PERUTUSAN KHAS PERDANA MENTERI
TENTANG
PERKEMBANGAN EKONOMI SEMASA DAN KEDUDUKAN KEWANGAN
NEGARA
1.
Pertama-tamanya,
marilah kita mengucapkan syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT atas
limpah kurnia-Nya dapat kita berkumpul pada pagi yang berbahagia ini. Begitulah
ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
2.
Dalam
Majlis ini, kita berhimpun bersama-sama, sebahagian pimpinan dan para
pentadbir, penjawat awam, ketua-ketua industri dan orang-orang korporat,
wakil-wakil kedutaan, golongan NGO dan para sukarelawan. Seterusnya, yang dikasihi seluruh rakyat
Malaysia, sama ada yang di dalam dewan, atau yang sedang menonton juga
mendengar perutusan khas ini.
3.
Tujuan
saya berucap, adalah untuk memberi penjelasan terkini tentang perkembangan
ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara. Mutakhir ini, terdapat
laporan-laporan, kebimbangan dan pertanyaan terutamanya berkait harga minyak
dan kedudukan nilai matawang ringgit.
4.
Ketahuilah
bahawa, Kerajaan memang sentiasa memantau keadaan ini sejak awal. Sehubungan
itu, hari ini, Kerajaan akan mengumumkan beberapa langkah proaktif, untuk
membuat pengubahsuaian yang spesifik, bagi menjajar semula dasar-dasar kita,
beriring dengan perubahan senario ekonomi global, yang faktor-faktornya, berada
di luar kawalan kita. Ini dilakukan, untuk kita terus mencapai pertumbuhan
ekonomi yang menyakinkan lagi boleh dibanggakan.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
5.
Dalam
erti kata lain, I am here today to announce specific and proactive measures to
align ourselves with the recent global economic developments.
6.
We are
not in crisis. Indeed, we are taking preemptive measures following the changes
of the external global economic landscape, which are beyond our control.
7.
This is
to ensure that our economy continues to attain a respectable and reasonable
growth. And at the same time, we want to ensure the development of the nation
and socio economic welfare of the people to be continue to be the main focus of
the government.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
8.
Sesungguhnya
takwim 2014 yang lalu, merupakan tahun yang amat mencabar dan begitu menduga
bagi kita dengan pelbagai tragedi.
9.
Pada
penghujung tahun lepas, Malaysia diuji dengan musibah banjir yang luar biasa.
Ia telah melanda beberapa buah negeri di Pantai Timur dan Utara Semenanjung,
antaranya Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Perak.
10. Di beberapa negeri lain, sungguhpun tidak begitu
kritikal, banjir turut memberi kesan kepada penduduk di sesetengah tempat di
Johor, Sabah dan Sarawak.
11. Demikianlah, seperti yang difirmankan bahawa, manusia
merancang, Allah merancang, sesungguhnya Allah jualah sebaik-baik Perancang.
12. Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah, dalam
segala kudrat Kerajaan dan pentadbiran, kita telah cuba merencana, merangka,
menyusun dan berikhtiar untuk melaksanakan setiap sesuatu dengan sehabis baik
demi kepentingan dan keperluan rakyat.
13. Justeru, jika diimbau, secara keseluruhannya,
kira-kira hanya sekitar tiga bulan lebih yang lalu, sewaktu Bajet 2015
dibentangkan, perancangan Kerajaan adalah berpremiskan, antaranya, pertama,
unjuran harga minyak Dated Brent pada kadar 100 dolar Amerika setong.
14. Kedua, pertumbuhan ekonomi atau Keluaran Dalam Negeri
Kasar (KDNK) dijangka mencatat antara 5 hingga 6 peratus. Ketiga, kadar
pertukaran matawang yang kekal stabil pada 3.2 ringgit berbanding dolar
Amerika; dan
15. Keempat, semasa bajet itu digubal, pertumbuhan ekonomi
dunia pada 2015 diunjurkan oleh World Bank dan IMF adalah pada kadar 3.4 dan
3.9 peratus. Kini, mereka telah mengkaji semula kadar tersebut di antara 3
hingga 3.8 peratus.
