"Selangor
- Dua nakhoda, satu kapal, antara punca
BN kalah PRU13" - Zein Isma
SO-LI-DA-RI-TI
adalah perkataan yang paling banyak disebut oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib
Tun Razak di dalam ucapan dasar dan ucapan penggulungan beliau semasa Perhimpunan
Agung UMNO 2014. Adakah UMNO Selangor cukup bersolidariti bagi menawan semula
Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14?
Ketika
membahas Usul Ucapan Dasar Presiden, wakil Badan Perhubungan Negeri Selangor,
Datuk Zein Isma Ismail menyebut bahawa berdasarkan tinjauan umum antara faktor
utama kekalahan BN di Selangor adalah kehilangan sokongan kaum bukan
Melayu dan bukan Islam, pemilihan calon yang salah dan keadaan satu kapal, dua nakhoda dan perpecahan dalaman
UMNO Selangor.
Ramai
pemerhati politik Selangor berpandangan, nakhoda kedua yang dimaksudkan oleh
Zein Isma adalah Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed atau Zin
Badak, Koordinator BN Selangor semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)
yang bersaing kedudukan dengan Datuk Seri Noh Omar yang merupakan Timbalan
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor ketika itu.
Bagaimanakah
keadaan UMNO Selangor sekarang berbanding PRU13? Datuk Seri Najib telah
mengangkat Noh sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor. Pada waktu
yang sama, Datuk Seri Najib juga melantik Datuk Syukor Idrus sebagai Timbalan
Pengerusi, Datuk Johan Abdul Aziz sebagai Setiausaha, Datuk Seri Fateh Iskandar
sebagai Bendahari dan Datuk Zein Isma sebagai Ketua Penerangan.
Blog MIK mendakwa
terdapat perpecahan dalam kepimpinan tertinggi UMNO Selangor, di mana wujud kem
Noh yang disokong oleh Zein Isma dan kem Syukor yang disokong oleh Johan dan
Fateh sehingga menyebabkan UMNO Selangor kelihatan lembab dan mengakibatkan
kontroversi selepas Konvensyen UMNO Selangor 2014.
Bagaimanapun
Presiden UMNO baru-baru ini telah bersetuju mengekalkan Noh sebagai Pengerusi
dan sudah tentu, keputusan ini boleh menyebabkan krisis perpecahan dan fenomena
DUA NAKHODA sekali lagi jika tidak ditangani dengan betul.
UMNO
Selangor memerlukan suntikan semangat baru dan SOLIDARITI. UMNO Selangor juga
memerlukan pasukan yang lebih mantap dibarisi gandingan di antara pemimpin
berpengalaman dan pemimpin pelapis. Paling penting UMNO Selangor perlu dibarisi
kepimpinan dan jentera yang rajin bekerja bagi menentang kerajaan PR Selangor
yang dipimpin oleh Azmin Ali.
Sejauh
mana negeri Selangor penting kepada UMNO?
Pastinya
Selangor merupakan negeri yang penting bagi PR. Mereka akan melakukan apa saja
termasuk menjual agama dan bangsa, demi untuk mempertahankan kuasa di negeri
ini.
Selangor
adalah negeri bertumpunya ramai pemastautin daripada 13 negeri lain di luar
Selangor. Perantau mencari rezeki di Selangor dan mereka akan pulang mengundi
di negeri asal mereka. Apa sahaja yang disebut, dilaksanakan, baik atau tidak,
benar atau pun salah, oleh Kerajaan Pusat, UMNO Pusat dan UMNO/BN Selangor akan
mengakibatkan pembentukan persepsi dan impak yang besar bukan sahaja ke atas
pengundi yang mengundi di dalam negeri Selangor, malah akan dibawa pulang ke
kampung dan negeri-negeri lain oleh pengundi yang bermastautin di Selangor.
Kerajaan
Pusat dan UMNO Pusat mesti berhati-hati kerana setiap dasar dan tindakan mereka
mempunyai impak ke atas pengundi di Lembah Klang. Pada waktu yang sama, Badan
Perhubungan UMNO negeri-negeri lain pula, tidak boleh meminggir dan membiarkan
sahaja pengundi luar mereka tanpa sebarang bentuk engagement di negeri Selangor.
Sebagai
parti pembangkang di negeri Selangor, tidak mungkin UMNO/BN Selangor mempunyai
sumber dan masa yang mencukupi untuk mendekati dan membela kebajikan pengundi
pemastautin ini, lebih-lebih lagi pengundi di dalam negeri Selangor sahaja
sudah melebihi 2.05 juta orang.
UMNO/BN
Selangor adalah pembangkang yang sedang berhadapan dengan seteru yang kuat,
iaitu kerajaan PR kepada sebuah negeri yang mempunyai begitu banyak sumber.
Menyedari
hakikat ini, jika Selangor amat penting kepada BN, bukan sahaja BN Pusat perlu
memberi sebanyak mungkin bantuan, malah pemimpin-pemimpin UMNO di luar
Selangor, baik yang berjawatan mahupun sudah bergelar mantan, perlu memberikan
sebanyak mungkin sokongan dan meminimumkan risiko kekalahan BN di negeri
Selangor.
Seperti
kiasan Zein Isma di dalam ucapannya,
"Insafilah
bahawa kita ini semua.bersaudara dan saling bertaut, adat bersaudara, saudara
dipertahankan, cubit peha kanan, peha kiri terasa jua, ingatlah pesanan orang
tua, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat, kapal yang
satu tidak boleh bernakhoda dua, tidak mengapa menjadi ayam mencatuk anak, tapi
jangan sampai menjadi tikus membaiki labu, jangan memukul anak kerana ingin menyindir
menantu, elakkan menepuk air di dulang, kerana akhirnya memercik ke muka
sendiri, ingat2 bila bersorak, jangan diikut resam Pak Kaduk tiada gunanya
menang bersorak, kalau.akhirnya tergadai kampung"
Mampukah
UMNO Selangor bersolidariti di bawah kepimpinan satu nakhoda, iaitu Noh Omar
dan membentuk pasukan yang lebih mantap, berdisiplin, berkemahiran dan yang
paling penting, lebih banyak bekerja daripada bercakap?
Mampukah
pemimpin, ahli dan penyokong UMNO menghentikan serangan ke atas kepimpinan
UMNO Selangor dan menggantikannya dengan sokongan yang tidak berbelah bagi atas
nama SOLIDARITI agar UMNO Selangor semakin kukuh dan kuat untuk menawan semula
negeri Selangor dalam PRU14?
No comments:
Post a Comment