Tuesday, August 27, 2013

#PemilihanUMNO : Siapa calon Exco Pemuda yang berkesan?!


Istilah `calon parachute' atau `calon payung terjun' suatu masa dulu dikaitkan dengan calon yang diterjunkan oleh pemimpin tertinggi untuk diterima oleh rakyat. Hari ini, dalam pemilihan UMNO, akan ada ramai `calon payung terjun' yang kali ini bukan diterjunkan oleh pemimpin tertinggi, tetapi yang menerjunkan diri beramai-ramai, menawarkan diri sebagai calon berikutan pindaan Perlembagaan UMNO yang menjadikan parti ini semakin terbuka dan demokratik.

Khabarnya, sudah ada hampir 170 orang calon Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Saya tidak tahu dari mana datangnya angka ini, tetapi saya dimaklumkan ada di kalangan calon-calon ini sudah mula menawarkan diri dan ada yang masih belum menyatakan hasrat kepada umum. 

Saya ada TIGA KERISAUAN UTAMA dalam pemilihan kali ini:-

Pertama - dalam kalangan 170 orang calon ini, ada yang belum tentu akan memenangi sebarang jawatan dalam bahagian, seperti Ketua Pemuda Bahagian, Naib Ketua Pemuda Bahagian atau AJK Pemuda Bahagian. Berbeza dengan pemilihan terdahulu, calon yang bertanding kebanyakannya membawa jawatan dan kekuatan mereka di Pemuda Bahagian. Misalnya, di Putrajaya, Dato Zaki Zahid membawa kekuatan sebagai Ketua Pemuda Bahagian dan Hisamuddin Yahya sebagai Naib Ketua Pemuda Bahagian. Saya sendiri mempunyai hampir separuh kekuatan Pemuda di bahagian walaupun tidak menjawat jawatan Ketua Pemuda Bahagian berikutan kalah hanya 3 undi kepada Dato Zaki. 

Kedua - calon-calon Exco ini bakal bertanding di peringkat nasional. Pengalaman, kefahaman dan `grooming' di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan pusat amat penting supaya pemimpin di peringkat pusat tidak menjadi `calon payung terjun' yang ibarat kiambang yang akarnya tidak jejak ke tanah, tidak memahami heirarki organisasi, tidak terbimbing untuk memahami gerak kerja di peringkat cawangan, bahagian dan negeri; dan tidak memahami aspirasi dan kesulitan Pemuda di peringkat akar umbi. Berapa ramai di kalangan 170 orang calon ini pernah melalui proses kepimpinan cawangan, bahagian dan negeri sebelum mereka menawarkan diri?

Ketiga - Jika benar ada 170 orang calon, bagaimana agaknya perwakilan Pemuda di peringkat bahagian dan cawangan akan memilih? Sewaktu pemilihan yang lepas, hanya ada 60 orang calon Exco Pemuda yang perlu melalui proses berjumpa dengan lebih 800 orang perwakilan. Dalam proses ini adayang berjumpa dengan perwakilan lebih dari sekali. Ada yang sehingga lima kali. 

Itupun ramai perwakilan yang tidak benar-benar mengenali calon-calon yang bertanding. Inikan pula 170 orang calon yang sudah pasti tidak dapat bertemu dengan hampir 100,000 orang perwakilan. Kenalkah mereka calon-calon yang bakal bertanding ini, termasuk kemahiran dan pengalaman mereka. Jika tidak kenal, adakah perwakilan di peringkat cawangan ini akan memilih mengikut `papan', `rakit' atau `cai' yang akan dikeluarkan oleh pemimpin Pemuda di peringkat bahagian?

Kata-kata Tan Sri Isa Samad ini boleh direnungi. Katanya, "Memilih pemimpin macam pilih buah durian; kita tak ambil sebakul, tetapi pilih satu-satu". Ada logiknya. Maka nak pilih calon Exco Pemuda, kena pilih satu-satu, JANGAN ambil yang `mangkor' atau terlalu muda, atau terlalu tua dan pastikan kita buang yang busuk dan berulat.

Berdasarkan pemerhatian sebagai seorang yang terlibat secara hampir dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sejak tahun 2001, pengalaman bertanding dalam pemilihan sidang yang lepas dan sebagai EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2008-2013, mungkin saya boleh memberi sedikit sebanyak tip untuk memilih EXCO Pemuda UMNO Malaysia yang berkesan. 