16. Perlu difahami juga, sewaktu Bajet 2015 digubal, it
was based on strong fundamentals, yakni asas 2014 yang teguh. Oleh sebab
itulah, defisit fiskal tahun 2015 telah diunjurkan pada kadar 3 peratus,
berbanding pada kadar 3.5 peratus pada 2014.
17. Walau bagaimanapun, kontemporari ini, mahu tidak mahu,
kita harus menerima hakikat bahawa, persekitaran dan percaturan ekonomi dunia
telah berubah, yang secara langsungnya memberi impak kepada Malaysia sebagai,
antara negara yang mempunyai dagangan terbesar di dunia.
18. Maksudnya, berbanding situasi beberapa bulan yang
lepas, kini, the global economic landscape has changed in very significant
ways. Beberapa perkara pokok yang telah Kerajaan unjurkan, bagi merancang
ekonomi dan kewangan negara, kini perlu disemak dan diperjelaskan kedudukan
semasanya.
19. Turut dibangkitkan adalah keupayaan Kerajaan untuk
mencapai sasaran fiskal pada tahun 2015. Ramai ingin tahu, persoalannya,
berdasarkan situasi semasa ini, adakah ekonomi dan kewangan negara akan
terjejas?
20. Oleh yang demikian, perutusan khas hari ini
disampaikan supaya rakyat Malaysia mendapat penjelasan langsung daripada
Kerajaan tentang perkara ini. Saya juga turut akan mengumumkan beberapa
strategi, berikutan kedudukan ekonomi semasa.
21. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan
terus merintis serta mencari jalan bagi mempastikan negara terus membangun dan
kesejahteraan rakyat terjamin.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
22. Kita sedar mutakhir ini, wujud pertanyaan di kalangan
rakyat, komuniti perniagaan dan para penganalisis bersabit kejatuhan mendadak
harga minyak mentah dunia ke atas ekonomi Malaysia.
23. Merujuk kepada trend harga minyak mentah global, dalam
tempoh enam bulan kebelakangan ini, ia telah menjunam lebih 50 peratus. Ini
adalah disebabkan, salah satunya, oleh kerana lebihan bekalan dan permintaan
global yang berkurangan.
24. Selain daripada itu, ini juga adalah disebabkan oleh
pengeluaran gas dan minyak shale yang meningkat ketara di Amerika Syarikat
berikutan kemajuan teknologi industri pengeluaran minyak.
25. Dalam masa yang sama, keadaan ini menjadi lebih buruk,
dengan pertambahan bekalan daripada kalangan negara-negara bukan OPEC.
Manakala, negara-negara OPEC pula enggan mengurangkan pengeluaran mereka bagi
mengekalkan penguasaan pasaran.
26. Di sinilah pihak Kerajaan sering ulang-ulangkan dan
berharap, agar rakyat dapat sama-sama memahami bahawa, isu harga minyak
mentah bukanlah sesuatu yang berada
dalam kawalan langsung Kerajaan Persekutuan kita.
27. Kerana itulah, penanda aras harga minyak mentah Dated
Brent terkini telah turun kepada sekitar 48 dolar Amerika setong pada hari
semalam, yakni 19 Januari 2015. Walaupun begitu, para penganalisis menjangkakan
harga minyak akan mengambil tempoh tertentu untuk kembali stabil.
28. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, apabila berlakunya penurunan
harga minyak seperti sekarang ini, hikmahnya, ia membawa manfaat kepada negara
pengimport bersih minyak seperti Malaysia.
29. Sebagai contoh, apabila pengurangan harga runcit
petrol dan diesel pada 35 dan 30 sen seliter baru-baru ini, tambahan pendapatan
boleh guna atau disposable income pengguna rakyat Malaysia secara kasarnya
adalah di sekitar 7.5 bilion ringgit.
