Thursday, December 16, 2010

6,232 jawatan kosong ditawar semasa Karnival Jom Cari Kerja Putrajaya


Majlis Belia Kawasan Putrajaya bersama-sama dengan JobsMalaysia, Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Perbadanan Putrajaya akan menganjurkan Karnival Jom Cari Kerja, Azam Kerja 1Malaysia di Kompleks Kejiranan Presint 9 Putrajaya, pada 18-19 Disember 2010. Majlis perasmian Karnival Jom Cari Kerja akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Datuk Razali Ibrahim pada jam 11 pagi, hari Sabtu, 18 Disember 2010.

Berbanding program penempatan kerja Azam 1Kerja yang dianjurkan di seluruh negara ketika ini, Karnival Jom Cari Kerja cuba mengambil pendekatan baru, iaitu dengan menjadikan program ini terbuka kepada semua pengunjung dan turut membuka ruang kepada individu yang mempunyai minat untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

Walaupun golongan sasaran bagi program adalah untuk golongan belia, pelajar Institusi Pengajian Tinggi, suri rumah dan ibu tunggal yang tinggal di dalam Kawasan Parlimen Putrajaya, namun pengunjung dan pemohon kerja dari luar Putrajaya juga turut dijemput untuk mengambil bahagian. Sehingga hari ini terdapat 6,232 jawatan kosong ditawarkan dan 1,300 jawatan adalah untuk golongan graduan.

Dari segi format, Program JOM Cari Kerja ingin memberi fokus terhadap penyelesaian masalah belia melalui usaha mengadakan peluang kerjaya, penempatan kerja dan penyertaan dalam bidang keusahawanan. Program ini akan mengambil bentuk karnival bersifat ‘One stop Centre’ selama dua hari melibatkan lebih daripada 40 majikan, termasuk pemain industri utama seperti Secret Recipe, 7-Eleven, Panasonic, AEON, Western Digital, Maju Expressway, UEM Land, Digi, Mydin, KFC, Sushi-Kin, RapidKL, ADABI dan banyak lagi. Selain pameran kerjaya, para majikan juga akan mengadakan temuduga terbuka. Pada waktu yang sama JobsMalaysia akan membuat pendaftaran kerja secara dalam talian, taklimat dan kaunter khidmat pelanggan, ceramah motivasi dan kerjaya untuk manfaat setiap pengunjung yang berminat.

Dalam program ini, golongan muda dan penganggur turut diberikan pendedahan dari segi ceramah persiapan minda dan tips bagi menghadapi temuduga dan peluang ditemuduga secara terus. Mereka juga berpeluang untuk terlibat dalam pelbagai bengkel kemahiran dan keusahawanan. Di dalam bengkel-bengkel kemahiran ini, pengunjung akan diberikan pendedahan bersifat hands-on oleh pakar masakan, kraftangan, rawatan muka dan jahitan.

Pada waktu yang sama, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) akan membuka peluang melalui penajaan kepada golongan belia, ibu tunggal dan suri rumah yang ingin menambahkan pendapatan melalui latihan keusahawanan dalam bidang-bidang tertentu. Peluang penajaan ini terhad kepada 100 peserta yang berminat dan maklumat lanjut boleh diperolehi melalui Jobsmalaysia 03-83202713/14/15.

No comments:

Popular Posts