Wednesday, September 17, 2008

Pendidikan - PPSMI: Hanya Kerana Satu Kajian

Seorang pembaca menghantar e-mel dan berhujah bahawa sudah sampai masanya kerajaan menghentikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berikutan pellbagai masalah yang timbul. Sambil merujuk dapatan kertas kajian Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang disiarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris, beliau mahu dasar ini dihentikan serta-merta kerana mendatangkan kerugian kepada anak-anak Melayu terutamanya di luar bandar.

Jika saya seorang ahli politik yang mahu cepat popular, tentulah saya akan terus bersetuju dengan cadangan beliau. Ini pasti akan menjadikan saya popular secara segera dan mendapat sokongan bukan sahaja pejuang bahasa dan pelobi sekolah Cina, malah semua parti pembangkang yang kesemuanya dilihat menentang dasar ini.

Kita bersyukur kerana Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak terburu-buru dalam mengejar populariti. Berdasarkan kenyataan beliau, saya melihat bahawa beliau lebih mementingkan kesan terhadap pelajar dan masa depan negara daripada mengejar populariti segera. Saya percaya beliau jujur dan terbuka untuk mendapatkan penilaian yang terbaik, baik melalui kajian mahupun suara nurani rakyat. Disebabkan itu Persidangan Meja Bulat Pertama dan Kedua diadakan.

Benar, kertas kajian UPSI telah memberikan kekuatan kepada penentang dasar ini. Bagaimanapun ia telah mengundang keresahan yang amat sangat di kalangan penyokong dasar ini.

Keresahan yang ketara dapat dilihat apabila pembaca akhbar yang sama mempersoalkan sama ada kajian itu menunjukkan kelemahan polisi ini ataupun kajian itu sendiri adalah lemah.
Samuel Yesuiah dari Seremban dan Ruzaini Fikri dari Universiti Malaya mungkin sekadar pembaca akhbar, tetapi mereka melihat laporan terhadap kajian tersebut secara serius dan kritis.

Samuel dalam suratnya mempersoalkan saiz dan pemilihan sampel, sama ada saiz sample yang kurang daripada satu peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar Tahun 5 mewakili realiti sebenar.

Dari segi instrumen kajian pula, Samuel mempersoalkan soalan-soalan kajian yang tidak betul-betul menunjukkan bahawa pencapaian pelajar lemah adalah kerana penguasaan bahasa Inggeris yang lemah. Bagi Ruzaini pula ada soalan yang ditanya tidak menguji kefahaman pelajar dalam bahasa Inggeris sebaliknya lebih kepada manipulasi angka.

Samuel dan Ruzaini menulis mungkin kerana mereka takut kerajaan akan membuat keputusan yang tidak tepat hanya kerana tekanan yang ditimbulkan oleh kajian ini.

Naluri saya menyatakan bahawa tidak mungkin kerajaan menghentikan PPSMI hanya semata-mata disebabkan oleh dapatan kajian UPSI ini. Seperti yang kita semua tahu kertas kajian UPSI ini hanyalah salah satu daripada 22 kertas yang dibentangkan dalam dua persidangan meja bulat yang lepas. Masih ada 21 kertas yang lain. Ada antaranya yang memberikan dapatan positif.

Saya yakin para profesional pendidikan di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) adalah jauh lebih teliti daripada kita dalam menilai kertas-kertas kajian dan pemantauan tentang PPSMI. Saya percaya mereka akan menilai bukan hanya dapatan kajian, tetapi juga kekuatan sesuatu kajian dari segi objektif, skop, sampel, instrumen dan tahun kajian dibuat.


Jika ada pihak yang berpandangan bahawa dasar PPSMI telah dimulakan secara drastik dan menyebabkan banyak masalah, mereka juga wajar memahami bahawa penghentiannya secara drastik juga bakal mengundang sejumlah masalah.

Misalnya, bagaimana agaknya kesan penghentian dasar ini kepada pelajar Tahun Enam sekarang yang telah mengikuti selama enam tahun PPSMI tetapi perlu mempelajari Sains dan Matematik semula di dalam Bahasa Kebangsaan di sekolah menengah?

Apa pun usaha untuk mendapatkan pandangan seramai mungkin pihak berkepentingan masih belum tamat. Masih ada dua persidangan meja bulat, sebelum keputusan UPSR diumumkan. Tidak perlu bersikap pesimis dan defensif, sebaliknya bentangkanlah kebenaran dan bersikap terbukalah untuk menerima segala pandangan.

Pendidikan - PPSMI: Persidangan Kedua Panas

Persidangan Meja Bulat Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kedua berlangsung dalam suasana yang agak panas. Hal ini sudah dijangka berdasarkan senarai peserta yang kebanyakannya terdiri daripada kalangan penentang dasar ini. Antara yang menghadiri persidangan kali ini adalah golongan pejuang bahasa dan pelobi sekolah jenis kebangsaan cina.

Perbahasan menjadi semakin berat sebelah selepas pembentangan kajian oleh sekumpulan profesional penddikan yang menyenaraikan segala macam permasalahan di dalam melaksanakan dasar ini. Oleh kerana inilah satu-satunya kertas yang dibentang oleh golongan profesional pendidikan, maka ia telah dijadikan rujukan oleh peserta walaupun kekukuhan kajian ini masih belum dicabar dari segi skop, sampel dan instrumen kajian.

Skop, tujuan, sampel, instrumen dan tahun kajian dibuat penting kerana ia akan membolehkan peserta mendapatkan gambaran dan realiti sebenar pelaksanaan PPSMI. Tanpa penelitian terhadap semua aspek ini, besar kemungkinan peserta yang tidak terdedah kepada semua kertas kajian yang ada akan terjerumus untuk mempunyai persepsi yang kurang tepat.

Berbeza dengan persidangan pertama, dalam persidangan kedua, hanya enam kertas dibentangkan. Daripada enam kertas ini, hanya satu yang membentangkan kajian oleh profesional pendidikan sedangkan dalam persidangan pertama, terdapat 16 kertas kajian yang dibentangkan oleh profesional pendidikan meliputi trend pencapaian murid dan prestasi guru sepanjang tempoh pelaksanaan PPSMI.


Dalam persidangan kali ini, berdasarkan catatan saya terdapat beberapa rumusan yang boleh dibuat. Pertama, boleh dikatakan hampir keseluruhan peserta mengakui bahawa penguasaan bahasa Inggeris amat penting dalam persaingan dunia tanpa sempadan hari ini.

Kedua, penerusan dasar ini akan mempunyai kesan negatif terhadap bahasa Melayu dari segi kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu.

