Wednesday, February 22, 2012

Kawasan Parlimen Sembrong dicerobohi pembangkang?


Kerusi 'mini Malaysia' mula diintai
Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

''Kami tidak rela seinci pun kawasan perkampungan kami ini dipijak oleh pemimpin pembangkang.''

Itulah kata-kata semangat yang diucapkan oleh Tok Batin Perkampungan Orang Asli Pengkalan Tereh, Sembrong, Jarih Uni ketika menyambut ketibaan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Ahli Parlimen Sembrong ke kawasan itu, pada Jumaat lalu.

Sememangnya, Sembrong merupakan salah satu kawasan yang dikatakan menjadi sasaran utama pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.

Mereka bukan sahaja sudah mula mengatur strategi, malahan mula bergerak untuk menggempur kawasan Parlimen itu yang dianggap salah satu kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Johor.

Sembrong dianggap 'mini Malaysia' dan perbandingan ini sering dilafazkan oleh Hishammuddin setiap kali balik ke kawasan berkenaan.

Peratusan komposisi kaum di Sembrong hampir sama dengan negara iaitu kira-kira 53 peratus daripada penduduknya terdiri daripada Melayu, manakala hampir separuh lagi adalah masyarakat Cina, India dan lain-lain kaum termasuk Orang Asli.

Malah, Sembrong adalah kawasan Parlimen yang diterajui seorang pemimpin Melayu yang mengandungi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing di bawah pemimpin masyarakat berketurunan Cina dan India iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Hoo Seong Chang dan ADUN Kahang, R. Vidyanathan.

Bukan sekadar persamaan daripada segi komposisi kaum, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan Sembrong menjadi model dan lambang perpaduan kaum di negara ini.

Sepanjang mengikuti lawatan beliau selama sehari ke Sembrong pada Jumaat lalu, penulis mendapati, Hishammuddin begitu menekankan soal betapa pentingnya Sembrong terus dipertahankan di bawah BN.

Beliau mahu perbezaan kaum di kawasan berkenaan dijadikan kekuatan bagi mengecap kejayaan dan bukannya perbalahan.

''Janganlah kita termakan dengan janji dan hasutan pihak-pihak tertentu, mereka hanya datang ke sini menabur janji dan kemudiannya tidak melakukan apa-apa.

''BN dan UMNO tidak mengamalkan fahaman politik sempit sebaliknya memastikan semua kaum menikmati kesejahteraan,'' kata Hishammuddin ketika berucap di majlis bersama masyarakat Orang Asli, Pengkalan Tereh, di Sembrong.

Mesej yang itu turut disampaikan oleh beliau ketika bersama masyarakat di Ladang Paloh yang dianggap cukup istimewa kerana perpaduan kaum di situ.

Hakikatnya, Hishammuddin menyampaikan mesej mengenai perpaduan dan mempertahankan kerusi BN itu, bukanlah demi meraih sokongan politik semata-mata tetapi bagi memastikan kehidupan rakyat di Parlimen Sembrong dan mana-mana kawasan yang diwakili parti itu tidak musnah akibat mainan politik parti pembangkang.

Ketika ini semua orang di Sembrong tahu bagaimana ghairahnya parti pembangkang hendak menawan kawasan Parlimen berkenaan. Mereka bukan sekadar melemparkan janji kosong, malahan 'senjata memfitnah' terutamanya ke atas Hishammuddin mula digunakan.

Selain itu, pemimpin-pemimpin pembangkang juga mengatur program ceramah di kawasan berkenaan, terbaru pada Sabtu lalu, apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun ke Sembrong.

Seperti biasa mereka turun untuk menabur janji, fitnah dan tohmahan kepada BN, matlamat mereka hanya satu iaitu merampas kerusi Parlimen tersebut.

Tetapi persoalannya, apakah ia akan menguntungkan rakyat Sembrong jika pembangkang menguasai kawasan berkenaan?

