Friday, January 7, 2011

Perutusan Tahun Baru 2011 Menteri Dalam Negeri


TEKS UCAPAN

Y.B. DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN

MENTERI DALAM NEGERI

PERUTUSAN TAHUN BARU 2011 MENTERI DALAM NEGERI

7 JANUARI 2011

AUDITORIUM

BLOK D8, KOMPLEKS D, PUTRAJAYA


1. Alhamdulillah, saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan berkat izin, limpah kurnia dan makbulNya, umur kita sekali lagi dipanjangkan untuk melangkah ke tahun yang baru – tahun 2011. Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di mana sahaja tuan-tuan dan puan-puan berada. Semoga semua azam tahun lalu sudah tercapai dan kita dapat memulakan tahun 2011 ini dengan azam dan semangat yang baru. Dengan bermulanya bulan Januari 2011, marilah kita bersama-sama membawa permulaan yang baru bagi KDN; satu permulaan yang lebih segar; permulaan yang lebih bebas dari kesilapan yang boleh menyebabkan nama baik dan integriti KDN dipersoalkan.


Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,


2. Tahun 2010 merupakan tahun yang begitu sukar dan amat mencabar bagi kita semua. Belum pernah rasanya seumur hidup saya, saya terpaksa bekerja begitu keras untuk memastikan setiap tugas yang diamanahkan dilaksanakan mengikut sasaran yang ditetapkan. Tahun 2010 juga tidak pernah sunyi; ada sahaja perkara baru yang timbul dan ada sahaja isu besar yang perlu ditangani. Walaupun tahun 2010 amat mencabar, namun, alhamdulillah, dengan kerjasama yang erat seluruh warga KDN kita telah membuktikan bahawa kita mampu memikul tanggungjawab dan melaksanakan tugas yang telah diletakkan di atas bahu kita semua.


3. Dalam aspek Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian misalnya, prestasi yang ditunjukkan cukup memberangsangkan. Jika sebelum ini terdapat begitu banyak kes permohonan tertunggak, namun berkat kesungguhan tuan-tuan dan puan-puan, sebanyak;

i. 32,000 permohonan kewarganegaraan yang tertunggak sejak tahun 1997 hingga tahun 2006,

ii. 16,812 permohonan rayuan permit masuk yang tertunggak sejak 2001 hingga 2008, dan

iii. 93,360 permohonan daftar lewat kelahiran yang tertunggak sejak tahun 2005 hingga Jun 2009

telah diselesaikan. Lebih membanggakan, kesemua permohonan ini diselesaikan dua bulan lebih awal dari tarikh yang ditetapkan, iaitu bulan Disember penghujung tahun 2009.


4. Saya sering mengulangi jumlah-jumlah ini kerana bukan sahaja ia akan mengingatkan kita betapa besarnya pencapaian kita, tetapi lebih daripada itu ia dapat menggambarkan betapa ramainya insan dan individu di luar sana yang secara langsung merasai nilai dan makna usaha kita. Jumlah ini akan bertambah besar berkali ganda jika dihitung ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai mereka yang turut sama berkongsi kehidupan. Berjaya atau sebaliknya bukanlah satu-satunya persoalan pokok, namun apa yang penting tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan memproses sesuatu permohonan dengan teliti, cepat dan tepat berpandukan kepada gagasan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.


5. Hakikatnya, dalam masa yang begitu singkat, begitu banyak yang telah tuan-tuan dan puan-puan laksanakan untuk masyarakat dan negara. Kita wajar meraikan pencapaian ini dan menghargai setiap sumbangan yang telah diberikan. Jangan sampai termakan kata-kata pihak yang cenderung untuk melupakan segala yang telah kita laksanakan untuk mereka. Jangan sampai semangat kita terjejas akibat perbuatan segelintir pihak yang sengaja memilih untuk tidak mengiktiraf peranan kita dan lebih buruk lagi memperlekeh kerajaan, KDN dan agensi-agensi kita.


6. Pada tahun 2010 juga, saya berasa gembira kerana Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah berjaya ditanda araskan di peringkat antarabangsa melalui keanggotaan tetap JPAM dalam Pertubuhan Pertahanan Awam Antarabangsa atau International Civil Defence Organisation (ICDO) dan kerjasama dengan Asian Network for Major Cities 21 atau ANMC21 yang berpusat di Tokyo, Jepun dan Asian Disaster Preparedness Center (ADPC) yang berpusat di Bangkok, Thailand.


7. Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) - jika ketika saya masuk dulu, hanya mempunyai keanggotaan seramai 556,000 orang, sehingga 31 Oktober 2010, telah mempunyai seramai 2.04 juta orang anggota. Proses penjenamaan semula RELA telah dimulakan, Program 1Platun, 1Kampung, 1Taman telah dilancarkan bagi menyokong NKRA Mengurangkan Jenayah dan Briged RELA Orang Asli telah ditubuhkan bagi mengiktiraf peranan dan minat Orang Asli di dalam RELA.


8. Saya juga berbangga dengan Jabatan Penjara yang telah melaksanakan pelbagai transformasi terutamanya dari segi pendekatan sebagai Institusi Koreksional yang bukan sahaja menjadi tempat penghuni menjalani hukuman tetapi juga melalui proses pemulihan sebagai persiapan untuk mereka dikembalikan kepada masyarakat. Keyakinan Jabatan Penjara dalam melaksanakan transformasi ini jelas apabila mereka tidak membuat sebarang permohonan untuk pertambahan penjara dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).


9. Dari aspek jenayah merentasi sempadan dan kerjasama antarabangsa, persefahaman telah ditandatangani dengan Netherlands bagi perkara-perkara berhubung Imigresen. Pada tahun 2010, kita juga telah melancarkan Pelan Tindakan Nasional bagi menangani isu pemerdagangan orang dan berjaya meminda Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 (AKTA 670). Hasil kepekaan dan kecekapan tindak balas kita terhadap jenayah pemerdagangan manusia, kita telah berjaya memperbaiki penarafan negara dari TIER 3 Watchlist pada tahun 2009 kepada TIER 2 Watchlist pada tahun 2010.


