Pagi ini, Sabtu 27 Mac 2010, bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC), satu peristiwa bersejarah akan tercatat dalam sejarah umat Melayu. Pada hari ini, Mesyuarat Agung Pertama Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) akan berlangsung dan majlis yang amat bersejarah ini akan dirasmikan Perdana Menteri Malaysia keempat Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammad.
PERKASA merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan bagi menyediakan landasan bagi kaum pribumi menegakkan hak-hak mereka tanpa mengira fahaman politik. Pengasas dan Presiden Pertama PERKASA adalah Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali dan Timbalannya adalah Dato' Fuad Hassan.
Peristiwa pagi ini penting kerana ia menghimbau semula peristiwa penyatuan umat Melayu bagi menentang Malayan Union pada tahun 1946. Ketika itu Tanah Melayu berada di dalam keadaan yang amat genting kerana dengan tertubuhnya Malayan Union, negeri-negeri Melayu tidak lagi menjadi negeri naungan sebaliknya akan menjadi tanah jajahan British. Kedudukan umat Melayu sebagai kaum pribumi akan terhakis manakala status dan hak mereka akan menjadi lebih rendah dari kaum imigran ketika itu.
Menyedari masa depan yang kelam untuk pribumi ketika itu, gerakan menyatukan orang Melayu dimulakan dan pada 1 Mac 1946 Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur dengan disertai oleh 200 orang wakil dari 41 persatuan.
Bagaimanapun British tetap dengan pendirian mereka dan penubuhan Malayan Union telah diisytiharkan secara rasmi pada 1 April 1946 dan Gabenor pertamanya adalah Sir Edward Gent.
Peristiwa ini mengudang kemarahan orang Melayu, sekali lagi Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu ke-2 telah diadakan dan kali ini, umat Melayu yang terpisah oleh suku, keturunan, darjat dan bahasa telah disatukan di bawah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) yang lebih dikenali sebagai UMNO. Dato' Onn Jaafar, Menteri Besar Johor dipilih sebagai Presiden pertama dan kongres telah mengisytiharkan bahawa perjanjian-perjanjian MacMichael tidak sah dan menuntut Malayan Union dibubarkan.
Akhirnya, selepas berjuang selama TIGA tahun, perjuangan ini menjadi realiti dengan terbatalnya Malayan Union pada 1 Februari 1948 dan Persekutuan Tanah Melayu dibentukkan.
Atas kebimbangan terhadap masa depan pribumi akibat perpecahan yang disebabkan oleh perbezaan pegangan politik, PERKASA telah ditubuhkan pada 12 September 2008 dan beriltizam untuk menyatukan kembali pribumi agar prinsip-prinsip kenegaraan seperti berikut dapat dipertahankan;
- Memperkasakan Islam Sebagai Agama Persekutuan
- Memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
- Memperkasakan Kedaulatan Raja-Raja Melayu
- Mempertahankan hak-hak keistimewaan Orang Melayu
- Memperkasakan kaum Pribumi
- Menyatupadukan kaum Pribumi dan perpaduan rakyat Malaysia
- Mempertahankan kedaulatan Negara
Menyedari akan kemurnian hasrat ini, saya dengan ini akan memberi segala sokongan terhadap perjuangan ini. Saya juga ingin menyeru agar setiap kaum pribumi untuk turut serta menyokong hasrat murni penubuhan PERKASA.
Demi membuktikan sokongan saya, saya telah mengalihkan program yang sepatutnya dianjurkan pada hari ini ke hari esok SEMATA-MATA bagi memberi laluan kepada setiap kaum pribumi untuk bersama-sama hadir dengan 8,000 pribumi yang lain dan menyatakan sokongan mereka dalam Mesyuarat Agung Pertama PERKASA.
Ingatlah pesanan Raja Muda Perak, DYTM Raja Nazrin Shah,
"(Orang Melayu yang berjaya)... janganlah berperangai seperti si Tenggang, terlalu cepat angkuh, terlalu mudah berlagak bongkak, hingga melupakan asal keturunan, hingga memisahkan dirinya dari akar bangsanya, menjadi rakus, menjadi gopoh, hingga tergamak menebang pohon tempat bernaung dan mencantas dahan tempat bergantung."
DYTM Raja Nazrin Shah, MCKK, 21 June 2008
DYTM Raja Nazrin Shah, MCKK, 21 June 2008
No comments:
Post a Comment