Di bawah ini disenaraikan sejumlah penilaian untuk dipertimbangkan oleh perwakilan :-


1. Jati diri dan pendirian dalam perjuangan dan isu Melayu dan Islam

Carilah pemimpin yang memahami perjuangan dan isu pendidikan, ekonomi dan sosial Melayu serta memahami prinsip-prinsip penting dalam Islam. Tolak pemimpin yang membawa fahaman sekularisme, liberalisme, pluralisme, kapitalisme dan sosialisme. Tanya mereka soalan yang mudah mengenai khalifah, imamah, siyasah, assobiyah, tentang keadilan berbanding kesama rataan, Islam sebagai Agama Persekutuan, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan ekonomi orang Melayu, sistem kuota dan merit dalam pendidikan anak Melayu. Selain menanyakan pendirian, tanyakan juga apa yang mereka boleh lakukan untuk memastikan orang Melayu tidak terpinggir dalam pendidikan, bidang profesional dan perniagaan. 

Jika mereka tidak faham perkara-perkara asas ini, tidak mungkin mereka dapat memperjuangkan perjuangan Agama dan Bangsa dengan berkesan.


2. Visi dan Misi

Visi dan misi Pergerakan Pemuda selalunya akan ditentukan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Namun kita mahu Exco Pemuda UMNO yang mempunyai pendirian dalam perjuangan Melayu dan Islam agar dapat memastikan Visi dan Misi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO tidak jauh tersasar.

Selain Visi dan Misi Pergerakan Pemuda, calon-calon Exco Pemuda seharusnya boleh menawarkan kebolehan, kepakaran dan pengalaman mereka dalam biro-biro tradisi dalam Pergerakan Pemuda dan seharusnya boleh menawarkan kepakaran dalam bidang baru. Sdr Tengku Azman misalnya, menawarkan kepakaran untuk menggerakkan Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) bagi membantu Pemuda menangani isu dan kebajikan orang muda di dalam bandar. 

Pastikan anda tanya kepada calon, apa yang mereka boleh lakukan jika terpilih; biro apa yang boleh dan ingin mereka kendalikan.


3. Kemahiran dan pengalaman

Tawaran oleh calon perlu dinilai berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka. Misalnya sdr Lokman Nor Adam, menawarkan diri untuk mengendalikan Unit Pidato berdasarkan pengalaman beliau sebelum ini. Dr Fathul Bari tentulah berkebolehan untuk menawarkan diri untuk mengetuai Biro Agama berdasarkan kepakarannya dalam bidang itu. Tidak logik untuk sesorang calon menawarkan diri misalnya dalam Biro Pengajian Tinggi, jika sebelum ini beliau tidak pernah terlibat dengan sebarang aktiviti dan gerak kerja melibatkan IPTA dan IPTS di peringkat nasional. 

Minta biodata calon dan semak biodata mereka secara teliti untuk mengelakkan penipuan.


4. Kemahiran berpidato dan berhujah

Minta calon anda berpidato dan berhujah. Pernah ada ketika, sejumlah besar Exco Pemuda Malaysia tidak mempunyai kebolehan pengucapan awam dan tidak mampu memberi ucapan yang baik. Puncanya apabila calon Exco tidak diuji untuk berucap dan berpidato semasa tempoh berkempen. Perwakilan memilih mereka mungkin kerana mempunyai PR yang baik, hemoi dan mesra rakyat, bagaimanapun apabila mereka diminta berpidato dan berucap di hadapan rakyat, atau berdebat dengan pemimpin pembangkang, mereka tidak mampu melakukannya sama sekali. Jika calon Exco tidak boleh berhujah dengan baik melalui ucapan, minta mereka berhujah melalui tulisan yang baik.

Minta calon anda berpidato dan berhujah. Tanyakan pelbagai soalan dan berdebatlah dengan mereka.


5. Kekuatan di bahagian

Oleh kerana pemilihan peringkat bahagian berlaku serentak dengan peringkat pusat, ada di kalangan calon-calon exco ini yang berkemungkinan kalah dalam pertandingan di peringkat bahagian. Tanpa jawatan di bahagian, misalnya sebagai Ketua Pemuda Bahagian atau Naib Ketua Pemuda Bahagian, SELALUNYA Exco Pemuda tidak berkemampuan untuk membawa kekuatan bahagian bagi menyokong program-program mereka di peringkat negeri dan pusat. 