10. Tahun 2010 juga merupakan tahun yang membanggakan untuk KDN dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) terutamanya dalam aspek menurunkan kadar jenayah di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP). Tahun 2009 merupakan tahun perancangan di mana untuk pertama kali, pendekatan baru digunakan untuk menghimpunkan semua pemegang peranan dan pihak berkepentingan di dalam ‘makmal’ bagi menghasilkan penyelesaian dan inisiatif di luar `kotak’ bagi mencapai sasaran yang diberikan.


11. Berikutan pelancaran rasmi GTP pada bulan Januari 2010, kesemua 55 inisiatif yang dikenal pasti di dalam makmal telah mula kita perluaskan (roll-out) dalam ertikata sebenar. Setiap dua minggu menyuarat penyelesaian masalah diadakan di PEMANDU. Setiap dua minggu juga Menteri diberi maklumat terkini pelaksanaannya. Bahagian NKRA di KDN dan sekretariat NKRA di PDRM khusus bagi peranan ini telah ditubuhkan dan mesyuarat dengan Perdana Menteri diadakan setiap tiga minggu. Semua ini dan sokongan berterusan dari PEMANDU membolehkan lebih daripada 30 agensi dan kementerian bekerjasama rapat dan tidak lagi bekerja secara terpisah-pisah dalam silo masing-masing bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.


12. Selain itu, idea-idea baru di luar pemikiran konservatif diketengahkan dalam mesyuarat National Strategy Execution Summit (NSES) yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri bagi mencari jalan untuk mempertingkatkan lagi impak 55 inisiatif yang dilaksanakan. Program Pengawaman (re-deployment) Polis misalnya, merupakan hasil daripada mesyuarat ini yang mem’bebas’kan 7,402 orang anggota polis beruniform dari tugas pentadbiran untuk melaksanakan tugas-tugas kepolisian dan digantikan dengan 4,279 orang awam tanpa melibatkan pertambahan kos; di mana YAB Perdana Menteri sendiri menyatakan ini sebagai suatu detik bersejarah kerana tidak pernah dilakukan dalam tawarikh negara. Kalau ia diperluaskan kepada kementerian dan agensi lain, kita boleh merasa bangga kerana segalanya bermula di KDN. Ketika kita pertama kali bercakap tentang omnipresence PDRM, ramai yang merasakan ia suatu yang mustahil kerana kali terakhir pengambilan yang paling besar dalam sejarah PDRM adalah pada tahun 1969. Kita telah buktikan bahawa mereka silap melalui pendekatan-pendekatan kreatif.


13. Jumlah 7,402 orang ini adalah tambahan kepada 14,222 orang pegawai polis, 1,724 orang anggota PGA, 1,215 polis bantuan dan purata seramai 2,090 orang sehari Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) dari kalangan 3,663 anggota RELA dan 1,292 anggota JPAM yang ditugaskan di kawasan hot spots. Pada waktu yang sama pelaksanaan Kepolisian Berprofil Tinggi (High Profile Policing) dengan purata lawatan sebanyak 8,000 ke 9,000 lawatan seminggu, penempatan 90 unit Balai Polis Bergerak di seluruh negara dan 812 buah motorsikal tambahan untuk rondaan anggota polis di kawasan hot spots meningkatkan lagi kehadiran anggota polis di jalanan dan menyebabkan kehadiran mereka dirasai.


14. Kehadiran anggota polis, dibantu pula dengan pemasangan 496 CCTV tambahan, penglibatan 4,708 Rukun Tetangga dan 2,030 Skim Rondaan Sukarelawan serta penglibatan seramai 394,260 ahli Rakan COP di seluruh negara telah memberi impak yang besar terhadap NKRA Mengurangkan Jenayah, seterusnya menyumbang kepada penurunan kadar jenayah indeks secara keseluruhan dan jenayah jalanan jauh lebih baik dari sasaran asal. Direkodkan pada tahun 2010 Jenayah Indeks keseluruhan telah berkurang sebanyak lima belas peratus, berbanding sasaran asal, lima peratus. Jenayah Jalanan pula berkurang sebanyak 35 peratus, jauh lebih baik berbanding sasaran asal sebanyak 20 peratus.


15. Selain itu, tiga lagi KPI yang ditetapkan dalam NKRA juga menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Kajian persepsi oleh TNS International dalam tahun 2009 dan 2010 menunjukkan bahawa perasaan takut menjadi mangsa jenayah di kalangan rakyat menurun sebanyak 5.7 peratus dari 58.5 peratus pada Disember 2009 kepada 52.8 peratus pada September 2010, manakala tahap kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan polis meningkat sebanyak 20 peratus dari 35.8 peratus. Pada waktu yang sama jumlah kes pesalah jenayah kekerasan dibawa ke muka pengadilan pada tahun 2010 juga meningkat jauh lebih banyak daripada sasaran, iaitu 3,903 kes berbanding hanya 2,000 kes. Semua ini membuktikan bahawa jika kita sanggup membuat perubahan, sanggup bekerja keras dan bekerja dalam satu pasukan, tidak ada perkara yang mustahil dan tidak ada perkara yang tidak dapat kita lakukan.


16. Saya memahami bahawa bukan mudah untuk mencapai sasaran yang ditetapkan, lebih-lebih lagi apabila ramai warga kerja kita terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan kesukaran, berpanas dan berhujan, meninggalkan keluarga kerana ditempatkan ke bahagian atau kawasan tertentu, mengawal emosi dan bersungguh-sungguh menunjukkan kemesraan di kaunter-kaunter perkhidmatan, turun sehingga ke pedalaman untuk menyampaikan kad pengenalan kepada rakyat, namun tuan-tuan dan puan-puan sanggup melakukannya dengan penuh kesabaran dan bertanggungjawab. Segala ini membuatkan saya merasa terharu dan pada waktu yang sama merasa bangga di atas segala pengorbanan yang dilakukan oleh tuan-tuan dan puan-puan. Ikhlaskan niat tuan-tuan dan puan-puan, tunaikan amanah untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat jelata. Semoga pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan, anak isteri dan keluarga masing-masing ini akan diberkati dan semoga Allah SWT memberikan ganjaran yang setimpal serta memudahkan perjalanan hidup tuan-tuan dan puan-puan sekeluarga.


Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,


17. Sempena perhimpunan pertama pada tahun baru ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada kepimpinan tertinggi yang baru di Jabatan-jabatan di dalam KDN.


18. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Ismail Omar di atas pelantikan beliau sebagai Ketua Polis Negara yang baru. Saya mempunyai harapan yang tinggi kepada Tan Sri, bukan sahaja kerana PDRM memainkan peranan paling utama di dalam NKRA, tetapi untuk membawa perubahan yang menyeluruh kepada imej pasukan polis dan memberi semangat baru kepada semua anggotanya. Saya gembira apabila Tan Sri menyambut harapan saya ini dengan komitmen 4P, iaitu Protective (Pelindung Rakyat), Performance and Outcome Oriented (Berorientasi Prestasi dan Hasil), Proactive (Proaktif), People Oriented (Berorientasikan Rakyat) dan keutamaan untuk mengukuhkan aspek komunikasi dan perhubungan awam PDRM. Dengan sokongan Timbalan Ketua Polis Negara, muka baru di bahagian dan negeri, iltizam untuk melaksanakan 4P, strategi yang betul dan komunikasi yang berkesan, saya percaya Tan Sri boleh melakukan transformasi ini. Saya berharap semua yang dilantik dapat melaksanakan tugas sejujur-jujurnya dan menjadikan PDRM telus dan berwibawa seperti yang diharapkan oleh rakyat; dan dapat diletakkan sebaris dengan pasukan polis terbaik di dunia.


19. Tahniah juga diucapkan kepada Dato’ Alias bin Haji Ahmad yang diberikan kepercayaan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang baru. Seperti yang kita sedia maklum, imej Jabatan Imigresen sedikit terjejas akibat sikap segelintir individu. Namun saya yakin Dato’ amat memahami cabaran yang bakal dihadapi dan cukup bersedia untuk memikul tugas bagi memulihkan imej Jabatan Imigresen melalui pelan transformasi yang akan dibentangkan kepada saya tidak lama lagi. Lakukan yang terbaik. Saya akan sentiasa bersama Dato’ dan semua warga Jabatan Imigresen, di setiap langkah dan di sepanjang proses transformasi ini. Laksanakan agenda transformasi ini sebaik-baiknya, tetapkan tanda aras setanding dengan yang terbaik dan letakkan JIM di kalangan yang terbilang di dalam dunia.


20. Yang Berbahagia Tan Sri dan Dato’, sentiasalah mengingatkan diri bahawa sesungguhnya jawatan yang disandang ini bukan pangkat atau darjat kebesaran yang harus dibangga-banggakan, sebaliknya terimalah jawatan ini sebagai suatu beban amanah yang berat; amanah daripada rakyat, amanah daripada pemimpin negara (ulil-amri) dan amanah daripada Allah yang Maha Esa.


21. Saya yakin dengan daya kepimpinan, pengalaman, pengetahuan dan keikhlasan tuan-tuan semua, tuan-tuan akan dapat membawa lebih banyak pembaharuan ke dalam jabatan dan agensi masing-masing, seterusnya ini akan membantu agenda transformasi yang telah dimulakan oleh Perdana Menteri yang kita kasihi, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak. Amat penting untuk tuan-tuan dan puan-puan semua menjayakan agenda transfomasi ini kerana lanskap politik, kehendak rakyat dan persekitaran global sudah berubah serta tidak mengizinkan lagi kita bekerja menggunakan pemikiran usang dan pendekatan lapuk. Business cannot be as usual!


22. Kita semua mempunyai amanah yang amat besar untuk dilaksanakan. Gagasan besar ilham Perdana Menteri, iaitu gagasan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan datang bersama Pelan Tranformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Pelan Transformasi Politik (PTP). Tujuan pelan transformasi ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menggerakkan perubahan besar-besaran dalam pentadbiran kerajaan, bidang ekonomi dan politik bagi memastikan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi dapat dicapai menjelang tahun 2020 tanpa mengenepikan asas-asas kenegaraan yang telah dibina selama ini melalui Perlembagaan Persekutuan, pelbagai polisi dan undang-undang, prinsip-prinsip Rukun Negara, Wawasan 2020 dan Misi Nasional. Semuanya ini untuk rakyat dan anak-anak kita agar mereka mempunyai masa depan yang lebih terjamin.


23. Walau bagaimanapun semua pelan transformasi ini tidak mungkin tercapai jika kita tidak dapat mewujudkan persekitaran politik yang stabil dan keamanan di dalam negara. Tidak mungkin rakyat dapat tidur lena dan tenang bekerja jika keselamatan diri, keluarga dan harta benda mereka diancam. Tidak mungkin pelabur dan masyarakat antarabangsa akan yakin dengan potensi ekonomi negara sekiranya negara sentiasa kacau bilau akibat kegagalan kita menguatkuasakan undang-undang dan peraturan di dalam negara, apatah lagi jika negara menjadi sarang membiaknya kegiatan keganasan atau lebih buruk lagi dijadikan sasaran serangan kumpulan pengganas.


24. Tugas kita semakin berat kerana hari ini isu keselamatan sudah menjadi semakin kompleks. Jika dulu ancaman terhadap negara dapat dilihat melalui serangan tentera musuh yang ramai lengkap dengan peralatan perang, tetapi hari ini sejumlah individu yang mempunyai rangkaian dengan pelbagai pihak di dalam dan luar negara, mempunyai kepakaran menggunakan teknologi dan berkeupayaan mempengaruhi persepsi awam melalui penipuan, fitnah, hasutan dan manipulasi, mampu menyebabkan kerosakan, kekacauan dan kerugian besar di dalam negara.


25. Kita perlu segera melaksanakan transformasi dan perlu berubah. Tidak seperti bidang lain, Keselamatan Nasional adalah bersifat `zero sum’. Tidak ada senario menang-menang. Jika kita kalah, manusia yang tidak bersalah akan mati atau ditimpa kecelakaan. Justeru, kita tidak boleh kalah. Kita tidak boleh sekali-kali membenarkan kejahatan mengatasi kebaikan, anarki mengatasi keamanan, kemusnahan menggantikan kemakmuran.


Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,


26. Atas keinsafan ini, sepanjang tahun 2011, saya ingin menggariskan tujuh komitmen utama KDN yang perlu diberi perhatian dan dilaksanakan oleh tuan-tuan dan puan-puan dalam semangat 1KDN. Komitmen-komitmen ini adalah;

i. Memantapkan pelaksanaan NKRA Mengurangkan Jenayah

ii. Memberi nilai tambah kepada KPI Kementerian

iii. Meningkatkan kecekapan pengurusan isu warga asing

iv. Menangani ancaman jenayah merentasi sempadan

v. Memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah

vi. Mempertingkatkan keberkesanan pemulihan, dan

vii. Menggerakkan gelombang kesukarelaan


i. Memantapkan pelaksanaan NKRA Mengurangkan Jenayah

27. KDN akan memantapkan lagi komitmen untuk mengurangkan kadar jenayah seperti yang sasarkan di dalam NKRA menerusi 55 inisiatif yang dicadangkan oleh Makmal Jenayah. Pendekatan bersepadu dari segi fungsi setiap jabatan dan agensi dalam KDN akan diteruskan dan dipertingkatkan.


28. Bagi merealisasikan matlamat ini, pada tahun 2011, PDRM telah merangka strategi membanteras jenayah secara menyeluruh melalui program Pengukuhan Modal Insan, meningkatkan kemahiran setiap warga PDRM dan meningkatkan omnipresence PDRM. Bermula dengan gelombang pertama, gelombang demi gelombang penempatan anggota polis di jalanan akan diumumkan sepanjang tahun ini bagi memastikan kehadiran seramai mungkin anggota keselamatan yang terdiri daripada anggota polis, RELA dan JPAM di kawasan hot-spots yang mungkin berubah dari semasa ke semasa.


29. Kerjasama strategik dengan pihak Kementerian Pertahanan juga telah dirangka bagi membolehkan lebih ramai anggota keselamatan berada di kawasan hot spots dan untuk melatih lebih ramai anggota polis. Sebagai contoh dan belum pernah diumumkan sebelum ini, kita telah mula menempatkan semula seramai 8,140 anggota PGA di sempadan Semenanjung Malaysia ke empat negeri hot spots mengikut giliran. Bagi memantapkan lagi inisiatif ini, dua kem tentera akan digunakan bagi melatih rekrut polis melalui kerjasama strategik ini kita akan dapat menggandakan jumlah anggota polis dalam masa terdekat. Ini merupakan satu lagi peristiwa bersejarah kerana tidak pernah sebelum ini kita melihat PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bekerjasama begitu rapat dan erat sekali.


30. Kita menyedari bahawa kebanyakan mangsa jenayah adalah wanita. Atas kesedaran ini, salah satu inisiatif yang akan saya bentangkan pada tahun ini adalah usaha untuk melindungi golongan wanita dari terus menjadi mangsa penjenayah. Saya berpandangan mungkin elok diwujudkan satu sub-NKRA yang dapat mengenal pasti punca dan penyelesaian terhadap masalah ini. KDN akan berbincang dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan NGO-NGO yang berkaitan untuk mencari jalan bagaimana golongan wanita yang menjadi mangsa boleh digalakkan untuk membuat laporan tentang perbuatan jenayah ke atas diri mereka dan mencari langkah pencegahan jenayah yang boleh mengelakkan wanita terus-menerus dijadikan mangsa.


ii. Memberi nilai tambah kepada KPI Kementerian

31. Langkah meneruskan dan menambah nilai KPI 2009 ini adalah bagi memastikan rakyat berbilang kaum di Malaysia mendapat akses yang terbaik melalui perkhidmatan yang disediakan oleh KDN. Usaha ini sejajar dengan hasrat yang digariskan dalam agenda kerajaan melalui Program Tansformasi Kerajaan (GTP) serta Model Ekonomi Baru (MEB).


32. Pada tahun 2011 kita akan menggerakan usaha untuk menambah nilai KPI 2009 dengan perancangan untuk menggerakkan agenda-agenda berikut;

i. Menginstitusikan sistem pengurusan dan penyampaian yang efektif berhubung permohonan kewarganegaraan, permit masuk dan daftar lewat kelahiran;

ii. Meningkatkan fungsi dan ciri-ciri keselamatan dokumen-dokumen berkaitan pengenalan diri dan imigresen; dan

iii. Membantu mempermudahkan kemasukan ke dalam negara golongan berpendapatan tinggi (high net worth) dan pekerja berpengetahuan tinggi (knowledge workers).


33. Mengambil kira KPI yang telah digariskan telahpun berjaya dicapai sepenuhnya, maka sudah tiba masanya untuk kita memberikan fokus kepada perkara-perkara yang digariskan dalam Tambah Nilai KPI. Sehubungan itu, bagi tahun ini, sukacita saya ingin mengumumkan bahawa usaha dan gerak kerja kita akan ditumpukan untuk melaksanakan tiga agenda Tambah Nilai yang telah dirancang pada tahun 2010. Tahun 2011 adalah masa untuk kita melihat pelaksanaan setiap satu agenda tersebut sekali gus memastikan inisiatif-inisiatif yang digerakkan dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat dan golongan sasar.


iii. Meningkatkan kecekapan pengurusan isu warga asing

34. Suatu ketika dahulu isu warga asing yang kompleks ini dilihat amat sukar untuk ditangani. Bukan sahaja kita berhadapan dengan beberapa masalah seperti isu pemantauan dan penguatkuasaan, penglibatan pelbagai kementerian dan agensi yang bertanggungjawab menguruskan pelbagai kategori warga asing menyukarkan tindakan yang komprehensif digerakkan secara berkesan. Bagaimanapun kita telah merintis usaha yang signifikan dalam menangani isu pengurusan warga asing di negara ini.