Ketiga, penerusan dasar ini akan menyebabkan penguasaan pengetahuan dan pencapaian sebilangan besar pelajar, terutamanya di kawasan luar bandar dalam mata pelajaran sains dan matematik terjejas.

Keempat, penerusan dasar ini boleh membantu persiapan sejumlah pelajar dan graduan untuk mendapat tempat yang lebih baik di universiti dan alam pekerjaan.

Kelima, mutu kandungan, pendekatan, pengajaran dan guru bahasa Inggeris perlu segera ditingkatkan.

Dari segi hala tuju kerajaan mengenai dasar ini selepas bulan Disember, sebahagian peserta mahu dasar ini dihentikan. Manakala sebahagian yang lain mahu ia diteruskan.

Di antara dua ekstrem ini terdapat juga satu pandangan menarik, iaitu cadangan untuk mengadakan semula sekolah beraliran Inggeris sebagai satu lagi alternatif kepada aliran sedia ada. Cadangan ini bertujuan untuk memberi pilihan kepada ibu bapa, terutama bagi golongan berpendapatan rendah yang ingin anak-anak mereka mendapat pendidikan dalam bahasa Inggeris.

Dari satu segi, cadangan ini sememangnya menarik, kerana ketika ini pilihan hanya ada di tangan ibu bapa yang berpendapatan tinggi. Mereka boleh memilih sama ada mahu menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan yang bahasa pengantarnya bahasa Melayu atau menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta yang memberi penekanan yang lebih terhadap bahasa Inggeris.

Cadangan ini juga menarik kerana ia boleh memberikan saingan kepada sekolah jenis kebangsaan. Namun begitu dari satu segi yang lain, pencadang mungkin terlepas pandang bahawa untuk memungkinkan sekolah aliran Inggeris ini dihidupkan semula, kita masih bergantung kepada kelompok guru yang sama untuk mengajar di sekolah tersebut, iaitu guru yang penguasaan bahasa Inggeris mereka dipertikaikan oleh peserta persidangan.

Begitupun format persidangan kedua ini boleh dipuji kerana memberikan peluang kepada semua peserta memberikan pandangan dan pendapat mereka. Walaupun pandangan yang diutarakan ini mungkin lahir dari pemerhatian, pengalaman peribadi ataupun sekadar persepsi, bagi saya semuanya amat penting bagi membolehkan Kementerian Pelajaran membuat keputusan Disember ini.

Pendidikan - PPSMI: Terus atau Hentikan?

Minggu lepas, pada 14 hingga 16 Julai 2008, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menganjurkan Persidangan Meja Bulat Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

PPSMI adalah program pendidikan nasional yang amat sensitif. Pelbagai reaksi diterima sejak cadangan pelaksanaannya. Ada yang menyokong dan ada yang menentang. Isu yang timbul bukan sahaja berkisar dari segi rasional pelaksanaannya, sama ada untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris atau sebagai bantuan untuk memperkukuhkan penguasaan sains dan teknologi dalam era globalisasi di mana ligua-francanya adalah bahasa Inggeris, tetapi turut berkisar dari sudut kesannya terhadap pelajar di kawasan luar bandar dan pedalaman, keupayaan guru sehingga kesan buruk terhadap Bahasa Kebangsaan.

Khabarnya sambutan untuk menyertai persidangan ini begitu hangat, baik daripada kalangan penyelidik, mahupun daripada kalangan orang awam. Pegawai-pegawai KPM memaklumkan bahawa, mahu tidak mahu mereka terpaksa menolak permintaan ramai pihak kerana persidangan ini bukan untuk orang awam, tetapi untuk golongan profesional pendidikan dan para penyelidik. Mereka juga terpaksa menyaring permohonan daripada ramai penyelidik kerana keutamaan perlu diberi berdasarkan merit dan skop kajian.

Persidangan ini merupakan siri pertama daripada beberapa siri perbincangan yang bertujuan untuk meneliti semua laporan kajian, tinjauan dan pemantauan berkaitan pelaksanaan PPSMI sejak tahun 2005 hingga 2008. Dimaklumkan akan ada beberapa siri perbincangan lagi dalam masa terdekat yang akan melibatkan lebih ramai pihak berkepentingan seperti PIBG, Kesatuan Guru, Badan Bukan Kerajaan (NGO), ahli-ahli politik dan pihak berkepentingan lain.
Dalam satu kenyataan, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan bahawa usaha untuk menjemput profesional pendidikan dari luar KPM bagi menilai semua dapatan kajian berkaitan PPSMI yang dilaksanakan oleh penyelidik dari dalam dan di luar KPM adalah bukti kepada keikhlasan KPM untuk mencari sebaik-baik pendekatan demi kepentingan anak bangsa kita.

Hasrat beliau adalah agar kesemua 80 orang profesional pendidikan yang terlibat dalam persidangan ini berbahas secara kritikal, telus dan objektif mengenai status pelaksanaan, pencapaian, kemajuan dan keberkesanan PPSMI sejak ia dilaksanakan.

Membaca kenyataan beliau, saya menyimpulkan bahawa persidangan ini dianjurkan khusus bagi memberi peluang kepada para profesional pendidikan untuk menilai sejujur-jujurnya pencapaian pelajar, guru dan pelaksanaan PPSMI berdasarkan fakta dan kajian saintifik, bukan atas kecenderungan politik, emosi, persepsi, andaian ataupun tuntutan pihak tertentu. Jelasnya forum ini bukan forum untuk bermain dengan sentimen dan retorik politik, bahasa atau kaum.

Sememangnya inilah yang kita kehendaki – satu penilaian yang jujur dan bebas. Jujur bermaksud penilaian yang benar-benar profesional. Bebas pula bermaksud bebas dari sebarang sentimen dan tekanan.

Sebanyak 16 kertas kajian dibentangkan dalam persidangan meja bulat PPSMI. Antara kajian yang akan dibentangkan adalah Kajian Pencapaian Murid oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, KPM; Kajian Penilaian Keberkesanan PPSMI oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, KPM; Pemantauan Kolaboratif PPSMI oleh Jemaah Nazir Sekolah, KPM; Kajian Pelaksanaan PPSMI oleh Universiti Malaya; Kajian Kesan Dasar PPSMI di Sekolah Rendah (dan Menengah) oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris; dan Kajian ’Implementation of Teaching of Mathematics and Science in English – A Malaysian Perspective’ oleh Universiti Institut Teknologi Mara.

