Thursday, October 10, 2013

#PemilihanUMNO : Tak faham semangat dan tujuan sebenar pindaan Perlembagaan UMNO 2009?


Saya adalah di antara saksi hidup yang pernah terlibat dalam membantu Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan dan berada di dalam dewan semasa usul meminda Perlembagaan UMNO dibentangkan. Sedikit sebanyak saya mempunyai memori dan memahami tentang hasrat dan semangat sebenar pindaan perlembagaan ini. Ucapan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pernah saya siarkan pada 16 Oktober 2009 dan saya paparkan.

Menghayati semangat Pindaan Perlembagaan UMNO, teks penuh ucapan Datuk Seri Hishammuddin

dimuat naik pada tarikh 16 Oktober 2009

Alhamdulillah, langkah pertama transformasi UMNO telah dimulakan apabila Usul Pindaan Perlembagaan diluluskan semalam. Saya suka hendak menulis panjang mengenainya tetapi mungkin elok untuk saya biarkan pembaca membaca ucapan pembentang usul tersebut bagi pihak Majlis Tertinggi UMNO, iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya rakan-rakan semua dapat menghayati semangat dan roh di sebalik pindaan ini. Apa yang penting, UMNO telah memulakan langkah yang amat penting ini dan berresponsif dengan kehendak akar umbi dan rakyat. Bagi saya, ianya satu detik yang bersejarah dalam UMNO; saya merasa amat terharu dan bangga kerana menjadi salah seorang daripada lebih 2000 orang perwakilan yang terlibat meluluskan pindaan tadi demi survival UMNO, bagi menjadikannya terus relevan dan demi masa depannya yang lebih cemerlang.

MENJANA TRANSFORMASI

YBhg Datuk Pengerusi Tetap

1. Sebentar tadi kita telah mendengar dan menghayati dengan penuh tekun akan harapan, hasrat dan cita-cita besar Presiden kita, YAB Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak untuk melakukan transformasi demi memastikan kelangsungan dan survival parti yang kita semua sayangi ini. Kita perlu segera berubah. Semua tahu bahawa kita tiada pilihan. Berubah atau rebah. Tranformasi yang dimaksudkan menuntut perubahan dari segi sikap kita sebagai ahli dan perubahan dari segi struktur organisasi. Ianya perlu bersifat drastik, berani dan menunjukkan bahawa UMNO benar-benar serius untuk melakukan perubahan. Yang akan menilai kesungguhan untuk melaksanakan perubahan ini bukan semata-mata kita dalam umno sahaja tetapi rakyat di luar sana. Seperti yang sering diingatkan oleh YAB Presiden, “tidak guna kita pegang jawatan dalam parti jika kita tidak ada kuasa”.

2. Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Parti yang diamanahkan oleh Majlis Tertinggi UMNO, berdirinya saya di sini adalah untuk menyempurnakan tanggungjawab bagi memenuhi tuntutan kepada transformasi besar ini. Ianya merupakan amanah yang begitu berat kerana pindaan-pindaan yang dikemukakan ini adalah semata-mata bertujuan untuk memperkukuh parti, memperteguh lunas-lunas demokrasi serta menghak-upayakan ahli-ahli parti agar UMNO menjadi lebih terbuka, lebih inklusif dan lebih demokratik.

3. Insya-Allah apabila diluluskan nanti, pindaan kepada perlembagaan UMNO ini bakal mencatat sejarah paling bermakna, paling drastik dan paling berani pernah dilakukan sepanjang tempoh 62 tahun kewujudan parti keramat UMNO kita ini.

Datuk Pengerusi Tetap,

4. Izinkan saya memberikan sedikit latar belakang kepada usaha penyediaan usul pindaan perlembagaan UMNO yang akan kita bahaskan hari ini. Untuk makluman sidang perwakilan, saya dan seluruh Ahli Jawatankuasa telah memulakan gerakerja seawal 30hb Mei 2009 dengan meminta maklum balas sewaktu Persidangan Cawangan berlangsung dan disusuli pula dengan maklum balas ketika bahagian-bahagian bermesyuarat.

