Wednesday, September 5, 2012

Apabila @Zahid_Hamidi dedahkan `rahsia' pertahanan negara kepada pengamal media sosial..

tudm-513



Ini baru pengalaman sejuta ringgit...
SELASA, 04 SEPTEMBER 2012 22:42 HELME HANAFI
http://agendadaily.com/Muka-Hadapan/ini-baru-pengalaman-sejuta-ringgit.html

Kalau ada RM1juta nak 'beli' pengalaman mengikuti lawatan ke Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Pengkalan Udara Kuantan, pada Isnin, tidak akan jadi. Duit mungkin boleh beli banyak benda, tapi rahsia pertahanan negara tidak untuk dijual beli.

Ini kali pertama TUDM mempamerkan beberapa aset strategiknya kepada orang awam bagi menunjukkan sebahagian kemampuan mereka menjaga pertahanan udara Malaysia.

Kira bertuah sungguh rombongan lebih 80 orang editor kanan media, blogger, pengiat facebook dan twitter terpilih dari seluruh negara.

Kisahnya bermula dari bulan Ramadhan lagi, orang-orang yang dipilih oleh Kementerian Pertahanan kena hantar gambar berserta biodata untuk tujuan tapisan.

Dari hari ke hari, macam-macam pulak maklumat yang dipinta, tetapi syukurlah, semua beres pada 2 September selepas menerima telefon dari pegawai Kementerian untuk berada di Pengkalan Udara Subang pada jam 6.00 pagi 3 September.

Rombongan kami, di bawa ke Pengkalan Udara Kuantan menggunakan pesawat Charlie-130 yang memuatkan lebih 100 orang, selain anggota rombongan ada juga pegawai kementerian, selain kakitangan TUDM sendiri.

Tiba-tiba di tengah-tengah ruang udara, keadaan dalam pesawat yang sedia bising, bertambah bising selepas terdengar deruan dua jet pejuang MiG-29 yang buat misi memintas pesawat kami.

tudm6-300

"Alamak..." kata seorang kawan yang tidak senang duduk tengok jet tersebut terbang beriringan dan pesawat kami.

Kami yang tidak tahu menahu ingat pesawat ada problem enjin ke... ye lah kebanyakannya kali pertama naik C-130, dan bunyi bisingnya memang luar biasa.

Dalam hati berdoa semoga tidak ada apa-apa yang buruk terjadi, tidak lama kemudian pesawat mendarat dengan amat kasar, memang berderau darah rasanya.

Naik C-130 ini, bukan macam naik pesawat komersial, bunyi bising yang terlampau itu menyebabkan kita hilang deria, tidak pasti pesawat di udara ke, di darat, bergerak atau berhenti, semuanya sama.

Sebaik pintu dibuka, sepasukan tentera eilit TUDM Paskau, menyerbu dan menjerit-jerit minta semua ahli rombongan berbaris.

"Depa buat lawak apa ni..." kata seorang kawan saya. Beliau mungkin sikit tension, sudahlah baru berdepan pengalaman 'ngeri' tiba-tiba kena jerkah pulak.

Anggota Paskau itu tidak menunggu lama, dalam kami berbaris berjalan, seorang lelaki yang berjalan tidak jauh dari saya, diherat dan dibaling ke tanah.

Ya Allah, kata saya, lelaki tersebut memakai baju korporat yang sama dengan kami pakai, maknanya ahli rombongan media yang dibawa ke Kuantan.

Lepas sorang-sorang kena terajang dan melutut. Saya boleh agak ini sebahagian demonstrasi Paskau, tapi ingatkan budak yang di depan saya kena baling ke tanah, saya jadi geram.

Jangan-jangan aku pun kena baling sama, sat lagi...hati saya berdetik.

Sampai giliran saya, memang dah sedia, kalau dia baling, saya siap mempertahankan diri, tapi syukur selamat. Ada lima orang semuanya yang melutut dan diberkas.

Kami yang sibuk ambik gambar kemudian dimaklumkan, demonstrasi tersebut menggunakan anggota Paskau bukan orang awam.

"Mereka menyamar dengan memakai baju macam tuan-tuan," kata Datuk Zahid Hamidi yang menyambut kami dengan ketawa panjang.