Tentunya dari 16 kajian ini terdapat dapatan yang bercampur-campur. Ada yang positif dan ada yang sebaliknya. Semuanya bergantung pada skop, tujuan, saiz sampel, instrumen dan tahun kajian dibuat.

Tahun kajian penting kerana sejak pelaksanaan PPSMI pada tahun 2003, KPM sudah beberapa kali melakukan penambah baikan. Sebagai contoh, modul latihan perkakasan pada tahun 2003 tidak sama dengan yang digunakan pada tahun 2006 kerana telah berlaku penambah baikan yang amat ketara. Dalam hal ini jika kajian dibuat pada tahun 2005, ia tidak lagi menggambarkan realiti berbanding kajian yang dibuat dalam tahun 2007.

Instrumen dan sampel juga amat penting. Jika terdapat unsur bias di dalam pembangunan instrumen dan pemilihan sampel, tentu dapatan juga akan berat sebelah. Misalnya, soalan-soalan tentang konsep sains dan matematik yang ditanya kepada pelajar dan guru perlu adil dari segi tahap kesukarannya. Jangan pula dibangunkan soalan yang mudah dalam satu bahasa tetapi susah dan mengelirukan dalam bahasa yang lain semata-mata untuk membuktikan sesuatu andaian.

Perkara-perkara seperti inilah yang diharap dapat diperdebat dan disintesiskan oleh setiap penyelidik yang terlibat agar rumusan yang dihasilkan akan lebih bermakna kepada pembuat dasar.

Apa pun, persidangan meja bulat yang diadakan hanyalah untuk menilai output, iaitu pencapaian pelajar dan guru. Apa yang kita mungkin terlepas pandang adalah pencapaian ini merupakan hasil dari input dan proses sebelumnya, iaitu sistem penyampaian dan sokongan di dalam melaksanakan PPSMI.

Dalam konteks PPSMI, walaupun program ini bersifat akademik, namun sistem penyampaian dan sokongan untuk melaksanakannya tidak melibatkan Pegawai Pekhidmatan Pendidikan (kumpulan DG) semata-mata, tetapi juga melibatkan Pegawai Teknologi Maklumat (F) dan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (M). Pelaksanaan PPSMI juga tidak hanya melibatkan pegawai-pegawai di KPM tetapi turut melibat pegawai-pegawai di Kementerian Kewangan.

Jika premis ini dipegang, maka penilaian pencapaian pelaksanaan PPSMI secara menyeluruh perlu mengambil kira peranan setiap pihak yang terlibat di dalam setiap peringkat pelaksanaan PPSMI, bukan hanya menilai outputnya. Ini penting jika kerajaan mahu menimba pengalaman bagi melaksanakan program pendidikan yang sebesar PPSMI di masa hadapan.

Selepas persidangan yang bersifat ilmiah ini, pasti kita akan berdepan dengan satu lagi persidangan yang lebih menarik berkaitan PPSMI, iaitu yang melibatkan orang awam, ibu bapa, pelajar, kumpulan pendesak yang mewakili kaum dan perjuangan bahasa serta ahli politik. Diharapkan di dalam persidangan akan datang, perbahasan masih dapat didasarkan kepada fakta dan statistik yang tepat, bukan kecenderungan emosi dan perjuangan kelompok tertentu semata-mata.

Diteruskan atau tidak? Nyatanya kita masih mempunyai banyak masa untuk membahaskannya.

Pendidikan - Polemik Pendidikan Menengah Percuma

Umum mengetahui Singapura mempunyai Keluaran Negara Kasar (KNK) yang jauh lebih tinggi daripada Malaysia tetapi mempunyai jumlah sekolah yang relatif jauh lebih rendah, iaitu sekitar 300 buah berbanding 10,000 buah di negara kita. Begitu pun pendidikan di negara tersebut tidak percuma.

Menurut Presiden Pertubuhan Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura (Taman Bacaan), Abdul Halim Kader; ibu bapa masih perlu membayar sehingga RM40 sebulan berbanding RM30-50 setahun sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah di Malaysia. Setiap program kelas tambahan perlu ditanggung ibu bapa berbanding kelas tambahan percuma oleh sekolah Malaysia. Kos kelas tuisyen adalah sekitar RM400 dan RM150 untuk kelas di luar sekolah. Dimaklumkan juga bahawa bagi sekolah rendah jumlah yuran adalah sebanyak RM24 sebulan, manakala bagi sekolah menengah adalah RM35 sebulan bagi Melayu dan RM46 bagi bukan Melayu.

Jika kita menerima premis bahawa bayaran yang dibayar oleh ibu bapa di sekolah rendah adalah sumbangan PIBG dan ia bukan sesuatu yang wajib seperti yang ditekankan dalam artikel yang lepas, maka boleh dikatakan pendidikan rendah di negara kita menepati matlamat kedua World Conference on Education For All (WCEFA) 2000, iaitu ‘Menyediakan Pendidikan Peringkat Rendah secara Percuma dan Wajib untuk Semua’.

Walaupun jelas bahawa matlamat pendidikan percuma oleh WCEFA hanya untuk sekolah rendah, tetapi kerajaan tetap berusaha menyediakan pendidikan percuma di sekolah menengah. Sama seperti sekolah rendah, tiada yuran dikenakan di sekolah menengah melainkan bagi sekolah-sekolah yang mempunyai asrama seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan asrama-asrama harian.
Bayaran yang dikenakan untuk makanan asrama pula amat minimum, iaitu hanya RM1 sehari. Sebaliknya subsidi kerajaan untuk makanan asrama untuk setiap pelajar adalah jauh lebih tinggi, iaitu sebanyak RM12 sehari. Itu pun bagi ibu bapa miskin, bayaran ini dikecualikan.

Bagi meringankan bebanan ibu bapa, kerajaan telah mengadakan pelbagai bantuan dan subsidi seperti mengadakan biasiswa, Bantuan Makanan Asrama, Bantuan Pengangkutan Murid dan juga membina asrama harian di sekolah-sekolah dalam kawasan luar bandar dan pedalaman.

Sejak tahun 2006, peruntukan Tabung KWAPM yang sebelum ini hanya untuk membantu pelajar sekolah rendah telah disalurkan kepada pelajar miskin di sekolah menengah. Mulai tahun 2007, sama seperti di peringkat rendah, kerajaan telah memansuhkan semua yuran peperiksaan awam di peringkat menengah seperti yuran PMR, SPM dan STPM. Pada tahun 2008 yuran STAM juga dimansuhkan.

Mulai tahun 2008, seperti di peringkat rendah, Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) diberikan secara automatik kepada semua pelajar di sekolah menengah manakala yuran khas sekolah sebanyak RM9.00 juga turut dimansuhkan.

