1. Kata Gabenor Bank Negara asas (fundamental) ekonomi negara kukuh, jadi kenapa nilai Ringgit Malaysia (MYR) jatuh? Adakah kerana pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak atau ada sebab lain?
2. Jika kita melihat pergerakan nilai ringgit sejak Januari 2009 (Rajah 1), nilai ringgit ketika itu adalah RM 3.70 kepada 1 Dollar Amerika (USD). Pada Januari 2010, nilai ringgit meningkat kepada RM 3.30. Peningkatan nilai ringgit hampir mencecah RM 2.90 pada Julai 2012 dan nilai ini turun naik di antara RM 3.20 ke RM 2.95 sepanjang tempoh Januari 2012 sehingga Julai 2014, sebelum turun kepada RM 3.20 pada penghujung tahun 2014 seterusnya kepada RM 3.70 pada Mac 2015. Sejak tahun 2009 sehingga hujung tahun 2014, nilai ringgit adalah kukuh berbanding USD, tetapi ketika kenaikan, kenapa ia tidak pernah dikaitkan dengan Datuk Seri Najib?
Rajah 1
3. Adakah hanya ringgit merosot? Jika dibuat perbandingan antara matawang negara lain dengan USD di sepanjang tempoh 1 Februari 2014 sehingga 25 Mac 2015 (Rajah 2), didapati bukan sahaja nilai ringgit jatuh, malah nilai Yen Jepun (JPY), EURO (EUR), Yuan China (CNY), Pound Great Britain (GBP), Dollar Australia (AUD), Dollar Singapura (SGD), Won Korea (KRW), Bath Thailand (THB), Peso Filipina (PHP), Rupee India (INR), Rupiah Indonesia (IDR) dan Dollar Taiwan (TWD) juga merosot. Najib, UMNO, BN dan 1MDB tiada di negara-negara ini tetapi kenapa nilai matawang negara-negara ini masih jatuh? Jawapan - nilai matawang negara-negara ini jatuh disebabkan kekukuhan nilai Dollar Amerika itu sendiri.
Rajah 2
4. Adakah ringgit jatuh kerana penarafan yang diberi oleh Agensi Penarafan seperti Standard & Poor (S&P), Moody dan Fitch? S&P memberi penarafan A(-)ve yang memberi maksud stabil, Moody memberi penarafan A3 yang bermaksud positif dan Fitch memberi penarafan A(-)ve yang bermaksud situasi ekonomi boleh mempengaruhi kewangan. Trading Economics (TE) memberi status stabil kepada Malaysia. Finance for Australian Exporters (EFIC) memberi komen berikut, "Malaysia enjoys a solid investment grade by credit rating agencies and has an OECD country credit grade of 2 (equivalent to the UAE, China and Lithuania)." Bagi agensi penarafan dan IMF, defisit perbelanjaan negara yang semakin berkurangan daripada 6.7% kepada 3.2% pada tahun 2015, ekonomi yang pelbagai dan pergantungan yang berkurangan kepada hasil minyak, rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan GST memberi keyakinan tentang kestabilan ekonomi, kewangan dan potensi Malaysia. (Rajah 4)
Rajah 4
5. Jika bukan kerana agensi penarafan, kerana apa? Ringgit boleh jatuh akibat berita buruk, khabar angin dan spekulasi. Salah satu sebab kenapa ringgit jatuh adalah kerana spekulasi akibat penurunan harga minyak dunia dan salah tanggap bahawa ekonomi Malaysia sangat bergantung kepada hasil minyak. Ekonomi Malaysia dispekulasikan akan runtuh akibat penurunan harga minyak dunia, sedangkan Malaysia telah mempelbagaikan sumber ekonomi dan mengurangkan pergantungan kepada hasil minyak.
6. Salah tanggap ini perlu dibetulkan kerana asas atau fundamental ekonomi Malaysia masih kukuh. Sepanjang tahun 2014, sektor komoditi hanya menyumbang 15% kepada KDNK negara dan sektor perlombongan menyumbang 8% daripada jumlah itu. 85% KDNK disumbangkan oleh sektor-sektor lain seperti Pembinaan (4%), Pembuatan (25%) dan Perkhidmatan (55%).