Akhirnya anda akan melihat Exco Pemuda yang berjalan dan bergerak bersendirian tanpa kekuatan pengikut dalam Pilihan Raya Kecil atau dalam pelbagai program di peringkat pusat dan negeri. Bagaimanapun ada pengecualian dalam kes pertandingan sengit di bahagian. Calon yang kalah tipis pertandingan ketua pemuda bahagian, biasanya masih mampu membawa separuh kekuatan pemuda bahagiannya.

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia boleh tempang sekiranya MAJORITI Exco Pemuda tidak mempunyai jawatan sebagai Ketua atau Naib Ketua Pemuda di bahagian.


6. Pengalaman di bahagian, negeri dan pusat

Bagi calon-calon parachute, sama ada diturunkan oleh pemimpin atau yang menawarkan diri tanpa pengalaman di peringkat cawangan, bahagian dan negeri, mereka mungkin tidak dapat menjalankan tugas dengan efektif kerana tidak mempunyai pengetahuan tentang keperluan pemuda di peringkat akar umbi. Misalnya, mereka tidak dapat menjadi rujukan yang baik ketika Pilihan Raya Kecil kerana mereka tidak ada pengalaman mengendalikan Pilihan Raya di cawangan, bahagian dan negeri sendiri. Exco Pemuda Pusat seharusnya menjadi sumber rujukan atas kehebatan pengalaman mereka mentadbir dan menguruskan parti di pelbagai peringkat.

Base politik pemimpin UMNO adalah bahagian. Setinggi mana jawatan mereka pegang di peringkat pusat, akhirnya mereka perlu kembali ke bahagian. Hanya bahagian yang diuruskan dengan baik dan berkesan akan menentukan kemenangan kerusi Parlimen dan DUN. 


7. Media / Communication savvy

Sebagai pemimpin politik, mahu tidak mahu mereka perlu tampil dan berhadapan dengan media, baik media tradisi mahupun media siber. Mereka perlu mempunyai perhubungan yang rapat dengan pengendali media tradisi, mempunyai ketrampilan media dan berkebolehan memanfaatkan media sosial. Mahu tidak mahu, calon Exco Pemuda hari ini, perlu mempunyai akaun twitter dan facebook mereka sendiri. Selain daripada itu, Exco Pemuda juga perlu berkemampuan untuk menjawab isu-isu di media dan tampil dalam forum-forum di media elektronik dan internet baik secara rakaman mahupun secara langsung.


8. Kemampuan material, calon korporat

Wang bukan segala-galanya, tetapi segala-galanya memerlukan wang. Keupayaan kewangan calon penting bagi memastikan beliau dapat menggerakkan biro tanpa mengharapkan bantuan daripada pihak lain. Tidak ada masalah memilih calon di kalangan ahli perniagaan dan di kalangan mereka yang kaya, asal sahaja mereka menggunakan kekayaan mereka untuk memastikan biro dan tugas mereka dapat dilaksanakan dengan efektif. Yang menjadi masalah adalah Exco yang menggunakan kedudukan mereka untuk mencari lebih banyak kekayaan tanpa menyumbang kembali kepada gerak kerja pemuda dan membela rakyat.

Bagaimanapun keupayaan kewangan bukan ukuran mutlak keberkesanan seseorang Exco. Sepanjang pengalaman sejak 2001, ada juga di kalangan Exco Pemuda yang kaya tetapi tidak efektif kerana mereka tidak mempunyai kemahiran dan pengalaman bekerja. Ada juga yang kaya tetapi tidak efektif kerana mereka hanya berminat untuk mencari kekayaan tambahan berbanding melaksanakan program.

Sebaliknya, kekurangan dari segi wang ringgit pula bukan faktor mutlak kegagalan sesorang exco. Ada exco yang bekerja makan gaji yang boleh menjadi efektif. Cuma bukan mudah. Saya suka mengingatkan bagi mereka yang makan gaji, anda mungkin terpaksa bekerja lima kali ganda lebih keras berbanding mereka yang mempunyai kekayaan bagi mendapatkan dana untuk menggerakkan biro anda. Janganlah diharap sangat kepada projek-projek kerajaan, kerana lebih banyak kehampaan dari cerita kejayaan. Menyakitkan hati saja bercakap tentang Menteri-menteri yang tidak boleh membantu ni...  