Bagi melaksanakan langkah ini, kerajaan sebenarnya tidak berbelanja murah. Bagi mengecualikan pembayaran yuran peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM misalnya, perbelanjaan tambahan sebanyak RM106.37 juta terpaksa dikeluarkan.

Biarpun dari segi jumlah, yuran khas sekolah adalah kecil, iaitu RM 4.50 bagi sekolah rendah dan RM 9 bagi sekolah menengah, namun kerajaan masih terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan sebanyak RM 36.7 juta.
Dengan pemberian pinjaman buku teks kepada semua pula, kerajaan terpaksa membelanjakan RM 300 juta, tidak termasuk peruntukan untuk mengganti buku teks yang hilang dan rosak setiap tahun.

Segala ini masih belum termasuk segala macam bantuan tambahan lain yang disediakan oleh kerajaan yang dianggarkan sekitar RM 2.56 bilion bagi tahun 2008 sahaja.

Jumlah Geran per Kapita (PCG) bagi seorang pelajar sejak Tahun 1 sehingga Tingkatan 5 adalah sebanyak RM2,130.60 (tidak termasuk emolumen guru dan kos operasi lain bagi sesebuah sekolah). Bagaimanapun, jika pelajar tersebut berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan menerima pelbagai bantuan sepanjang tempoh persekolahannya sejak Tahun 1 sehingga Tingkatan 5, jumlah keseluruhan bantuan dan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan untuk dirinya adalah sebanyak RM22,021.55! Satu jumlah subsidi yang agak besar bagi sebuah negara membangun seperti Malaysia.

Pendidikan - Polemik Pendidikan Percuma

Isu pendidikan percuma tiba-tiba menjadi polemik hangat pada awal tahun 2008. Isu ini disensasikan lagi apabila media massa mengambil pendekatan untuk memfokuskan laporan mereka terhadap peranan kerajaan dalam menyediakan pendidikan kepada rakyat berbanding mengingatkan ibu bapa tentang tanggungjawab untuk menyediakan pendidikan yang lebih sempurna kepada anak-anak mereka.

Saya berpendapat hasrat menyediakan pendidikan percuma mungkin timbul semasa delegasi dunia di UNESCO membincangkan tentang pendidikan untuk semua. Pendidikan Untuk Semua atau Education For All (EFA) merupakan usaha yang dilancarkan oleh UNESCO pada tahun 1990, iaitu semasa persidangan ‘World Conference on Education For All’ yang dihadiri oleh 155 buah negara dan 150 buah organisasi bagi memenuhi keperluan pembelajaran untuk semua kanak-kanak, remaja dan dewasa menjelang tahun 2015.

Semasa persidangan seterusnya pada tahun 2000, enam matlamat utama telah ditetapkan. Dari enam matlamat utama ini, matlamat kedua adalah untuk ‘Menyediakan Pendidikan Peringkat Rendah secara Percuma dan Wajib untuk Semua’.

Malaysia yang terlibat dalam persidangan ini telah memulakan langkah dengan memperkenalkan Dasar Pendidikan Wajib pada tahun 2003 pada peringkat sekolah rendah. Bagi menyokong dasar ini, KPM menyediakan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) bagi memastikan tiada murid di sekolah rendah yang tercicir daripada persekolahan. Dimaklumkan bahawa sementara menunggu Tabung KWAPM diwujudkan, peruntukan untuk pembelian pakaian seragam telah disediakan di bawah Belanja Mengurus dan dikenali sebagai `One-Off’ RM 120.
Usaha ini adalah sebagai tambahan kepada pelbagai langkah kerajaan menyediakan pelbagai jenis bantuan kepada pelajar miskin seperti Rancangan Makanan Tambahan, Program Susu Sekolah, Biasiswa, Bantuan Makanan Asrama, Bantuan Makan Khas Prasekolah, Bantuan Jaket Keselamatan Murid dan Bantuan Pengangkutan Murid. Ia juga sebagai langkah tambahan terhadap usaha untuk mengurangkan risiko keciciran di kalangan pelajar luar bandar dan pedalaman, iaitu penyediaan Asrama Harian dan pembinaan sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Pada tahun 2007, kerajaan telah melangkah setapak lagi ke arah menyediakan pendidikan percuma, apabila memansuhkan semua yuran peperiksaan awam. Sebanyak RM 93.5 juta telah diperuntukkan bagi mengganti semula hasil kutipan bagi yuran peperiksaan UPSR, PMR dan SPM. Manakala sebanyak RM12.87 juta telah dibelanjakan untuk peperiksaan STPM.

Langkah ini diperkukuhkan lagi dengan usaha untuk memberikan pinjaman buku teks kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang pendapatan keluarga dan jenis sekolah pada tahun 2008. Sebelum itu, KPM hanya menawarkan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) kepada murid daripada keluarga yang berpendapatan rendah berdasarkan kriteria yang ditetapkan. Sebanyak RM139,784,051 diperuntukkan bagi mengadakan SPBT ini yang memberi manfaat kepada 4.5 juta murid, iaitu 81.5 peratus daripada jumlah pelajar di semua sekolah KPM.

Pada tahun 2008, satu lagi langkah ke arah menyediakan pendidikan percuma untuk rakyat telah diambil oleh kerajaan, iaitu dengan memansuhkan yuran khas sekolah sebanyak RM 4.50 untuk sekolah rendah dan RM 9.00 untuk sekolah menengah telah dimansuhkan. Walaupun hasrat kerajaan ini mulia, namun entah di mana silapnya, langkah kerajaan ini tidak dihargai oleh rakyat sebagai sesuatu yang dapat meringankan beban mereka sebaliknya dianggap sebagai satu penipuan pula terhadap mereka.
Soalnya apakah Malaysia telah memenuhi matlamat EFA untuk menyediakan Pendidikan Percuma di Sekolah Rendah? Pada hemat saya, ya, kerana hari ini, tidak ada sebarang yuran yang perlu dikenakan untuk sekolah rendah. Biarpun hasrat EFA hanyalah melibatkan sekolah rendah, namun kerajaan telah melaksanakan pengecualian yuran juga untuk sekolah menengah.