Rajah 5
7. Dari segi jumlah pekerjaan, hanya 1% bergantung kepada sektor Perlombongan, 14% dalam sektor komoditi lain dan 85% dalam sektor-sektor lain. Dari segi hasil pendapatan negara, pada tahun 2009 hasil minyak menyumbang 41% dan sumber-sumber lain 59%. Pada tahun 2014, hanya 30% disumbangkan oleh hasil minyak, 70% oleh sumber-sumber lain. Dari segi pelaburan, 19% berada dalam sektor perlombongan, 3% dalam komoditi lain dan baki 78% dalam sektor-sektor lain. Dari segi eksport, hanya 23% terdiri daripada komoditi termasuk minyak, 77% adalah barang-barang pembuatan. (Rajah 5)
Rajah 6
8. Bukan saja ekonomi negara dipelbagaikan, tetapi negara sasaran eksport juga dipelbagaikan untuk mengelakkan pergantungan dan mengurangkan risiko. Selain eksport ke ekonomi utama dunia seperti Jepun (11%), Amerika Syarikat (8%), Kesatuan Eropah (9%), negara juga mengeksport ke China (12%), ASEAN (11%), Negara-negara Newly Industrialised Economies (NIE's) seperti Hong Kong, Taiwan dan Singapura (26%) dan negara-negara lain di dunia (22%). (Rajah 6)
9. Spekulasi, khabar angin dan berita buruk juga boleh menjejaskan nilai ringgit kerana boleh mengakibatkan pengeluaran modal oleh pemilik asing dari pasaran bond dan sukuk Malaysia. Ketika ini pasaran bond/sukuk Malaysia adalah yang paling besar di Asia Tenggara dan ketiga terbesar di Asia. Pemilikan asing ke atas bond kerajaan Malaysia pernah hampir mencecah 50% dan pengeluaran modal secara besar-besaran boleh menjatuhkan nilai ringgit. (Rajah 7)
Rajah 7
10. Berbeza dengan agensi penarafan yang menilai keupayaan ekonomi dan kewangan negara dari aspek fundamentalnya, pelabur-pelabur asing adakalanya keluar masuk pasaran bond dan sukuk ini disebabkan faktor spekulasi, khabar angin dan berita buruk.
11. Ada ketika, nilai ringgit jatuh kerana risiko pengeluaran akibat pulangan yang lebih tinggi ditawarkan oleh Perbendaharaan Amerika Syarikat. Ada ketika disebabkan oleh agensi penarafan. Ada ketika kerana salah tanggap bahawa ekonomi Malaysia sangat bergantung kepada minyak. Ada ketika akibat persepsi dan khabar angin yang direka dan disebarkan.
12. Persepsi dan khabar angin boleh menjejaskan keyakinan seperti demonstrasi jalanan 1998 menjejaskan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia yang ketika itu kelihatan tidak stabil dari segi politik.
13. Hari ini, perkara yang hampir sama berulang apabila persepsi dan khabar angin digunakan untuk menjejaskan keyakinan terhadap negara. Gambaran yang cuba ditonjolkan adalah politik Malaysia sekarang tidak stabil, sedang bergolak dan pemimpinnya tidak boleh diyakini disebabkan oleh isu 1MDB.
14. Agak pelik bila akhbar-akhbar asing mula memainkan berita bahawa Perdana Menteri sedang dijatuhkan, terlibat dengan pembunuhan Altantunya dan sedang berhadapan dengan 'maut dalam senyap'. Tujuannya tidak lain untuk mewujudkan persepsi bahawa politik di Malaysia sudah semakin tidak stabil.
15. Pada waktu yang sama khabar-khabar angin mengenai 1MDB dimainkan secara berterusan dengan tujuan mengurangkan lagi keyakinan terhadap pengurusan kewangan negara.
16. Soal betul atau tidak khabar-khabar angin ini tidak penting kerana yang diinginkan oleh penggeraknya adalah persepsi yang buruk terhadap pemimpin negara. Pemimpin dibicarakan melalui media bukan oleh proses siasatan oleh badan yang berautoriti.
17. Bagi penggerak khabar angin ini, kenyataan Petrosaudi bahawa, "semua modal yang dilaburkan oleh 1MDB telah dipulangkan dengan keuntungan" dan kenyataan 1MDB bahawa "pelaburan dengan Petrosaudi memberi keuntungan USD 488 juta" tidak memberi makna. Bukan itu saja, perakuan-perakuan oleh syarikat juruaudit Deloitte, yang merupakan salah satu daripada 4 syarikat juruaudit terbesar di dunia juga tidak mempunyai makna.
