Friday, August 19, 2011

Kenyataan Azmi Sharom - UM patut ambil tindakan disiplin



Azmi Sharom (gambar) telah memberikan kenyataan yang bercanggah dengan kenyataan medianya sebelum ini. Bagi ramai, tindakan baling batu sembunyi tangan dari dalam rumah kaca ini tidak menguntungkan Universiti Malaya. Mungkin UM wajar mempertimbangkan tindakan disiplin terhadap kakitangannya yang mengeluarkan kenyataan sesuka hati sehingga boleh menjejaskan imej universiti tersebut.


Ghauth jawab dakwaan isu UM

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon menganggap laporan mengenai universiti itu sedang berhadapan dengan krisis kemerosotan ilmuwan dan pakar mempunyai hikmah tersendiri.

Menurut beliau, dakwaan oleh Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM), Prof. Madya Dr. Azmi Sharom itu juga memberi impak positif kepada beliau dan UM.

Sambil menafikan segala dakwaan berkenaan, jelasnya, ia sedikit sebanyak memberi ruang serta peluang kepadanya untuk memberitahu apa yang sebenarnya berlaku di UM untuk memberi kefahaman kepada semua pihak.

"Kadang-kadang berita tentang universiti ini orang tak ambil tahu. Bagus juga Utusan Malaysia keluarkan berita begini. Ada hikmah di sebaliknya. Ia sangat positif buat saya dan UM.

"Hikmahnya, Utusan Malaysia telah membawa perhatian seluruh rakyat kepada UM dan ini memberi peluang kepada saya untuk memberitahu apa sebenarnya yang berlaku di UM supaya rakyat faham.

"Apabila jadi begini, ramai yang menghubungi saya bertanya perkara sebenar. Jadi saya ada peluang untuk menerangkan kepada mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ghauth mengulas dakwaan Azmi yang mendedahkan seramai 146 staf akademik UM meletak jawatan sejak 2009 kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan beliau sehingga menyebabkan universiti itu berhadapan dengan krisis kemerosotan ilmuwan serta pakar.

Menjawab segala dakwaan tersebut, ujar Ghauth, apa yang didakwa adalah tidak benar sama sekali memandangkan jumlah kemasukan staf akademik ke UM sejak dua tahun kebelakangan ini meningkat empat kali ganda berbanding jumlah yang bertindak keluar dari universiti berkenaan.

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa universiti itu terpaksa melantik 576 pensyarah baru dengan 80 peratus daripada mereka dari negara lain ekoran krisis kemerosotan tersebut.

"Angka itu tidak betul. Jauh daripada angka sebenar. Saya sudah berjumpa dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pagi ini untuk menerangkan perkara sebenar.

"Untuk makluman, jumlah staf akademik bumiputera yang masuk ke dalam UM lebih banyak. Dalam tempoh dua tahun lalu, sebanyak 60 peratus staf akademik UM adalah warga tempatan dan selebihnya warga asing yang diperlukan untuk mengisi jawatan kosong secara kontrak.

"Ia berlaku memandangkan kita menghantar 500 ahli akademik tempatan melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) ke luar negara. Apabila tamat pengajian nanti, mereka akan kembali dan mengambil semula jawatan yang diisi oleh staf kontrak tersebut," katanya.

Jelasnya, staf kontrak yang terdiri daripada warga asing cuma dibenarkan bekerja di UM tidak lebih daripada tiga tahun dan perkara itu dipatuhi universiti seperti tertakluk di bawah peraturan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ditanya mengenai dakwaan bahawa beliau menganaktiri staf akademik tempatan dengan membawa masuk staf akademik luar, katanya, semua pihak perlu memahami tentang keperluan membawa masuk staf akademik luar secara kontrak.

"Mereka ini hanyalah sementara. Takkan kita nak biarkan sesuatu keperluan pensyarah itu kosong," tegasnya.

Kepada soalan sama ada beliau akan memanggil Azmi berhubung dakwaannya itu, jelasnya, perkara itu tidak perlu memandangkan Azmi merupakan rakan baiknya.

"Saya tidak ada masalah dengannya. Dia kawan baik saya. Saya mendapat maklumat bahawa angka-angka yang diberikan seperti yang tersiar dalam Utusan Malaysia hari ini bukan dia yang beri tetapi orang lain. Saya akan beritahu angka sebenar dalam sidang akhbar esok," katanya.

Mengenai 'kegilaannya' terhadap ranking yang didakwa menjadi punca ramai staf akademik tidak berpuas hati dengan kepimpinannya, Ghauth menjelaskan, soal meletakkan UM dalam kedudukan 100 universiti terbaik dunia adalah penting untuk beliau selaku pentadbir universiti.

Katanya, dalam siri lawatannya ke beberapa buah universiti ternama di luar negara seperti China, Korea, Jepun, Australia, United Kingdom dan Indonesia, pentadbir universiti berkenaan tidak terlepas daripada berbicara soal keutamaan mengejar kedudukan terbaik.