Soalnya sekarang kenapakah masih ada bayaran dikenakan di sekolah? Sekiranya kita melihat semula kenyataan Menteri Pelajaran, kita akan maklum bahawa apa yang dimaksudkan sebagai bayaran oleh ramai ibu bapa itu sebenarnya adalah sumbangan daripada ibu bapa. Tujuan sumbangan ini diminta adalah untuk menampung pelaksanaan sejumlah aktiviti yang memerlukan kewangan tambahan melebihi peruntukan yang disediakan oleh kerajaan seperti program gotong-royong, lawatan sambil belajar, anugerah kecemerlangan tahunan, aktiviti kokurikulum, hari sukan, hari terbuka sekolah dan sebagainya yang boleh membantu perkembangan psikologi dan kemahiran sosial anak-anak.

Bagaimanapun sumbangan ini hanya boleh diminta setelah mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan selepas mendapat kelulusan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN). Atas permintaan ibu bapa, KPM telah menetapkan siling kepada bayaran tambahan ini sebagai panduan yang boleh digunakan oleh PIBG dan sekolah. Begitu pun pihak sekolah boleh menggunakan budi bicara untuk mengurangkan jumlahnya berdasarkan kemampuan ibu bapa dan persetujuan PIBG.

Sekiranya ibu bapa yang berpendapatan rendah dan mempunyai banyak tanggungan masih terasa terbeban, maka pihak sekolah boleh menggunakan budi bicara bagi membolehkan ibu bapa dalam kategori ini memberikan sumbangan secara ansuran. Bagaimanapun jika ibu bapa benar-benar tidak berkemampuan, mereka tidak perlu memberi sebarang sumbangan. Apa pun perlu diingat bahawa seperti yang diumumkan oleh Menteri Pelajaran, sumbangan ini bukanlah sesuatu yang wajib. Jika ibu bapa tidak bersetuju dengan kadar yang ditetapkan, mereka boleh berbincang dalam mesyuarat PIBG untuk menentukan kadar yang boleh dipersetujui bersama. Mereka juga boleh mengemukakan aduan kepada KPM melalui talian khas KPM termasuk melalui hotline Aduan Disiplin 1-800-88-4774.

Pendidikan - PIPP:Sekadar Retorik Politik?

Seorang pembaca menghantar e-mel menyatakan bahawa Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) hanya sekadar retorik politik, himpunan soundbites dan pelan yang nampak bagus di atas kertas semata-mata. Dalam e-mel itu disebut bahawa kenyataan ini dibuat berdasarkan pemerhatian beliau terhadap keadaan dan kekurangan di sekolah-sekolah tertentu.

Sukar untuk membahaskan kenyataan beliau jika hanya bersandarkan kepada kenyataan-kenyataan yang umum dan tidak spesifik, lebih-lebih lagi jika kita mengambil kira faktor jumlah sekolah di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang banyak, iaitu hampir 10,000 buah, jumlah pegawai sekitar 450,000 orang, jumlah pelajar sekitar 5 juta orang dan sumber kewangan yang terbatas.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ada menyebut bahawa di peringkat awal jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan untuk Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) yang dipohon oleh setiap peringkat di dalam KPM adalah sekitar RM 80 bilion. Bagaimanapun selepas diteliti dan disusun berdasarkan keutamaan jumlah peruntukan yang dipohon daripada kerajaan adalah sekitar RM 25 bilion. Daripada jumlah ini, jumlah yang diluluskan oleh kerajaan adalah sebanyak RM 23.1 bilion dan berdasarkan jumlah inilah PIPP dirangka dan ditulis.

Tentunya usaha mengurangkan jumlah permohonan daripada RM 80 bilion yang dianggap tidak praktikal kepada suatu jumlah yang munasabah, iaitu sebanyak RM 25 bilion menyebabkan banyak keperluan dan kehendak banyak pihak yang tidak dapat dipenuhi. Antaranya mungkin melibatkan sekolah-sekolah yang disebut oleh penulis e-mel tadi.

Sebenarnya bukan mudah untuk mengurangkan jumlah permohonan dari RM 80 bilion ke RM 25 bilion. Ia tidak semudah memotong dan mengurangkan perbelanjaan kita setiap bulan. Pegawai KPM perlu menentukan keutamaan bukan puluhan, tetapi ribuan projek dan program pendidikan. Program ini pula bukan hanya program di peringkat pusat, tetapi juga yang melibatkan sekolah yang berada jauh di pedalaman. Setiap satunya saling berkait dan jika tidak diteliti dengan baik, pengeluaran projek atau program tertentu daripada senarai permintaan yang panjang ini boleh menyebabkan matlamat keseluruhan pendidikan terjejas.

Sebelum bertindak mengeluarkan sebarang permohonan dari senarai asal, pegawai-pegawai KPM perlu memahami sekurang-kurangnya secara umum hala tuju sistem pendidikan negara dan matlamat pendidikan yang ingin dicapai. Inilah yang dimaksudkan oleh Menteri Pelajaran bila beliau menyatakan bahawa PIPP telah mula dirangka dan direncana sejak pertengahan tahun 2004 lagi.

Sememangnya PIPP adalah sebuah pelan perancangan, tetapi ia bukan sekadar pelan untuk membelanjakan peruntukan kerajaan. Sebaliknya PIPP dirangka lengkap dengan hasrat, sasaran dan matlamat yang ingin dicapai dalam masa lima tahun. PIPP juga merupakan usaha untuk menyediakan landasan yang baik untuk reformasi pendidikan dilaksanakan menjelang tahun 2020. Disebabkan itu di dalam PIPP terdapat ruang untuk merintis sejumlah perubahan dan pembaharuan.

Tidak betul jika PIPP dilabelkan sebagai retorik politik kerana ia bermula dengan permintaan daripada pihak berkepentingan di setiap peringkat dalam KPM dan juga di luar KPM. Bagaimanapun ia bukan satu pelan rojak bagi memenuhi semua permintaan ataupun yang terlalu ideal dan tidak bersandarkan kenyataan. Biarpun dirangka sejak pertengahan tahun 2004, namun menurut Menteri Pelajaran, PIPP merupakan sebuah pelan yang realistik kerana ia ditulis dan dirangka berdasarkan jumlah peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan dalam RMKe-9.

Menurut beliau pelan ini bukan sesuatu yang sepenuhnya baru dan tidak diwujudkan dari sesuatu yang tiada, tetapi dirangka berdasarkan realiti masa kini dan pencapaian sedia ada KPM dan sistem pendidikan negara yang lalu. Dalam proses penghasilannya pula, KPM telah melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dari kalangan pemikir, ahli akademik, guru, ibu bapa, pelajar, ahli politik, badan korporat sehinggalah rakyat biasa.

