Monday, June 22, 2009

PPSMI - Perlembagaan dilanggar?

Ada beberapa pihak telah menulis tentang sejauh mana program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Hujah mereka; Pertama; Perkara 152(1)(a), Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen dengan syarat bahawa; (a) tiada seorangpun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (bagi apa-apa maksud selain bagi maksud rasmi) atau daripada mengajar atau belajar, apa-apa bahasa lain; Kedua, perkara 152(6) menyatakan Dalam perkara ini, “maksud rasmi” ertinya apa-apa jua maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam. Ini mungkin sebagai satu tindakan susulan kepada tindakan saman terhadap kerajaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2006.

Saya sebenarnya berharap agar saman ini dibicarakan dengan segera agar keputusan dasar mengenai PPSMI boleh dilakukan dengan segera dan mudah. Bagaimanapun entah apa muslihatnya, kes ini begitu lambat dibicarakan.

Pada pandangan saya, sebenarnya Perkara 152(1)(a) dan (6) tidak sepatutnya dibaca berasingan, sebaliknya perlu dibaca bersama Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996 yang menyatakan bahawa Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini.

Premis paling penting dalam seksyen 17(1) ialah perkataan “bahasa pengantar utama”, “institusi pendidikan” dan “sistem pendidikan.” Marilah kita membuat sedikit pengiraan bagi menentukan sejauh mana pelanggaran terhadap Perlembagaan telah berlaku.

Bagi institusi pendidikan di peringkat rendah atau sekolah rendah, berdasarkan kiraan secara kasar, di Sekolah Kebangsaan jumlah peruntukan masa keseluruhan bagi bagi subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik adalah sekitar 40 peratus. (Nota: Di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), jumlahnya hanya sekitar 30 peratus dan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) adalah sekitar 18 peratus.). Ini tidak termasuk masa Bahasa Melayu digunakan di dalam acara dan program rasmi seperti perhimpunan, aktiviti kokurikulum dan sukan.

Di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR), secara purata, peruntukan masa bagi subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik adalah sekitar 34 peratus. Jika sekolah tersebut mempunyai kedua-dua aliran, Sastera dan Sains di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kita perlu menjumlahkan pula masa di peringkat PMR dan SPM aliran sains dan aliran sastera.

Dalam aliran sains di peringkat SPM, jumlah mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi dan English for Science and Technology (EST) adalah sekitar 66 peratus daripada keseluruhan waktu P&P. (Nota: jika EST tidak ditawarkan, jumlahnya akan berkurangan lagi).

Begitupun jumlah ini diimbangkan semula dalam aliran sastera, di mana jumlah masa yang diperuntukkan untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains hanyalah di sekitar 34 peratus daripada keseluruhan waktu P&P. Maksudnya, dalam satu-satu institusi pendidikan yang menawarkan subjek-subjek untuk PMR dan aliran Sains serta Sastera bagi peringkat SPM, jumlah P&P dalam Bahasa Melayu, lebih tinggi peratusnya daripada jumlah P&P dalam bahasa Inggeris, menjadikannya masih bahasa pengantar utama. Sekali lagi ini tidak termasuk waktu yang diperuntukkan untuk perhimpunan, kokurikulum dan sukan.

Bagaimanapun, sekiranya sesebuah sekolah hanya menawarkan aliran teknikal di peringkat SPM, mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Teknologi Kejuruteraan, Lukisan Kejuruteraan dan Information and Communication Technology, jumlah P&P dalam bahasa Inggeris yang diperuntukan adalah sekitar 71 peratus daripada keseluruhan waktu P&P.

Begitu jugalah di peringkat Matrikulasi, peruntukan masa bagi P&P dalam Bahasa Inggeris adalah sekitar 80 peratus, tertakluk kepada bilangan sebenar bilangan mata pelajaran berasaskan sains yang diambil. Bagaimanapun saya berpandangan, pelaksanaan PPSMI di Kolej Matrikulasi masih tidak menyalahi maksud peruntukan subsekyen 17(1) yang menyebut “mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini” seperti yang diamalkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM).

(Nota: Jika ada sesuatu yang mereka inginkan didapati melanggar Perlembagaan, mereka akan mendesak agar ia dipinda, sebaliknya jika ia menguntungkan mereka, mereka akan menggunakan Perlembagaan untuk mempertahankannya)

2 comments:

Anonymous said...

bagaimana pula dengan Uitm yang selama ini menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa pengantar utama mereka?

ITM sejak dulu lagi guna bahasa inggeris..

apa cerita beb?

kalau nak saman, saman sekali la itm.. biar mereka guna bahasa melayu untuk semua matapelajaran..

ex-student

FixMalaysiaNow said...

1. Let parents vote with their money, Government should set up both type of schools, let parents decide which schools to send their kids to (rich parents has been doing this for ages, look where their kids now, whom studied English/math/science/etc..)
2. Some people are always against progress, let them be. They can pass it to their kids & grandkids, etc

Popular Posts