Dengan andaian pengguna membelanjakan 40 peratus daripada jumlah
tersebut, ini akan meningkatkan penggunaan swasta sebanyak 3 bilion ringgit.
30. Selain itu, Bank Dunia mengunjurkan bahawa, harga
minyak mentah yang lebih rendah akan memberi impak positif kepada pertumbuhan
ekonomi global. Malah, penurunan harga
minyak sebanyak 30 peratus, mampu meningkatkan pertumbuhan KDNK dunia sehingga
0.5 peratus.
31. Ini secara tidak langsung, akan juga memberi kelebihan
kepada permintaan produk buatan Malaysia. Dengan kedudukan ekonomi Amerika
Syarikat yang semakin kukuh pula, permintaan terhadap eksport Malaysia terus
mampan terutama bagi produk elektrik dan elektronik.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
32. Ironisnya, kejatuhan harga minyak mentah dunia,
memberi impak secara langsung dalam mengurangkan pendapatan negara. Pendapatan
inilah, yang Kerajaan gunakan bagi tujuan pembangunan seperti membina
sekolah-sekolah, jalan raya dan rumah-rumah ibadat. Ia juga digunakan
antaranya, untuk perbelanjaan termasuklah seperti gaji penjawat awam, kos
ubat-ubatan di hospital Kerajaan, subsidi pertanian dan kos perbelanjaan
keselamatan untuk anggota RELA, tentera dan polis.
33. Seperti yang telah saya nyatakan tadi, harga minyak
mentah dunia telah menjunam. Berdasarkan paras tertinggi minyak mentah Dated
Brent, iaitu sebanyak 115 dolar Amerika setong, yang direkodkan pada 19 Jun
2014, harga semasa telah menunjukkan kemerosotan melebihi 50 peratus.
34. Selaras itu, ahli-ahli ekonomi berpendapat bahawa
unjuran paras harga asas 100 dolar Amerika setong semasa Bajet 2015 diumumkan,
adalah tidak lagi realistik. Mereka kini, mengganggarkan purata harga minyak
bagi tahun 2015 adalah antara 40 hingga 70 dolar Amerika setong.
35. Lantaran itulah, Kerajaan telah menyemak semula untuk
merendahkan unjuran purata paras harga asas minyak, kepada 55 dolar Amerika
setong bagi tahun 2015 ini.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
36. Jika berasaskan kepada harga minyak mentah pada 100
dolar Amerika setong, serta mengambil kira penjimatan dari pelaksanaan
mekanisme pengapungan terkawal harga runcit minyak mulai Disember 2014,
Kerajaan dijangka memperoleh tambahan lebihan semasa akaun fiskal, sebanyak 3.7
bilion ringgit.
37. Dalam kata lain, seandainya harga minyak mentah kekal
pada 100 dolar Amerika setong, Kerajaan mampu menampung pelaksanaan semua
langkah yang telah diumumkan dalam Bajet 2015 tersebut, dengan sasaran defisit
fiskal tidak melebihi 3 peratus.
38. Namun begitu, pada harga 55 dolar Amerika setong yang
diunjurkan sekarang, Kerajaan akan mengalami pengurangan hasil sebanyak 13.8
bilion ringgit.
39. Maknanya di sini, jika dibuat perbandingan, di antara
angka-angka semakan terkini dengan Bajet 2015, yang telah dibentangkan pada
Oktober lalu, sekalipun peruntukan subsidi bahan api dapat dijimatkan sebanyak
10.7 bilion ringgit, melalui pelaksanaan mekanisme pengapungan terkawal harga
runcit minyak, namun, Kerajaan masih mengalami kekurangan hasil sebanyak 8.3
bilion ringgit, bagi menampung langkah-langkah Bajet 2015.
40. Jelasnya, jika dibiarkan, paras defisit, akan
meningkat kepada 3.9 peratus daripada KDNK, berbanding sasaran 3 peratus bagi
tahun 2015.
