Program 6P adalah satu program yang menyeluruh untuk menangani masalah warga asing yang diperkenalkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jawatankuasa Kabinet bagi Menangani Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI). Selain Program 6P, KDN juga memperkenalkan usaha penukaran warga asing yang memohon suaka politik dengan kerajaan Australia sebagai salah satu langkah bagi menangani secara langsung kegiatan penyeludupan dan pemerdagangan manusia oleh sindiket-sindiket.
Ikuti penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai Program 6P ini, tujuannya dan matlamat akhir yang ingin dicapai.
Dipetik dari
Edisi Terjah : Kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Berkenaan Program 6P
Oleh : 1peluru, Double-Y & Kulaanniring
Soalan : Boleh Datuk Seri jelaskan secara terperinci mengenai Program 6P?
Datuk Seri Hishammuddin:
"Saya ingin memaklumkan bahawa Program 6P dan biometrik ini perlu dilaksanakan dengan segera kerana beberapa faktor penting. Antaranya kerana dokumen-dokumen perjalanan bukan sahaja boleh dipalsukan, tetapi terdapat beberapa kes yang dikesan ada pendatang asing ini menggunakan dokumen yang tulen. Sebagai contoh, terdapat kes individu yang disahkan sebagai pengganas oleh agensi antarabangsa memasuki negara dengan dokumen tulen lengkap dengan gambar dengan hanya mengubah nama sahaja, maka individu ini dapat menyamar dan memasuki sesebuah negara terutama negara kita. Sudah tentu agak sukar untuk kita menentukan siapakah individu itu dengan hanya menggunakan mata kasar dengan sekeping gambar sebagai rujukan.
Apa yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui agensi yang berkenaan iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah semata-mata untuk menjaga nama baik negara dan rakyat khususnya. Alhamdullillah, sehingga ke hari ini negara Malaysia masih lagi aman dan damai sehingga suasana ini menarik minat orang luar untuk datang bekerja dan mencari rezeki. Ada sebahagian besar warga asing ini datang ke negara kita dengan bergolok bergadai, menjual harta dan tanah yang dimiliki demi digunakan sebagai modal atau bayaran permit untuk bekerja di Malaysia. Sampai di Malaysia, mereka dilayan dengan buruk, dijual dan sebagainya. Bayangkanlah jika warganegara Malaysia diperlakukan sedemikian di luar negara. Selain hendak menjaga nama baik negara, kita juga lakukan ini atas dasar kemanusiaan sebab tidak mahu sindiket mengambil kesempatan.”
Soalan : Dilaporkan Program Pendaftaran tidak berjalan dengan begitu lancar pada hari pertama. Apa komen Datuk Seri?
“Memang ada beberapa tempat yang mengalami beberapa masalah ketika program ini dilaksanakan pada hari pertama, tetapi secara keseluruhannya di seluruh negara program ini berjalan lancar. Ini adalah satu “exercise” yang besar. Jika kita menganggarkan terdapat kira-kira 2 juta orang pekerja asing yang bekerja secara sah di negara ini dan bagi setiap satu pekerja yang sah ada 2 orang PATI, maka jumlah keseluruhan warga asing di negara ini adalah 6 juta orang. Jumlah ini begitu ramai dan mungkin kita tidak sedar (kehadiran mereka dan impaknya). Masalah ini sudah lama, Cuma sebelum ini tidak ada penyelesaian yang baik. Tapi kini penyelesaian itu sudah ada iaitu melalui Program 6P termasuk dengan penggunaan biometrik. Walau bagaimana pun, dengan jumlah 6 juta warga asing, masalah ini tidak mungkin dapat diselesaikan dalam satu malam.”
Soalan : Apa matlamat akhir yang hendak dicapai oleh KDN melalui Program 6P ini?
“Melalui Program 6P dan Biometrik ini, tentunya matlamat paling utama adalah untuk memastikan keselamatan negara. Keduanya, seperti saya sebutkan tadi kita ada matlamat kemanusiaan agar mereka ini tidak dianiayai oleh mana-mana pihak terutama sindiket (pemerdagangan manusia). Yang ketiga, kita boleh menguruskan guna tenaga dengan lebih efektif. Dengan Program 6P, kita boleh mengenalpasti keperluan pekerja asing dalam industri yang benar-benar memerlukan mereka. Jadi penempatan pekerja asing dapat dilakukan dengan tepat tanpa menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan.
Itu dalam keadaan negara kita aman. Kalau keadaan negara kita teruk, na’uzubillah, kemungkinan besar mereka tidak akan balik ke negara asal sebab mungkin mereka ada masalah lain di negara asal termasuk masalah hutang dan sebagainya. Jika mereka terus tinggal di sini, kita takut mereka akan menimbulkan masalah-masalah sosial termasuk jenayah. Tanpa biometrik, kita tidak mungkin dapat mengesan mereka.
Bagi saya, saya tidak melihat soal jangka pendek dalam masalah warga asing ini tetapi masalah-masalah yang jauh lebih besar di masa depan jika kita tidak melaksanakan Program 6P ini dengan segera.”
Baca laporan penuh di:
No comments:
Post a Comment