Thursday, July 30, 2009

Perlukah UPSR?

Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Razali Ibrahim telah memulakan polemik baru apabila dilaporkan sebagai membayangkan cadangan agar Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan.

Dari kefahaman saya, beliau meminta agar diberi penekanan terhadap subjek lain seperti subjek sejarah bagaimanapun akibat sistem pendidikan kita yang terlalu berorientasikan peperiksaan penekanan yang sewajarnya terhadap subjek-subjek lain seperi sejerah tidak diberikan.

Kegusaran beliau ini difahami berikutan tumpuan berlebih-lebihan diberikan oleh ibu bapa kepada UPSR kerana ia sering dikaitkan dengan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) walaupun tempat ke SBP ini sebenarnya begitu terhad, iaitu hanya sekitar 6,700 sedangkan yang mendapat 5A setiap tahun sudah melebihi 40,000 orang.

Relevankah UPSR? Pada pandangan saya selagi di penghujungnya ada habuan yang menarik, maka UPSR akan terus relevan. Bagi saya isunya bukan isu UPSR relevan atau tidak, tetapi ganjaran hasil dari kecemerlangan UPSR yang menyebabkan begitu ramai yang terjerumus ke dalam orientasi peperiksaan.

Bagi ibu bapa, ganjaran untuk menempatkan anak-anak di sekolah-sekolah yang dilihat sebagai menarik. Selain 6,700, ada hampir 5,000 tempat lagi di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN). Bagi ibu bapa, mereka akan berasa bertuah jika anak mereka terpilih memasuki sekolah berasrama, lebih-lebih lagi SBP dan MRSM. Ia menggambarkan prestij, anak mereka bijak selain menunjukkan bahawa mereka adalah ibu bapa yang berjaya dalam mendidik anak-anak mereka. Mungkin ia juga jalan paling senang untuk melepaskan tanggung jawab mendisiplinkan anak-anak. Jika anak mereka belajar di sekolah harian biasa, mereka masih perlu mendisiplinkan anak mereka di rumah.

agi guru dan sekolah, jumlah 5A di sekolah amat berkait rapat dengan kecemerlangan sekolah dan prestasi mereka. Disebabkan itu mereka akan berlumba-lumba melahirkan seramai mungkin pelajar yang mendapat 5A. Di sekolah tertentu perlumbaan ini menyebabkan sukatan pelajaran dihabiskan secepat mungkin dan selepas itu tumpuan dibuat untuk latih tubi. Ada juga sekolah yang sampai mengabaikan subjek lain, terutama yang bukan subjek UPSR, termasuk pendidikan agama, moral, pendidikan jasmani dan kajian tempatan semata-mata ingin memberi tumpuan kepada subjek peperiksaan. Dalam keadaan ekstrem, ada juga sekolah (bukan semua) yang mengabaikan murid yang berada di kelas hujung kerana mahu memberi tumpuan kepada murid yang lebih cemerlang.

Jika orientasi peperiksaan ini berterusan, maka hasrat untuk memberi lebih penekanan terhadap subjek atau elemen lain selain daripada subjek peperiksaan tidak akan tercapai. Teknologi pengajaran dan pembelajaran (P&P) juga tidak akan dimanfaatkan sepenuhnya dan pendekatan P&P yang menarik tidak akan berkembang kerana semua ini akan dianggap membuang masa; yang berkesan hanyalah latih tubi.

Apakah akan berlaku jika UPSR dimansuhkan? Kemungkinan keadaan murid di sekolah rendah akan jadi kurang tertekan berbanding sekarang. Transformasi kurikulum dan pentaksiran lebih mudah berlaku kerana murid tidak menumpukan kepada peperiksaan sebaliknya kepada potensi diri mereka. Guru akan memberi lebih tumpuan kepada usaha pentaksiran dan memperbaiki pendekatan P&P mereka. Murid akan dididik untuk menguasai ilmu mengikut keupayaan mereka dan sekolah akan menjadi suatu tempat yang begitu menyeronokkan; penuh dengan aktiviti pembelajaran luar kurikulum dan luar kelas.

Kemungkinan bukan sahaja subjek sejarah boleh diajar dengan baik, malah pendidikan jasmani dan sukan juga boleh digerakkan dengan lebih sempurna seperti sekolah-sekolah di luar negara.

Apakah yang akan berlaku dengan hampir 11,000 tempat di SBP, MRSM, SMKA, SMAN? Sama ada kita wujudkan keadah dan kriteria baru untuk kemasukan ke sekolah-sekolah ini ataupun hanya tawarkan kepada pelajar lepasan PMR. Dengan ini sekolah berasarama akan mempunyai pelajar yang lebih matang dan pelajar mempunyai lebih masa untuk bersama didikan ibu bapa mereka sebelum dilepaskan ke sekolah berasrama.

Wednesday, July 15, 2009

Masa depan subjek Reka Cipta (bahagian 2)

Matlamat program F1 in Schools adalah untuk meningkatkan jumlah pelajar yang berminat untuk mendalami bidang kejuruteraan dan reka cita automotif. Walaupun nampak seolah-olah mereka hanya menghasilkan miniatur kereta F1, namun melalui kenyataan penghakiman, kita menyedari bahawa pelajar yang terlibat telah menguasai kemahiran kejuruteraan dan reka cipta yang biasanya dipelajari di peringkat pendidikan tinggi.

