Sunday, September 18, 2011

Memahami ucapan `pemansuhan ISA' Perdana Menteri


Semasa menghadiri Majlis Rumah Hari Terbuka Semalam, ramai yang bertanya pandangan saya mengenai pengumuman Perdana Menteri untuk memansuhkan ISA. Nampaknya ramai yang hanya mengikuti sekali lalu sahaja pengumuman PM tanpa memperhalusi bait-bait ucapan beliau.

Saya telah meminta mereka meneliti semula ucapan PM dan saya terangkan berdasarkan kefahaman saya selepas menonton secara langsung dan membaca berulang kali ucapan beliau adalah seperti berikut;

Pertama, walaupun PM menyebut bahawa kerjaan ingin memansuhkan ISA dan proklamasi darurat, tetapi dalam ucapannya PM tidak menyebut sama sekali bahawa beliau akan berkompromi terhadap KEGANASAN, HASUTAN, SOAL KESELAMATAN DALAM NEGARA DAN DEMONSTRASI JALANAN.

Paragraf 17 "kerajaan kini, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya." (Nota: Kita tidak lagi berada dalam keadaan Darurat, maka sewajarnya kita mengubah namanya)

Paragraf 18. "Dalam menyusun atur peradaban bernegara bagi menghadapi keadaan luarbiasa yang mengancam keselamatan tanahair dan kesejahteraan rakyat, tidak dapat tidak, menuntut kepada langkah-langkah khas yang kadangkala, bersifat di luar norma demokratik. Umpamanya, tindakan tahanan pencegahan. Sesungguhnya, kebijaksanaan menangani keganasan memerlukan kita mencegah perlakuan itu, sebelum kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa, harta benda atau menatijahkan apa-apa kecederaan. Ini merupakan satu kebenaran yang bersifat global dan diterima ramai." (Nota: PM setuju bahawa kita perlu menghormati hak asasi individu tetapi tidak berkompromi dalam soal ancaman terhadap keselamatan negara dan rakyat, dan keganasan.)

Paragraf 19. Dari perspektif undang-undang Islam pula, ia terangkum jelas dalam Maqasid Syariah yang berobjektif melindungi lima perkara utama yakni; pertama: agama, kedua: nyawa, ketiga: akal, keempat: keturunan dan maruah serta kelima: harta benda. Bahkan prinsip Usul Fiqah banyak membicarakan tentang perlunya disekat lebih awal sesuatu kemungkaran itu, sebelum ia berlaku. Manakala satu prinsip menyatakan bahawa, keputusan pemerintah adalah satu amanah yang perlu dibuat bagi pihak yang diperintah atas kepentingan maslahah ramai. (Nota: PM masih menganggap undang-undang pencegahan ini penting, tidak bercanggah dengan Islam dan PM turut mengingatkan bahawa dalam Islam, Allah ada memberikan hak kepada pemerintah dan amanah ini perlu dilaksanakan bagi menjaga kepentingan ramai)

Paragraf 20. Ini bukanlah ehwal yang pelik, tidak lazim atau asing. Terbukti, negara-negara demokrasi yang maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom juga telah menggubal rangka perundangan khas bagi menangani ancaman pengganas pasca tragedi 11 September. (Nota: Malah negara yang disifatkan sebagai negara demokrasi moden dan maju juga mengiktiraf undang-undang pencegahan ini. Maka tidak boleh dikatakan Malaysia tidak sivil dan demokratik hanya kerana Malaysia mempunyai undang-undang yang sama ini.)