Mungkin dia puas hati sebab kami semua sudah 'terkena'.

tudm2

Rupanya kehadiran pesawat MiG-29 itu untuk demo plan intercept dan force down oleh TUDM.

Manakala yang geng Paskau dok menjerit dan memcampakkan orang ke tanah itu, sebahagian dari demo security inspectn oleh pasukan elit TUDM itu.

Selepas jamuan pagi, berbagai pertunjukan lagi diatur, dari yang melibatkan terjunan udara, hinggalah yang meletup-letup dengan api menjulang naik setinggi bangunan tiga tingkat.

Untuk terjunan, Pengerusi UMB, Tun Faisal Ismail bersama wartawan kanan The Star ambik bahagian mewakili rombongan kami.

Mereka terjun dari ketinggian 10 ribu kaki dengan diikat belakang anggota Paskau.

tudm-400

Saya tidak pasti apa jadi dengan terjunan wartawan kanan The Star terbabit, tapi saya dimaklumkan Tun Faisal 'berpusing-pusing' akibat hard landing masa mendarat. Nasib badan.

Selain pertunjukan demi pertunjukan tersebut, kami juga dibawa melihat pameran statik beberapa senjata terkini TUDM.

Ada bom yang boleh memecahkan bunker dan dipandu berdasarkan pancaran laser, ada alatan-alatan yang digunakan Paskau dan sebagainya.

Di setiap sesi ada pegawai-pegawai TUDM yang bertugas memberikan penerangan kepada kami.

Selain pertunjukan dan pameran, kami juga untuk kali pertama dalam sejarah TUDM berpeluang melihat Command and Control system di Sqdn 320 Sector Operations Centre 02 (SOC02) atau singkatannya SENTRY.

tudmsentry

Teknologi ini bukan sebarang teknologi, baru dipasang pada 2011, dibeli dari Amerika dan menjadi mata TUDM di ruang udara.

Nak cerita bagi mudah, setiap pergerakan pesawat, kecil atau besar, sepanjang ruang udara Malaysia, semua dalam pemantauan 24 jam TUDM.

Sistem tersebut dapat mengenal pasti dengan mudah pesawat yang dikenali dan tidak dikenali berdasarkan warna pada jalur yang terbentang besar pada skin pemantauan.

Kalau warna biru, friendly, kalau warna kuning, pesawat tidak dikenali, maknanya dia belum hubungi menara kawalan untuk lapor keberadaannya dan jika yang warna kuning itu kekal tidak lapor dalam masa dua minit, jalur tersebut akan bertukar oren.

Makna jalur oren adalah pencerobohan, jika pesawat gagal dikenalpasti dalam tempoh lima minit seterusnya, dua pesawat MiG-29 akan digunakan untuk membuat 'siasatan'.

Wah bukan main-main rupanya menjaga kawalan udara negara ini, ada kes menurut penerangan pegawai TUDM itu membabitkan pesawat sebuah negara kuasa besar dunia.

Pesawat tersebut enggan melaporkan kehadiran mereka, tetapi dengan didikasi TUDM, dalam tempoh singkat, ia berjaya dikenalpasti berikutan 'pengakuan' oleh kedutaan negara tersebut.

"Ada lebih 2000 kes membabitkan 'pencerobohan' pesawat sebuah negara jiran, itu kita akui, tetapi ia bukan 'pencerobohan' dengan niat jahat," kata pegawai tersebut.

Sebelum itu, kami bertanya soalan mengenai pesawat Singapura yang selalu dikatakan penceroboh ruang udara Malaysia.

Menurut TUDM, apa yang sebenarnya berlaku adalah, Malaysia dan Singapura berkongsi ruang latihan bersama-sama di satu kawasan luas tidak berpenghuni di Laut China Selatan.

Jadi pesawat Singapura yang hendak ke situ perlu melalui berhampiran dengan ruang udara Malaysia dan ada ketikanya mereka 'termasuk' berikutan faktor cuaca, juruterbang baru, dan lain-lain.

tudm-helme400

"Setiap kali terjadi kami akan hantar laporan kepada Wisma Putra dan selalunya Wisma Putra akan hantar nota diplomatik," ujarnya.

