Monday, September 19, 2011

@HishammuddinH2O - Tidak perlu layan Mat Sabu. Tunggu akta baru untuk pembebasan tahanan.


Semasa Sidang Media sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Sembrong pada 18 September 2011, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata permintaan Timbalan Presiden Pas Mat Sabu agar Kerajaan meminta maaf kepada tahanan ISA tidak perlu dilayan.

"Mat Sabu sebenarnya sudah tidak tahu berkata apa-apa lagi. Dia sendiri berdepan dengan pelbagai isu yang perlu dijawab. Banyak pihak termasuk Polis, ATM, ahli keluarga mereka dan sebagainya sudah marah kepada Mat Sabu. Mat Sabu perlu terlebih dahulu bertanggungjawab ke atas apa yang telah dia sebut sebelum ini."

Mengenai dua akta baru bagi menggantikan ISA, Datuk Seri Hishammuddin berkata Pejabat Peguam Negara sedang menggubalnya. IGP dan KSU KDN sudah membuat kenyataan semalam bahawa mereka akan memastikan aspek keselamatan terjamin. "Kita kena tunggu akta baru, kemudian nilai status mereka (tahanan). Ketika mereka ditahan, mereka ditahan atas sebab keselamatan dalam negeri."

Dalam majlis yang sama, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melancarkan Laman Facebook Pusat Komuniti Sembrong sebagai saluran alternatif untuk seluruh warga Sembrong berinteraksi dan berkongsi maklumat. Sebelum ini, Datuk Seri Hishammuddin telah melancarkan Laman FB Gagasan Anak-Anak Sembrong di Perantauan (GAASP) bagi membolehkan anak-anak jati Sembrong di perantauan berinteraksi.

Terdapat seramai 2,500 ahli dalam laman FB berkenaan yang menggunakan tiga bahasa utama penduduk Sembrong iaitu bahasa Melayu, Cina dan Tamil. Lebih 15 ribu orang terdiri daripada pelbagai kaum menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Parlimen Sembrong hari ini. Selain warga sembrong, turut hadir ialah jurulatih bolasepak negara Datuk Rajagopal, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan Wong Choon Han.

No comments:

Popular Posts