Wednesday, July 15, 2009

Masa depan subjek Reka Cipta (bahagian 2)

Matlamat program F1 in Schools adalah untuk meningkatkan jumlah pelajar yang berminat untuk mendalami bidang kejuruteraan dan reka cita automotif. Walaupun nampak seolah-olah mereka hanya menghasilkan miniatur kereta F1, namun melalui kenyataan penghakiman, kita menyedari bahawa pelajar yang terlibat telah menguasai kemahiran kejuruteraan dan reka cipta yang biasanya dipelajari di peringkat pendidikan tinggi.

F1 In Schools bermula secara rintis menggunakan sepenuhnya peruntukan pihak swasta dan penajaan badan-badan korporat dari tahun 2005 sehingga 2007. Dengan pendekatan `bottom-top’ ketika itu, penglibatan hanya ditawarkan kepada sekolah yang benar-benar melihat manfaat program ini kepada mereka. Daripada 30 buah sekolah yang membida untuk terlibat hanya 14 buah sekolah yang terpilih. Jumlah ini telah bertambah dengan begitu pesat, iaitu kepada 40 buah pasukan pada tahun 2006, seterusnya 439 buah pada tahun 2007.

Berkat kesungguhan sekolah dan pelajar, pasukan Malaysia telah memenangi anugerah kereta terpantas pada Kejohanan Dunia ke-2, F1 in Schools 2005/06 di UK dan tempat ketiga keseluruhan semasa Kejohanan Dunia 2007 di Australia. Pada tahun 2007 di Melbourne, pasukan negara turut memenangi anugerah Semangat Kesukanan Paling Tinggi. (“Best Sportsmanship Award”). Reputasi Malaysia telah menyebabkan negara diberi penghormatan menganjurkan Kejohanan Dunia F1 Technology Challenge yang disertai oleh 25 buah pasukan dari 15 buah negara di seluruh dunia pada tahun 2008.

Melihat kepada kesan positif ini, dalam tempoh RMK9, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 48 juta bagi mengadakan pusat pembuatan di 114 buah sekolah, menaik taraf bengkel Reka Cipta di sekolah-sekolah di seluruh negara dan melengkapkannya dengan perkakasan dan perisian yang sesuai.

Bagi tujuan penyertaan program F1 In Schools, pusat pembuatan dan bengkel Reka Cipta ini dikongsikan penggunaannya kepada 10 hingga 15 buah sekolah berhampiran, membolehkan hampir 1,700 buah sekolah yang lain turut terlibat. Komitmen ini membolehkan sekolah di luar bandar terlibat dan program ini turut digunakan bagi memupuk perpaduan melalui Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP).

Tidak sukar untuk memahami kenapa secara tiba-tiba program F1 In School mendapat tempat di hati para pelajar. Perlumbaan F1 dilihat sebagai suatu sukan lasak yang berprestij, dikaitkan dengan kelajuan, teknologi enjin canggih dan berkuasa, reka bentuk kereta yang menarik serta usaha promosi yang begitu mengesankan. Ciri-ciri ini amat bertepatan dengan cita rasa generasi masa kini dan telah menarik minat bukan sahaja pelajar yang mengambil subjek reka cipta di sekolah, tetapi pelajar aliran sains yang tidak pernah tahu tentang kewujudan subjek ini. Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang tidak pernah berminat untuk menawarkan subjek Reka Cipta turut mahu terlibat selepas melihat kebaikannya. Dimaklumkan di sekolah tertentu, kadar ponteng kelas subjek Reka Cipta menurun dan pelajar sanggup berada di bengkel sepanjang hari.

Walaupun program ini melibatkan golongan pelajar, namun pengalaman positif dari program F1 in Schools ini secara tidak langsung telah mencetus minat untuk menaik taraf kurikulum subjek Reka Cipta. Ketika ini, sukatan pelajaran sedia ada lebih menumpukan kepada aspek teori pada tahun pertama, iaitu di tingkatan empat. Di tingkatan lima, barulah aspek praktikal diberi lebih perhatian. Begitu pun rekaan lebih berkisar kepada produk gunaan harian berteknologi rendah. Ini kemungkinan satu sebab kenapa subjek ini tidak diiktiraf sebagai satu merit untuk kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Tempatan (IPTA).

Pengalaman mengendali F1 in Schools, mendorong para pegawai untuk memikirkan kaedah bagaimana subjek ini boleh ditingkatkan tahapnya kepada Teknologi Reka Cipta melalui pengenalan kandungan yang lebih besifat `hands-on’ dan holistik berkaitan rekaan berteknologi lebih tinggi, iaitu melibatkan teknologi automotif dan aeroangkasa. Dengan perkakasan, perisian dan bengkel yang diadakan bagi menyokong program F1 In Schools ini, ia memungkinkan aspek praktikal diperkenalkan bermula di tingkatan empat lagi.

Saya yakin selain Reka Cipta, banyak lagi subjek yang ditawarkan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengalami pengalaman yang hampir serupa. Dengan menghadkan jumlahnya, terdapat kerisauan apakah yang akan terjadi dengan subjek-subjek ini. Berdasarkan pemerhatian, sebaik sahaja sesuatu subjek tidak lagi menjadi subjek peperiksaan, dalam sistem yang berorientaskan peperiksaan seperti yang diamalkan di negara kita, ia akan mengalami `kematian’ secara perlahan-lahan.

Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP), Utusan Malaysia
Rabu, 15 July 2009

No comments:

Popular Posts