41. Keadaan ini, memerlukan Kerajaan mengambil langkah
untuk mengurangkan defisit, selaras dengan komitmen kerajaan ke arah
konsolidasi fiskal.
42. Oleh itu, dengan mengambilkira unjuran yang disemak
tersebut, kita dengan ini, menetapkan sasaran defisit yang dikaji semula kepada
3.2 peratus, daripada KDNK pada tahun 2015.
43. Kadar ini masih rendah berbanding defisit fiskal 3.5
peratus daripada KDNK pada tahun 2014. Dan realitinya, dengan faktor luaran
ini, kita harus menerima hakikat, bahawa kita tidak mungkin mencapai sasaran
asal Bajet, dengan defisit fiskal pada kadar 3 peratus daripada KDNK seperti
yang telah diumumkan. Namun yang penting, adalah komitmen kita, untuk terus
mengurangkan defisit fiskal daripada paras 3.5 peratus.
44. Yang paling utama juga, kita tidak akan berkompromi ke
atas perancangan pembangunan negara, kerana ia akan meningkatkan kapasiti
produktif kepada ekonomi negara. Sekaligus, kita tidak akan sesekali
mengabaikan kebajikan semua rakyat, khususnya golongan pendapatan isi rumah 40
peratus terbawah atau the bottom 40
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
45. Seperkara lagi yang perlu diketahui oleh kita semua,
perihal turun-naik nilai matawang, asasnya, adalah berdasarkan pengaruh ekonomi
global. Oleh kerana itu, Ringgit bukanlah satu-satunya mata wang yang nilainya
menyusut berbanding dolar Amerika. Malah, hampir semua mata wang serantau turut
menyusut berbanding dolar Amerika sejak September 2014.
46. Ketidaktentuan dalam aliran modal dan penyusutan nilai
ringgit yang signifikan baru-baru ini juga, disebabkan oleh kebimbangan
terhadap impak kejatuhan harga minyak yang mendadak ke atas ekonomi.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,
47. Sehubungan itulah, Kerajaan perlu mempastikan
perkara-perkara berikut dipantau dengan sebaik mungkin. Pertama, akaun semasa dalam
imbangan pembayaran, perlu sentiasa kekal dalam lebihan. Kedua, meneruskan
langkah-langkah fiscal reform and consolidation dan ketiga, aktiviti ekonomi
negara perlu terus dipelbagai dengan sewajarnya, supaya negara mampu menghadapi
kejatuhan harga minyak dan komoditi.
48. Namun begitu, Kerajaan yakin kadar tukaran Ringgit,
akan mengalami penyesuaian dalam tempoh tertentu dan kembali ke paras yang
menggambarkan asas ekonomi yang kukuh. Apa yang penting, our financial system
continues to function in an orderly manner.
49. Paling mustahak, tiada gangguan kepada pengantaraan
kewangan atau financial intermediation dengan aktiviti pinjaman kekal lancar.
Selanjutnya, aktiviti perniagaan terus mendapat akses kepada pembiayaan
kewangan daripada institusi perbankan dan pasaran modal.
50. Pucuk pangkalnya, Kerajaan yakin, kesemuanya ini,
diiringi dengan polisi yang lebih dinamik, rizab antarabangsa yang mencukupi,
pasaran kewangan yang pelbagai dan mendalam, sistem perbankan yang teguh serta
pelabur institusi tempatan yang kukuh, seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja,
akan terus meningkatkan daya tahan Malaysia untuk menampan sebarang turun naik
aliran modal.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
51. Menyentuh tentang Imbangan Akaun Semasa negara pula,
perlu diketahui bahawa ia berkait langsung dengan imbangan perdagangan import
dan eksport.
52. Seperti yang ramai tahu, kita merupakan negara
pengeksport minyak. Maka, wujudlah tanggapan bahawa, apabila harga minyak
merudum baru-baru ini, pendapatan daripada eksport keseluruhan kita, akan turut
merosot secara mendadak, yang seterusnya mengakibatkan berlakunya defisit akaun
semasa.
