskan!

Sepatutnya komitmen kerajaan dan langkah-langkah yang kukuh serta meyakinkan bagi menyelesaikan masalah-masalah yang menyebabkan penguasaan bahasa Inggeris semakin lemah dalam kalangan pelajar, biarpun selepas berbelas tahun mempelajarinya lebih wajar dijadikan pengumuman oleh KPM berbanding `hukuman’ terhadap mereka yang gagal menguasainya akibat prasyarat yang tidak mencukupi.

Dalam kes PPSMI, saya tidak begitu peduli akan keputusan kerajaan, tetapi biarlah sebarang keputusan yang dibuat oleh KPM berasas, rasional dan atas sebab pendidikan, bukan dibuat berasaskan emosi, hujah-hujah yang lemah dan manipulasi kajian.

Dalam kes bahasa Inggeris wajib, bagi saya, jika sudah diketahui acuannya hampir sama dengan PPSMI, kenapa perlu kita melalui `kesengsaraan’ yang sama?

Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP), Utusan Malaysia
Rabu, 17 Jun 2009

Wednesday, June 17, 2009

Berita baik bagi penentang PPSMI!!!

(Ini adalah siri pertama daripada beberapa siri perdebatan isu PPSMI)

Dari cara beberapa siri kenyataan dibuat, siri pertemuan dengan pihak tertentu dan `ketenangan yang begitu luar biasa' para penentang program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), saya berpandangan ada kemungkinan kerajaan tidak akan mempertahankan PPSMI. Ditambah pula dengan dua orang Timbalan Menteri Pelajaran yang sejak dahulu lagi diketahui umum tidak menyokong PPSMI ini, kemungkinan besar, dasar yang telah dilaksanakan sejak 7 tahun yang lalu tidak dapat dipertahankan!

Saya sebenarnya tidak begitu peduli dengan apa saja keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tentang PPSMI. Bagaimanapun saya berharap ia dibuat atas alasan yang betul. Janganlah keputusan dibuat berdasarkan hujah yang tidak rasional dan emosional di luar batasan tradisi ilmu; penipuan dan manipulasi data dan kesimpulan kajian; ugutan politik dan perilaku tidak rasional di jalanan. Buatlah keputusan yang betul atas sebab pendidikan, bukan atas pendirian politik.Pada waktu yang sama, saya menghormati para pejuang bahasa yang berjuang dengan cara bekerja keras memartabat dan memperkasa bahasa Melayu; yang faham tentang pentingnya disemarakkan kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan; yang faham bahawa banyak yang perlu dilaksanakan untuk memperkasa bahasa Melayu bukan setakat bercakap, berslogan dan bersorak semata-mata; yang faham bahawa perjuangan bangsa perlu diutamakan kerana daripada bangsa baru wujudnya bahasa; yang berhujah dengan rasional dan di dalam lingkungan tradisi ilmu; yang kenal yang mana musuh bahasa dan yang mana satu hantu raya yang pandai mengambil kesempatan semata-mata.

Kalau yang berhujah secara emosional di luar batasan tradisi ilmu; yang berhujah dengan kasar; yang menipu dan memanipulasi data kajian; yang mengugut dan membentak; yang keliru tentang yang mana lebih utama bahasa atau bangsa; yang bersikap double standard dan berkompromi dengan puak yang mengenalkan papan tanda pelbagai bahasa; yang merendah-rendahkan perjuangan murni memartabat bahasa Melayu menjadi perilaku tidak rasional di jalanan; itu bukan Pejuang Bahasa. Itu mungkin Samseng Bahasa.

Kenyataan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disokong timbalan-timbalannya mengenai penolakan kabinet terhadap dapatan meja bulat PPSMI mengundang pelbagai persoalan. Sewajarnya penolakan ini disusuli dengan penjelasan kenapa dapatan ini ditolak. Adakah ditolak sebahagiannya atau sepenuhnya? Jika ditolak sepenuhnya, maka siri meja bulat PPSMI sebanyak lima pusingan hanyalah kegiatan yang membuang masa dan wang pembayar cukai.

Bagi memastikan agar persoalan ini tidak menjadi isu berlarutan dan agar keputusan mengenai PPSMI ini dibuat atas alasan yang betul maka saya suka meminta sekali lagi agar setiap kajian yang pernah dibentangkan di dalam persidangan meja bulat PPSMI didedahkan kepada rakyat dan dimuat turun ke dalam domain awam supaya semua pihak boleh mengkaji serta meneliti setiap kajian tersebut.