F1 In Schools bermula secara rintis menggunakan sepenuhnya peruntukan pihak swasta dan penajaan badan-badan korporat dari tahun 2005 sehingga 2007. Dengan pendekatan `bottom-top’ ketika itu, penglibatan hanya ditawarkan kepada sekolah yang benar-benar melihat manfaat program ini kepada mereka. Daripada 30 buah sekolah yang membida untuk terlibat hanya 14 buah sekolah yang terpilih. Jumlah ini telah bertambah dengan begitu pesat, iaitu kepada 40 buah pasukan pada tahun 2006, seterusnya 439 buah pada tahun 2007.

Berkat kesungguhan sekolah dan pelajar, pasukan Malaysia telah memenangi anugerah kereta terpantas pada Kejohanan Dunia ke-2, F1 in Schools 2005/06 di UK dan tempat ketiga keseluruhan semasa Kejohanan Dunia 2007 di Australia. Pada tahun 2007 di Melbourne, pasukan negara turut memenangi anugerah Semangat Kesukanan Paling Tinggi. (“Best Sportsmanship Award”). Reputasi Malaysia telah menyebabkan negara diberi penghormatan menganjurkan Kejohanan Dunia F1 Technology Challenge yang disertai oleh 25 buah pasukan dari 15 buah negara di seluruh dunia pada tahun 2008.

Melihat kepada kesan positif ini, dalam tempoh RMK9, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 48 juta bagi mengadakan pusat pembuatan di 114 buah sekolah, menaik taraf bengkel Reka Cipta di sekolah-sekolah di seluruh negara dan melengkapkannya dengan perkakasan dan perisian yang sesuai.

Bagi tujuan penyertaan program F1 In Schools, pusat pembuatan dan bengkel Reka Cipta ini dikongsikan penggunaannya kepada 10 hingga 15 buah sekolah berhampiran, membolehkan hampir 1,700 buah sekolah yang lain turut terlibat. Komitmen ini membolehkan sekolah di luar bandar terlibat dan program ini turut digunakan bagi memupuk perpaduan melalui Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP).

Tidak sukar untuk memahami kenapa secara tiba-tiba program F1 In School mendapat tempat di hati para pelajar. Perlumbaan F1 dilihat sebagai suatu sukan lasak yang berprestij, dikaitkan dengan kelajuan, teknologi enjin canggih dan berkuasa, reka bentuk kereta yang menarik serta usaha promosi yang begitu mengesankan. Ciri-ciri ini amat bertepatan dengan cita rasa generasi masa kini dan telah menarik minat bukan sahaja pelajar yang mengambil subjek reka cipta di sekolah, tetapi pelajar aliran sains yang tidak pernah tahu tentang kewujudan subjek ini. Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang tidak pernah berminat untuk menawarkan subjek Reka Cipta turut mahu terlibat selepas melihat kebaikannya. Dimaklumkan di sekolah tertentu, kadar ponteng kelas subjek Reka Cipta menurun dan pelajar sanggup berada di bengkel sepanjang hari.

Walaupun program ini melibatkan golongan pelajar, namun pengalaman positif dari program F1 in Schools ini secara tidak langsung telah mencetus minat untuk menaik taraf kurikulum subjek Reka Cipta. Ketika ini, sukatan pelajaran sedia ada lebih menumpukan kepada aspek teori pada tahun pertama, iaitu di tingkatan empat. Di tingkatan lima, barulah aspek praktikal diberi lebih perhatian. Begitu pun rekaan lebih berkisar kepada produk gunaan harian berteknologi rendah. Ini kemungkinan satu sebab kenapa subjek ini tidak diiktiraf sebagai satu merit untuk kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Tempatan (IPTA).

Pengalaman mengendali F1 in Schools, mendorong para pegawai untuk memikirkan kaedah bagaimana subjek ini boleh ditingkatkan tahapnya kepada Teknologi Reka Cipta melalui pengenalan kandungan yang lebih besifat `hands-on’ dan holistik berkaitan rekaan berteknologi lebih tinggi, iaitu melibatkan teknologi automotif dan aeroangkasa. Dengan perkakasan, perisian dan bengkel yang diadakan bagi menyokong program F1 In Schools ini, ia memungkinkan aspek praktikal diperkenalkan bermula di tingkatan empat lagi.

Saya yakin selain Reka Cipta, banyak lagi subjek yang ditawarkan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengalami pengalaman yang hampir serupa. Dengan menghadkan jumlahnya, terdapat kerisauan apakah yang akan terjadi dengan subjek-subjek ini. Berdasarkan pemerhatian, sebaik sahaja sesuatu subjek tidak lagi menjadi subjek peperiksaan, dalam sistem yang berorientaskan peperiksaan seperti yang diamalkan di negara kita, ia akan mengalami `kematian’ secara perlahan-lahan.

Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP), Utusan Malaysia
Rabu, 15 July 2009

Nik Aziz bukan faktor lagi di Kelantan

PAS menang tipis di Pilihan Raya Manek Urai. Hanya 65 undi. Walaupun sebaik waktu tamat, Pengarah Jentera Pilihan Raya Manek Urai PAS Abdul Fatah Harun begitu mendabik dada menyatakan bahawa PAS akan menang 2,000 undi, tetapi jelas kiraan Pengarah Jentera Pilihan Raya itu jauh (sangat-sangat jauh) tersasar. Satu indikator bahawa dia bukan Pengarah Jentera Pilihan Raya yang bagus.

Seperti yang sering saya sebutkan, Barisan Nasional (BN) melihat pilihan raya kecil ini sebagai sangat penting, sedangkan PAS, ia hanya `business as usual’. Ini jelas apabila, BN menamakan Datuk Mustapa Mohamad sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya dan Tuan Aziz Tuan Mat sebagai calon.

