@hishammuddinH2O: Our relations wt aust excellent . Court decision will b respected. Joint effort 2 fight human traffickers will continue- many approaches.
Kenyataan Media
YB. Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri
Berhubung Keputusan Mahkamah Tinggi Australia Terhadap Aturan
Pertukaran dan Penempatan Pencari Suaka dan Pelarian Antara Malaysia dan Australia
Putrajaya, 1 September 2011
Kerajaan Malaysia menghormati sepenuhnya keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Australia mengenai aturan pertukaran pencari suaka dan pelarian yang telah ditandatangani antara Malaysia dan Australia di Kuala Lumpur pada 25 Julai lalu. Aturan tersebut menetapkan bahawa Australia akan menghantar 800 orang pencari suaka ke negara ini dan sebagai pertukaran Malaysia akan menghantar 4,000 orang pelarian yang sah di bawah senarai UNHCR ke negara itu.
Keputusan Mahkamah Australia yang diputuskan semalam telah tidak memihak kepada Kerajaan Australia, bagaimanapun bukan bermakna segala komitmen kedua-dua negara untuk memerangi jenayah transnasional khususnya sindiket-sindiket yang menyeludup dan memperdagangkan manusia akan terhenti.
Persefahaman yang mendalam antara kedua-dua negara telah dimuktamadkan dan dipersetujui berasaskan objektif murni yang khusus untuk memerangi isu utama iaitu kegiatan sindiket pemerdagangan manusia dan penyeludupan manusia. Rantaian serta jalinan sindiket yang menjadikan kedua-dua negara sebagai destinasi mahupun negara transit ditolak sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia dan Australia dan inilah matlamat yang hendak dicapai daripada aturan yang telah dipersetujui.
Saya melihat bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan Australia akan kekal cemerlang dan hubungan kerja antara saya selaku Menteri yang bertanggungjawab dari Malaysia serta Menteri Imigresen dan Kewarganegaraan Chris Bowen dari Australia akan terus dipertahankan pada masa depan.
Saya juga telah mengarahkan pegawai saya untuk berhubung rapat dengan Pejabat Menteri Bowen untuk memastikan niat murni dan matlamat asas kita untuk memerangi kezaliman dan kekejaman mereka yang sanggup memperdagang manusia yang tidak berdosa dapat kita lumpuhkan. Strategi selanjutnya perlu difikirkan bagi terus memerangi jenayah ini dan Malaysia akan terus komited untuk bekerjasama memeranginya.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
No comments:
Post a Comment