35. Susulan daripada cadangan KDN, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menubuhkan Makmal Pengurusan Warga Asing untuk mengenal pasti strategi dan pendekatan terbaik dalam memantapkan pengurusan dan pemantauan warga asing di negara ini. Makmal ini telah disertai oleh wakil daripada 14 kementerian dan 11 jabatan serta agensi. Selain para pegawai yang akan menjadi ahli tetap, makmal ini akan turut disertai wakil daripada lebih 30 organisasi dan pertubuhan yang berkepentingan dalam isu warga asing.


36. Sebanyak 29 syor yang telah dikemukakan oleh Makmal telah dipersetujui oleh JKKPA-PATI untuk dilaksanakan yang melibatkan 4 inisiatif berkaitan permintaan dan bekalan, 17 inisiatif berkaitan perundangan dan penguatkuasaan, dan 8 inisiatif berkaitan sistem dan proses. Manakala selebihnya 19 inisiatif lagi memerlukan kajian lanjut.


37. 29 inisiatif yang telah dipersetujui akan dilaksanakan dalam 3 fasa iaitu Fasa I (Julai 2010-Disember 2010), Fasa II (Januari 2011-Jun 2011) dan Fasa III (Julai 2011-Disember 2011). Sebanyak 10 inisiatif akan dilaksanakan dalam Fasa I. Bagi Fasa II pula, sebanyak 11 inisiatif akan digerakkan dan selebihnya 6 inisiatif lagi akan dilaksanakan dalam Fasa III. Fokus pada tahun 2011 adalah untuk memantau pelaksanaan kesemua syor yang telah dipersetujui melalui Sekretariat Tetap yang berpusat di Bahagian Imigresen, KDN.


iv. Menangani ancaman jenayah merentasi sempadan

38. Globalisasi bukan sahaja mempermudahkan aliran maklumat dan modal merentasi sempadan negara, tetapi apa saja dan di mana saja – termasuk buruh, barangan, perkhidmatan, ideologi, seni budaya dan kepakaran. Walaupun mempunyai kebaikan, globalisasi telah membuka ruang dan peluang yang luas untuk kegiatan jenayah sedia ada beroperasi selain menjadi pemangkin kepada kewujudan jenayah baru, termasuk keganasan. Pada tahun 2010 sahaja, kita telah menahan sejumlah 22 orang yang dikategorikan sebagai pengganas. 13 daripada mereka adalah dari kumpulan Al-Qaeda, lima dari Jemaah Asharut Tauhid dan empat dari Jemaah Islamiah. Kumpulan-kumpulan lain juga dipantau sepanjang masa, 24 jam setiap hari, setiap minggu, tidak kira masa dan ketika. Keganasan ini sama seperti jenayah, benar-benar menepati 1Malaysia – jika ia berlaku, ia tidak memilih sesiapa kerana terbatas kepada hanya satu kaum atau satu agama semata-mata.


39. Kemajuan dalam teknologi siber juga menjadi ancaman yang nyata kepada keselamatan negara. Penjenayah siber menggodam sistem kerajaan dan bank, mencuri maklumat penting, termasuk indentiti individu, maklumat kad kredit dan juga wang dalam akaun. Dalam tahun 2010 sahaja, pihak polis menyiasat sebanyak 3,279 kes jenayah melibatkan kerugian sebanyak RM 26.7 juta dan membawa kepada tangkapan seramai 4,276 orang penjenayah siber. Serangan terhadap kerajaan melalui berita palsu, hasutan, fitnah, dakyah dan manipulasi melalui ruang siber juga mampu menyebabkan kacau bilau dan gugatan keselamatan di dalam negara. Penggodam juga boleh menguasai sumber-sumber yang boleh mengancam keselamatan negara, selain memperolokkan sistem kita dengan potensi kemusnahan yang tidak terbayangkan.


40. Semua ini menunjukkan jenayah rentas sempadan adalah merupakan ancaman utama global pada masa kini. Lebih buruk lagi, sindiket jenayah yang beroperasi melangkaui sempadan negara sering mempunyai perkaitan dengan aktiviti-aktiviti seperti keganasan, penyeludupan dadah, pemerdagangan orang, pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan serta jenayah siber. Ancaman-ancaman jenayah melangkaui sempadan ini boleh berlaku dalam pelbagai kaedah, bentuk dan samaran, menyebabkan kerajaan sukar mencegah dan membanteras jenayah-jenayah tersebut.


41. Perkaitan rapat di antara jenayah-jenayah ini menuntut Kerajaan menanganinya secara holistik, sistematik dan terancang. Saya berpandangan masanya sudah tiba untuk menubuhkan sebuah institusi di Langkawi bagi menangani jenayah melangkaui sempadan ini. Institusi yang dicadangkan ini akan menggunakan tapak sedia ada di Langkawi International Shooting Range (LISRAM) dan merupakan platform terbaik bagi menggabungkan kerjasama semua pihak di pelbagai peringkat bagi merangka dan merencana dasar, operasi, risikan dan kajian serta meruntuhkan sindrom “working in isolation” di kalangan agensi keselamatan dan penguatkuasaan. Enam bidang yang akan menjadi fokus institusi ini adalah Keganasan, Pemerdagangan Manusia, Penyeludupan Dadah, Jenayah Siber, Penggubahan Wang Haram dan Pengurusan Krisis dan Risiko. Melalui pengetahuan dan set kemahiran baru dalam bidang-bidang ini, negara dapat dipersiapkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berkaitan jenayah rentas sempadan sesuai dengan misi yang dicadangkan bagi institusi tersebut iaitu Prepare, Prevent and Response (Bersedia, Cegah dan Bertindakbalas).