53. Sesungguhnya, tanggapan ini tidak benar. Sebetulnya,
bagi minyak mentah, kita merupakan pengeksport bersih dengan nilai lebihan
eksport sebanyak 7.7 bilion ringgit, untuk tempoh bulan Januari hingga bulan
November 2014.
54. Manakala, bagi produk petroleum, kita adalah
pengimport bersih dengan nilai lebihan import sebanyak 8.9 bilion ringgit untuk
tempoh yang sama.
55. Justeru itu, dengan gabungan kedua-dua minyak mentah
dan produk petroleum ini, kita sebenarnya adalah pengimport bersih dengan nilai
lebihan import sebanyak 1.2 bilion ringgit.
56. Oleh itu, tanggapan atau persepsi umum selama ini,
bahawa Malaysia merupakan pengeluar minyak yang surplus atau berlebihan, adalah
juga tidak benar.
57. Sebaliknya, jika dicampur eksport serta import minyak
mentah, dan ditolak produk petroleum, maka, Malaysia sebenarnya, merupakan
negara pengimport bersih petroleum. Perkiraan ini tidak termasuk Gas Cecair
Asli atau LNG, di mana Malaysia masih merupakan negara pengeksport bersih.
58. Tambahan lagi, situasi kita masih utuh, berikutan
kejayaan kita selama ini dalam mempelbagaikan ekonomi negara, sehingga dapat
menampung kejatuhan harga minyak.
59. Sememangnya lagi, kesan kejatuhan harga minyak,
dijangka dapat ditampung oleh peningkatan permintaan bagi barangan pembuatan
seperti barangan elektrik dan elektronik, produk berasaskan kayu-kayan, produk
tekstil serta lain-lain, yang terdiri daripada 76 peratus jumlah eksport.
Manakala, eksport minyak mentah hanyalah mewakili 4.5 peratus daripada jumlah
eksport.
60. Bersandarkan yang demikian, Kerajaan yakin imbangan
akaun semasa akan kekal mencatat lebihan pada tahun ini, walaupun nilainya
mengecil kepada 2 hingga 3 peratus, daripada Pendapatan Negara Kasar atau PNK,
berbanding pada 2014, imbangan lebihan
semasa dianggar mencatat 5.1 peratus daripada PNK.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
61. Jelasnya, sebentar tadi, saya telah menghuraikan
beberapa isu atau perkara yang akan memberi impak yang besar kepada ekonomi
negara. Berdasarkan situasi ini, Kerajaan
perlu mengambil langkah-langkah bagi mempastikan pertumbuhan ekonomi berada
pada landasan yang kukuh. Insya-Allah, kita mampu mencapai pertumbuhan KDNK
antara 4.5 hingga 5.5 peratus pada tahun ini, dengan melaksanakan
strategi-strategi berikut.
Pertama:
Mempastikan pertumbuhan ekonomi yang balanced, inclusive and sustainable yakni
seimbang, inklusif dan mampan;
Kedua:
Meneruskan fiscal reform and consolidation; serta
Ketiga:
Menyediakan bantuan kepada rakyat dan komuniti perniagaan bagi membina semula
infrastruktur yang terjejas akibat banjir.
62. Strategi
Pertama: Mempastikan Pertumbuhan Ekonomi Yang Seimbang, Inklusif Dan Mampan.
Bagi merancakkan eksport barangan dan perkhidmatan, beberapa tindakan berikut
akan diambil:
Pertama,
mempromosi secara aktif perkhidmatan gantian-import atau import-substitution
seperti perkhidmatan perkapalan, pelabuhan, pendidikan dan profesional. Ini,
bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar bagi perolehan barangan dan
perkhidmatan;
Kedua,
menyegerakan pelaksanaan cadangan daripada National Export Council iaitu,
membantu pengeksport terutamanya Perusahaaan Kecil dan Sederhana atau PKS untuk
mendapat prospek pelanggan baharu di pasaran yang baharu, di bawah program
jaringan antarabangsa menggunakan penghubung pasaran dan pakar industri.
