Teks Ucapan
YB DATUK SERI HISHAMUDDIN BIN TUN HUSSEIN
MENTERI DALAM NEGERI
DI MAJLIS PERBARISAN
SEMPENA PERINGATAN HARI POLIS KE-204
TARIKH : 25 MAC 2011 (JUMAAT)
TEMPAT: DATARAN KAWAD, PULAPOL KUALA LUMPUR
1. Alhamdulillah, segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia dan inyah-Nya dapat kita sekali lagi bertemu dalam semangat meraikan Sambutan Peringatan Hari Polis yang ke-204. Dengan hati yang tulus ikhlas, mewakili seluruh kepimpinan negara, izinkan saya merakamkan ucapan Selamat Hari Polis kepada para pegawai dan anggota kita di seluruh negara. Di mana pun mereka berada, hari ini ucapan Selamat Hari Polis bergema merentas segala sempadan: dan seharusnya ia menjengah masuk ke lantai hati bukan sahaja setiap warga Polis, malah seluruh anggota masyarakat.
2. Sesungguhnya hari ini merupakan hari yang istimewa dan saya berharap ia akan menjadi hari untuk setiap anggota memperbaharui azam dan tekad masing-masing seterusnya menjadi pemangkin kepada proses transformasi yang sedang berlaku bagi meningkatkan lagi kecemerlangan dan martabat pasukan Polis.
3. Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana sepanjang tempoh dua tahun ini, saya mempunyai ruang dan peluang untuk mengenali dan memahami PDRM dengan lebih baik dan mendalam lagi. Sepanjang tempoh dua tahun ini, saya dapat mengenali kebanyakan pegawai kanan PDRM dengan nama mereka. Dalam tempoh ini juga, sedikit sebanyak saya dapat mengenali kekuatan yang dipunyai oleh pasukan ini dan menginsafi kelemahan yang ada ketikanya menghambat prestasi dan mencalarkan imej pasukan ini. Bagi saya, biar apa pun yang diperkatakan oleh pihak tertentu, pasukan Polis tetap merupakan tunggak dan pasak yang menjadikan keamanan negara terpelihara dan rakyat menikmati kemakmuran berterusan. Saya juga yakin, di sebalik pelbagai tohmahan dan dakwaan, sebahagian besar rakyat Malaysia mengiktiraf dan menghargai peranan Polis. Ibarat pantun Melayu lama;
Orang darat suka bertandang,
Sambil bertandang membawa bakul,
Berapa berat mata memandang,
Berat lagi bahu memikul.
Kain pelikat mukanya dua,
Mari kait benang berduri,
Sudah bertekad kita berdua,
Orang lain jangan peduli.
4. Disebabkan itu, saya bertekad untuk terus mempertahankan PDRM dari sebarang tindakan yang mencemar dan mempertikaikan kredibiliti institusi penting ini. Percayalah, dengan amanah dan kuasa yang ada, saya bersedia melakukan apa saja untuk bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan, mengangkat dan meletakkan PDRM agar menjadi salah sebuah pasukan polis yang terbaik di kalangan yang terbaik di dunia.
5. Tugas ini bukan sesuatu yang mudah; apa lagi dalam keadaan soal Keselamatan Nasional sudah menjadi semakin kompleks. Sememangnya ia suatu tugas yang sukar tetapi tuan-tuan dan puan-puan perlu mempunyai keyakinan. Yakinlah kepada kepimpinan negara dan PDRM; yakinlah kepada saya; yakinlah bahawa selagi ada kemahuan, di situ pasti ada jalan. Sekiranya kita ikhlas, amanah, berpegang kepada disiplin yang tinggi dan bersatu-padu, insya-Allah tidak ada sebarang perkara yang mustahil.
6. Semua ini bukan omong kosong. Dua tahun yang lalu, bila NKRA pertama kali diumumkan, ramai yang begitu sinis dan mengatakan ia mustahil dicapai. Dengan trend kadar jenayah yang meningkat, dengan runtuhnya sempadan antara negara yang memungkinkan peningkatan jenayah merentasi sempadan, ramai di kalangan kita sendiri tidak begitu yakin bahawa kadar jenayah dapat dikurangkan. Malah lebih ramai di luar sana yang sinikal terhadap usaha dan keupyaan kita.
Batu belah batu bertangkup,
Hendak makan telur temakul
Dari awal saya tak takut,
Berani tebang berani memikul.
7. Namun alhamdulillah, berkat perancangan, kesungguhan dan pengorbanan setiap anggota Polis, walaupun sasaran asal NKRA adalah untuk mengurangkan Jenayah Jalanan sebanyak 20 peratus dan Jenayah Indeks sebanyak 5 peratus, tetapi hasilnya adalah jauh lebih baik dari yang kita sasarkan. Kadar Jenayah Jalanan menurun sebanyak 35 peratus dan Jenayah Indeks menurun sebanyak 15 peratus.