42. Institut yang akan ditubuhkan ini bukan sahaja akan meningkatkan keupayaan kita memerangi jenayah rentas sempadan dengan lebih berkesan, malah bakal membuka ruang dan peluang yang luas untuk menjalin hubungan kerjasama di peringkat antarabangsa. Kesudian kerajaan United Kingdom untuk menandatangani MOU dengan Malaysia pada bulan Januari ini; Arab Saudi dan Vitenam pada bulan Mac; Netherlands pada bulan Mei 2010; dan Australia yang sentiasa bertemu kita dari semasa ke semasa membuktikan keyakinan mereka terhadap kita.


v. Memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah

43. Dadah merupakan musuh nombor satu negara. Kerajaan sedar usaha membanteras jenayah tidak mungkin dapat dilaksanakan secara berkesan tanpa usaha memerangi pengedaran dan penyalah gunaan dadah. Malaysia adalah sebuah negara yang tidak bertoleransi dengan dadah dan mempunyai peruntukan undang-undang yang ketat untuk memerangi dadah. Ketegasan Malaysia dibuktikan melalui lima akta yang digubal bagi tujuan mencegah pengedaran dan penagihan dadah, iaitu Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 1998. Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dan Akta Racun 1952.


44. Walaupun begitu terbukti bahawa mempunyai undang-undang yang ketat semata-mata masih tidak cukup untuk menakutkan pengedar dadah dan belum dapat menginsafkan masyarakat tentang bahaya dadah. Sama seperti keganasan dan jenayah, dadah juga tidak mengira warna kulit, agama, darjat, kedudukan dan sebagainya. Justeru wawasan, hala tuju, strategi, pendekatan dan iltizam baru dalam memerangi ancaman dadah. Pendekatan yang lebih segar diperlukan dalam empat aspek utama usaha memerangi dadah, iaitu dari aspek;

i. Pencegahan

ii. Pemulihan

iii. Penguatkuat kuasaan undang-undang, dan

iv. Kerjasama di peringkat antarabangsa.


45. Pada tahun 2011, KDN akan meneliti semula pernyataan dasar anti dadah negara yang sedia ada. Pernyataan dasar ini telah dirangka pada tahun 1996 dan kali terakhir ia disemak semula adalah pada tahun 2004. Sudah tiba masanya dasar anti dadah negara dan segala langkah memerangi pengedaran dan penyalah gunaan dadah dikaji semula.


46. Selain mencari jalan untuk meningkatkan kebekesanan program pencegahan dan pemulihan, KDN akan menggiatkan lagi penguatkuasaan terhadap pengedar dadah dan operator makmal dadah. Pada tahun 2010, jumlah tangkapan berkaitan kesalahan dadah adalah seramai 146,942; 137,241 melibatkan penagih dan 9,701 melibatkan pengedar. Sejumlah 31 buah makmal telah ditumpaskan sepanjang tempoh 2009 hingga 2010 melibatkan rampasan dadah bernilai RM226.75 juta. Nilai keseluruhan rampasan dadah yang direkodkan sepanjang tahun 2009 dan 2010 adalah sebanyak RM 658 juta. Pada tahun 2011, KDN akan meningkatkan lagi aktiviti penguatkuasaan dan tidak akan bertolak ansur sama sekali di dalam perang terhadap penyalahgunaan dan pengedaran dadah ini.


47. Dalam tahun 2011, sebagai susulan kepada persefahaman yang dimaterai dengan kerajaan Republik Islam Iran, sebuah Jawatankuasa kerja akan ditubuhkan dengan wakil Republik itu untuk bekerjasama membasmi penagihan dan pengedaran dadah di antara kedua-dua buah negara. Negara juga akan menandatangani satu lagi MOU, iaitu persefahaman untuk menubuhkan Pusat Koordinasi Maklumat Asia Pasifik bagi memerangi jenayah dadah di antara Pejabat Pendakwaraya Tertinggi Republik Korea dengan Agensi Anti Narkotik negara-negara anggota ASEAN.


vi. Meningkatkan Keberkesanan Program Pemulihan

48. Sekiranya sistem hukuman, penahanan dan pemulihan berkesan, maka peluang bagi seseorang melakukan jenayah berulang berkurangan, seterusnya ini akan mengurangkan kadar jenayah di dalam negara. Visi Jabatan Penjara adalah untuk menjadi sebuah institusi koreksional bertaraf dunia menjelang tahun 2020. Sasaran Jabatan Penjara adalah untuk memastikan jumlah residivis, atau banduan yang berulang kali masuk ke penjara, tidak melebihi 17 peratus dari jumlah kemasukan setahun. Alhamdulillah, setakat ini Jabatan Penjara yang masih dapat mengekalkan kadar residivis di bawah paras 17 peratus (16.8 peratus).


49. Sebagai langkah kepada penyelesaian koreksional yang lebih holistik, beberapa pendekatan baru dan penambah baikan telah diperkenalkan oleh Jabatan Penjara secara pro-aktif. Pertama; dengan menambah baik program pengasingan banduan dan mengasingkan mereka mengikut umur, tahap dan jenis kesalahan. Kedua, melalui pengkategorian semula penjara. Pada tahun 2010, sebanyak 11 buah penjara terlibat dalam usaha ini dan pada tahun 2011, ia akan diperluaskan ke 17 penjara yang lain.


50. Bagi meningkatkan keberkesanan program pemulihan dan mengatasi kesesakan penjara, Jabatan Penjara telah melaksanakan pendekatan-pendekatan seperti Sistem Parol, Rumah Perantaraan (Half Way House) dan Pusat Kehadiran Wajib (Compulsary Attendance Center).


51. Insya-Allah dalam masa terdekat, untuk memantapkan lagi program pemulihan penghuni penjara, dalam tahun 2011, YAB Perdana Menteri akan mengumumkan pula program Pemasyarakatan Banduan melibatkan usaha sama Jabatan Penjara dan Kementerian Pertahanan Malaysia. Program pemasyarakatan yang melibatkan sokongan komuniti dan keluarga penghuni penjara dalam persekitaran di luar penjara dijangka mampu mempersiapkan penghuni penjara untuk diterima kembali ke dalam masyarakat dengan lebih cepat dan lebih berkesan lagi.