Seterusnya, mempergiat program promosi
eksport di 46 negara meliputi Asia, Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat;
memperkenalkan SME-Go melalui SME Bank, sebuah program eksport untuk PKS, dan
memanfaatkan Dana Perkhidmatan Eksport
serta program promosi PKS untuk meningkatkan kemampanan eksport ke luar
negara;
Ketiga,
menambah baik last mile connectivity ke Pelabuhan Klang seperti jalan masuk,
jaringan landasan dan sistem pengurusan trafik, bagi mempercepatkan pelaksanaan
Logistik dan Fasilitasi Dagangan.
Selain itu, menaik taraf terminal keretapi
Padang Besar; menambah baik kecekapan operasi proses import dan eksport, serta
menubuhkan sistem hab dan jaringan perhubungan udara;
Keempat,
mempergiatkan keseluruhan industri pelancongan negara;
Kelima,
mengambil langkah-langkah untuk mengkaji semula kadar levi yang dikenakan ke
atas pekerja-pekerja asing; dan
Keenam,
visa diberi secara percuma kepada para pelancong antaranya dari negara China
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
Selanjutnya, bagi meningkatkan penggunaan
swasta pula, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut:
Pertama,
memberi keutamaan kepada kontraktor tempatan kelas G1 yakni kelas F, G2 yakni
kelas E dan G3 yakni kelas D, yang berdaftar dengan CIDB, untuk melaksanakan
kerja-kerja baik pulih di kawasan masing-masing yang terjejas akibat banjir;
Kedua,
mempergiatkan promosi pembelian barangan buatan Malaysia;
Ketiga,
meningkatkan kekerapan dan memanjangkan tempoh operasi jualan mega di seluruh
negara;
Keempat,
mempergiatkan promosi pelancongan domestik dengan menawarkan tambang
penerbangan yang kompetitif; dan
Kelima,
menggalakkan sektor swasta meraih peluang daripada pewujudan Komuniti Ekonomi
ASEAN.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
Seterusnya, dalam usaha merancakkan
pelaburan swasta di Malaysia, Kerajaan akan:
Pertama,
menubuhkan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan berjumlah 5 bilion ringgit kepada
PKS dalam Sektor Perkhidmatan, dengan pembiayaan maksimum 5 juta ringgit dan
jaminan Kerajaan sebanyak 70 peratus;
Kedua,
menggalakkan GLC dan GLIC melabur dalam negara;
Ketiga,
mengurangkan kos kendalian perniagaan melalui penangguhan cadangan kenaikan
tarif elektrik pada tahun 2015; dan penangguhan cadangan kenaikan harga gas
untuk sektor industri pada tahun 2015;
Keempat,
memperuntukkan 30 peratus daripada perbelanjaan tahunan agensi Kerajaan dan GLC
untuk perolehan bekalan serta perkhidmatan kepada PKS tempatan bertaraf
pembuat; dan
Kelima,
mempergiatkan penggunaan bahan, barangan dan perkhidmatan tempatan dalam
perolehan Kerajaan.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
63. Seterusnya,
Strategi Kedua: Meneruskan Fiscal Reform and Consolidation
Antara langkah yang akan diambil bagi
meningkatkan hasil Kerajaan adalah:
Pertama,
meluaskan asas percukaian dengan menggalakkan syarikat mendaftar dengan Jabatan
Kastam DiRaja Malaysia, bagi meningkatkan hasil daripada kutipan GST. Ini akan
menyumbang kepada tambahan kutipan GST sebanyak satu bilion ringgit. Sehingga
pertengahan Januari 2015, lebih 304 ribu syarikat telah berdaftar; dan