18. Malah walaupun Perdana Menteri telah berjanji Ketua Audit Negara akan melakukan audit forensik dan meminta Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyiasat akaun 1MDB juga tidak mungkin dapat memuaskan hati penggerak khabar angin ini. Bukankah tujuan audit dan siasatan ini untuk mendapatkan kebenaran dan kepastian atas semua dakwaan dan khabar-khabar angin ini?
19. Apa yang penting bagi mereka adalah untuk menerus memainkan persepsi. Tun Daim sendiri menyebutnya dengan begitu jelas, "there's nothing wrong with the ringgit but people dont have faith in this country.."
20. "Tiada masalah dengan ringgit sebenarnya," kata Tun Daim; "Tiada masalah dengan fundamental", kata Gabenor Bank Negara. Habis tu masalahnya apa? Masalahnya dengan khabar angin yang terus menerus digerakkan untuk menghilangkan keyakinan terhadap kepimpinan negara. Dalam kenyataannya menafikan dakwaan pembawa khabar angin, Petrosaudi menyebut, "Unfair or false attacks on investors and partners of Malaysia only serve to damage the country". Adakah ini satu bentuk sabotaj kepada ekonomi negara?
2 comments:
Sedikit pandangan :-
1. Malaysia terlalu sibuk dengan polemik politik negatif. Lepas satu, gerenti ada lagi isu baru yang di lonjakkan. Kemelut Anwar Ibrahim hampir reda, namun kemelut 1MDB ( maaf aku tafsirkan 1 - DSNajib , M - Tun M, D - Tun Daim
dan B - Board of directors 1MDB yang bilangan beribu di luar sana menyebelahi pihak-pihak yang di sokong ) Secara berani JLhoh secara
"direct" menghempas beberap ahli Umno dan Melayu secara khusus.
Beberapa hari sudah, harga saham mula pulih, ringgit mula naik TETAPI sentimen politik terkini membantutkan harapan pemain-pemain
ekonomi.
2. Sepanjang pentadbiran DS Najib, renungkan,
bila waktu yang benar-benar politik Malaysia itu terkawal dan agenda pembangunan negara betul-betul terfokus ? Dari kemelut MAS,
Khazanah, GLC / I bermula dari Sime Darby hingga melanda Petronas yang di anggap pencatur ekonomi Malaysia demikian juga TNB,
Felda dan Felcra, Kemelut syarikat Air sehingga lah melingkari permasaalahan rakyat marhaein yang semakin keliru dengan masa depan
negara. Bukan kah semus pergerakan ini, oenanda aras kekuatan ekonomi kita yang boleh sahaja kekal pada indeks nya ? Bukan kah
Malaysia dengan nilai wang ringgit nya boleh sahaja menjadi kompetitif jika segala kemelut politik yang di politikkan berjaya di kawal ?
3. Setiap negara di dunia terkesan dengan kejatuhan harga minyak mentah. Tiada negara yang tidak memerlukan komoditi ini. Jika keadaan ini berlaku, bagaimana harus M'sia menangani nya ? Tidak lain merasionalisasikan bajet negara. Berhemah dan bijak mengurus ekonomi domstik seperti telah di buat. Aliran tunai, pelaburan terkawal, gunatenaga dan menjana simpanan rakyat. Mengawal inflasi.
Keadaan biasa tujahan ekonomi yang kini menjadi contoh dan amalan negara besar sepert i AS dan China. Masih tidak nampak keupayaan kita ?
Maka sia-sia lah pemimpin-pemimpin Melayu bercakatan sesama sendiri. Akhir nya, ekonomi kita tetap juga di tangan asing.... Bila agenda
bumiputra boleh berkembang dan boleh menjadi indeks prestasi ?
Ingat Saham MARA ? Apa sudah jadi ?
Melayu itu pengguna terbesar Malaysia. Kenapa tidak boleh sokong menyokong ? Boleh sahaja RM itu kuat nilai nya jika rangkaian dan rantaian Melayu ini berkembang pesat, gigih berkerja dan mencakupi semua bidang dari buruh kasar sehingga lah ke makro nya,
Dalam keadaan Melayu ramai berpendidikan tinggi, sudah terdedah secara global, masih kah ookitik yang membawa rebah menjadi pilihan ? Itu kenapa nilai ringgit kita selalu tidak kompetetif !
tq sdr maae, kita jarang melihat yang positif tetapi suka melihat yang negatif dan mempercayai yang negatif sebelum menyelidikinya
Post a Comment