Ketika ini Sembrong sudah cukup unik dengan gandingan tiga pemimpin BN yang mewakili tiga kaum utama di negara ini iaitu Hishammuddin, Seong Chang dan Vidyanathan.

Gandingan inilah yang memungkinkan nasib masyarakat Sembrong dibela dengan sebaik-baiknya, tiada yang dipinggir atau ditinggalkan termasuklah masyarakat Orang Asli.

Oleh itu kenapakah perlu keistimewaan tersebut mahu dimusnahkan hanya kerana termakan janji pembangkang. Bagaimanapun setakat ini, biar pun apa juga yang dilakukan oleh pembangkang, ia belum mampu menggugat BN.

Hishammuddin dan pemimpin-pemimpin BN di situ tetap tenang menghadapi cabaran berkenaan malahan di kalangan penduduk mereka tidak akan mudah 'menggadaikan' kerusi Parlimen Sembrong yang dianggap 'mini Malaysia' itu.

Kemesraan, keprihatinan dan kesungguhan Hishammuddin bersama-sama pemimpin-pemimpin BN untuk membela nasib masyarakat Sembrong bukan sekadar retorik.

Sebaliknya ia dilakukan bersungguh-sungguh, penulis diberitahu bagaimana Hishammuddin memastikan setiap janji yang beliau lakukan kepada masyarakat di Parlimen itu ditunaikan.

''Kami kena catatkan setiap apa yang beliau janjikan dan melaporkan kepada beliau sama ada ia sudah ditunaikan atau tidak,'' kata seorang pegawai khas Hishammuddin kepada penulis.

Selain secara bersemuka, Hishammuddin juga menjadikan twitter beliau untuk berhubung dengan masalah Sembrong. Setiap permasalahan yang dibangkitkan di laman itu akan dicatat dan diambil tindakan.

Semua itu beliau lakukan kerana ingin memastikan masyarakat Sembrong tidak menganggap BN sama seperti pembangkang hanya tahu menabur janji.

Sembrong seharusnya dijadikan contoh kepada kawasan-kawasan lain yang dikuasai oleh BN bahawa untuk mempertahankan sesuatu kawasan bukanlah sukar sangat jika pemimpin atau lebih tepat lagi wakil rakyat mengambil berat kawasan mereka.

Tetapi masalahnya ramai di antara mereka tidak berupaya mengekalkan prestasi seperti mana dilakukan oleh Hishammuddin dan menteri Kabinet lain yang perlu membahagikan masa antara kesibukan tugas di Pusat dengan tugas di kawasan yang diwakili.

''Turun jumpa rakyat macam ini lebih seronok, kita dapat tahu masalah dan pandangan mereka,'' kata Hishammuddin yang bergerak selama lapan jam tanpa berhenti bagi menghadiri program-program yang diatur pada hari berkenaan.

Sememangnya bagi mereka yang ingin menjadi wakil rakyat, keletihan dan kepenatan tidak harus ada dalam diari mereka memandangkan apa yang lebih penting ialah meninjau masalah rakyat dan menghakis tohmahan pembangkang.

Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh semua wakil rakyat BN terutamanya mereka yang tidak ada jawatan di peringkat pusat.

Mereka perlu kerap turun ke kawasan dan berdamping dengan rakyat bagi menyampaikan mesej kerajaan, sekali gus mengelakkan kawasan mereka diintai oleh pembangkang.

Dalam menghadapi perubahan politik pada masa ini, tiada mana-mana pun kawasan boleh dianggap selamat bagi BN kerana pembangkang sanggup melakukan apa sahaja untuk menang pilihan raya.

Oleh itu, pemimpin-pemimpin BN di semua peringkat tidak terlalu ghairah untuk menjadi calon kerana tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bukan sekadar mempertahankan kedudukan sebagai YB tetapi lebih penting kesinambungan perjuangan parti.

No comments:

Popular Posts