Tok Pa bukan sahaja seorang yang rajin bekerja, malah telah membuktikan kemampuannya sebagai pemimpin yang disenangi rakyat di Jeli, selain membuktikan di Jeli, orang Kelantan tidak menolak pembangunan.

Pemilihan Tuan Aziz menunjukkan BN kali ini mendengar keinginan rakyat. Berbanding calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, 50 tahun, Tuan Aziz, 39 adalah pemimpin muda dan mempunyai latar belakang pendidikan yang jauh lebih baik. Selain sifat mesra rakyat dan tiada kontroversi, Tuan Aziz merupakan seorang profesional dalam KESEDAR dan telah menabur bakti kepada penduduk Manek Urai.

Ini meletakkan PAS dalam keadaan yang sukar kerana mereka tidak boleh menyerang peribadi calon dan pengarah pilihan raya. Walaupun pada mulanya PAS cuba memainkan isu rasuah, bukan pilihan Perdana Menteri dan cah keting, namun semua ini tidak mendapat tempat kerana pengundi di Manek Urai lebih mengenali Tuan Aziz.

BN memulakan kempen sebagai underdog. Walaupun nampak Manek Urai ini seperti kubu kuat PAS, namun dari segi statistik ia tidak begitu. BN sebenarnya mempunyai base yang kuat di Manek Urai. Dalam tahun 1990 misalnya, PAS menerima sekitar 5,900 undi dan BN sekadar menerima 2300 undi. Jumlah undi yang diterima BN meningkat dalam pilihan raya seterusnya, iaitu 2,438/PAS 4,285 (1995), 3,039/4,597 (1999), 4,363/4,308 (2004), 4,394/5,746 (2008) dan 5,283/5,348 (2009).

Dari segi kempen, seperti biasa, di Kelantan, PAS akan menggunakan dua pendekatan. Pertama, menarik simpati rakyat kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Dalam ceramah-ceramah Nik Aziz digambarkan seperti ulama maksum yang begitu zuhud sikapnya. Poster Nik Aziz berdoa menjadi bahan promosi. Dulu Nik Aziz digambarkan sebagai sering menjadi mangsa buli UMNO dan dia tidak boleh diserang kerana jika diserang, rakyat yang kononnya begitu menyayanginya akan marah dan memberi undi kepada calon PAS.

Menariknya, di Manek Urai kali ini ada satu elemen baru digunakan untuk menarik simpati rakyat. Selepas beberapa hari kempen, mungkin kerana nampaknya simpati rakyat kurang, makan disebarkan cerita bahawa Nik Aziz akan meletakkan jawatan jika PAS kalah di Manek Urai.

Kedua, seperti biasa PAS akan memainkan emosi pengundi dan mengumpan kemarahan mereka terhadap BN. Selain BN cuba digambarkan sebagai membuli Nik Aziz, PAS cuba menggambarkan BN sebagai kerajaan rasuah, UMNO sebagai tidak Islam, rakyat Kelantan dianak tirikan dan tuntutan royalti minyak yang dikatakan hak rakyat Kelantan.

Sedangkan dalam kempen BN, BN konsisten dengan hasrat untuk membawa pembangunan dan kemakmuran ekonomi kepada pengundi Manek Urai. BN berkempen untuk memperkenalkan kelebihan-kelebihan calonnya yang muda, berpendidikan, berpengalaman, mesra rakyat dan sudah pernah berjasa kepada penduduk Manek Urai.

Apakah yang baru di Manek Urai? Selain calon dan pengarah yang diterima rakyat, pendekatan perorangan setiap sayap menarik minat pengundi. Pada waktu yang sama, Nik Aziz tidak dibenarkan selesa. BN mengambil pendekatan `menyerang’ Nik Aziz atau lebih tepat lagi pemikiran Nik Aziz dilihat sebagai yang menghalang kemajuan, menghalang perpaduan dan sikap autokratik dan angkuhnya (dalam menangani kes Nasharuddin Mat Isa).

Keadaan diburukkan lagi apabila pencapaian Nik Aziz dalam mentadbir negeri Kelantan dipertikaikan. Misalnya rakyat Kelantan tahu dalam masa 20 tahun ini, balak banyak ditebang dan menjadi isu dalam media. Namun rakyat tidak dapat melihat banyak perubahan dari aspek pembangunan fizikal di Kelantan. Pengundi yang lebih berpendidikan dan terbuka fikiran mereka mungkin mempersoalkan, jika dengan hasil balak pun tidak nampak kesan nyata dari segi pembangunan, maka tuntutan royalti minyak ini untuk apa atau siapa sebenarnya?

Pada waktu yang sama, gaya hidup kelompok tertentu dalam PAS nampaknya telah banyak berubah dan menjadi mewah. Pemimpin PAS juga dikaitkan dengan rasuah semasa Muktamar baru-baru ini. Paling buruk, di Perak, pemimpin PAS telah menafikan perjuangan untuk membangunkan negara Islam. Segalanya ini menunjukkan PAS hanya sebuah parti politik dan bukan `Parti Islam’ seperti dulu lagi.

Terima kasih pengundi Manek Urai kerana telah memberikan kemenangan moral kepada UMNO dan BN. Namun UMNO TIDAK BOLEH MERASA TERLALU GEMBIRA kerana perjalanan masih jauh. Jelasnya formula yang digunakan di Manek Urai adalah betul. Soalnya, mampukan PRESIDEN UMNO dan PERDANA MENTERI mengekalkan formula yang sama di tempat lain atau akan kembali lalai dan alpa seperti yang berlaku selepas kemenangan besar Pilihan Raya Umum tahun 2004?

