Tuesday, June 1, 2010

Model Baru Ekonomi - Maaf PM, saya tidak percaya Amirsham!


Saya telah menulis tentang Model Baru Ekonomi (MBE) dan menyatakan pendapat saya dalam dua forum sebelum ini. Pandangan saya dalam forum pertama, tidak banyak beza dengan tulisan saya dalam blog ini (klik).

Dalam forum kedua, selepas mendengar pembentangan anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) Dr Norma Mansor dan Amirsham Abdul Aziz, saya telah menyifatkan MBE sebagai satu pelan yang menakutkan, mempunyai pertentangan dari segi matlamat dan pelaksanaannya serta kurang jelas dari segi integrasinya dan keserasiannya dengan Bidang Keberhasilan Ekonomi Nasional (NKEA) yang dirangka oleh Pemandu, di bawah Menteri KPI, Idris Jala dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMke-10) oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

Menakutkan kerana - ia adalah satu perubahan drastik dan bersifat memaksa, tanpa aspek penghayatan terhadap kisah kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Negara (DPN) dan Dasar Wawasan Negara (DWN), mengambil pengajaran dari kelemahannya dan membuat pengubah suaian berdasarkan trend masa kini dan indikator pencapaian setiap kaum hari ini.

Pertentangan kerana NEAC menyedari bahawa terdapat 40% golongan yang berpendapatan rendah dan 80% mempunyai pendidikan pada tahap SPM, tetapi masih ingin menghapuskan subsidi. NEAC juga sedar bahawa dari segi sikap dan tabiat rakyat Malaysia yang tidak sanggup membayar untuk perkhidmatan (termasuk tol), tetapi masih fikir gaji dapat ditingkatkan. Walaupun ada 80% rakyat yang mempunyai pendidikan pada tahap SPM, tetapi masih yakin gaji mereka dapat ditingkatkan - atas dasar apa?! Mungkinkah expatriate atau pekerja mahir dari luar yang akan diutamakan untuk gaji yang lebih tinggi ini?

Menakutkan - bila Amirsham menjelaskan, dia berjaya meningkatkan gaji pekerja di bank di bawah jagaannya dengan meningkatkan nilai tugasan pekerja, mengautomasikan perkhidmatan tertentu dan menjadikan mereka lebih bersifat `multitasking'. Mungkin fikiran singkat Amirsham menyebabkan dia lupa bahawa pekerja bank adalah yang paling ramai diberhentikan secara paksa-rela dan gaji tersebut telah di`transfer'kan untuk membayar gaji dan membeli mesin automasi. Blogger Another Brick in The Wall telah menulis mengenai Amirsham di sini - (klik). Mungkin kita perlu sedarkan Amirsham, dalam banyak keadaan, multitasking bukan tidak dibayar dengan setimpal di Malaysia, tetapi TIDAK dibayar sama sekali di Malaysia!

Menakutkan juga kerana saya tidak nampak di mana pelan ini akan berintegrasi kerana saya sangat faham tentang cara RMke-10 di rangka. Saya percaya RMke-10 yang dirangka tanpa mengambil kira MBE dan NKEA kerana kedua-duanya masih belum dimuktamadkan lagi. Nasib yang sama seperti yang menimpa Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang hanya dimuktamadkan selepas pembentangan Bajet 2010 yang sudah tentunya tidak mengambil kira NKPI dan inisiatif-inisiatif yang dirangka di dalam pelbagai makmal NKRA.

Menakutkan - kerana saya tidak mendapat jawapan yang meyakinkan daripada Amirsham, tentang bagaimanakah mereka mahu bermula. Menghapuskan subsidi terlebih dahulu atau mewujudkan bidang ekonomi baru atau meningkatkan gaji pekerja atau meningkatkan peranan swasta atau terus saja membuka ekonomi dan pasaran negara?