Kedua,
meningkatkan kutipan dividen daripada GLC dan GLIC serta badan-badan Kerajaan
yang lain yang dapat menyumbang tambahan hasil sebanyak 400 juta ringgit
Bagi langkah merasionalisasi perbelanjaan pula, Kerajaan
akan:
Pertama,
mengoptimumkan perbelanjaan ke atas bekalan dan perkhidmatan, penganjuran
majlis dan mesyuarat serta perkhidmatan profesional yang memberi penjimatan
sebanyak 1.6 bilion ringgit;
Kedua,
menangguhkan Program Latihan Khidmat Negara tahun 2015, dengan penjimatan
sebanyak 400 juta ringgit bagi membolehkan program dikaji semula dan ditambah
baik;
Ketiga,
mengkaji semula pemberian dan geran kepada Badan Berkanun Persekutuan, GLC
serta Tabung Amanah Kerajaan, terutamanya yang mempunyai aliran pendapatan yang
konsisten dan rizab yang tinggi. Langkah ini dijangka memberi penjimatan
sebanyak 3.2 bilion ringgit; dan
Keempat,
menjadualkan semula pembelian aset tidak kritikal terutamanya peralatan
pejabat, perisian dan kenderaan yang mampu memberi penjimatan sebanyak 300 juta
ringgit
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
64. Strategi
Ketiga adalah Penyediaaan Bantuan Kepada Rakyat Dan Komuniti Perniagaan Serta
Membina Semula Infrastruktur Yang Terjejas Akibat Banjir
Banjir baru-baru ini, telah melibatkan
sekitar 400 ribu mangsa di seluruh negara. Anggaran terkini kemusnahan
infrastruktur mencecah hampir 2.9 bilion ringgit.
Antara tindakan yang telah dan akan
dilaksanakan oleh Kerajaan kepada mangsa-mangsa banjir, adalah seperti berikut:
Kerajaan telah menyalurkan peruntukan
tambahan sebanyak 500 juta ringgit sebagai bantuan permulaan, atau initial
allocation untuk kerja-kerja baik pulih, dan program kebajikan mangsa banjir,
tambahan kepada tabung Majlis Keselamatan Negara, menjadikan jumlah
keseluruhannya sebanyak 787 juta ringgit;
Sebagai peruntukan awalan, Kerajaan
menyediakan 800 juta ringgit untuk membaiki dan membina semula infrastruktur
asas seperti sekolah, hospital, jalan raya dan jambatan;
Menyediakan 893 juta ringgit bagi Bajet
2015 untuk rancangan tebatan banjir;
Membina rumah-rumah kampung bertiang atau
stilt houses setinggi 8 kaki yang telah musnah akibat banjir kepada mereka yang
mempunyai tanah sendiri;
Menyerahkan 1,000 unit rumah kos rendah
yang sudah siap di Gua Musang;
Memberi bantuan 500 ringgit bagi setiap
keluarga yang terlibat; dan
Menghulur sumbangan 5 ribu ringgit kepada
mereka yang kehilangan ahli keluarga.
65. Bagi perniagaan yang terjejas pula, tambahan 100 juta
ringgit disediakan kepada TEKUN dan 100 juta ringgit kepada Amanah Ikhtiar
Malaysia (AIM), bagi menyediakan pinjaman mudah untuk menyokong PKS serta
perusahaan mikro.
66. BSN, Agrobank, SME Bank, TEKUN dan AIM akan
menangguhkan tempoh bayaran balik pinjaman yang telah diambil, sehingga enam
bulan.
67. Berkait itu, Bank Negara Malaysia akan menubuhkan
Special Relief Facility, berjumlah 500 juta ringgit untuk menyediakan
pembiayaan pinjaman SME pada kadar yang lebih rendah (concessionary rate) iaitu
2.25 peratus, dengan penangguhan tempoh bayaran balik pinjaman sehingga enam
bulan melalui institusi pembangunan kewangan dan perbankan.