Seperti biasa; seperti ketika keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi mereka; bila taqdir tidak menyebelahi PAS, mereka akan memberi pelbagai alasan (sebelum post-mortem). Kalau kebiasaannya alasan pengundi hantu timbul, kali ini Husam menuduh UMNO menggunakan wang.

Semalam, kemenangan PAS tidak disambut dengan takbir seperti biasa oleh para penyokong PAS di seluruh negara. Mungkin takbir (Allah Maha Besar) hanya dilaungkan oleh pemimpin dan penyokong PAS bila Allah SWT memberi kebaikan kepada mereka sahaja!

Monday, July 13, 2009

Wow, meet the new PAS, said voters in Manek Urai

Mek Nah, seorang penduduk di Manek Urai selalu mengundi PAS di setiap kali pilihan raya. Baginya, pembangunan yang ingin dibawa oleh tidak penting kerana memilih PAS serupa dengan memilih Islam dan tempatnya pasti di syurga. Bagi Mek Nah, pemimpin PAS adalah mereka yang zuhud, yang tidak mementingkan kebendaan. Bagaimanapun kali ini, undi Mek Nah mungkin berubah.

Anaknya Dik Mat yang balik dari Kuala Lumpur menyedarkan dirinya bahawa pemimpin PAS hanya manusia. Kalau dulu mereka mengata UMNO, hari ini mereka lebih teruk dari pihak yang mereka kata. Di Perak, katanya bekas Menteri Besar PAS, Nizar telah menyatakan dengan jelas bahawa perjuangan menegakkan negara Islam tidak pernah disebut dalam memorandum, transkrip dan perlembagaan PAS; dan secara tidak langsung difahami oleh Dik Mat sebagai Nizar telah menolak perjuangan Islam.

Menurut Dik Mat lagi, di Perak dan Pulau Pinang, PAS terlalu lemah kerana tidak boleh membuat apa-apa pun untuk menegakkan Islam. PAS hanya menjadi alat DAP dan fenomena ini, fikir Dik Mat jika berlaku dalam negara selepas Pakatan Pembangkang membentuk kerajaan akan memudaratkan perjuangan Islam. Paling Dik Mat tidak faham, mengapa dalam keadaan lemah dan diperkudakan begini, PAS masih keras kepala menolak perpaduan sesama Islam.

Lebih memedihkan hati Dik Mat adalah apabila sampai di Manek Urai, Dik Mat lihat pemimpin PAS sudah berbeza. Motor besar, kereta besar, baju dari kain yang mahal dan macam-macam lagi.

Selama ini Dik Mat dan Mek Nah ingat PAS ini parti orang kampung yang serba kekurangan. Disebabkan itu mereka sanggup menderma di tabung-tabung yang dikutip pada setiap kali ceramah. Selama ini mereka juga menolak BN walaupun BN menjanjikan pembangunan untuk rakyat. Demi PAS, mereka sanggup berumah papan dan melihat kampung halaman terus tidak terbangun pesat.

Dik Mat ada mendengar cerita tentang kawasan balak yang hampir habis ditebas. Soal Dik Mat, "balok demo tebe, tapi pembangune tok nampak" (balak mereka tebang, tetapi pembangunan tidak kelihatan). Hari ini, pemimpin PAS sibuk hendak menuntut royalti minyak. Soal Dik Mat, 'untuk apa dan untuk siapa?' sebab selama ini tidak jelas ke mana hasil balak dibelanjakan untuk pembangunan rakyat Kelantan.

Kata seorang rakyat Kelantan dari daerah lain, "actually, rakyat kelantan tak tolak pembangunan. Cuma rakyat kelantan dah biasa dengan keadaan pembangunan sekarang dan dah mula tak kisah. Alasannya, dah kerajaan negeri tak dapat bagi, nak buat camna."

Katanya, "rakyat kelantan, kurang lebih 700,000 berhijrah keluar negeri cari makan ... kalau kat KL, berebut2 dengan orang Indonesia & Bangla... pastu tiap bulan hantar duit ke kampung... jadi orang kat kampung tak terasa perit sangat. Rakyat kelantan merasa lebih penting kalau di beri peluang kerja, sedangkan mereka tak sedar yang pembangunan tu (kalau berlaku di negeri sendiri) boleh menjana jauh lebih banyak peluang pekerjaan."

Kita berharap Dik Mat, Mek Nah dan pengundi di Manek Urai sudah memahami realiti PAS masa kini. Jangan biarkan `mata' mereka terus dibutakan, 'telinga' mereka ditulikan, 'hati' mereka dimatikan dan `akal' mereka diperbodohkan akibat 'candu' PAS yang amat melalaikan.

Mudah-mudahan mereka memberi peluang kepada Tuan Aziz Tuan Mat, seorang anak muda Kelantan, membuktikan yang beliau mampu membawa sinar baru kepada pengundi Manek Urai berbekalkan latar belakang pendidikan; pengalaman dan kebolehan; sikap mesra rakyat serta bukti khidmat dan jasa beliau kepada penduduk Manek Urai selama ini.

Kempen semakin hangat di Manek Urai. PAS telah memulakan kempen dengan mempertahankan Nik Aziz dengan bersungguh-sungguh. Husam dalam ceramahnya begitu mengagung-agungkan Nik Aziz, seolah-olah Nik Aziz adalah seorang yang maksum dan tidak boleh ditegur mahupun disentuh. Husam malah mencabar UMNO dan BN menyerang Nik Aziz. “Seranglah,” katanya “kita lebih suka Tok Guru diserang kerana bila rakyat marah, rakyat akan beri undi kepada PAS.”