8. Kajian oleh syarikat perunding bebas TNS Research International Malaysia pula menunjukkan bahawa perasaan takut masyarakat dari menjadi mangsa jenayah telah menurun iaitu dari 58.5 peratus pada Disember 2009 kepada 52.8 peratus pada September 2010; dan tahap kepuasan masyarakat terhadap PDRM telah menampakkan peningkatan, iaitu meningkat dari 35.8 peratus kepada 55.8 peratus bagi tempoh Disember 2009 hingga September 2010.
9. Dapatan kita ini juga tidak jauh berbeza dengan apa yang dirumuskan oleh GLOBAL PEACE INDEX (GPI). Pada tahun 2010, Malaysia berada di tangga ke-22 GPI; satu kedudukan yang lebih baik 15 anak tangga berbanding tahun 2008 (tempat ke-37) dan lebih baik 4 anak tangga berbanding tahun 2009 (tempat ke-26).
10. Saya mempunyai harapan yang tinggi kepada Tan Sri Ismail untuk membawa perubahan yang menyeluruh kepada imej pasukan polis dan memberi semangat baru kepada semua anggotanya. Saya gembira apabila Tan Sri menyambut harapan saya ini dengan komitmen 4P – Protective (Pelindung Rakyat), Performance and Outcome Oriented (Berorientasi Prestasi dan Hasil), Proactive (Proaktif), People Oriented (Berorientasikan Rakyat) dan meletakkan keutamaan untuk mengukuhkan aspek komunikasi dan perhubungan awam PDRM. Saya percaya komitmen 4P ini lahir kerana Tan Sri dan barisan kepimpinan amat memahami apa yang ingin dicapai oleh Perdana Menteri melalui Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan gagasan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
11. Bagi saya, imej pasukan polis akan dapat diangkat ke suatu tahap yang lebih tinggi lagi jika pasukan polis dapat memenuhi harapan rakyat terhadap mereka; dan bagi saya harapan itu adalah, pertamanya, untuk mereka mengurangkan kejadian jenayah sehingga rakyat merasa selamat. Kedua, apabila anggota Polis menunjukkan tahap integriti yang tinggi. Ketiga, apabila dapat meningkatkan tahap kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh pasukan polis secara cekap, pantas, betul dan bebas kesilapan.
12. Dalam ucapan tadi, Yang Dihormati Ketua Polis Negara menyatakan bahawa PDRM kini telah menyediakan satu kesinambungan kepada Pelan Strategik Lima Tahun PDRM (PS5T-2 PDRM), yang akan dilancarkan sebentar nanti.
13. Memang tepat pada waktunya, bagi menangani soal Keselamatan Nasional yang semakin kompleks hari ini, sudah tiba masanya untuk kita melonjakkan lagi keupayaan dan meningkatkan kecekapan pasukan polis dengan pengetahuan, kemahiran, peruntukan undang-undang dan perkakasan yang terkini agar PDRM dapat menangani jenayah dan ancaman alaf baru yang tidak pernah kita terbayangkan sebelum ini.
14. Dalam melaksanakan tugas, rakyat mengharapkan anggota polis yang mesra rakyat dan bersifat membantu. Bagaimana pun dalam menghadapi penjenayah dan pihak yang sengaja mencabar undang-undang, rakyat inginkan PDRM bertindak tegas dan melaksanakan tugas tanpa pilih kasih. Jangan sekali-kali biarkan mana-mana anggota mencemar imej pasukan polis. Bad apples dalam pasukan mesti diperangi dan disingkirkan segera. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Orang Daik memacu kuda,
Kuda dipacu deras sekali,
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jangan sekali.
Jangan sampai mereka yang sedikit ini merosakkan segala usaha yang telah dibina.
15. Saya menyedari bahawa untuk memastikan kadar jenayah dapat diturunkan, kita telah menempatkan begitu ramai anggota polis di jalanan dan mengerahkan mereka berhujan dan berpanas setiap hari. Saya juga insaf, untuk memastikan jenayah dan keganasan dapat dihalang, kita juga telah menghantar anggota kita masuk jauh ke sarang musuh, memaksa mereka berjauhan dengan keluarga, menugaskan mereka dengan tugas yang boleh mengundang maut dan bahaya. Semuanya bagi memastikan keamanan dapat terus dipelihara dan jenayah dapat dihalang sebelum ia bermula. Begitu banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh anggota polis kita dan juga keluarga mereka, semata-mata untuk membolehkan kita meninggalkan rumah dan bekerja dalam keadaan tenang di waktu siang dan tidur lena di waktu malam. Begitu banyak yang telah kita minta daripada mereka; dan adalah tidak adil sekiranya rakyat dan kerajaan tidak memberikan penghargaan yang sewajarnya dan melupakan aspek kebajikan mereka.
