Dari cara beberapa siri kenyataan dibuat, siri pertemuan dengan pihak tertentu dan `ketenangan yang begitu luar biasa' para penentang program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), saya berpandangan ada kemungkinan kerajaan tidak akan mempertahankan PPSMI. Ditambah pula dengan dua orang Timbalan Menteri Pelajaran yang sejak dahulu lagi diketahui umum tidak menyokong PPSMI ini, kemungkinan besar, dasar yang telah dilaksanakan sejak 7 tahun yang lalu tidak dapat dipertahankan!
Saya sebenarnya tidak begitu peduli dengan apa saja keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tentang PPSMI. Bagaimanapun saya berharap ia dibuat atas alasan yang betul. Janganlah keputusan dibuat berdasarkan hujah yang tidak rasional dan emosional di luar batasan tradisi ilmu; penipuan dan manipulasi data dan kesimpulan kajian; ugutan politik dan perilaku tidak rasional di jalanan. Buatlah keputusan yang betul atas sebab pendidikan, bukan atas pendirian politik.Pada waktu yang sama, saya menghormati para pejuang bahasa yang berjuang dengan cara bekerja keras memartabat dan memperkasa bahasa Melayu; yang faham tentang pentingnya disemarakkan kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan; yang faham bahawa banyak yang perlu dilaksanakan untuk memperkasa bahasa Melayu bukan setakat bercakap, berslogan dan bersorak semata-mata; yang faham bahawa perjuangan bangsa perlu diutamakan kerana daripada bangsa baru wujudnya bahasa; yang berhujah dengan rasional dan di dalam lingkungan tradisi ilmu; yang kenal yang mana musuh bahasa dan yang mana satu hantu raya yang pandai mengambil kesempatan semata-mata.
Kalau yang berhujah secara emosional di luar batasan tradisi ilmu; yang berhujah dengan kasar; yang menipu dan memanipulasi data kajian; yang mengugut dan membentak; yang keliru tentang yang mana lebih utama bahasa atau bangsa; yang bersikap double standard dan berkompromi dengan puak yang mengenalkan papan tanda pelbagai bahasa; yang merendah-rendahkan perjuangan murni memartabat bahasa Melayu menjadi perilaku tidak rasional di jalanan; itu bukan Pejuang Bahasa. Itu mungkin Samseng Bahasa.
Kenyataan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disokong timbalan-timbalannya mengenai penolakan kabinet terhadap dapatan meja bulat PPSMI mengundang pelbagai persoalan. Sewajarnya penolakan ini disusuli dengan penjelasan kenapa dapatan ini ditolak. Adakah ditolak sebahagiannya atau sepenuhnya? Jika ditolak sepenuhnya, maka siri meja bulat PPSMI sebanyak lima pusingan hanyalah kegiatan yang membuang masa dan wang pembayar cukai.
Bagi memastikan agar persoalan ini tidak menjadi isu berlarutan dan agar keputusan mengenai PPSMI ini dibuat atas alasan yang betul maka saya suka meminta sekali lagi agar setiap kajian yang pernah dibentangkan di dalam persidangan meja bulat PPSMI didedahkan kepada rakyat dan dimuat turun ke dalam domain awam supaya semua pihak boleh mengkaji serta meneliti setiap kajian tersebut.
Antara laporan yang pernah dibentangkan di dalam persidangan meja bulat PPSMI sebelum ini adalah Laporan Program Pemantauan dan Penilaian Pelaksanaan PPSMI 2008-2010, Penguasaan BI dalam kalangan guru, yang dilaksanakan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) pada tahun 2008, Kajian Penilaian Pelaksanaan PPSMI oleh Bahagian Perancangan dan Pembangunan Dasar Pendidikan (BPPDP) pada tahun 2006, Dapatan Pemantauan dan Bimbingan Kolaboratif Pelaksanaan Program PPSMI dari tahun 2003 hingga 2008 oleh Jemaah Nazir Sekolah (JNS) pada tahun 2008, Ujian Diagnostik (UD) oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia, pada tahun 2007 (jika boleh sejak 2006 sehingga 2008), Kajian Status Pencapaian Murid Dalam Matapelajaran Sains, Matematik dan BI di bawah Program PPSMI (Tahun 5, 2007) dan Kajian Trend Pencapaian Murid Dalam Matapelajaran Sains, Matematik dan BI di bawah program sebelum PPSMI (Tahun 5,2006) oleh Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK). Kajian Status Pencapaian Murid Dalam Mata Pelajaran Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan dan Sains Tambahan (Tingkatan 5) dan Sains, Matematik dan BI (Tahun 5 dan Tingkatan 5) oleh BPK, Analisis Pencapaian Murid berdasarkan UPSR, dan Analisis Keputusan Peperiksaan PMR dan SPM, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta laporan Pemantauan JNS 2005 sehingga 2007. Selain kajian yang dilaksanakan oleh KPM, saya juga mengalu-alukan agar kajian oleh Intitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan pihak-pihak lain, termasuk kajian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan PEMBINA dimasukkan ke dalam domain yang sama.
Bagaimanapun saya mencadangkan agar KPM tidak sekadar meletakkan kesimpulan kajian di domain ini kerana pendekatan ini boleh mendorong kekeliruan dan salah tanggap. Sebaliknya KPM wajar memasukkan juga semua maklumat lain seperti pemilihan sampel dan saiznya, instrumen kajian dan dapatan penuh setiap kajian. Ini penting bagi membolehkan pembaca faham akan kekuatan sesuatu kajian dan bagaimana seseorang penyelidik menyimpulkan dapatan-dapatan kajian mereka.
Satu perkara yang pasti, walaupun ada pihak yang cuba menggambarkan kajian UPSI dan PEMBINA ini sebagai kajian yang bebas atau kajian pihak ketiga, namun bolehkah pandangan ini diterima sekiranya kita menyedari bahawa kebanyakan mereka yang terlibat dalam kajian ini diketahui umum sebagai penentang dasar PPSMI sejak ia mula diperkenalkan lagi? Jika ini realitinya, maka kenyataan bahawa kajian mereka bersifat BEBAS adalah OVERSTATEMENT.
(Gambar - Rusuhan jalanan PPSMI adalah manifestasi kegagalan golongan tertentu berhujah secara intelektual di dalam lingkungan budaya ilmu)
1 comment:
Alhamdulillah la kalau benar bagai dikata... bahasa inggeris kita perkasakan dan bahasa melayu kita martabatkan.. belajar dalam bahasa ibunda akan lebih mudah dicerap dan diminati oleh pelajar manakala menguasai bahasa asing adalah sebagai nilai tambah dalam diri seseorang..
Post a Comment