52. Seperti Jabatan Penjara, transformasi program rawatan dan pemulihan juga merupakan agenda utama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Kita sedar, selepas 27 tahun trend, metodologi dan teknologi terapi rawatan dan pemulihan penagihan dadah sudah banyak berubah. Melalui AADK, beberapa pendekatan baru yang diperkenalkan dalam tahun 2010 dan akan diperkemaskan lagi dalam tahun 2011. Pendekatan baru AADK ini adalah, pertama, dengan menjadikan program rawatan dan pemulihan lebih terbuka. Melalui Klinik Rawat dan Prihatin (Cure & Care) 1Malaysia, AADK telah membuka ruang kepada masyarakat untuk memilih perkhidmatan program rawatan dan pemulihan secara sukarela tanpa perlu melalui proses tangkapan dan perintah mahkamah. Pendekatan ini juga memberi peluang kepada kakitangan awam dan swasta mendapatkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan tanpa perlu berhadapan dengan implikasi perlucutan jawatan atau dibuang kerja. Sepanjang tahun 2010 sebanyak enam buah Klinik Cure & Care 1Malaysia yang telah dibuka iaitu di Kuala Lumpur, Bukit Mertajam, Kota Bharu, Tampoi, Papar dan Kuching. Sehingga Bulan November 2010, seramai 974 orang mendapatkan perkhidmatan di Klinik C&C 1Malaysia. Memandangkan terdapat sambutan yang menggalakkan dari kalangan masayarakat, dalam tahun 2011 jumlah Klinik Cure & Care 1Malaysia akan ditambah di seluruh negara.


53. Kedua, bagi meningkatkan lagi kejayaan program rawatan dan pemulihan, AADK juga telah mengklasifikasikan PUSPEN kepada beberapa kategori iaitu PUSPEN Triage, bagi tujuan penilaian, PUSPEN ONE bagi penghuni yang mempunyai motivasi yang tinggi untuk dipulihkan dan PUSPEN Tegar untuk penghuni yang mempunyai motivasi yang rendah untuk dipulihkan.


54. Ketiga, menjadikan program pemulihan bersifat lebih inklusif dengan melibatkan penyertaan masyarakat melalui perkhidmatan di Pusat Khidmat AADK atau dikenali dengan Cure & Care Service Centre (CCSC) serta menubuhkan Rumah Komuniti. CCSC menyediakan perkhidmatan rawatan & pemulihan kepada kumpulan sasar disamping berfungsi sebagai pusat aktiviti harian, penempatan sementara, pendampingan (outreach), pencelahan (intervention), khidmat nasihat & rujukan. Rumah Komuniti pula akan berfungsi sebagai sebuah fasiliti pemulihan yang dikendalikan sepenuhnya oleh komuniti setempat dan bertindak sebagai Pusat Singgah Masuk atau Pusat Khidmat Harian (drop in centre).


vii. Menggerakkan gelombang kesukarelaan

55. Ketika ini KDN termasuk semua jabatannya mempunyai sekitar 160,000 orang warga kerja. Dari jumlah itu, PDRM sahaja mempunyai kekuatan sekitar 120,000 orang. Kekuatan anggota imigresen pula adalah sekitar 11,000 orang. Untuk memastikan semua komitmen tahun baru 2011 terlaksana, kita memerlukan sebanyak mungkin bantuan di dalam dan di luar kementerian.


56. Jumlah anggota RELA sehingga 31 Oktober 2010 adalah seramai 2.04 juta orang. Jumlah ini adalah peningkatan lebih dari 350 peratus berbanding 556,000 orang anggota pada waktu saya mula-mula menjejakkan kaki ke kementerian ini. Jumlah anggota terlatih JPAM pula adalah sekitar 178,000 orang berbanding 63,670 orang semasa April 2009. Jumlah ini tidak termasuk sejumlah 73,400 orang kadet pertahanan awam dan 217,400 orang awam yang dilatih dengan ilmu pertahanan awam. Jumlah sukarelawan AADK pula adalah seramai 101,000 orang berbanding hanya 11,768 orang pada April 2009. Jika dihitung, jumlah keseluruhan sukarelawan yang boleh digerakkan oleh KDN adalah berjumlah 2.6 juta orang. Jumlah ini adalah satu jumlah yang besar dan boleh menyokong dan membantu tugas 160,000 warga kerja KDN. Menyedari akan kelebihan ini, pada tahun 2011, kita akan berusaha untuk menggerakkan gelombang kesukarelaan yang lebih besar lagi di seluruh negara. Jumlah yang besar ini sudah pasti boleh digerakkan bukan sahaja untuk memantapkan pelaksanaan NKRA, tetapi juga untuk membantu KDN melaksanakan enam lagi komitmen tahun 2011.


57. Mengambil kira keanggotaan RELA yang sudah meningkat berkali-kali ganda, RELA memerlukan hala tuju baru dan pendekatan yang lebih sesuai dengan tren masa kini. Justeru, tahun 2011 akan menjadi tahun penjenamaan semula pasukan RELA. Dalam proses penjenamaan semula ini, anjakan yang ingin dilaksanakan akan meliputi 7 aspek iaitu;

i. Imej Pasukan – iaitu untuk menjadikan RELA sebuah pasukan yang TERLATIH, BERINTEGRITI dan PROFESSIONAL; serta mempunyai wajah 1Malaysia – pelbagai keturunan, agama dan latar belakang

ii. Peranan – YANG LEBIH MELUAS dalam aspek 4K (keselamatan, keamanan, keharmonian, kesejahteraan setempat), terutama dalam NKRA Mengurangkan Jenayah

iii. Penyertaan - masyarakat BANDAR, GOLONGAN MUDA, GOLONGAN PROFESIONAL, GOLONGAN KORPORAT yang terdiri dari PELBAGAI KAUM dan AGAMA

iv. Program – yang berasaskan TREND, MINAT,KEPAKARAN dan KEPERLUAN; serta setaraf dengan pasukan sukarelawan di peringkat antarabangsa.

v. Kehadiran fizikal - Physical presence dirasai, temasuk melalui penonjolan ibu pejabat, pusat aktiviti, uniform, logo, bendera dan pelbagai lambang yang sinonim dengan pasukan RELA

vi. Kebajikan Ahli – termasuk Insuran dan manfaat perubatan

vii. Struktur Organisasi – yang bersesuaian dengan peranan yang perlu dilaksanakan di peringkat Pusat, Negeri dan Daerah dan yang bersesuaian bagi mengendalikan organisasi yang besar dengan lebih daripada 2 juta orang ahli