"Tetapi kita di sini kenapa tidak mahu berlumba mengejar kedudukan terbaik? Apa nak jadi dengan pendidikan tinggi negara? Negara lain mengejar kedudukan terbaik. Untuk itu, mengapa orang Malaysia tidak mahu?

"Meletakkan UM di kedudukan terbaik dunia adalah matlamat dan pendirian saya seperti yang saya bentangkan dalam Pelan Transformasi UM dulu. Semua orang dalam UM sokong. UM universiti tertua tetapi seperti tidak bermaya untuk ke hadapan," katanya.

Justeru, tambah Ghauth, beliau mahu menjadikan UM sebagai sebuah universiti yang berdaya saing dan memiliki sumber kewangan yang kukuh bagi mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan.

"Dengan wang yang banyak, kita boleh hasilkan penyelidikan berkualiti tinggi. Kosnya tinggi dan kerajaan tidak mampu membiayai penyelidikan yang mahal. Saya juga mahu menjadikan UM sebagai universiti yang mempunyai staf akademik bertaraf kelas pertama," jelasnya.

_____________________________________________________

Azmi nafi keluar kenyataan krisis UM

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM), Prof. Madya Dr. Azmi Sharom (gambar) menegaskan, beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu krisis kemerosotan ilmuwan dan pakar yang dihadapi universiti itu.

Sebaliknya, jelas beliau, kenyataan yang merujuk kepada tindakan 146 staf akademik UM meletak jawatan sejak 2009 sehingga menyebabkan berlakunya krisis tersebut adalah daripada segelintir ahli PKAUM.

Penafian beliau itu bagaimanapun bercanggah dengan apa yang dikatakannya semalam mengenai krisis yang melanda UM itu.

Azmi ketika dihubungi hari ini menjelaskan, beliau sebagai Presiden PKAUM, hadir pada sidang akhbar semalam semata-mata untuk memberi perlindungan kepada ahli-ahlinya.

“Semalam, saya langsung tak kata apa pun. Saya sebagai Presiden PKAUM berada di sana (sidang akhbar) sekitar lima ke 10 minit sahaja. Saya hadir hanya untuk memberi perlindungan kepada ahli.

“Mereka berhak untuk bersuara dan saya setuju. Ahli-ahli PKAUM datang untuk memberi penjelasan kepada wartawan. Oleh itu, kenyataan berhubung dakwaan UM berhadapan dengan krisis kemerosotan ilmuwan adalah kenyataan sekumpulan ahli PKAUM.

“Ia bukan kenyataan rasmi saya dan bukan kenyataan rasmi PKAUM. Saya pun tak pernah nampak (lihat) angka-angka yang diberikan itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, sekumpulan ahli PKAUM ada menyatakan rungutan mereka yang tidak senang hati dengan beberapa polisi UM ketika ini dan itu adalah hak mereka untuk bersuara.

Menurut Azmi, beliau telah memberikan penjelasan secara bertulis kepada Naib Canselor UM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon untuk menerangkan perkara sebenar.

Berikut adalah kenyataan akhbar yang diberi kepada wartawan Utusan Malaysia pada sidang akhbar semalam.

KENYATAAN AKHBAR OLEH AHLI DAN PRESIDEN PKAUM MENGENAI PENGURUSAN UM DALAM KERANGKA KEPENTINGAN AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Kenyataan ini adalah kesan keprihatinan kami terhadap gaya, kaedah, dan tindakan kepimpinan Y.Bhg Tan Sri Datuk Dr. Ghauth Jasmon selaku Naib Canselor Universiti Malaya.

Berdasarkan bukti dan pengamatan kami ahli akademik di Universiti Malaya, kami berpendapat bahawa cara, gaya, kaedah, dan tindakan Naib Canselor akan menjejaskan kedudukan dan kepentingan bangsa, agama dan negara. Berikut ialah ringkasan eksekutif kenyataan akhbar mengenai perkara ini:

1. Dalam tempoh 2009-2010, seramai 122 profesor/ profesor madya dan pensyarah/ ahli akademik telah meletakkan jawatan. Seramai 52 orang staf akademik dari Fakulti Perubatan telah mengambil tindakan sedemikian, 12 orang dari Fakulti Perakaunan, 10 orang dari Fakulti Sains, 8 orang dari Fakulti Kejuruteraan, dan selebihnya seperti pada Lampiran 7 memorandum. Sebahagian besar daripada mereka yang meletakkan jawatan terdiri daripada pakar-pakar bidang dan profesor senior. Ini bermakna bahawa Universiti Malaya sedang menghadapi krisis kemerosoton ilmuan dan pakar yang mempengaruh besar dalam akademia dan masyarakat, sama ada peringkat nasional atau internasional.