Walaupun mulut kata berani, namun nampaknya PAS takut juga sekiranya rakyat memberi kemenangan kepada BN. Lebih-lebih lagi jika rakyat mulai sedar bahawa selama 20 tahun Nik Aziz memerintah Kelantan, beliau nampaknya gagal untuk memainkan peranan sebagai pemerintah yang efektif dan membawa pembangunan dan kemakmuran.

Akibat takut, jentera PAS cuba meraih simpati rakyat dengan menghebahkan pula kononnya Nik Aziz akan meletak jawatan jika PAS kalah di Manek Urai. Bagi meraih simpati rakyat, PAS terus menggunakan strategi lapuk dengan menampal poster lama gambar Nik Aziz sedang berdoa. Khabarnya poster ini ditampal dan digantung lebih banyak berbanding poster gambar Puji Ikan, seolah-olah calon tidak penting; yang penting jika bersimpati dengan Nik Aziz, undilah PAS.

Promosi poster lapuk doa Nik Aziz adalah segala-galanya bagi jentera PAS. Bagi mereka, doa Nik Aziz lebih utama daripada usaha dan kerja kuat, sedangkan kita semua tahun Allah SWT berfirman bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu berusaha mengubah nasib mereka sendiri.

Bagi menutup kelemahan Nik Aziz dalam mentadbir negeri, jentera PAS menggambarkan seolah-olah rakyat Kelantan tidak mahukan pembangunan. Mungkin itulah sebabnya walaupun kawasan balak sudah hampir gondol, namun tidak nampak pembangunan yang ketara di Kelantan. Hairannya Hadi menuntut pula royakti minyak diberikan ke Kelantan. Untuk apa dan siapa, jika rakyat Kelantan tidak memerlukan pembangunan dan kemakmuran material?

20 tahun Nik Aziz memerintah Kelantan, namun tidak nampak kemajuan yang begitu ketara. Rakyat Kelantan yang kononnya tidak mahukan pembangunan, berpusu-pusu keluar dari negeri Kelantan, bukan sahaja untuk mencari nafkah, tetapi ramai yang mencari kekayaan di luar negeri Kelantan.

Begitulah di Manek Urai. Kerusi Manek Urai bukan satu kerusi yang penting bagi PAS. Ia tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri. Mungkin disebabkan itu PAS tidak begitu mengambil berat tentang kebolehan dan tahap pendidikan calon untuk membangunkan Manek Urai. Sedangkan bagi BN, Manek Urai amat penting. Disebabkan itu BN memilih calon yang bukan sahaja berpendidikan, mesra rakyat dan berkebolehan, malah merupakan seorang yang telah menabur jasa yang banyak dalam membangunkan Manek Urai.

Seperti yang kita semua tahu, kerusi ini tidak penting bagi PAS. Pengundi Manek Urai, ambillah ruang ini untuk memberi peluang kepada anak Kelantan bernama Tuan Aziz Tuan Mat membuktikan dirinya. Jika prestasinya tidak bagus, tolak lah dia tiga tahun lagi. Berilah dia peluang untuk membawa sinar baru kepada rakyat Manek Urai. Ambillah peluang ini untuk membuktikan bahawa rakyat Manek Urai inginkan pembangunan yang telah dinafikan sepanjang tempoh 20 tahun ini.

Thursday, July 9, 2009

Masa depan subjek Reka Cipta (siri pertama)

Dalam tahun 2005 dimaklumkan terdapat sekitar 330 buah sekolah yang menawarkan subjek reka cipta. Ia merupakan subjek Mata Pelajaran Vokasional (MPV) elektif dan biasanya ditawarkan hanya kepada pelajar yang mengambil aliran sastera. Pada tahun 2006, diberitakan jumlah sekolah yang berminat untuk menawarkan subjek ini berkurangan kepada hampir 200 buah. Antara alasan yang diberi adalah kekurangan guru berkelayakan bagi mengajar subjek tersebut dan ketiadaan bengkel, peralatan serta perkakasan yang mencukupi. Selain itu, pelajar juga dikatakan kurang berminat untuk mengikuti subjek ini.

Di sekolah-sekolah tertentu, di mana terdapat guru yang pro-aktif dan yakin akan kepentingan kemahiran reka cipta ini bagi membantu menjana kehidupan pelajar selepas persekolahan, ia diajar menggunakan apa sahaja ruang, perkakasan dan perisian di sekolah, termasuk memuat turun perisian percuma dari internet serta ke tahap menggunakan perisian cetak rompak.

Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini kerana ia adalah ibarat kisah ayam dan telur, yang mana wujud dahulu. Ada yang mengatakan pelajar kurang berminat kerana mereka ini dari aliran sastera (satu alasan yang dangkal). Bertentangan dengan kepercayaan tersebut, saya percaya, pelajar jadi kurang berminat kerana sukatan pelajaran reka cipta agak membosankan; terlalu banyak teori dan gagal mengaitkan dengan realiti pasaran serta industri, ketiadaan bengkel dan perkakasan yang lengkap, latihan dibuat secara manual tanpa mesin seperti yang diguna dalam pasaran dan industri serta kekurangan guru yang berkebolehan.

Bagitupun saya tidak meyalahkan Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) kerana mereka terpasa bekerja dalam bajet yang terhad. Kurikulum terpaksa dirangka berdasarkan komitmen kewangan yang diperuntukkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ketika itu. Apabila komitmen kewangan terhad, maka kandungan kurikulum terpaksa dihadkan. Bengkel tidak dibina. Perkakasan tidak dibeli dengan mencukupi (bila tiada bengkel, logiknya perkakasan tidak akan dibekal) dan tiada perisian dibeli (perisian hanya penting bila ada perkakasan dan mesin yang dapat menzahirkan produk yang direka cipta). Bila semuanya kekurangan, maka kaedah pentaksiran dan peperiksaan juga akan dirangka berdasarkan kelengkapan yang terhad di sekolah.