5. Jawatankuasa kemudiannya telah bermesyuarat beberapa kali untuk menyediakan draf awal cadangan pindaan perlembagaan ini, sebelum draf ini diangkat untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Parti, yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Presiden, sebanyak tiga (3) kali.

6. Draf ini kemudiannya dibentangkan kepada Majlis Tertinggi pada 11hb September dan secara prinsipnya telah dipersetujui dan telah diputuskan untuk ianya diperhalusi lagi oleh mesyuarat Biro Politik, yang dipengerusikan oleh YAB Presiden sendiri, dan turut dianggotai oleh semua Pengerusi Badan Perhubungan Negeri-Negeri.

7. Langkah penyediaan tidak terhenti di sini dan bagi memastikan semua Ketua Bahagian mendapat maklumat mutakhir tentang draf ini, saya telah diminta untuk memberi taklimat kepada mereka di Kursus Orientasi Perdana di Janda Baik, di mana dalam taklimat tersebut ia turut dihadiri oleh pimpinan tertinggi sayap-sayap parti.

8. Malah sebelum dibentangkan di dalam Perhimpunan Agung Khas ini pun, draf tersebut telah dibawa ke mesyuarat khas yang dihadiri oleh wakil-wakil Negeri pada pagi semalam. Akhirnya cadangan pindaan perlembagaan yang saya bentangkan ini telah mendapat persetujuan Majlis Tertinggi yang bermesyuarat malam semalam. Keseluruhan proses ini dilakukan agar cadangan pindaan ini dapat disediakan dengan sebaik mampu. Untuk makluman, sebanyak 36 Fasal dan sub-Fasal terlibat dalam cadangan ini yang boleh saya rumuskan kepada 7 perkara.

i. Perluasan jumlah perwakilan

ii. Penghapusan kuota

iii. Penambahan bilangan Ahli Jawatankuasa Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan lantikan;

iv. Penubuhan Jawatankuasa Pemilihan UMNO;

v. Penghapusan Yuran Tahunan;

vi. Pendaftaran Keahlian;

vii. Pengiktirafan kepada Setiausaha Bahagian;

9. Bagi memudahkan Sidang Perwakilan menyemak fasal-fasal berkaitan dengan setiap perkara yang akan disentuh sebentar lagi, pihak ibu pejabat ada membekalkan Buku Usul Pindaan Perlembagaan UMNO (berwarna merah) beserta addendumnya dan Ringkasan Usul Pindaan sebagai rujukan kepada semua perwakilan.

Datuk Pengerusi Tetap,

10. Di sini izinkan saya mengupas dan mengulas fasal-fasal pindaan yang telah saya bentangkan sebentar tadi yang merupakan fasal-fasal yang dipinda, fasal-fasal yang perlu dimansukh dan fasal-fasal baru merealisasikan 7 perkara yg saya sebutkan tadi.

11. Perkara pertama adalah berkaitan dengan perluasan jumlah perwakilan. Tujuan pindaan ini adalah bagi menjadikan UMNO lebih inklusif dengan menghakupayakan ahli-ahli di peringkat akar umbi, sekaligus akan menjadikan UMNO lebih demokratik dalam soal pemilihan. Ia juga berdasarkan kepada maklum balas yang diterima, rata-rata berpandangan bahawa UMNO perlu melebarkan jumlah perwakilan dalam proses pemilihan pemimpin tertinggi dengan mengembalikan hak memilih kepada lebih ramai ahli selaras dengan semangat dan roh parti UMNO itu sendiri.

12. Mengambil Majlis Tertinggi sebagai contoh, jika sebelum ini, pemilihan ahli Majlis Tertinggi hanya dibuat oleh 2,510 orang perwakilan, maka adalah dicadangkan agar seramai 146,500 orang perwakilan akan terlibat dalam proses membuat pemilihan ini pada masa akan datang.