Paragraf 22. Misalnya, kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan tidak sesekali bermaksud sebagai kewenangan hak kepada mana-mana pihak untuk membuat fitnah dan menghasut api kebencian. [Nota: bahawa PM tidak berkompromi terhadap hasutan dan kecenderungan menghasut]

Paragraf 24. Untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. [Nota: akan ada dua undang-undang baru yang lebih sesuai dengan suasana hari ini akan digubal bagi tujuan di atas - menangani keganasan, ancaman terhadap keselamatan negara dan hasutan]

Paragraf ke-28 "Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan. Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambilkira norma-norma di peringkat antarabangsa." [Nota: PM tidak berkompromi dengan demonstrasi jalanan]

Tidak perlulah mendesak kerajaan meminta maaf dan membayar gantirugi terhadap individu yang pernah ditahan di bawah ISA ataupun serta merta membebaskan tahanan-tahanan ISA dan perintah tahanan sedia ada, kerana ISA dan perintah tahanan bukan sesuatu yang menyalahi undang-undang dan perlembagaan, sebaliknya ia sah berdasarkan undang-undang sedia ada dan dibuat bukan atas soal politik, sebaliknya atas faktor menghalang ancaman terhadap negara.

Apa selepas ini? Elok kita biarkan Peguam Negara menyiapkan draf dua undang-undang yang baru seperti yang disebutkan. Jika Peguam Negara bekerja bertungkus lumus, ia mugkin akan dapat dibentang dalam bulan Oktober.

5 comments:

Jas Salleh said...

Menarik bro !

Pro BN masih berpendirian bahawa ISA adalah penting atas sebab-sebab berikut:-

1. Kempen pemansuhan ISA oleh anti ISA sebenarnya bertujuan untuk menguggat dan sebagai langkah awal DAP mengubah kerangka Perlembagaan menjadi 100% Perlembagaan Sekular.

2. Aspirasi dan perjuangan politik Pakatan Pro Komunis DAP adalah bertentangan dengan nilai-nilai, asas-asas dan kerangkan Perlembagaan yang sedia ada.

3. Pemansuhan ISA itu tetap tidak dihiraukan oleh Pakatan Pro Komunis malah mereka membuat cabaran-cabaan baru kepada DS Najib,

4. BERSIH 3 akan dilancarkan oleh Pakatan pro komunis melalui persatuan-persatuan mahasiswa yang tertipu dengan slogan-slogan Pakatan Pro Komunis.

5. BERSIH masih di lihat oleh mereka yang tertipu sebagai wadah perjuangan rakyat menentang kezaliman sedangkan kita tahu BERSIH adalah ALAT POLITIK DAP unutk mengubah kerangkan Perlembagaan Malaysia.

Otak Geliga said...

Ulasan yg amat menarik!!sekurang2 nya tindakan yg TF buat ni dpt mengurangkan sedikit kegusaran rakyat yg bimbangkan kehilangan ISA sebelum 2 akta baru tersebut digubal.

cuma harapan rakyat semoga selepas ini akta2 yg akan digubal tidak akan melepaskan mereka yg cuba buat onar dr undang2 samada melalui hasutan/propaganda etc dan ada TINDAKAN yg akan diambil kepada mereka yg bertindak seperti Namewee, Mat Sabu, Ambiga, Makcik Hajjah Sitt Al-Wuzara etc.

apa yg saya lihat, rakyat mahu kerajaan BERTINDAK LEBIH TEGAS terhadap mereka2 yg buat onar ini supaya mendapat balasan setimpal di atas KEBIADAPAN mereka yg sewenang2nya menggunakan hak kebebasan bersuara demi kepentingan sendiri.

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

Malaysian News Today,

maaf saya tidak nampak pautan blog saya di blog sdr. sdr letak di mana ya?

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

Jas Salleh,

Setuju. Komunis janji untuk letak senjata, mereka tidak janji untuk buang ideologi mereka. Kalau dulu mereka berrevolusi dengan senjata, hari ini kena awas dengan revolusi tanpa kekerasan. Maksudnya sama - menafikan pilihan rakyat melalui peti undi!

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

Otak Geliga,

Setuju, tapi kdg2 kita kena teliti juga perkataan mereka; kdg2 tidak mencapai maksud hasutan atau subversif, jd sukar utk ambil tindakan.

Popular Posts