9. Calon di kalangan SUPOL dan Pegawai Khas Menteri

Calon di kalangan SUPOL dan Pegawai Khas Menteri mempunyai kelebihan kerana mereka dilihat boleh membantu ramai orang dengan kedudukan mereka. Bagaimanapun keupayaan mereka untuk turun ke bawah, terlibat dalam pelbagai program di peringkat bahagian, negeri dan pusat adalah terhad kerana mereka mempunyai tanggung jawab rutin, iaitu untuk mentadbir pejabat Menteri. Selalunya calon di kalangan SUPOL dan Pegawai Khas akan berada di pejabat, terlibat dengan mesyuarat dan pelbagai program Menteri. SUPOL dan Pegawai Khas kepada Perdana Menteri tidak payahlah mencalonkan diri sebagai Exco atau apa-apa jawatan sekali pun. Jagalah PM baik-baik dan keduanya, jangan menyalah gunakan kedudukan sebagai pegawai di pejabat PM bagi memenangi undi dan politik peribadi.


10. Calon di kalangan Ahli Yang Berhormat

Sejak 2001, berdasarkan pemerhatian saya, Exco di kalangan Ahli Yang Berhormat Parlimen ataupun ADUN akan terlalu sibuk menguruskan rakyat di kawasan masing-masing. Mereka juga diperlukan untuk menghadiri sidang DUN atau Parlimen. Komitmen yang di tinggi di kawasan dan dewan akan menghalang Exco di kalangan Ahli Yang Berhormat berperanan secara efektif. Atas sebab ini saya berharap tidak ada mana-mana Ahli Parlimen dan ADUN yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Pemuda Pusat, melainkan untuk jawatan Ketua Pergerakan Pemuda dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.


Sememangnya bagus untuk memilih calon yang hemoi atau mudah mesra. Tolaklah pemimpin elitis. Bagaimanapun jangan mencari pemimpin yang hanya pandai berhemoi dan bersosial, tetapi tidak pandai melaksanakan kerja dan tidak mampu berhadapan dengan pembangkang secara berkesan. Hemoi itu tentang hubungan calon dengan kita, tetapi kemampuan bekerja dan berdepan dengan pembangkang adalah tentang parti dan perjuangan.

Carilah calon yang ada fikrah perjuangan, bijak berhujah dan mengartikulasi pendirian, pandai bekerja dan rajin bekerja. Jangan cari calon yang hanya pandai bercakap sahaja, akhirnya kerja tak jalan, hanya bijak untuk positioning dirinya semata-mata.

Siapakah 170 orang calon Exco Pemuda ini? Di manakah biodata mereka. Perwakilan Pemuda seramai hampir 100,000 orang mesti bijak menilai dan memilih Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang berkesan kerana ini bukan tentang kepentingan diri dan material diri perwakilan itu sendiri, tetapi tentang perjuangan Agama, Bangsa dan Negara; dan kesiap siagaan Pemuda UMNO berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-14.

5 comments:

UCJRC said...

Salam Tun Faisal

mohon meminjam entry blog ini ke dalam blog kami umnorajachulan.blogspot.com.

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

boleh UCJRC, apa salahnya :) tq kerana membantu menyebarkannya :)

IPOH MALAY said...

4. Kemahiran berpidato dan berhujah

Minta calon anda berpidato dan berhujah. Pernah ada ketika, sejumlah besar Exco Pemuda Malaysia tidak mempunyai kebolehan pengucapan awam dan tidak mampu memberi ucapan yang baik. Puncanya apabila calon Exco tidak diuji untuk berucap dan berpidato semasa tempoh berkempen. Perwakilan memilih mereka mungkin kerana mempunyai PR yang baik, hemoi dan mesra rakyat, bagaimanapun apabila mereka diminta berpidato dan berucap di hadapan rakyat, atau berdebat dengan pemimpin pembangkang, mereka tidak mampu melakukannya sama sekali. Jika calon Exco tidak boleh berhujah dengan baik melalui ucapan, minta mereka berhujah melalui tulisan yang baik.




ini penting bagi mendapatkan sokongan kuat bukan sahaja akar umbi, malahan bukan ahli. pengucapan awam yang baik dan berisi menyelesakan pendengar dan mampu mengubah seorang penentang menjadi penyokong dalah keadaan tertentu , atas orang tertentu.

Smarts Sam said...

assalam. TF, saya mohon share artikel ini ke blog aktivismediaperdana.blogspot.com

UCJRC said...

Salam Tun Faisal

Berbesar hati dapat berjumpa di PWTC hr ini walaupun sekadar bersalaman...:)

Popular Posts