58. Jumlah keanggotaan RELA yang ramai boleh dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menyokong pelaksanaan NKRA. Dalam gelombang pertama NKRA Mengurangkan Jenayah, seramai 3,663 anggota RELA terlibat sebagai anggota Sukarelawan Polis (PVR). Dengan jumlah keanggotaan melebihi 2 juta orang yang terdiri pula dari kalangan orang tempatan, pasukan RELA boleh digerakkan bagi meningkatkan lagi keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan oleh PDRM seperti rondaan dan kawalan keselamatan setempat, program Rakan COP dan Community Policing; serta program Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional seperti Skim Rondaan Setempat Kawasan Rukun Tetangga (SRSKRT). Atas dasar itu, Program 1Platun, 1Kampung, 1Taman dan Briged Orang Asli dilancarkan secara rasminya pada 11 Disember 2010 dan dirangka untuk memanfaatkan acuan dan pengalaman di kawasan hot spots untuk disesuaikan operasinya di kawasan-kawasan bukan hot spots.


59. JPAM diakui mempunyai peranan yang penting dan utama dalam memberi perlindungan kepada penduduk awam di negara ini khususnya apabila negara dilanda krisis, bencana atau pun peperangan. Hari ini peranan JPAM disokong oleh 178,000 orang anggota sukarela di seluruh negara, termasuk 70 pasukan Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) dengan kekuatan 2,015 anggota di kilang-kilang dan syarikat swasta. Tegasnya, hampir 98 peratus perkhidmatan JPAM, baik dalam perkhidmatan MERS999, Pasukan Penyelamat Pantai, operasi bencana dan khidmat kemanusiaan yang dilaksanakan JPAM adalah didukung oleh anggota sukarela. Selain itu, JPAM juga mempunyai lebih 73,400 orang pelatih dan lebih 217,400 orang awam yang didedahkan dengan ilmu pertahanan awam. Boleh dikatakan JPAM merupakan pasukan sukarelawan rakyat yang berada di barisan paling hadapan dalam menangani krisis, kecemasan dan bencana, baik bencana semula jadi mahupun akibat perbuatan manusia di dalam sesuatu lokaliti di negara ini.


60. Cabaran JPAM sekarang adalah untuk memastikan khidmat mereka ini benar-benar dirasai oleh rakyat dan mereka dijadikan penggerak paling utama dalam sebarang operasi menyelamat, kecemasan, krisis dan bencana. Dalam tahun 2011, selain dari membantu mencapai matlamat NKRA, saya ingin melihat JPAM meningkatkan peranan menjadi pasukan sukarelawan rakyat di barisan paling hadapan untuk menangani kecemasan dan bencana, bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga mempunyai peranan yang dihormati di peringkat antarabangsa.


61. AADK pula mempunyai 101,062 orang sukarelawan yang boleh membantu usaha pencegahan dan pemulihan penagih dadah. Pada tahun 2011, usaha perlu dibuat untuk menyusun semula sukarelawan-sukarelawan ini, melatih mereka dengan kemahiran tertentu, seterusnya mendedahkan mereka dengan program-program pencegahan, rawatan dan pemulihan, kaunseling serta pengawasan OKP. Perlu ada hala tuju yang jelas, struktur yang sesuai dan peruntukan yang mencukupi bagi menggerakkan gelombang kesukarelaan ini.


Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,


62. Belajar dari pengalaman Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), pelaksanaan dan penyampaian adalah amat penting. Tidak ada toleransi terhadap mereka yang tidak efektif dan effisien, tiada integriti, menyalah guna kuasa dan rasuah dalam melaksanakan RMKe-10. Saya akan meminta penjawat jawatan dan bahagian yang berisiko dipantau, bukan sahaja melalui KPI yang ditetapkan, tetapi juga melalui bantuan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


63. Tahun 2010 sedikit tercalar dengan beberapa insiden berkaitan integriti. Walaupun pepatah menyatakan bahawa dalam setandan pisang bukan semuanya busuk, tetapi nila yang setitik boleh mencemarkan susu sebelanga. Jangan kerana perbuatan segelintir habis semua terpalit lumpurnya. Menyedari hakikat ini, usaha meningkatkan integriti warga KDN dan kesemua jabatan merupakan salah satu agenda penting dalam tahun 2011. Bagi memulakan tahun baru 2011 ini, KDN akan melancarkan slogan anti rasuah iaitu “KHIDMAT TANPA RASUAH”. Sama-samalah kita berusaha meningkatkan integriti dan menggandakan produktiviti; mencari keberkatan, memberi “KHIDMAT TANPA RASUAH”.


Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,


64. KDN merupakan benteng terakhir untuk memastikan survival kita. Kuasa yang ada mungkin menyebabkan ada kalanya kita rasa kesunyian dan bersendirian untuk membuat keputusan yang sukar, namun mahu tidak mahu seseorang mesti melakukannya. Buatlah keputusan itu dengan berani, hati yang bersih, jujur, ikhlas dan sebagai satu pasukan; sebagai satu keluarga. Saya akan sentiasa berada di sini untuk memberikan bimbingan untuk tuan-tuan dan puan-puan semua. Bagaimanapun selepas 20 bulan, sudah tiba masanya untuk setiap jabatan dan agensi dihak upayakan dan berdikari.


65. Ingatlah! Rakyat perlu merasa setiap perubahan yang kita bawa. Rakyat perlu nampak kesungguhan kita di dalam melaksanakan apa yang mereka perlukan tepat mengikut masa, tidak menyalah guna kuasa, tidak rasuah dan mengelakkan pembaziran. Lakukannya bukan untuk saya, tetapi lakukannya untuk rakyat, untuk anak-anak kita dan untuk negara kita. Lakukannya demi menjaga maruah agama dan kepercayaan kita. Lakukannya demi maruah anak-anak, ibu bapa dan keluarga kita.


66. Tahun ini merupakan tahun yang penuh dengan harapan yang tinggi. Semoga Allah swt memberkati segala usaha kita ini dan mempermudahkan segala urusan kita demi masa depan agama, bangsa dan negara.


Sekian, terima kasih.

No comments:

Popular Posts