13. Jumlah 146,500 ini adalah berdasarkan kepada anggaran jumlah perwakilan mengikuti formula berikut:

i. secara purata diandaikan terdapat seramai 500 orang perwakilan di dalam satu Bahagian yang ada pada hari ini. Maka, 500 orang x 191 bahagian bersamaan 95,500 orang.

ii. cadangan untuk memberi taraf perwakilan secara automatik kepada ketua sayap-sayap cawangan dengan mengambil kira secara purata terdapat 17,000 cawangan yang ada hari ini, maka, 3 orang ketua sayap-sayap x 17,000 cawangan bersamaan 51,000 orang. Justeru, 95,500 campur 51,000 menjadikan jumlah keseluruhan seramai 146,500 orang pemilih.

14. Langkah ini akan memberi pengiktirafan kepada suara dan peranan ketua pergerakan sayap-sayap cawangan dan perwakilan di peringkat bahagian untuk terlibat sama dalam pemilihan pemimpin di peringkat tertinggi parti semasa mesyuarat bahagian.

15. Majlis Tertinggi sedia maklum bahawa perubahan cadangan ini telah menarik minat ahli tentang urusan logistik dan kos pelaksanaannya yang akan melibatkan jumlah yang lebih besar. Sukacita, saya memaklumkan bahawa sebuah Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan bagi menangani perkara ini yang akan saya perjelaskan sebentar nanti. Inilah di antara perkara yang amat ditunggu-tunggu oleh ahli akar umbi dan rakyat. Apabila diluluskan nanti, pindaan ini bakal mencatatkan sejarah kerana tiada mana-mana pemimpin, khususnya yang berkuasa mentadbir negara sanggup mengubah sistem yang meletakkan mereka di persada kuasa. Jelas ini adalah manifestasi sikap keterbukaan dan demokratik pemimpin UMNO terhadap citarasa serta harapan ahli parti dan rakyat, dan apabila dipersetujui, saya percaya ianya tidak akan mengecewakan kerana ianya merupakan penambahan 5,800 peratus (5,800%) dari jumlah perwakilan yang sedia ada.

Datuk Pengerusi Tetap,

16. Perkara kedua, adalah perkara yang berhubung kait dengan penghapusan sistem kuota. Tujuan pindaan ini adalah untuk menjadikan UMNO lebih demokratik dan membuka ruang seluas-luasnya kepada ahli parti untuk bertanding, manakala sekatan-sekatan dalam melayakkan seseorang ahli menawarkan diri untuk bertanding akan dihapuskan.

17. Walaupun Majlis Tertinggi bersetuju secara prinsipnya dengan cadangan Jawatankuasa termasuk berkaitan kriteria kelayakan calon-calon, namun ia mencadangkan agar hanya kriteria kelayakan minimum sahaja dikenakan untuk melayakkan seseorang menawarkan diri bertanding bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden. Rasional Majlis Tertinggi ini adalah untuk melindungi institusi Presiden dan Timbalan Presiden kerana secara adatnya, mereka berdua merupakan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri negara.

18. Tetapi apabila cadangan ini dibawa kepada Biro Politik, kedua-dua penjawat sekarang, YAB Dato’ Seri Mohd Najib dan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan ini dan berpendirian bahawa mereka berdua tidak memerlukan apa-apa perlindungan dan tidak akan berselindung di sebalik syarat yang dicadangkan itu.