Antara laporan yang pernah dibentangkan di dalam persidangan meja bulat PPSMI sebelum ini adalah Laporan Program Pemantauan dan Penilaian Pelaksanaan PPSMI 2008-2010, Penguasaan BI dalam kalangan guru, yang dilaksanakan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) pada tahun 2008, Kajian Penilaian Pelaksanaan PPSMI oleh Bahagian Perancangan dan Pembangunan Dasar Pendidikan (BPPDP) pada tahun 2006, Dapatan Pemantauan dan Bimbingan Kolaboratif Pelaksanaan Program PPSMI dari tahun 2003 hingga 2008 oleh Jemaah Nazir Sekolah (JNS) pada tahun 2008, Ujian Diagnostik (UD) oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia, pada tahun 2007 (jika boleh sejak 2006 sehingga 2008), Kajian Status Pencapaian Murid Dalam Matapelajaran Sains, Matematik dan BI di bawah Program PPSMI (Tahun 5, 2007) dan Kajian Trend Pencapaian Murid Dalam Matapelajaran Sains, Matematik dan BI di bawah program sebelum PPSMI (Tahun 5,2006) oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK). Kajian Status Pencapaian Murid Dalam Mata Pelajaran Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan dan Sains Tambahan (Tingkatan 5) dan Sains, Matematik dan BI (Tahun 5 dan Tingkatan 5) oleh BPK, Analisis Pencapaian Murid berdasarkan UPSR, dan Analisis Keputusan Peperiksaan PMR dan SPM, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta laporan Pemantauan JNS 2005 sehingga 2007. Selain kajian yang dilaksanakan oleh KPM, saya juga mengalu-alukan agar kajian oleh Intitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan pihak-pihak lain, termasuk kajian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan PEMBINA dimasukkan ke dalam domain yang sama.

Bagaimanapun saya mencadangkan agar KPM tidak sekadar meletakkan kesimpulan kajian di domain ini kerana pendekatan ini boleh mendorong kekeliruan dan salah tanggap. Sebaliknya KPM wajar memasukkan juga semua maklumat lain seperti pemilihan sampel dan saiznya, instrumen kajian dan dapatan penuh setiap kajian. Ini penting bagi membolehkan pembaca faham akan kekuatan sesuatu kajian dan bagaimana seseorang penyelidik menyimpulkan dapatan-dapatan kajian mereka.

Satu perkara yang pasti, walaupun ada pihak yang cuba menggambarkan kajian UPSI dan PEMBINA ini sebagai kajian yang bebas atau kajian pihak ketiga, namun bolehkah pandangan ini diterima sekiranya kita menyedari bahawa kebanyakan mereka yang terlibat dalam kajian ini diketahui umum sebagai penentang dasar PPSMI sejak ia mula diperkenalkan lagi? Jika ini realitinya, maka kenyataan bahawa kajian mereka bersifat BEBAS adalah OVERSTATEMENT.
(Gambar - Rusuhan jalanan PPSMI adalah manifestasi kegagalan golongan tertentu berhujah secara intelektual di dalam lingkungan budaya ilmu)

Friday, June 12, 2009

Di antara boneka UMNO, proksi Anwar dan kuda DAP...

Kata Nik Aziz, yang suka dengan idea kerajaan perpaduan hanyalah boneka UMNO. Jika benar itu kenyataan beliau, maka hari ini dalam parti PAS boleh dikatakan terdapat sekurang-kurangnya tiga golongan, iaitu Boneka UMNO, Proksi Anwar dan Kuda DAP.

Boneka UMNO, seperti kata Nik Aziz, menyukai idea Kerajaan Perpaduan dan menyokong usaha muzakarah atau muqabalah dengan UMNO dan BN.