Menurut beliau lagi, pembentangan pelan induk ini secara telus dan terbuka penting kerana KPM merupakan sebuah kementerian yang besar dan menerima peruntukan pembangunan dan belanja mengurus yang paling tinggi berbanding kementerian-kementerian lain.

Dengan peruntukan pembangunan RMKe-9 sebanyak RM 23.1 bilion dan peruntukan belanja mengurus sebanyak RM19.139 bilion bagi tahun 2007, PIPP penting bagi membolehkan pegawai-pegawai di KPM mengetahui dengan jelas dari mana perlu bermula, sasaran yang hendak dicapai dan peranan yang perlu dimainkan agar setiap program dan projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan cepat, cekap, berhemah, berhikmah, telus dan penuh integriti.

Tentulah ada sedikit sebanyak kelemahan di dalam melaksanakan PIPP. Bagaimanapun tidaklah begitu adil untuk menyifatkan PIPP sebagai suatu pelan yang nampak cantik di atas kertas semata-mata hanya disebabkan terdapat sedikit sebanyak kelemahan di dalam pelaksanaannya.

Mungkin perlu dijelaskan kepada penulis e-mel ini, PIPP dibentangkan secara telus, iaitu dengan menyatakan bagaimana setiap peruntukan diagihkan, Indeks Pencapaian Utama (KPI) yang perlu dicapai, modul penyampaiannya dan juga Kad Laporan pelaksanaannya setiap enam bulan adalah bagi membolehkan orang awam menilai dan memantau pelaksanaannya seterusnya melaporkan kepada KPM akan segala kelemahan pelaksanaannya di semua peringkat.

Bagi beliau, pelan ini adalah sesuatu yang berterusan dan setiap pihak dijemput dan dialu-alukan untuk mengemukakan pandangan. Berdasarkan pandangan-pandangan ini, KPM akan melaksanakan pengubahsuaian, penambah baikkan dan penyelarasan mungkin di dalam Kajian Separuh Penggal atau untuk rancangan lima tahun yang berikutnya.

Pendidikan - PIPP:Belajar Dari Kelemahan Lalu

Sebelum ini saya telah menulis bahawa dengan menghargai realiti, cerun dan keterbatasan sistem pendidikan negara, kita akan dapat memahami kenapa reformasi pendidikan negara tidak boleh dilaksanakan secara drastik dan kenapa dasar dan strategi di dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dirangka sebegitu rupa.

Saya juga percaya bahawa PIPP dirangka berdasarkan pengalaman KPM, termasuklah kelemahan pelaksanaan dan sistem penyampaian semasa melaksanakan setiap projek Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMKe-8).

Hasrat Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein amat jelas dalam hal ini apabila menyatakan bahawa beliau berazam untuk menunaikan amanah rakyat sebaik-baiknya. Dengan cetak biru yang telus dan jelas, beliau berharap agar semua program, projek dan aktiviti yang hendak dilaksanakan di sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) dirancang, dilaksana dan dipantau dengan teliti agar integriti dan kredibiliti KPM tidak dipersoalkan.

Berdasarkan pengamatan beliau, beliau menyatakan bahawa ada sekurang-kurangnya lapan perkara penting yang sepatutnya dipelajari oleh warga KPM di sepanjang tempoh RMKe-8.

Pertama, kejayaan sesuatu dasar amat bergantung kepada bagaimana ia diterjemahkan ke dalam bentuk pelan tindakan dan strategi yang berkesan di setiap peringkat kementerian. Menurut beliau, dasar yang baik sekalipun jika disalah terjemahkan dan tidak disokong oleh pelan pelaksanaan yang tepat, ia berkemungkinan akan gagal atau menjadi kurang berkesan.

Kedua, setiap jabatan dan bahagian di dalam KPM tidak boleh bekerja secara bersendirian dan mengambil haluan tersendiri. Bagi beliau, penyelarasan dan kerjasama berpasukan amat penting bagi mengelakkan sebarang pertindihan dan pembaziran. Beliau juga mahu, usaha pihak-pihak lain dimanfaatkan (leverage) agar impak program yang hendak dilaksanakan dapat dimaksimumkan.

Ketiga, warga KPM merupakan pihak yang paling memahami tentang dasar, kemampuan dan keterbatasan untuk melaksanakan program serta projek pendidikan di dalam KPM. Warga KPM juga merupakan pihak yang paling mengetahui tentang segala yang telah dilaksanakan sebelum ini dan yang hendak dilaksanakan di masa hadapan. Input KPM amat penting bagi memastikan kejayaan program dan projek pendidikan.

Keempat, warga KPM tidak perlu malu mengakui bahawa mereka tidak boleh menyelesaikan semua masalah dan isu kerana terdapat isu dan masalah yang penyelesaiannya berada di luar kepakaran, batas tugas atau bidang kuasa KPM. Justeru, perlu ada mekanisme yang berkesan bagi mendapatkan kerjasama dari pihak ketiga yang mempunyai kepakaran dan kuasa untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa pegawai KPM perlu bertindak sebagai pemudah cara agar kerjasama pihak luar ini dapat dimanfaatkan segera. Jangan dirumitkan segala urusan sehingga pihak luar berasa tawar hati untuk memberikan bantuan hanya kerana terpaksa melayani kerenah birokrasi yang bukan-bukan.

Kelima, kepemimpinan di setiap peringkat, baik di peringkat sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Bahagian, Jabatan dan peringkat tertinggi KPM amat penting dalam melaksanakan semua dasar pendidikan. Amat penting untuk memastikan kepemimpinan di setiap peringkat memahami sedalam-dalamnya kehendak sesuatu dasar agar tindakan mereka bertepatan dengan keperluan masa kini dan cabaran masa hadapan kementerian.

Dalam hal ini pula, saya berpandangan bahawa amat wajar untuk pentadbir di dalam KPM memahami sejarah dan asal usul sesuatu program dan pembentukan sesebuah jabatan, kertas-kertas Jemaah Menteri serta akta-akta berkaitan. Tanpa pengetahuan yang mantap tentang latar belakang tentang perkara-perkara ini, para pentadbir akan tersalah haluan sewaktu memutuskan sistem penyampaian yang bersesuaian. Mereka juga perlu menanamkan dalam jiwa mereka bahawa setiap langkah yang hendak mereka ambil perlulah untuk menyelesaikan masalah pendidikan bukan sekadar satu proses untuk memenuhi tuntutan birokrasi.

Keenam, warga KPM perlu berfikiran terbuka terhadap idea baru, bentuk baru perkongsian pintar dan bersedia untuk belajar dari pengalaman pihak dan negara lain.