Maka lahirlah produk yang hanya boleh mereka cipta bakul, pengait buah, kerusi dan meja menggunakan tangan (bukan mesin dan perisian yang mengikut trend industri) dan tidak laku dipasaran kerana tidak mempunyai kemahiran yang mencukupi serta ketidak mampuan untuk mengguna dan mengendali perisian serta mesin terkini. Malah kelulusan dalam subjek reka cipta juga tidak mempunyai makna dan tidak diiktiraf oleh universiti tempatan, apa lagi di luar negara. Jadi tidak salah lah jika sekolah semakin kurang berminat!

Bagaimanapun fenomena ini berubah apabila program F1 In School diperkenalkan. F1 In School seolah-olah membawa suntikan baru ke dalam subjek reka cipta yang suram apa tahun 2005. Elemen keseronokan dalam pembelajaran mula ditekankan melalui sukan bermotor yang terbukti mempunyai daya kepada golongan muda, tanpa mengira gender; tanpa mengira sama ada mereka berada dalam aliran sains atau sastera ataupun gender.

Secara tidak langsung, pendekatan baru F1 In School turut merangsang cara KPM melihat kurikulum, pendekatan pengajaran dan pembelajaran serta kaedah pentaksiran sedia ada agar minat terhadap sesuatu subjek dapat ditingkatkan dan pelajar dapat digalakkan meneroka potensi diri mereka ke tahap maksimum. Ini disebabkan program ini mendedahkan pelajar kepada realiti industri, iaitu kemahiran reka cipta menggunakan perisian dan teknologi terkini serta menghasilkan kepentingan untuk menghasilkan produk akhir yang bermutu tinggi. Di dalam program ini, pelajar diajar bekerja sebagai satu pasukan bagi menghasilkan reka bentuk terbaik, menganalisis, mendokumentasi, membentang dan mempertahankan konsep rekaan, mempertandingkannya dengan model-model pesaing seterusnya memasarkan idea mereka. Selain itu, mereka turut diberi pendedahan bertanding di peringkat antarabangsa dan dibiasakan dengan persaingan sengit dunia global tanpa sebarang rasa takut atau gentar.

Apakah masa depan subjek Reka Cipta ini dengan dasar sepuluh mata pelajaran di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)?

Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP), Utusan Malaysia
Rabu, 8 Julai 2009

Sunday, July 5, 2009

Justice Delayed is Justice Denied. Keadilan Untuk Saiful.

Dalam masa seminggu ini begitu banyak helah dan lakonan yang diusahakan oleh pembela Anwar bagi melengah-lengahkan perbicaraan kesnya. Para pembela Anwar telah menggunakan pelbagai media sebagai usaha untuk membina kes agar Anwar dilihat sebagai tidak bersalah.
Lim Kit Siang misalnya menggunakan Parlimen sebagai medan untuk mempertikaikan Akta DNA yang dikatakan sebagai usaha kerajaan untuk membuktikan Anwar bersalah.
Berita-berita yang mengambarkan Anwar sebagai tidak bersalah juga disiarkan dalam akhbar-akhbar pro-pembangkang dan yang dikatakan ruangnya dibeli bagi memberikan gambaran yang baik kepada pembangkang.
Usaha-usaha melobi di peringkat antarabangsa, misalnya di negara-negara yang menghalalkan amalan seks sejenis giat dibuat oleh pihak tertentu. Paling menyedihkan, segala `resources' dan kelebihan digunakan untuk memperburuk-burukkan Saiful dalam kes ini.
Dari sudut pandangan rakyat, segala perbuatan ini hanya membuktikan perilaku pembuli terhadap Saiful. Siapakah Saiful? Beliau bukan Tun Dr Mahathir yang dikatakan berkuasa dan mahu merosakkan kredibiliti Anwar. Saiful hanya insan biasa yang menjadi mangsa (jika benar) perilaku seksual songsang dan rakus Anwar. Saiful hanya rakyat biasa yang tiada jawatan politik dan bukan ancaman politik kepada Anwar.
Saiful hanya rakyat bawahan yang mahukan keadilan diberikan kepadanya oleh pemimpin nombor satu parti yang kononnya memperjuangkan KEADILAN. Beliau mungkin salah seorang daripada yang berani membongkar wajah hodoh Anwar. Kenapakah sebagai `whistle blower' beliau dibuli sebegitu rupa? Adilkah mereka?
Saiful dibuli begitu sekali bukan sahaja oleh manusia keparat bertopengkan pembela keadilan, tetapi juga golongan agama yang kononnya memperjuangkan Islam, sehingga mereka sanggup mempolitikkan lafaz sumpah beliau.
Di manakah keadilan untuk Saiful? Di manakah keadilan untuk keluarga Saiful? Saiful mungkin bukan keluarga kita, tetapi berdasarkan track record, perkara yang sama boleh berlaku kepada anak, adik atau saudara mara kita.
"Justice delayed is justice denied. Keadilan untuk Saiful". Para blogger yang bersimpati dengan Saiful dan keluarga beliau, marilah kita sama-sama menunjukkan sokongan kepada mereka.