Proksi Anwar pula dikatakan menentang Kerajaan Perpaduan dan difahamkan mendesak agar PAS menolak agenda perpaduan dan menghentikan muzakarah dengan UMNO. Bagi kumpulan Proksi Anwar, dikatakan mereka lebih suka PAS bersatu padu dengan DAP dan PKR yang membawa idealogi sekularisme dan sosialisme daripada bermuzakarah dengan UMNO yang berjuang untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara. Proksi Anwar juga dikatakan percaya dengan harapan bahawa PAS akan menggantikan UMNO dan akan menjadi parti tunjang dan paling dominan dalam kerajaan Pakatan Rakyat. Pada waktu yang sama, proksi anwar dikatakan juga yakin bahawa Pakatan Rakyat perlu diketuai oleh Anwar dan Anwar akan diberi laluan untuk menjadi Perdana Menteri kerajaan yang baru pada Pilihan Raya ke-13.

Sedangkan Kuda DAP, juga dikatakan menolak Kerajaan Perpaduan dan dilihat seolah-olah membawa aliran sekularisme apabila mempromosi kenyataan bahawa tidak ada di dalam mana-mana transkrip, manifesto dan perlembagaan PAS yang menyatakan bahawa PAS akan menegakkan negara Islam dan undang-undang Islam. Jika itu pemikiran Kuda DAP, maka tidak hairanlah, semasa Kuda DAP berkuasa, agenda Islam tidak berkembang dan agenda Melayu terus terpinggir di negeri tersebut. Kemungkinan besar, itu menjadi punca qada' dan qadar Allah SWT menarik semula kuasa yang diterima.

Pada waktu yang sama, Kuda DAP ini juga dikatakan tidak faham akan syariat tentang mogok lapar selama 72 jam dan puasa sunat hari Selasa, Rabu dan Khamis. Kuda DAP mungkin tidak memahami bahawa dalam amalan mogok lapar, pengamalnya tidak boleh makan mengikut tempoh yang ditetapkan, iaitu 72 jam. Sedangkan jika berpuasa, diwajibkan berbuka dan disunatkan berbuka awal pada ketika matahari terbenam di ufuk barat. Nampaknya seolah-olah Kuda DAP lupa bagaimana hendak bersolat hajat untuk meminta sesuatu kepada Allah SWT. Mereka juga tidak mengerti bahawa puasa sunat adalah ibadah seseorang dengan Penciptanya, bukan atas niat untuk menunjuk-nunjuk.

Di antara tiga kelompok PAS; yang pertama sukakan perpaduan; yang kedua menolak perpaduan dan overconfident bahawa PAS akan menjadi parti paling dominan dalam kerajaan baru atau dalam kata lain akan memenangi paling banyak kerusi dalam pilihan raya ke-13; dan yang ketiga, keliru antara ajaran Islam dengan ajaran ustaz Nga.

Apakah tindakan Nik Aziz menolak golongan pertama dibuat atas kebenaran Islam atau atas kehendak nafsu? Jika ia dibuat atas kehendak nafsu maka tidak hairanlah jika Nik Aziz perlu berdoa, memohon ampun dan bertaubat nasuha di atas kesilapan ijtihad dan dosa seperti yang pernah dilakukan sebelum ini. Jelasnya Nik Abduh sendiri tidak yakin dengan nasihat penasihat bapanya. Wallahua'alam. Lu pikirlah sendiri!

10 subjek SPM - perlu langkah susulan

Pengumuman Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk menghadkan subjek Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada hanya sepuluh mata pelajaran nampaknya disambut baik oleh ramai. Dari laporan media, alasan yang diberikan adalah untuk mengatasi masalah kekurangan guru, membolehkan lebih banyak masa diberikan bagi memupuk sahsiah pelajar melalui aktiviti sukan dan kokurikulum selain memudahkan kriteria penganugerahan biasiswa kepada mereka yang cemerlang.

Dari satu segi saya bersetuju jumlah subjek peperiksaan diturunkan kerana saya berpandangan bahawa kurikulum kita di sekolah agak membebankan. Begitu pun pada pandangan saya, bebanan ini jauh lebih merisaukan di peringkat sekolah rendah berbanding di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau SPM. Keduanya, saya melihat pengurangan bilangan subjek ini bermaksud kerajaan boleh menjimatkan kos dan masa untuk melaksanakan peperiksaan dan pemeriksaan jawapan.

Mungkin KPM wajar mempertimbangkan beberapa pandangan yang berbeza sebelum mengumumkan pertukaran dasar. Pertamanya, sememangnya kekurangan guru adalah masalah yang amat ketara. Namun begitu masalah kekurangan guru dan usaha untuk melatih semula guru bidang lain bagi membolehkan mereka mengajar sepuluh subjek peperiksaan SPM tidak boleh diselesaikan sekelip mata.