Ketujuh, warga KPM perlu berani mencuba idea-idea baru. Bagaimanapun warga KPM perlu insaf bahawa peluang sesuatu idea baru berjaya adalah lebih tinggi jika ia dirintis dan diuji terlebih dahulu bagi memahami setiap masalah yang bakal timbul sebelum pelaksanaannya dibuat secara berperingkat-peringkat berdasarkan peruntukan dan keupayaan yang ada. Memandangkan sumber negara terhad, keutamaan sesuatu program baru perlu dinilai dan aspek kos dan faedahnya perlu diteliti terlebih dahulu sebelum melaksanakannya.

Kelapan, bagi memastikan kejayaan program-program pendidikan yang telah dirancang, ia perlu disokong dengan sumber yang mencukupi dari segi tenaga, peruntukan kewangan dan kepakaran. Penanda aras dan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang tepat dan jelas juga perlu ditetapkan di dalam setiap agenda, program dan projek KPM.
Saya yakin jika pengalaman dalam RMKe-8 dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pentadbir, maka pelaksanaan PIPP akan menjadi lebih lancar dan impaknya akan sampai secara maksimum kepada rakyat.

Pendidikan - Menghargai Sistem Pendidikan Negara

Pendidikan adalah begitu hampir dengan hati setiap rakyat. Disebabkan itu, bila timbul sebarang isu mengenai pendidikan, kita dapat mendengar pelbagai pihak memberikan pendapat dan pandangan masing-masing. Tidak kurang pula yang membandingkan sistem pendidikan negara dengan sistem pendidikan negara lain dan dalam banyak keadaan mereka akan mencemuh sistem pendidikan negara.

Benarkah sistem pendidikan negara kita ketinggalan berbanding negara lain? Dalam banyak keadaan boleh dikatakan kenyataan ini tidak benar. Sebaliknya sistem pendidikan negara diiktiraf sebagai salah satu sistem yang terbaik di dunia dan banyak pihak yang cuba mempelajari dan mencontohinya.

Walaupun sistem pendidikan kita berasal dari sistem pendidikan Inggeris, tetapi sejarah, latar belakang kaum dan agama, sensitiviti politik dan keperluan guna tenaga negara telah menyebabkan ia berevolusi dengan begitu pesat sekali.

Dari beberapa segi, sistem pendidikan negara agak berbeza berbanding dengan negara-negara yang dijadikan contoh oleh pengkritiknya. Pertama, kita perlu menghargai hakikat bahawa sistem pendidikan negara amat berpusat berbanding dengan negara Barat seperti United Kingdom.

Sistem yang terlalu berpusat mungkin mempunyai sejumlah kekurangan, tetapi perlu diingat bahawa ia juga mempunyai kekuatan dan kelebihannya tersendiri. Salah satu daripada kelebihannya adalah, kita berkebolehan untuk mengadakan ekuiti di sekolah-sekolah tanpa mengira lokasinya. Misalnya, apabila negara melaksanakan program Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kita mampu menyediakan komputer bimbit, projektor LCD, guru, latihan dan perisian kursus untuk semua sekolah, baik di bandar, luar bandar dan pedalaman.
Bagaimanapun di sudut yang berbeza, mempunyai sistem yang berpusat akan memperlahankan, malah dalam kes tertentu membantutkan, perkembangan sistem pendidikan negara.

Misalnya, bila terdapat keperluan untuk pembaharuan, kita terpaksa menerima hakikat bahawa sebarang bentuk perubahan akan memberi kesan terhadap 5 juta pelajar, 320,000 orang guru dan hampir 10,000 buah sekolah yang berbeza, bukan sahaja dari segi saiz dan lokasi, malah infrastruktur dan keperluan guru.

Bagi negara-negara dengan sistem pendidikan tidak berpusat, polisi boleh dirangka secara umum untuk dilaksanakan oleh autoriti pendidikan tempatan dan di negara tertentu oleh sekolah itu sendiri.

Bagaimanapun, bagi negara dengan sistem pendidikan berpusat, kita tidak dapat mengelak untuk mengambil pendekatan satu saiz untuk semua. Melalui pendekatan ini, secara tanpa sedar, dalam kebanyakan keadaan, jika tidak semua, kita akan terlepas pandang, keperluan golongan yang berada di atas purata dan di bawah purata semasa menyediakan keperluan pengajaran dan pembelajaran. Contoh yang nyata adalah penghasilan perisian kursus PPSMI yang mungkin terlalu susah diikuti di sekolah di luar bandar tetapi terlalu senang bagi anak-anak di bandar.

Kedua, selain sistem berpusat, saiz Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang secara relatifnya besar menyebabkan banyak masa diambil untuk menyampaikan sesuatu mesej merentasi kementerian. Apa lagi bagi melaksanakan sesuatu projek dan program. Kerenah birokrasi akan melambat dan melengah-lengahkannya lagi. Mujurlah ada cetak biru KPM, iaitu Pelan Induk Pembangunan Pendidikan KPM 2006 – 2010, yang meletakkan semua perancangan dasar dan pelaksanaan projek dan program pendidikan dalam bentuk hitam putih, lengkap dengan jadual pelaksanaannya sebagai garis panduan.
Sekurang-kurangnya dengan PIPP, usaha mereformasi sistem pendidikan negara akan lebih mudah difahami oleh setiap jabatan, bahagian, sekolah dan semua pihak berkepentingan. Ini setidak-tidaknya akan melicinkan sedikit pelaksanaannya.

Ketiga, rupa bentuk geografi negara boleh menjadi satu cabaran yang sukar untuk melaksanakan dengan sempurna segala program dan projek pendidikan yang dirancang. Misalnya, dari 10,000 buah sekolah, hampir 2,200 merupakan sekolah kurang murid yang berada di luar bandar dan pedalaman. Untuk menghantar dan memasang television 29 inci di kawasan pedalaman sahaja sudah merupakan cabaran yang amat besar. Pada satu ketika set television yang hendak dihantar ini berada elok di sisi kita di dalam sampan. Pada ketika yang lain, semasa air sungai cetek, bukan sahaja set television, malah sampan juga mungkin sudah berada di atas bahu kita.

Jika menghantar set television sudah menjadi masalah bayangkan pula masalah untuk mengadakan kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di sekolah pedalaman yang mempunyai isu bekalan elektrik 24 jam dan sistem pendawaian yang kurang efisien.