16. Dalam hal ini, saya telah berbincang panjang dengan Tan Sri Ismail tentang agenda untuk meneliti dan menambah baik aspek kebajikan para anggota dan pesara polis. Saya ingin aspek kebajikan anggota dan pegawai PDRM dilihat secara menyeluruh dan dari pelbagai sudut merangkumi soal elaun, kenaikan pangkat, beban tugas, penstrukturan koperasi polis, kemudahan infrastruktur dan perumahan serta perkakasan yang diperlukan. Saya tidak mahu anggota kita terus bekerja dalam persekitaran yang bukan sahaja tidak kondusif malah boleh membahayakan diri mereka. Perlu ada peningkatan dari segi perkakasan, agar mereka dapat melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan memberikan mereka kelebihan ke atas penjenayah.
17. Pada waktu yang sama, usaha-usaha akan dibuat untuk memperkasa, memperkemas serta menstrukturkan semula Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPD) agar dapat menjadi payung dan entiti pelaburan serta pendidikan kepada anggota dan anak-anak anggota sekali gus memastikan anggota dan anak-anak anggota mendapat pulangan dan juga pembelaan yang sewajarnya daripada koperasi ini.
18. Usaha terkini Dato’ Seri KSU dan KDN adalah bagi memperkukuh skim di bawah PDRM supaya menjadi lebih kompetitif dan berdaya maju, bukan sahaja melibatkan Pegawai Kanan PDRM, tetapi juga perlu lebih menyeluruh melibatkan perubahan gaji matriks dan elaun di kalangan pegawai rendah polis (PRP) dan konstabel. Skim Perkhidmatan Baru yang akan diperkenalkan ini bertujuan menambah baik dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kelayakan masuk; penggredan semula struktur pangkat, struktur gaji matriks; dan imbuhan tetap bagi memastikan skim perkhidmatan polis sentiasa relevan dan berdaya saing berbanding skim perkhidmatan yang lain.
19. Di sini, kebiasaannya sesuatu pengumuman atau penambah baikan akan diumumkan sempena Hari Polis, tetapi tahun ini saya tidak bercadang untuk mengambil pendekatan yang sama. Percayalah proses penambah baikan yang saya sebutkan tadi akan tetap dilaksanakan dan diumumkan dari semasa ke semasa. Pada hari dan majlis yang bersejarah ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan semua bahawa hakikatnya pengiktirafan yang terulung dan tertinggi adalah apabila rakyat menghormati dan menyanjung tinggi sumbangan kita, sekali gus melahirkan rasa bangga dalam jiwa dan nurani setiap daripada kita kerana diterima sebagai sebahagian daripada ahli keluarga dalam profesion yang suci dan murni ini.
20. Sebenarnya perubahan mindset dan transformasi telah pun bermula. Saya kan bersama-sam kepimpinan PDRM di seluruh peringkat dalam menggerakkan transformasi ini. Saya gembira apabila melihat Tan Sri melibatkan bekas pemimpin-pemimpin kanan PDRM dan pemegang peranan (stake holders) dalam perancangan dan program PDRM. Bagi saya, ini adalah suatu perkembangan yang baik dalam usaha kita merapatkan barisan dan menggembeling tenaga, usaha, kepakaran dan pengalaman semua untuk mengangkat lagi imej PDRM di dalam negara dan di peringkat antarabangsa. Saya percaya, ini jugalah pendekatan yang perlu diambil oleh pegawai kanan PDRM di setiap peringkat, negeri dan daerah, iaitu untuk melibatkan bekas anggota, pesara polis dan pemegang peranan yang lain dalam pelbagai program PDRM.
Orang darat menjual daging,
Daging dijual berpikul-pikul,
Kalau ringan sama dijinjing,
Kalau berat sama dipikul.
21. PDRM perlu bersatu sebagai satu pasukan dan bercakap dalam satu nada dan satu suara. Hanya dengan kesatuan fikiran dan tindakan, serta melaksanakan tugas sejujur-jujurnya sahaja tuan-tuan dan puan-puan dapat menjadikan PDRM telus dan berwibawa seperti yang diharapkan oleh rakyat; dan seterusnya dapat kita angkat sebaris dengan pasukan polis terbaik di dunia.
22. Jangan kita menoleh ke belakang lagi. Di hadapan sana, tugas besar menanti kita semua. Masa depan anak bangsa dan kedaulatan negara amat bergantung kepada tuan-tuan dan puan-puan semua. Jangan sekali-kali kita benarkan kejahatan mengatasi kebaikan, anarki mengatasi keamanan dan kemusnahan menggantikan kemakmuran di dalam negara kita ini. Marilah kita bersama-sama memastikan bahawa transformasi dalam PDRM dapat dilaksanakan seterusnya membolehkan hasrat gagasan 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dan matlamat 1 Malaysia, 1PDRM dan 1Pasukan dapat dicapai dengan cemerlang.
Selamat menyambut Hari Polis ke-204!
Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
1 comment:
Every weekend i useԁ to go to ѕee this wеb site, for
the rеason that i want enϳoyment, for the reаѕon that this thiѕ wеbsitе conаtіοns in fact good
funny mаterial too.
My website :: payday
Post a Comment