2. Dalam tempoh yang sama, pihak pengurusan Naib Canselor telah melantik seramai 480 orang pensyarah baru di mana 80% daripada jumlah itu daripada negara asing seperti Bangladesh, Nigeria, Filipina, Sri Lanka, India, Jordan, dan lain-lain negara Dunia Ketiga. Ini telah menjejaskan kualiti pengilmuan dalam bahasa Melayu pada peringkat ijazah dasar di semua fakulti dan program pengajian, malahan juga di peringkat ijazah tinggi. Implikasi tindakan sedemikian ialah kemerosotan kualiti graduan, khasnya dalam bidang perubatan, sains, kejuruteraan, perakaunan, serta bidang-bidang ilmiah lain. Tindakan sedemikian telah juga menjejaskan proses pembangunan insan akademia, khasnya peringkat sarjana dan kedoktoran.

3. Dalam tempoh kepimpinan beliau, Naib Canselor telah memperketatkan proses dan prosedur kenaikan pangkat ke jawatan pensyarah kanan, profesor madya, dan profesor dengan lebih memberatkan penerbitan dalam jurnal ISI (berbahasa Inggeris antarabangsa), dan kurang memberi tumpuan kepada penerbitan dalam bahasa Melayu. Implikasi tindakan ini telah dan akan menjejaskan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu perlu wajib berkembang sebagai bahasa ilmu agar rujukan dalam negara dan antarabangsa, seperti yang berlaku di universiti-universiti Jepun, Korea, China, Russia, Jerman, dan Perancis. Tindakan sedemikian juga bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menjadi tunjang pembinaan negara bangsa Malaysia. Implikasi lain ialah pelajar-pelajar pasca siswazah yang bercita-cita untuk masuk ke akademia akan merosot lantaran proses dan prosedur kenaikan pangkat yang ketat di Universiti Malaya.

4. Sehubungan dengan isu-isu yang dinyatakan sebelum ini, dalam tempoh terdekat Universiti Malaya akan dibanjiri oleh ahli akademik antarabangsa (bukan warga Malaysia); maka suara-suara yang mendokong kepentingan negara dan kebangsaan dari kalangan intelektual akan menjadi terpencil dan seterusnya Universiti Malaya bukan lagi menjadi warisan nasional yang dapat mempamerkan kewibawaan dan keintelektualan anak bangsanya sendiri.

5. Dalam tempoh kepimpinan Naib Canselor, kita tidak terdengar dan ternampak mercu tanda (landmarks) yang unggul yang diterajui oleh Universiti Malaya untuk memperkasakan kepentingan agama, bangsa, dan negara, dari segi penyelidikan dan teknologi yang mampu menjadi pemangkin untuk pembangunan ekonomi, masyarakat, dan negara. Daripada pengamatan kami, Naib Canselor hanya memberi tumpuan penerbitan artikel jurnal antarabangsa ISI, tanpa mengira kualiti penyelidikan; mutu jurnal dan bukan kepada kepentingan pembangunan negara. Sumbangan-sumbangan lain yang penting seperti inovasi alat, karya ilmiah, dan karya seni yang menyumbang kepada pembangunan tetapi tidak boleh diterbitkan sebagai bahan ISI tidak diambil kira dalam pengiktirafan akademik. Implikasinya Universiti Malaya hanya menjana kertas jurnal antarabangsa sahaja dan tidak mampu menterjemah hasil penyelidikan untuk kemajuan negara.

6. Juga ketaksuban kepada ISI ini telah menyebabkan calon SLAB /SLAI yang telah menyempurnakan PhD tidak diambil ke jawatan tetap; juga pensyarah muda yang tiada artikel ISI tidak dinaikkan pangkat ke pensyarah kanan dan profesor madya; dan profesor senior yang telah berkhidmat dengan cemerlang selama lebih 25 tahun tidak disambung kontrak lepas bersara disebabkan kurang artikel jurnal ISI. Implikasinya hal ini ialah berlakunya kelemahan di fakulti disebabkan penghijrahan keluar (brain drain) di kalangan staf akademik muda dan senior. Kekosongan ini boleh diisikan dengan pensyarah luar negara, namun komitmen mereka bukan berbentuk jangka panjang dan juga bukan kepada pembinaan negara bangsa.

7. Akhirnya apa? Keprihatan kita adalah kepada kegemilangan Universiti Malaya sebagai institusi yang instrumental dan progresif dalam proses pembangunan negara bangsa. Kepimpinan Naib Canselor telah gagal mewadahi kepentingan bangsa, agama, dan negara. Oleh itu, kami mohon pihak berkenaan menamatkan khidmat Tan Sri Datuk Ghauth Jasmon sebagai Naib Canselor pada November 2011 ini demi kepentingan Universiti Malaya dan negara. Sekian, terima kasih

Kenyataan ini dibuat oleh Presiden PKAUM (Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya) dan Ahli-ahli PKAUM dari beberapa fakulti terlibat pada Rabu 17 Ogos 2011.

Prof. Madya Dr. Azmi Sharom

Presiden PKAUM


No comments:

Popular Posts