Friday, September 27, 2013

Inilah rayuan saya...




Seperti yang saya sebutkan di dalam tulisan sebelum ini, membuat rayuan adalah tanggung jawab saya, kerana ia bukan sahaja mengenai saya, Pemuda UMNO Malaysia dan Pemilihan UMNO 2013, tetapi kerana ia akan menjadi rujukan atau 'precedent' kepada banyak perkara selepas ini.

Rayuan Calon MT bukan soal pemilihan 2013 semata-mata @KhairyKJ @NajibRazak

Dalam rayuan saya, saya menyatakan bahawa saya tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan menggugurkan nama saya dari senarai Calon Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia sebaliknya hanya membaca mengenainya di portal berita BERNAMA.

Melalui portal berita BERNAMA, dilaporkan bahawa “tiada calon untuk nombor 11 dan 60 disebabkan mereka yang mengambil borang pencalonan tidak menyerahkannya semasa proses pendaftaran calon Sabtu lepas.” 

Saya ingin menyatakan bahawa laporan ini adalah TIDAK BENAR sama sekali dan saya mempunyai salinan Borang Pendaftaran Calon bernombor siri 0000465 yang mempunyai cop nombor calon 000060 dan penerimaan oleh Dato’ Hj Tajudin bin Harif, Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan UMNO Malaysia.

Melalui sumber-sumber tidak rasmi, saya telah dimaklumkan bahawa penolakan pendaftaran saya adalah disebabkan saya tidak pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Bahagian selama satu penggal. Alasan ini agak mengejutkan saya dan saya ingin merayu keputusan Jawatankuasa Pengurusan atas sebab-sebab berikut:- 

1. Keputusan untuk menawarkan diri dan penyerahan Borang Pendaftaran Calon dibuat selepas saya merujuk pelbagai pihak dalam pentadbiran parti termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Malaysia, Tan Sri Haji Mohammad Tajol Rosli bin Tan Sri Mohamed Ghazali. Hanya selepas mendapat pandangan mereka, barulah saya menyerahkan Borang Pendaftaran Calon kepada Urusetia Pendaftaran Calon di Tingkat 5, PWTC.

[Nota: Masih ada pertanyaan mengenai status saya yang belum dijawab, iaitu berkenaan hak saya untuk mengundi dalam pemilihan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia secara serentak di bahagian-bahagian pada 12 Oktober nanti. Jika saya masih mempunyai hak disebabkan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia masih belum bersidang, bagaimana dan di manakah saya harus mengundi pada tarikh itu. Maksudnya, sebelum melakukan sesuatu, saya telah bertanyakan kepada pihak-pihak tertentu mengenai kedudukan saya]

2. Pengguguran nama saya dari senarai calon agak tidak konsisten dengan semangat pindaan Perlembagaan UMNO yang diluluskan oleh perwakilan semasa Mesyuarat Agung UMNO pada tahun 2009. Keputusan Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan UMNO yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menambah syarat minimum kelayakan bertanding di peringkat Majlis Tertinggi adalah “bagi memastikan agar calon-calon dapat melalui proses kepimpinan parti di samping membolehkan mereka menghayati persekitaran politik akar umbi serta menjiwai semangat perjuangan parti yang sebenar sebelum menawarkan diri.” 

Persoalannya hari ini, adakah jawatan Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Malaysia di peringkat Pusat mempunyai kewibawaan yang lebih rendah daripada kewibawaan jawatan Ahli Jawatankuasa peringkat Bahagian? Kedua, adakah berdasarkan rekod prestasi dan pendirian saya selama ini di dalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saya dilihat sebagai BELUM DAPAT LAGI “menghayati persekitaran politik akar umbi serta menjiwai semangat perjuangan parti yang sebenar” sehingga belum layak menawarkan diri untuk bertanding di peringkat Majlis Tertinggi parti.

3. Walaupun ada alasan bahawa ia merupakan peruntukan di dalam Perlembagaan Parti dan Peraturan Pemilihan Parti, namun saya percaya sedikit pengecualian masih boleh diberikan untuk kes-kes terpencil seperti kes ini, sama seperti pengecualian yang dibuat bagi calon-calon Pergerakan Pemuda UMNO yang lahir pada tarikh 1 Januari 1973. Pengecualian ini boleh dilakukan tanpa menjejaskan semangat dan hasrat sebenar peruntukan dan pindaan Perlembagaan.

4. Mungkin terdapat sedikit kekhilafan dalam menafsirkan semangat pindaan Perlembagaan UMNO tahun 2009. Dari sudut pandangan saya, tambahan syarat minimum sebagai Ahli Jawatankuasa Bahagian selama satu penggal, seharusnya dibaca BUKAN sebagai syarat untuk MENGHALANG pemimpin yang berkelayakan untuk menawarkan diri bertanding di peringkat yang lebih tinggi, sebaliknya harus ditafsirkan sebagai syarat untuk MENGGALAKKAN lebih ramai pemimpin yang layak untuk menawarkan diri ke peringkat tertinggi sesuai dengan hasrat untuk menjadikan UMNO itu LEBIH DEMOKRATIK, LEBIH INKLUSIF DAN LEBIH TERBUKA.”

5. Penolakan pemegang jawatan Ahli Jawatankuasa Pemuda di peringkat Pusat untuk bertanding di peringkat Majlis Tertinggi boleh mengakibatkan tafsiran bahawa jawatan Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Malaysia mempunyai merit yang lebih rendah daripada Ahli Jawatankuasa Bahagian. Tindakan ini boleh dianggap sebagai rujukan atau `precedent’ dan mempunyai kesannya terhadap moral, heirarki dan mungkin pelbagai aspek lain lagi di masa hadapan.

Di atas lima sebab di atas dan juga rekod pencapaian serta perkhidmatan selama ini kepada parti dan perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air, saya memohon pertimbangan Jawatankuasa Pengurusan UMNO untuk mengekalkan saya sebagai calon Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia sidang 2013-2016.

Seperti yang saya nyatakan, niat dan tujuan saya membuat rayuan adalah jelas, ia bukan mengenai saya semata-mata, tetapi beberapa perkara lain yang berkaitan. Apa pun keputusan Jawatankuasa Pengurusan UMNO dan Jawatankuasa Pemilihan UMNO, saya akan tetap menghormatinya. Saya tetap ORANG UMNO dan tetap akan istiqamah dalam perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air.


5 comments:

minaq jinggo said...

Excellent rayuan write up...hopefully it gets a deserving response from our PM

http://mulutmelayu-realiti.blogspot.com/ said...

Mulanya saya pun tak faham kenapa ditolak. Tetapi apabila membaca penulisan RBF baru faham.

http://www.rbfonline.net/2013/09/kes-tun-faisalempat-tahun-rumah-siap.html

RR said...

mulanya saya pun tak faham kenapa harus diterima, selepas baca link bawah ni baru saya faham.

http://2.bp.blogspot.com/-ocUE8zKSYEs/UkfBImzh2kI/AAAAAAAAekk/MXsuPmLMPfI/s1600/000111-tf4mt.png

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

tq minaq jinggo:) thts the original spirit and i was there when the amendment was written

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

RBF bukan ada masa penulisan pindaan perlembagaan. saya ada membantu jk pindaan perlembagaan ketika itu. sebab tu saya kata ia soal tafsiran :)

Popular Posts