Wednesday, May 9, 2012

[Video] Bicara Kampus #PTPTN: Unjuran @RafiziRamli salah!



PTPTN - Realiti dan Retorik

Retorik Pembangkang

1. Mansuh PTPTN

Kenapa retorik? 

Retorik - kerana dibuat semasa ceramah politik bukan melalui perbincangan, konvensyen dan tanpa sebarang kajian. 

Retorika populis semberono kerana hendak memancing sokongan dan undi golongan muda. 

Retorik - kerana ia adalah pengumuman yang tidak bertanggung jawab tanpa memikirkan kesan terhadap generasi muda dan kedudukan kewangan negara. 

Realiti pertama, ketika pengumuman dibuat, pemimpin PR tidak sedar mereka bercakap untuk write-off sebanyak RM 28 bilion. 

Realiti kedua, mereka tidak sedar bahawa, bukan sahaja mereka mencadangkan untuk write-off, tetapi mereka perlu mencari jalan bagaimana untuk cari RM 14 bilion, jumlah yang telah dijanjikan untuk membantu pengajian pelajar-pelajar yang sudah mendapat tempat di IPTA dan IPTS. 

Realiti ketiga, selepas dimansuhkan PTPTN, mereka perlu mencadangkan pula model pembiayaan pengajian tinggi yang baru pula. Jika 100% yuran pengajian ditanggung oleh kerajaan sekali pun, perlu ada model pembiayaan bagi membantu sara hidup pelajar sepanjang pengajian di IPT.

Bila mereka sedar bahawa mereka sudah terperangkap, maka mereka keluarkan pula retorik baru, iaitu pertama, supaya kerajaan `berhutang' dengan mengeluarkan bon untuk refinance jumlah yang hendak dilupuskan tadi, 

Kedua, mencadangkan pula pendidikan percuma di peringkat tertiari untuk alih cerita mansuhkan PTPTN tadi.

Ketiga - mencadangkan penubuhan Tabung Pendidikan IPTS yang baru untuk sara hidup pelajar - ironisnya, selepas mereka mencadangkan pemansuhan Tabung Pendidikan sedia ada, iaitu PTPTN? Errr? 


2. Pendidikan Percuma

Kenapa retorik? 

Pertama, pencadang tidak memahami unjuran populasi dan guna tenaga/modal insan yang dibuat di dalam perancangan strategik negara. 

Kedua, disebabkan tidak memahami perkara pertama, mereka gagal memahami falsafah di sebalik dasar Pendemokrasian Pendidikan dan Pendidikan Swasta Negara. 

Ketiga, tidak memahami trend peningkatan kos pendidikan di seluruh dunia, perubahan dasar pendidikan tertiari percuma di negara-negara yang lebih kaya dan maju, serta pendapatan kasar perkapita (GDP) dan kadar cukai negara-negara yang menawarkan pendidikan tertiari percuma. Turki memberikan pendidikan tertiari percuma bukan sekadar retorik, tetapi juga satu pembohongan. Turki tidak memberikan pendidikan tertiari percuma.

Keempat, data unjuran dan pengiraan pembiayaan kos pendidikan yang salah.

Fakta:

1. Bagi mengisi keperluan guna tenaga negara menjelang tahun 2020, unjuran telah dibuat oleh Kementerian Pengajian Tinggi melalui Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara iaitu untuk memastikan sekurang-kurangnya 40% populasi umur 17-23 tahun mendapat pendidikan tertiari. PTPTN pula meletakkan sasaran untuk menyediakan peluang kepada 50% pupulasi umur 17-23 tahun untuk mendapat pendidikan di peringkat tertiari. 

Berdasarkan anggaran yang dibuat oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, jumlah rakyat Malaysia adalah 35 juta pada tahun 2020. Ketika itu dianggarkan juga populasi rakyat berumur 17-25 tahun adalah sekitar 5 juta orang. 

40 % bermaksud sekitar 2 juta tempat di IPT. Ketika ini terdapat 537,801 pelajar di IPTA dan 478,924 pelajar di IPTS. Bermaksud terdapat sekitar 1.02 juta tempat pada tahun 2012. Pada tahun 2020, jumlah tempat yang diperlukan adalah tambahan sebanyak 1 juta tempat lagi. Retorik - Bagaimanakah membina 10 buah IPTA dengan kapasiti 100,000 dapat menyelesaikan masalah unjuran 2 juta tempat, iaitu 1 juta tempat tambahan lagi menjelang 2020?