68. Bank Rakyat pula, akan menawarkan Skim Pinjaman
Peribadi sehingga 50 ribu ringgit pada kadar keuntungan serendah 3.9 peratus,
dan bayaran balik pinjaman bermula selepas enam bulan dari tarikh pengeluaran.
69. Selain itu, sejumlah 500 juta ringgit akan disediakan
oleh institusi kewangan dengan jaminan pembiayaan sebanyak 70 peratus di bawah
Skim Jaminan Pinjaman Bantuan Banjir. Skim ini akan diuruskan oleh ProKhas; dan
70. Pengecualian pembayaran levi oleh majikan kepada
Tabung Pembangunan Sumber Manusia, untuk tempoh enam bulan bagi PKS di kawasan
yang terjejas berkuat kuasa 1 Februari 2015.
(Penutup)
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
Secara keseluruhannya, dalam perutusan
saya pada pagi ini, dapat saya rumuskan 6 perkara as the key take-away points:
Pertama,
kita bukan di dalam keadaan gawat atau krisis, seperti mana pada tahun-tahun
1997 dan 1998, bahkan tidak juga seperti tahun 2009 yang lalu, sehingga
pakej-pakej stimulus perlu dilaksanakan.
Kedua,
Strategi-strategi Kerajaan yang diumumkan tadi, adalah langkah proaktif untuk
melakukan penyesuaian atau adjustment, berikutan faktor-faktor luaran yang di
luar kawalan kita. Ini merupakan satu reality check, berikutan antaranya
perubahan harga minyak dunia.
Ketiga,
Akaun Semasa dalam Imbangan Pembayaran kita, Insya-Allah, dijangka kekal
positif dan tidak berada dalam defisit.
Keempat,
Pasaran kewangan tetap teratur dan kukuh. Malah, matawang ringgit, walaupun
mengalami penyesuaian ketika ini, akan kembali ke paras yang menggambarkan asas
ekonomi yang kukuh. Insya-Allah.
Kelima,
Perbelanjaan Pembangunan atau Development Expenditure yang diperuntukkan
sebanyak 48.5 bilion ringgit tidak berubah dan akan tetap dibelanjakan.
Ini termasuklah, projek-projek bersifat
people economy, yakni perumahan rakyat, tebatan banjir, bekalan air, elektrik
dan infrastruktur pengangkutan awam seperti Lebuhraya Pan Borneo.
Di samping itu, projek-projek MRT jajaran
kedua, LRT3 dan High Speed Rail Kuala Lumpur-Singapura akan tetap diteruskan.
Malah, pada bulan Mei nanti, saya akan
membentangkan Rancangan Malaysia Kesebelas, bagi merencanakan pula perbelanjaan
pembangunan negara sehingga tahun 2020, dan akhirnya;
Yang ke-enam, Perbelanjaan Mengurus atau Operating Expenditure
dijangka akan dikurangkan sebanyak 5.5 bilion ringgit, dengan mengutamakan
perbelanjaan yang benar-benar diperlukan sahaja.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,
71. Akhir kalam, marilah kita banyakkan berdoa, dan
bertawakkal supaya Allah SWT sentiasa memberi bantuan-Nya, kepada
ikhtiar-ikhtiar kita dalam terus membangun dan memakmurkan negara.
72. Sesungguhnya jua, dalam segala kudrat manusiawi,
kepada Allah kita bergantung dan mengembalikan segala urusan. Apa yang paling
mustahak, kepada seluruh rakyat Malaysia, sederap dalam satu solidariti, kita
mampu menongkah dan melangkah apa jua cabaran serta rintangan yang mendatang.
73. Pastinya, pada setiap kesukaran itu, ada janji-janji
kesenangan dan bahagia yang menanti.
74. Mudah-mudahan, Tuhan yang Maha Berkuasa terus
melindung-lindung tanahair tercinta ini, dari segala keburukan dan mara bahaya.
Bak kata orang tua-tua, kita berserah rugi dan untung, kepada Allah meminta
tolong.
Sekian, Wabillahiitaufik Walhidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment