Saturday, January 30, 2010

Isu desakan KJ letak jawatan


Kelmarin, sewaktu mesyuarat Unit Media Baru (UMB) Wilayah Persekutuan, ramai rakan-rakan blogger dan bukan blogger membuat panggilan kepada saya untuk bertanyakan tentang isu ini. Disebabkan sedang bermesyuarat, saya tidak dapat melayan panggilan dan pertanyaan mereka yang disandarkan kepada laporan oleh portal MyKMU.net.

Seperti yang dijangka isu ini telah disambut dan dimainkan oleh para blogger anti-Khairy Jamaluddin (KJ). Ia turut dimainkan di wall Facebook sejumlah rakan-rakan. Seperti yang dijangka juga, tindakan ini mendapat reaksi daripada blogger dan Facebookers pro-KJ. Seterusnya berlakulah episod serang menyerang. Semua ini sememangnya boleh dijangka.

Sebagai Ahli Jawatankuasa (Exco) Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) yang diikat oleh sumpah menyimpan rahsia, saya tidak akan menceritakan kronologi atau butiran perkara yang disebutkan oleh rakan-rakan Exco. Bagaimanapun saya rasa bertanggungjawab untuk memberi pandangan peribadi dan mengulas aspek tertentu bagi meredakan keadaan.

Pertamanya, saya dapati laporan mengenai apa yang berlaku dalam mesyuarat Exco kelmarin tidak begitu tepat. Fakta yang diberikan tidak tepat. Tidak ada olahan dan butiran terperinci mengenai apa yang berlaku; bermaksud majoriti Exco berpegang kepada etika dan sumpah yang dilafaz.

Malangnya, bagi menjawab semula isu ini, ada blog yang mendedahkan sedikit perincian tentang apa yang berlaku. Tindakan ini tidak wajar kerana apa yang berlaku dalam mesyuarat mesti disimpan sebagai rahsia pergerakan.

Keduanya, setiap Exco yang dipilih oleh perwakilan mempunyai tanggungjawab terhadap perwakilan yang mengundi mereka. Saya sendiri mempunyai tanggungjawab terhadap 404 orang perwakilan yang mengundi saya. Antara tanggungjawab yang penting adalah untuk memastikan pergerakan ini diperkukuhkan dan melaksanakan peranan bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13. Ia termasuk menegur dan memberi pendangan terhadap pemimpin, Pemuda dan bukan Pemuda.

Bagi memastikan ini berlaku, barisan Exco TIDAK memilih untuk menyuarakannya di media arus utama dan media baru, sebaliknya telah memilih untuk menggunakan saluran yang sewajarnya, iaitu Mesyuarat Exco PPUM bagi menegur dan menyampaikan pandangan kepada kepemimpinan PPUM. Seharusnya amalan bersuara seperti ini diraikan. Jika ia di`bunuh' dan Exco yang bersuara mengikut saluran parti dihentam dan dipersalahkan, maka saya yakin kritikan dan pandangan ini akan mengambil tempat dalam platform yang lain.

Ketiganya, kritikan dan pandangan ini telah diterima dengan baik dan terbuka oleh YB Khairy Jamaluddin, seperti yang dinyatakan beliau semasa sidang akhbar. Saya yakin, selepas ini YB Ketua Pemuda dan para Exco akan duduk bersama secara berterusan bagi menyelesaikan perbezaan pandangan dan pendekatan melalui permuafakatan.

Adakah teguran terhadap pemimpin menggunakan platform parti merupakan suatu kesalahan? Saya yakin - TIDAK. Malah ia sepatutnya diraikan dan menjadi contoh kepada sejumlah pemimpin kanan UMNO dan BN yang cenderung `berperang sesama sendiri' menggunakan saluran media dan sebagainya!

16 comments:

Apache said...

Salam Tun...berat mata memandang, berat lagi bahu memikul...Ujian datang kerana Allah sayangkan hambanya...

Anonymous said...

Salam Tun Faisal,
saya setuju dgn saudara. kita semua tak suka nak dengar gaduh-gaduh lawan-lawan sama sendiri. ini bukan masa dan ini bukan lagi fashionable. ini masa kerja dan kita mahu pekerja dan pejuang bukan yg nak lagak sifu dsb.kalau nak jahanamkan parti, ingat, ada berjuta ahli dibawah ini yg bukan lagi tolol mcm pak tolol yg perasan kat atas tu. bukan tuju kat sesiapa, tetapi sendiri mahu ingat. ilmu baling batu sembunyi tangan sekarang dah lapok, sebab kita ada satelite yg boleh kesan semua yg bergerak kat muka bumi ni.

Sinis Malaya said...

Salam ziarah Tun Faisal,

Saya rasa saya tidak keseorangan bila saya merasa amat bimbang dengan masa depan orang2 melayu, especially selepas PRU yg lepas.

Saya memang berniat untuk menyertai UMNO untuk menunjukkan sokongan tak berbelah bagi saya kepada kepimpinan DSN/UMNO.

Untuk pengetahun saudara Tun Faisal, saya amat hiba/sayu, mengenangkan nasib dan masa depan orang melayu, terutamanya selepas pemilihan pemuda umno yang lepas.

Tun Faisal, siapa yang tak kenal KJ? Cuba pergi ke shopping2 complex, di pasaraya2, dan tanyakan persepsi masyarakat terhadap KJ. Percayalah, susah nak mendapatkan persepsi yang baik, malah saya yakin semuanya berunsur negatif.

Pemuda UMNO bule pulih, tapi hanya selepas KJ meletak jawatan sebagai ketua pemuda. Saya juga hanya akan masuk umno dan mengembeling tenaga selepas KJ lenyap dari pemuda UMNO.

Kalo tak masuk umno pun takpe, saya masih pengikut umno dan takkan mengundi selain dari BN.

KJ pada pandangan saya adalah ANWAR Ibrahim in the making! Saya takkan menolong orang yang sebegini!

Saya rasa saya tidak keseorangan.

Salam, terima kasih.


30 Jan 2010.

Anonymous said...

Bagus la TUn komen sebegini. Kami tidak lah keliru sangat.

Apapun, saya kecewa dengan tindakan sesetengah Exco yang MEMBOCORKAN maklumat. Sebab ada kandungan mesyuarat yang terlepas, bermakna ada individu yang mahukan perkara kritikan terhadap KJ oleh seorang? dua orang? 3 orang? 10 orang? exco ini dihebahkan. Ini soal sumpah. Sekarang tak fasal fasal isu penyatuan pemuda terpaksa dibangkitkan.

Sepatutnya tak ada satu blog pun yang tahu. Tapi bila dah satu tahu, pihak lagi satu pula yang menyerang.

Apapun saya rasa sudah tiba Pemuda hentikan lawan masing2. Saya bukannya suka sangat kat KJ tu, tapi udah udah la..biar lah dia memimpin..tidak perlu lah lagi spekulasi macam ini. Akhir sekali semua lingkup! UMNO yg rugi!

Singh Is Kinng said...

Salam Tun Faisal,

Jika butiran mesyuarat adalah satu rahsia, maka saya terima sesiapa yang membocorkan merupakan pengkhianat.

However Tun, blog pariah penyokong Khairy, 1-mal yang pernah menfitnah dan mencaci you sendiri claimed to have written the original chronological events regarding what had happened. So jangan blame satu pihak saje.

You know my stand Tun, to ensure a comfortable win in PRU 13, get rid of KJ first. He has no use, neither for the party nor for the country.

satD said...

salam bro...sori kacau sikit..


"Saya sendiri mempunyai tanggungjawab terhadap 404 orang perwakilan yang mengundi saya."

I think your responsibility extends beyond the 404 who voted for you...

:P

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

SatD - yes my responsibility extend beyond the 404 perwakilan- u re right; they re my immediate in terms of trust and faith they hv given to me ..:)

Singh, Krustasia - sepatutnya tak ada kebocoran.

Penpusaka - tq sbb tegur masa di prog TSMY pg td. insyaallah jika ada rezeki kita jumpa lg, rajin2lah tegur mudah2an senang kenal wajah nanti :)

Panglima Perang Cyber said...

Isu ini sepatutnya tidak dihebahkan dalam media massa atau media baru seperti blog.

Ia hanya memburukkan keadaan.

Saya juga berharap Tun dapat mendamaikan dua puak yang bertelingkah ini.

Dalam Al Quran menyuruh kita mendamaikan bukan memecahbelahkan.

Sekiranya satu pihak tidak mahu berdamai maka perangilah yang enggan hingga mereka kembali berdamai.

Siapa sahaja yang sukakan perpecahan maka ia mengikut hawa nafsu dan juga syaitan.

Tun, ini pandangan 1sen saya dan harap ia dapat diambil iktibar oleh semua.

BPN komited usaha menjaga perpaduan bloggers dan menyokong Unit Media Baru dalam mempertahankan nasib alif ba dan ta.

Abu Faiq said...

Assalaamu 'alaikum, sdra TFI & yang melayari blog ini,

1 Sepatutnya memang layak diucap tahniah - berpoltik memang suruhan lslam; demi mengambil peduli dan mengurusi [mentabani] persoalan kehidupan umat - nasib susah-senang mereka; maju-mundur masa depan mereka, dsb. ltu semua kerja mulia, KALAU SAJA MEMEUHI SYARAT, iaitu; kesedaran bahawa setiap amal perbuatan seseorang Muslim WAJIB menepati tolok ukur [standard] yang Allah tentukan iaitu ketetapan-ketetapan syara'. Dan dia TIDAK BOLEH SAMA SEKALI membebaskan dirinya dari ikatan hukum syara'. ltu 'the bottom line' - prinsip dasar - berakidah dengan akidah lslam. Setiap Muslim WAJIB kenal pasti tentang itu.

2 Maka, berpolitik pun tidak lepas dari tolok ukur itu, pertama sekali menghalusi BENAR-TIDAKnya landasan bagi firkrah & tariqah [kaedah] politik tersebut di sisi agama, kerana fikrah berserta tariqah yang benar itu sahaja akan melahirkan ideologi [mabda] yang benar. Sedangkan ideologi yang benar hanya ideologi lslam. la bersumber daripada wahyu. Jelas, seseoang Muslim langsung TIDAK DIBOLEHKAN mengambil apa-apa ideologi selain ideologi lslam jika mahu amalannya dinilai dengan tolok ukur lslam.

3 Aktiviti politik sebagai dakwah & Ibadah: Hanya berlaku apabila berpolitik sebagaimana berpolitiknya Rasulullah SAW ['Sesungguhnya pada diri Muhammad itu adalah suri teladan terbaik'], iaitu demi merealisasikan matlamat menjadikan syari'at Allah [hukum-hukum syara'] sebagai ad-deen [sistem kehidupan secara kaffah], bukan berpolitik yang akhirnyas membawa kehidupan yang diatur dengan sistem yang selain sistsm lslam. Bukankah kehidupan sekarang diurus-atur dengan Sistem Sekular-Demokrsi-Kapitalis, fikrah & tariqah yang diimport dari hadharah kufur Barat - musuh-musuh lslam yang tak henti-henti dgn agenda penghancuran lslam mereka?
Dak umat lslam, secara tidak sedar
[dengan mengambil ideologi ini], ikut menapak jejak langkah yang amat hina itu. Subhan Allah...!

3 Saya amat pasti, ramai umat lslam ketika berpolitik tidak memandang [atau terlepas pandang] satu hal yang amat berat & fatal kesannya kepada berakidah kepada akidah lslsm, iaitu; satu skop lain tuntutan lslam ialah menjadikan lslam itu akidah as-siasiyah; akidah yang melahirkan sistem, aturan yang menjadian kehidupann ini berjalan di atas rel yang Allah redha. Apabila tuntutan yang ini tidak tertegak, akibatnya sungguh dahsyat - batapa banyak hukum syara' terabai, tidak terlaksana, sedangkan otoriti melaksanakannya hanya tergapai melalui politik; dengan ADANYA KEKUASAAN ADI TANGAN PENGUASA/ PEMERINTAH. Namun, penguasa yang bagaimanakah, pemerintahan yang berjalan atas idelogi dan sistam apakah yang akan melaksanakan ini..? Kita sama-sama maklum. Apakah tidak akan bersoal-jawab di depan-Nya tentang pertanggungjawapan ini suatu ketika kelak? Pasti! Hujah yang benar [kerana menepati tolok ukur-Nya], dapat menyelamatkan, jika sebaliknya...? ltu yg kita imani.

4 lni sedikit mubasabah [bukan teguran] darp saya untuk saudara-saudara saya baik dari UMNO, PAS atau PKR [yang Muslim]. Wallahu a'lam.

Salam.

Wenger J. Khairy said...

Nampaknya tempat ni sudah menjadi tempat singgah untuk beruk2 anti Khairy seperti Piggy Singh.

Kita kena paham kerana Tuan Hj. KJ tu begitu menonojol dalam politik dan sosial tanah air apa2 yang berlaku kepadanya menjadi perbualaan umum. Tahukah anda KJ sajalah satu satu pemimpin politik muda yang dikenali oleh masyarakat antarabangsa. Nama lain dia tak kenal.

Lebih2 lagi dalam isu tersebut tu, beberapa beruk dan pengkhianat memberi gambaran yang tidak betul kepada tukang blog jamban seperti Piggy Singh dan Papukeri. Dlm mesyuarat pasti adanya saf2 yg tidak sehaluan, tetapi siapa2 bodoh sampai bahlul yang mengatakan dia tu ada sokongan tetapi tak berani nak membuat undi secara tangan?

Nilah kebodohan puak anti KJ. Benda kecil macam ni dihebohkan seantero dunia sehingga mereka2 yang tua nyanyuk pun terpanggil untuk memberi komen dalam surat khabar.

Beruk2 ni bertuankan wang, dan telah memperdayi calon KP masing2 dengan ungkapan yang manis dan percakapaan yang bongkak. Bloggers pro KJ pula bekerja secara sukarela dan lebih pandai mengatur strategi dengan memberi pengkhususan kepada kebaikkan KJ berbanding cuba membunuh karektor calon2 lain.

Ambilah pedoman, cubalah dirikan blog yang berisi dan bukannya blog jamban

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

wneger khairy - patut org yg lebih tua mcm sdr memberi contoh yang baik kpd yang muda

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

tq abu faiq, kerana rajin memberi pandangan :)

kulitpisang said...

Sdr. Tun...
Entah mengapa dari pembacaan saya, ulasan yang sdr. buat berhubung perkara ini agak mengelirukan dan mengundang kepada persepsi yg tidak betul kepada pembaca blog sdr. Saya percaya sebagai salah seorang exco PPUM yg berpagang pada sumpah setianya, tindakkan ini tidak elok kepada pembentukkan PPUM yg kuat. Kenapa saya berkata begini;
pertama: ulasan sdr "Malangnya, 'bagi menjawab semula isu' ini, ada blog yang mendedahkan sedikit perincian tentang apa yang berlaku. Tindakan ini tidak wajar kerana apa yang berlaku dalam mesyuarat mesti disimpan sebagai rahsia pergerakan." Mengapa perlu ada ayat 'bagi menjawap semula isu ini'?
Kita semua sedia maklum, mereka yg memulakan isu ini adalah mereka yang tidak menyokong kj dan benci kj dan mereka yg menjawap isu ini adalah mereka yg sayangkan kj dan penyokong kj. Ayat sdr. yang saya percaya mempunyai maksud yg baik demi kepentingan PPUM, boleh dengan mudah disalah ertikan supaya mereka yg mengokong kj supaya berhenti mempertahankan kj kerana ia menyalahi etika PPUM. Bagaimana pula dgn mereka yg memulakan isu ini iaitu mereka yg anti kj? adakah sdr setuju dengan mereka yg anti kj? kalau penyokong kj salah memperincikan mesyuarat itu, puak yg anti kj juga salah kerana mereka juga memperincikan perkara yg sama. Saya berpendapat sdr. sebagai seorang exco PPUM yg mahukan PPUM kuat dan tidak berpecah, tidak perlu menggunakan ayat tersebut kerana ianya menunjukkan sdr tidak matang dan berat sebelah. Alangkah lebih elok sekiranya sdr. berkata "Demi kebaikan PPUM saya berharap perkara ini tidak dipanjangkan. Semua yg berlaku dalam mesyuarat exco PPUM adalah hak mutlak mereka yg hadir mesyuarat itu sahaja dan ianya adalah rahsia yg perlu disimpan oleh ahli mesyuarat. Kenyataan yg dikeluarkan oleh sumber2 selain dari ahli mesyuarat adalah fitnah dan berniat jahat." Saya rasa itu lebih adil dan lebih jelas apa maksud sdr.

kulitpisang said...

kedua ayat " Saya sendiri mempunyai tanggungjawab terhadap 404 orang perwakilan yang mengundi saya"... saya rasa itu tidak betul. Saya seorang ahli pemuda dan saya tidak mengundi sdr kerana saya bukan perwakilan. adakah saya bukan tanggungjawap sdr sebagai seorang pemimpin PPUM? Tp saya tidak mahu mengulas ini dgn lebih panjang kerana saya percaya sdr. jelas maksud saya.

ketiga, ayat sdr. dalam 3 perenggan terakhir. Saya percaya apa yg cuba sdr sampaikan adalah budaya tegur-menegur bagi memperbaiki kelemahan dan kekurangan perlu diteruskan dan budaya 'yes bos' dan 'ok bos' semasa didepan bos dan bantai bos kat arus perdana perlu dihindari. Tetapi dari penulisan sdr., dgn mudah boleh disalah ertikan bahawa sdr mengiyakan apa yg diwar-warkan oleh puak anti-kj iaitu mesyuarat exco PPUM tempohari menjadi medan membantai kj seorang. Dengan kata lain, semua exco menolak kepimpinan kj. Bagaimana dengan exco yang tidak berfungsi. Adakah mereka bukan pemimpin PPUM sedangkan mereka pengerusi dan pemimpin biro. Adakah mereka tidak ditegur atau tidak boleh ditegur? Sepatutnya sdr. sebagai seorang exco dapat membuat sesuatu penulisan yang lebih baik dari ini dan mempunyai maksud yang lebih jelas dan tidak boleh disalah ertikan.Saya bukanlah penyokong kj tp ahli pemuda UMNO yang mahukan parti saya kuat dan terus memerintah. Saya sedar, dengan membuang kj, masalah pemuda tidak akan selesai malah ianya tidak mungkin selesai. Siapa pun naik manjadi ketua dimana2, pasti ada pihak yang menyokong dan ada pihak yang tidak menyokong. Oleh itu membuang bukanlah satu cara penyelesaian. Penyelesaian masalah pemuda ini hanya akan dapat diselesaikan dengan sikap menerima hakikat. Ketika ini kj adalah ketua pemuda maka ikutlah dia demi kekuatan parti. Kita boleh tukar dia bila tiba masanya nanti dengan kaedah yang telah ditetapkan. Jika semua ahli mempunyai pegangan ini maka parti kita akan selamat dan jika tidak, bersiap sedialah untuk hancur. Maafkan saya jika teguran saya ini, mengguris hati sdr, tetapi saya buat untuk tujuan yang baik sesuai dengan kata-kata sdr 'amalan menegur pemimpin itu perlu diraikan'.. Semua yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu datangnya dari diri saya sendiri.

Tun Faisal Ismail bin Aziz said...

kulit pisang - saya tak perlu mengulas komen sdr dan berasa hati pun kerana sdr bercakap berdasarkan andaian, sdgkan saya berckp berdasarkan fakta kejadian :)

kulitpisang said...

Sdr. Tun...
Saya tak faham kenapa sdr. tun boleh berasa hati dengan penulisan saya sedangkan sdr. sendiri yang mahukan 'tindakan menegur pemimpin perlu diraikan'? Jadi apa yang cuba sdr sampaikan kepada pembaca2 blog sdr? Sdr. mahu menegur orang lain tapi sdr tidak boleh ditegur? Atau sdr tidak menganggap diri sdr seorang pemimpin? Saya keliru... Dan lagi satu, sdr silap... saya bercakap/menulis bukan berdasarkan andaian saya sendiri tetapi berdasarkan tulisan sdr... melihat bagaimana sesuatu ayat boleh disalah ertikan... salahkah saya menegur? Dan jika saya salah... sdr boleh tegur kembali... tiada yang menghalang... Saya minta penjelasan... TQ

Popular Posts