2. Disebabkan negara perlu menyediakan 2 juta tempat menjelang tahun 2020, maka kita tidak boleh hanya bergantung harap semata-mata kepada kerajaan untuk mengadakan tempat dan membina IPTA, lebih-lebih lagi bila kita perlu melahirkan modal insan dalam bidang sains, teknikal dan pelbagai bidang professional dan kritikal bagi mengisi keperluan sebuah negara maju. 

Maka Dasar Pendemokrasian Pendidikan dan Dasar  Pendidikan Swasta perlu mengambil tempat. Tujuan Pendemokrasian Pendidikan adalah untuk membolehkan lebih banyak tempat disediakan untuk rakyat Malaysia, menjadikan pengurusan pendidikan lebih efektif dan mewujudkan persekitaran persaingan yang sihat yang akhirnya akan meningkatkan kualiti pendidikan.

Membina 10 buah IPTA dalam tempoh 10 tahun (dua Rancangan Lima Tahun Malaysia) untuk 100,000 tempat adalah terlalu lambat, tidak efisien dan tidak efektif.

3. Pendidikan Tertiari percuma memang kedengaran bagus, tetapi dalam dunia ini hanya 3 keadaan di mana pendidikan tertiari percuma diberikan.

Pertama, di negara-negara yang kaya dan mengenakan cukai yang tinggi. Finland misalnya, mempunyai GDP pada USD 35,400; mengenakan cukai pendapatan pada kadar 51%, cukai korporat 26% dan Cukai Jualan/VAT 23%; Norway (GDP = USD 54,600, Cukai Pendapatan 40%, Korporat 28%, Jualan/VAT 25%). Bandingkan dengan Malaysia yang mempunyai GDP sebanyak USD 15,600 dan mengenakan Cukai Pendapatan sebanyak 26%, Korporat 25% dan Jualan 5-10%.

Kedua, di negara-negara sosialis dan komunis di mana Industri Pendidikan dimilik negarakan.

Ketiga, di negara yang tidak mempunyai pendapatan yang tinggi, tetapi mempunyai pemimpin yang tidak bertanggung jawab dan membuat keputusan secara populis bukan secara objektif.

Pembiayaan pendidikan meningkat di seluruh dunia sehingga menyebabkan negara-negara maju juga mengubah dasar pendidikan tertiarinya. United Kingdom misalnya adalah negara ketiga tertinggi yuran pengajian tingginya. Keputusan menaikkan yuran pengajian ini telah menyebabkan rusuhan di London baru-baru ini. Di Kanada juga, keputusan untuk menaikkan yuran pengajian sehingga 75% dalam tempoh 5 tahun menyebabkan rusuhan dan bantahan pada awal bulan Mei ini dan beberapa bulan sebelumnya.

Maksudnya trend dunia sekarang adalah negara-negara maju berpendapatan tinggi mengakui hakikat bahawa kos pengajian tertiari semakin meningkat dan mereka juga merasakan bahawa mereka tidak lagi mampu mengadakan pendidikan percuma di peringkat tertiari. Jika negara maju berpendapatan tinggi merasai bebanannya, apa lagi negara membangun dan berpendapatan sederhana seperti Malaysia.

4. Data dan andaian yang digunakan oleh Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli adalah salah. 

Pertama, jumlah pelajar di IPTA pada tahun 2011 adalah seramai 537,801. Jumlah pelajar di IPTS pada tahun 2010 pula adalah seramai 478,924. Maksudnya sudah ada sekitar 1.02 juta pelajar menerima pendidikan tertiari pada tahun 2012. Unjuran tempat yang perlu disediakan pada tahun 2020 adalah 2 juta (40% dari jumlah populasi 17-23 tahun pada tahun 2020). Jadi sasaran untuk mengadakan hanya 100,000 tempat dalam masa 10 tahun terlalu rendah berbanding unjuran Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Negara (PSPTN).

Kedua, apabila kita membina IPTA, kita bukan hanya membina infrastruktur semata-mata, tetapi turut diisi dengan unjuran tempat yang ingin disediakan, kursus yang ingin ditawarkan dan jumlah tenaga pengajar yang diperlukan. 

