Saturday, September 17, 2011

KSU KDN, Peguam Negara bincang semua akta berkaitan Darurat, termasuk Seksyen 27 Akta Polis 1967

Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan pertemuan dengan pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat bagi memperkemaskan semua aspek mengenai pindaan dan cadangan Rang Undang-Undang Baru (RUU) membabitkan lima akta.

Ketua Setiausaha KDN Tan Sri Mahmood Adam berkata perbincangan itu membabitkan cadangan pemansuhan dan penggantian RUU Pencegahan di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan serta RUU Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) selain cadangan pemansuhan Akta Buang Negeri 1959.

Mereka juga akan akan membincangkan mengenai cadangan mekanisme penambahbaikan membabitkan aktiviti perhimpunan di tempat awam berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya pertemuan itu turut akan membincangkan peranan pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) yang diasaskan pada 11 Januari 1972 di atas penguatkuasaan Akta (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1964.

Selain itu, katanya KDN akan mengusulkan kepada Peguam Negara senarai semakan untuk penelitian membabitkan perincian peruntukan undang-undang di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan peranan Rela terus kekal relevan dan digubal semula sebagai Akta Parlimen dan diletakkan sebagai undang-undang di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Mahmood berkata KDN juga akan mendapatkan pandangan Peguam Negara berhubung kajian pindaan membabitkan cadangan menghapuskan prinsip pembaharuan lesen cetak tahunan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan digantikan dengan pengeluaran permit penerbitan dan lesen cetak sehingga dibatalkan.

"Bagaimanapun, sehingga kajian itu selesai dan pengumuman mengenainya dibuat, segala prosedur permohonan dan kelulusan lesen dan permit akan kekal sebagaimana proses sedia ada," katanya.

Beliau menjelaskan pertemuan dengan Peguam Negara dibuat susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam bahawa RUU baru perlu dibentangkan pada sidang Parlimen dalam tempoh terdekat selepas kajian menyeluruh dan pandangan semua pihak diambil kira.

Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusan khas Hari Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia 2011 mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959 serta mengkaji semula Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967 yang mengambil kira Perkara 10 Perlembagaan.

Mahmood berkata dalam perbincangan itu kelak, pihaknya akan membantu Peguam Negara memperhalusi segala gerak kerja yang berkaitan bagi memastikan cadangan lengkap dan komprehensif dapat dibentangkan untuk dipertimbangkan pada sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

"Bagaimanapun, berhubung bila ia akan dibentangkan kepada Parlimen, keputusan itu adalah tertakluk kepada hasil perbincangan KDN dengan Peguam Negara dan keputusan kerajaan," katanya.

Mengenai isu media supaya selari dengan hasrat kerajaan untuk mengamalkan dasar lebih telus dan terbuka, beliau berkata KDN akan meneruskan pelbagai langkah proaktif untuk menyokong pertumbuhan sihat aktiviti media di negara ini.

Beliau berkata antaranya ialah inisiatif penubuhan satu jawatankuasa khas di kalangan pengamal media utama, yang diadakan pada Khamis lepas, yang berfungsi sebagai sebuah forum bertanggungjawab menentukan sendiri hala tuju amalan media di kalangan mereka.

Dalam perkembangan lain, Mahmood berkata pelbagai langkah yang telah dan sedang diambil KDN dalam menangani ancaman keselamatan negara akan terus diperkasakan selari dengan transformasi politik yang dilaksanakan kerajaan.

Ini termasuk meneruskan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin atau singkatannya 6P yang bermula 1 Ogos 2011 dan dijangka selesai menjelang awal 2012.

Selain itu, katanya KDN akan mengambil langkah-langkah berterusan membabitkan pelbagai komitmen dan persetujuan bagi tindakan susulan yang telah dicapai dalam beberapa perjanjian kerjasama dengan rakan-rakan strategik antarabangsa dalam usaha menangani jenayah rentas sempadan termasuk dengan Arab Saudi, Australia, United Kingdom dan China, yang akan diadakan hujung tahun ini.

Mahmood berkata antara usaha penting KDN dalam menangani ancaman keselamatan itu juga ialah komitmen penubuhan Akademi Jenayah Rentas Sempadan Malaysia yang kelak akan berfungsi sebagai pusat aktiviti kerjasama serantau dan antarabangsa membabitkan isu-isu jenayah yang berkaitan.

Dipetik dari Bernama
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

2 comments:

Anonymous said...

itulah nasib Azmin Ali, bila jahil semua org UMNO/BN sokong, bila dah insaf BN (Berambus Najib) dgn panas mula mengkritik .... itulah peragai Firaun & puak juaknya ..... bila nak mengajar tiada tauliah, org melayu yg suka kpd ugama keGereja utk dengar Forum Perdana ... itulah golonagn sesat UMNO. Yang tiada menyuruh rakyat Msia yg kafir megikut fahaman Islam, takutnya mengundi PAS. Menbiarkan yg kafir terus dgn
kesesatannya, utk beramai menuju Barisan Neraka Allah SWT. Kenapa tidak kementrian penerangan cerita tentang bidadari, nikmat surga, teruk azak neraka .... kpd org kafir ...fikir-fikirkan ....Aduan Rakyat ini utk org yg suka kekayaan dunia & bodoh tentang ugama. Kini tertubuhnya MCA - Melayu Cristian Association. Akhirnya kita berperang sesama melayu spt diAmbon & Sulawesi

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

ish pelik je bunyinya.. salah kamar ke pak? :)

Popular Posts