Tahniah kepada Ketua Pengarah Rela, Dato' Mustafa Hj Ibrahim dan semua warga RELA kerana akhirnya RELA akan diiktiraf sebagai sebuah Jabatan. Selepas sekian lama berjasa dan begitu lama menunggu, warga RELA mempunyai satu sebab utama untuk bergembira selepas 41 tahun penubuhannya. RELA di bawah kepimpinan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah melalui proses transformasi dan kelahiran semula (rebirth) selepas termansuhnya proklamasi darurat 1960 dan terbentuknya Akta RELA atau Rang Undang-Undang Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012.
Melalui usaha Menteri Dalam Negeri yang baru, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, nampaknya imej RELA akan diangkat lagi.
Tahniah kepada Datuk Seri Zahid yang telah berjaya merealisasikan impian warga RELA.
Ia bukan suatu usaha yang mudah dan telah mengambil masa bertahun-tahun lamanya.
Dengan usaha Datuk Seri Zahid ini, RELA bakal dijadikan jabatan dan mudah-mudahan RELA juga akan diberikan bangunan Ibu Pejabat yang baru, selain uniform baru. RELA juga memerlukan kenderaan rasmi baru, kerana Perodua Kembara yang diperoleh sekian lama dahulu sudah daif dan tidak sesuai sama sekali digunakan di kawasan-kawasan pedalaman terutama di Kelantan, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak.
Peranan RELA yang telah dikecilkan atas nasihat Jabatan Peguam Negara seharusnya diperbesarkan semula dan pangkat yang ingin dianugerahkan seharusnya mengambil kira sensitiviti dan perasaan 3 juta anggota RELA dan bukan pandangan anggota tentera semata-mata.
KDN bawa usul ke Kabinet perkenal imej baharu Rela
Kementerian Dalam Negeri akan mengemukakan memorandum kepada Kabinet bagi mendapatkan kelulusan menjadikan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) sebuah jabatan berasingan di bawah kementerian itu.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, memorandum itu yang akan diusulkan dalam masa dua minggu lagi tidak akan melibatkan sebarang pertambahan peruntukan dan jawatan untuk jabatan berkenaan.
Beliau berkata, selain dapat memperkasa perkhidmatan anggota Rela langkah itu juga diyakini mampu memperkukuh jabatan tersebut menjadi sebuah unit bebas di bawah kementerian itu.
"Walau bagaimanapun, peranan anggota tidak akan berubah iaitu sebuah organisasi kesukarelaan yang membantu polis dan pihak berkuasa lain menjaga ketenteraman awam.
"Melalui memorandum baharu ini juga, imej anggota RELA turut berubah dengan kementerian akan memperkenal pakaian baharu iaitu berbentuk celoreng digital," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Menteri Dalam Negeri Bersama Warga Rela di kementeriannya di sini malam ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abd. Rahim Mohd. Radzi dan Ketua Pengarah Rela, Datuk Mustafa Ibrahim.
Menurut Ahmad Zahid, ekoran tidak melibatkan peruntukan tambahan, kesemua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mendapat peruntukan bersetuju menyumbang sebanyak RM20,000 seorang untuk menyediakan pakaian anggota Rela di kawasan masing-masing.
"Kementerian juga telah memutuskan setiap ahli Parlimen akan dilantik sebagai pegawai kehormat sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen yang diberikan terhadap peranan anggota Rela di kawasan masing-masing.
"Melalui memorandum yang akan diusulkan, kementerian juga akan membantu menyediakan setiap kelengkapan bersesuaian kepada anggota Rela semasa menjalankan tugas," katanya.
Dalam pada itu, katanya, Rela masih dalam peringkat perbincangan untuk memperkenal pemakaian pangkat jawatan baharu bagi mengelak persamaan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). - Utusan
No comments:
Post a Comment