Ketiga, apabila kita mewujudkan tempat di IPTA, pembiayaan bukan hanya pembiayaan tabung pendidikan seperti PTPTN sahaja yang perlu dikira, tetapi perlu juga mengambil kira tentang kos pembinaan IPTA dan kelengkapannya, perubahan gaji tenaga pengajar dan pentadbir, dan subsidi kerajaan sebanyak 70 - 90 % terhadap yuran pengajian. 

Maksudnya, jika tempat yang hendak diwujudkan adalah sebanyak 1 juta, maka kos yang perlu dimasukkan adalah kos pembinaan IPTA yang mencukupi, dalam kes ini bukan 10 IPTA, tetapi 100 IPTA (jika setiap IPTA mempunyai 10,000 tempat tambahan) + kos gaji dan pertambahan gaji tenaga pengajar dan pentadbir bagi mengajar 1 juta pelajar + subsidi yuran pengajian oleh kerajaan x 1 juta pelajar + tabung pengajian untuk baki yuran pengajian dan kos sara hidup x 1 juta pelajar. Kita perlu juga mengambil kira bahawa yuran pengajian IPTA di negara kita adalah relatif rendah dan gaji pensyarah dan pentadbir juga relatif rendah pada hari ini.

3. Konsolidasi IPTS meningkatkan daya saing dan menurunkan yuran dan kos pengajian

Konteks konsolidasi yang mengurangkan kos dan meningkatkan daya saing hanya BETUL dalam persekitaran tertutup yang menggalakkan monopoli ataupun dalam konteks usaha untuk memperkukuhkan institusi bagi menghadapi persaingan dari organisasi perniagaan yang lebih besar. Misalnya, penggabungan bank-bank di Malaysia bagi menghadapi persaingan dari bank-bank luar negara. 

Hujah konsolidasi mengurangkan yuran TIDAK BENAR dan menjadi sekadar retorik serta  pembohongan dalam konteks persekitaran terbuka, terutama dalam bidang pendidikan yang tidak dimonopoli oleh mana-mana pihak di dalam dan di luar negara. Malah jika lebih sedikit jumlah IPTS, maka terdapat kemungkinan berlaku peningkatan yuran akibat monopoli dan peningkatan permintaan.

Dalam konteks IPTA dan IPTS, lebih banyak IPTA dan IPTS di dalam negara, bermaksud lebih banyak tempat boleh diwujudkan dan lebih banyak program berkembar boleh dilaksanakan dengan intitusi pendidikan di luar negara, bukan hanya di UK dan US sahaja, tetapi di lebih banyak negara yang mempunyai sistem pendidikan dan bidang kepakaran yang diiktiraf. Ia bukan sahaja memberikan rakyat lebih banyak pilihan, tetapi juga akan mengakibatkan persaingan sihat dan menghalang monopoli yang akan mengakibatkan peningkatan yuran pengajian.


4 comments:

Johan said...

Saya ada melihat video klip percakapan telefon antara individu dari Malaysia (dari Pakatan) dengan pegawai perempuan konsul Brunai D.S. Pertanyaannya adalah "Adakah pendidikan di Brunai percuma?" Jawab pegawai kedutaan itu adalah "Ya, hanya bayar sedikit diawal tahun..." Maka puak mereka menuduh DS Najib menipu mengatakan hanya Norway sahaja memberi pendidikan universiti percuma. Saya menjangkakan pendidikan percuma di Brunai adalah pendidikan awal dan menengah sahaja. Bagi memasuki Universiti Brunai Darulsalam yuran dikenakan dantara B3000.00 dan B10,000.00 bergantung kepada jenis kursus yang ditawarkan. Oleh kerana bilangan pelajar tidak ramai maka hampir kesemua pelajarnya mendapat biasiswa.... cuba lihat pada laman web http://www.ubd.edu.bn/ ... terima kasih.

Anonymous said...

saya setuju dasar pendidikan percuma dengan syarat pendidik,pensyarah mengajar secara percuma kepada semua pelajar,tiada yuran pengajian IPT dan bagi IPTS.anggaplah mengajar sbg tanggungjawab pendidik.hehehe

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

tq Johan :)

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

mengajar secara sukarela? puak PR ni, buat ceramah politik makin hamun dan fitnah sana sini pun collect duit dr rakyat :)

Popular Posts