Kedua, saya melihat hasrat menjadikan SPM sebagai sijil terbuka adalah untuk membolehkan pelajar menguasai sebanyak mungkin bidang ilmu yang mereka minati berdasarkan kemampuan mereka. Dengan membenarkan mereka mengambil subjek tambahan, mereka bukan sahaja diberi seluas-luas ruang untuk mempelajari bidang ilmu yang mereka minat, tetapi juga membenarkan mereka mencabar keupayaan diri mereka dalam menguasai ilmu. Atas dasar minat atau atas dasar ingin mencabar keupayaan diri, seringnya pelajar ini tidak bergantung pada sekolah untuk menyediakan guru atau kelas, malah ada dalam kalangan mereka yang mengambil tutor di luar sekolah bagi membimbing mereka dalam subjek-subjek lain. Dengan menghadkan jumlah subjek, tidak mungkin kita mengetahui bahawa dalam kalangan anak-anak kita, terdapat yang mempunyai kemampuan luar biasa dalam bidang akademik.

Ketiga, timbul kebimbangan pihak tertentu tentang pengurangan bilangan subjek teras kepada empat subjek. Bagi pihak ini, mereka menganggap subjek sejarah dan pendidikan Islam bukan subjek yang perlu dikorbankan semata-mata kerana hendak mengurangkan jumlah subjek.

Keempat, saya percaya jika guru kita tidak terlatih di dalam pentaksiran, keupayaan pelajar untuk menguasai subjek yang sepuluh ini juga tidak akan ke mana. Masa yang terluang akan digunakan untuk segera menghabiskan sukatan pelajaran seterusnya bagi melaksanakan latih tubi sebagai persiapan menduduki peperiksaan. Akhirnya, ia akan lebih menyuburkan orientasi peperiksaan berbanding mengurangkannya.

Kelima, jika tujuannya untuk membangunkan sahsiah pelajar melalui kokurikulum dan sukan, sebenarnya usaha pemantapan program kokurikulum dan sukan perlu bermula sejak Tingkatan Satu lagi. Mungkin elok KPM memantau bagaimana peruntukan geran per kapita kokurikulum yang dinaikkan oleh kerajaan pada tahun 2005 daripada RM 2.55 seorang setahun kepada RM 12 bagi setiap pelajar sekolah menengah digunakan bagi membantu pembangunan sahsiah pelajar. Pada waktu yang sama, KPM juga perlu melihat semula kepada infrastruktur, peralatan dan pelaksanaan program sukan di sekolah-sekolah.

Keenam, jika tujuannya adalah untuk memudahkan penentuan penerima biasiswa, ada cara yang lebih mudah tanpa mengubah dasar. Tidak perlu menghadkan subjek, tetapi mungkin pihak berkaitan hanya perlu menghadkan pemberian skor kepada pencapaian dalam subjek-subjek yang berkaitan dengan jurusan yang ingin diambil di peringkat ijazah sahaja.

Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP)
10 Jun 2009, Utusan Malaysia

Tuesday, June 9, 2009

Mogok lapar gagal?

Apakah kesan mogok lapar tajaan Nizar dan Ustaz Nga? Rata-rata maklum balas yang diterima mengatakan tidak ada kesan; malah GAGAL.

Kata orang, apabila pemimpin kanan PAS sudah tidak tahu membezakan antara syariat dan perbuatan orang yang tidak beriman; maka perbuatan mereka ini hanya sia-sia. Mula-mula mogok lapar; kemudian tiba-tiba jadi puasa sunat.
Puasa sunat pun niat dah tak betul. Apa yang susah sangat hendak sembahyang hajat. Jika Nizar menganjurkan solat hajat dan meminta pula orang-orang bukan Islam berdoa dan memohon kepada Tuhan yang mereka percayai, itu lebih cantik di sisi Islam. Ini tidak, bila sudah mengumumkan kepada seluruh dunia bahawa Nizar akan melancarkan mogok lapar; tiba-tiba kata bukan Islam dianjurkan berpuasa mengikut amalan agama masing-masing.

