Nota: Ini merupakan salah satu daripada artikel lama saya yang pernah disiarkan di Laman Web Pemuda UMNO pada 17 April 2003. Sengaja saya siarkan semula di blog ini untuk panduan kepada generasi muda yang belum mengenali erti politik ketika gerakan reformasi digerakkan. Pada tahun 2004 lagi, golongan ini sudah kehilangan arah kerana hala tuju perjuangan mereka tidak jelas. Ini jelas digambarkan oleh Fathi Aris Omar, ketika itu merupakan salah seorang editor asal Malaysiakini dalam artikelnya. Jadi jangan jadi reformis ikut-ikutan yang mengikut secara membut tuli, apa lagi yang diikuti itu seorang penipu bersiri. Saya suka memetik kata-kata Fathi baru-baru ini untuk dijadikan panduan golongan muda, katanya:-
"Terus-terang, saya tidak sabar berdepan dengan kelompok manusia seumpama ini dan saya bukanlah guru yg baik untuk mendidik orang-orang tua yg telah jauh disesatkan oleh usrah, aktivisme dakwah dan gerakan Islam. Jika usrah boleh disebut “dosa”, mungkin inilah satu daripada dosa-dosanya – melahirkan manusia “tidak berguna”, selain mendangkalkan manusia dalam kelemasan ideologi yg dinamakan “Islam haraki.” Tetapi bagi saya, usrah itu satu mimpi ngeri yg tidak terluahkan dengan kata-kata… ~ Fathi Aris Omar"
Jadi kenapa masih didukung politik Machiavalian dan perjuangan yang semakin sesat itu Fathi?
Pseudo-reformis kesesatan dalam usaha mencari erti `reformasi’
http://www.pemuda.com.my/modules.php?name=News&file=article&sid=1022
Nampak gayanya ada pendokong-pendokong reformasi palsu yang kebingungan dalam mencari hala tuju gerakan tersebut. Berdasarkan rintihan-rintihan terbaru mereka, jelas kelihatan mereka tidak lagi bersetuju dengan arah pemimpin parti Keadilan membawa agenda reformasi.
Ini bukan sesuatu yang pelik, tetapi memang dijangka. Mungkin begitulah nasib jika perjuangan dilandaskan kepada matlamat jangka pendek, iaitu perjuangan untuk membebaskan seorang pesalah biarpun begitu banyak bukti yang menunjukkan dia bersalah.
Lebih memburukkan keadaan, perjuangan reformasi palsu ini tidak berpegang kepada sebarang etika. Seorang bekas pendokong reformasi palsu, Dr Chandra Muzaffar pernah menyebut bahawa beliau tidak dapat menerima perbuatan yang menghalalkan sebarang cara bagi mencapai matlamat.
Tiada etika, tiada hala tuju dan tiada pemimpin yang jujur. Mungkin ini punca kenapa semangat pendokong `reformasi palsu’ ini menjadi pudar. Menyedari hakikat kepalsuan perjuangan mereka, ramai dari pendokong-pendokong reformasi palsu bertindak keluar dari parti Keadilan. Ramai yang kembali ke sarang masing-masing. Ada yang kembali bergerak aktif di dalam NGO. Ada juga yang kembali `memeluk’ UMNO yang suatu masa dulu pernah diburuk-burukkan.
Mungkin bagi yang kembali ke pangkuan NGO, mereka sedar kekuatan teras mereka hanyalah sebagai aktivis NGO dan tidak lebih dari itu. Mereka bukan ahli politik dan tidak mungkin dapat bertahan untuk bergelumang di dalam sepak terajang politik, lebih-lebih lagi apabila berada dalam satu kelompok yang pernah menjadi `tangan-tangan kotor’ ketika di dalam UMNO.
Siapa yang tahu tentang kisah bagaimana puak ini cuba menjatuhkan Tun Ghafar Baba dari jawatan Timbalan Presiden UMNO mungkin akan dapat memahaminya. Mungkin ramai yang tahu siapa yang sebenarnya giat berusaha menjatuhkan ramai pemimpin-pemimpin di peringkat Bahagian. Mungkin juga ramai yang tahu tentang siapa yang sebenarnya membawa amalan politik wang ke dalam UMNO sehingga mencemarkan imej UMNO.
Sebenarnya apabila kita melihat begitu ramai aktivis-aktivis NGO meninggalkan prinsip yang mereka pegang untuk menyertai parti Keadilan, timbul satu persoalan di benak kita. Mampukah mereka bertahan?
Kita yang pernah berjuang dengan ahli-ahli politik ini pun pernah merasa tidak selesa dan tidak tahan dengan setengah-setengah tindakan dan kerenah mereka, inikan pula ahli akademik yang `mentah’ dan `naif’ di dalam pecak silat berpolitik.
Kita sebenarnya hairan bagaimana sesetengah dari pemimpin NGO berteraskan Islam, yang pernah bersama kelompok ini ketika di dalam UMNO, dan yang begitu berkobar-kobar bercakap tentang Islam di dalam kursus-kursus latihan fasilitator anjuran Institut Kajian Dasar (IKD) suatu masa dulu, boleh menyertai parti Keadilan?
Kalau benar Islam yang mereka cari, tentulah mereka akan menyertai Pas, dan bukan Keadilan. Apakah rekod yang Keadilan ada di dalam memperjuangkan Islam? Setidak-tidaknya rekod Dr Mahathir dan UMNO jauh lebih baik dari apa yang Keadilan ada.
