Saturday, October 5, 2013

Fitnah Pengamal Media Sosial terhadap UMB menjelang #PemilihanUMNO


Promosikan merit, kekuatan dan sumbangan calon yang anda bawa, jangan serang dan burukkan calon-calon lain.


Menjelang Pemilihan UMNO terdapat sejumlah fitnah dan perbuatan tidak beretika memburukkan calon disebarkan. Prinsip saya mudah - bawa calon yang anda suka secara beretika, highlightkan merit dan sumbangan mereka, dan jangan balun dan perburukkan calon lain. Malangnya ada sesetengah pengamal media sosial pro-BN/UMNO yang begitu sukar untuk berpegang kepada etika ini. Sama ada mereka dibayar dan diarah oleh calon salah seorang calon terbabit atau dibayar dan diarah oleh calon ketiga untuk merosakkan hubungan di antara dua orang calon itu perlu dipastikan terlebih dulu. 



Kes 1 - suka saya nyatakan Facebooker IPS tidak diarah dan dibayar oleh saya, UMB atau Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk berkempen bagi pihak diri saya dan Datuk Seri Hishammuddin untuk berkempen bagi pihak kami apa lagi untuk memburuk-burukkan calon lain. Rakan-rakan di whatsapp group Rakan Media Johor telah menjadi saksi kenyataan pengamal media sosial IPS tentang pendiriannya menyerang calon lain walaupun telah dinasihatkan oleh saya. Print screen perbualan di dalam group tersebut telah saya tunjukkan kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan pegawai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai bukti bahawa saya tidak terlibat.





Kes 2 - pengamal media sosial ini telah menuduh bahawa saya pernah keluar masuk AMK dan PKR kemudian masuk balik UMNO, bagaimanapun selepas diajak bersemuka di Masjid Negara pada jam 1 petang, pengamal media sosial ini tidak muncul-muncul walaupun berikrar akan datang seawal pukul 12 tengah hari. Sehingga jam 3 petang, dia tidak muncul sedangkan beberapa orang pengamal media sosial yang menuduh saya dengan pelbagai tuduhan berani muncul untuk mencari kebenaran.



Kes 3 - Jalil Backer adalah kenalan sejak tahun 2003. Di depan saya, Jalil nampaknya baik saja. Tidak ada sebarang masalah. Namun dalam kes ini, tuduhan beliau agak berat walaupun sebenarnya beliau boleh sahaja menelefon saya untuk bertanyakan kedudukan sebenar. Untuk makluman, saya tidak perlu menghasut sesiapa termasuk penyokong saya, apabila nama saya digugurkan dari senarai calon Majlis Tertinggi. Luahan rakan-rakan pengamal media sosial adalah reaksi spontan kerana berasa marah dengan apa yang berlaku. Saya tidak tahu apa yang membuatkan mereka merasakan bahawa saya disabotaj oleh Datuk Ab Raof Setiausaha Kerja UMNO atau Datuk Seri Tengku Adnan, Setiausaha Agung UMNO. Malah wartawan-wartawan media perdana juga turut mengandaikan ada sabotaj berlaku. Dalam kes ini tidak keterlaluan untuk saya menyatakan bahawa saya yang telah memainkan peranan menenangkan keadaan dan membetulkan keadaan dengan menerangkan kepada mereka semua bahawa pengguguran nama saya adalah disebabkan tafsiran terhadap Perlembagaan UMNO oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO, tiada kait mengait dengan Dato Raof, Datuk Seri Tengku Adnan dan saya tidak disabotaj oleh sesiapa. Boleh rujuk laporan-laporan akhbar berkaitan hal ini. 

Tun Faisal kemuka rayuan, nafi disabotaj tanding MT

Boleh rujuk juga rayuan saya dalam kes calon MT ini. Saya berhujah berasaskan fakta dan saya tidak pernah mengaitkan hujah-hujah saya dengan mana-mana calon yang yang bertanding.
Inilah rayuan saya...

Saya tidak membayar dan mengarahkan mana-mana rakan media sosial, terutama rakan-rakan UMB untuk berkempen bagi pihak saya di alam siber. Mereka melakukannya atas inisiatif sendiri kerana mereka percaya kepada saya dan mereka menghargai persahabatan yang telah terbina selama ini. Atas inisiatif mereka saya ucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih.

Saya sedia maklum ada di kalangan mereka yang terlibat membantu calon-calon tertentu, satu fenomena yang membanggakan saya kerana ini membuktikan produk UMB mempunyai kebolehan yang diiktiraf oleh ramai calon yang bertanding, baik di peringkat MT, Pemuda, Wanita ataupun Puteri. Memang ada di peringkat awal pihak yang memburuk-burukkan calon lain, tetapi dalam kebanyakan keadaan saya ada membuat teguran kepada mereka agar suasana pemilihan UMNO tidak diburukkan oleh perbuatan mereka.