Perbuatan ini umpama mahu menutup silap dan malu kerana tidak faham hukum. Sedangkan begitu ramai pihak yang mendengar kenyataan Ustaz Nga - yang dianjurkan oleh beliau adalah MOGOK LAPAR bukan PUASA. Lagipun apa makna MOGOK LAPAR 24 Jam, bila boleh berbuka puasa atau minum air - TAK ADA MAKNA dan sekadar satu lagi siri penipuan dan lakonan semata-mata.
Seperti isu Tuhan mencarut, sekali lagi jentera PAS cuba memutar belit; kalau dulu ditukar perkataan carut tu kepada cela, sedangkan semua orang tahu isu sebenar ketika itu adalah carut dan bukannya cela.
Hanya mereka yang tidak berfikir sahaja yang akan tertipu dengan putar belit jentera PAS ini. Ternyatalah jentera dan penyokong mereka ini terperangkap dalam semangat assabiah yang tebal.

Thursday, June 4, 2009

ICT di sekolah perlu peningkatan

Seorang rakan saya yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah dalam bandar mengeluh daripada 20 unit komputer meja di makmal, hanya enam sahaja yang berfungsi. Pada waktu yang sama akses kepada internet adalah amat perlahan dan ini menyulitkan pengajaran dan pembelajaran. Selain itu agak susah untuk melakukan `housekeeping’ setiap hari kerana ia memakan masa yang agak lama.

Andaian saya, makmal tersebut mungkin disiapkan pada fasa pertama atau fasa kedua yang mempunyai komputer meja yang lama dan masih belum diganti dengan yang baru. Kedua, difahamkan kelajuan capaian jalur lebar di sekolah-sekolah masih rendah, iaitu pada 2 Mbps dan masih menggunakan teknologi lama. Ketiga, kemungkinan sistem komputer yang lama melambatkan penggunaan pelbagai aplikasi dan perisian baru yang digunakan (atau sesetengahnya tidak dapat digunakan) selain menyulitkan lagi proses `housekeeping’.

Tidak dinafikan memang terdapat sejumlah kelemahan dalam pelaksanaan program ICT di sekolah-sekolah. Seorang rakan yang baru pulang dari luar negara terkejut apabila mengetahui bahawa kelajuan capaian jalur lebar di sekolah hanya pada 2 Mbps sedangkan di kebanyakan sekolah di United Kingdom (UK) dan Australia rata-rata menikmati kelajuan capaian pada 50 – 100 Mbs. Di sebuah sekolah di pinggir London, Pekham Academy, misalnya mempunyai kelajuan capaian pada 100 Mbps bagi membolehkan pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara berkesan.

Dari segi rangkaian setempat, kebanyakan perkakasan di sekolah-sekolah dalam negara masih tidak dihubungkan dengan rangkaian setempat yang berkesan. Rangkaian setempat hanya dibuat di makmal komputer dan jika bernasib baik ada sekolah turut mempunyai di bilik guru. Hanya sekolah yang bernasib baik sahaja mempunyai rangkaian tanpa wayar (wireless), itu pun pergunaannya terhad atau tidak efektif akibat kelajuan jalur lebar yang perlahan.

Difahamkan juga bahawa penyelenggaraan perkakasan ICT masih menjadi isu utama di sekolah-sekolah tertentu dan ada perkakasan yang sudah tamat tempoh penyelenggaraannya. Begitu pun tender penyelenggaraan di peringkat pusat masih belum diputuskan walaupun tawaran mengenainya telah dikeluarkan sejak tahun lepas lagi.

Di sinilah pembayar cukai mengeluh tentang perkhidmatan dan sistem penyampaian kerajaan. Sesuai dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu 1Malaysia; rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, diharapkan agar prestasi bahagian-bahagian yang terlibat dalam pelaksanaan ICT di dalam Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dapat dipertingkatkan.

Seperti yang disebutkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hj Hassan, selain korupsi dan penyalah gunaan kuasa, sistem penyampaian yang tidak efisien dan kualiti khidmat yang diberikan juga merupakan petunjuk penting kepada tahap integriti penjawat awam.

Bagaimanapun sehingga kini kita masih belum dapat melihat senarai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pegawai-pegawai kanan kerajaan. Kita berharap agar ia dapat dibentangkan sesegera mungkin agar kita mengetahui bila masalah yang membelenggu pelajar dan guru di sekolah seperti ini dapat diselesaikan.

Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP), Utusan Malaysia
Rabu, 3 Jun 2009

Popular Posts