Kita juga hairan melihat bagaimana sesetengah dari fasilitator IKD yang berkobar-kobar bercakap tentang soal ketuanan Melayu, boleh menyertai Keadilan. Semakin menghairankan lagi apabila kita melihat mereka yang kononnya begitu kuat `ke-Melayuannya’ ketika di IKD, sanggup berdamping mesra dengan orang-orang Suqiu, Dong Jiao Zhong dan DAP selepas meninggalkan UMNO.
Nyatanya dari sudut pandangan kita di sini, mereka yang meninggalkan UMNO dan menyertai parti Keadilan bukanlah orang yang benar-benar faham, yakin, dan jujur mendokong perjuangan UMNO. Sebaliknya mereka hanya segelintir manusia yang menyertai UMNO demi menegakkan matlamat kumpulan dan mencari kemewahan kebendaan. Mereka bukan orang yang benar-benar berpegang pada prinsip perjuangan.
Maka tidak hairanlah jika ada penulis pro-pseudo-reformis, seperti Fathi Aris Omar yang menangisi perjuangan yang kian kosong dan hampa isinya. Sekadar untuk menyedarkan kelompok yang sama pemikirannya seperti Fathi, “kita kenal mereka, kita pernah bersama mereka.” Kalau kita pernah kecewa dengan mereka, maka bukan sesuatu yang aneh jika Fathi juga bakal kecewa dengan `sandiwara’ mereka.
Mungkin bagi sesetengah orang, `Reformasi Palsu 1998’ adalah berkenaan persaingan Anwar Ibrahim-Mahathir, tetapi bagi kita, ia merupakan takdir Allah SWT yang membawa kebaikan kepada UMNO, umat Melayu dan agama Islam.
Kita bersyukur kerana ketentuan Allah SWT ini telah memberikan kita kesempatan untuk melihat wajah sebenar pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO. Melaluinya kita dapat mengenal pasti mereka yang benar-benar ikhlas, yang berada di atas pagar, dan yang lebih mementingkan kuasa hatta sanggup merosakkan perpaduan umat Melayu dan rakyat Malaysia.
Kita juga bersyukur kerana ia telah merangsang UMNO untuk melakukan penilaian semula terhadap sikap dan tabiat ahli-ahlinya. UMNO juga telah dirangsang untuk melakukan kritik kendiri bagi mecari setiap kelemahan yang perlu diperbaikinya.
Pada kita, proses penilaian dan penyegaran semula merupakan satu `rukun’ yang tidak dapat dielakkan oleh mana-mana parti dan organisasi. Ianya pernah timbul pada akhir kepimpinan Tunku Abdul Rahman, permulaan kepimpinan Tun Hussein Onn, dan beberapa kali sepanjang 20 tahun kepimpinan Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad. Ini adalah suatu proses yang biasa, dan akan terus berlaku. Ia menjadi punca kenapa UMNO terus relevan sehingga hari ini, biarpun usianya telah melewati lebih 55 tahun.
`Reformasi’ bermaksud `pembaharuan’. Sejarah UMNO menunjukkan proses pembaharuan telah berlaku secara terus menerus sejak dari zaman Tunku Abdul Rahman lagi. Dr Mahathir merupakan salah seorang tokoh `reformasi’ atau `mujaddid’ di dalam UMNO. Dr Mahathir telah membuktikan kepada semua orang Melayu, rakyat Malaysia, umat Islam dan juga penduduk-penduduk seluruh dunia, usaha pembaharuannya telah banyak yang mendatangkan hasil.
Sememangnya terdapat ramai tokoh-tokoh reformasi tulen di dalam UMNO. Cuma, berbeza degan tokoh-tokoh reformasi palsu, tokoh-tokoh reformasi tulen ini berupaya melakukan perubahan dalam kerangka tradisi tanpa merosakkan kekuatan parti, umat Melayu dan umat Islam. Semangat patriotik mereka juga tinggi dan mereka tidak akan sekali-kali rela melutut dan meletakkan maruah bangsa dan agama di kaki kuasa-kuasa asing.
Sebaliknya bagi puak pseudo-reformis, makna `reformasi’ ini tidak begitu jelas. Hakikat ini diakui oleh Fathi sendiri, apabila menulis “Soalan "apa itu reformasi" diungkap samar-samar, gagal dihuraikan dan dimengertikan, apatah lagi dipersetujui bersama.”
Menurut Fathi lagi, walaupun masih ada demonstrasi yang diikuti, tapi penyertaannya hanya di atas sebab peribadi, dan tidak mempunyai sebarang makna. Bagi Fathi, “reformasi dalam erti kata yang asli, bukan "Re-for-ma-si" sebagai gerakan Anwar sejak dipecat (dan rentetan peristiwa) lima tahun lepas.”
Kita setuju dengan pendapat Fathi ini. Tanpa panduan yang jelas bagaimanakah sesuatu gerakan dapat menilai sama ada perjuangan mereka betul atau salah? Jelas, yang perlu di`reformasikan’ bukan orang lain, tapi diri pseudo-reformis sendiri dan juga parti Keadilan. Kalau belum memahami diri, lupakan saja niat untuk me`reformasi’kan orang lain.
Pengakuan Fathi ini jujur, tapi amat memalukan.
No comments:
Post a Comment