Keempat, sumber negara agak terhad. Negara kita bukan seperti negara jiran, Singapura yang mempunyai KDNK yang jauh lebih tinggi dan jumlah sekolah yang jauh lebih sedikit, iaitu sekitar 300 buah sahaja. Kita mempunyai KDNK yang lebih rendah, tetapi perlu mengagihkan peruntukan secara adil ke semua 10,000 buah sekolah dan mengadakan subsidi pendidikan yang secara relatifnya begitu besar untuk 5 juta orang anak-anak kita di sekolah!

Menghargai semua fakta ini akan membolehkan kita memahami kenapa reformasi pendidikan negara tidak boleh dilaksanakan secara drastik. Menghargainya juga membolehkan kita memahami kenapa dasar dan strategi di dalam PIPP dirangka sebegitu rupa.

Pendidikan - MCKK Wajar dilihat berbeza

Raja Muda Perak, DYTM Raja Nazrin Shah telah menyampaikan titah yang sunguh indah dan begitu bermakna semasa menyempurnakan majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Secara ringkas, ucapan baginda menyentuh empat perkara pokok. Pertama, tentang wawasan dan iltizam baginda untuk terus melonjakkan kecemerlangan MCKK dan menjadikannya intitusi yang terbilang bukan sahaja di dalam negara tetapi di dunia. Kedua, mengenai masa depan pendidikan anak-anak Melayu agar mereka tidak menerima nasib malang di masa hadapan di negara sendiri. Ketiga, tentang kedudukan orang Melayu dalam senario politik semasa dan keempat, tentang keperluan untuk rakyat terus memahami dan mengiktiraf peranan institusi Raja-Raja Melayu.

Walaupun banyak yang boleh dibincangkan mengenai maksud ucapan baginda, namun yang ingin dikupas di sini hanya tentang hasrat baginda agar negara melihat kedudukan MCKK dari kaca mata berbeza berbanding institusi pendidikan yang lain.

Permintaan baginda ini adil dan tepat pada ketikanya. Tidak ada sekolah di negara ini yang mempunyai nilai sejarah yang begitu tinggi seperti MCKK.

Adil kerana MCKK memang bukan sebuah sekolah menengah berasrama penuh biasa, tetapi sekolah berasrama penuh yang pertama di negara ini. Penubuhannya pada tahun 1905 merupakan hasil kesepakatan dan kesungguhan empat orang Sultan negeri-negeri Melayu ketika itu, iaitu Sultan Idris Murshidul ‘Adzam Shah I dari negeri Perak, Sultan Alaidin Sulaiman Shah dari negeri Selangor, Yam Tuan Muhammad Shah dari Negeri Sembilan dan Sultan Ahmad Mu’adzam Shah dari negeri Pahang.

Biarpun tujuan asal penubuhan MCKK adalah untuk memberi pendidikan yang berkualiti kepada anak-anak raja dan golongan bangsawan Melayu ketika itu, namun selepas tahun 1947, ia telah dibuka untuk semua anak-anak Melayu yang cemerlang di dalam bidang akademik, kokurikulum dan sukan.

Dalam usianya yang telah melebihi 100 tahun, MCKK telah melahirkan ramai pemimpin dan tokoh dalam pelbagai bidang di dalam negara termasuk Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein. Maka tidak menghairankan jika MCKK dimasyhurkan sebagai Institusi Warisan Bangsa dan Negara.

Permintaan baginda juga tepat pada masanya kerana ketika ini sitem pendidikan negara sedang bergerak ke arah pembaharuan. Dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) 2006 -2010, salah satu daripada dua pendekatan yang digunakan untuk merelisasikan PIPP, ialah usaha untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan yang sudah bersedia agar ia dapat berada sebaris dengan institusi-institusi pendidikan bertaraf dunia.

Mungkin sebelum ini, sistem pendidikan negara lebih mengutamakan akses dan ekuiti di dalam pendidikan. Tujuannya baik, iaitu bagi merapatkan jurang pendidikan antara rakyat. Namun di dalam sistem pendidikan yang terlalu berpusat, ditambah pula dengan jumlah 10,000 buah sekolah yang perlu diawasi oleh KPM dan sebahagian daripadanya berada di luar bandar dan di kawasan pedalaman, usaha merapatkan jurang ini mengambil masa yang begitu lama dan masih belum selesai sehingga hari ini.

Sekolah-sekolah yang sudah sedia cemerlang seperti MCKK ini tidak boleh menunggu lagi. Dalam sistem berpusat yang cenderung menggunakan pendekatan satu saiz untuk semua, sekiranya kita terus membiarkan MCKK menunggu tanpa sebarang perhatian khusus, maka dikhuatiri lama-kelamaan MCKK akan menjadi semakin kurang bermaya seterusnya menjadi seperti sekolah-sekolah biasa.

Mujurlah ada pendekatan sekolah kluster yang membolehkan perhatian khusus diberikan kepada sekolah-sekolah yang cemerlang seperti MCKK ini. Melalui pendekatan ini, sekolah-sekolah yang bersedia akan diberi sokongan, program-program khusus dan dana bersesuaian bagi melonjakkan kecermelangannya.

Paling menarik adalah kuasa autonomi kepada pihak sekolah untuk memilih pelajar, guru dan tenaga pakar yang boleh membantu sekolah melonjakkan kecemerlangan dalam bidang tujahan khusus (niche areas) yang dipilih, termasuk dalam bidang sukan. Sekolah juga dibenarkan mewujudkan dan mengusruskan dana dan tabungan sekolah, pengambilan murid, menentukan kaedah pengajaran dan pembelajaran serta penilaian dan peperiksaan. Bagi tujuan menyokong program-program yang telah dirangka oleh sekolah, sebanyak RM 500,000 telah diperuntukkan oleh kerajaan.

Kita percaya, penawaran aliran tambahan selain aliran sains tulen, subjek tambahan dan program International Baccalaureate (IB) seperti yang dititah oleh Raja Muda Perak, selain dari tumpuan dalam bidang sukan tertentu akan mengembalikan kegemilangan MCKK seperti waktu dulu.

MCKK mempunyai semua ramuan yang ada untuk menjadi terbilang di dunia. Ia mendapat sokongan penuh daripada kerajaan. Ia juga diberi sokongan oleh Raja Muda negeri Perak, Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan persatuan bekas pelajarnya, MCOBA yang terdiri dari ramai pemimpin negara, orang kenamaan dan usahawan terkenal. Dengan tertubuhnya Yayasan MCKK dengan sasaran dana sebanyak RM 10 juta, kita percaya hasrat ini akan lebih cepat direalisasikan. Semoga segala hasrat ini dapat terlaksana lancar tanpa dilewatkan oleh sebarang kerenah birokrasi sistem pendidikan berpusat.

Popular Posts