Saturday, April 10, 2010

Bursa Saham Bumiputera (BSE) - cadangan baik untuk Model Ekonomi Baru

Tidak yakin kepada Amirsham, punca MPM dan Perkasa bersuara


Dalam satu perbincangan meja bulat mengenai Model Ekonomi Baru (MEB) saya telah menyentuh tentang beberapa perkara mengenai MEB dan potensinya terhadap masa depan ekonomi Bumiputera dan masyarakat majmuk rakyat Malaysia.

Dari segi dasarnya, bertentangan dengan pandangan bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal - saya menyatakan bahawa DEB bukan suatu dasar yang gagal, sebaliknya mempunyai banyak kisah kejayaan walaupun memang ada kelemahan pelaksanaan di sana sini dan terdapat sasaran yang tidak dicapai.

Namun secara logiknya, kerajaan mesti belajar dari kisah kejayaan dan kelemahan DEB dan bertindak mengubah suai sedikit pendekatan, menutup segala `loop holes' yang menghalang sasaran dicapai dan bekerja lebih keras untuk memastikan segala sasaran yang tidak dapat dicapai sepanjang tempoh pelaksanaan DEB dan Dasar Pembangunan Negara (DPN) dapat dicapai.

Memang pembangkang ingin melabelkan DEB sebagai gagal. Ini boleh dilihat melalui kenyataan mereka di dalam blog, Facebook, twitter dan sebagainya, tetapi Melayu dan Bumiputera, termasuk Orang Asli dan pribumi yang insaf serta rakyat Malaysia yang turut menikmati hasil DEB seharusnyanya lebih bijak untuk tidak terikut-ikut penipuan pembangkang.

Seperti yang saya sebutkan dalam tulisan saya, "Melayu miskin terus miskin di bawah DEB" (klik), DEB adalah satu dasar yang berjaya terutamanya dalam bidang pendidikan dan penyusunan semula masyarakat.

Melalui DEB, jumlah anak-anak yang mendapat akses di dalam bidang pendidikan semakin tinggi dan ini sedikit sebanyak telah mengurangkan jurang antara kaum dalam bidang-bidang kritikal. Ini akhirnya telah merapatkan juga jurang antara kaum dalam bidang professional.

Melalui DEB juga, jumlah golongan kelas menegah juga meningkat. Melainkan dalam bidang perniagaan dan sektor awam, dominasi satu-satu kaum tidak ketara dan ini menunjukkan bahawa DEB berjaya menghapuskan pengenalan kaum berdasarkan bidang pekerjaan. Maksudnya apa, orang India tidak lagi di ladang, orang Cina bukan lagi di lombong-lombong dan di bandar-bandar manakala orang Melayu bukan lagi di kampung, bertani dan menjadi nelayan.

Begitu pun, memang ada sedikit sebanyak kelemahanan, misalnya Pendemokrasian Pendidikan dan penafian sistem kuota menyebabkan unjuran untuk merapatkan jurang Bumiputera-Bukan Bumiputera dalam pendidikan, terutama dalam bidang kritikal sedikit terganggu. Ini menuntut agar pembetulan dan pengubah suaian dibuat.

Kelemahan paling ketara adalah dalam menghapuskan dominasi satu kaum dalam bidang perniagaan. Banyak yang boleh kita ulas dalam hal ini.

Ia merangkumi bukan hanya disebabkan kelemahan pemimpin politik, penjawat awam dan golongan korporat dalam GLC, ia juga melibatkan sikap tamak individu, soal integriti, rasuah dan perancangan yang lemah. Mudahnya, tidak semua yang diberi peluang, amanah dan tanggung jawab di posisi tertentu faham akan agenda DEB dan gagal mengawal diri dari menjadi tamak dan tidak amanah. Selain itu, banyak loop holes yang ada dan ketidak terbukaan pihak yang mendominasi ekonomi menghalang ia ditembusi.

Apa pun tuduhan hanya orang UMNO saja yang untung disebabkan DEB tidak betul kerana ramai kontraktor Pas yang turut senang lenang; yang bukan Bumiputera, tertutamanya kaum mempunyai kelebihan dalam bidang perniagaan sejak sebelum kemerdekaan lagi, jangan cakaplah!

Pengalaman DEB mesti dimanfaatkan di dalam pelaksanaan MEB.

Ada TUJUH pendekatan yang boleh kita gunakan jika kita mahu memanfaatkan pengalaman DEB. Pertama, kita perlu memperbaiki kerosakan akibat pelaksanaan yang lepas (repair), kedua, mengubah suai pendekatan agar menjadi lebih berfokus (modify), ketiga, menubuhkan semula agensi-agensi yang berjaya memainkan peranan membangunkan usahawan Bumiputera (re-establish), keempat, merombak dan mengubah, terutamanya sistem pendidikan, struktur subsidi dan sistem percukaian (reform), kelima, penegasan semula strategi dalam bidang dan platform yang menjadi punca survival Bumiputera (reaffirm), keenam, memperkukuhkan dan beri sokongan terhadap bidang-bidang yang Bumiputera mempunyai kekuatan dan kelebihan (strengthen) dan ketujuh, mencipta sesuatu yang baru melalui bidang-bidang ekonomi baru dan menempatkan syarikat Bumiputera yang berkelayakan untuk memimpin bidang tersebut innovate.

Dari cakap-cakap, ramai yang kurang yakin bahawa ketua dan majoriti anggota jawatankuasa Majlis Perundingan Ekonomi Nasional (MPEN) yang melihat kepada MEB dan juga mereka yang terlibat dalam Ekuinas benar-benar melihat kepada semua aspek ini semasa merumuskan MEB. Ini telah mengundang suara-suara yang tidak berpuas hati dari Majlis Perundingan Melayu (MPM), Perkasa dan sebagainya.

Dalam konteks ketiga, iaitu re-establish, saya berpandangan cadangan Datuk Salleh Majid untuk mewujudkan semula Bursa Saham Bumiputera (BSE) (klik) mempunyai meritnya yang tersendiri.

Kata Datuk Salleh, "apabila kita menyenaraikan syarikat Bumiputera di Bursa Saham Bumiputera sudah tentu syarikat-syarikat tersebut yang diluluskan oleh syariah, ertinya syarikat Islam. Jadi dengan cadangan untuk dijalankan dagangan bursa ini melalui Internet, kita boleh mendapat pelanggan daripada negara Asia Barat juga. Malahan mereka yang inginkan syarikat lulus syariah berbanding dengan syarikat-syarikat yang ada sekarang dari seluruh dunia."

Kata beliau lagi, "Syarikat yang kita maksudkan untuk diberi peluang untuk disenaraikan ini terdiri daripada syarikat kecil dan sederhana (SME) yang sukar untuk mendapat pembiayaan dan syarikat yang bersandarkan pengalaman seperti yang diuar-uarkan oleh kerajaan. Contohnya syarikat Biomed yang sudah terbukti keunggulannya tetapi bergelut hendak mendapatkan pinjaman kerana sandaran cagarannya ialah ilmu."

Walaupun dilihat menerusi perspektif yang singkat dan tidak terbuka oleh orang Melayu sendiri, seperti Ketua Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Yusuff (klik), saya membaca dengan penuh minat cadangan Datuk Salleh ini dan berpendapat ia adalah sesuatu yang rasional untuk dipertimbangkan.

No comments:

Popular Posts