Akhir sekali saya berharap jangan ada yang mengaitkan saya atau UMB dengan perbuatan individu-individu tertentu. Bagi saya, perjanjian saya dengan mereka telah tamat sebaik saja berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-13. Ini telah saya nyatakan di dalam artikel di bawah :-

UMB pasca #PRU13 - anda blogger dan cybertrooper bebas! @NajibRazak @KhairyKJ

http://tunfaisal.blogspot.com/2013/06/umb-pasca-pru14-anda-blogger-dan.html

Ini adalah artikel pertama dari beberapa siri artikel untuk memberi penjelasan mengenai Unit Media Baru (UMB) Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) bagi mengelakkan kekeliruan dan salah tanggap masyarakat. 

Biarpun diiktiraf sebagai lawan yang ketat oleh pembangkang, terdapat sejumlah serangan yang sengaja dibuat oleh pihak tertentu dari dalam UMNO sendiri kerana salah tanggap atau kerana tidak senang dengan kejayaan UMB serta pengiktirafan yang diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


Memandangkan UMB bukan satu-satunya kumpulan yang membantu operasi Barisan Nasional (BN) dalam PRU13 maka adalah adalah adil jika sebarang kejayaan dan kelemahan operasi sepanjang tempoh PRU13 ditanggung bersama oleh semua kumpulan yang terlibat termasuk ketua yang mengendalikan keseluruhan operasi. 


Saya dan UMB tidak mempunyai sebarang masalah untuk memikul tanggung jawab sepenuhnya di atas kejayaan dan kelemahan operasi PRU13 hanya jika saya dan UMB sahaja yang mengetuai atau mengendalikan sepenuhnya operasi siber BN semasa PRU13. 


Memandangkan ia bukan tanggung jawab UMB secara tunggal, sebaliknya merupakan gerak kerja bersama pelbagai pihak, maka segala tanggung jawab ini perlu dipikul secara bersama oleh kumpulan-kumpulan lain juga.


Misalnya di Selangor, saya ingin menegaskan bahawa UMB bukan jentera yang diberi mandat dan sokongan oleh pihak UMNO negeri dan agensi untuk mengendalikan gerak kerja siber. Gerak kerja di Selangor dilaksanakan oleh Team Media Selangor (TMS) UMB Selangor dengan penuh kesukaran dan hampir keseluruhan operasinya dibiayai oleh UMB. 


Bagaimanapun artikel hari ini bukan berkenaan siapa dan kumpulan mana yang terlibat tetapi lebih untuk menjelaskan kedudukan UMB selepas PRU13, iaitu :-


1. UMB adalah jentera parti di peringkat Pergerakan Pemuda UMNO. Ia bukan berada pada satu tahap yang sama dengan sebarang Biro Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Jentera Penerangan Pusat, tetapi merupakan hanya sebahagian kecil daripada Jentera Penerangan Pusat. Atas kapasiti Pergerakan Pemuda UMNO, ada had dan batasan dari segi operasi dan peruntukan. UMB bukan pasukan blogger bebas yang boleh bertemu dengan mana-mana Pengerusi Badan Perhubungan Negeri melainkan selepas melalui heirarki parti. Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), kelulusan beroperasi di dalam PRK diluluskan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan UMB perlu bergerak melalui Ketua Penerangan UMNO selepas mendapat izin dan laluan daripada Ketua Pemuda UMNO Negeri dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri. Ini merupakan format yang dilalui oleh UMB sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Manek Urai sehinggalah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.


2. Berdasarkan keputusan yang dibuat di dalam Mesyuarat Jawatan Kuasa Pemuda UMNO Malaysia baru-baru ini, jawatan Exco Pemuda UMNO Malaysia dan Pengerusi biro, sekretariat dan unit dalam PPUM masih kekal dan berkuat kuasa sehingga pemilihan parti.


3. Berdasarkan perjanjian yang dibuat dengan para blogger dan cybertroopers sebelum mereka menyertai UMB, selepas operasi terakhir, iaitu PRU-13, semua blogger dan cybertroopers UMB TIDAK LAGI terikat dengan sebarang peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh UMB. Mereka bebas memilih untuk terus bersama UMB atau untuk menjadi blogger dan cybertroopers bebas seperti status mereka sebelum menyertai UMB. 


5. Sebagai blogger dan cybertroopers bebas, adalah tidak adil untuk saya dan UMB  menyekat mereka daripada menyuarakan pandangan mereka. Atas status BEBAS mereka ini, maka UMB dan saya tidak akan bertanggung jawab sama sekali dengan sebarang tulisan, kenyataan dan pendekatan mereka.


6. Namun begitu, sekiranya terdapat operasi khas, misalnya himpunan Black-Out dan PRK yang memerlukan bantuan mereka, mereka akan dipanggil semula untuk membantu UMB dan BN. UMB akan mengambil mode ad-hocracy mulai hari ini.


Saya dan UMB, dan bagi pihak PPUM amat berterima kasih kepada semua bloggers, cybertroopers dan sukarelawan siber yang terlibat, termasuk menerusi BNYCT kerana tanpa bantuan anda semua, tugas yang diberikan kepada UMB oleh Pusat Operasi tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan cemerlang.



Seperti yang saya nyatakan tadi, ini bukan pembubaran. Kita dalam UMB masih merupakan satu keluarga dan insya-Allah akan terus berjuang bersungguh-sungguh demi parti, agama, bangsa dan negara

Popular Posts