Menakutkan - kerana saya tidak nampak di mana agenda keadilan dan kesaksamaan sosial sebenarnya, terutama dalam bidang ekonomi dan perniagaan - lebih-lebih lagi selepas saya membaca, meneliti dan menghayati setiap helaian kertas pembentangan mantan Ketua Pengarah EPU, Dato Halipah Esa; dan saya dapat mengerti betapa dalam kesedihan beliau setiap kali beliau menitiskan air mata semasa membentangkan kertas ini (klik)!

2 comments:

tudin5 said...

Tuan,

sedikit pandangan dari saya mengenai ekonomi orang Melayu yang perlu diberi perhatian dalam NKRA atau MBE. Dalam keadaan atau situasi ekonomi semasa negara, perniagaan konvesional seperti pembekalan bahan binaan, kontraktor binaan, peruncitan, bidang perkhidmatan, pendidikan, perkilangan, perlombongan, perladangan banyak dikuasai oleh bukan bumiputera. Bidang2 ini telah wujud di Tanah Melayu ini sejak berpuluh tahun lalu dan mereka telah menguasai perniagaan ini semenjak turun temurun. Terdapat antara mereka adalah generasi ketiga dalam perniagaan tersebut dan adalah agak mustahil dan sukar untuk kita (bangsa melayu) ingin bersaing sesama mereka secara adil.

Tetapi jika ditinjau dari bidang2 perniagaan baru seperti bidang teknologi maklumat, perbankkan, industri makanan (restoren), bidang kejuruteraan, petroleum, aeroangkasa, pertahanan dan bioteknologi, penguasaan orang Melayu/Bumiputera tidak dapat disangkal. Mereka mampu bersaing secara sihat dengan kaum bukan bumiputera walaupun mempunyai kekangan modal serta kaedah mendapatkan sumber bahan mentah yang murah.

Oleh yang demikian, saya berpendapat supaya kerajaan di bawah pimpinan BN/UMNO memberi lebih banyak tumpuan kepada bidang2 baru di mana bidang2 ini masih belum dikuasai oleh bukan bumiputera bagi memberi lebih ruang dan peluang kepada kaum bumiputera menceburi bidang perniagaan. Bidang2 baru adalah seperti, bioteknologi, aeroangkasa, pendidikan berprestasi tinggi, green technology, Industri Halal, perkapalan, teknologi maklumat, teknologi keselamatan, pertahanan dan animasi. Ada antara bidang2 ini yang telah lama namun potensi pengembangan masih banyak dan besar malah belum dieksplore sepenuhnya, dan kekosongan ini boleh diisi oleh orang Melayu / Bumiputera. Sepatutnya bidang2 ini harus dijadikan teras bagi NGO2 Melayu yang berjuang untuk ekonomi orang Melayu. dan mereka mencari jalan bagi menguasai bidang2 tersebut dengan sokongan kerajaan melalui NKRA dan MBE. Kalau asyik kesana sini nak carik projek kontraktor klas A tapi kemudian sub kepada orang bukan bumiputera, maka tidak akan ada perubahan besar kepada orang Melayu.

Sekian...

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

tudin5

itu yg dilakukan oleh tun dr mahathir pada tahun 1986; ia berjaya melahirkan ramai peniaga melayu yg berjaya, termasuk di kalangan mereka yg menjadi tamak dan mengkhianati agenda yg ada. saya percaya model yg sama boleh digunakan - cuma kena belajar dr pengalaman silam dan menutup loopholes yg ada. apapun pendirian saya adalah kita tidak boleh meniru bulat2 amalan ekonomi kapitalis sebaliknya perlu sesuaikan dgn agenda yg ada; kek yg ada perlu dibesarkan dan dominasi ekonomi oleh satu kaum wajar dihapuskan sehingga wujud kesaksamaan dari segi ekuiti, penyertaan dlm pelbagai bidang ekonomi dan perkongsian yg adil dan tulen dlm perniagaan. teorinya mudah - tp pelaksanaannya sukar lebih2 lg jika di kalangan org politik, penjawat awam dan kapten korporat dlm GLC tidak mempunyai agenda dan jati diri dlm diri mereka.

Popular Posts