Berikut adalah kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam berkenaan perkembangan terkini pelaksanaan program 6P bagi menangani masalah Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan majikan-majikan yang menyembunyikan serta masih menggaji PATI. Turut dijelaskan adalah status terkini dari kementerian-kementerian berkaitan yang diperlukan bagi membolehkan proses Pemutihan dapat dijalankan dengan lancar.
Menurut Mahmood, beberapa isu berbangkit sepanjang pelaksanaan Program 6P telah dikenal pasti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan senarai tersebut telah dipanjangkan kepada semua kementerian dan agensi kawal selia program ini sebelum keputusan terhadapnya diputuskan awal minggu hadapan. Senarai ini diperolehi hasil pertemuan antara KDN dengan semua pihak yang terbabit dalam pelaksanaan proses pemutihan, termasuklah majikan, syarikat pengurus dan pihak kedutaan pelbagai negara.
Antara isu utama ialah rayuan untuk melonggarkan syarat serta prosedur mekanisme pelaksanaan proses pemutihan termasuklah membenarkan semua pekerja asing tanpa izin (PATI) yang telah mendaftar menerusi program ini untuk diputihkan tanpa tertakluk kepada sektor pekerjaan dan nisbah kelayakan yang ditetapkan Dasar Penggajian Pekerja Asing Semasa. Susulan itu, 12 Kementerian dan agensi berkaitan telah memberi ulasan masing-masing, manakala enam (6) lagi termasuk Kementerian Pertanian masih belum memberi maklum balas.
Dalam perkembangan lain, sehingga semalam (16 Disember 2011), sejumlah 2,721 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 46 majikan telah ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi 1,178 operasi penguatkuasaan Program 6P bermula 20 Oktober 2011. Jumlah yang ditahan itu adalah bilangan daripada keseluruhan 25,158 PATI serta 46 majikan yang diperiksa sepanjang operasi.
Pada masa sama, sehingga 16 Disember 2011, sejumlah 53,682 PATI yang terlibat dalam Proses Pengampunan di bawah pelaksanaan Program 6P telah keluar dari negara ini. Jumlah paling tinggi direkodkan Indonesia dengan 35,142 orang; diikuti India (4,039); Myanmar (2,467); Kemboja (1,901); Nepal (2,766); Bangladesh (2,108); Vietnam (1,289); Filipina (1,167); Pakistan (1,123); Sri Lanka (786); dan China (493). Daripada statistik yang sama, 41,422 PATI direkodkan keluar menggunakan pengangkutan udara; 12,110 memilih jalan laut dan 141 menggunakan laluan darat.
Sebelum itu, KDN telah mengumumkan langkah yang diambil bagi melancarkan prosedur serta proses pemutihan Program 6P. Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mewujudkan cawangan pusat setempat (one stop centre) di Johor Bahru yang akan mula beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula esok (Jumaat, 16 Disember 2011).
Cawangan pertama pusat pemutihan ini akan mula beroperasi di Tingkat 6, Blok 1, Kompleks KDN Johor Bahru, Jalan Setia Tropika, Teman Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru sehingga tarikh akhir pemutihan pada 10 Januari 2012.
Pembukaan cawangan ini bertujuan memberi kemudahan kepada semua pihak khususnya majikan di lokasi selatan tanahair untuk menguruskan permohonan berkaitan pekerja asing tanpa izin (PATI) mereka masing-masing tanpa perlu hadir ke pusat operasi utama di Bangunan Imigresen, Putrajaya. Bagaimanapun, urusan tidak terhad kepada orang ramai sekitar Johor sahaja tetapi terbuka kepada wakil dari seluruh negara yang memilih untuk berurusan di sana berbanding di Putrajaya.
Melainkan permohonan pertukaran majikan oleh PATI, semua urusan di cawangan Johor Bahru ini menyamai operasi di Pusat Pemutihan Putrajaya, iaitu permohonan ID untuk majikan mengemaskini data PATI, permohonan Surat Makluman kepada kedutaan, pemprosesan permohonan pengambilan pekerja asing, pembayaran levi dan pengeluaran Surat Kelulusan Pemutihan.
Dalam perkembangan lain, bermula Jumaat, 16 Disember 2011, Pusat Pemutihan Program 6P di Putrajaya juga akan mula beroperasi setiap hari termasuk hujung minggu bermula dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Hal ini bertujuan membolehkan lebih banyak permohonan boleh diproses menjelang tarikh akhir 10 Januari 2012. Sehubungan itu, majikan digesa supaya bertindak segera dan tidak menunggu sehingga saat akhir kerana bimbang berlaku kesesakan yang boleh menjejaskan permohonan.
No comments:
Post a Comment