19. Walaupun demikian, bagi memastikan agar calon-calon dapat melalui proses kepimpinan parti di samping membolehkan mereka menghayati persekitaran politik akar umbi serta menjiwai semangat perjuangan parti yang sebenar sebelum menawarkan diri, maka satu kelayakan minimum dicadangkan untuk diwujudkan, di mana;

i. bagi mana-mana ahli yang ingin bertanding untuk mana-mana jawatan Ahli Majlis Tertinggi, mereka hendaklah mendaftarkan diri dan pernah memegang mana-mana jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Jawatankuasa Bahagian selama satu penggal.

ii. Manakala bagi ahli-ahli yang ingin bertanding untuk jawatan Ahli Jawatankuasa Bahagian, mereka hanya perlu menjadi ahli parti selama tiga tahun.

Datuk Pengerusi Tetap,

20. Perkara ketiga adalah untuk membolehkan pelantikan tambahan seorang lagi Wakil Wanita dalam Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan.

21. Kita amat mengiktiraf peranan yang telah dimainkan oleh seluruh warga Pergerakan Wanita terhadap UMNO. Sanjungan serta penghormatan sangat wajar diberikan kepada mereka di atas pengorbanan dan khidmat bakti yang telah diberikan kepada parti. Sumbangan Wanita memang cukup besar dan tidak kita nafikan. Justeru di atas prinsip inklusif dan untuk mengiktiraf sumbangan dan peranan Wanita selama ini, maka dicadangkan bahawa tambahan seorang lagi wakil Wanita untuk jawatan Ahli Jawatankuasa lantikan di peringkat Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan.

22. Namun begitu, bagi tidak menjejaskan kuasa lantikan Presiden, Ketua Bahagian atau Ketua Cawangan, maka dicadangkan supaya jumlah keseluruhan bilangan Ahli Jawatankuasa lantikan di peringkat Majlis Tertinggi ditambah daripada 12 kepada 13 orang, di peringkat bahagian daripada 7 kepada 8 orang dan di peringkat cawangan daripada 5 kepada 6 orang. Pindaan ini akan menambah suara Wanita di peringkat cawangan sehinggalah ke peringkat tertinggi parti.

Datuk Pengerusi Tetap,

23. Perkara keempat adalah mengenai penubuhan Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU).

24. Sama ada disukai atau tidak, hari ini, UMNO sedang dibelenggu oleh persepsi yang negatif sewaktu kita menjalani pemilihan parti. Di peringkat parti, pelbagai usaha telah dijalankan bagi memerangi persepsi negatif ini. Salah satu cadangannya adalah dengan melaksanakan mesyuarat perwakilan bahagian-bahagian seluruh negara pada tahun pemilihan secara serentak. Dengan kaedah ini, ia akan mengatasi persepsi negatif tadi agar kita boleh memberi tumpuan kepada tugas-tugas parti berbanding kempen yang berpanjangan.

25. Kita memahami dan menyedari bahawa mungkin timbul perkara-perkara yang berhubung kait dengan masalah kos pelaksanaan, pentadbiran, penyelarasan, perjalanan dan pengawal seliaan sewaktu pemilihan. Di atas kesedaran itu satu jawatankuasa khas yang akan diinstitusikan di peringkat UMNO pusat yang dikenali sebagai Jawatankuasa Pemilihan UMNO akan ditubuhkan untuk menyelaras perkara-perkara yang menjadi kerisauan ahli-ahli. Malah di dalam taklimat Presiden, Presiden telah menyatakan bahawa perkara ini akan ditangani dengan sebaik-baiknya.

Datuk Pengerusi Tetap,

26. Perkara kelima bertujuan untuk menghapuskan yuran tahunan dan menggantikannya dengan yuran seumur hidup.

27. Berdasarkan statistik ibu pejabat terdapat 27,000 kes diterima dan di antara aduan yang paling kerap timbul adalah berkaitan dengan pembayaran yuran tahunan, khususnya semasa tahun pemilihan. Hal ini tidak sepatutnya berlaku. Justeru dicadangkan agar yuran tahunan dihapuskan dan digantikan dengan yuran seumur hidup sebanyak RM2 kepada ahli baru. Ini dapat mengurangkan pelbagai aduan berkaitan soal yuran dan mengelakkan permasalahan atau pertikaian tentang keahlian daripada berlaku.

