Sistem Pemilihan UMNO selepas Pindaan Perlembagaan sebenarnya tidak memberi kelebihan kepada muka-muka baru. Dengan jumlah perwakilan yang melebihi 150,000 orang, tempoh kempen yang pendek berbanding pemilihan yang lepas dan Tata Etika Ahli UMNO yang terlalu ketat dan lapuk (`outdated'), kelebihan memihak kepada pemegang jawatan terutamanya para Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar, pemimpin-pemimpin UMNO Pusat dan negeri, termasuk Ahli-ahli Parlimen. Sesi pengenalan calon yang singkat anjuran Jawatan Kuasa Pemilihan UMNO dan Badan Perhubungan Negeri-negeri pula tidak mungkin memadai untuk memperihalkan kehebatan dan potensi calon-calon muka baru.
Biarpun Tata Etika Ahli UMNO bertujuan baik, iaitu untuk menghalang kempen saat akhir secara tidak sihat, termasuk politik wang oleh calon-calon `parachute', calon pemalas atau yang tidak berkhidmat secara konsisten, namun kesan buruknya adalah ia menyebabkan kemahiran berkempen para calon tidak dapat diperkembangkan. Jika diikuti 100%, boleh dikatakan calon hampir tidak dibenarkan berkempen sama sekali. Mungkin ini salah satu sebab kenapa ada di kalangan pemegang jawatan yang tidak mampu berucap dengan baik dan tidak berkemahiran mengendalikan kempen secara berkesan.
Malangnya, untuk berhadapan dengan pembangkang, kemahiran berkempen amat diperlukan. Dalam tempoh 10 ke 14 hari Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Umum misalnya, tentunya kebolehan berkempen pemimpin UMNO diuji bagi mendapatkan kemenangan. Namun, jika dalam pemilihan parti, dengan berpandukan Tata Etika Ahli UMNO yang agak lapuk, tidak mungkin pemimpin UMNO benar-benar dapat diuji untuk mengendalikan kempen dan mengasah daya penarik sebagai calon. Maka tidak mungkin UMNO akan mendapat pemimpin mampu berkempen dengan berkesan untuk BN.
Khabarnya, ada `peraturan baru' yang menghalang nombor calon dari dicetak dan dipamerkan. Kalau begitulah keadaannya, malanglah para calon, dan lebih malang lagi para perwakilan yang tidak mungkin boleh mengenali wajah dan mengingati nama 64 orang calon Majlis Tertinggi, 77 orang calon exco Pemuda, 44 orang calon exco Wanita dan 30 orang calon Exco Puteri.
No comments:
Post a Comment