Jadi 'pencerobohan' yang selalu diperkatakan itu bukanlah ancaman kepada kedaulatan negara.

Dan bukan hanya Singapura kerana terdapat juga kes pesawat Thailand 'termasuk' ruang udara kita di Langkawi semasa latihan.

Yang penting adalah TUDM sentiasa memantau dengan rapi setiap pergerakan masuk dan keluar ke dalam ruang udara kita.

Tiada satupun yang terlepas, kerana jika ada yang menggunakan teknologi yang gagal dikesan radar, TUDM ada cara lain mengesan pesawat halimunan tersebut.

Cuma kami tidak dimaklumkan dengan teliti berikutan faktor keselamatan, namun dari riak wajah pegawai TUDM yang beri penerangan tersebut, saya boleh buat kesimpulan TUDM ada teknologi untuk kesan pesawat anti-radar.

Selain SENTRY kami juga ditunjukkan bilik simulasi latihan peperangan udara yang membabitkan teknologi canggih yang menjimatkan puluhan juta kos latihan juruterbang-jururterbang elit pesawat perjuang TUDM.

Bilik simulasi 360 darjah tersebut lengkap dengan semua rekod dan situasinya seperti dalam keadaan peperangan sebenar.

tudm4001

Selain simulasi untuk melatih pegawai-pegawai yang mengendalikan menara kawalan penerbangan.

Sungguh mengujakan lawatan setengah hari yang berakhir jam  2.00 petang itu. Walaupun sekejab namun padat dengan penerangan dan info yang patut dan boleh diceritakan kepada pembaca.

Selepas makan tengah hari ada sesi dialog dengan Datuk Zahid Hamidi, beliau dalam ucapan pembukaannya mengalu-alukan 'peluru-peluru' untuk dijawab beliau dalam sesi berterus-terang itu.

Ada macam-macam soalan, tapi paling menarik bab kehilangan enjin jet F-5E yang heboh diperkatakan tidak lama dulu.

Datuk Zahid tersenyum dengar soalan, selepas tarik nafas, beliau cerita dari A-Z apa yang jadi, ada yang boleh tulis ada yang tidak sebab kes masih dibicarakan di mahkamah.

Cukuplah untuk dikatakan, kes tersebut membabitkan seorang sarjan kebetulan ada kedai besi buruk dan kekasih warga Rusia.

Beliau menggunakan kedudukannya sebagai sarjan untuk mencuri masa cuti perayaan, sehingga anggota bawahan tidak menyedari apa yang terjadi.

Kes tersebut mendapat liputan berikutan desana dan spekulasi pembangkang. Namun yang mengecewakan kata Datuk Zahid, selepas sarjan tersebut didakwa, peguam pembangkang (DAP) juga yang membela beliau.

Dan cuba menjadikan isu tersebut sebagai isu kaum.

"Hakikatnya senang saja, dia buat kerja sorang-sorang, tiada pegawai yang terlibat dan kini enjit pesawat tersebut sudah kembali dan ada dalam simpanan TUDM," katanya.

Sebelum ini, enjin tersebut telah dijual ke luar negara dan ditemui di sebuah negara Amerika Latin.

Berkat dokumentasi TUDM yang lengkap, Peguam Negara berjaya mendapatkan semula enjin tersebut dan khabarnya baru tiba pada bulan Ramadhan lalu.

Lawatan tersebut berakhir selepas kami dengan selamatnya mendarat di Pengkalan Udara Subang kira-kira jam 4.00 petang.

Ingat dah habis, rupanya ada lagi acara makan dan sembang-sembang dengan pegawai-pegawai TUDM sehingga jam 7.00 malam di Kelab Rekreasi Tentera Udara.

Kambing golek jadi menu minum petang kami. Syukur, pengalaman yang mahal dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

tudm3

Harap lepas ini, Datuk Zahid ajak pi naik kapal selam pulak. Akhirnya, terima kasih TUDM, terima kasih semua.-4/9/2012 OLEH HELME HANAFI


1 comment:

Anonymous said...

terbaik tuan... sesungguhnya dgn lawatan ini dapat meningkatkan jatidiri tuan2 semua supaya cinta akan malaysia

Popular Posts