28. Berikutan pindaan ini, sekiranya diterima, tuan-tuan dan puan-puan sidang perwakilan semua, secara automatik telah menjadi ahli seumur hidup.

Datuk Pengerusi Tetap,

29. Perkara keenam adalah membenarkan ketua-ketua sayap untuk menerima keahlian.

30. Walaupun pelbagai pindaan telah dibuat sebelum ini terhadap pendaftaran keahlian, masih kedengaran ramai yang menimbulkan soal kesukaran utk menadi ahli UMNO. Benar atau tidak, ianya menjadi bahan perbualan dan malangnya ia menjadi senjata untuk menyerang kita. Justeru kita mencadangkan proses penerimaan keahlian diperluaskan kepada semua ketua sayap-sayap.

Dengan menghakupayakan ketua sayap-sayap, diharapkan agar kelulusan permohonan ahli dapat dibuat dengan lebih cepat dan seterusnya mengupayakan Ketua sayap-sayap bagi sama-sama memikul tanggung jawab menarik keanggotaan lebih ramai ahli di kalangan golongan sasar tersebut, khususnya golongan muda dengan harapan mereka akan merasa terpanggil untuk menyertai dan berkhidmat untuk parti.

Datuk Pengerusi Tetap,

31. Perkara ketujuh dan terakhir adalah untuk memberikan taraf perwakilan secara automatik kepada Setiausaha Bahagian bagi menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan. Ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada Setiausaha Bahagian-bahagian yang menjadi tonggak pentadbiran parti. Dengan lulusnya cadangan pindaan ini, jumlah perwakilan UMNO akan bertambah seramai 191 orang lagi.

Datuk Pengerusi Tetap,

32. Kesemua cadangan-cadangan di atas terkandung dalam tujuh (7) perkara teras pindaan yang saya kemukakan sebentar tadi. Ia bertujuan untuk memenuhi tanggungjawab dan amanah kita bagi melaksanakan transformasi dalam parti. YAB Timbalan Presiden menyatakan di dalam ucapan perasmian sayap-sayap Pemuda, Wanita dan Puteri bahawa tanda aras kepada perubahan ini bukan hanya ditentukan oleh kita, ahli-ahli parti sahaja, tetapi ia hanya diterima sebagai berjaya dan terlaksana, hanya jika rakyat dapat merasakan bahawa UMNO benar-benar berubah menjadi lebih inklusif, terbuka dan demokratik.
33. Bagi pihak Majlis Tertinggi, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas sokongan padu yang diberikan oleh pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO kepada cadangan Pindaan Perlembagaan ini semasa persidangan masing-masing semalam.

Datuk Pengerusi Tetap,

34. Suka tidak suka, rakyat mengikuti rapat perkembangan yang berlaku di dalam UMNO, terutama tatkala pemilihan parti dijalankan. Saya yakin rakyat terutamanya orang-orang Melayu masih sayangkan UMNO, apatah lagi UMNO telah banyak berjasa kepada Agama, Bangsa dan Negara. Tambahan pula Presiden UMNO juga merupakan Perdana Menteri kepada seluruh rakyat. Sudah tentulah harapan mereka untuk kita melaksanakan tugas dan amanah ini perlu segera kita penuhi. Kesemua cadangan ini perlu kita jayakan secara kesatuan niat dan tekad. Saya yakin apa yang kita lakukan hari ini, nescaya, akan dikenang sebagai pengorbanan dan sumbangan yang paling besar kepada Agama, Bangsa. Tanah Air, ahli-ahli UMNO dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Ya Allah – penuhilah cita-cita dan harapan kami ini. Amin ya Rabbal Alamin.

Ybhg Datuk Pengerusi Tetap, saya mohon mencadangkan.


1 comment:

Unknown said...

Mohon dipautkan link blog http://mediaharia.blogspot.com ke blog tuan.T.kasih

Popular Posts