Saturday, July 4, 2009

Debat atau Wacana Ilmiah? Pemuda Pas jangan jadi munafiq

Siapa pun yang berpegang kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah memahami betapa pentingnya erti perpaduan. Dan berdasarkan sejarah Islam, tamadun Islam berkembang dengan begitu pesat pada saat umat Islam begitu bersatu padu. Ia jelas pada zaman Khulafa’-ur Rashidin. Ia jelas pada zaman kerajaan Umaiyah dan trendnya konsisten sehingga zaman Othmaniyyah.

Bila perkembangannya terjejas? Berdasarkan sejarah, setiap kali umat Islam berpecah dan hilang ketaatan kepada pemimpin serta negara mereka. Ia berlaku pada zaman Saidin Usman Al-Affan r.a. menjadi Khalifah, sehingga menyebabkan dia dibunuh. Ia terjejas apabila berlaku perang saudara di antara kumpulan Sayidina Ali Abi Talib r.a. dengan Muawiyah Abu Suffian sehinggalah perbalahan ini diselesaikan melalui perbincangan yang menyaksikan kemenangan secara helah politik oleh kumpulan Muawiyah. Akibat dari peristiwa ini, umat Islam seterusnya dipecahkan lagi kepada tiga kumpulan, iaitu Ahli Sunnah, Syiah dan Khawarij.

Apa pun, yang jelas, majoriti umat Islam telah menerima khalifah yang baru ini dan selepas itu dapat diperhatikan perkembangan yang pesat dalam empayar dan tamadun umat Islam. Perkara yang sama (perpaduan dan ketaatan kepada pemimpin serta negara) juga berlaku dalam sejarah ketamadunan bangsa-bangsa di dunia.

Sebagai seorang Islam yang berpegang kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jemaah dan yang mempelajari sejarah Islam, tentu sahaja saya ingin menyaksikan muzakarah antara UMNO dan PAS berlaku. Saya juga berharap agar kerajaan perpaduan di antar PAS dan UMNO akan direalisasikan.

Usaha ini nampak seolah-olah akan berlaku dengan keterbukaan Timbalan Presiden PAS, Hj Hadi Awang ingin bermuzakarah dengan pemimpin UMNO bagi mewujudkan apa yang diistilahkan sebagai Kerajaan Perpaduan. Namun, kelemahan PAS telah menyebabkan hasrat ini tidak dapat diteruskan walaupun di peringkat akar umbi, begitu ramai penyokong Pas dan ahlinya yang begitu bimbang dengan masa depan perjuangan Islam yang semakin dikompormikan oleh pemimpin PAS sejak menyertai Pakatan Pembangkang.

Selepas itu, timbul pula jemputan untuk bertemu dengan Pemuda UMNO daripada Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan Tantawi. Walaupun Pemuda UMNO Malaysia, seperti yang disebut oleh ketuanya, YB Khairy Jamaluddin dan timbalannya, YB Datuk Razali Ibrahim, begitu berlapang dada dan menerima jemputan ini dengan husn-uz zann (sangkaan yang baik) namun menilai kepada cara Pemuda PAS, saya secara peribadi merasakan mereka tidak begitu ikhlas dan nampak seolah-olah seperti munafiq. Maksudnya – walaupun mereka datang kepada Datuk Razali seolah-olah membawa mesej perdamaian, tapi dari tingkah laku, mereka tidak benar-benar mengkehendakinya.

Apakah asas hujah saya? Pertama dari segi pendekatan. Walaupun Pemuda UMNO memahaminya sebagai perbincangan atau wacana ilmu; Pemuda PAS melihatnya sebagai debat. Dalam Islam, semua ulama menggalakkan perbincangan (muzakarah) bagi menyelesaikan perbalahan. Bagaimanapun, kebanyakannya tidak bersetuju dengan perdebatan (mujadalah), lebih-lebih lagi bagi menyelesaikan pertikaian sesama umat Islam.

Dalam hadis riwayat Muslim dan Bukhari, Rasulullah SAW bersabda; “setiap orang yang telah mendapat petunjuk kemudian menjadi sesat kerana suka berbantah-bantah”. Menurut Imam Al-Ghazali perbuatan suka berdebat ini tidak menguntungkan kerana yang diutamakan oleh si pendebat adalah kemenangan bukan kebenaran.

Kedua; sekiranya Pemuda PAS ikhlas untuk berbincang kenapa pula hendak diletakkan tajuk perbincangan yang pelik? Agak pelik bagi orang yang hendak berbincang meletakkan tajuk, apa lagi satu tajuk yang berat sebelah, iaitu “Adakah perjuangan UMNO tidak bertentangan dengan Islam?” Bukankah lebih baik atau afdal bagi pihak yang hendak menyelesaikan pertikaian menetapkan rangka dan matlamat yang hendak dicapai dari perbincangan tersebut bersandarkan kepada tanggungjawab kepemimpinan Islam. Misalnya – senario umat Islam di dunia dan di Malaysia, realiti kekuatan politik dan ekonomi umat masa kini; dan sejauh mana perbezaan prinsip aqidah, perjuangan dan pendekatan kedua-dua parti dapat dirapatkan bagi memastikan manfaat terbesar untuk agama dan umat Islam.

Nota: Munāfiq is a term used to describe a religious hypocrite, who outwardly practices Islam, while inwardly concealing his disbelief (kufr), perhaps even unknowingly. The term munāfiq in Arabic and Urdu is primarily a non-religious term that refers to a person whose actions are different from and opposite to his thoughts, which he conceals. According to Sahīh Bukhārī, the Prophet said, "Whoever has the following four (characteristics) will be a pure hypocrite and whoever has one of the following four characteristics will have one characteristic of hypocrisy unless and until he gives it up. 1. Whenever he is entrusted, he betrays. 2. Whenever he speaks, he tells a lie. 3. Whenever he makes a covenant, he proves treacherous. 4. Whenever he quarrels, he behaves in a very imprudent, evil and insulting manner."

Thursday, July 2, 2009

Makmal komputer sebagai makmal bahasa

Saya yakin ramai yang menyokong penuh pengumuman Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas hasrat beliau untuk menaik taraf makmal komputer agar dapat digunakan sebagai makmal bahasa. Hasrat beliau ini sekurang-kurangnya dapat memberi harapan baru kepada guru-guru di sekolah yang sekarang ini berdepan dengan masalah komputer usang dan rosak di dalam makmal komputer di sekolah masing-masing.

Selepas artikel mengenai penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah tersiar, saya telah menerima sejumlah komen dan aduan melalui e-mel dan Facebook saya. Kebanyakannya memaklumkan keadaan komputer dalam makmal komputer sekolah mereka yang rosak. Ada di antara komputer ini yang begitu usang, iaitu berusia hampir tujuh tahun dan tidak berfungsi dengan baik lagi. Ada yang telah diletakkan di dalam stor. Di Sekolah Bestari pula, ada yang hanya diletakkan di belakang kelas tanpa pernah digunakan oleh guru.
Pada pandangan saya usaha menaik taraf makmal komputer untuk turut berfungsi sebagai makmal bahasa mempunyai cabarannya yang tersediri. Pertamanya, berdasarkan anggaran sekiranya terdapat sejumlah 4,500 buah makmal yang dibina oleh Kementerian Kewangan melalui projek penkomputeran dan makmal komputer Fasa I dalam tahun 2002 dan Fasa II dalam tahun 2003, maka terdapat sekitar 90,000 unit komputer yang perlu digantikan dengan unit yang lebih baru.
Jika kebanyakan komputer ini diperoleh pada tahun 2002 dan 2003, ini bermaksud terdapat sejumlah 90,000 unit komputer yang berusia enam hingga tujuh tahun di makmal komputer sekolah-sekolah kita. Selalunya hayat komputer hanyalah sekitar dua hingga tiga tahun. Selepas tempoh ini, biasanya alat ganti komputer model tersebut sudah tidak dikeluarkan lagi oleh pengeluar dan terdapat keperluan untuk penyegaran teknologi (technology refresh), bukan sahaja dari aspek alat ganti perkakasan, tetapi termasuk juga dari segi aplikasi dan perisian komputer tersebut.
Jika alat ganti sudah tidak dikeluarkan lagi, maka masalah komputer di makmal tidak boleh diselesaikan melalui penyelenggaraan kerana kosnya menjadi tidak efektif lagi. Mahu tidak mahu, komputer ini perlu digantikan dengan unit yang lebih baru.
Sebenarnya tidak begitu sukar bagi menggantikan komputer usang ini dengan komputer yang baru kerana saya difahamkan bahawa ia masih boleh diperoleh melalui kontrak bekalan berpusat yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dua tahun yang lalu, iaitu pada tahun 2007. Berdasarkan maklumat yang diterima silingnya masih tidak dicapai dan tempoh kontrak masih belum luput. Para pegawai di KPM perlu segera melaksanakan proses perolehan ini dan saya tidak faham kenapa ia mengambil masa yang begitu lama. Sekiranya para pegawai gagal melaksanakan tanggungjawab ini dengan segera, maka guru-guru di sekolah akan dipaksa untuk menunggu lagi sementara tender kontrak perbekalan baru dikeluarkan; mungkin dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10). Begitu pun bagi melaksanakan penggantian, KPM perlu melaksanakan proses lupus kira terlebih dahulu. Sekiranya proses ini dipatuhi, maka ia akan mengambil sedikit masa bagi bahagian-bahagian bertanggungjawab melaksanakan ke atas sekolah-sekolah di seluruh negara.
Kedua adalah cabaran untuk menguruskan jadual penggunaan makmal komputer. Di sekolah menengah misalnya, terdapat rungutan bahawa permintaan untuk meggunakan makmal komputer adalah begitu tinggi. Ini menyebabkan masa dedahan pelajar terhad dan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak dapat dimaksimumkan. Ini merupakan antara asas kenapa Pusat Akses diperkenalkan di sekolah-sekolah. Selain pengurusan jadual, `housekeeping’ dan penyelenggaraan sistem turut mengambil masa yang agak panjang.

Ketiga, biarpun komputer ini boleh digantikan, namun spesifikasinya perlu sesuai dengan P&P pengajaran bahasa. Pada waktu yang sama ada kemungkinan KPM perlu menambah perkakasan yang sesuai bagi membantu P&P subjek bahasa. Justeru, peruntukan tambahan perlu dicari bagi tujuan ini. Sekiranya peruntukan tidak mencukupi dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) maka ia perlu dibida dalam RMKe-10.
Pada waktu yang saya berpandangan ada kemungkinan KPM wajar melihat kaedah untuk memanfaatkan web-TV bagi membantu P&P dalam kelas menggunakan komputer bimbit dan projektor yang dibekalkan. Mungkin elok juga menggunakan kontrak bekalan berpusat bagi menempatkan komputer meja di dalam setiap kelas dan dirangkaikan dengan projektor yang sedia ada. Selain itu, KPM juga wajar melihat ke hadapan dan mengikut trend negara-negara yang lebih maju penggunaan ICT di dalam kelas dengan merancang perolehan papan putih interaktif yang sekarang ini semakin menggantikan penggunaan komputer meja dalam P&P.

Versi yang diubah suai dsiarkan dalam;
Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP), Utusan Malaysia
Rabu, 1 Julai 2009

Popular Posts